Mei 16, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Seperti yang dijangka oleh kebanyakan penganalisis (60%), permulaan minggu memberi kelebihan kepada dolar, nilainya mengalami pengukuhan dan menurunkan pasangan EUR/USD ke paras sokongan 1.2050. Laporan kadar inflasi di AS yang dikeluarkan pada hari Rabu, 12 Mei menunjukkan kenaikan yang memberangsangkan untuk bulan April serta memberi tekanan hebat kepada pasaran saham. Indeks harga pengguna naik 0.8%, perolehan bulanan terbaik sejak 2009. Dari segi tahunan, kadar inflasinya naik sebanyak 4.2% berbanding 2.6% antara bulan Mac 2020 sehingga Mac 2021 serta menunjukkan pecutan paling pantas sejak 2008.
    Akibat dari lonjakan ini, khabar angin mengenai pengurangan program rangsangan fiskal serta kenaikan kadar faedah USD yang mungkin akan berlaku sudah mula kedengaran di pasaran semula.
    Selera risiko mula menurun, indeks saham S&P500 dan juga Dow Jones jatuh, manakala hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS bertambah.
    Walau bagaimanapun, pihak Rizab tahu bagaimana untuk menenangkan keadaan di pasaran. Para penggubal dasar menjelaskan bahawa lonjakan kadar inflasi serta harga pengguna adalah satu fenomena sementara saja dan hal tersebut berlaku disebabkan oleh kenaikan harga perkhidmatan pengangkutan dan juga kereta terpakai. Justeru, pihak FRS tidak berniat sama ada untuk mengurangkan jumlah program QE atau menaikkan kadar faedah hanya disebabkan oleh pertumbuhan satu sektor ekonomi yang khusus.
    Penjelasan tersebut mengakibatkan situasi berubah 180 darjah. Jumlah dagangan di pasaran saham naik semula, mencecah jumlah tertingginya dalam tempoh dua bulan setengah. Matawang Eropah mengaut semula 100 mata daripada dolar, berakhir pada paras 1.2143;
  • GBP/USD. 100% indikator trend dan juga 85% pengayun menunjukkan pertumbuhan pada minggu lalu. Namun hanya 30% penganalisis saja yang bersetuju dengan kemampuan pasangan ini untuk mencecah paras rintangan 1.4085 setelah berjaya menembusi sempadan atas saluran 1.3670-1.4000. Namun ternyata jangkaan mereka adalah yang paling tepat: - paras tertinggi mingguan yang direkodkan pada hari Selasa, 11 Mac adalah 1.4165. Hari berikutnya, laporan kadar inflasi di AS telah menolak pasangan ini ke paras 1.4000, paras rintangan yang berubah menjadi paras sokongan. Penurunan itu telah dibantu oleh pengambilan untung ke atas matawang pound setelah nilainya mencecah paras tertinggi sejak dua bulan lalu. Kemudian diikuti pula dengan perubahan arah pergerakan, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.4096;
  • USD/JPY. Ramalan ke atas pasangan ini ternyata agak tepat. Setelah menunjukkan korelasi songsang dengan indeks dolar DXY, nilai yen mengukuh pada hari Selasa, 11 Mei, seperti yang diramal oleh 70% penganalisis, mencecah paras sokongan 108.35. Kemudian pasangan tersebut bergerak menepati jangkaan baki 30% lagi penganalisis, menembusi paras rintangan 109.00, mencecah ketinggian 109.78. Paras terakhir mingguan adalah 109.35.
  • Matawang Kripto. Nampaknya pemengaruh pasaran kripto hanya sibuk mahu memusnahkannya sejak kebelakangan ini.
    Hartawan kripto Vitalik Buterin menolak jatuh nilai coin klon Dogecoin dengan kadar purata sebanyak 50%. Shiba Inu, Akita Inu dan juga Dogelon iaitu pencipta matawang meme tersebut menghadiahkan Buterin, seseorang yang berpengaruh dengan coin mereka sebagai hadiah, berharap beliau tidak akan menggunakannya dan memberikan pujian dalam ulasannya. Namun, pencipta Ethereum itu telah memindahkan sebanyak 50 trilion Shiba Inu ($1.2 bilion ketika transaksi dijalankan) ke dalam dana bantuan melawan COVID di India, dan menyumbang separuh daripada token Akita Inu ($431 juta) ke dalam platform Gitcoin. Disebabkan itu, matawang meme ini kehilangan hampir separuh daripada nilainya dalam tempoh satu hari saja.
    Pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg juga tidak banyak bezanya, beliau telah berkongsi satu foto dengan imej dua ekor kambing, menggelar satu daripadanya sebagai Bitcoin. Pengguna media sosial nampak mesej yang ingin disampaikan. Sesetengah daripada mereka tersinggung, mereka merasakan Zuckerberg menyamakan pemilik matawang kripto utama tersebut dengan binatang dalam fotonya itu. Apa yang cuba disampaikan oleh hartawan itu masih menjadi rahsia. Harga bitcoin turun kira-kira $5,000 selepas hantaran itu dibuat.
    Walau bagaimanapun, ciapan Elon Musk telah menjadi punca terbesar yang memberi kesan paling teruk terhadap pasaran. Beliau meluahkan kebimbangannya mengenai “penggunaan tenaga fosil yang semakin banyak untuk penghasilan serta membuat transaksi di rangkaian bitcoin” pada hari Rabu dan mengumumkan Tesla tidak lagi akan menerima matawang kripto tersebut sebagai bayaran untuk kereta yang dijual. Pasaran memberikan reaksi pada kenyataan itu dengan penurunan mendadak. Dalam tempoh beberapa jam saja, kedudukan pasangan BTC/USD turun hampir 20%, mencecah paras sokongan jangka sederhana yang kukuh di zon antara $46,600-47,000. Paras itu mungkin akan ditembusi juga, namun keadaan panik yang berlaku menjadi sedikit reda apabila Musk mengatakan Tesla tidak akan menjual token bitcoin yang dimilikinya sekarang.
    Jika diingat nilai BTC naik sebanyak 22% pada tiga bulan lalu berikutan berita mengenai pelaburan Tesla dalam bitcoin yang berjumlah $1.5 bilion dan bersedia untuk menerima matawang kripto itu sebagai salah satu kaedah bayaran. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto naik lebih dua kali ganda dari saat itu hinggalah pada 12 Mei: daripada $1.180 trilion kepada $2.556 trilion. Selepas itu ia kerugian kira-kira $437 bilion pada 12 dan 13 Mei. Memang benar, situasi yang berlaku itu mula stabil menjelang petang Jumaat, jumlah modal pasarannya naik sebanyak $210 bilion, dan kedudukan pasangan BTC/USD naik ke paras $50,000.
    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 64 kepada 24 mata sepanjang minggu lalu dan kini berada di zon “Fear”. Menurut pembangun indeks tersebut, seseorang itu boleh mula memikirkan untuk membuka posisi long sekarang. Namun jika anda mengambil keputusan itu, anda perlu sangat berhati-hati kerana disebabkan oleh keadaan panik, para pelabur mungkin akan terus menjual BTC.
    Kami ada memetik kenyataan penganalisis di Bank JPMorgan dalam ulasan minggu lalu yang mengatakan “bitcoin memberi reaksi terhadap hampir semua turun naik utama yang berlaku di pasaran, hingga menyebabkan pembetulan terus berlaku. Sebaliknya, Ethereum memiliki likuiditi yang lebih baik dan mempunyai daya tahan yang lebih tinggi terhadap faktor luaran."
    Minggu lalu telah mengesahkan ketepatan analisis ini sekali lagi. Pada hari Jumaat, 14 Mei, jika nilai bitcoin berada pada paras yang sama seperti pada pertengahan Februari 2021 lalu, nilai Ethereum naik hampir 130% bagi tempoh yang sama, naik daripada $1,750 kepada $4,000.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran altcoin utama juga terus bertambah. Indeks dominasi bitcoin telah turun daripada 72.65% kepada 40.55% sejak awal tahun ini. Penguasaan Ethereum pula adalah sebaliknya, bertambah daripada 10.79% kepada 20.52% (jumlah maksimum minggu itu). Jika trend ini terus berlaku, penguasaan kedua-dua matawang kripto ini dalam pasaran akan sama menjelang akhir Julai nanti.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Pasaran telah mula sedar semula, maklum bahawa masih terdapat banyak lagi yang perlu dibuat sebelum mula menghentikan program rangsangan fiskal di AS. Pegawai Rizab Persekutuan berulang kali menyatakan pertumbuhan dari segi pekerjaan dan juga kadar inflasi selama beberapa bulan perlu ditunjukkan sebelum mula membincangkan tempoh masa khusus bagi mengetatkan polisi kewangan mereka.
    Penganalisis di BofA Merrill Lynch percaya bahawa tingkah laku pasangan EUR/USD sangat dipengaruhi oleh keadaan semasa di Amerika Syarikat. Namun, Eropah juga tidak harus dilupakan. Keadaan di Eurozone adalah lebih baik pada hari ini berbanding beberapa bulan lalu. Kadar vaksinasi yang pantas serta pelonggaran sekatan kuarantin menunjukkan keadaan ekonomi yang hampir pasti pulih. Suruhanjaya Kesatuan Eropah sudahpun menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK mereka untuk tahun 2021 daripada 3.8% kepada 4.3%.
    Kesetiaan pihak Rizab Persekutuan AS terhadap polisi kewangan yang longgar serta sikap tenang mereka mengenai kenaikan kadar inflasi telah memberi tekanan kepada dolar. Para pelabur terus mencari cara bagaimana untuk melindungi modal mereka daripada susut nilai akibat inflasi. Situasi di pasaran saham AS memihak kepada bull, hal ini akan mengakibatkan penyusutan nilai matawang Amerika. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama kita tidak harus lupa mengenai hasil bon Perbendaharaan AS, keadaan sebaliknya akan berlaku jika jumlahnya bertambah, ia mungkin dapat menyokong dolar dengan baik.
    Jika bercakap mengenai analisis teknikal, kelebihan adalah milik warna hijau sepenuhnya. Pertumbuhan pasangan EUR/USD ditunjukkan oleh 70% pengayun dan juga 90% indikator trend pada H4, dan pada D1 pula jumlahnya masing-masing adalah 85% dan 100%.
    Namun ramalan penganalisis kelihatan tidak begitu jelas. 50% daripada mereka percaya bahawa pasangan ini akan kekal di saluran sisi antara 1.1985-1.2180 buat seketika. Dalam masa yang sama, analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan kedudukannya akan turun ke sempadan bawah julat dagangan itu terlebih dahulu.
    30% lagi penganalisis menyokong paras sokongan ini akan ditembusi, dan pasangan ini akan turun 100 mata lebih rendah lagi. Baki 20% pula menunjukkan pertumbuhan, ke zon antara 1.2250-1.2270. Bagi peristiwa yang akan berlaku pada minggu depan, perhatian boleh ditumpu pada data kadar KDNK bagi suku pertama 2021 di Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 18 Mei, serta ucapan oleh ketua ECB iaitu Christine Lagarde pada 18 dan 20 Mei. Sebahagian data aktiviti perniagaan di Jerman dan di Eurozone yang akan diketahui pada hari Jumaat, 21 Mei juga menarik perhatian; 
  • GBP/USD. Bacaan pengayun pada H4 dilihat agak kucar-kacir, tetapi 85% daripada mereka di D1 menunjukkan pertumbuhan EUR/USD. Bacaan indikator trend juga agak sama dengan pasangan sebelum ini: 90% indikator trend pada H4 dan 100% pada D1 menunjukkan pertumbuhan.
    Kebanyakan penganalisis menjangkakan pasangan ini akan memulakan minggu pada kedudukan antara 1.4100-1.4200. Walau bagaimanapun, menurut 65% penganalisis yang mendapat sokongan analisis grafik pada D1, kedudukannya itu dijangka akan turun ke paras sokongan 1.4000, dan jika berlakunya pengunduran, ia akan bergerak ke bahagian tengah saluran 1.3670-1.4000.
    Bagi analisis grafik pula, ia menunjukkan pergerakan lateral dalam saluran 1.4000-1.4165 pada H4, diikuti dengan penembusan ke paras tertinggi yang dicapai pada 24 Februari lalu iaitu 1.4240.
    Untuk statistik makroekonomi di Great Britain, anda boleh tumpukan perhatian pada data pasaran buruh yang akan dikeluarkan pada 18 Mei, data pasaran pengguna pada 19 Mei dan juga data aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan di negara tersebut pada hari Jumaat, 20 Mei;
  • USD/JPY. Kebanyakan penganalisis (65%) memihak kepada bear untuk empat minggu berturut-turut. Sokongan berada pada paras 109.00, 108.35, dan sasaran mereka ialah 107.50. Baki 35% lagi penganalisis menjangkakan pasangan ini akan menguji paras rintangan 111.00 sekali lagi. Kali terakhir ia berjaya melepasinya adalah lebih setahun yang lalu, pada bulan Mac 2020.
    Bagi pengayun pada H4, 50% daripadanya adalah berwarna hijau, 50% lagi berwarna kelabu neutral. Pada D1, kelabu neutral mengambil separuh daripada bahagian itu, sebanyak 25%. Dalam kalangan indikator trend, 70% pada H4 dan 90% pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Bacaan analisis grafik menggariskan julat dagangan pada paras antara 108.85-110.35;
  • Matawang Kripto. Mari mulakan dengan analisis teknikal. Pasangan BTC/USD kini telah menembusi paras purata 50 hari SMA dan menduduki paras pivot baru di zon $50,000 yang mana paras sokongan melintang kukuh bersilang dengan paras purata 100 hari SMA. Walau bagaimanapun, menurut sebilangan penganalisis, ini adalah kedudukan untuk pembentukan lengkap shoulder kanan bagi corak “head and shoulders”, keadaan yang menambah lagi kemungkinan ia berundur ke bawah, dan turun ke paras $40,000. Sasaran bear berikutnya adalah paras terendah yang dicapai pada Januari 2021 iaitu di zon $30,000.
    Kedudukan Vitalik Buterin dan Elon Musk yang dilihat bersekongkol dalam menyokong Dogecoin untuk bersaing dengan matawang kripto utama juga tidak menambah sebarang rasa optimis terhadap para pelabur. Buterin telah menyiapkan laluan untuk Dogecoin dengan menurunkan nilai matawang klon yang serupa dengannya sebanyak 50%. Musk pula - beliau enggan menerima bitcoin untuk jualan kereta Tesla, tetapi syarikat SpaceX miliknya bekerjasama dengan pembangun Dogecoin dan membayar pelancaran satelit baru ke bulan menggunakan matawang meme ini. Malah Elon Musk turut digelar sebagai "dogefather."
    Walau bagaimanapun, jelas sekali masih terlalu awal untuk mengatakan pihak berkuasa akan menutup sebelah mata terhadap matawang kripto.
    Justeru, pembangun model ramalan S2FX yang terkenal, PlanB merasakan nilai coin ini akan terus meningkat. Itulah sebabnya kenapa beliau mengisi semula walet kriptonya dengan membeli BTC pada 8 Mei dengan nilai $58,776. Antara hujah yang bersetuju dengan pertumbuhan lebih tinggi nilai bitcoin adalah rizab stablecoin dolar dalam bursa kripto yang semakin bertambah, dan kini jumlahnya benar-benar berada pada kedudukan maksimum iaitu sebanyak $11.5 bilion. Minat terhadap bitcoin juga dilihat dari sudut pandangan para penghasil: kadar hash matawang kripto sekali lagi berada pada paras yang benar-benar hampir dengan kedudukan tertingginya.
    Penganalisis di syarikat perkhidmatan penyelidikan Whalemap membentangkan analisis mereka terhadap dinamik harga BTC. Mengikut hasil kaji selidik, pelabur-pelabur besar, termasuklah syarikat-syarikat utama dalam dunia kewangan terus membeli bitcoin dengan aktif. Berdasarkan keputusan itu, Whalemap percaya bahawa agak sukar bagi matawang kripto tersebut untuk turun di bawah paras $52,000 dalam tempoh yang agak lama. Tambahan pula, seperti yang diramal para penganalisis, bitcoin mampu untuk berada di atas paras $60,000 pada masa akan datang.
    Untuk ramalan jangka panjang, CEO Morgan Creek Capital iaitu Mark Yusko percaya bahawa nilai bitcoin mampu mencecah $250,000 dalam tempoh lima tahun. Menurut penganalisis itu, penerimaan pantas matawang kripto akan menyerupai kepopularan yang dimiliki Facebook, Apple, Amazon, Netflix dan juga Google. Malah, pertambahan nilai bitcoin juga mungkin akan dipengaruhi oleh keadaan semasa di pasaran fiat, yang kini berhadapan dengan kesukaran.
    “Pada satu ketika, banyak syarikat besar akan menambah jumlah modal pelaburan mereka sehingga trilion dolar dalam tempoh 10-20 tahun nanti. Matawang kripto utama itu berjaya melakukannya lebih awal. Saya tidak rasa nilai matawang kripto akan turun dengan mendadak dalam masa terdekat ini,” ujar Yusko. “Pasaran sudahpun dipenuhi dengan ramai pelabur yang enggan meninggalkannya hingga ke saat akhir.”
    Dalam masa yang sama, ketua Morgan Creek Capital itu tidak terlepas untuk memberi komen terhadap coin kegemaran dogefather. “Namun, tak semua aset akan menjanjikan pulangan dan juga berguna,” jelas ahli kewangan itu. - Sebagai contoh, Dogecoin, bagi saya ia adalah satu bahan jenaka dan hanya bertindak sebagai strategi pemasaran. Tidak pelik jika nilainya bertambah selepas Elon Musk menyebut tentangnya. Saya rasa ia boleh berlaku pada mana-mana coin walaupun ia langsung tidak memiliki apa-apa nilai."
    Nama ketua syarikat Tesla dan SpaceX itu sudah banyak kali disebut dalam ulasan baru-baru ini - lagipun, kebimbangan beliau mengenai penghasilan bitcoin menjadi punca pasaran jatuh. Tidak disangkal juga idea mengenai bitcoin akan berpecah kepada dua jenis coin setelah beberapa lama nanti - BTC “hijau”, dihasilkan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, dan “merah”, dihasilkan dengan tenaga yang mengganggu ekosistem planet ini. Namun, rupa-rupanya, sindiket penipuan telahpun mencipta “lombong penghasilan” yang langsung tidak menggunakan sebarang  tenaga elektrik.
    Pihak polis telah menahan dua orang suspek di sebuah pekan kecil di Rusia yang meletakkan iklan di Internet berkenaan penjualan lombong penghasilan. Salah seorang penduduk kampung telah memberi respon dan memindahkan 1,000 ruble (kira-kira $13) sebagai wang pendahuluan. Selepas penjenayah itu menghantar gambar pakej miliknya, bakal penghasil kripto itu memindahkan baki bayarannya. Walau bagaimanapun, setelah mengambil bungkusan dari pejabat pos, dia mendapati hanya terdapat dua botol plastik air dan juga pemadam api lama di dalamnya. Sudah pasti, peluang untuk sekurang-kurangnya mendapatkan pulangan daripada “lombong” seperti itu adalah di bawah sifar. Namun jika secara tiba-tiba ada yang berjaya melakukannya, ia akan menjadi matawang kripto paling mesra alam di dunia ini.

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 17 - 21 April, 20211


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami