November 14, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Minggu lalu, kami mula nyatakan tentang ketaktentuan sepenuhnya yang berlaku di pasaran, dan pelabur tidak membuat sebarang percaturan akibat tidak pasti dengan apa yang akan menanti mereka pada masa hadapan. Ya, Joe Biden telah memenangi pilihan raya presiden. Kemenangan yang belum pasti. Pasukan Donald Trump sudah pun mengumpulkan banyak fakta berkenaan pencabulan serta pemalsuan yang berlaku semasa undian dijalankan dan kini bersedia untuk mencabar keputusan pilihan raya itu di mahkamah. Buat masa ini, sebilangan daripada badan-badan negara, termasuklah Jabatan Pengarah Risikan Negara (Office of the Director of National Intelligence atau ODNI), enggan memberi sokongan terhadap peralihan kuasa presiden. Agihan bilangan kerusi di dewan Senat AS juga belum selesai, dan polisi utama negara tersebut, termasuk langkah-langkah fiskal serta program bagi menyokong ekonomi mereka amat bergantung kepadanya.
    Juga perkara yang masih belum jelas sepenuhnya adalah perkembangan berkenaan situasi pandemik coronavirus. Adakah sekatan pergerakan yang baru akan dikuatkuasakan? Berapa besar skala sekatan tersebut? Bilangan jumlah kes harian jangkitan baru COVID-19 di Amerika Syarikat yang melebihi 100 ribu sehari sudah pun berterusan selama seminggu setengah, hal ini menunjukkan sekatan pergerakan yang baru harus dikuatkuasakan di sebilangan negeri. Jika perkara ini berlaku, ia membawa maksud penghasilan akan berkurangan, bilangan pekerjaan akan mengecil, dan seterusnya penurunan indeks saham.
    Secara umumnya, masih lagi banyak persoalan yang timbul berbanding jawapan yang ada. Disebabkan itulah ramalan yang kami sediakan pada minggu lalu ternyata benar-benar berlaku. Jika diingat pendapat para penganalisis terbahagi sama rata: satu pertiga memilih pertumbuhan pasangan EUR/USD, satu pertiga - penurunannya, dan baki satu pertiga lagi mengambil kedudukan neutral. Paras terhampir yang diberikan: sokongan - 1.1760, rintangan - 1.1965. Pasangan EUR/USD bergerak di antara sempadan-sempadan ini selama seminggu, pada julat di antara 1.1745 hingga 1.1920, dan akhirnya kembali ke zon Pivot Point yang mana ia telah pun berada selama 16 minggu berturut-turut. Paras terakhirnya adalah pada kedudukan 1.1830;
  • GBP/USD. Mari mulakan dengan keputusan pada minggu lalu - kejayaan yang dinanti-nantikan daripada rundingan Brexit masih belum dapat dikecapi lagi. Seperti yang diramal oleh 70% penganalisis - ribut melanda matawang pound, pertama sekali ia mengalami lonjakan, mencecah ketinggian 1.3315, dan kemudian mengalami penurunan, jatuh sebanyak 210 mata ke paras 1.3105, berakhir di tengah-tengah julat ini setelah keadaan tenang sepenuhnya - hampir pada paras 1.3200;
  • USD/JPY. Boleh kami nyatakan bahawa 30% penganalisis yang memihak kepada bull dan memilih kembalinya USD ke zon antara 104.00-105.00 setelah melihat pada carta pasangan ini ternyata benar-benar berlaku. Berikutan hasil yang diperoleh daripada sekuriti jangka panjang Amerika, pasangan ini cuba untuk melepasi rintangan pada paras 105.65 sebanyak dua kali, tetapi gagal, dan akhirnya mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 104.60, naik sebanyak 130 mata;
  • Matawang Kripto. Mari mulakan dengan berita jenayah, berita yang tidak banyak berbeza daripada minggu lalu dengan apa yang berlaku sebelumnya. Sebagai contoh, penggodam mengingatkan tentang kewujudan mereka. Kali ini, pembuat laptop di Taiwan Compal Electronics pula menjadi mangsa ransomware DoppelPaymer. Penggodam telah membuat tuntutan sebanyak 1,100 BTC (kira-kira $17 juta semasa ramalan ini ditulis) bagi menyahsulit fail-fail mereka. Mengikut maklumat penganalisis keselamatan dari Group-IB, DoppelPaymer yang tersebar menerusi rangkaian Windows, terkenal dengan serangan ke atas rangkaian korporat setelah memperoleh hak capaian pentadbir dan salah satu daripada tiga ransomware paling agresif dan rakus pada tahun 2019.
    Ada satu lagi berita. Misteri yang menarik perhatian mengenai pemindahan bitcoin berjumlah lebih daripada $1 bilion pada malam berakhirnya pilihan raya presiden AS. Versi berita yang begitu hebat telah dikeluarkan, namun rupa-rupanya itu adalah tindakan Jabatan Kehakiman AS yang merampas hampir 70,000 BTC daripada walet yang dikaitkan dengan pasaran gelap Silk Road.
    Tiba masanya untuk statistik pula. Bilangan mesin ATM matawang kripto telah meningkat sebanyak 80% pada tahun 2020 berbanding jumlahnya pada 2019. Sebanyak 23 mesin ATM baru dipasang setiap hari secara purata. Sekarang ini, terdapat kira-kira 11 ribu mesin seperti itu di seluruh dunia, dan kebanyakan daripadanya berada di Amerika Syarikat dan juga Kanada. Menurut penganalisis, kebiasaannya mesin-mesin ATM seperti itu dipasang oleh syarikat-syarikat permulaan kecil yang cuba untuk menjana untung daripada tukaran matawang kripto dengan wang fiat.
    Minggu lalu, tukaran bitcoin dengan dolar adalah lebih menguntungkan, apabila pasangan BTC/USD melepasi paras $16,000 seperti yang diramal penganalisis. Matawang kripto utama itu melonjak ke paras tertingginya pada $16,460, dan ia berlaku pada hari Friday 13 - hari yang digelar sebagai “hari celaka”, mendapat gelaran itu daripada kepercayaan mitos dan tahyul yang diabadikan dalam bentuk cerita-cerita seram terkenal di Amerika.
    Walau bagaimanapun, kebimbangan Bitcoin pada hari itu ternyata adalah sebaliknya, dan ia telah membawa kegembiraan kepada ramai pemilik matawang kripto rujukan tersebut. Ada yang menjual untuk memperoleh untung, dengan harapan agar walet BTC mereka dapat diisi semula apabila nilainya menyusut. Bagi yang tidak menjual sebarang coin, mereka sekali lagi akan bersikap optimis dalam menjangkakan pertumbuhan berterusan modal mereka.
    Jika anda lihat pada carta jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto pada minggu lalu, dengan jelas anda dapat lihat apabila sebut harga BTC/USD menurun, aktiviti belian coin secara aktif akan bermula semula. Perkara ini berlaku semasa nilainya turun ke paras $14,390 pada 7 November, dan penurunan seterusnya pada dua hari selepas itu. Akhirnya, selangkah demi selangkah, kedudukan pasangan ini melonjak dan terus melonjak, dan itu menunjukkan keseluruhan sentimen positif, membolehkan jumlah keseluruhan pasaran ini bertambah daripada $447 bilion kepada $465 bilion dalam tempoh tujuh hari.
    Kedudukan Indeks Fear & Greed Kripto pada petang Jumaat, 13 November berada pada bacaan yang sama seperti minggu lalu - 90, di dalam zon yang direka oleh para pembangun indeks sebagai “Extreme Greed”. Bacaan itu menyamai dengan keadaan semasa pasangan BTC/USD yang memiliki terlalu banyak lebihan belian dan menggambarkan pembetulan akan berlaku. Jika diingat pada situasi yang hampir sama pada 7 November, pasangan ini kerugian hampir 8%. Namun memang benar, pasangan ini mengambil masa kurang daripada satu hari untuk mengembalikan sebut harganya kepada nilai yang asal.
    Bagi ethereum pula, seperti yang dimaklumkan oleh Unfolded, kebergantungan coin itu terhadap bitcoin semakin berkurangan sejak penghujung Oktober. Korelasi antara dua matawang kripto terbesar tersebut semakin lemah dikala versi baru rangkaian ETH 2.0 yang dikemaskini sedang siap sedia untuk dilancarkan. Faktor inilah yang mempercepatkan pemisahan altcoin terkenal itu dengan BTC. Kini bacaan korelasinya berada pada paras paling rendah sejak bermulanya tahun 2018. Jika nilai ethereum naik kepada $500 pada Disember nanti akibat penyusutan nilai bitcoin (kini nilai ETH adalah $460), coin itu akhirnya mampu untuk memutuskan “hubungan” dengan “penjaga” mereka.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Menurut 90% daripada 65 orang penganalisis di Wall Street Journal, ketaktentuan yang melanda pasaran kewangan seharusnya akan berkurangan apabila keputusan pilihan raya presiden AS akhirnya diterima semua pihak serta berita tentang kemunculan vaksin COVID-19. Selain itu, ketua ECB iaitu Christine Lagarde percaya bahawa keadaan menjadi semakin jelas pada pandangan beliau, semua berpunca daripada kejayaan Joe Biden, perjanjian Brexit yang dijangka akan dipersetujui serta perkembangan baru berkenaan vaksin. Justeru, lebih jelas keadaannya, lebih sedikit matawang dolar dibeli, dan lebih besar selera para pelabur terhadap aset berisiko. Hal ini seharusnya akan menyebabkan pertumbuhan pasangan EUR/USD.
    Namun pendapat Lagarde bukan merangkumi keseluruhan pendapat di pasaran. Gelombang kedua wabak yang sedang melanda baru mula mendapatkan momentumnya. Bagaimana keadaan Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Biden juga belum lagi diketahui. Justeru, sebagai contoh, 58% daripada penganalisis Wall Street Journal menjangkakan saiz pakej bantuan ekonomi yang seterusnya mungkin berjumlah $1-2 trilion, 29% pula memilih jumlahnya kurang daripada $1 trilion, manakala baki 13% menyebut jumlahnya adalah antara $2-3 trilion. Kesinambungan dan skop perang dagangan dan ekonomi antara Washington dan Beijing serta lain-lain faktor juga masih kekal menjadi persoalan.
    Tidak seperti analisis fundamental, analisis teknikal tidak tahu apa maksud pilihan raya presiden, perang dagangan atau vaksinasi. Disebabkan itu, walaupun ketaktentuan masih berlaku di pasaran, bacaan indikator kini dilihat lebih spesifik. Oleh itu, 100% indikator trend dan 75% pengayun pada H4 dan D1 adalah berwarna hijau. Hanya 25% pengayun saja yang menentang dan ia menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Namun bagi penganalisis, walaupun mood yang menyamai jangkaan Christine Lagarde juga dirasai mereka, tapi masih sukar untuk menjadikannya sebagai pihak dominan. Bull memiliki sedikit kelebihan: 50% daripada penganalisis berpihak kepada mereka. Bear mendapat sokongan 40%. Baki 10% lagi mengambil kedudukan neutral.
    Julat dagangan sempit pasangan ini terhad di saluran antara 1.1740-1.1845, saluran berikutnya dengan pertambahan nilai kemeruapan adalah 1.1700-1.1900, dan akhir sekali, antara 1.1600-1.1900 iaitu ayunan maksimum turun naik yang berlaku sejak Ogos lalu.
    Melihat pada peristiwa ekonomi penting pada minggu depan, data makro statistik pasaran pengguna di AS yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 17 November adalah antara yang perlu diberi perhatian;
  • GBP/USD. Maraton Ucapan oleh Gabenor Bank of England terus berjalan, namun mungkin tidak begitu keterlaluan - jika Andrew Bailey berucap sebanyak tiga kali pada minggu lalu, beliau hanya dijadualkan untuk berucap sekali saja pada minggu depan, iaitu pada hari Selasa, 17 November. Berkemungkinan besar tujuan aktiviti awam oleh pihak bank seperti itu dijalankan adalah untuk menyakinkan pihak kerajaan serta orang ramai bahawa penggubal dasar mampu mengawal keadaan, walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan, setiap orang perlu bersikap optimis dengan apa yang bakal tiba.
    Walau bagaimanapun, sikap optimis bank mengenai prospek matawang British hanya dipersetujui oleh indikator trend pada H4 dan D1 serta pengayun pada H4. Namun pada D1, kemelut besar sudah melanda dikalangan pengayun - satu pertiga menunjukkan warna hijau, satu pertiga lagi berwarna merah dan baki satu pertiga pula berwarna kelabu neutral. Kepelbagaian warna ini hampir menyamai ramalan para penganalisis, 30% daripada mereka menyokong pertumbuhan pasangan ini, 25% lagi bersetuju dengan penurunan, dan baki 45% pyla mengambil posisi neutral. Bagi analisis grafik pada D1, sudah pasti ia lebih cenderung kepada pengukuhan dolar dan juga penyusutan nilai pound. Sokongan berada pada paras 1.3100 dan juga 1.3055, sasaran mereka adalah untuk mengembalikan pasangan ini ke eselon di antara 1.2850-1.3000. Paras rintangan pula berada pada 1.3315 dan 1.3285.
  • USD/JPY. Semua orang tahu dinamik pasangan ini sangat dipengaruhi oleh hasil daripada sekuriti AS - di mana ia berada, di situlah ia bergerak. Setelah turun hampir ke paras 103.15, perubahan pergerakan pasangan ini serta pendakiannya ke paras 105.65 nampak begitu mengagumkan. Namun keputusan pada penghujung minggu tidaklah begitu hebat sama sekali, kerana setelah mengalami pertumbuhan, nilainya turun semula, dan akibat daripada itu yen berjaya mendapatkan semula lebih daripada 40% kerugian yang dialaminya.
    Jika anda lihat pada carta D1, pasangan USD/JPY masih lagi berada pada saluran menurun yang bermula sejak minggu terakhir Mac 2020. Sama ada trend ini boleh berubah atau tidak, semuanya bergantung pada hasil sebenar bon 10 tahun AS dan bukan hasil nominalnya. Nilai hasil tersebut pula bergantung pada polisi Rizab Persekutuan, dan rupa-rupanya polisi itu pula bergantung pada siapa yang akan menghuni White House nanti serta apakah kekuatan yang akan dimiliki Senat negara tersebut.
    Sementara itu, 60% penganalisis yang disokong 90% indikator trend serta 70% pengayun pada kedua-dua tempoh masa percaya bahawa pasangan ini akan terus berada di saluran menurun dan akan cuba sekali lagi untuk menguji paras sokongan di zon 103.00. Sokongan berada pada paras 104.35 dan 104.00. Menurut pendapat bertentangan, pasangan ini dijangka akan naik pada paras rintangan di zon 105.00 pada mulanya, dan kemudian naik lagi ke paras 105.65. Sasaran seterusnya ialah untuk berada 100 mata lebih tinggi;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 16 - 20 November, 20201

  • Matawang Kripto. Kami telah nyatakan sebelum ini bahawa wabak COVID-19 memberi kelebihan besar kepada bitcoin. Lebih banyak wang yang dicetak Bank-Bank Pusat, lebih ramai pelabur yang mula membeli bitcoin untuk dijadikan aset perlindungan. Namun bukan kelebihan itu saja yang dimilikinya. Ramai wakil dikalangan peminat kripto mendapat dorongan daripada keputusan pilihan raya presiden AS yang mungkin akan dimenangi Joe Biden. Tidak seperti Donald Trump dan juga Setiausaha di Jabatan Perbendaharaan iaitu Steve Mnuchin, komuniti kripto percaya bahawa Biden mungkin lebih bersifat liberal mengenai matawang digital dan juga industri blockchain secara umumnya. Namun, isu mengenai kedudukan Biden di White House masih lagi belum selesai kerana Trump mahu membuktikan kepada mahkamah bahawa terdapat pelbagai penyelewengan yang berlaku semasa hari mengundi. Kejutan besar hasil daripada “Pertarungan Besar” ini masih tidak boleh lagi dikecualikan.
    Penganalisis Bloomberg Mike McGlone percaya bahawa nilai bitcoin akan melonjak sekurang-kurangnya $20 ribu pada tahun 2021 dan memperbaharui rekod nilai tertingginya. Ini bukanlah ramalan positif McGlone yang pertama. Pada awal Oktober, beliau merasakan nilai matawang kripto pertama itu akan naik kepada $100,000 menjelang tahun 2025 dan turut memberi beberapa hujah berkenaannya. Ia termasuklah polisi kewangan negara yang akan mengakibatkan penyusutan nilai matawang fiat.
    Stanley Druckenmiller, bekas pembantu George Soros di Quantum iaitu syarikat dana milik jutawan itu juga bersetuju dengan ramalan McGlone, beliau turut mengunjurkan penurunan nilai dolar selama tiga hingga ke empat tahun. Beliau ada menyatakan dalam temubualnya bersama CNBC yang beliau ada membuat sedikit pelaburan ke atas matawang kripto pertama itu, dan mengakui bitcoin mungkin adalah alat terbaik untuk mengekalkan nilai wang berbanding emas.
    Lengkung pertumbuhan BTC/USD yang lebih tinggi diramal oleh penulis blog terkenal dengan nama pena PlanB. Jika ramalan McGlone menyatakan nilai matawang kripto pertama itu hanya akan mencecah $100 ribu pada tahun 2025, PlanB menjangkakan nilai itu akan dicapai pada Disember 2021. Penganalisis tersebut maklum sepanjang tempoh pasaran mengalami pembetulan, beliau meneliti bagaimana algoritma bitcoin milik “jerung” membeli beratus-ratus bahagian 0.01 BTC dari “pemilik kecil”. Tidak lama selepas itu coin-coin tersebut “hilang” dalam simpanan tanpa “dapat dikesan”. Mengikut model S2F, pergerakan bitcoin ke walet untuk simpanan jangka panjang seperti ini akan mengurangkan nilai jualan. Kenyataan seperti itu sememangnya benar lebih-lebih lagi selepas penghasilannya dikurangkan, dan hal ini menyebabkan bekalan mengalami kejutan dan menghasilkan pasaran bull untuk 18-20 bulan akan datang. Inilah yang berlaku kepada keuntungan para penghasil semasa pengurangan penghasilan kali pertama dan kedua pada tahun 2012 dan 2016. Menurut PlanB, dinamik bitcoin selepas pengurangan penghasilan kali ketiga pada Mei 2020 dilihat seperti sawat jam, telaan beliau yang tepat sekali lagi.
    Sekarang ini, pasangan BTC/USD telah mencecah paras tertinggi pada Januari 2018. Namun jualan besar-besaran bagi mengaut keuntungan telah mengatasi sifat tamak yang mahukan nilainya naik sekurang-kurangnya menjadi $20,000. Terutama sekali sejak tiada gangguan teruk yang menjadi penghalang. Walau bagaimanapun, faktor global seperti kejayaan Trump atau vaksinasi COVID-19 beramai-ramai, serta para penghasil dari China yang menjual peralatan mereka bagi mendapatkan wang untuk menanggung perbelanjaan operasi dan juga perbelanjaan modal mungkin akan mengubah arah trend.
    60% penganalisis menjangkakan pasangan BTC/USD akan berada di atas paras $17,000 menjelang akhir November. 20% memberi ramalan neutral, manakala baki 20% lagi menjangkakan penurunan pasangan ini ke zon antara $14,000-15,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami