Mac 13, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Jika diingat ucapan oleh ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell pada 4 Februari lalu secara harfiahnya telah meruntuhkan pasaran saham Amerika. Powell terus bersikap acuh tak acuh dengan lonjakan hasil bon Perbendaharaan AS yang mencatatkan jumlah tahunan tertinggi. Dalam masa yang sama, beliau membayangkan mungkin belum tiba masanya polisi kewangan mereka akan diketatkan.
    Walaupun ketua Rizab Persekutuan itu menekankan bahawa kemeruapan ekonomi di negara tersebut masih lagi belum berlaku, dan beliau sendiri tidak nampak sebarang keperluan untuk menaikkan kadar faedah, pasaran telah membayangkan kemungkinan polisi kewangan akan berubah. Sebagai tindak balas, hasil bon Perbendaharaan melonjak bersama-sama dengan dolar, manakala pasaran saham pula jatuh. Indeks S&P500 rugi sebanyak 120 mata manakala indeks Purata Industri Dow Jones mengalami kerugian lebih daripada 300 mata.
    Kemudian, segalanya berubah pada hari Selasa, 9 Mac. Pertumbuhan kukuh saham teknologi, statistik positif daripada pasaran buruh, peningkatan aset isi rumah serta rang undang-undang bagi pakej rangsangan baru bernilai $1.9 trilion yang ditandatangani oleh Presiden AS Joe Biden telah menolak pasaran saham Amerika ke atas. Bukan saja indeks S&P500 pulih daripada kerugian, malah ia juga mencatatkan rekod kadar tertinggi yang baru, mencecah paras 3.960. Bagi bon perbendaharaan jangka panjang, hasil yang ditunjukkan adalah sebaliknya, kini lebih stabil. Semua ini tetap berlaku walaupun pada hakikatnya jumlah permohonan yang dihantar adalah melebihi jumlah yang dikeluarkan sebanyak 2.38 kali ganda, dan pembelian oleh pelabur asing kira-kira 20% berjumlah $38 bilion.
    Pasangan EUR/USD mencecah ketinggian 1.1990 pada hari Khamis, 11 Mac disebabkan oleh faktor-faktor tersebut. Walau bagaimanapun, ia gagal untuk menembusi paras 1.2000. Penurunan pasangan ini serta penyusutan nilai euro telah dibantu oleh kenyataan yang dibuat oleh pihak pengurusan ECB berkenaan pertambahan kadar pembelian bon di bawah program PEPP (Pandemic Emergency Purchase Program). Namun hasilnya tidaklah begitu memberangsangkan, dan tiada siapa yang menyebut tentang menaikkan skala PEPP. Disebabkan itu, penurunan pasangan ini tidak begitu ketara, dan ia mengakhiri minggu pada paras 1.1950;
  • GBP/USD. Lebih ramai penganalisis yang tertanya-tanya adakah nilai pound telah melepasi paras tertingginya pada 24 Februari lalu. Inikah masanya untuk ia menyatukan nilai dengan dolar? Matawang British telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 2830 mata berbanding “rakannya” di Amerika (daripada 1.1410 kepada 1.4240) yang bermula pada minggu terakhir bulan Mac 2020. Kami telah memerhatikan pergerakan mendatar pasangan GBP/USD di sepanjang Pivot Point 1.3900 sepanjang dua minggu lalu. Sempadan atas julat dagangan ini kelihatan agak jelas: ia adalah rintangan bagi paras 1.4000. Dua paras sokongan boleh dianggap sebagai sempadan bawah julat itu: paras paling hampir - 1.3850 dan paras berikutnya - 1.3775.
    Carta GBP/USD pada minggu lalu amat menyerupai carta EUR/USD. Hal ini mencadangkan matawang pound dan juga euro buat masa ini bukanlah pemain yang agak bebas di pasaran kerana kedua-duanya bergantung kepada polisi kewangan Rizab Persekutuan AS dan juga jumlah hasil bon kerajaan AS. Setelah memulakan minggu pada paras 1.3840, pasangan ini bergerak dalam julat yang disebutkan di atas sepanjang minggu, dan paras terakhir berada pada kedudukan 1.3925;
  • USD/JPY. Yen telah mengecap kejayaan demi kejayaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan pasangan USD/JPY telah mencapai kedudukan tertinggi sepanjang lapan bulan. Ramai pedagang takut untuk membuka posisi long dan short dalam keadaan ini. Pada satu sudut, pasangan ini sudahpun memiliki lebihan belian, dan pada sudut yang lain pula, kedudukannya mungkin akan naik disebabkan oleh inersia. Hakikatnya inilah yang berlaku: pertama sekali nilainya naik ke paras 109.25, kemudian diikuti dengan pembetulan ke paras 108.35, dan lonjakan ke paras baru berdekatan dengan 109.00, di situlah kedudukan terakhir pasangan tersebut;
  • Matawang Kripto. Nilai bitcoin mencatatkan paras tertinggi pada 21 Februari iaitu $58,340, dan kemudian turun ke paras $43,160, susut sebanyak 26%. Menurut Material Indicators, penyusutan ini digunakan para jerung dan juga pelabur berinstitusi untuk membuat pembelian aset daripada pelabur-pelabur kecil. Sebagai contoh, bilangan order pembelian BTC dalam jumlah antara $0.1 juta dan $1 juta merekodkan nilai tertinggi di bursa kripto Binance. Kini, dua puluh satu hari kemudian, pada 12 Mac, nilai Bitcoin sekali lagi menembusi paras $58,000. Walau bagaimanapun, semasa ulasan ini dibuat, ia gagal untuk memperbaharui rekod nilai tertinggi, terhenti pada paras $58,240
    Kedudukan pasangan BTC/USD naik pada minggu lalu walaupun berlakunya lonjakan pada pasaran saham AS. Namun, berkemungkinan besar, ini hanyalah sesuatu yang formal, dan bukan punca sebenar kepada pengaktifan bull. Jelas sekali bahawa mereka pasti membuat cubaan untuk berada di atas paras $60,000. Persoalan yang tinggal hanyalah bilakah ia akan berlaku.
    Menurut CryptoQuant, permintaan bagi bitcoin terus meningkat, dan bilangan yang ada pada bursa-bursa berada pada jumlah paling sedikit dalam tempoh dua tahun. Seperti yang dinyatakan oleh para penganalisis Bloomberg dalam laporan bulan Februari mereka, bitcoin adalah aset yang menjadi semakin popular dalam kalangan pelabur dan perlahan-lahan menggantikan emas daripada portfolio mereka. Menurut penulis laporan itu, pengurangan julat turun naik harganya menunjukkan matawang kripto utama sebenarnya sudah pun menjadi alternatif kepada aset pelaburan tradisional.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto juga mencatatkan paras tertinggi yang baru, bersama-sama dengan bitcoin. Nilainya naik daripada $1444 bilion kepada $1756 bilion sepanjang minggu. Kini jumlah $2 trilion bakal menjadi paras psikologi penting yang baru.
    Menariknya, walaupun pertumbuhan mingguan pasangan BTC/USD adalah sebanyak 20%, bacaan Indeks Fear & Greed pula adalah sebaliknya, turun daripada 77 kepada 70, menunjukkan mungkin terdapat mood bull di pasaran.
    Satu lagi pemerhatian yang agak menarik. Dominasi pasaran bitcoin turun daripada 70.4% kepada 61.4% sejak awal 2021. Indikator bagi altcoin yang menduduki 10 TERATAS juga sama ada mengalami penyusutan atau kekal pada paras yang sama. Namun jumlah keseluruhan modal pasaran token yang lebih kecil bertambah daripada 10.3% kepada 14.4%. Berkemungkinan coin-coin ini tidak akan membangkitkan minat ramai pelabur. Oleh itu, statistik seperti ini hanya boleh menunjukkan pelabur mula menggunakannya secara aktif sebagai alat spekulasi jangka pendek.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR / USD. Rizab Persekutuan AS akan mengadakan mesyuarat pada 16-17 Mac. Kami menantikan Rumusan Unjuran Ekonomi dari pihak Jawatankuasa Open Market (FOMC), keputusan terhadap kadar faedah, komen terhadap polisi kewangan serta sidang akhbar oleh pihak pengurusan Rizab Persekutuan selepas mesyuarat itu. Kadar faedah dilihat akan kekal tidak berubah pada 0.25%. Oleh itu, unjuran yang dibuat para penggubal dasar akan menjadi tarikan utama. Harapan tinggi sekali lagi akan tertumpu kepada jurang kadar pemulihan ekonomi antara AS dan juga Eurozone. Para pelabur juga khuatir dengan polisi kewangan yang mungkin akan diketatkan serta sikap pihak pengurusan Rizab Persekutuan berkenaan perubahan hasil bon kerajaan. Penyatuan hasil bon 10 tahun pada julat antara 1.5-1.6% akan dapat membantu pasaran saham serta menolak pasangan EUR/USD ke paras melebihi 1.2000.
    Setakat ini, kelebihan memihak kepada dolar. 70% daripada penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik, 85% pengayun serta 80% indikator trend pada D1 mengunjurkan penurunan pasangan ini ke zon antara 1.1800-1.1850.      Sokongan masih lagi berada pada paras SMA selama 200 hari iaitu 1.1826. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1900.
    Pendapat alternatif diberi oleh baki 30% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik pada H4. Bagi indikator teknikal pada tempoh masa yang sama, bacaan yang diberi agak mengelirukan. Sila maklum apabila beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, bilangan penganalisis yang menyokong bull bertambah kepada 60%. Rintangan berada pada paras 1.2025, 1.2060, 1.2170, 1.2200 dan 1.2270;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 15 - 18 Mac, 20211

  • GBP/USD. Selain daripada mesyuarat oleh pihak Rizab Persekutuan, Bank of England juga akan mengadakan mesyuarat pada hari Khamis, 18 Mac. Hasilnya mungkin tidak akan memberi kesan kepada pelabur seperti mana yang berlaku pada rakan sejawat mereka di seberang Lautan Atlantik. Walau bagaimanapun, maklumat sama ada ekonomi di British sedang pulih atau tidak serta prospek mengenainya bakal diketahui. Pasaran juga ingin tahu tentang perkembangan mengenai hubungan mereka dengan Kesatuan Eropah selepas Brexit.
    Pendapat penganalisis buat masa ini terbahagi sama rata. Satu pertiga daripada mereka, bersama-sama analisis grafik pada H4 percaya pasangan ini akan kekal berada pada julat dagangan antara 1.3775-1.4000. Satu pertiga lagi, disokong oleh analisis grafik pada D1 mengunjurkan pertumbuhan ke paras tertinggi yang dicapai pada 24 Februari lalu iaitu 1.4240. Akhir sekali, baki satu pertiga lagi menunggu pasangan ini turun ke zon 1.3600;
  • USD/JPY. Persoalan sama ada penurunan matawang Jepun akan terhenti akan terjawab pada minggu depan, manakala pasangan USD/JPY pula - lonjakan mendadak. Terdapat tiga faktor yang akan menjadi penentu: hasil bon Amerika, hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan juga mesyuarat Bank of Japan yang akan berlangsung pada hari Jumaat, 19 Mac, di mana perbincangan itu akan menentukan polisi masa depannya.
    Peningkatan hasil bon AS menolak yen ke bawah, dan penggubal dasar di Jepun dijangka akan memberikan reaksi berkenaan keruntuhan mendadak ini. Buat masa ini, masih tiada jawapan untuk persoalan sama ada BOJ akan terus mengawal lengkung hasilnya atau pun tidak.
    Perlu maklum bahawa penurunan terakhir nilai yen serta pertumbuhan kadar USD/JPY pada 12 Mac lalu berlaku dengan jumlah yang banyak. Ini menunjukkan minat para pelabur utama dalam meneruskan trend ke atas pasangan tersebut belum lagi berakhir. Trend itu hanya boleh diundurkan sama ada oleh penyatuan hasil sekuriti AS, atau jualan aset berisiko secara aktif.
    Namun semasa ulasan ini dibuat, 55% penganalisis menjangkakan pasangan ini masih lagi mampu untuk naik ke zon antara 109.50-110.00. 20% lagi memihak kepada pergerakan mendatar manakala baki 25% pula ingin pasangan ini jatuh. Hampir 100% indikator trend pada H4 dan juga D1 adalah berwarna merah. Dalam kalangan pengayun pada H4, 80% daripada mereka sudahpun menunjukkan lebihan belian, namun pada D1, hanya 35% yang menunjukkan perkara sama, hal ini membayangkan pembetulan ke arah bawah pasti akan berlaku. Jika beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, 80% penganalisis sudah pun menjangkakan penurunan pasangan ini dan kembalinya ia ke zon 105.00. Sokongan berada pada paras 108.35, 106.65, 106.10 dan 105.70;
  • Matawang Kripto. Ingat semula pada awal Mac lalu, ketua bank kripto Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz secara tiba-tiba mengubah unjurannya mengenai kadar BTC untuk akhir tahun 2021. “Saya rasakan,” ahli bank itu berkata, “nilainya akan kekal di antara $42,000 dan $60,000 buat sementara, dan kemudian melonjak naik kepada $100,000.
    Pasukan di Bloomberg juga turut positif dengan pertumbuhan berterusan kadar matawang kripto utama itu. “Setelah nilai coin melepasi nilai $50,000, ia mempunyai peluang cerah untuk menguji paras yang lebih tinggi. Permintaan terhadap aset ini semakin meningkat, dan indikator makroekonomi yang berkaitan dengannya juga bertambah baik,” jelas mereka dalam laporan untuk bulan Februari. Menurut penganalisis di Bloomberg, nilai bitcoin mampu untuk mencecah $100,000 pada tahun ini, dan pertumbuhan nilainya akan terus berlaku dalam jangka masa panjang.
    Jika mengikut kata-kata Novogratz, berapa lama lagikah nilai bitcoin akan terapung di antara $42,000 dan $60,000? Adakah ia sedang menunggu untuk lonjakan mendadak?
    Sebilangan penganalisis bersikap pesimis. Puncanya, mereka mengatakan lebih banyak kad grafik pada cip baru yang dibeli para penghasil hingga menyebabkan kenaikan harga serta bekalan kad seperti itu yang berkurangan di pasaran. Hal ini mengingatkan kita pada situasi sama yang berlaku pada hujung Disember 2017 - Januari 2018 ketika berakhirnya ledakan penghasilan yang menyebabkan pasaran jatuh, kemusnahan ramai penghasil serta permulaan musim dingin kripto. Mungkin tiada musim dingin yang akan berlaku pada kali ini, jelas penganalisis, namun pergerakan nilainya yang mendatar sama sekali tidak boleh dikecualikan.
    Untuk jangka panjang pula, kos elektrik untuk melombong juga menjadi penghalang kepada pertumbuhan aset digital. Kegiatan melombong sentiasa berkembang, dan proses ini menggunakan jumlah tenaga yang sudah pun menyamai penggunaan tenaga sebuah negara seperti Belanda. Pada satu ketika, prosesnya mungkin memerlukan penggunaan kesemua tenaga yang ada di dunia bagi menjana hanya satu unit. Menurut pakar futurologi di Universiti Singularity, hal ini akan menjadi penghalang yang tidak dapat diatasi untuk pasaran kripto.
    Walau bagaimanapun, jika wujud bear yang pesimis, sudah pasti ada juga bull yang optimis. Menurut ketua ARK Investment iaitu Cathie Wood, buat masa ini harga bitcoin adalah paling berkorelasi dengan harga hartanah. Namun pada masa hadapan, beliau percaya bitcoin akan menjadi sesuatu yang menyerupai instrumen berisiko rendah seperti bon dan sering disyorkan ke dalam portfolio pelabur. “Saya merasakan matawang kripto pertama ini akan berkelakuan seperti pasaran pendapatan tetap,” Wood menyatakan kepada CNBC. “Kita berjaya mengharungi pasaran bon oleh bull selama 40 tahun. Sesuatu yang tidak mengejutkan jika kelas aset terbaru ini menjadi sebahagian daripada portfolio pelaburan. Mungkin ia menjadi 60% saham, 20% bon dan 20% matawang kripto.”
    Ramalan yang mengatakan kadar bitcoin mungkin akan mencecah $1 juta atau lebih tinggi lagi dalam tempoh 10 tahun telah dibuat oleh CEO bursa kripto Kraken iaitu Jesse Powell. “Kami hanya boleh membuat tekaan pada masa ini, tapi jika anda menilai bitcoin dalam matawang dolar, pasti anda sedar nilainya cenderung menghampiri infiniti”, beliau menjelaskan. Dalam dialog bersama wartawan Bloomberg, ketua Kraken itu juga mengatakan bitcoin mungkin akhirnya akan menggantikan semua matawang fiat utama yang tidak bersandarkan pada emas dan juga lain-lain logam berharga. Namun, beliau bersetuju dengan risiko turun naik mendadak di pasaran, serta nilainya yang mungkin akan “naik atau jatuh sebanyak 50% pada bila-bila masa.” Justeru, menurut Powell, semasa membuat pelaburan bitcoin, anda perlu bersedia untuk mengekalkannya dalam portfolio sekurang-kurangnya lima tahun.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami