September 19, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Memetik sumber Reuters, buat masa ini kedudukan yang hampir dengan 1.2000 adalah bersesuaian bagi kedua-dua pihak, antara Rizab Persekutuan AS dan juga ECB. Lihat pada carta dan ianya lebih jelas: bukan 1.2000 tetapi 1.1850. Lagipun, pasangan ini telah bergerak di sepanjang garis itu untuk tujuh minggu berturut-turut. Namun pada hakikatnya, perbezaan sebanyak 150 mata tidaklah memberi kesan fundamental yang besar.
    Kelihatan seperti retorik “dovish” yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat Rizab Persekutuan hari Rabu, 16 September lalu telah mengakibatkan matawang Amerika itu mula kurang tarikannya. Selain itu, para penggubal dasar telah mengumumkan kesediaan mereka dalam mengekalkan kadar faedah yang rendah sehingga 2023. Namun tiada sebarang kejutan yang berlaku. Ia berpunca daripada kenyataan kurang “dovish” yang kerap didengari dari pihak ECB.
    Di sebalik itu, dolar cuba untuk memperbaiki kedudukannya akibat daripada kejatuhan pasaran saham, namun cubaan itu juga gagal. Para pelabur percaya dengan prospek yang dimiliki euro dan mula membuka posisi long setelah pasangan ini menghampiri sempadan bawah saluran antara 1.1700-1.2010 yang dilaluinya sepanjang 1.5 bulan. Akhirnya, pasangan ini kembali ke keadaan seimbangnya pada penghujung minggu di kedudukan 1.1845;
  • GBP/USD. Nilai pound terus bertumbuh sepanjang minggu lalu. Semua ini berlaku walaupun masalah yang melanda di pasaran buruh di UK, keadaan COVID-19 yang semakin teruk dan situasi Brexit yang semakin meruncing. Undian awal di Parlimen berkenaan rang undang-undang penuh kontroversi yang menambah kebarangkalian berlakunya Brexit secara paksa masih tidak memberi gambaran jelas bagaimana negara itu akan keluar daripada EU.
    Mengambil kira perkara itu, Bank of England mengambil keputusan untuk tidak mengubah polisi kewangan mereka semasa berlangsungnya mesyuarat pada 17 September lalu, dan membiarkan saja semuanya buat masa ini setelah mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
    Walaupun dalam keadaan begitu, pound berjaya berada lebih tinggi sebanyak 200 mata berbanding dolar dan mencecah paras ikonik iaitu 1.3000 menjelang pertengahan minggu. Ia diikuti dengan perubahan arah ke bawah, dan pasangan ini mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.2921;
  • USD/JPY. Seperti kebanyakan penggubal dasar, Bank of Japan membiarkan saja kadar faedah mereka. Keputusan itu tidak memeranjatkan. Keadaan yang dikaitkan dengan penurunan jawatan Perdana Menteri Shinzo Abe mungkin akan memberi kesan lebih luar biasa. Walaupun pengganti beliau, Yushihide Suga telah berjanji akan meneruskan polisi Abe, perubahan lain mungkin tetap akan berlaku tidak lama selepas itu.. 
    Kebanyakan penganalisis pada minggu lalu mengunjurkan pengukuhan nilai Yen Jepun serta penurunan pasangan ini ke paras 105.10 dan kemudian 100 mata lebih rendah. Ternyata ramalan itu 100% tepat: pasangan tersebut mencecah paras terendah mingguan pada 104.25, dan berakhir dengan menduduki paras di zon 104.55;
  • Matawang Kripto. Minggu lalu, kita telah bincangkan mengenai indikator baru yang telah dibangunkan oleh sumber analisis CryptoQuant bagi menilai sentimen para pelabur BTC. Menurut indikator tersebut, bitcoin akan “mengalami permintaan yang tinggi daripada pembeli” jika parasnya berada pada $10,000. Majoriti penganalisis (60%) bersetuju dengan kemungkinan berlakunya lantunan pasangan BTC/USD dari paras sokongan tersebut dan bertumbuh ke zon di antara $10,700-11,200, ternyata jangkaan mereka tepat: setelah mencapai paras terendah mingguan pada $10,200, pasangan ini bergerak dan mencecah paras rintangan jangka sederhana yang kukuh pada $11,100 menjelang pertengahan minggu, paras yang sering dilaluinya sejak lapan minggu lalu.
    Menurut agensi berita The Block, transaksi bitcoin yang dijalankan pada bulan Ogos meningkat lebih daripada 75%. Perkara ini mungkin menunjukkan para penghasil bersaiz kecil yang berhenti akibat penghasilan yang dikurangkan pada Mei lalu sudah kembali. Kini mereka berpeluang untuk mula memperoleh keuntungan akibat daripada pertambahan nilai coin utama tersebut. Ia adalah satu faktor memberangsangkan bagi matawang kripto utama. Tambahan pula, bukan saja bilangan transaksi naik dengan mendadak, malah jumlahnya juga bertambah dan dianggarkan lebih daripada $191 bilion. Pada bulan Julai, jumlahnya adalah kira-kira $85 bilion untuk tempoh yang sama.
    Selain itu, menurut analisis yang dibuat Glassnode, hampir 10% daripada untung yang diterima penghasil digunakan untuk meletakkan coin BTC ke dalam bursa berpusat, disebabkan itu matawang kripto ini berhadapan tekanan hebat daripada pelabur yang cuba untuk menaikkan nilainya di atas $11,100.
    Bacaan Indeks Fear & Greed Bitcoin naik sedikit dan berada hampir di tengah-tengah skala iaitu pada kedudukan 49 (41 seminggu lalu). Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto juga meningkat dalam masa tujuh hari, naik daripada $334 bilion kepada $355 bilion.
    Satu lagi pemerhatian The Block yang menarik perhatian adalah mengenai Ethereum. Jika dibandingkan dengan bulan Julai, perolehan yang diterima daripada bitcoin meningkat sebanyak 23% pada bulan Ogos, namun perolehan para penghasil ethereum adalah hampir dua kali ganda - sebanyak 98%. Menurut sesetengah penganalisis, semua ini mungkin berpunca daripada pertambahan minat pelabur-pelabur besar terhadap altcoin tersebut.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Bagi analisis teknikal, setelah sebulan setengah pasangan ini bergerak pada koridor antara 1.1700-1.2010 dan berakhir di tengah-tengahnya pada kedudukan 1.1845, jelas sekali bahawa tiada satu pun indikator trend atau pengayun yang mampu memberi sebarang isyarat yang mudah untuk difahami. Analisis grafik pada D1 juga menunjukkan pergerakan trend secara mendatar yang berterusan. Walau bagaimanapun, melihat pada kedudukan terakhir minggu lalu yang hampir dengan paras rintangan 1.1900 serta lebihan belian yang ditunjukkan oleh 15% pengayun, bolehlah kita jangkakan pembetulan ke arah bawah mungkin akan berlaku. Kebanyakan penganalisis (75%) bersetuju dengannya. Namun, hanya polisi ekonomi berskala global saja yang mampu memberi pecutan kepada pasangan EUR/USD untuk melepasi sempadan saluran itu sama ada ke atas atau pun ke bawah.
    Terdapat beberapa hujah berkenaan dengan pengukuhan nilai euro. Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa indikator unggul Bloomberg menunjukkan pertumbuhan EUR/USD ke paras lebih tinggi. Puncanya adalah ekonomi di benua Eropah pulih dengan kadar yang lebih cepat berbanding ekonomi di Amerika Syarikat. Kepelbagaian rizab tukaran asing serta emas yang dimiliki bank pusat negara-negara utama dunia juga mula berpihak kepada matawang Eropah. Kemudian terdapat pula negara China yang menjadi rakan eksport utama di Eurozone, walaupun wabak COVID-19 sedang melanda, negara itu menunjukkan pertumbuhan KDNK bagi suku kedua.
    Akhir sekali, jangan dilupakan keinginan Rizab Persekutuan untuk menyusutkan nilai dolar, dan keengganan Christine Lagarde sebagai ketua ECB untuk memulakan perang dagangan dengan rakan sejawatnya dari luar negara disebabkan oleh perkara ini.
    Kita akan dengarkan ucapan Ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell hampir setiap hari pada minggu depan. Ia bermula pada hari Isnin, 21 September, diikuti dengan ucapan beliau yang disertai oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Stephen Mnuchin pada 24 September. Adakah mereka akan membincangkan perkara baru atau hanya mengulangi kenyataan yang dibuat Powell pada 16 September lalu? Mereka mungkin akan bercakap benda yang sama. Namun ucapan-ucapan yang dibuat pasti mampu untuk menambah kadar turun naiknya;
  • GBP/USD. Situasi terhadap bacaan indikator pasangan ini hampir serupa dengan perselisihan yang berlaku di Parlimen British semasa undian Brexit dijalankan. Hanya pengayun pada D1 yang sedikit sebanyak memberi isyarat jelas - 75% daripada mereka adalah berwarna merah. Namun baki lagi 25% sudahpun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Dikalangan penganalisis juga tiada kata sepakat yang dapat dicapai, pendapat mereka terbahagi sama rata: satu pertiga - memilih pertumbuhan, satu pertiga - memilih penurunan, dan baki satu pertiga memilih pergerakan mendatar.
    Analisis grafik juga tidak memberi sebarang petunjuk jelas. Tidak seperti kebanyakan pengayun pada D1, ia menunjukkan pasangan ini pada mulanya naik ke paras 1.3000, dan jika ia berjaya melepasinya, sasaran berikutnya adalah pada 1.3185. Sasaran terpenting bagi bull adalah untuk berada semula pada kedudukan 1.3480 yang dicapainya pada 1 September. Paras sokongan berada pada 1.2760, 1.2650, 1.2500.
    Beralih daripada analisis teknikal kepada analisis fundamental, anda perlu mengingati semula apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Bank of England lepas. Walaupun tiada sebarang keputusan dibuat, pihak pengurusan penggubal dasar tidak berselindung dalam membincangkan kemungkinan untuk memperkenalkan kadar negatif seawal bulan November. Jika cadangan itu diteruskan, ia mampu memberi tamparan hebat kepada pound. Dalam pada itu, para pelabur berharap ucapan oleh Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Selasa, 22 September nanti dapat menjelaskan lebih lanjut mengenai isu ini;
  • USD/JPY. Walaupun Bank of Japan telah memperbaiki penilaian keadaan ekonomi negara itu, pihak kerajaan tidak berniat untuk mengubah jumlah program rangsangan mereka. Justeru, dalam hal ini, para pelabur lebih berpandukan kepada kenyataan “dovish” yang dikeluarkan oleh pihak Rizab. Tidak ragu lagi, kejatuhan pasaran saham di AS juga memainkan peranan. Seperti yang berlaku pada minggu lalu, kebanyakan penganalisis (60%) akhirnya memihak kepada bear yang mengunjurkan trend penurunan pasangan ini akan berterusan serta nilai matawang Jepun yang akan terus mengukuh. Dalam masa yang sama, mereka tidak mengecualikan kedudukannya untuk mencecah paras terendah pada 9 Mac iaitu 101.17, dan kemudian ke paras 100.00 iaitu paras utama psikologi dalam beberapa minggu lagi. Sokongan paling hampir berada pada zon 104.20.
    Baki 40% lagi penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1 menjangkakan pasangan ini tidak akan berjaya melepasi paras 104.20 dan berubah arah pergerakan ke atas untuk kembali ke zon di antara 105.80-106.30. 15% pengayun pada H4 dan D1 yang telah memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan jualan turut bersetuju dengan senario tersebut. Perlu diingat jika beralih ke ramalan jangka sederhana, bilangan mereka yang menyokong pertumbuhan pasangan ini bertambah kepada 70%;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 21 - 25 September, 20201

  • Matawang Kripto. Menurut Dan Tapiero, pengasas bersama syarikat pelaburan DTAP Capital, pasaran telah menyediakan suasana untuk menampung pengukuhan jangka panjang nilai bitcoin. Terdapat beberapa faktor makroekonomi yang mungkin akan memacu permintaan matawang kripto. Ia berpunca daripada tindakan pihak Rizab Persekutuan AS yang melambakkan wang ke dalam ekonomi dan mengakibatkan nilainya susut selepas itu.
    “Kita berada di ambang kemelut ekonomi; situasi yang hampir sama berlaku semasa krisis ekonomi pada hujung 1980an. Aset milik Amerika akan jatuh nilainya hampir separuh, hal ini akan mengakibatkan peralihan modal secara besar-besaran daripada sekuriti kerajaan kepada emas dan bitcoin”, jelas Tapiero, dan memberi penekanan bahawa kini kita sedang menantikan pertumbuhan nilai matawang kripto terbesar secara mendadak yang mungkin akan berlaku setelah nilai BTC mengalami penyatuan sepanjang dua setengah tahun lalu. Para pelabur hanya perlu bersabar.
    Penulis dan pelabur terkenal iaitu Robert Kiyosaki yang turut menganggap bitcoin sebagai salah satu jenis pelaburan jangka panjang terbaik juga bersetuju dengan Tapiero. Benar, beliau juga ada mengatakan penghasilan vaksin bagi coronavirus mungkin akan mengakibatkan pernurunan nilai bitcoin dan emas, beliau menganggap kedua-duanya sebagai aset selamat. Namun inilah masanya para pelabur merebut peluang keemasan untuk memiliki aset-aset tersebut.
    Pandangan berbeza disuarakan oleh penganalisis daripada Weiss Crypto Ratings yang percaya perubahan trend Bitcoin ke bawah pada awal bulan September tidak cukup kuat untuk memacu nilai coin itu untuk berada di bawah paras $10,000 dalam masa terdekat ini. (Bagi Ethereum, Weiss Crypto Ratings menganggap paras $350 sebagai sokongan yang kukuh).
    Hasil menarik turut ditunjukkan oleh dagangan terkini yang dibuat pada bursa derivatif kripto iaitu Deribit. Pelabur mereka bertaruh secara aktif ke atas opsyen bitcoin dengan anggapan nilainya akan meningkat kepada $32-36 ribu menjelang hujung tahun ini. Menurut syarikat tersebut, kontrak bagi bulan Disember dengan nilai penyelesaian sebanyak $36,000 adalah yang paling banyak dicari, 752 jumlah kesemuanya. Ia diikuti oleh 462 kontrak dengan harga laksana sebanyak $32,000. Kontrak Disember dengan harga $28,000 pula kurang mendapat sambutan.
    Hasil dagangan seperti itu sukar untuk dijelaskan, memandangkan jangkaan umum para peserta pasaran terhadap peluang bagi nilai Bitcoin untuk melonjak sekurang-kurangnya ke paras $20,000 menjelang akhir Disember nanti adalah tipis. Kebarangkalian nilainya akan mencecah $20,000 adalah 5%, melepasi $28,000 hanyalah 2%. Kebanyakan penganalisis (65%) percaya bahawa pasangan BTC/USD akan berada pada kedudukan antara $9,000-10,000 apabila bermulanya tahun 2021, manakala 10% lagi percaya ia akan terus bergerak di sepanjang garis $11,000, dan hanya 25% menjangkakan parasnya melebihi $12,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami