April 24, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Ekonomi di AS menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan. Sebaliknya, Eropah kini berada di bawah sekatan pergerakan yang dijalankan secara meluas, dan nampaknya sedang mengalami kemerosotan ekonomi kali kedua. Kelompok yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin COVID-19 di EU adalah sebanyak 25.1%, manakala di Amerika syarikat pula jumlahnya adalah 2.5 kali ganda daripada itu, iaitu 63.2%. Bolehkah euro mengalami pertumbuhan dalam situasi seperti ini? Hanya 25% penganalisis memberi jawapan positif terhadap persoalan itu pada minggu lalu, dan jangkaan mereka adalah tepat: pasangan EUR/USD mencecah paras 1.2080 pada hari Selasa, 20 April.
    Majoriti penganalisis (50%) percaya bahawa bull dan bear akan terlibat dalam permainan “tarik tali” di sepanjang garis 1.2000. Jangkaan mereka juga ada benarnya: turun naik pasangan ini berlaku pada julat antara 1.1995-1.2080 yang bermula dari hari Selasa sehingga berakhirnya minggu. Namun, sudah pastinya kemenangan adalah milik bull kerana paras tertinggi terakhir yang dicapai apabila minggu dagangan selama tujuh hari berakhir adalah 1.2100.
    Terdapat dua punca utama untuk dinamik seperti ini. Yang pertama adalah Amerika, dan yang kedua pula adalah rantau di sebelah lagi lautan Atlantik, iaitu Eropah.
    Pada suatu sudut, hasil bon jangka panjang Perbendaharaan AS terus menurun, dan bersama-sama penurunan itu adalah nilai matawang AS yang terus menyusut. Indeks dolar berbanding enam matawang utama (DXY) berada pada kadar 91.0, turun sebanyak 230 mata berbanding kadar tertinggi tahun ini iaitu 93.3. Hal ini menambah sentimen risiko para pelabur dan terus menolak indeks saham utama AS ke atas. Ia tetap berlaku walaupun Presiden AS iaitu Joe Biden telah mencadangkan untuk menaikkan cukai perolehan modal bagi penduduk di negara itu yang berpendapatan lebih daripada $1 juta hampir sekali ganda (dari 20% kepada 39.6%).
    Pada sudut yang lain pula, nilai euro telah mendapat sokongan ramalan positif daripada kadar vaksinasi di Eropah, khususnya terhadap berita yang mengatakan Pfizer akan meningkatkan bekalan vaksin di EU sebanyak 100 juta dos. Hasil bon Jerman bertambah, kenaikan ini menjadi permulaan untuk merapatkan jurang dengan pesaing mereka dari Amerika Syarikat. Statistik aktiviti perniagaan di Eurozone yang melebihi jangkaan turut membantu bull untuk EUR/USD. Undian Reuters menunjukkan penganalisis mengunjurkan penurunan purata PMI daripada 53.2 mata kepada 52.8 mata. Walau bagaimanapun, bacaannya naik kepada 53.7 untuk bulan April;
  • GBP/USD. Pertama sekali, sedikit mengenai satu lagi pasangan yang mungkin akan muncul pada masa akan datang, GBC/USD. Sementara penggubal dasar di beberapa negara mengharamkan matawang kripto (contohnya, Turki), ada juga yang cuba untuk membiarkan ia digunakan. Baru-baru ini Bank for International Settlements (BIS) telah menjalankan kaji selidik dan keputusan menunjukkan 52 daripada 66 buah bank negara ada memikirkan tentang matawang digital sendiri. Salah satu penggubal dasar yang memberi reaksi seperti itu adalah Bank of England, disokong oleh salah satu konglomerat kewangan terbesar negara itu, Barclays.
    Matawang pound digital yang dicadangkan itu sudahpun mendapat gelaran “Britcoin” dan bagi sesiapa yang tahu mengenai “Brit Milah”, pastinya akan tersenyum sendiri. Bagi mereka yang tidak tahu, biar kami terangkan: ia adalah upacara berkhatan bagi penganut agama Yahudi. Walau bagaimanapun, jika Brit Milah berasal daripada masa lampau, Britcoin pula adalah masa depan digital buat UK yang tidak lagi bersama dengan Kesatuan EU.
    Namun sehinggalah pasangan GBC/USD tersenarai sebagai instrumen dagangan, kita kembali semula kepada “saudara” yang lebih tua, pasangan GBP/USD. Pasangan ini mengalami pertumbuhan pada awal minggu, dan seperti EUR/USD, ia berpunca daripada nilai dolar yang lemah. Pasangan ini mencecah ketinggian 1.4010 pada hari Selasa, naik sebanyak 170 mata. Namun, ia gagal untuk terus berada di atas paras 1.4000: kelebihan yang dimiliki pound hilang dua hari kemudian, dan pasangan ini turun ke paras 1.3825. Menjelang akhir minggu dagangan, pound mendapat bantuan daripada statistik aktiviti perniagaan yang kukuh dalam sektor perkhidmatan: indeks Markit naik daripada 56.3 kepada 60.1 (berbanding 59.0 yang diramalkan) sepanjang bulan, semua itu menyebabkan pasangan ini tumbuh sedikit dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.3885;
  • USD/JPY. Ingat semula pada minggu lalu apabila kami menerangkan tentang hakikat bahawa antara punca penurunan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS yang menyebabkan nilai yen semakin kukuh berbanding dolar mungkin adalah pelabur Jepun yang kembali ke pasaran, Mereka menjual bon Amerika dengan aktif pada hujung tahun kewangan yang lalu, dan kini mula menambahnya semula ke dalam portfolio mereka.
    Majoriti penganalisis (70%) pada tujuh hari lalu bersetuju dengan pertumbuhan nilai matawang Jepun serta penurunan pasangan USD/JPY akan terus berlaku, dan ternyata ramalan itu menjadi kenyataan. Paras 107.50 dijangka menjadi paras sokongan, dan ternyata ia menjadi paras terendah mingguannya. Ia diikuti dengan pembetulan dan berakhir pada paras 107.85;
  • Matawang Kripto. Walaupun bull ditugaskan untuk menghalang pasangan BTC/USD turun di bawah paras $60,000 pada hari Jumaat, 16 April, mereka bergelut pula untuk terus berada di sekitar $50,000 tujuh hari kemudiannya. Selepas nilainya naik mendadak ke paras $64,800 sehari sebelum IPO bursa Amerika iaitu Coinbase dikeluarkan, kini kita sedang menyaksikan penurunan yang sama lajunya. Nilai bitcoin turun ke paras $47,545 pada hari Jumaat, 23 April, penurunan sebanyak 26.6%.
    Sukar untuk mencari punca yang benar-benar telah mengakibatkan penurunan itu. Penganalisis terkemuka Willy Woo mengatakan penurunan itu tercetus akibat bekalan kuasa yang putus secara besar-besaran di wilayah Xinjiang, salah satu wilayah terbesar di China yang menjadi pusat penghasilan bitcoin. Mengikut Indeks Penggunaan Tenaga Cambridge BTC, Xinjiang menggunakan kira-kira 25% daripada jumlah keseluruhan kadar hash coin. Disebabkan hakikat bahawa kebanyakan pelombong gagal berfungsi buat sementara waktu, kadar hash aset berkenaan mula turun, dan purata fi transaksi pada rangkaian bitcoin telah melebihi $50, angka yang tidak pernah dicapai sejak tahun 2017.
    Menurut Woo, kadar pertumbuhan bitcoin seharusnya telah pulih setelah bekalan elektrik kembali stabil. Xinjiang sudah mendapat bekalan elektrik, tapi nilai bitcoin terus jatuh.
    Berulang kali telah kami nyatakan bahawa pasaran kripto amat dipengaruhi oleh risiko undang-undang. Dalam hal ini, keadaan panik mungkin telah didorong oleh khabar angin yang mengatakan siasatan ke atas sebilangan institusi kewangan di Amerika Syarikat yang disyaki menggubal wang haram menggunakan matawang kripto mungkin sudah bermula. Kewujudan dua berita baru memberi lebih banyak tekanan terhadap pasaran. Pertama sekali adalah berita mengenai Kongres AS yang telah bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja antara SEC serta CFTC bagi membangunkan undang-undang matawang kripto. Yang kedua adalah rancangan Presiden AS iaitu Joe Biden untuk menaikkan kadar cukai ke atas perolehan modal, dan hal ini mungkin akan mengehadkan pelaburan ke dalam aset digital.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto jatuh sebanyak 17% sepanjang minggu lalu, turun daripada $2.2 trilion kepada $1.825 trilion. Sementara itu, bitcoin semakin hilang kedudukannya. Jika peratusan jumlah modal pasarannnya adalah 72.65% pada 2 Januari lalu, kini ia hanya tinggal 50.70% pada 23 April. Perkara ini menunjukkan para pelabur mula mencari aset yang lebih menguntungkan bagi pelaburan mereka dalam kalangan altcoin, dan sekarang ini terdapat lebih daripada 8,000 jumlahnya. Lihat saja pada sebut harga Ethereum. Walaupun nilainya jatuh pada 18 April, altcoin terkemuka ini berjaya memperbaharui kedudukan tertinggi dalam sejarahnya pada minggu lalu, mencecah $2,635. Sudah pasti, coin itu tidak terlepas daripada gelombang jualan, namun penurunan nilainya sepanjang minggu lalu hanyalah kira-kira 11%. Bagi penyertaan Ethereum dalam jumlah keseluruhan modal pasaran kripto, peratusannya naik daripada 10.79% kepada 14.49% sejak permulaan tahun ini.
    Merumuskan apa yang berlaku pada minggu lalu, kami sedia maklum dengan penurunan harga bitcoin di bawah nilai purata selama 50 hari, perkara ini agak membimbangkan dan mungkin akan mendorong lebih banyak penjualan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, indeks dominasi BTC juga jatuh. Walau bagaimanapun, nilainya masih jauh berbeza daripada nilai terendah yang dicapai pada awal 2018 apabila ia turun sebanyak 32%. Satu lagi indeks, Indeks Fear & Greed Kripto, turun daripada 78 kepada 55 pada minggu lalu dan kini menghampiri zon neutral.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Seperti yang dijangka, Bank Kesatuan Eropah mengekalkan polisinya yang sangat lembut dan tidak membuat sebarang perubahan semasa bermesyuarat pada 22 April lalu. Sementara itu, ketua bank tersebut iaitu Christine Lagarde sedaya upaya cuba untuk mengurangkan pertumbuhan berterusan matawang euro. Daripada ucapannya, para pelabur dapat menyimpulkan bahawa pihak ECB akan mula mengurangkan program rangsangan fiskal (QE) lebih lambat berbanding Rizab Persekutuan AS disebabkan oleh keadaan ekonomi di EU yang agak jauh ketinggalan di belakang Amerika. (Mengikut ramalan JPMorgan, setelah kadar KDNK di Eurozone turun sebanyak 1% pada suku pertama 2021, kadarnya dijangka akan mengalami pertumbuhan sebanyak 6% untuk suku kedua. Di AS, kadar bagi suku pertama dan kedua masing-masing adalah +5% dan +10%).
    Pihak ECB tidak berminat dengan nilai euro yang kukuh kerana ia akan menganggu kadar eksport di Eropah, dan turut menganggap sebut harga semasa EUR/USD berada pada paras yang tinggi. Namun, Cik Lagarde gagal untuk mengubah arah trend pasangan itu ke bawah. Selain itu, Ketua Rizab Persekutuan AS iaitu Jerome Powell dijangka akan turut menyatakan perkara yang sama pada mesyuarat yang akan berlangsung pada hari Rabu, 28 April nanti: walaupun ekonomi di AS pulih dengan kadar yang memberangsangkan, ia sama sekali belum cukup untuk memulakan perbincangan tentang pengurangan nilai program rangsangan fiskal.
    Mesyuarat ECB yang seterusnya akan diadakan pada 10 Jun, dan banyak perkara boleh berlaku sekarang ini. Nilai euro akan melonjak naik disebabkan oleh peningkatan kadar vaksinasi serta ekonomi di EU yang kembali pulih. Berkemungkinan besar bear akan gagal untuk mengubah arah pasangan ini ke bawah sehinggalah hasil bon Perbendaharaan AS kembali naik.
    Penganalisis di Goldman Sachs percaya bahawa 37% daripada populasi di empat buah negara terbesar di Eurozone akan menerima suntikan vaksin menjelang akhir bulan Mei, dan peratusan ini akan mencecah 54% menjelang akhir Jun. Disebabkan itu, pihak bank telah memperbaharui ramalan untuk EUR/USD daripada $1.2100 kepada $1.2500 menjelang akhir tahun nanti.
    Konsensus terkini yang dikeluarkan oleh Bloomberg pula adalah sebaliknya, mereka menjangkakan penurunan. Jika nilai yang dianggar pada bulan Januari adalah 1.2500, kini kedudukannya dijangka akan berada pada paras 1.2200. Namun nilai ini menunjukkan pengukuhan berterusan euro.
    Peristiwa penting yang akan berlaku pada minggu depan adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Sistem Rizab Persekutuan AS serta sidang akhbar pihak pengurusannya terhadap polisi kewangan untuk masa akan datang. Seperti yang telah dinyatakan, Jerome Powell mungkin akan menuruti retorik yang sama dengan Christine Lagarde, hal ini akan menambah lagi tekanan ke atas hasil bon Amerika dan juga nilai USD.
    Nilai euro dijangka akan mengalami pertumbuhan oleh 60% penganalisis pada minggu depan, ia turut disokong oleh analisis grafik, 100% indikator trend serta 85% pengayun pada H4 dan D1. Baki 15% pengayun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian. Rintangan berada pada paras 1.2125, 1.2185, sasaran mereka adalah 1.2245, paras tertinggi yang dicapai pada 25 Februari.
    Harus diingat apabila beralih ke ramalan untuk bulan Mei, gambarannya berubah sama sekali, di sini 70% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1 sudahpun menjangkakan penurunan pasangan EUR/USD di bawah paras 1.2000. Sokongan berada pada paras 1.1940, 1.1865 serta 1.1800. Sasaran bear adalah paras terendah pada akhir Mac iaitu di sekitar 1.1700.
    Bagi peristiwa yang akan berlaku pada minggu depan, selain daripada mesyuarat Rizab Persekutuan, perhatian boleh diberikan kepada statistik pasaran pengguna: di AS - dikeluarkan pada hari Isnin, 26 April, di Jerman - hari Khamis, 29 April manakala di Eurozone - hari Jumaat, 30 April. Selain itu, indikator bagi kadar KDNK untuk suku pertama juga akan diketahui: di AS - 29 April, di Jerman dan Eurozone - 30 April;
  • GBP/USD. Sebilangan penganalisis percaya bahawa kejayaan vaksinasi terhadap populasi negara ini akan membantu menghangatkan ekonomi di UK. Tempoh sekatan kuarantin dikurangkan baru-baru ini, pub dan restoran kini boleh dibuka. Statistik makro menunjukkan kadar yang agak memberangsangkan. Walau bagaimanapun, masalah berkaitan Brexit, jumlah defisit dagangan serta defisit belanjawan di UK yang besar terus memberi tekanan kepada pound. Namun dolar juga tidak terkecuali. Mungkin disebabkan itulah ramalan untuk pasangan GBP/USD dilihat agak bercanggah: 45% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan, 35% lagi menjangkakan penurunan dan baki 20% memilih pergerakan mendatar. Bacaan analisis teknikal pada H4 juga agak bertentangan.
    Pada D1, disebabkan oleh trend ke atas yang bermula sejak 13 bulan lalu, kebanyakan pengayun (65%) serta indikator trend (85%) menunjukkan pertumbuhan. Analisis grafik juga menunjukkan pasangan ini akan cuba sekali lagi untuk mencapai ketinggian 1.40000, tetapi selepas itu turun ke zon di antara 1.3670-1.3700. 1.3920 menjadi paras rintangan paling hampir, manakala sokongan paling hampir berada pada paras 1.3800;
  • USD/JPY. Indikator utama bagi pasangan ini adalah hasil bon kerajaan AS. Jika jumlahnya terus menurun pada minggu hadapan, maka kedudukan pasangan USD/JPY juga akan menjadi lebih rendah. Sokongan paling hampir berada di zon antara 106.80-107.10, paras berikutnya berada hampir pada purata pergerakan selama 200 hari iaitu 105.80.
    Pendapat para penganalisis sama seperti dengan apa yang diramal pada minggu sebelum ini. 70% daripada mereka percaya bahawa pasangan ini akan terus menurun. Baki lagi 30% menjangkakan pasangan ini akan melantun ke atas (paras rintangannya adalah 108.35 dab 109.00). Terdapat perbezaan pendapat dikalangan pengayun pada H4, pada D1 pula - 75% adalah berwarna merah, dan 25% lagi memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan pasangan ini akan naik ke paras rintangan 108.35 pada mulanya, dan hanya selepas ia bergerak dari pasangan ini, penurunan mendadak akan berlaku;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 26 - 30 April, 20211

  • Matawang Kripto. Menurut sebilangan penganalisis, bahagian pasaran bitcoin yang semakin berkurang dalam jumlah keseluruhan modal pasaran kripto menjadi faktor yang amat membimbangkan buat para pelabur. Jika diingat indeks dominasi matawang kripto terkemuka itu adalah 85% pada penghujung 2017, dan ia turun kepada 45% sebelum penurunan ini berlaku. Kini jumlahnya lebih sedikit daripada 50%. Hujah para pesimis yang mengatakan sebut harga BTC/USD akan bertambah sebelum penyenaraian Coinbase di bursa NASDAQ adalah pecutan peringkat terakhir bullish, dan kini kita perlu bersedia untuk “kripto dingin” yang baru, dan ia mungkin mengambil masa beberapa tahun. Perkara ini disahkan oleh kontrak niaga hadapan BTC yang dicairkan secara besar-besaran.
    Namun, seperti yang biasanya berlaku, selain daripada golongan pesimis, terdapat juga kelompok optimis. Contohnya, penganalisis di Santiment percaya bahawa trend bitcoin kekal bullish. Kata sepakat itu dicapai setelah menganalisis kekerapan ciapan Twitter dengan frasa “buy the dip” dan “bought the dip”. Dengan nilai bitcoin yang turun di bawah $51,000, bilangan hantaran yang menyebut beli semasa nilai rendah mencatatkan rekod tertinggi mingguan sebanyak 2,108 ciapan. Hal ini membolehkan penganalisis di Santimen membuat kesimpulan bahawa pembetulan yang berlaku adalah tidak lebih daripada “dugaan sementara."
    Walau bagaimanapun, dua ribu orang pengguna Twitter tidak mungkin mampu memberi kesan besar terhadap pasaran. Apa yang lebih penting adalah mood para pelabur berinstitusi yang bukan semata-mata menjadi penggemar kripto. Berkemungkinan besar mereka ini tidak akan bertindak sehinggalah sikap penggubal dasar dalam sektor ini menjadi semakin jelas. Para “jerung” yang membeli matawang kripto pada musim luruh 2020 mungkin akan mula untuk mendapatkan pulangan pada kedudukan semasa: nilai di sekitar $45,000-50,000 adalah lebih cukup buat mereka. Pembelian besar yang baru dilihat agak berisiko.


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami