Oktober 17, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Kini pasaran dikuasai oleh dua faktor utama: gelombang kedua wabak COVID-19 serta pilihan raya presiden di Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 3 November nanti.
    Pertambahan hampir 900,000 permohonan bagi faedah pengangguran menunjukkan bahawa pasaran buruh serta ekonomi di A.S. memerlukan pakej rangsangan. Walaupun perjanjian terhadap pelan tindakan itu tidak akan dimeterai antara parti Demokrat serta Republikan sebelum pilihan raya dijalankan seperti yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Perbendaharaan AS Stephen Mnuchin, statistik dengan nilai negatif telah merosakkan selera risiko pasaran dan menolak indeks saham seperti S&P500 ke bawah. Perkara ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada matawang AS: pada hari Khamis, nilai dolar bertambah sebanyak 135 mata, manakala kedudukan pasangan EUR/USD turun ke paras terendah mingguan pada 1.1685. Ia diikuti dengan perubahan arah ke bawah, dan pasangan EUR/USD mengakhiri lima hari dagangan dengan berada pada paras 1.1715;
    Berkemungkinan Amerika akan terus mengukuhkan kedudukannya, namun ditentang hebat oleh Kesatuan Eropah yang dibantu secara aktif berdasarkan pada keadaan ekonomi di China dan juga ECB yang semakin pulih, dan ini bermaksud tiada lagi penambahan kepada jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka.
    Bilangan kes baru COVID-19 semakin meningkat di Eropah, langkah kuarantin baru yang ketat dan menghalang aktiviti ekonomi daripada dijalankan mungkin akan diperkenalkan. Namun, Bank Pusat Kesatuan Eropah (ECB) tidak mahu mengembangkan serta menambah jumlah program rangsangan kewangan mereka setelah menerima pakai program sokongan ekonomi Eropah berjumlah €1.8 trilion pada akhir Julai lalu. Buat masa ini, kurang daripada separuh jumlah tersebut telah dibelanjakan ke dalam rangka program QE yang sudah pun beroperasi, justeru tidak masuk akal langsung untuk membincangkan tentang kaedah insentif yang baru, menurut penjelasan Naib Presiden ECB iaitu Luis de Guindos;
  • GBP/USD. Trend ke atas untuk 12 hari pertama dalam bulan Oktober kini sudah berakhir, dan pasangan ini beralih ke pergerakan mendatar pada julat antara 1.2860-1.3080. Selain itu, hari-hari terakhir pada minggu lalu telah dikuasai oleh bear yang berjaya mendapatkan kedudukan terakhir pada paras 1.2915. Pertumbuhan nilai pound telah dihalang oleh sekatan tambahan yang baru diperkenalkan akibat coronavirus di London, juga disebabkan oleh kenyataan daripada kepimpinan EU yang langsung tidak akan bertolak ansur dengan UK walaupun mereka mahukan kerjasama yang adil dan saksama;
  • USD/JPY. Pasangan ini mengakhiri sesi mingguan pada paras 105.40, berada di zon sokongan jangka sederhana yang kukuh, dan menghalang penurunan pasangan ini daripada terus berlaku sejak 12 minggu yang lalu. Kini persoalan yang masih timbul ialah, apakah aset selamat bagi para pelabur, dolar atau yen? Kedua-dua matawang ini akan terus bersaing;
  • Matawang Kripto. Sering kali kami mulakan ulasan mengenai matawang kripto dengan berita berkenaan jenayah. Tiada sebarang berita menarik mengenainya yang berlaku pada minggu lalu. Namun terdapat maklumat berkenaan cubaan mengugut dan juga memeras matawang kripto yang dilaporkan pada pihak polis sekarang dan sebelum ini.
    Apa yang berlaku adalah, terdapat beberapa siri panggilan dengan niat jahat sekurang-kurangnya di 18 wilayah di Jepun. Sindiket penipuan ini menuntut tebusan dalam bentuk matawang kripto. “Bitcoin adalah yang paling popular dikalangan penjenayah,” Japan Today melaporkan. “Namun tiada satu kes daripadanya pun yang mempunyai maklumat tentang bahan letupan.” Justeru, penjenayah tidak menerima sebarang wang tebusan, tetapi mereka juga gagal ditangkap, berbeza dengan seorang pengembala biri-biri dari Lincolnshire (England) yang telah dijatuhi hukuman 14 tahun penjara atas kesalahan pemerasan bitcoin dengan nilai sebanyak £1.4 juta daripada rangkaian pasaraya Tesco.
    Menurut laporan Daily Mail, Nigel Wright, lelaki berusia 45 tahun itu telah meletakkan tin makanan bayi berjenama Heinz dan juga Cow & Gate yang diisi dengan serpihan besi termasuklah pisau serta benda tajam ke dalam bekalan pasaraya tersebut selama dua tahun. Beliau kemudian menuntut wang tebusan sebagai pertukaran kepada maklumat lokasi tempat tin-tin berbahaya itu disimpan. Pengembala biri-biri tersebut kemudian ditangkap setelah seorang detektif yang menyamar sebagai pekerja Tesco telah membuat pemindahan matawang kripto berjumlah £100,000 kepadanya.
    Akibat daripada tindakan Wright itu, Tesco telah memanggil semula makanan bayi dalam tin berjumlah 140 ribu daripada cawangan pasaraya mereka, dan 42 ribu daripadanya telah dimusnahkan. Rangkaian pasaraya itu telah menanggung kos kerugian sebanyak £2.7 juta.
    Jika Tesco mengalami kerugian, pemilik bitcoin terus memperoleh keuntungan: nilai matawang kripto itu telah bertambah kira-kira 3% sepanjang 7 hari lalu. Seperti yang diramal, pasangan BTC/USD gagal melepasi paras rintangan pada $11,500 walaupun telah membuat beberapa percubaan, dan menjadikan paras di sekitar $11,300-11,400 sebagai zon penyatuan yang baru.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto buat masa ini juga sedikit bertambah dengan nilai $357 bilion. Untuk Indeks Fear & Greed Kripto pula, ia masih berada di tengah-tengah skala pada zon kuning neutral - pada bacaan ialah 52 (bacaan pada minggu lalu ialah 48).
    Nilai bitcoin telah melonjak sebanyak 8.5% sepanjang 6 minggu yang lalu. Namun keputusan yang dicapai oleh altcoin terkenal seperti litecoin (LTC/USD), ripple (XRP/USD) serta ethereum (ETH/USD) adalah hampir kepada sifar. Keuntungan bagi penghasilan ethereum telah berkembang kira-kira 40 peratus sejak bulan lalu. Menurut platform analisis Glassnode, sumber utama perolehan yang baru ini adalah hasil daripada pertambahan jumlah komisen. Pendapatan para penghasil juga mencerminkan kadar kepopularan pasaran DeFi, bilangan operasi yang dijalankan oleh blockchain Ethereum tersebut kini naik dengan mendadak.
    Protokol yang dimiliki serta kebolehannya untuk menghasilkan kontrak pintar yang kemudiannya mewujudkan instrumen kewangan disentralisasi dalam rangka kerja projek DeFi serta DAO membolehkan anda untuk meminjam atau memberi pinjaman ke atas matawang kripto, dan juga memperoleh pendapatan daripada pengekalannya (staking). Hasilnya, bilangan walet yang aktif secara harian dalam rangkaian Ethereum bertambah empat kali ganda - daripada 12.8 ribu pada suku kedua kepada 50.2 ribu pada suku ketiga 2020. Blockchain Ethereum menyumbang 96% daripada keseluruhan transaksi yang berkaitan dengan aplikasi desentralisasi (dapps), berjumlah hampir $120 bilion.
    Persaingan daripada aktiviti seperti itu tidak begitu menggembirakan pemilik matawang kripto utama - bitcoin. Hasil daripada kerjasama antara rangkaian Kyber, ekosistem Ren serta BitGo, satu projek yang hampir sama telah dilaksanakan - DAO WBTC. Keputusan untuk suku keempat akan menunjukkan betapa popular dan efektifnya projek tersebut.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Apabila melihat pada carta pasangan ini, pedagang berpengalaman mendapati dengan jelas bahawa pengayun pada H4 mahupun D1 tidak boleh memberi sebarang unjuran yang tepat. Dikalangan indikator trend, sesetengah daripadanya menunjukkan warna merah memiliki kelebihan - 70% pada kedua-dua tempoh masa. Namun, walaupun mendapat sokongan analisis grafik pada D1, analisis teknikal tidak dapat memberi jaminan bahawa trend ke bawah akan terus berlaku. Seperti biasa, kata kuncinya ialah analisis fundamental. Ataupun, faktor-faktor lain yang telah disebut pada permulaan ulasan ini.
    Sudah pasti kita akan mengetahui sesuatu yang baru pada minggu hadapan. Tindakan ketua penggubal dasar ini dilihat mahu menggunakan kata-kata saja dalam menyasarkan matlamat mereka. Ucapan oleh ketua ECB Christine Lagarde dijadual akan diadakan pada 18, 19 dan 21 Oktober, manakala ucapan oleh ketua Rizab Persekutuan AS Jerome Powell pula akan diadakan pada hari Isnin, 19 Oktober. Namun bukan itu saja - satu majlis debat antara calon presiden AS iaitu Donald Trump dan Joe Biden akan berlangsung pada hari Jumaat, 23 Oktober. Hanya tinggal 10 hari saja lagi sebelum hari mengundi diadakan, jadi pertarungan antara kedua-dua ahli politik ini pastinya akan menarik perhatian semua orang.
    Kedua-dua ucapan oleh Lagarde dan juga Powell serta debat para calon White House mungkin mampu memberi impak besar terhadap sentimen para pelabur. Jika indeks saham terus mengalami penurunan, ia akan mengakibatkan nilai dolar terus mengukuh dan pasangan EUR/USD pula akan terus bergerak ke bawah. 60% penganalisis bersetuju dengan unjuran itu, menamakan paras terendah bulan September di sekitar 1.1610 sebagai sasaran mereka. Baki 40% lagi percaya bahawa setelah pasangan ini mengalami perubahan arah pergerakan pada paras 1.1715, ia akan terus bergerak ke atas. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.1755 dan 1.1825. Halangan berikutnya berada di zon 1.1900;
  • GBP/USD. Bukan saja ketua ECB dan juga ketua Rizab Persekutuan yang bakal membuat banyak kenyataan tidak lama lagi, malah Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey juga akan berbuat demikian. Beliau dijadualkan untuk membuat kenyataan pada 18 dan juga 22 Oktober nanti. Walau bagaimanapun, kenyataan beliau tidak akan menjadi berita utama. Matawang pound masih berpotensi untuk mengalami pertumbuhan, namun kejayaan sebenar perlu dicapai dalam rundingan antara UK dan juga Kesatuan Eropah berkenaan syarat-syarat Brexit. Namun mereka nampaknya akan menunda daripada membuat keputusan selama dua minggu, atau mungkin lebih lama. Hakikat bahawa Perdana Menteri United Kingdom Boris Johnson yang tidak akan berganjak daripada proses rundingan adalah satu petanda baik dan perkara itu memberi kita harapan bahawa perjanjian bersama EU masih lagi boleh dicapai. Namun bukan dalam masa terdekat ini. Justeru, 70% penganalisis yang disokong oleh analisis grafik pada H4 dan juga D1 serta 80% daripada pengayun dan 90% indikator trend pada H4 percaya bahawa pasangan GBP/USD mungkin akan turun kedudukannya ke zon 1.2700 pada minggu depan. Sokongan berada pada paras 1.2845 dan 1.2770.
    Baki 30% lagi penganalisis berharap pasangan ini akan kekal di saluran dengan julat antara 1.2845-1.3035 dan kembali ke sempadan atas tidak lama lagi. Rintangan seterusnya berada pada paras 1.3080;
  • USD/JPY. Buat masa ini, matawang Jepun mendapat sokongan daripada penurunan sentimen risiko serta pertambahan perolehan ke atas bon terlindung. Walau bagaimanapun, kedudukan yen kini hampir dengan paras sokongan utama yang berada pada 105.00, dan adalah tugas yang sukar untuk melepasinya. Lihatlah saja pada carta 12 minggu yang lalu. Pertempuran di paras ini pada tahun 2018-19 telah meninggalkan pelbagai kesan hitam dan memori pahit kepada bear.
    Majoriti penganalisis (70%) yang mendapat sokongan 75% pengayun serta 90% indikator trend pada D1 percaya bahawa pasangan ini masih mampu untuk melepasi halangan itu dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, dan kemudian menghampiri paras terendah pada 21 September lalu iaitu 104.00 sekurang-kurangnya sekali. Sokongan berada pada paras 105.00 dan 104.45.
    Baki 30% lagi penganalisis serta analisis grafik meramalkan pertumbuhan nilai dolar, dan pasangan USD/JPY diunjur untuk melepasi paras 105.00 sebelum naik ke paras rintangan 106.00 pada mulanya, kemudian ke paras 106.40, dan akhir sekali berada pada kedudukan 107.20;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 19 - 23 Oktober, 20201

  • Matawang Kripto. Kami telah nyatakan sebelum ini berkenaan perkembangan terbaru pasaran DeFi yang menyebabkan populariti ethereum bertambah. Walau bagaimanapun, situasi ini mungkin berubah dengan mendadak jika Joe Biden memenangi pilihan raya presiden. Kemenangan beliau itu akan menyebabkan gelombang baru kawalan dan juga pemeriksaan yang diperketatkan ke atas pasaran kewangan, dan kemudian mengakibatkan sebahagian daripada projek DeFi dibatalkan.
    Namun, mengikut penganalisis Bloomberg, Bitcoin hanya akan berjaya jika Joe Biden memperoleh kemenangan. Di bawah pentadbiran Donald Trump, penekanan yang dibuat adalah untuk mengukuhkan nilai dolar dan juga semua industri yang berkaitan. Para penganalisis berasa amat yakin bahawa pentadbiran Amerika yang baru akan berfikiran lebih progresif berkenaan hal kewangan, dan daripada itu penerimaan bitcoin oleh penggubal dasar akan naik dengan mendadak.
    Buat masa sekarang, tugas utama coin ini adalah untuk melepasi paras rintangan pada $12,000 dan berada di atas paras tersebut. Pada paras itu jugalah bear mula mengambil alih dan trend pengunduran ke bawah berlaku pada tahun 2019 serta bulan Ogos 2020 yang lalu. Jika bull berjaya bertahan daripada sang penjual, pasangan BTC/USD berpeluang untuk mencecah paras tertinggi pada musim panas lalu iaitu di sekitar $13,000-13,750.
    Mengikut perkiraan yang dibuat berdasarkan teori ramalan Metclough oleh Timothy Peterson, seorang pengurus syarikat pelaburan Cane Island Alternative, terdapat 90% kemungkinan nilai bitcoin tidak akan turun di bawah paras $11,000. Selain itu, nilainya juga harus melepasi paras $12,000 menjelang 30 November, 2020 dengan kadar kemungkinan yang sama.
    Dalam pasaran kripto, hukum Metclough menyatakan nilai bitcoin bergantung sepenuhnya terhadap bilangan para pengguna. Menurut Peterson, beliau berjaya membuat ramalan harga BTC pada penghujung 2018 dan 2019 dengan menggunakan pendekatan ini.
    Seorang lagi penganalisis, Ki Yong Joo, Ketua Eksekutif di firma analisis CryptoQuant juga percaya bahawa coin ini akan terus mengalami pertumbuhan dengan memetik kurangnya bitcoin yang masuk ke dalam bursa sebagai hujah beliau. Bagi menilai jumlah pindahan masuk BTC ke dalam bursa, CryptoQuant telah menghasilkan indikator mereka sendiri iaitu All Exchange Inflow Mean, dan kini bacaannya berada pada zon “selamat”: pelabur besar tidak terburu-buru untuk mengurangkan rizab mereka. Menurut ramalan Ki Yong Joo, peningkatan nilai bitcoin di atas paras $11,500 tidak akan menjurus kepada jualan secara besar-besaran.
    Menurut chain.info, hampir 2 juta coin BTC kini dimiliki oleh lima bursa matawang kripto terbesar, dan jumlah itu adalah kira-kira 11% daripada keseluruhan coin yang dihasilkan. Kesemua bursa ini bukan saja boleh menerima serangan godaman, malah diserang oleh para penggubal serta agensi penguatkuasa undang-undang dan mengakibatkan kerugian atau halangan untuk menjalankan transaksi sejumlah besar matawang kripto utama itu. Sesetengah penganalisis percaya bahawa hal ini akan menyebabkan bekalan bitcoin berkurangan di pasaran dan nilainya akan melonjak selepas itu. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang percaya pasangan BTC/USD mampu untuk mencapai paras tertingginya iaitu $20,000 menjelang akhir tahun ini. Malah kebarangkalian untuk ia berada di atas paras $13,000 hanyalah sebanyak 25%. Jumlah kebarangkalian yang sama juga menjangkakan nilainya akan turun ke paras $9,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami