Mei 23, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Ketegangan terus berlaku antara AS dan China hingga memberi kesan kepada pasaran. Presiden Trump berkata beliau akan memberi respon yang “setimpal” terhadap inisiatif badan perundangan di Beijing itu. Secara khususnya, ini termasuklah keinginan negara Republik itu dalam mengukuhkan penguasaannya terhadap Hong Kong yang sebelum ini telah menjadi punca kepada pergolakan yang berlaku di negara tersebut. Donald Trump dalam kenyataan beliau pada hari Khamis 21 Mei, jika China ingin meneruskan rancangan mereka, beliau akan “memandang isu ini dengan tegas”. Selari dengan kenyataan tersebut, pentadbiran AS terus menunding jari kepada Kerajaan Timur sebagai punca utama kepada penyebaran wabak coronavirus, dan ingin menuntut sebanyak mungkin pampasan daripada mereka.
    Selain itu, Amerika Syarikat juga telah mengumumkan bahawa negara itu tidak lagi tertakluk kepada perjanjian “open skies”, dan ia adalah satu petanda kepada perlumbaan senjata yang baru serta mengukuhkan lagi jangkaan terhadap satu lagi ketegangan geopolitik yang mungkin akan berlaku.
    Bagi indikator ekonomi semasa di AS dan Eurozone, walaupun terdapat sedikit kemajuan, masih terlalu awal untuk membincangkan tentang keadaan yang pulih sepenuhnya. Menurut Markit, walaupun pada hakikatnya indeks komposit bagi aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan di Eurozone pada bulan Mei sedikit naik daripada 13.6 kepada 30.5, permintaan oleh pengguna semakin berkurangan, manakala bilangan pekerjaan yang ditawarkan juga turun dengan mendadak.
    Di AS, aktiviti perniagaan juga bertambah, namun turut menghadapi masalah besar dengan isu pengangguran, Jumlah permohonan awal bagi faedah pengangguran turun sedikit pada bulan ini, daripada 2,687K kepada 2,438K, manakala jumlah penduduk Amerika yang sudah menerima faedah tersebut adalah melebihi 25 juta.
    Keadaan ekonomi di AS dan juga Eropah yang tidak menentu menghalang pelabur daripada memberi keutamaan kepada kedua-dua matawang sehingga menyebabkan pasangan EUR/USD kekal berada di koridor sisi antara 1.0750-1.1000 untuk dua bulan berturut-turut. Pada minggu lalu, pasangan ini mulanya naik ke sempadan atas saluran tersebut, dan kemudian turun ke zon tengah, dan mengakhiri lima hari dagangan di sekitar 1.0900;
  • GBP/USD. Kesemua indikator makroekonomi di UK telah dikeluarkan pada minggu lalu, ia dilihat agak bertentangan. Nampaknya situasi berkenaan pasaran buruh semakin bertambah baik: pengangguran berada pada kadar 3.9% berbanding 4.4% seperti yang diramal, aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan juga tidak begitu teruk – indeks Markit menunjukkan pertambahan dari 13.6 kepada 30.5, manakala indeks awal pengurusan bekalan (PMI) melonjak dari 32.6 pada bulan April kepada 40.6. Selain itu, indeks harga pengguna (CPI) turun daripada 1.5% kepada 0.8% walaupun pada hakikatnya Bank of England telah mensasarkan nilainya berada pada paras 2%.
    Kadar inflasi pada bulan April adalah yang paling perlahan sejak bulan Ogos 2009, dan penurunan seperti itu mungkin akan menggesa penurunan kadar faedah yang lebih rendah oleh Bank of England. Justeru, Gabenor Bank, Andrew Bailey pada hari Khamis berkata bahawa ia suatu tindakan yang tidak masuk akal jika pihaknya menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kadar faedah negatif. Hanya seminggu sebelum itu beliau menolak kemungkinan itu.
    Secara am, seperti yang dibincangkan sebelum ini, situasi yang berlaku pada minggu lalu agak bertentangan, dan mungkin disebabkan itu nilai pound bergerak agak perlahan, manakala dinamik pasangan GBP/USD secara keseluruhannya mengulangi dinamik EUR/USD: setelah berada pada kedudukan terendah mingguan 1.2070, pasangan ini mengubah arahnya dan naik ke paras 1.2295. Ia diikuti pula dengan penurunan sekali lagi ke paras 1.2170, semuanya berpunca daripada kenyataan Andrew Bailey;
  • USD/JPY. Pada hari Jumaat, 22 Mei, Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso serta Gabenor Bank of Japan Haruhiko Kuroda mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan serta bank pusat negara tersebut akan bekerjasama dalam memulihkan semula ekonomi mereka. Pemimpin tertinggi negara itu menyedari kadar muflis di Jepun telah meningkat dengan mendadak sepanjang bulan lalu. Disebabkan itu, Kuroda telah mengumumkan satu program dengan nilai 30 trilion yen dalam bentuk pinjaman tanpa sebarang cagaran serta kadar faedah sifar yang boleh dipohon syarikat-syarikat yang terkesan dengan wabak coronavirus. Langkah seperti itu yang diambil penggubal dasar dalam melonggarkan polisi kewangan mereka telah melonjakkan pasangan ini walaupun kenaikkannya tidaklah begitu kukuh. Sepanjang 2.5 minggu, nilai sebut harganya telah naik daripada 106.00 kepada 107.60, dan selepas membentuk huruf V pada graf, pasangan ini kembali ke paras yang diduduki sebelumnya pada awal dan pertengahan bulan April iaitu di zon 107.30-108.00;
  • Matawang Kripto. Mari mulakan dengan sedikit rahsia dan juga misteri. Buat kali pertama pada tahun ini, ramai orang yang tidak dikenali telah memindahkan lebih daripada 28 BTC ($258 ribu) ke alamat walet tanpa nama daripada walet yang mengandungi bitcoin curi dari simpanan bursa Bitfinex. Namun ini bukanlah berita yang harus disensasikan, ia lebih kepada topik siasatan polis. Apa yang perlu diberi perhatian adalah Bitcoin milik Satoshi Nakamoto juga mungkin telah mula bergerak! Komuniti kripto amat berminat dengan coin yang dihasilkan pada rangkaian asal di mana ketika itu hanya beberapa orang saja yang menghasilkannya, termasuklah pengasas bitcoin. Kini mula terdapat pergerakan pada 50 BTC yang tidak pernah berganjak sejak 2009.
    Menurut sebilangan penganalisis, pergerakan seperti ini dan yang lain-lain adalah berhubung kait dengan kesan daripada pengurangan penghasilannya. Akibat daripada pengurangan kadar hash pada pengiraan semula sebelum ini, kerumitan penghasilan bitcoin juga berkurangan, namun setakat ini ia gagal membantu menstabilkan situasi yang sedang berlaku. Walaupun bull telah berusaha bersungguh-sungguh, pasangan BTC/USD gagal untuk melepasi paras utamanya iaitu $10,000. Seperti yang anda ketahui, jika nilainya tidak naik, ia akan turun. Setelah berhenti menunggu daripada penantian lonjakan selepas penghasilannya dikurangkan, ramai pedagang mula menutup posisi long mereka dan cuba mendapatkan keuntungan, disebabkan itu nilai sebut harga matawang kripto utama ini jatuh kira-kira 10% ke paras $9,000.
    Akibat daripada penjualan itu, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto jatuh dari paras tertingginya pada 18 Mei iaitu $273 bilion kepada $246 bilion pada 21 Mei, namun bacaan Indeks Fear & Greed Kripto masih berada pada paras yang hampir sama seminggu lalu, 42 vs. 44.
    Perlu diingat, walaupun terdapat sedikit penyusutan pada BTC/USD, kadar keuntungan bitcoin pada tahun ini masih lagi tinggi berbanding emas. Nilai logam berharga itu telah naik sebanyak 12% sejak Januari, manakala nilai bitcoin pula melonjak kira-kira 30%. Kelebihan yang ada pada matawang kripto utama ini berbanding pasaran saham juga lebih mengagumkan. Sebagai contoh, sebut harga bagi JPMorgan susut sebanyak 37.2%, dan nilai BTC telah memintas saham bank ini dari segi nilai pertumbuhan pasaran melebihi 200%.
    Namun apa yang lebih hebat bukanlah hasil daripada bitcoin, tetapi Ethereum yang menunjukkan pertumbuhan mendadak kira-kira 55% sejak awal tahun ini. Menurut beberapa orang penganalisis, ETH memiliki prospek terbaik kerana rangkaiannya dilihat semakin aktif. Antara lain, semua ini disebabkan oleh aplikasi kewangan disentralisasi (DeFi) yang dimilikinya bertujuan untuk mengurangkan peredaran coin, memberi kesan yang hampir sama dengan pengurangan hasil BTC.
    Altcoin terkenal ini mendapat sokongan penulis asal siri Harry Potter, J.K. Rowling. Sebelum ini beliau cuba untuk memahami tentang bitcoin, namun selepas itu beliau menyatakan yang beliau hanya “bermain-main dengan bitcoin supaya aset ethereum yang dimilikinya akan naik mendadak”. Memang benar ianya hanyalah satu gurauan, namun ia memberi coin ETH pendedahan tambahan.
    Buat masa ini, mereka yang menyokong matawang kripto utama masih tidak menganggap ETH sebagai pesaing - bitcoin menguasai 65% daripada keseluruhan pasaran berbanding 8.4% yang dimiliki Ethereum. Namun cukup untuk kita kembali pada pertengahan Jun 2017, semasa kedua-dua coin ini hampir mencapai kesamarataan - 38% dan 31%, dan bertanyakan diri sendiri: adakah situasi seperti itu tidak akan berulang kembali?

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Seperti yang telah dinyatakan pada bahagian pertama ulasan ini, walaupun mereka sedang mengekalkan status quo, pasangan ini mempunyai peluang besar untuk kekal di saluran sisi antara 1.0750-1.1000. Namun, jika ketegangan geopolitik terus memuncak, ditambah pula dengan penularan wabak COVID-19 yang berulang, pasaran mungkin akan kembali menjadi suram. Berkemungkinan besar, panik tidak akan berlaku, tetapi minat terhadap aset terlindung seperti dolar AS akan mula bertambah. Atas sebab ini, kebanyakan penganalisis (70%) tidak mengecualikan kejayaan melepasi paras sokongan 1.0750 serta penurunan pasangan ini ke paras terendah bulan Mac di sekitar 1.0635. Hanya 30% penganalisis yang menjangkakan pasangan ini akan naik ke zon di antara 1.1100-1.1240 dalam ramalan jangka sederhana mereka.
    Antara perkara yang perlu diberi tumpuan pada minggu depan adalah data pesanan barangan tahan lama, kadar pengangguran serta KDNK AS yang akan dikeluarkan pada 28 Mei, serta data pasaran pengguna di Eurozone yang akan dikeluarkan sehari selepas itu pada 29 Mei;
  • GBP/USD. Walaupun terdapat data makroekonomi yang menunjukkan tanda-tanda positif, keseluruhan situasi ekonomi di Britain adalah tidak begitu baik. Ini mungkin akan menyebabkan Bank of England menambah lagi £100 bilion ke dalam program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka serta menurunkan kadar faedah utamanya kepada nilai negatif. Semua faktor-faktor ini akan terus memberi tekanan kepada pound, lebih-lebih lagi selepas ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell menyatakan secara khusus bahawa organisasi beliau tidak akan mempertimbangkan untuk mengenakan kadar negatif ke atas dolar AS.
    Buat masa ini 70% penganalisis percaya bahawa pembetulan yang berlaku pada minggu lalu telah berakhir, dan pasangan ini diunjur akan terus mengalami penurunan pertama sekali pada paras hampir dengan 1.2075, dan kemudian pada paras sokongan 1.2000. Jika paras utama ini berjaya dilepasi, pasangan tersebut akan terus turun ke paras terendah bulan Mac: 1.1640 dan 1.1400.
    85% pengayun serta 100% indikator trend pada H4 dan D1 berpihak kepada bear. Baki 15% pengayun memberi isyarat bahawa pasangan ini mempunyai lebihan jualan, dan 30% penganalisis bersetuju dengannya. Pada pendapat mereka, pasangan ini dijangka akan turun ke zon tengah saluran antara 1.2165-1.2650 pada mulanya, dan mungkin akan naik ke sempadan atas selepas itu.
    Pendapat berbeza diberikan analisis grafik pada D1, pertama sekali ia menunjukkan kenaikan ke paras 1.2350, dan kemudian penurunan ke paras 1.1400 menjelang pertengahan Jun;
  • USD/JPY. Penurunan mendadak aktiviti ekonomi di Jepun (ekonomi kedua terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia selepas AS dan China) terus berlaku, justeru kadar inflasi di negara itu juga menurun, dan pertumbuhan pengeluarannya akan terbantut sekurang-kurangnya sehingga awal 2021. Bank of Japan telah lama cuba untuk menaikkan kadar inflasi dengan melancarkan pelbagai program insentif serta mengekalkan kadar utama mereka di zon merah. Namun kesannya masih tidak lagi kelihatan, dan ia hanya akan memberi tekanan kepada yen jika semua langkah itu diteruskan. Permintaan ke atas yen sebagai matawang selamat bergerak pada arah bertentangan, ia hanya akan bertambah jika konflik politik dan ekonomi antara AS dan China terus memuncak. Namun faktor ini lebih memberi kesan terhadap kadar silang matawang Jepun kerana para pelabur juga melihat dolar sebagai aset terlindung, malah nilainya lebih kukuh berbanding yen.
    Walau bagaimanapun, buat masa ini 65% penganalisis mengunjurkan pasangan USD/JPY untuk kembali sekurang-kurangnya ke zon 106.00 pada 6 Mei lalu. Paras sokongan berada pada 107.30, 106.80 dan 106.20. Pertumbuhan berterusan pasangan ini mungkin berlaku mengikut 35% penganalisis. Sasarannya adalah pada paras 107.85, 108.00, 108.50 dan 109.25;
  • Matawang Kripto. Seperti biasa, kita akan bincangkan tentang ramalan jangka sederhana dan jangka panjang oleh penggemar kripto. Bloomberg Agency yang memetik kenyataan penganalisis Simon Peters berkata nilai bitcoin mampu untuk melepasi $20,000 dalam tempoh 18 bulan seterusnya. Menurut Peter, jika AS dan negara-negara lain mula mengenakan kadar negatif, modal pelaburan dalam bitcoin akan mula bertambah dengan kadar yang pantas. Jika semua itu berlaku, sekurang-kurangnya paras $20,000 pasti berjaya dilepasi, dan kemungkinan untuk BTC/USD berada pada ketinggian $50,000 tidak dapat dielakkan lagi.
    Peningkatan yang tidak begitu ketara diramal oleh Robert Kiyosaki, usahawan serta penulis buku paling laris “Rich Dad, Poor Dad”. Beliau berkata, pihak berkuasa AS yang mahu membelanjakan jutaan dolar bagi menyelamatkan skim pencen akan menjejaskan ekonomi negara itu dengan teruk, dan ini akan menyebabkan harga bitcoin melonjak kepada $75,000 dalam tempoh tiga tahun.
    Jika Kiyosaki mengambil tiga tahun sebagai tanda ukur masa depan BTC, pedagang terkenal Tone Vays mengehadkan ramalannya kepada tiga hari saja. Beliau menyatakan secara langsung semasa ForkLog “nilai Bitcoin akan naik dengan mendadak. Berapa tinggi? Sekitar $12,000”, jelas Vays. Tambah beliau lagi: “Jika nilainya sekarang terbantut dan mula turun ke paras $9,000, saya jangkakan nilainya akan jatuh di bawah paras $8,000. Tiga hari telah berlalu, kini nilai bitcoin kekal pada $9,000, dan jika mengikut ramalan Vays, perlukah kita tunggu sehingga nilainya turun lebih rendah?
    Jika bercakap mengenai senario yang mungkin akan berlaku pada minggu depan, pilihan nilai para penganalisis berada pada julat yang agak sama di antara $8,400-10,000. Namun jika kita beralih ke ramalan jangka panjang, 80% penganalisis sangat pasti bahawa nilai bitcoin mampu untuk berada hampir pada paras $10,000 menjelang akhir Jun. Walau bagaimanapun, sudah pastinya terdapat golongan yang pesimis, mengingatkan kita kepada dua tarikh “malang” yang berlaku baru-baru ini – 13 Februari dan juga 13 Mac, apabila nilai bitcoin jatuh dari nilai $10,480 kepada $3,845, sehingga menyebabkan seseorang itu melihat kejadian itu sebagai suatu pengakhiran.

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 25 - 29 Mei, 20201

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami