Januari 16, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Menyampaikan ramalan untuk minggu lalu, majoriti penganalisis (60%) lebih memihak kepada penurunan pasangan ini ke paras sokongan 1.2100 pada awalnya, dan kemudian mungkin berada 50 mata lebih rendah. Hampir semua yang diramalkan berlaku: pasangan EUR/USD berada pada paras 1.2075 semasa berakhirnya minggu dagangan.
    Perlu maklum bahawa terdapat situasi yang agak tipikal sedang berlaku di pasaran sejak bermulanya 2021. Menjadi kebiasaan, lonjakan pasaran saham mengurangkan tekanan ke atas dolar. Itulah yang benar-benar berlaku pada bulan lepas: dipenuhi dengan sentimen risiko, pasaran S&P500 bertumbuh dengan stabil, manakala indeks dolar yang memainkan peranan penting sebagai aset pertahanan terus menyusut. Menurut Bank of America Merrill Lynch, pada bulan Disember, ramai pelabur bersungguh-sungguh membeli saham syarikat-syarikat teknologi dan mereka juga bersungguh-sungguh menyingkirkan dolar dengan jangkaan pandemik COVID-19 akan berakhir, mengakibatkan kadar KDNK melonjak. Kini situasinya berubah secara mendadak: indeks DXY USD mula mengalami pertumbuhan selari dengan S&P500.
    Apakah puncanya? Pertama sekali, buat masa ini saham AS dilihat dinilai secara berlebihan. Setidak-tidaknya itulah pandangan para pelabur di Amerika. Selain daripada itu, dalam ulasan sebelum ini kami telah nyatakan setelah Presiden AS yang dipilih iaitu Biden serta majoriti ahli Demokrat di Dewan Senat mendapat perakuan, hasil bon Perbendaharaan AS selama 10 tahun akan meningkat dengan mendadak, membawa bersama nilai dolar. Ketua-ketua di Federal Reserve Banks (FRB) di Richmond dan Philadelphia menghangatkan lagi keadaan, memberi petunjuk terdapat kemungkinan program QE akan dilonggarkan serta kadar faedah ke atas dolar akan meningkat; bull mula menutup posisi long EUR/USD;
  • GBP/USD. Sepanjang lima hari lalu, pasangan ini telah mengosongkan laluannya, bergerak di saluran antara 1.3450-1.3700 di sepanjang Pivot Point 1.3575. Pada mulanya, ia turun ke sempadan bawah julat dagangan itu, kemudian mengubah arah dan bergerak ke atas secara mendadak, mencapai nilai yang didudukinya 2.5 tahun lalu pada hari Rabu.
    Pound telah dibantu oleh ketua Bank of England pada minggu lalu, Andrew Bailey yang bukan saja menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kadar faedah negatif, malah turut berpendapat pandemik coronavirus tidak mampu mengubah sebarang struktur ekonomi di UK. Hasilnya, pound menunjukkan keuntungan terbesar sejak dua bulan lalu. Namun, mengikut trend pengukuhan dolar secara umumnya, pasangan ini kembali ke Pivot Point selepas itu dan mengakhiri minggu pada paras 1.3580;
  • USD/JPY. Ramalan yang dipersetujui oleh majoriti penganalisis (55%) ternyata menjadi kenyataan: pasangan ini mengekalkan kedudukannya di saluran menurun jangka sederhana, dan setelah naik ke sempadan atas, ia bergerak ke tengah.
    Jika diingat 10% penganalisis lagi menjangkakan pasangan ini akan bergerak secara mendatar, menjadikan turun naiknya di sekitar Pivot Point 104.00. Telaan mereka juga ternyata tepat: setelah memulakan dagangan lima hari pada paras 103.95, kedudukan terakhir pasangan ini juga berada di zon yang sama, pada paras 103.85;
  • Matawang Kripto. Pada petang Jumaat, 15 Januari, carta bitcoin memaparkan pergerakan yang boleh dikatakan sebagai kembali meningkat dan pembetulan berterusan ke bawah. Setelah mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada 8 Januari iaitu $41,135, pasangan BTC/USD bergerak ke bawah dan turun ke paras $30,600 pada 11 Januari. Isyarat mengenai bitcoin memiliki lebihan belian sudah lama ditunjukkan oleh semua indikator utama, dan semuanya hanyalah alasan untuk pembetulan mendadak seperti itu. Alasan yang diberikan adalah pertambahan hasil bon kerajaan AS sehingga mengakibatkan nilai dolar mengukuh. Hasilnya, matawang kripto utama itu kerugian hampir 25% daripada nilainya dalam tempoh tiga hari.
    Kemudian, berita gembira menemui pelabur, pasangan ini sekali lagi menghampiri paras $40,000, dan AS sekali lagi menjadi penyebab rasmi berlakunya perkara itu. Lebih tepat lagi, Presiden yang dipilih iaitu Joe Biden telah mengumumkan pakej bantuan ekonomi yang baru berjumlah $1.9 trilion termasuklah pembayaran secara terus kepada rakyat Amerika sebanyak $2,000. Rangsangan fiskal serta kewangan dengan jumlah sebesar itu berkemungkinan akan menyebabkan inflasi, menambah permintaan aset berisiko, termasuklah matawang kripto.
    Semua berita gembira pasti akan berakhir. Nilai bitcoin berhenti mengalami pertumbuhan pada 14 Januari, dan ia gagal memperbaharui paras tertingginya. Kemudian ketua ECB iaitu Christine Lagarde menyeru supaya undang-undang ke atas pasaran matawang digital dikenakan di peringkat global. Merujuk kepada sifat bitcoin yang dipenuhi dengan spekulasi, beliau menyatakan undang-undang itu boleh dimulakan di negara-negara dalam kalangan G7, diteruskan pada negara-negara G20, dan akhirnya dikembangkan di peringkat global.
    Menggunakan kelebihan ke atas situasi itu, bear mengawal semula keadaan dan pasangan BTC/USD turun di bawah paras $35,000 sekali lagi pada petang Jumaat, 15 Januari.
    Perlu maklum bahawa aktiviti para pelabur turun mendadak pada permulaan 2021. Menurut CoinShares, hanya $29 juta telah dilaburkan ke dalam dana kripto pada minggu pertama Januari. Hal ini berlaku walaupun pada hakikatnya pelaburan serupa yang melebihi $1 bilion dibuat seminggu sebelum Hari Krismas. Sudah tentu, situasi tenang seperti itu boleh dijelaskan oleh penangguhan akibat musim cuti. Lebih-lebih lagi, jerung-jerung kripto juga lambat memberi reaksi terhadap pembetulan yang berlaku antara 8-11 Januari: operasi pengeluaran yang direkodkan hanya melibatkan sebilangan kecil daripada walet BTC mereka.
    Sekurang-kurangnya data PayPal menunjukkan pasaran runcit perlahan-lahan terjaga daripada hibernasi Hari Krismas dan Tahun Baru, jumlah dagangan bitcoin pada platform tersebut meningkat sebanyak 950% sejak awal Januari, jumlah itu adalah hampir 10 kali ganda. Menurut perkhidmatan analisis Nomics, jika pengguna platform hanya membuat transaksi BTC sebanyak $22.8 juta pada 1 Januari, 2021, volumnya adalah berjumlah $242 juta sepuluh hari kemudian.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto adalah sebanyak $1 trilion pada 15 Januari (jumlah tertinggi pada 10 Januari adalah sebanyak $1.13 trilion). Indeks dominasi BTC berada di sekitar 68%, manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun dari 95 mata kepada 88 mata untuk sepanjang minggu.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell menafikan kenyataan yang dibuat oleh rakannya di Bank Rizab Persekutuan wilayah, dan mengatakan seseorang itu tidak boleh bergantung pada peningkatan kadar faedah serta pelonggaran polisi kewangan dalam masa terdekat ini. Kenyataan itu, ditambah dengan pakej rangsangan fiskal Joe Biden yang baru berjumlah $1.9 trilion berkemungkinan akan membantutkan lonjakan hasil bon Perbendaharaan AS serta sokongan bull pada S&P500. Tambahan pula, harapan untuk program vaksinasi yang akan memecut pertumbuhan KDNK masih ada. Oleh itu, penganalisis di Wall Street Journal mengunjurkan pertambahan kadar KDNK di Amerika sebanyak 4.3 % untuk tahun 2021.
    Namun adakah ia akan memutuskan korelasi antara dolar dan pasaran saham yang sedang berlaku sekarang? Adakah nilai dolar akan berhenti bertumbuh? Tidak dinafikan pertumbuhan S&P500 bukan saja akan mendapat sokongan warga Amerika, malah pelabur-pelabur besar dari lain-lain negara. Kemasukan modal asing ke dalam ekonomi AS seperti itu akan mengukuhkan nilai matawang AS.
    Sekarang, khusus berkenaan pasangan EUR/USD. Jelas semasa ramalan ini dibuat (15 Januari), kebanyakan indikator adalah berwarna merah. 100% indikator pada H4, 75% pada D1, serta 75% pengayun pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan penurunan. Baki pengayun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan.
    Bagi para penganalisis, buat masa ini pendapat mereka adalah sama rata. Namun jika bergerak daripada ramalan mingguan kepada jangka sederhana, kecondongan lebih memihak kepada bull. 65% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1 menjangkakan penyusutan nilai dolar serta lonjakan pasangan ini sekurang-kurangnya ke paras antara 1.2500-1.2550 bagi sebulan setengah hingga dua bulan seterusnya. Rintangan paling hampir berada pada paras 1.2175, 1.2275, 1.2300 dan 1.2350. Sokongan utama berada di sekitar 1.1800-1.1900.
    Antara peristiwa penting yang perlu diberi tumpuan pada minggu depan adalah keputusan ECB terhadap kadar faedah mereka serta sidang akhbar oleh pihak pengurusan penggubal dasar tersebut selepas itu pada hari Khamis, 21 Januari. Data aktiviti perniagaan di Jerman dan juga seluruh Eurozone akan diketahui sehari selepas itu pada 22 Januari;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 18 - 22 Januari, 20211

  • GBP/USD. Bukan saja statistik aktiviti perniagaan di Jerman dan EU yang akan diketahui, malah UK juga akan mengeluarkan data tersebut (Markit untuk sektor perkhidmatan) pada hari Jumaat 22 Januari. Data tersebut boleh memberi isyarat kepada para pelabur tentang bagaimana serangan strain coronavirus yang baru telah memberi kesan kepada ekonomi negara tersebut. Perlu diingat Britain melaporkan kadar kematian serta jumlah kes baru tertinggi di London dan juga tenggara England sepanjang beberapa minggu lalu.
    Walau bagaimanapun, masalah berkenaan COVID-19 turut membimbangkan di lain-lain negara, ini termasuklah di Amerika Syarikat. Justeru, 60% penganalisis yang disokong oleh analisis grafik pada H4 dan D1 percaya bahawa pasangan ini mampu untuk kembali ke paras 1.3700, dan mungkin naik 100 mata lebih tinggi. Hujah lain untuk pertumbuhannya adalah rangsangan fiskal di AS yang telah dibincangkan sebelum ini.
    Sokongan berada para paras 1.3540 dan 1.3450;
  • USD/JPY. Sebilangan penganalisis mengaitkan peningkatan pasangan ini dari bahagian bawah ke sempadan atas saluran menurun jangka sederhana yang berlaku pada dua minggu pertama Januari adalah disebabkan oleh pertambahan sentimen risiko serta kurangnya permintaan yen sebagai matawang selamat. Berdasarkan perkara-perkara itu, mereka percaya bahawa pasangan ini masih lagi boleh menembusi sempadan atas saluran yang telah disebut tadi dan naik ke zon 105.00. 35% penganalisis serta analisis grafik pada D1 bersetuju dengan senario itu. Sasaran bull yang seterusnya adalah 105.70, rintangan paling hampir berada di zon antara 104.00-104.35.
    Majoriti penganalisis (65%) berkeyakinan bahawa pasangan ini akan kekal berada di saluran yang kini dilaluinya. Sokongan paling hampir berada pada paras 103.60, paras seterusnya adalah 103.00. Sasarannya berada di sekitar 102.50.
  • Matawang Kripto. Kini, jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto berada pada paras $1 trilion. Jumlah ini adalah sesuatu yang penting dari segi psikologi, terutama sekali bagi pelabur runcit. Pertumbuhan berterusan indikator ini akan mengesahkan lagi dengan jelas mengenai ramalan lonjakan nilai BTC/USD sekurang-kurangnya ke paras $50,000. Jika jumlah modalnya mengalami penurunan, ia boleh menyebabkan kejatuhan jualan coin tersebut: musim dingin kripto yang berlaku pada tahun 2018 menjadi contoh yang masih segar dalam ingatan.
    Dalam masa yang sama, mood optimis masih lagi mendominasi pasaran. Sebagai contoh, penganalisis kripto di Bloomberg iaitu Mike McGlone percaya bahawa kadar $50,000 adalah target sebenar buat bitcoin. Beliau membuat ramalan itu pada beberapa bulan yang lepas, menurut ramalan beliau nilai BTC seharusnya bertumbuh ke paras tertinggi yang baru dalam sejarah pada Disember 2020, dan ia benar-benar berlaku. “Saya merasakan aset tersebut akan menembusi sempadan 50 ribu tidak lama lagi,” jelas penganalisis itu. Tambah beliau lagi peluang untuk BTC mengalami pertumbuhan adalah lebih tinggi berbanding daripada mengalami penyusutan, dan secara praktikalnya pengunduran ke paras $20,000 boleh dikecualikan.
    Dan Morehead, CEO syarikat pelaburan Pantera Capital mengunjurkan harga bitcoin akan mencecah $115,000 menjelang Ogos 2021 dan hal-hal seperti pelancaran yuan digital akan terus membantu matawang kripto menembusi ekonomi global.
    Jika ia berlaku, akan wujud lebih ramai jutawan-jutawan kripto di dunia. Menurut Forbes, buat masa sekarang senarai jutawan kripto adalah seperti berikut:
    Di tangga pertama adalah adik-beradik Winklevoss, pengasas bursa bitcoin Gemini. Menurut Forbes, nilai aset matawang kripto mereka dianggarkan kira-kira $1.4 bilion. Pengasas bersama Bloq iaitu Matthew Roszak berada di tangga kedua dengan nilai aset digital yang dimilikinya sebanyak $1.2 bilion, diikuti dengan kapitalis usahasama Tim Draper. Mengikut anggaran Forbes, nilai aset miliknya adalah sebanyak $1.1 bilion.
    Menduduki tangga keempat ialah Michael Sailor, ketua MicroStrategy dengan aset bernilai $600 juta, di tangga kelima pula adalah pengasas bank kripto Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz. Forbes menganggarkan matawang kripto miliknya adalah berjumlah $478 juta. Jutawan terakhir dalam senarai tersebut adalah milik Vitalik Buterin iaitu pengasas bersama ethereum dengan aset bernilai $360 juta.
    Berbalik pada ethereum. Menurut pengasas dana pelaburan DTAP Capital iaitu Dan Tapiero, coin itu sudah bersedia untuk terus mengalami pertumbuhan. Perkara ini dibuktikan oleh minat syarikat kewangan Amerika iaitu Northern Trust terhadap para pelanggan berinstitusi mereka. Syarikat pemegangan itu telah melancarkan perkhidmatan menyimpan matawang kripto dengan kerjasama bank Standard Chartered. Justeru “jika Northern Trust menyimpan bitcoin dan ethereum, maka wujudlah pembeli kedua-dua aset tersebut,” Tapiero membuktikan pandangan beliau.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami