Oktober 31, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Nampaknya pasaran sudah mengambil keputusan untuk tidak lagi hanya tertumpu kepada pilihan raya presiden AS. Para pelabur kini lebih bimbang mengenai perkara yang bakal berlaku apabila gelombang kedua wabak COVID-19 melanda di Amerika dan juga Eropah, serta langkah-langkah yang akan diambil oleh para pemimpin di kedua-dua sisi benua Lautan Atlantik itu.
    Di Amerika Syarikat - jumlah bilangan jangkitan baru merekodkan peningkatan tertinggi hingga menyebabkan kejatuhan pasaran saham, sama dengan apa yang berlaku pada Mac lalu. Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk menyokong ekonomi negara itu, pentadbiran White House yang ada sekarang belum lagi memulakan sebarang tempoh berkurung, mereka berharap proses vaksinasi dapat dilakukan ke atas populasi di negara tersebut secepat mungkin. Keputusan yang dibuat itu juga dipengaruhi oleh pertumbuhan kadar statistik KDNK bagi suku ketiga di AS yang kukuh: pertambahan sebanyak 33.1% berbanding susut 31.4% bagi tempoh tiga bulan sebelumnya.
    Kebanyakan negara-negara di Eropah, termasuklah Jerman dan Perancis sudah mula melaksanakan perintah berkurung. Selain itu, walaupun ECB tidak menurunkan kadar faedah yang sedia ada rendah pada mesyuarat terakhir mereka pada hari Khamis, 29 Oktober lalu, ketua bank Christine Lagarde telah menyatakan dengan jelas bahawa langkah serius dijangka akan dibuat oleh para penggubal dasar dalam tempoh sebulan setengah lagi, dan ia bertujuan untuk melonggarkan politik kewangan serta merangsang ekonomi di benua Eropah.
    Kelihatannya para penggubal dasar di Kesatuan Eropah buat masa ini memutuskan untuk menentukan jumlah yang diperlukan bagi menyokong ekonomi mereka, melihat perkembangan situasi berkenaan coronavirus dan juga menganalisis keputusan pilihan raya presiden AS.
    Data yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 30 Oktober menunjukkan kadar KDNK di Eurozone bagi suku ketiga mengalami pertumbuhan daripada negatif 11.8% kepada 12.7%. Namun begitu, kadar ini pertamanya adalah lebih rendah berbanding kadar peratusan di Amerika Syarikat, dan yang kedua, menurut Lagarde, pihak ECB tidak menolak kemungkinan berlakunya kemerosotan ekonomi di Eurozone pada suku keempat jika melihat pada prospek suram akibat bermulanya COVID-19 sekali lagi. Justeru, pihak ECB terpaksa menambah jumlah program QE mereka sebanyak €500 bilion pada Disember, dan mungkin kadar faedah ke atas euro akan diturunkan.
    Secara umum, para pelabur melihat prospek pelonggaran polisi kewangan di Eropah adalah lebih nyata dan dibuat dalam skala yang lebih besar jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat, hal ini mengakibatkan nilai dolar kukuh sebanyak 220 mata pada minggu lalu, manakala kedudukan EUR/USD jatuh ke paras 1.1640 dan pasangan ini mengakhiri minggu di kedudukan 1.1645;
  • GBP/USD. Kebanyakan penganalisis (60%) bersama-sama analisis grafik pada D1 telah mengunjurkan penurunan pasangan ini ke paras 1.2860 dalam tempoh dua ke tiga minggu. Walau bagaimanapun, perkara itu berlaku lebih awal: pasangan ini mencecah paras terendah mingguan 1.2880 seawal hari Khamis, 29 Oktober. Punca penurunan nilai pound bukanlah akibat pertambahan risiko gelombang kedua coronavirus di UK, tapi mengenai Brexit yang masih menjadi topik utama dalam perkara ini. Dalam hal ini, situasi yang berlaku tidak memihak kepada matawang British.
    Jangkaan pasaran mengenai perjanjian yang akan ditandatangani bersama Kesatuan Eropah pada Disember tahun ini dilihat agak kelam seperti kabus yang menyelubungi kota London. Seperti yang sering dikatakan oleh bekas Gabenor Bank of England iaitu Mark Carney, Brexit tanpa apa-apa perjanjian akan memberi kejutan kepada ekonomi negara itu. Melihat pada kejutan yang dijangka akan berlaku, pasangan ini akhirnya menduduki paras 1.2950 setelah seminggu mengalami penurunan serta pembetulan ke sempadan atas saluran menurun;
  • USD/JPY. Seperti yang dijangka, mesyuarat Bank of Japan pada 29 Oktober lalu tidak memberi sebarang kejutan. Bagi negara yang memiliki matawang paling selamat dan terlindung daripada ribut kewangan, segalanya harus kekal tenang dan senyap.
    Lebih menarik lagi adalah persaingan antara dolar dan juga yen untuk menjadi matawang selamat. Dalam hal ini, setelah mengambil kira kejadian sebelum pilihan raya dan juga huru-hara akibat penularan wabak di AS, 75% penganalisis yang disokong 90% pengayun serta 100% indikator trend pada D1 merasakan matawang Jepun adalah lebih stabil. Ternyata jangkaan mereka tepat. Seperti yang dijangka, setelah arah pergerakannya berubah ke paras yang penting - 105.00, pasangan ini membuat percubaan kali ketiga sejak 31 Julai lalu untuk melepasi satu lagi paras yang penting - sokongan pada paras 104.00. Sekali lagi, percubaan itu gagal. Akibat daripada itu, setelah melantun semula, ia kembali ke paras permulaan pada hari pertama dalam tempoh lima hari, dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 104.65;
  • Matawang Kripto. Pasaran dipenuhi dengan sikap optimis setelah syarikat gergasi PayPal mengumumkan pelancaran ciri bagi membuat belian, jualan serta menyimpan Bitcoin, Bitcoin Cash, Ethereum dan Litecoin. Visa, Mastercard dan American Express juga perlu memiliki ciri yang sama dalam beberapa bulan lagi, itulah pandangan yang diberi oleh CEO dana matawang kripto Galaxy Investment iaitu Mike Novogratz dalam temubual beliau bersama Bloomberg.
    Berdasarkan pertambahan nilai bitcoin pada dua minggu terakhir bulan Oktober, bilangan “jerung” matawang kripto juga mula meningkat. Perkara ini dibuktikan oleh perkhidmatan data CoinMetrics. Menurut penganalisisnya, bilangan walet yang memiliki lebih daripada 1000 coin telah mencecah 2.2 ribu. Mengikut nilai semasa, setiap pemilik walet kini memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya 13 juta dolar!
    Melihat pada keadaan positif itu, bull cuba untuk melepasi ketinggian $14,000 pada hari Rabu, 28 Oktober, namun terhenti pada paras $13,830. Percubaan seterusnya berlaku pada malam Khamis, tapi hasilnya adalah lebih teruk: paras maksimum hanyalah pada $13,615. Bull berputus asa selepas tiga kali mencuba, manakala kedudukan pasangan BTC/USD pula menurun dan mengalami penyatuan di zon $13,300 pada petang Jumaat, 30 Oktober.
    Disebabkan pertumbuhan sebut harga pada 28 Oktober, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto mula berkembang, naik daripada $390 bilion kepada $410 bilion. Namun, pengundurun nilai coin utama tersebut menjelang hujung minggu telah mengakibatkan penutupan posisi jangka pendek serta penjualannya, dan disebabkan itu jumlahnya kembali ke titik permulaan di sekitar $388 bilion.
    Indeks Fear & Greed Kripto juga kembali ke posisi asal: di sekitar bacaan 74, betul-betul di sempadan suku terakhir skala. Jika diingat bacaan 74 adalah sepadan dengan indikator sederhana tamak, membawa maksud masih berbahaya untuk membuka posisi pendek. Namun julat antara 75 hingga 100 direka oleh pembangun indeks sebagai “Amat Tamak”, dan ia bermaksud pasangan BTC/USD memiliki terlalu banyak lebihan belian dan memberi bayangan proses pembetulan akan berlaku.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Jadi, ketua ECB iaitu Christine Lagarde telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau sudah bersedia untuk melonggarkan polisi kewangan ke atas bank yang diterajuinya pada bulan hadapan. Dalam masa yang sama, Donald Trump juga ada menyebut mengenai sokongan ke atas ekonomi negara AS mungkin akan disediakan. Namun, Donald Trump akan menghadapi pilihan raya pada hari Selasa, 3 November, segala retorik yang beliau dan juga pesaingnya Joe Biden nyatakan masih hanya akan dianggap sebagai umpan sebelum pilihan raya. Sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku secara realiti di AS sekarang, berbanding situasi di Eropah.
    Sama sukarnya untuk meramalkan apa yang bakal terjadi dengan situasi pandemik. Sudah dijelaskan pada permulaan ulasan tadi bahawa pentadbiran sedia ada White House sangat berharap pada vaksin dan juga ubat-ubatan sebagai penyelesaian masalah itu. Walau bagaimanapun, situasinya mungkin akan bertambah teruk sebelum ianya berlaku dan indeks saham juga akan turut sama jatuh, seperti yang berlaku pada musim bunga lalu.
    Kemudian, melihat pada keadaan pasaran saham yang semakin jatuh, pihak Rizab Persekutuan mula membanjirinya dengan wang murah, menurunkan kadar faedah sehingga menyusutkan nilai matawang Amerika serta menambah nilai pasangan EUR/USD lebih daripada 1300 mata. Kini, EU berada di hadapan Amerika Syarikat dari segi langkah pelonggaran kuantitatif dan telah memperkenalkan sekatan kuarantin, hal ini menyebabkan matawang euro dijual secara besar-besaran pada minggu lalu sehingga membolehkan nilai dolar bertumbuh. Namun, jelas bahawa pertambahan nilai mingguan USD sebanyak 220 mata dan penurunannya sebanyak 1300 mata sejak bulan Mac lalu adalah dua perkara yang tidak setanding.
    Pilihan raya utama di AS akan berlangsung pada minggu hadapan. Jika Joe Biden berjaya mengecap kejayaan, dan nilai saham syarikat-syarikat Amerika kembali pulih serta perkembangan melawan COVID-19 berpihak kepada barisan hadapan, nilai matawang euro mampu pulih dengan cepat. Tumpuan juga harus diberi kepada mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang dijadualkan pada hari Jumaat, 6 November. Walaupun tidak banyak yang akan dibincangkan mengenai kadar faedahnya, kadar itu dijangka akan kekal, namun tumpuan perlu diberikan terhadap komen pihak Rizab terhadap polisi kewangan mereka kerana berkemungkinan ia akan dipengaruhi oleh keputusan pilihan raya presiden.
    Seperti biasa, data bilangan pekerjaan baru di luar sektor agrikultur AS (NFP) sudah pastinya akan dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan. Namun, berdasarkan pada faktor-faktor yang telah disebutkan sebelum ini, ia berkemungkinan tidak akan memberi sebarang kesan serius terhadap sebut harganya.
    Dalam masa yang sama, membuat ramalan untuk minggu akan datang, majoriti penganalisis (65%) mengunjurkan penurunan. Sokongan paling hampir berada pada paras terendah 25 September lalu iaitu 1.1610, dan sasaran berikutnya pula berada di zon 1.1500. Perkembangan ini disokong oleh analisis grafik pada D1, 100% indikator trend dan juga 75% pengayun pada H4 serta D1. Namun baki 25% pengayun sudah menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan dan proses pembetulan akan berlaku. Zon lantunan yang mungkin akan dituju adalah 1.1600, sasarannya pula adalah pada paras 1.1700, 1.1750, 1.1830 dan 1.1880;
  • GBP/USD. Sebilangan penganalisis tidak menyangkal bahawa Bank of England mungkin akan mengumumkan langkah-langkah bagi tujuan menyokong ekonomi negara itu semasa berlangsungnya mesyuarat pada hari Khamis, 5 November nanti. Antara senarai langkah yang mungkin akan diambil adalah pertambahan nilai pembelian bon kepada £850 bilion, serta penurunan kadar faedah daripada 0.1% yang sedia ada sekarang. Namun, kadar tersebut mungkin tidak akan dikurangkan.
    Matawang British itu mungkin akan terus berhadapan dengan tekanan sehingga berakhirnya mesyuarat Bank of England. Namun jangan lupa tentang isu berkenaan terma-terma Brexit yang masih belum dipersetujui, ia juga mungkin akan menolak pasangan GBP/USD ke bawah. Disebabkan itu, dalam membuat ramalan bagi bulan November, majoriti penganalisis (60%) memihak kepada bear, ia akan mengheret pasangan itu turun pertama sekali ke paras sokongan 1.2860 dan selepas itu 100 mata lebih rendah. Sasaran terakhir mereka adalah paras terendah yang dicapai pada 23 September lalu iaitu 1.2675. Gambaran sama ditunjukkan oleh analisis grafik pada D1. 70% indikator teknikal pada kedua-dua tempoh masa, H4 dan D1 juga berwarna merah.
    Pendapat bertentangan kini dinyatakan oleh 40% lagi penganalisis. Harus ditekankan bahawa jika beralih kepada ramalan sehingga hujung tahun, bilangan penyokong bull bertambah kepada 70%. Rupa-rupanya, pasaran masih lagi berharap perjanjian Brexit dengan EU akan dipersetujui dan ditandatangani walaupun berhadapan dengan saat-saat paling kritikal sekarang. Zon rintangan paling hampir berada pada zon 1.3000. Ia diikuti dengan paras 1.3080, 1.3175 dan 1.3265;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 02 - 06 November, 20201

  • USD/JPY. Kini pasangan ini dihimpit oleh dua paras yang amat kukuh - 104.00 dan 105.00, dan pergerakan seterusnya akan bergantung kepada sentimen para pelabur. Seterusnya, sentimen itu pula akan bergantung kepada perkara yang bakal berlaku di Amerika Syarikat pada minggu depan.
    65% penganalisis yang mendapat sokongan 85% indikator dan juga analisis grafik pada D1 percaya bahawa pasangan ini akan cuba sekali lagi untuk melepasi paras sokongan 104.00. Namun hanya 30% saja yang berasa yakin ia mampu untuk berada di zon 103.00.
    Analisis grafik yang sama menunjukkan pergerakan lateral di koridor antara 104.00-105.00 untuk dua minggu pertama bulan November. Jika sempadan atas berjaya ditembusi, pasangan ini berpeluang untuk menjejakkan kaki pada eselon yang seterusnya, 105.00-105.80, dan mungkin mencecah ketinggian 106.10. Walau bagaimanapun, hanya 15% penganalisis saja yang membuat anggaran pasangan ini memiliki peluang tersebut;
  • Matawang Kripto. Sudah banyak kali kami bincangkan mengenai kesan daripada peralihan kuasa di White House ke atas pasaran matawang kripto. Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat akan berjalan tidak lama lagi. Adalah mustahil untuk tidak memperkatakan mengenai serangan penggodam ke atas laman web kempen Donald Trump pada hari Rabu, 28 Oktober - dalang serangan itu disyaki pengumpul matawang Monero. Selepas serangan itu, sebuah iklan mengenai altcoin tersebut dan juga kenyataan oleh para penggodam yang mendakwa pembabitan pentadbiran Trump dalam kemunculan coronavirus, serta penglibatan Trump sendiri dalam aktiviti jenayah disamping kerjasama beliau dengan pihak luar untuk memanipulasi pilihan raya akan datang, terpapar pada laman web coin itu di bahagian ‘About Us’.
    Selain daripada keputusan pilihan raya, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyumbang pada ketidaktentuan prospek bitcoin. Menurut penganalisis di Glassnode, pasaran saham serta lain-lain faktor luaran secara praktikalnya tidak lagi memberi kesan terhadap kadar BTC, kini ia lebih fokus kepada persekitaran dalaman, dan para pelabur masih lagi cuba untuk memahami polisi terbarunya. Dalam masa yang sama, Glassnode percaya bahawa aset ini memiliki peluang yang amat cerah untuk mencapai paras tertinggi pada masa hadapan.
    Setelah meramalkan nilai matawang kripto pasti akan mengalami penurunan, CEO MicroStrategy iaitu Michael Saylor kini mendakwa bahawa beliau sudah bersedia untuk memiliki bitcoin sekurang-kurangnya 100 tahun. Syarikat yang diterajui Michael telah membuat pelaburan sebanyak $425 juta ke atas bitcoin sepanjang beberapa bulan lalu. Beliau menjelaskan, walaupun berada di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia, setelah mengambil kira pilihan dalam mengekalkan modal yang ada, MicroStrategy membuat kesimpulan bahawa bitcoin memiliki nilai simpanan terbaik untuk jangka masa panjang. Saylor begitu pasti dan menyebut nilai emas sekalipun tidak setanding dengan nilai matawang kripto itu. Beliau berpendapat, sesiapa yang memiliki $100 juta dalam bentuk wang fiat akan kerugian 99% daripada nilainya itu dalam tempoh 100 tahun, manakala pelaburan emas pula, senario paling baik adalah kerugian sebanyak 85%.
    Para penganalisis di bank pelaburan Amerika iaitu JPMorgan juga lebih sukakan bitcoin. Pada pendapat mereka, BTC telah mengungguli emas dari segi matawang alternatif dan memiliki peluang yang lebih baik untuk mengalami pertumbuhan. Menurut laporan terbaru mereka, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto masih belum cukup besar kerana pelaburan ke atas matawang digital itu biasanya dibuat oleh golongan milenial. Generasi terdahulu lebih menggemari aset yang lebih nyata, lebih tepat lagi emas. Walaupun begitu, bitcoin memiliki potensi yang agak besar dalam pertumbuhan jangka panjang kerana golongan milenial ini tidak lama lagi akan “sedikit sebanyak menjadi komponen penting dalam ruang pelaburan”.
    JPMorgan menganggarkan jumlah pasaran emas fizikal, termasuklah yang mendapat sokongan ETF adalah sebanyak $2.6 trilion. Dalam hal ini, gandaan sebanyak 10 kali terhadap nilai semasa bitcoin iaitu $13,000 perlu dibuat bagi menyamai nilai logam berharga itu.
    Ramalan positif sebelum ini mendapat sokongan daripada pengasas bursa matawang kripto iaitu Gemini bersaudara yang berpendapat pasangan BTC/USD akan mencapai nilai $500,000 tidak lama lagi. “Persoalan yang timbul bukanlah mengenai kos bitcoin akan mencapai $500,000 ataupun tidak, tapi berapa pantaskah sebelum nilai itu akan tercapai. Malah, bagi saya penilaian ini juga agak konservatif - perlumbaan itu belum lagi bermula,” jelas Cameron Winklevoss.
    Jika kita beralih ke ramalan minggu hadapan, majoriti penganalisis (60%) percaya bahawa pasangan BTC/USD akan terus menyerang paras rintangan $14,000. Namun hanya 25% daripada penganalisis berpendapat serangan itu akan berakhir dengan kejayaan dan pasangan tersebut mampu untuk berada di zon $15,000 menjelang akhir tahun ini. Kemungkinan nilainya akan mencecah $16,000 hanya dianggarkan oleh 10% sahaja sekarang. Namun kebarangkalian untuk nilainya turun ke paras $12,000 pula meningkat kepada 40%.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami