September 7, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Julat antara 1.1025-1.106 boleh digelar sebagai zon Pivot Point sejak sebulan setengah yang lalu. Pasangan ini telah kembali ke kedudukan antara julat tersebut pada penghujung sesi dagangan minggu lalu, dan situasi ini menunjukkan ketidaktentuan yang sedang berlaku di pasaran.
    Sudah diketahui situasi yang berlaku ini kebanyakannya adalah berpunca daripada perang dagangan yang dimulakan Trump dan juga polisi Rizab Persekutuan AS. Berita mengenai rundingan antara Washington dan Beijing mungkin akan disambung semula seawal Oktober ini telah memberi impak positif pada pasaran saham: indeks S&P500 melonjak naik menghampiri paras 3000 sekali lagi, manakala kadar pertumbuhan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS kini mencapai hasil tertinggi sejak tiga tahun lalu. Dalam masa yang sama, nilai dolar mula kukuh, mencecah nilai maksimumnya berbanding nilai euro sejak Mei 2017. Akhirnya, pada hari Selasa 03 September, pasangan EUR/USD sekali lagi mencatat paras terendahnya, berada pada paras 1.0925.
    Namun, secara umumnya tiada sebab mengapa perlu bersikap optimis dengan apa yang berlaku. Anda tidak boleh berharap secara serius terhadap konsesi di China, dengan masalah ekonomi Amerika yang berpanjangan, dan jika perang dagangan terus berlaku, kebarangakalian untuk berlakunya kemelesetan yang amat teruk akan meningkat. Perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan ini akan menyebabkan kejatuhan kadar matawang serta pelonggaran yang agak serius ke atas polisi kewangan Rizab Persekutuan.
    Para pelabur berharap untuk mendapatkan sedikit petunjuk daripada data pasaran buruh pada penghujung minggu. Namun, indikator penting seperti Non-Farm Payroll ini menunjukkan prestasi yang tidak memberangsangkan disebabkan oleh penurunan yang sangat-sangat kecil (daripada 159K kepada 130K). Akhirnya, nilai dolar kerugian hampir 40 mata berbanding matawang Eropah itu. Kemudian, para pelabur cuba menggunakan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell pada petang Jumaat, 6 September bagi mencari jawapan. Namun, ia juga tidak memberi sebarang hasil. Semua ini menjadi faktor untuk ia berada pada paras 1.1025;
  • GBP/USD. Pertama sekali, kadar matawang British telah ditentukan dengan sikap optimis No. 1 - berkenaan rundingan berterusan antara AS-China, dan diikuti dengan sikap optimis No. 2 - berkenaan rundingan dengan EU mengenai Brexit. Jika diingat semula, kebanyakan penganalisis telah mengunjurkan cubaan pasangan ini untuk berada pada nilai 1.2015, paras terendah pada 12 Ogos yang lalu. Analisis grafik pada D1 pula menunjukkan kebarangkalian pasangan ini terus jatuh ke paras terendah Oktober 2016 iaitu 1.1945. Ramalan ini benar-benar telah berlaku pada permulaan minggu: akibat sikap optimis No. 1, pasangan ini turun ke paras 1.1958. Kemudian arah pergerakannya berubah, dan disebabkan oleh sikap optimis No. 2, nilai pound berjaya mendapatkan semula 400 mata daripada dolar pada tengah hari Khamis. Berakhirnya minggu dagangan, pasangan ini berada pada ketinggian 1.2290;
  • USD/JPY. Tidak seperti turun naik nilai pound British yang semakin berkembang, yen pula dilihat lebih tenang, bergerak di koridor lateral antara 105.50-107.00 sejak awal Ogos lalu. Pergerakan yang agak ganjil di luar julat ini adalah berpunca daripada khabar angin mengenai perkembangan perang dagangan antara AS-China yang dibuat Trump pada laman Twitter beliau.
    Seperti yang diramal para penganalisis, sebagai salah satu matawang selamat yang semakin kurang mendapat perhatian, dolar bejaya melonjakkan nilainya ke paras 107.23 pada hari Khamis. Ia kemudian diikuti dengan sedikit penurunan, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 106.92;
  • Matawang Kripto. Menurut terbitan secara online oleh Block Journal, dari segi keuntungan, kini bitcoin telah berjaya mengatasi nilai pelaburan tertinggi yang pernah dibuat ke atas syarikat IT menerusi IPO awam. Pada Mac 2010, kos bagi matawang kripto yang pertama adalah kira-kira $0.003. Jika mengambil kira kadar tukaran semasa yang kini melebihi $10,000, jumlah pertumbuhan nilainya adalah sebanyak 350,000,000%. (Sebagai perbandingan, indikator sama ke atas gergasi pengiklanan online, The Trade Desk “hanyalah” sebanyak 1.317%). Sepanjang tujuh hari yang lalu, pasangan BTC/USD turut berkembang. Carta ramalan yang dikeluarkan seminggu lalu menunjukkan 70% penganalisis meramalkan pasangan ini akan naik ke zon $11,000, dan ia benar-benar berlaku: pada tengah hari Jumaat 6 September, nilai Bitcoin naik sebanyak $1,250 dan mencecah paras $10,925.
    Selain daripada ramalan ke atas pasangan BTC/USD, kami juga berikan ramalan lain khas untuk altcoin. Menurut penganalisis, walau apa jua arah pergerakan Bitcoin, prospek bagi altcoin dilihat kurang memberangsangkan, Jika nilai Bitcoin jatuh, minat para pelabur terhadap pasaran matawang kripto juga akan menurun. Jika nilai Bitcoin bertumbuh, dapatlah kita lihat tukaran altcoin kepada matawang kripto rujukan akan berlaku secara aktif. Akhirnya, kita telah sahkan senario seperti itu mungkin berlaku pada minggu lalu. Walaupun pasangan BTC/USD bertumbuh sebanyak 13%, pertumbuhan Ethereum (ETH/USD) hanyalah 4%, Litecoin (LTC/USD) - 3%, dan pertumbuhan Ripple (XRP/USD) adalah 0.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Walaupun kedua-dua pengayun dan juga indikator pada D1 berwarna merah, ramalan para penganalisis adalah kekal berwarna kelabu neutral. Ini berpunca daripada perkara yang bakal berlaku dan mungkin mampu memberi kesan mendalam terhadap sentimen para pelabur. Pada hari Khamis, 12 September, pihak ECB perlu mengumumkan keputusan mereka berkenaan kadar faedah asas. Buat masa ini, ia berada pada paras kosong, dan sebahagian daripada penganalisis mengunjurkan pengurangan sebanyak 0.25 peratus mata menjadi -0.75%, sebahagian yang lain pula tidak menolak kemungkinan pengurangan yang lebih drastik, turun sehingga -0.4%, dan baki satu pertiga lagi percaya pihak ECB akan cuba berdolak-dalik pada kali ini dan bukannya menyatakan sebarang tindakan khusus bagi merangsang ekonomi di Eurozone.
    Sehubungan dengan perkara itu, pada 12 September, kita menjangkakan peningkatan kemeruapan bagi pasangan ini, berkembangnya trend bearish serta penurunan sebut harga euro sekurang-kurangnya 100 mata ataupun lebih lagi. Paras sokongan paling hampir adalah pada 1.0925, dan seterusnya pada 1.0830. Paras rintangan pula di zon 1.1125 dan juga 1.1250.
    Antara perkara yang akan berlaku dalam minggu ini walaupun ianya tidak begitu memberi kesan adalah statistik pasaran pengguna di AS yang akan dikeluarkan pada hari Khamis dan Jumaat, 12 dan 13 September nanti;
  • GBP/USD. Pada hari Selasa, 10 September, kami menjangkakan data pasaran buruh di UK akan dikeluarkan. Namun statistik ekonomi yang jauh lebih penting adalah berita berkaitan dengan Brexit. Sebagai permulaan kita menantikan berita dari Parlimen negara tersebut pada hari Isnin. Secara umumnya, ketegangan yang dikaitkan dengan perjanjian bersama EU dilihat semakin berkurang, mengharapkan akan berlakunya referendum kali kedua, dan 80% penganalisis mengunjurkan pengukuhan nilai pound seterusnya melonjakkan pasangan ini ke zon di antara 1.2400-1.2525.
    Pendapat alternatif hanya digambarkan oleh 20% penganalisis, analisis grafik dan juga 15% pengayun pada D1 yang memberi isyarat bahawa pasangan ini sudah dibeli secara berlebihan. Sasaran utama dalam senario ini adalah untuk berada semula pada paras terendah antara bulan Ogos-September iaitu di sekitar 1.1960-1.2060;
  • USD/JPY. Sesiapa pun tidak boleh menyangkal mengenai apa yang berlaku di Jepun. Bank of Japan yang cuba untuk menghentikan pengurangan dalam hasil keuntungan telah mengurangkan pembelian bon kerajaan dengan nilai sebanyak 20 bilion yen. Pada hari Isnin, 9 September, statistik kadar pertumbuhan KDNK Jepun akan dikeluarkan, nilainya mungkin meningkat berbanding 2.1% pada suku kedua 2019. Tetapi sebut harga yen dilihat bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat. Tidak lupa juga kepada China. Perjanjian yang diharap akan berlaku antara kedua-dua negara ini telah menolak jatuh nilai matawang Jepun, manakala melonjakkan paras pasangan ini ke atas. Sebanyak 90% penganalisis (sesuatu yang jarang berlaku) yang turut disokong oleh 90% pengayun dan juga analisis grafik pada D1 telah memihak kepada bull serta berpendapat pasangan ini akan melonjak ke paras 107.25, kemudian bergerak ke paras yang lebih tinggi iaitu pada paras rintangan 107.80 serta 108.50.
    Penurunan pasangan ini ke paras 105.50 sudahpun dijangka oleh 10% penganalisis serta 10% pengayun yang telah memberi isyarat bahawa pasangan ini sudah dibeli secara berlebihan. Paras sokongan yang seterusnya terletak di zon 105.00 dan 104.45;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi  09 - 13 September, 20191

  • Matawang Kripto. Walaupun ekonomi bertumbuh dengan agak stabil pada minggu lalu, tanpa disangka-sangka matawang kripto utama mengalami penurunan pada lewat hari Jumaat, 6 September, jatuh sebanyak $600 dalam tempoh 20 minit. Sekali lagi perkara ini telah mengesahkan teori bahawa masih terlalu awal untuk menggunakan bitcoin sebagai aset yang boleh dipercayai bagi menjadi lindung nilai risiko dalam pasaran kewangan tradisional - komoditi, matawang dan juga saham dengan kemeruapan yang amat tinggi seperti itu.
    Dalam masa yang sama, para peminat Bitcoin masih tidak henti-henti mencuba untuk merancakkan pasaran kripto dengan ramalan mereka yang luar biasa. Max Kaiser, seorang pengacara TV dan juga seorang penganalisis berkata, pasaran saham sedang mendapatkan semula momentum selepas mengalami krisis beberapa hari lalu, dan perkara ini mampu mendorong nilai matawang kripto utama naik menjadi $25,000. Namun, terdapat juga pendapat yang berbeza sama sekali. Sebagai contoh, Joe Bollinger telah mengumumkan terdapat kemungkinan kadar tukaran Bitcoin akan menurun sepenuhnya. Beliau adalah seorang penganalisis dan juga pedagang, dan beliau adalah pencipta indikator teknikal yang dikenali ramai iaitu Bollinger Bands yang ada pada terminal MetaTrader. Beliau berkata lagi, “crypto winter yang baru berakhir pada suku kedua tahun ini mungkin akan tiba sekali lagi pada waktu yang tiada siapa jangka”.

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami