November 28, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Membuat ramalan untuk minggu lepas, kebanyakan penganalisis (65%) memihak kepada matawang Eropah. Analisis grafik, 90% indikator trend dan 75% pengayun pada D1 juga menyebelahi bull. Ternyata ramalan ini hampir-hampir tepat. “Hampir”, kerana apa yang dijangka adalah, selepas melepasi rintangan pada 1.1900, pasangan EUR/USD akan mencecah zon 1.2000-1.2100. Walau bagaimanapun, ia hanya berjaya untuk berada di ketinggian 1.1960 pada penghujung minggu. Mungkin ia berpunca daripada hujung minggu di Amerika Syarikat - Hari Kesyukuran pada Khamis, 26 November dan juga Black Friday pada 27 November.
    Pertumbuhan yang dialami pasangan ini adalah kemajuan yang berlaku terhadap situasi epidemiologi di rantau Eropah. Sebagai contoh, Perancis telah melepasi kemuncak gelombang kedua pandemik, dan pada 28 November, pelonggaran sekatan pergerakan telah dimulakan secara berperingkat. Namun terdapat juga pelbagai faktor global lain yang menyebabkan pergerakan pasangan ini sukar untuk diramal. Jumlah permohonan faedah pengangguran di AS adalah sebanyak 778 ribu pada minggu lalu - jumlah tertinggi dalam tempoh lima minggu. Ini menunjukkan situasi ekonomi yang semakin teruk. Dalam memperkatakan hal tersebut, pihak Republikan dan juga Demokrat masih belum mencapai kata sepakat berkenaan jumlah pembiayaan rangsangan tambahan di bawah program QE. Manakala penyandang jawatan Presiden Donald Trump tidak mahu langsung bekerjasama dengan kem pembangkang.
    Berkenaan kemunculan vaksin bagi menentang COVID-19 dan juga kesan vaksinasi terhadap pemulihan ekonomi di benua Eropah dan juga Amerika, semuanya hanyalah telaan, tiada sebarang fakta yang jelas. Penilaian penganalisis adalah berbeza secara diametrik mengenai keputusan Presiden AS yang dipilih iaitu Joe Biden dalam melantik bekas ketua Rizab Persekutuan Janet Yellen untuk menyandang jawatan Setiausaha Perbendaharaan.
    Pasaran berharap terdapat garis panduan yang diusul dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Rizab Persekutuan AS dalam Pasaran Terbuka. Namun ia juga tidak memberikan sebarang penjelasan, hanya ketidaktentuan terhadap perbincangan mengenai program pembelian aset. Kami memetik: “Kebanyakan ahli percaya bahawa Jawatankuasa seharusnya mengemaskini tindakan yang perlu diambil dan melaksanakan panduan berorientasikan hasil yang bersifat kualitatif”. Itu saja, dan lain-lain perkara masih lagi sama.
    Setakat ini, satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi adalah indeks dolar menyusut lebih daripada 10% berbanding paras tertinggi pada bulan Mac lalu dan mencecah paras terendah sepanjang dua tahun. Segalanya berpunca daripada polisi kewangan pihak Rizab Persekutuan, dan pasangan ini kemudiannya kembali ke kedudukan pada pertengahan Ogos 2020. Hakikatnya semua ini adalah di luar keraguan;
  • GBP/USD. Hasil yang ditunjukkan pasangan ini boleh dikira sebagai sifar, semuanya berpunca daripada ketaktentuan yang berlaku, termasuklah rundingan mengenai Brexit. Pivot Point berada pada paras 1.3300 untuk tiga minggu dalam bulan November. Namun jika garis ini menunjukkan fungsi rintangan bagi dua minggu terawal, ia kemudiannya bertukar menjadi sokongan. Pasangan ini menghabiskan keseluruhan lima hari dagangan mengikuti trend lateral pada julat yang agak sempit di antara 1.3300-1.3400, dan mengakhiri sesi dagangan dengan berada di sempadan bawahnya;
  • USD/JPY. Matawang yen dengan rela telah menyumbang kepada kejatuhan indeks DXY dolar. Pengukuhan nilainya serta kemasukan pasangan USD/JPY ke dalam saluran menurun yang bermula pada akhir Mac tahun ini, adalah selari dengan penyebaran wabak coronavirus di seluruh dunia. Dalam pencarian matawang selamat, para pelabur sekali lagi beralih kepada matawang Jepun.
    Pasangan ini bukan saja kekal berada pada saluran tersebut minggu lalu, malah julat dagangannya kini adalah 100 mata lebih sempit di bahagian atas. Bagi indikator terakhir, ternyata nilai yang lebih rendah ditunjukkan - bermula pada paras 103.80, ia mengakhiri lima hari dagangan pada paras 104.05, peningkatan sebanyak 25 mata saja;
  • Matawang Kripto. Kami akan langkau mukadimah untuk kali ini, seperti berita jenayah, dan terus bercerita tentang perkara yang paling penting. Telah banyak kali kami katakan mengenai pembelian bitcoin secara berlebihan, amaran yang sudah lama indikator tunjukkan termasuklah RSI dan juga Indeks Fear & Greed Kripto. Semua menunjukkan pasaran perlu melalui proses pembetulan dengan segera. Ia telah pun berlaku: pasangan BTC/USD mengalami penurunan, dan kini pedagang serta pelabur hanya bimbang mengenai dua isu yang benar-benar penting. 1) Jika apa yang berlaku adalah proses pembetulan, pada paras manakah ia akan berhenti? 2) Adakah bitcoin sedang melalui proses pembetulan? Adakah bencana yang melanda bitcoin pada Disember 2017 akan berulang semula? Jika diingat semula tentang apa yang berlaku, nilai pasangan ini jatuh mendadak selepas hampir mencecah nilai $20,000, dan berada pada paras sekitar $3,125 setahun selepas itu, penyusutan nilai lebih daripada 6 kali ganda.
    Lonjakan nilai matawang kripto utama ini bermula pada awal September iaitu di sekitar $10,000 dan terhenti pada 25 November di sekitar $19,500. Ia diikuti dengan penurunan, dan paras terendah mingguan dicatatkan sehari selepas itu pada paras $16,280. Setelah arah pergerakannya sedikit berubah, kedudukan akhir BTC terhenti di zon $17,000 pada petang Jumaat, 27 November.
    Semasa nilainya berada di kemuncak pada 25 November, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $582 bilion, namun jumlah itu berkurangan kepada $500 bilion pada hari Jumaat, 27 November, susut sebanyak 14%. Penyusutan itu menyamai sebut harga BTC/USD. Apa yang lebih menarik adalah Indeks Fear & Greed Kripto masih menunjukkan bacaan 86 seperti yang ditunjukkan tujuh hari sebelum itu, dan terus menunjukkan pasangan ini masih memiliki banyak lebihan belian. Justeru, tidak mustahil pergerakan bitcoin ke bawah masih belum berakhir sepenuhnya.
    Bagi altcoin pula, sebilangan daripada mereka telah menunjukkan dinamik yang lebih positif berbanding matawang kripto rujukan baru-baru ini. Jika pasangan BTC/USD mengalami kerugian kira-kira 11% sepanjang tujuh hari lalu, ripple (XRP/USD) pula adalah sebaliknya, sebagai contoh, ia mengalami pertumbuhan hampir 70%, manakala ethereum (ETH/USD) mengakhiri tempoh itu dengan hasil sifar. Sila maklum bahawa altcoin terkenal masih memiliki prospek pertumbuhan nilai yang baik. Urusniaga altcoin terkenal mula bertambah pada musim panas lalu akibat pertumbuhan sektor disentralisasi kewangan (kebanyakan projek ini adalah berasaskan Ethereum). Sehingga sekarang, para pelabur telah melaburkan sebanyak $13 bilion dalam sektor DeFi, dan bilangan walet yang menyimpan sekurang-kurangnya 1 ETH telah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1.171 juta.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Kami telah nyatakan mengenai kecelaruan yang menyelubungi pasaran kewangan sejak kebelakangan ini pada awal ulasan tadi. Walaupun mengetahui kebaikan yang bakal diberi oleh vaksin dalam membasmi COVID-19, kewujudannya masih tidak dapat menjelaskan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap kadar tukaran sesuatu matawang. Benar, lain negara mengalami kesan yang berbeza terhadap ekonomi mereka akibat coronavirus, malah kadar kepantasan untuk pulih juga adalah berbeza. Tidak dinafikan, polisi pentadbiran baru di bawah kepimpinan Joe Biden akan memainkan peranan penting, termasuklah polisi domestik serta penamatan perang dagangan dengan Eropah dan juga China. Mengambil kira senario untuk tahun depan, Goldman Sachs mengunjurkan penurunan sebanyak 6% bagi kadar wajar USD untuk tahun 2021, Citibank tidak menolak kemungkinan indeks dolar susut sebanyak 20%, manakala Morgan Stanley menjangkakan pasangan EUR/USD akan mengalami pertumbuhan daripada paras semasa kepada 1.2500.
    Kebanyakan penganalisis (60%) juga menjangkakan pertumbuhan pasangan ini pada minggu depan. 100% indikator trend serta 75% pengayun pada H4 dan juga D1 menyokong unjuran tersebut, Matlamat utama masih lagi sama: untuk melepasi paras tertinggi pada 1 September dan mengalami penyatuan di zon antara 1.2000-1.2100.
    Pendapat berbeza mendapat sokongan baki 35% lagi penganalisis, analisis grafik serta satu perempat pengayun yang menunjukkan matawang euro memiliki lebihan belian pada kedua-dua tempoh masa. Sokongan berada pada paras 1.1880, 1.1800, 1.1740 dan 1.1685.
    Antara peristiwa makro yang bakal berlangsung, kami boleh nyatakan mengenai pengeluaran data aktiviti perniagaan (ISM) pada 1 dan 3 Disember, serta data pasaran buruh AS pada 2 dan 4 Disember. Selain itu, kita akan ketahui mengenai statistik pasaran pengguna di Eurozone pada hari Selasa, 1 Disember dan juga Khamis, 3 Disember. Tidak lupa juga, ucapan ketua ECB iaitu Christine Lagarde pada 30 November dan 1 Disember, serta ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell pada 1 Disember mungkin akan mempengaruhi pembentukan trend jangka pendek;
  • GBP/USD. Tahap kecenderungan umum berkenaan penyusutan nilai dolar juga menjejaskan ramalan pasangan ini. 75% penganalisis meramalkan pertumbuhan pertama sekali ke sempadan atas saluran di antara 1.3300-1.3400. Mungkin ia juga mampu untuk melepasi rintangan pada paras 1.3400 dan naik 80-100 mata lagi, tapi situasi ini hanya mendapat sokongan daripada 30% penganalisis saja. Analisis grafik pada H4 dan 90% pengayun serta indikator trend pada D1 juga memihak pada bull.
    Indikator pada H4 memberi gambaran berbeza. Namun analisis grafik pada D1 menunjukkan kemungkinan penurunan pasangan ini ke paras 1.3200 selepas beberapa hari bergerak di koridor antara 1.3300-1.3400, dan kemudian kembali ke sempadan atas koridor tersebut, malah mungkin mencecah paras tertinggi yang dicapai pada 1 September lalu iaitu 1.3480.
    Sokongan berada pada paras 1.3175, 1.3100 dan 1.3000;
  • USD/JPY. Walaupun sedikit, namun pertumbuhan yang ditunjukkan pasangan ini pada minggu lalu telah membuatkan para penganalisis berfikir tentang peralihan pergerakan ke bawahnya kepada pergerakan mendatar. Justeru, 60% daripada mereka menjangkakan ia akan bergerak pada julat di antara 103.70-105.30 buat seketika. Senario seperti itu mendapat sokongan analisis grafik pada D1 dan hanya 10% daripada pengayun yang menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Jika sempadan atas saluran itu berjaya dilepasi, paras rintangan yang perlu dihadapai pasangan tersebut adalah 105.70, dan kemudian 106.15.
    Baki 40% penganalisis, bersama-sama analisis grafik pada H4 dan juga 100% indikator trend serta 90% pengayun pada kedua-dua tempoh masa yang menunjukkan penurunan kedudukan pasangan ini memihak pada bear. Paras sokongan pertama berada pada 103.70. Ia kemudian diikuti dengan paras terendah pada 9 November iaitu 103.15, dan paras itu sepadan dengan garis tengah saluran menurun jangka sederhana pasangan itu. Sasaran terunggul bear adalah paras terendah tahun 2020 yang dicapainya pada 9 Mac lalu, iaitu 101.17;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 30 November - 04 Disember, 20201

  • Matawang Kripto. Jika anda lihat pada carta, situasi yang berlaku sekarang amat menyerupai dengan apa yang telah berlaku pada Disember 2017. Dalam pada itu, ramai penganalisis yang menyatakan bahawa keadaan pasaran sudah berubah, penurunan nilai yang berlaku pada tiga tahun lalu tidak mungkin akan berulang. Benar, terdapat peningkatan dalam penerimaan bitcoin dikalangan pelabur persendirian dan juga gergasi pelaburan berinstitusi. Juga benar, populariti bitcoin sebagai alat perlindungan daripada inflasi juga bertambah disebabkan oleh begitu banyak wang fiat yang dikeluarkan akibat wabak coronavirus. Namun, bagaimana jika penurunan nilai yang sedang berlaku sekarang adalah disebabkan oleh tindakan sebahagian besar spekulator yang ingin mendapatkan pulangan sebelum berakhirnya tahun ini? Bagaimana jika order stop sudah mula dilaksanakan semasa nilainya hampir mencecah paras tertinggi dalam sejarah?
    Menurut CoinTelegraph, sebelum nilainya jatuh mendadak, metrik All Exhange Inflow menunjukkan peningkatan penempatan BTC di kebanyakan bursa, dan jelas ia menunjukkan keinginan para jerung yang mula mahu menjual aset kripto mereka. Namun, melihat pada situasi semasa, ramai daripada pelabur-pelabur kecil akan turut serta setelah melihat pada tindakan para pelabur besar. Tambahan pula, cuti perayaan Krismas akan tiba tidak lama lagi, dan ia adalah antara musim yang menunjukkan peningkatan dalam penggunaan wang fiat.
    Terdapat pelbagai punca kepada penurunan mendadak pasangan BTC/USD. Namun tiada satu sebab pun yang dilihat akan memaksa kepada pertumbuhan nilai pasangan itu sekurang-kurangnya hingga awal tahun 2021. Walaupun begitu, lonjakan pasangan ini secara tiba-tiba sudah pastinya masih boleh lagi berlaku. Sebahagian daripada spekulator utama mungkin cuba untuk bermain bullish, sebagai contoh, tindakan keras kerajaan China terhadap para penghasil coin hingga menyebabkan kurangnya bekalan di pasaran kripto. Semua perkara ini masih mampu menolak nilainya ke atas.
    Untuk masa terdekat ini, alangkah baik jika kami memetik pendapat seorang penganalisis iaitu Mati Greenspan. Beliau percaya bahawa, tidak seperti apa yang berlaku pada 2017, pasaran kini tidak lagi dikawal oleh para spekulator tetapi syarikat-syarikat serta pelabur-pelabur besar yang lebih berminat dengan kestabilan. Kemasukan para pelabur utama ini menyimpulkan hakikat bahawa kadar kemeruapannya akan berkurangan, dan ia akan mula menarik perhatian ramai orang. Sehubungan dengan perkara di atas, seperti kebanyakan penganalisis (kini 65% daripada mereka), Greenspan menjangkakan nilai tertinggi bitcoin pada tahun ini akan diperbaharui lagi.
    Dalam masa yang sama, pasaran lebih berminat dengan di kedudukan manakah proses pembetulan ini akan terhenti. Umumnya, adakah ia suatu pembetulan ataupun trend pengunduran ke bawah di peringkat global? Selain daripada zon $17,000 di mana berlakunya penyatuan sebelum minggu berakhir, sokongan kukuh yang berikutnya mungkin berada pada paras terendah yang diduduki pada 26 November lalu di sekitar $16,000-16,300, dan ia berada dalam lenkungan pembetulan Fibonacci. Walau bagaimanapun, jika pasangan ini dengan mudah melepasi paras sokongan tersebut, sudah pasti ia akan kembali ke zon di antara $14,700-15,700, kedudukan di mana ia berada di awal bulan November dan permulaan bagi lonjakan mendadak nilainya.
    Sebelum mengakhiri ulasan ini, terdapat satu lagi ramalan global yang dibuat oleh Max Kaiser. Veteran Wall Street ini percaya bahawa kejutan bekalan akan menyebabkan nilai bitcoin melonjak kepada $1 juta. “Permintaan terhadap bitcoin meningkat hampir secara eksponen,” beliau berkata, “namun mengikut kira-kira bekalan harian yang ditetapkan hanyalah sebanyak 900 coin. Pada tahun 2024 pula, bekalan akan dikurangkan kepada 450 BTC saja setiap hari. Inilah sebabnya saya merasakan pihak institusi yang membeli bitcoin akan berbuat demikian secara terus daripada para penghasil, dan orang kebanyakan tidak akan berpeluang untuk membeli coin kerana harganya akan melonjak kepada $1 juta bagi setiap BTC. Sementara itu, golongan Gen Z yang membeli banyak bitcoin semasa harganya di bawah $100 bakal menjadi golongan elit global yang baru. Aturan dunia akan mula melalui perubahan.”

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami