Mei 9, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Sudah banyak dan sering kali diperkatakan mengenai betapa cepat ekonomi di AS pulih dan keadaan yang bertambah baik. Namun ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell memberi amaran pada minggu lalu bahawa segalanya masih agak rapuh, dan lonjakan kadar inflasi hanyalah faktor sementara. Nampaknya beliau sedar akan perkara tersebut pada waktu itu, dan kini semua orang turut mengetahuinya: segalanya tidaklah seindah seperti yang digambarkan.
    Kebanyakan indikator makroekonomi di AS yang dikeluarkan pada minggu lalu adalah berwarna merah. Indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor pembuatan menunjukkan kadar 60.7 berbanding 65.0 seperti yang diramal. Laporan ADP terhadap kadar pengangguran dalam sektor swasta adalah sebanyak 742K berbanding unjuran sebanyak 800K. Indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor perkhidmatan berada pada kadar 62.7 dan bukannya 64.3. Bencana yang lebih teruk melanda apabila indikator penting seperti bilangan pekerjaan baru yang terhasil bukan dalam sektor agrikultur (NFP): 770K pekerjaan baru terhasil pada bulan Mac, 978K dijangka akan terhasil untuk bulan April, namun hanya 266K yang benar-benar ada, jumlah itu adalah 3.7 kali ganda lebih rendah berbanding jumlah yang diramal.
    Sudah pasti, para pelabur mempunyai masa yang cukup untuk bertaruh pada ekonomi AS yang kian pulih. Namun, sudah tiba masanya sekarang ini untuk bertukar ke rantau yang lain, dan pertama sekali beralih ke Kesatuan Eropah. Lebih-lebih lagi, program vaksinasi menentang coronavirus di Eropah menjadi lebih meluas, negara-negara di EU sedikit demi sedikit menghentikan sekatan perjalanan, dan ekonominya mula mendapat momentum. Tidak seperti di AS, jualan runcit di Eurozone menunjukkan pertumbuhan meyakinkan, naik daripada negatif 1.5% pada bulan Mac kepada 12.0% pada bulan April. Peratusan ini adalah lebih tinggi berbanding 9.6% yang diunjurkan.
    Perkara-perkara di atas telah memberi tekanan yang kuat kepada dolar dan menyumbang kepada pengukuhan matawang Eropah. Hasilnya, ramalan yang dibuat oleh majoriti (60%) penganalisis 100% menjadi kenyataan: pasangan EUR/USD sekali lagi naik dan memperbaharui paras tertinggi selama enam minggu pada petang Jumaat, 7 Mei, mencecah ketinggian 1.2170. Ia diikuti dengan sedikit lantunan dan berakhir pada paras 1.2165; 
  • GBP/USD. Ramalan bagi pasangan ini juga ternyata tepat sama sekali. Ia bergerak di saluran sisi antara 1.3670-1.4000 selama 10 minggu. Majoriti penganalisis bersetuju bahawa pasangan ini akan bergerak ke atas setelah melantun semula dari zon tengah koridor tersebut dan kemudian mencecah sempadan atasnya. Inilah yang sebenarnya telah berlaku. Setelah bermula pada paras 1.3810 pada hari Isnin, pasangan ini mencecah ketinggian 1.4000 pada hari Jumaat, tidak jauh dari paras terakhirnya untuk minggu tersebut, 1.3990;
  • USD/JPY. Apabila memberikan ramalan mereka pada minggu lalu, 70% penganalisis menunjukkan penurunan. Mereka berpendapat, seharusnya pasangan ini turun di bawah paras 109.00, dan 108.40 dijadikan sebagai paras sokongan. Inilah yang berlaku sebenarnya. Memang benar, bull membuat cubaan untuk mengulangi kejayaan yang dikecapinya seminggu lalu pada hari Isnin, namun kekuatan yang dimilikinya semakin berkurangan. Pasangan ini jatuh, mencecah paras terendah mingguan di kedudukan 108.35 pada hari Jumaat, 7 Mei, dan mengakhiri minggu dagangan pada paras 108.60;
  • Matawang Kripto. “Bitcoin adalah sesuatu yang teruk dan ia bertentangan dengan kepentingan peradaban”, jelas rakan hartawan Warren Butffet, Charles Munger yang berusia 97 tahun. “Sudah pasti, saya membenci kejayaan yang diperoleh bitcoin. Saya tidak mengalukan matawang yang kita sendiri tidak tahu daripada mana nilainya terhasil dan sering digunakan oleh penculik dan juga pemeras,” tekan Munger lagi.
    Pelabur berusia 97  tahun itu kini bukan saja dikaitkan dengan para “jerung”, malah juga dengan “dinosaur” di Wall Street. Aset maya adalah sesuatu yang mampu melangkaui persepsi mereka terhadap dunia: lagipun, mereka sudah biasa berurusan dengan matawang fiat dan sekuriti yang bersandarkan pada sesuatu yang nyata, dan bukan rekaan semata. Namun demikian, dentuman emas digital kini sudahpun didengari hampir di semua pusat kewangan di planet ini. Malah penyedia data kewangan iaitu Indeks S&P Dow Jones telah melancarkan indeks-indeks yang berasaskan pada Bitcoin, Ethereum dan juga kelompok dua matawang kripto itu . Indeks S&P Bitcoin ditanda sebagai SPBTC, Indeks S&P Ethereum pula – SPETH, manakala Indeks S&P Mega Cap yang menjejak dinamik kedua-dua aset tersebut, - SPCMC.
    Penerimaan matawang kripto bukan saja meningkat dikalangan pelabur berinstitusi, malah juga dikalangan populasi umum. Gergasi perkhidmatan kewangan Amerika iaitu Mastercard telah membentangkan keputusan kajian yang dijalankan di 18 buah negara dari pelbagai rantau di dunia. Menurut data tersebut, 40% daripada pengguna merancang untuk menggunakan aset kripto sebagai kaedah pembayaran mereka pada tahun hadapan. Dalam kalangan generasi alaf baru, peratusannya adalah lebih tinggi, mencecah 67%.
    Kelihatan semua yang disebut di atas mampu memberi kelebihan kepada matawang digital. Namun bukan itu yang berlaku. Bitcoin mula menambah tahap korelasinya dengan pasaran tradisional. Selepas bitcoin, altcoin juga turut mengalami perkara yang sama. Justeru, kini pasaran kripto dan juga pasaran saham sangat bergantung kepada polisi yang mahu digubal oleh White House dan pihak Rizab Persekutuan A.S. Jika jumlah program rangsangan (QE) dikurangkan, aliran wang ke dalam pasaran matawang kripto juga akan turun dengan cepat.
    Sehingga ia berlaku, jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto menunjukkan kadar pertumbuhan yang lancar. Jumlahnya naik daripada $2.110 trilion kepada $2.375 trilion, pertumbuhan sebanyak 12.56% sepanjang minggu lalu. Dalam masa yang sama, jumlah modal pasaran altcoin menunjukkan kadar pertumbuhan melebihi 20%. Bitcoin terus kehilangan rentak. Indeks Dominasi yang ditunjukkan pada 2 Januari adalah sebanyak 72.65%; bacaannya pada 30 April adalah 47.87%, bacaan terendah sejak Julai 2018 dan kini, nilainya turun ke paras yang lebih rendah sepanjang tujuh hari lalu, iaitu 44.24%.
    Jumlah tersebut menunjukkan minat kebanyakan pelabur tidak lagi memfokuskan kepada matawang kripto utama, tapi pada altcoin yang memberi pulangan lebih besar.
    Cubaan pasangan BTC/USD untuk menguji paras $60,000 sekali lagi gagal pada minggu lalu. Walau bagaimanapun, setiap lonjakan ke atas diikuti dengan pengunduran ke bawah. Malah pasangan ini turun ke paras $52,950 pada 5 Mei. Namun Ethereum sekali lagi memperbaharui paras tertinggi dalam sejarahnya akibat populariti yang bertambah dalam sektory DeFi serta sebelum ia beralih ke ETH 2.0. Justeru, nilai coin ini telah menunjukkan peningkatan lebih daripada 80% sejak tiga minggu lalu. Hal ini menjadikan penciptanya, Vitaly Buterin yang berusia 27 tahun sebagai jutawan paling muda di dunia hasil daripada matawang kripto. Seperti yang dimaklum pihak Forbes, nilai kekayaan Buterin telah bertambah hampir 25 kali ganda sejak awal tahun 2020.
    Litecoin menyamakan kelajuannya dengan Ethereum. Kami telah tekankan pada awal tahun berkenaan potensi pertumbuhan ketara coin ini ke atas. Hujah yang kami berikan adalah, tidak seperti bitcoin yang telah memperbaharui paras tertingginya, Litecoin masih jauh ketinggalan daripada nilai $371 yang dicapai pada Disember 2017. Akhirnya, pada 7 Mei, pasangan LTC/USD sekali lagi berada di atas, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 75% dalam tempoh 10 hari lalu.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pasaran sekali lagi didominasi oleh pembeli saham dan juga penjual matawang dolar. Seperti yang sudah kami nyatakan, penyusutan nilai dolar yang dibantu oleh pertambahan jangkaan kadar inflasi dengan nilai melebihi 2.4% iaitu kadar tertingginya sejak 2013 telah menjadikan matawang itu hampir kepada aset selamat semasa pandemik. Suntikan kewangan yang besar akan menyebabkan KDNK di AS mencatatkan kadar tertingginya, dan sewajarnya, ia melibatkan pertambahan sentimen risiko serta menarik perhatian para pelabur ke dalam pasaran saham. Indeks S&P500 dan Dow Jones sekali lagi memecahkan rekod mereka sendiri. S&P500 berjaya mencecah 4,238, manakala Dow Jones - 34,732 mata. Nilai euro mengalami pertumbuhan bersama-samanya, mencecah ketinggian 1.2170.
    Walau bagaimanapun, pertumbuhan pantas indeks saham serta nilai dolar yang menyusut mungkin akan mendorong para pegawai di Rizab Persekutuan AS untuk lebih cepat mengurangkan jumlah program rangsangan fiskal. Justeru, menurut Robert Kaplan, Presiden Bank Rizab Persekutuan Dallas, ketidakseimbangan pasaran kewangan boleh membawa kepada hakikat bahawa adalah lebih baik untuk membincangkan isu yang timbul daripada penamatan QE sekarang dan bukannya kemudian. Jika tidak, sistem kewangan A.S. mungkin akan berada dalam keadaan tertekan. 
    Bagi pendapat penganalisis untuk minggu hadapan, 60% daripada mereka, bersama-sama dengan analisis grafik pada D1 menjangkakan pasangan EUR/USD akan mengalami pembetulan ke paras sokongan yang kukuh di sekitar 1.2000, dan jika paras tersebut berjaya ditembusi, ia akan turun 100 mata lebih rendah. Sokongan berada pada paras 1.2055.
    Baki 40% lagi penganalisis, bersama-sama dengan analisis grafik pada H4 percaya bahawa trend ke atas pasangan ini akan terus berlaku. Sasaran paling hampir adalah paras tertinggi yang dicapai pada bulan Februari iaitu 1.2245, sasaran berikutnya adalah paras tertinggi 6 Januari iaitu 1.2350.
    Bacaan analisis teknikal adalah seperti berikut: 100% indikator trend serta 75% pengayun pada H4 dan D1 adalah berwarna hijau semasa ulasan ini dibuat (Jumaat malam, 7 Mei). Baki 25% lagi pengayun memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Antara peristiwa yang akan berlaku pada minggu depan (tidak banyak sebenarnya), data pasaran pengguna di AS yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 12 Mei dan Jumaat, 14 Mei perlu diberi perhatian. Data pasaran pengguna di Jerman juga akan diketahui pada 12 Mei;
  • GBP/USD. Ramalan bagi pasangan ini untuk minggu depan adalah bertentangan sama sekali dengan ramalan minggu lalu. Jika majoriti penganalisis memilih pertumbuhan pasangan ini ke sempadan atas saluran antara 1.3670-1.4000 dari bahagian tengahnya seminggu lalu, kini 70% daripada penganalisis, bersama-sama dengan analisis grafik menjangkakan kedudukannya akan kembali ke bahagian tengah pada paras 1.3800. Keputusan Bank of England yang mengekalkan kadar faedah serta jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka pada mesyuarat 6 Mei lalu telah menyumbang kepada jangkaan tersebut.
    Benar, penggubal dasar telah mengurangkan kadar belian semula aset dan optimis dengan kepantasan untuk ekonominya pulih. Namun permintaan bagi pound dihalang oleh keputusan untuk mengekalkan kadar faedah mereka itu sehingga terdapat tanda yang jelas bahawa pengeluaran telah pulih dan kadar inflasi menjadi 2%. Hanya seorang saja yang memilih supaya jumlah QE dikurangakan iaitu ketua ahli ekonomi Bank of England, Andrew Haldane. Namun undian beliau tidak memberi sebarang makna kerana beliau akan bersara sebulan lagi.
    Hanya 30% daripada penganalisis percaya bahawa pasangan GBP/USD akan berjaya menembusi julat dagangan selama 10 minggu dan naik ke paras 1.4000. Jika berjaya, ia akan naik ke paras tertinggi yang dicatat pada 24 Februari iaitu 1.4240, manakala 1.4085 dan1.4180 akan menjadi paras rintangan di sepanjang perjalanannya itu.
    Bagi analisis teknikal, bacaan yang diberi agak sama dengan bacaan untuk pasangan EUR/USD: 100% indikator trend dan juga 85% pengayun pada H4 dan D1 menunjukkan pertumbuhan. Baki lagi 15% pengayun memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Melihat pada kalendar ekonomi untuk minggu depan, saya teringat pada filem berjudul “The King’s Speech” yang didedikasikan kepada raja British iaitu George VI. Kelainannya adalah ucapan akan dibuat oleh ketua Bank of England, dan ia akan dilakukan secara berturut-turut kerana Andrew Bailey akan berucap pada 11, 12, dan 13 Mei nanti. Walau bagaimanapun, ucapan beliau itu berkemungkinan tidak akan memberi sebarang kesan pada mood para pelabur. Apa yang lebih menarik adalah kadar KDNK di UK serta data pasaran pengguna yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 12 Mei;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 10 - 14 Mei, 20211

  • USD/JPY. Bacaan indikator pada kedua-dua tempoh masa agak kucar-kacir. Hanya indikator trend pada H4 saja menunjukkan dengan jelas akan berlakunya penurunan: 85% sudahpun berwarna merah. Analisis grafik menunjukkan sedikit demi sedikit turun naiknya berkurangan dan pasangan ini mengalami penyatuan di zon antara 108.35-108.50. Namun 70% daripada penganalisis berpihak kepada bear untuk tiga minggu berturut-turut. Sokongan berada pada paras 108.40 dan juga 107.85, manakala sasaran mereka adalah 107.45. ­
    Baki 30% lagi berpihak kepada bull, mereka menjangkakan pasangan ini akan sekali lagi cuba untuk berada di atas paras rintangan 109.00 dan menjejakkan kaki di zon antara 109.00-109.65;
  • Matawang Kripto. Seperti yang telah dinyatakan pada bahagian pertama tadi, kebanyakan pelabur telah mengalihkan perhatian mereka daripada matawang kripto utama kepada pasaran altcoin. Pasangan BTC/USD masih gagal menembusi paras purata pergerakan selama 50 hari untuk berada di atas paras $60,000. Adakah ini suatu petanda bagi musim dingin kripto yang baru? 
    Jika kejatuhan nilai BTC menyebabkan kesan domino, coin lain juga akan turut menerima kesannya. Namun setakat ini, harapan untuk nilai matawang kripto utama bertambah seakan-akan benar. Walaupun pada hakikatnya indeks dominasi matawang tersebut menurun daripada 72.65% kepada 44.24% sejak awal tahun ini, jumlah dagangannya agak tinggi: kira-kira $70 bilion. Walaupun Indeks Fear & Greed Kripto telah mencecah paras “tamak” pada bacaan 64 mata, nilai itu masih jauh daripada lebihan belian.
    Untuk tempoh sederhana, berita berkenaan penangguhan keputusan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) terhadap Bitcoin-ETP mungkin menjadi batu penghalang buat matawang kripto utama itu. Namun masih ramai penganalisis yang bersikap optimis. Antaranya, pedagang kripto dan ahli strategi terkenal iaitu Mikael van de Poppe yang telah berkongsi ramalan berani beliau untuk masa depan bitcoin. “Saya agak yakin bahawa kita berada dalam kitaran bullish sekarang dan amat sukar untuk bergantung pada pasaran bear, terutama sekali  dengan kadar inflasi matawang dolar AS,” beliau menjelaskan.
    “Berdasarkan pada hakikat bahawa dana pelabur berinstitusi mengalir masuk, bitcoin semakin diterima secara meluas. Ini bermakna permintaannya menjadi lebih besar sekarang dengan bekalan yang agak sedikit, sehingga menyebabkan harganya meningkat, Van de Poppe terus menjelaskan. - Adakah nilai Bitcoin akan naik kepada $300,000 atau $500,000? Saya rasa boleh. Jika kita membuat pengiraan ringkas, kadar tertinggi untuk BTC seharusnya $500,000. Berdasarkan pada data semasa kitaran nilainya berada pada kedudukan tertinggi, kami boleh mengandaikan kadar puratanya akan melebihi $250,000. Nilainya boleh mencecah $350,000 - $450,000 dalam tempoh setahun.” “Namun jika tidak, ia boleh melalui trend mendatar yang lama,” tambah penganalisis itu lagi dengan berhati-hati.
    Penganalisis di JPMorgan percaya bahawa penggunaan Ethereum mungkin lebih efisien berbanding Bitcoin pada masa hadapan. Mereka juga sedar altcoin ini mempunyai daya tahan yang lebih tinggi terhadap faktor luaran. Sebaliknya, Bitcoin memberikan reaksi kepada hampir semua turun naik utama di pasaran, hingga menyebabkan pembetulan terus berlaku. Apabila trend negatif berpanjangan, para pelabur BTC cepat-cepat mengeluarkan aset mereka.
    Menurut penganalisis JPMorgan, “penggunaan bitcoin agak terhad, ia dibuktikan oleh pelbagai faktor. Ia sering kali diguna sebagai satu aset pelaburan. Semua pembangunan projek-projek utama yang baru kini adalah berdasarkan pada Ethereum. Ia memiliki lebih banyak likuiditi. Kedudukan nilai ETH juga naik dengan ketara sejak kebelakangan ini. Satu lagi kelebihan Ethereum yang ada ialah ekosistem yang lebih maju dan lebih besar,” mereka memaklumkan.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami