Ogos 8, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Nilai dolar terus menyusut untuk enam minggu berturut-turut. Indeks USD (DXY) jatuh ke paras paling minimum sejak Mei 2018. Secara keseluruhan, ia kehilangan sekurang-kurangnya 10% daripada nilai yang dimiliki sejak lima bulan lalu. Nampaknya, penurunan itu seperti tiada penghujungnya: pasangan EUR/USD kini bergerak di sepanjang koridor sisi antara 1.1700-1.1910 selama dua minggu berturut-turut. Cubaan untuk melepasi paras sempadan atas pada 5 dan 6 Ogos berakhir dengan kegagalan, dan pasangan tersebut menyelesaikan tempoh lima hari dagangan pada hari Jumaat 7 Ogos dengan berada di kedudukan 1.1785.
    Serangan Presiden AS ke atas rangkaian sosial milik China berjaya mengukuhkan nilai dolar. Bear sedang menantikan perang dagangan berskala penuh antara Washington dan Beijing disambung semula seperti manna dari syurga, dan mereka berharap Donald Trump tidak menahan dirinya hanya dengan satu serangan ini saja.
    Pihak Kongres yang gagal mencapai kata sepakat mengenai langkah-langkah stimulus baru ke atas ekonomi AS sedikit sebanyak membantu mengukuhkan nilai dolar. Hasilnya, pertumbuhan indeks saham terhenti, dan para pelabur kembali memberi tumpuan kepada matawang Amerika ini.
    Indikator makroekonomi di AS telah dikeluarkan pada minggu lalu, juga menunjukkan penurunan dinamik positif. Laporan Pekerjaan Sektor Swasta (The Private Sector Employment Report atau ADP) dilihat agak lemah, manakala indeks aktiviti berkaitan transaksi kredit kad serta trafik mudah alih berada pada paras 10-30% lebih rendah berbanding sebelum berlakunya krisis COVID-19.
    Indikator NFP dilihat bertukar kepada warna hijau, namun hakikatnya 1.763 juta bukanlah jumlah pekerjaan baru yang dihasilkan, tetapi yang sedia ada dimana mereka yang dipaksa untuk mengambil cuti panjang kembali bekerja. Jika diingat jumlahnya pada bulan Mei dan Jun masing-masing adalah 2.7 juta dan 4.8 juta. Justeru bulan Julai menunjukkan bacaan yang paling teruk.
  • GBP/USD. Sepanjang tempoh krisis yang bermula pada bulan Mac lalu, pasangan GBP/USD telah menunjukkan korelasi hampir dengan EUR/USD, secara umum mengulangi kadar turun naiknya. Pada hari Khamis 6 Ogos, nilai pound British mencecah ketinggian 1.3185, menghampiri paras tertinggi yang dicapainya pada bulan Mac lepas. Sesetengah penganalisis percaya ianya berlaku berikutan mesyuarat Bank of England. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan mengenainya. Sebaliknya, semuanya adalah akibat penyusutan nilai dolar iaitu indeks DXY yang kian menjunam sejak kebelakangan ini.
    Seperti yang dijangka, tiada sebarang kejutan yang boleh didapati daripada mesyuarat antara penggubal dasar British. Bank of England mengambil keputusan untuk mengekalkan kadar faedah utama mereka pada 0.1%, manakala jumlah program QE yang disasarkan adalah berjumlah £745 bilion. Selain itu, pihak pengurusan bank tersebut percaya bahawa keadaan ekonomi di UK hanya akan pulih daripada kesan wabak yang melanda pada penghujung 2021, dan menegaskan kadar pemulihan sekali lagi bergantung kepada wabak tersebut. Secara umumya, tiada suatu pun yang pasti. Dalam masa yang sama, para penggubal percaya bahawa mereka tidak perlu tergesa-gesa untuk meminda polisi kewangan, malah tidak berbaloi untuk membincangkan tentang pengenalan kadar faedah dengan nilai negatif. Tindakan seperti itu hanya akan menyukarkan lagi pihak bank yang kini sudahpun mengalami kerugian besar akibat wabak COVID-19.
    Justeru, seperti yang berlaku kepada Euro, matawang British bergerak secara mendatar berbanding dolar dengan julat turun naiknya berada di antara 1.2980-1.3185. Paras terakhir berada pada 1.3055;
  • USD/JPY. Bank of Japan adalah ahli kepada sebuah konsortium yang dianggotai beberapa buah bank pusat lain termasuklah dari UK, Eropah dan juga Kanada, dan mereka bekerjasama untuk meneroka prospek serta cabaran dalam melancarkan matawang digital. Kini Jepun sedang bertungkus lumus untuk melancarkan yen berbentuk digital dan disebabkan itu satu jawatankuasa penilaian telah dibentuk. Mungkin perkara ini dapat menarik perhatian para pelabur, namun setakat ini matawang fiat yen sekali lagi tidak dihiraukan oleh “jerung-jerung” dikalangan syarikat-syarikat kewangan besar: sepanjang tempoh lima hari, julat turun naiknya tidak melebihi 115 mata, dan matawang Jepun itu mengakhiri sesi dagangan dengan berada hampir pada paras permulaan awal minggu lalu - di sekitar 105.90;
  • Matawang Kripto. Pendapat mengenai matawang kripto yang mampu menjadikan seseorang dewasa mahupun kanak-kanak itu seorang jutawan diperakui pada minggu lalu. Namun, perkara tersebut bukannya berlaku secara sah. Beberapa hari yang lalu, pihak polis telah menahan Graham Clark yang berusia 17 tahun atas tuduhan melakukan serangan godaman terhadap akaun Twitter milik selebriti. Antara yang dijadikan sasaran adalah Elon Musk, Barack Obama dan juga Joe Biden, dan akaun-akaun mereka ini diguna untuk menganjurkan serangan penipuan berkaitan bitcoin. Remaja tersebut didapati menjadi pemilik ke atas 300 BTC yang berjumlah $3.5 juta jika mengikut kadar tukaran semasa!
    Bagi orang dewasa di Amerika Syarikat pula, hasil kajian yang dikeluarkan Cornerstone Advisors baru-baru ini menunjukkan 15% penduduk Amerika sudahpun memiliki bitcoin atau lain-lain altcoin, dan separuh daripada jumlah tersebut telah melabur dalam kripto untuk tempoh enam bulan yang lepas. Secara purata, pelabur-pelabur baru yang sama-sama telah membuat pelaburan melebihi $67 bilion dalam pasaran kripto membelanjakan kira-kira $4,000 setiap seorang. Kebanyakan daripadanya adalah mereka yang berpendapatan tinggi (gaji purata $130,000 setahun) dan memiliki ijazah. Paling menarik, hampir 100% daripada pelabur-pelabur itu adalah lelaki.
    Sekarang adalah masa untuk berita yang memberi kegelisahan kepada kebanyakan ahli dalam komuniti kripto. Selepas lonjakan memberangsangkan ke paras $12,080 pada hari Ahad 2 Ogos, nilai bitcoin tanpa disangka-sangka jatuh kepada $10,500 dalam masa beberapa minit, menyebabkan keadaan panik berlaku dikalangan pelabur. Namun, nasib masih menyebelahi mereka, penurunan hanya sehingga ke paras tersebut, dan nilainya kembali ke paras $11,000 dalam sekelip mata. Rupert Douglas, ketua jualan berinstitusi di Koine berkata kejadian itu adalah disebabkan oleh proses likuidasi posisi long pada harga yang tinggi. Pada hari tersebut, posisi berjumlah $147 juta telah dicairkan di bursa matawang kripto BitMEX. Secara kasar, jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto telah mengalami kerugian hampir $30 bilion semasa “gray Sunday” ini berlaku, jatuh daripada $361 bilion kepada $331 bilion.
    Paras $11,000 kini menjadi sokongan kukuh kepada BTC/USD, paras di mana pasangan ini mampu untuk naik semula ke zon di antara $11,500-11,850 pada hari Jumaat, 7 Ogos. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto juga hampir dapat dipulihkan sepenuhnya, mencecah nilai $357 bilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto berada pada 77, bacaan yang hampir sama pada tujuh hari lepas.
    Pasangan ETH/USD kembali berada di zon $400. Harus diingat kadar pertumbuhan bagi jumlah dagangan ethereum dalam pasaran semerta dan juga pasaran hadapan kini meningkat lebih cepat berbanding kadar bitcoin. Jika nisbah jumlah dagangan antara ETH dan BTC hanyalah sebanyak 16% pada bulan September 2019, kini peratusannya melonjak kepada 50%. Di pasaran hadapan, kadarnya naik kepada 29% daripada 8% untuk tempoh yang sama. Bacaan ini adalah berdasarkan bursa matawang kripto Binance, Coinbase, Bitfinex, Kraken serta Bitstamp. Menurut CoinGecko, jumlah transaksi dagangan harian ethereum kini melebihi $15.1 bilion, berada 25% di belakang bitcoin mengikut indikator yang sama. Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan modal ETH masih lagi rendah berbanding BTC - dengan jurang sebanyak 5.25 kali ganda.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Penyata imbangan Rizab Persekutuan sudah tidak mengalami pertumbuhan berbulan-bulan lamanya, dan pihak Perbendaharaan telah mengumpul lebih daripada $1.7 trilion ke dalam peti kebal mereka. Akibatnya, kita dapati proses pemulihan ekonomi AS sedikit terbantut, dan disebabkan perkara itu kerajaan serta pihak Rizab terpaksa mengambil langkah baru untuk merangsangnya semula. Jika tidak, bukan graf pemulihan berbentuk V yang akan berlaku, tetapi kemelesetan berbentuk W akan menjadi realiti, dan peluang tipis yang dimiliki Donald Trump untuk dipilih semula akan berakhir dengan kekalahan.
    50% penganalisis percaya lambakan likuiditi serta langkah-langkah stimulus fiskal ke dalam ekonomi yang seterusnya akan berlaku tidak lama lagi. Justeru, nilai dolar akan terus menyusut, dan pasangan EUR/USD akan terus mengalami pertumbuhan. Sasaran paling hampir berada pada 1.1840, 1.1900 dan juga 1.2000.
    20% penganalisis lagi mengunjurkan trend lateral berterusan untuk pasangan ini di antara 1.1700-1.1910, manakala baki 30% penganalisis pula percaya kedudukannya akan kembali berada di sekitar 1.1450 dalam masa beberapa minggu lagi.
    Selain daripada separuh jumlah penganalisis, analisis grafik menjangkakan pertumbuhan, disokong oleh 80% pengayun serta 85% indikator trend pada D1. Baki 20% pengayun telah memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Kami menantikan data pasaran pengguna di AS pada minggu ini, dijangka akan dikeluarkan pada hari Rabu dan Jumaat, 12 dan juga 14 Ogos nanti. Jika indeks harga pengguna tidak mengalami sebarang perubahan, jualan runcit untuk bulan Julai mungkin akan menunjukkan penurunan daripada 7.5% kepada 1.7%. Pada hari Jumaat juga, data awal KDNK di Eurozone untuk suku kedua akan dapat diketahui;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 10 - 14 Ogos, 20201

  • GBP/USD. Selain daripada nilai dolar yang semakin susut, keengganan Bank of England untuk menurunkan kadar faedah serta menambah jumlah program pembelian aset telah memberi kelebihan kepada pound. Pada hari Rabu 20 Ogos, data KDNK untuk suku kedua di UK akan dikeluarkan, dan ramalan menyatakan ia akan menyusut sebanyak 20.2%. Sebagai perbandingan, ekonomi di Eurozone jatuh sebanyak 12% untuk tempoh tiga bulan yang sama, dan AS menunjukkan penurunan sebanyak 9.5%. Para pelabur mengandaikan keadaan sukar seperti itu akan memaksa para penggubal untuk mengambil langkah stimulus tambahan. Namun, keputusan tegas yang dibuat oleh pihak pengurusan Bank seharusnya dapat mengurangkan kegusaran mereak bukan saja untuk kekal bertahan, malah untuk melonjakkan lagi nilainya berbanding dolar.
    Itulah yang diunjurkan oleh 60% penganalisis buat masa ini, dan ia disokong oleh 90% pengayun serta indikator trend pada D1. Paras rintangan berada pada 1.3185, 1.3200 dan 1.3285. 40% penganalisis pula berpendapat sebaliknya. Paras sokongan berada pada 1.2980, 1.2900, 1.2765 dan 1.2670. Bagi analisis grafik pula, ia menunjukkan pergerakan lateral berterusan pasangan ini pada julat antara 1.2980-1.3185 pada H4, diikuti dengan penurunan ke paras 1.2900;
  • USD / JPY.  50% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik pada H4 percaya bahawa pasangan ini akan mencuba sekali lagi untuk melepasi paras 106.40 pada minggu depan, dan naik 100 mata lagi jika ia berjaya. Rintangan paling hampir berada pada paras 106.65. 20% penganalisis lagi memihak kepada pergerakan mendatar, manakala baki 30% menunggu pasangan ini untuk turun bermula pada paras sokongan 105.30, dan kemudian turun lagi ke paras 104.75. Sasaran terakhir mereka adalah paras terendah yang dicatatkan pada 31 Julai iaitu 104.18.
    Sedikit mengenai indikator. Walaupun bacaan indikator bagi EUR/USD dan GBP/USD pada H4 menunjukkan kacau bilau dan tersusun secara relatif pada D1, bacaan untuk yen Jepun pula adalah sebaliknya. Hampir mustahil untuk mendapatkan isyarat indikator pada D1 ke atas mana-mana penyebut. Namun 65% pengayun serta 80% indikator pada H4 adalah berwarna hijau. Di samping itu, bilangan pengayun yang memberi isyarat lebihan belian dimiliki pasangan ini juga agak besar: 25%. Baki 10% pula menyatakan pendirian neutral, iaitu berwarna kelabu;
  • Matawang Kripto. Penganalisis di Bloomberg mengesahkan ramalan mengenai nilai bitcoin akan mencecah $20,000 menjelang hujung tahun ini. “Selepas nilainya jatuh sebanyak 60% pada tahun 2014, nilainya meningkat berlipat ganda tiga tahun selepas itu. Kadar penurunan pada tahun 2018 adalah kira-kira 75 peratus. Nilai bitcoin hampir mencecah $20,000 sebelum ini, malah berjaya melepasi paras rintangannya, namun mengalami penurunan selepas itu. Secara realitinya, coin ini masih berpeluang untuk berada di paras nilai paling tinggi,” jelas penganalisis Bloomberg.
    Nilai matawang kripto juga mungkin menerima kesan daripada faktor makroekonomi, ini termasuklah polisi kadar faedah rendah oleh Rizab Persekutuan AS. Kebanyakan negara-negara besar sedang cuba untuk keluar daripada krisis yang melanda secepat mungkin, justeru mereka membiarkan saja nilai matawang fiat menyusut. Akibat daripada kadar turun naik seperti itu, bitcoin mampu untuk menyerlah sebagai pilihan utama para pelabur.
    Penganalisis terkenal dan juga seorang pengacara TV Max Kaiser yang menjangkakan lonjakan mendadak BTC/USD ke paras $28,000 juga mengesahkan ramalan beliau. Menurutnya, tiada paras rintangan ketara yang akan ditunjukkan bitcoin sebelum mencapai paras tersebut. Paras tertinggi yang dicatatkan pada Disember 2017 di sekitar $20,000 juga bukan salah satu daripadanya. “Nilainya akan turun sedikit selepas itu, kemudian lonjakan mendadak ke paras $100,000 akan berlaku,” Kaiser meneruskan ramalannya walaupun tiada sebarang garis masa diberikan.
    Walau bagaimanapun, garis masa itu diberikan oleh pengasas bersama Morgan Creek Digital iaitu Anthony Pompliano yang menyatakan nilai matawang kripto pertama tersebut akan mencapai $100,000 pada Disember 2020. Satu lagi penganalisis kripto popular, Plan B, menjangkakan garis masa yang lebih lama. Mengikut perkiraan berdasarkan pada model Stock-to-Flow (S2F), nilai bitcoin hanya akan mencecah paras seperti yang dinyatakan menjelang akhir tahun depan, 2021.
    Penganalisis di platform matawang kripto Zubr dilihat cuba untuk meredakan keadaan dikalangan para peminatnya. Mereka menjalankan kaji selidik mengenai turun naik BTC dan menyimpulkan bahawa, walaupun terdapat peningkatan dalam kadar turun naiknya jika dibandingkan dengan aset tradisional, nilai matawang kripto utama tersebut lebih kepada mengekalkan “keseimbangan pasaran”. Penganalisis di Zubr mendapati selepas berlakunya perubahan mendadak pada nilai bitcoin, dalam kebanyakan kes, ia akan diikuti dengan pergerakan menyongsang yang agak simetri selepas itu. Ini bermaksud tidak lama lagi, selepas nilainya melepasi $12,000, bitcoin mungkin akan kembali ke paras $10,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami