Oktober 24, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR / USD. 40% penganalisis mengunjurkan pertumbuhan pasangan ini ke zon 1.1900 dan ternyata telaan itu benar: paras tertinggi mingguan dicatatkan pada 1.1880, dan kedudukan terakhir selepas lima hari adalah pada paras 1.1860.
    Statistik makro yang kukuh dari Amerika Syarikat, serta peningkatan jumlah kes COVID-19 yang direkodkan di Eropah telah mengubah arah pergerakan trend ke bawah pada 21 Oktober. Namun, sebahagian negara-negara di Eropah bersama-sama dengan Jerman menunjukkan peningkatan dalam aktiviti perniagaan. Hal ini akan mengurangkan lagi peluang program pelonggaran kuantitatif (QE) untuk dimulakan dan nilai bon yang terus meningkat telah membolehkan pasangan ini kembali ke paras tertinggi mingguannya;
  • GBP/USD. Harapan satu pertiga penganalisis yang berpendapat trend ke atas pasangan ini akan berakhir dan beralih ke pergerakan mendatar tidak kesampaian: ia bergerak ke atas sekali lagi, mengubah sempadan atas saluran sisi antara 1.2845-1.3035 daripada rintangan menjadi sokongan.
    Rundingan antara UK dan EU diteruskan, memecahkan kebuntuan yang dialami sejak hujung minggu lalu. Namun… tiada kata putus diperolehi. Akibatnya, kedudukan pasangan ini melonjak, tetapi berubah arah pergerakan setelah berjaya mencecah ketinggian 1.3175. Punca penurunan itu adalah kejatuhan indeks Markit PMI dalam sektor perkhidmatan di UK, turun darip 56.1 kepada 52.3.
    Paras terakhir mingguan berada pada 1.3045. Itu bermakna pound berjaya memperoleh 130 mata dalam tempoh 5 hari, dan para pelabur masih berharap UK dan EU akan mencapai kata sepakat untuk Brexit. Walaupun begitu, sudah pasti ia bukan disebabkan oleh pengukuhan nilai pound, tetapi penyusutan nilai dolar;
  • USD/JPY. Jika diingat, 30% penganalisis bersama-sama analisis grafik menjangkakan perubahan arah pergerakan pasangan ini dari ufuk 105.00 dan naik ke paras rintangan 106.00. Ternyata telaan mereka tepat: pasangan ini mencapai ketinggian 105.75 pada hari Selasa 20 Oktober.
    Baki 70% penganalisis yang disokong 75% pengayun dan juga 90% indikator trend pada D1 mendakwa pasangan USD/JPY mampu untuk turun hampir ke paras terendah pada 21 September lalu iaitu 104.00 buat seketika. Jangkaan mereka itu juga ada benarnya: - pada hari Rabu, 21 Oktober, pasangan ini merekodkan 104.33 sebagai paras terendah mingguannya, dan diikuti dengan lantunan sebelum mengakhiri pergerakan di kedudukan 104.70.
    Menurut para penganalisis, perubahan arah secara mendadak serta penurunan dari paras 105.75 kepada 104.33 adalah reaksi umum terhadap penyusutan nilai dolar, dan paling utama, susut nilainya dengan yuan China. Order Stop-Loss yang tercetus secara besar-besaran apabila paras sokongan di zon 105.00 berjaya dilepasi selepas itu memberi kesan yang lebih teruk;
  • Matawang Kripto. Akhirnya! Nilai Bitcoin berjaya melepasi $12,000, malah ia mencecah ketinggian $13,200. Seperti yang diramal CEO firma analisis CryptoQuant, Ki Yong Joo, pertambahan nilai ini tidak menjurus kepada jualan coin secara besar-besaran. Hal ini memberi harapan bahawa matawang kripto utama itu mampu untuk berada di zon tersebut.
    Nilai bitcoin telah bertambah kira-kira 80% sejak awal tahun 2020. Menurut perkhidmatan analitik Glassnode, bilangan alamat walet yang menyimpan 100 BTC atau lebih daripada itu telah meningkat kepada 16,159 iaitu nilai maksimumnya dalam tempoh enam bulan. Bilangan alamat walet dengan jumlah baki yang bukan sifar kini menghampiri 32 juta.
    Menurut satu lagi agensi analisis, The Block, selain daripada pertambahan bilangan walet, bilangan transaksi dan jumlah komisen yang diterima dalam blockchain BTC juga meningkat. Sepanjang tiga bulan yang lalu, transaksi berjumlah $225 bilion telah dibuat dalam rangkaian tersebut. Ini bermakna, para pengguna telah membuat transaksi berjumlah $2.4 bilion sehari secara purata. Empat bulan lalu, purata transaksi adalah kira-kira $25,000, namun jumlahnya meningkat 6 kali ganda menjelang 20 Oktober, mencecah $150,000.
    Sepanjang minggu lalu, hasil perolehan bitcoin telah didorong oleh pelbagai berita positif. Pelabur berinstitusi besar seperti Square, MicroStrategy, Stoneridge  dan Mode Global Holdings mula beralih kepada Bitcoin. Manakala desas-desus berkenaan gergasi pembayaran PayPal yang ingin menggabungkan ciri belian dan jualan matawang kripto, termasuklah Bitcoin, Ethereum, Litecoin dan Bitcoin Cash sebagai salah satu daripada perkhidmatan mereka adalah seperti “bulan jatuh ke riba".
    Hasilnya, penanda aras coin telah melonjak sebanyak 13.5% dalam tempoh tujuh hari, menarik bersama keseluruhan pasaran kripto ke atas, dengan jumlah keseluruhan modal pasaran, meningkat daripada $357 bilion kepada $390 bilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto juga naik dari zon kuning neutral ke sempadan zon terakhir dalam skala untuk mencapai bacaan 74. Jika diingat para pembangun menghasilkan julat indeks antara 75 hingga 100 sebagai “Extreme Greed”, dan ia sepadan dengan keadaan pasangan BTC/USD sekarang yang memiliki lebihan belian mendadak dan memberi bayangan akan berlakunya pembetulan.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Jika anda mendalami buku-buku analisis fundamental, statistik makroekonomi menjadi asas dan fundamental yang agak penting. Namun, tiada wabak coronavirus yang sedang melanda semasa buku-buku tersebut ditulis. Kita sedang mengalaminya sekarang. Wabak tersebut mampu untuk memadam sebarang ramalan yang dibuat.
    Dari suatu segi, jumlah jangkitan di Eropah terus meningkat, Jerman dan Perancis telah merekodkan bilangan jangkitan tertinggi yang baru pada hari Khamis, 22 Oktober. Sepanyol pula menjadi negara Eropah pertama dengan penduduk yang dijangkiti adalah melebihi 1 juta orang, memberi tekanan yang lebih besar kepada euro. Namun COVID-19 bukan saja menjejaskan bekalan, malah juga pada permintaan.
    Situasi yang sama berlaku di AS. Bilangan pesakit coronavirus kini menghampiri rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini. Namun dalam masa yang sama, pihak berkuasa di negara itu enggan mengenakan sekatan kuarantin yang baru dalam usaha menyokong aktiviti ekonomi di negara itu. Semuanya bergantung kepada keputusan pilihan raya presiden AS yang akan diadakan pada 3 November nanti, ini termasuklah mood di pasaran.
    Menurut Deutsche Bank, Morgan Stanley dan juga JP Morgan, kejayaan calon Demokrat Joe Biden mungkin akan mengurangkan kebarangkalian kemunculan gelombang baru pihak yang melindungi polisi kewangan AS dan membolehkan pasangan ini untuk mencapai kedudukan 1.2000. Jika Donald Trump menang sekali lagi, beliau dijangka akan memulakan perang dagangan yang baru, dan nilai dolar mungkin akan mengalami pertumbuhan selepas itu, manakala pasangan EUR/USD akan mengalami penurunan ke paras terendah bulan September di zon 1.1600.
    Dalam masa yang sama, walaupun Biden mendapat rating yang lebih tinggi, para pelabur tidak terburu-buru untuk menyingkirkan dolar kerana tiada siapa yang dapat lupakan, entah bagaimana tanpa disangka-sangka Donald Trump menjadi orang yang mendiami White House pada tahun 2016. Perkara itu mungkin akan berulang lagi.
    Kucar-kacir mengenai keputusan pilihan raya akan berterusan walaupun selepas 3 November, kerana mereka akan mencabar keputusan itu, terutama sekali bagi undian pos, dan suruhanjaya pilihan raya hanya akan bermesyuarat pada 14 Disember.
    Tibalah masanya untuk ramalan minggu hadapan. Ketidaktentuan yang telah disenaraikan di atas telah menghalang para penganalisis untuk menunjukkan arah pergerakan yang tepat. Walau bagaimanapun, 75% daripada mereka tidak menyangkal pertumbuhan pasangan EUR/USD sekurang-kurangnya ke paras 1.1900. Selain itu, 100% indikator dan juga 85% pengayun pada H4 dan D1 adalah berwarna hijau.
    Baki 15% pengayun telah memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. Penurunan yang mungkin akan berlaku juga disokong oleh 25% penganalisis, serta analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa. Paras sokongan berada pada paras 1.1800, 1.1760 dan 1.1700. Seperti yang telah dinyatakan, sasaran sebenar mereka adalah 1.1600.
    Antara perkara yang telah direncana pada minggu hadapan, tumpuan harus diberikan pada mesyuarat Bank Pusat Kesatuan Eropah (ECB) yang dijadualkan pada hari Khamis, 29 Oktober, dan penting untuk anda mengetahui isi kandungan sidang akhbar oleh pihak pengurusan mereka yang akan berlangsung pada petang hari yang sama. Data KDNK di AS dan juga Eurozone yang masing-masing akan dikeluarkan pada 29 dan 30 Oktober juga boleh mempengaruhi pembentukan trend mingguan;
  • GBP/USD. Kebanyakan majoriti (90%) penganalisis yang turut disokong oleh analisis grafik serta indikator trend pada D1 percaya bahawa pasangan ini akan mengubah corak eselon mereka ke paras yang lebih tinggi - daripada 1.2845-1.3035 kepada 1.3000-1.3175. Namun, ramalan ini lebih bersifat jangka pendek, dan arah pergerakannya selepas itu akan ditentukan oleh hasil keputusan pilihan raya presiden di Amerika Syarikat, situasi semasa epidemiologi di kedua-dua benua yang terpisah oleh Lautan Atlantik serta sudah semestinya hasil rundingan antara EU dan UK berkenaan terma-terma Brexit. Jika tiada sebarang pindaan ke atas isi kandungan Perjanjian daripada kedua-dua pihak, ia memberi manfaat yang besar kepada kadar pound. Situasi berkenaan isu ini akan menjadi lebih jelas pada pertengahan November nanti. Dalam masa yang sama, COVID-19 akan terus memainkan peranan penting setelah memberi kesan yang amat besar terhadap ekonomi British terutamanya dalam sektor kewangan.
    Anda harus maklum apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, gambarannya berubah sama sekali, dan ia sudahpun mendapat sokongan majoriti (60%) penganalisis. Analisis grafik pada D1 pula mengunjurkan penurunan pasangan dan bukannya pertumbuhan: pertama sekali ke paras 1.2860, dan kemudian 100 mata lebih rendah;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 26 - 30 Oktober, 20201

  • USD/JPY. Kami menantikan keputusan Bank of Japan mengenai kadar faedah mereka serta komen pihak pengurusannya berkenaan polisi kewangan pada minggu depan, 29 Oktober. Namun seperti biasa, tiada sebarang kejutan yang kami jangkakan, dan berkemungkinan besar kadar faedahnya akan terus berada pada paras yang sama, iaitu negatif 0.1%.
    Lebih menarik lagi matawang manakah yang akan menjadi pilihan sebagai aset terlindung, dolar ataupun yen. Melihat pada situasi sebelum pilihan raya dan juga kekacauan yang disebabkan oleh pandemik di AS, 75% penganalisis memihak kepada matawang Jepun kerana ia lebih stabil. Senario ini disokong oleh 90% pengayun dan juga 100% indikator trend pada D1.
    Ingatlah, bermula pada tahun 2016, pasangan USD/JPY telah turun di bawah paras 105.00 sebanyak tujuh kali. Walau bagaimanapun, ia hanya akan berlegar-legar di bawah itu untuk jangka masa pendek, dan kemudian ia akan naik semula di atas paras tersebut. Persoalannya sekarang, apa yang bakal berlaku kali ini. Namun, untuk tempoh masa sederhana, 60% penganalisis tidak menyangkal pasangan ini mungkin akan melepasi paras sokongan pada 104.00, malah mungkin akan  turun lebih rendah di zon antara 102.00-103.00.
    Bagi analisis grafik, ia menunjukkan pergerakan mendatar di sepanjang saluran antara 104.00-105.55 sepanjang tiga minggu akan datang pada D1;
  • Matawang Kripto. Pada petang Jumaat, 23 Oktober, pasangan BTC/USD berada di zon $12,860 - paras sokongan/rintangan setempat yang baru. Jika bitcoin terus berada di atas paras $12,800, kenaikan itu adalah yang tertinggi sepanjang 2.5 tahun dan harapan agak cerah untuk nilainya bertumbuh ke paras tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu di sekitar $20,000. Cabaran paling hampir yang perlu ditempuhi adalah untuk melepasi paras tertinggi Julai 2019 iaitu $13,760.
    Kenaikan nilai Bitcoin yang berlaku telah didorong oleh kesan pandemik, lambakan jutaan wang fiat menerusi program-program kewangan, serta populariti matawang kripto yang kian bertambah dikalangan pelabur institusi besar. Justeru, pengasas bersama firma pelaburan Morgan Creek Digital iaitu Anthony Pompliano menambah jumlah terkumpul matawang kripto utama itu daripada 50% kepada 80%.
    Menurut Chicago Mercantile Exchange (CME), kontrak pembelian terkumpul BTC dikalangan pelabur berinstitusi telah merekodkan jumlah tertinggi. Walau bagaimanapun, menurut laporan Commitment of trader (COT), dana lindung nilai tidak memiliki begitu banyak kontrak untuk menjual bitcoin. Sebilangan penganalisis percaya bahawa apa yang dilakukan dana lindung nilai itu bertujuan untuk menyediakan likuiditi secukupnya buat pelabur berinstitusi.
    Max Kaiser, seorang pengacara TV popular yang juga penyokong Bitcoin sejak dulu lagi bersetuju dengan pendapat itu. Beliau percaya mengikut keadaan semasa, pedagang kontrak depan bitcoin memperlahankan kenaikan harga BTC bagi memberi peluang kepada pelabur berinstitusi “menyertai keseronokan”. Walau bagaimanapun, setelah nilai aset itu mencecah paras $28,000 (penanda aras tengah yang ditetapkan oleh Kaiser), tiada coin yang akan berada di pasaran, dan disebabkan oleh kadar defisitnya, nilai coin itu akan terus naik dengan mendadak.
    “Melihat pada nilai dan jumlah coin BTC yang ada sekarang”, jelas Kaiser, “inilah satu-satunya peluang untuk kebanyakan orang membuat pembelian dengan segala keringat yang ada sebelum nilainya naik 40-80 ganda, dan akan terus melonjak ke paras yang menyamai nilai emas di sekitar $400,000.”
    Beralih pada ramalan minggu hadapan, memetik pendapat Anton Kravchenko iaitu CEO syarikat pelaburan Xena Financial Systems, beliau berpendapat pasangan BTC/USD mungkin akan mencecah kadar $14,000 menjelang akhir tahun ini. 65% penganalisis bersetuju dengan ramalan itu. 25% penganalisis yang menyatakan nilai pasangan itu mungkin akan jatuh ke paras $9,000 pada minggu lalu kini tinggal 15% saja. Baki 10% mengambil posisi neutral.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami