Mei 29, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Jika anda lihat carta pasangan ini pada D1, selamat untuk mengatakan trend ke atas yang berlaku sejak lapan minggu lalu. Namun jika anda beralih ke jangka masa yang lebih kecil, H4 atau H1, jelas menunjukkan pergerakan yang “mendatar” telah dilaluinya sejak dua minggu lalu, terhimpit pada julat antara 1.2125-1.2265. Kedudukan terakhir setelah lima hari berlalu juga berada di sekitar Pivot Point saluran berkenaan, pada paras 1.2194, tanpa memberi sebarang gambaran untuk minggu hadapan.
    Statistik makro pada minggu lalu dilihat agak pelbagai, justeru ia gagal untuk mendorong pergerakan pasangan ini sama ada ke atas atau ke bawah. Jumlah permohonan faedah pengangguran di Amerika Syarikat terus berkurang, tetapi indikator bagi jualan belum selesai di pasaran hartanah menyusut. Pesanan untuk barangan modal (kecuali pertahanan serta penerbangan) meningkat, manakala pesanan untuk barangan tahan lama berkurangan. Data tahunan kadar KDNK di AS (Q1) kekal berada pada paras yang sama. Jadi para pelabur tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan.
    Musim bunga lalu, semasa pihak Rizab Persekutuan melambakkan pasaran dengan wang murah, polisi itu difahami dengan sempurna: untuk menarik keluar ekonomi daripada krisis serta menyokong kuasa membeli oleh rakyat negara itu. Setahun telah berlalu, kemelesetan telah berakhir, indeks saham tumbuh dengan pesat, pengangguran semakin berkurang, kadar inflasi mula mendapat momentum. Namun pihak Rizab Persekutuan terus menegaskan bahawa sasaran yang telah ditetapkan masih belum dicapai dan disebabkan itulah masih awal untuk menamatkan program rangsangan fiskal (QE). Jadi apa yang pelabur perlu lakukan dengan modal tambahan yang ada?
    Sebahagian dana ini telah dimasukkan ke dalam pasaran saham yang sering mengalami lebihan belian, menaikkan indeks S&P500 di atas paras 4200 mata manakala Dow Jones pula berada di atas 3450 mata. Sebahagian lain pula, berjumlah $485.3 bilion hanya kekal berada di akaun bank pusat dengan kadar faedah sifar. Sedia maklum bahawa disebabkan oleh program QE, perkara ini bukan saja berlaku di Amerika Syarikat, malah juga di lain-lain negara, termasuklah di Eropah. Hasilnya, sejumlah besar matawang dolar, matawang Eropah dan lain-lain matawang berada bukan saja pada tangan warga Amerika, malah pada pelabur asing. Keraguan mula meliputi pasaran, jelas seperti yang ditunjukkan pada carta EUR/USD;
  • GBP/USD.  Dinamik pergerakan GBP/USD dipengaruhi oleh faktor yang sama seperti pasangan sebelum ini. Seperti euro, pasangan matawang British dengan dolar telah melalui trend mendatar sejak dua minggu lalu, turun naik dalam julat dagangan 1.4075-1.4220. Walau bagaimanapun, tidak seperti matawang Eropah, aktiviti bull terhadap pound adalah lebih tinggi. Hal ini dibantu oleh jangkaan mengenai kenaikan kadar faedah oleh Bank of England yang lebih cepat dari yang diramal.
    Salah seorang pengurus Bank of England, Gertjan Vlieghe telah mengumumkan bahawa kadar faedah mungkin akan dinaikkan pada enam bulan pertama 2022 pada hari Khamis, 27 Mei. Dalam masa yang sama, penetapan rasmi untuk perkara ini berlaku adalah hanya jika pasaran buruh pulih lebih cepat daripada yang dijangka.
    Komen Perdana Menteri Boris Johnson berkenaan rancangan untuk menamatkan sekatan pergerakan pada 21 Jun tidak perlu diubah jika melihat pada statistik terbaru COVID-19 menambah lagi sikap optimis para pelabur. Setelah kedua-dua kenyataan ini dibuat, pasangan ini sekali lagi menghampiri paras tertinggi selama 36 bulan, dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.4188;
  • USD/JPY. Hanya 25% penganalisis memilih pertumbuhan dolar dalam pasangan ini pada ramalan minggu lalu. Namun dalam pertarungan antara bull dan bear, kedua-duanya mendapat sokongan kukuh oleh pertumbuhan hasil bon Perbendaharaan AS selama 10 tahun, naik daripada 1.57% kepada 1.62% pada hari Khamis, 27 Jun. Mengetahui bahawa yen adalah matawang selamat, perubahan seperti itu memberi tekanan kepadanya, terutama sekali jika mengambil kira hasil bon Jepun selama 10 tahun hanya berada pada kadar 0.25%.
    Matawang yen juga menerima tekanan daripada perasaan takut jika ekonomi Jepun lewat untuk pulih. Hal ini berpunca daripada laporan media terhadap rancangan pihak berkuasa yang ingin memanjangkan tempoh darurat di Tokyo dan beberapa wilayah lain selama tiga minggu, sehingga 20 Jun. Sokongan tambahan terhadap dolar diberikan oleh cadangan belanjawan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden berjumlah $6 trilion.
    Akibatnya, pasangan USD/JPY menembusi julat dagangan antara 108.55-109.75, dan setelah bergerak ke atas, ia mencecah ketinggian 110.20, memperbaharui paras tertingginya sepanjang tujuh minggu lalu. Paras terakhir mingguannya adalah sedikit rendah: pada paras 109.83;
  • Matawang Kripto. Buat masa ini anda akan mendapati banyak persamaan yang berlaku seperti pada permulaan musim dingin kripto pada tahun 2014 dan juga 2018. Walau bagaimanapun, terdapat banyak juga perbezaannya. Justeru, tidak berbaloi untuk kami menegaskan bahawa kita sedang berada di ambang permulaan kedinginan kripto 2021. Sebaliknya, bulan lepas boleh dianggap sebagai akhir musim bunga, dan setelah melangkaui musim sejuk, musim luruh boleh terus berlaku selepas itu.
    Pasaran menerima tekanan akibat pergelutan menentang pelombongan serta dagangan dalam matawang maya yang terus berlaku di China. Sebagai contoh, 8 perenggan daripada dokumen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Dalaman Mongolia boleh membantu kita memahami apa yang sedang berlaku. (Mengikut Universiti Cambridge, rantau ini adalah yang ketiga terbesar di China dari segi kapasiti pengkomputeran bitcoin).
    Taman-taman industri serta pusat-pusat data telah diarahkan untuk mengurangkan penggunaan tenaga, manakala syarikat-syarikat telekomunikasi pula dilarang bekerjasama dengan pelombong setelah mendapat ancaman lesen mereka akan dibatalkan. Pihak berkuasa juga berjanji akan mendakwa pelombong haram. Dakwaan juga akan dibuat terhadap cubaan mengubah wang haram serta pengumpulan dana haram yang menggunakan matawang kripto. Selain itu, senarai tersebut juga ada menyatakan kafe siber akan ditutup jika pelombongan di wilayah berkenaan dibongkar. Syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan pelombongan matawang kripto, serta pegawai-pegawai kanan mereka adalah tertakluk untuk dimasukkan ke dalam senarai orang yang tidak boleh dipercayai, manakala pegawai yang memberi sokongan terhadap para pelombong pula akan dikenakan tindakan disiplin.
    Menurut Reuters, syarikat melombong utama iaitu BTC.TOP serta HashCow telah menghentikan operasi mereka di China setelah undang-undang seperti itu diperketatkan. HashCow belum menghentikan kapasiti semasa mereka namun enggan membeli ladang yang baru.
    Bagi BTC.TOP pula, syarikat ini telah mengumumkan penghentian kerja-kerja mereka di China sepenuhnya.
    Di sebalik itu, terdapat juga berita baik. Elon Musk, nama yang telah menyebabkan pasaran jatuh teruk sebanyak dua kali pada bulan Mei, kini telah membantu pasaran semula. Beberapa buah syarikat perlombongan di Amerika Utara telah bertemu dengan beliau, pertemuan yang telah diatur oleh ketua MicroStrategy iaitu Michael Saylor dan mereka bersetuju untuk membentuk Majlis Perlombongan Bitcoin (Bitcoin Mining Counci) yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau industri.
    Salah seorang pelombong bitcoin terawal, Marshal Long, mengkritik gerakan itu dengan mengatakan Musk berbincang dengan syarikat yang salah kerana mereka mengawal “rangkaian kadar hash yang amat, amat kecil”. Menurut Long, jika hartawan itu mahu mengubah keadaan, beliau seharusnya berunding dengan Coinmint serta ahli-ahli Persatuan Blockchain Texas yang tidak berasaskan keuntungan kerana mereka mengawal kira-kira 15% kadar hash.
    Walau bagaimanapun, biar apa yang terjadi, keputusan untuk mewujudkan Bitcoin Mining Council telah memberi hasil positif: menurut perkhidmatan CoinGecko, jumlah modal pasaran kripto bertambah kira-kira 14%, dan nilai bitcoin naik hampir sebanyak 12% disebabkan olehnya. Pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $40,865 pada 26 Mei iaitu kadar mingguan tertingginya. Ia gagal untuk melepasi paras $41,000 dan sekali lagi turun di sekitar paras $35,000 pada hari Jumaat.
    Indeks Fear & Greed Kripto turun ke bacaan paling rendah selama 12 bulan pada 24 Mei iaitu 10 mata, selari dengan keadaan di pasaran yang “Extreme Fear”. Namun, bersama-sama dengan penurunan kadar indeks, kemungkinan para pelabur membuat belian baru dan berharap untuk mendapat banyak diskaun juga mengalami pertumbuhan. Itulah juga yang berlaku pada ketika ini. Melantun dari bawah, sebut harganya naik ke atas. Indikatornya berada di zon “Fear” di sekitar 21 mata pada tengah hari Jumaat, 28 Mei. Jadi, potensi untuk matawang kripto tersebut mengalami pertumbuhan masih belum lagi berakhir.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto berada di paras tertinggi pada 12 Mei, mencecah $2.560 trilion. Kemudian, ia diikuti dengan penurunan, pasaran mengalami lebih daripada 40% kerugian pada 26 Mei, semasa ulasan ini dibuat, susut kepada $1.529 trilion. Kira-kira 1 juta transaksi leveraj telah dicairkan di sepanjang tempoh singkat itu.
    Peratusan terendah indeks dominasi bitcoin untuk bulan Mei adalah 39.22%. Kini jumlah tersebut naik sedikit dan berada pada 43.11%. Terdapat kemungkinan pertumbuhan akan terus berlaku akibat penjualan altcoin yang kurang stabil.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Goldman Sachs dan Deutsche Bank percaya bahawa situasi semasa yang dihadapi sekarang menyerupai keadaan antara tahun 2002-2007, ketika indeks USD mengalami penurunan. Menurut para penganalisis mereka, lama-kelamaan para pelabur akan mula mencari aset antarabangsa yang lebih menarik, dan trend ke atas pasangan EUR/USD akan memperoleh kekuatan yang baru.
    Namun penganalisis di Morgan Stanley berpendapat sebaliknya. Mereka percaya bahawa keadaan sekarang lebih sama seperti pada tahun 1980-an dan 1990-an ketika dolar mengukuhkan nilainya apabila berhadapan dengan defisit akaun semasa yang besar. Kini kadar defisit yang dikaitkan dengan KDNK adalah kadar yang tertinggi sejak 2008. Pada hakikatnya, semua ini adalah berpunca daripada program QE yang menyebabkan kadar import ke Amerika Syarikat mengalami pertumbuhan lebih pesat berbanding dengan eksport. Namun, berbanding dengan ekonomi di Eropah serta di peringkat global, bull indeks dolar DXY berharap dinamik ekonomi di AS yang melampaui batas ini akan dapat menambah minat para pelabur terhadap matawang AS serta lain-lain aset.
    50% penganalisis bersetuju dengan pendapat tersebut untuk jangka pendek, menjangkakan nilai dolar mengukuh serta penurunan pasangan EUR/USD ke zon 1.1985-1.2000. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.2130 dan 1.2060. 30% penganalisis memilih trend mendatar berterusan di saluran antara 1.2125-1.2265, manakala 20% lagi menyokong sempadan atas saluran itu ditembusi dan naik ke paras tertinggi tahun ini iaitu 1.2350.
    Sedia maklum apabila beralih daripada ramalan mingguan ke ramalan jangka sederhana, bilangan penyokong pengukuhan nilai dolar serta penyusutan pasangan ini bertambah daripada 50% kepada 70%.
    Perselisihan sepenuhnya berlaku dikalangan pengayun pada H4. D1 masih lagi didominasi oleh warna hijau. Terdapat 50% pengayun seperti itu, manakala 25% adalah berwarna merah dan baki 25% lagi adalah berwarna kelabu neutral. Kebanyakan indikator trend pada D1 (75%) menunjukkan pertumbuhan.
    Pelbagai maklumat penting berkenaan ekonomi akan diketahui pada minggu depan. Kami menjangkakan data pasaran pengguna di Jerman akan dikeluarkan pada hari Isnin, 31 Mei, manakala statistik serupa di Eurozone akan diketahui pada hari berikutnya, Selasa. Juga, maklumat aktiviti perniagaan ISM di AS dalam sektor pembuatan akan diketahui pada 1 Jun.
    Data jualan runcit akan dikeluarkan pada hari Rabu, 2 Jun. Laporan berkenaan kadar pengangguran dalam sektor swasta serta indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor perkhidmatan di AS akan diketahui pada hari Khamis, 3 Jun. Terdapat juga data jualan runcit di Eurozone, dan menjadi kebiasaan, bilangan pekerjaan baru yang dihasilkan bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS akan dikeluarkan pada hari terakhir minggu bekerja, iaitu 4 Jun;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 31 Mei - 04 Jun, 20211

  • GBP/USD. Sebilangan penganalisis (60% daripada mereka) menganggap kenyataan oleh Gertjan Vlieghe berkenaan kenaikan kadar faedah adalah agak spesifik, dan atas dasar ini, mereka menjangkakan nilai pound akan memperbaharui paras tertingginya dalam tempoh 36 bulan iaitu 1.4240 tidak lama lagi. Menyokong ramalan itu, mereka mengingatkan tentang berita Bank of England memperbaiki unjurannya mengenai kepesatan ekonomi negara tersebut untuk pulih pada awal Mei, dengan mengatakan ekonomi akan kembali kepada keadaan sebelum krisis menjelang akhir tahun ini.
    Sebaliknya, baki penganalisis (40%), percaya bahawa semuanya dilihat agak kabur kerana setengah tahun 2022 masih lagi jauh, banyak perkara boleh berlaku sebelum tiba pada waktunya. Secara umum, masih terlalu awal untuk bergembira. Terutama sekali mereka juga tidak ke luar negara. Justeru, kelompok penganalisis ini bertaruh pada dolar dan mengunjurkan penurunan pasangan GBP/USD. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.4175, 1.4135 dan 1.4100. Sasarannya adalah 1.4000.
    Indikator teknikal masih berpihak kepada bull. Mereka adalah 75% daripada pengayun dan 95% daripada indikator trend pada D1. Analisis grafik menunjukkan lantunan ke arah bawah dari paras rintangan 1.4240 dan turun ke paras sokongan 1.4000.
    Untuk kisah mingguan, dua ucapan oleh ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey pada 1 dan 3 Jun boleh diberi perhatian, di mana para pelabur menunggu janji baru untuk menaikkan kadar faedah dibuat. Perkara lain yang menarik adalah laporan kadar inflasi di UK yang dijadual akan dikeluarkan pada hari Khamis, 3 Jun;
  • USD/JPY. Bacaan analisis teknikal bagi pasangan ini boleh digelar sebagai GreenPeace. 90% pengayun serta 95% indikator trend pada H4, dan 75% pengayun serta 95% indikator trend pada D1 adalah berwarna hijau. Sentimen bulish ini juga disokong oleh 60% penganalisis. Rintangan paling hampir berada pada paras 110.00, sasaran No.1 adalah kedudukan tertinggi yang dicapai pada minggu lalu iaitu 110.20, sasaran No. 2 adalah memperbaharui paras tertinggi selama 21 minggu iaitu 110.95.
    40% penganalisis memihak kepada bear yang menjangkakan pasangan ini akan kembali ke saluran di antara 108.55-109.75. Jika sempadan bawahnya berjaya ditembusi, sasaran berikutnya adalah 107.50;
  • Matawang Kripto. - Menurut hartawan yang juga pengasas bersama Carlyle Group iaitu David Rubinstein, kewujudan bitcoin sama sekali tidak akan terhapus sepenuhnya. Walaupun jika aset tersebut hilang nilainya, masih akan terdapat permintaan dalam infrastrukturnya sendiri. Jika nilai coin terus bertambah, bank-bank pusat akan mula mempertimbangkannya walaupun mereka memberi tentangan kepada matawang kripto.
    “Jenis aset baru bukanlah suatu kegilaan sementara yang akan susut permintaannya dengan cepat. Kita bercakap tentang wang jutaan dolar. Coin yang pada mulanya dihasilkan bertujuan untuk pembayaran digital kini sudah memenuhi ciri sebagai sebuah aset,” jelas hartawan itu dengan yakin.
    Data Glassnode yang menunjukkan posisi bitcoin untuk jangka panjang hasil daripada para jerung, serta aliran keluar dari pasaran OTC oleh para pelabur besar mengesahkan lagi kenyataan Rubinstein. Ini mungkin menunjukkan satu lagi fasa pengumpulan aset setelah nilainya jatuh, menghalang bitcoin, mungkin keseluruhan pasaran matawang kripto selepas ini, daripada jatuh sepenuhnya.
    Ramai orang berpengaruh juga memiliki sikap optimis ini. Ketua pengarah syarikat pelaburan Ark Invest iaitu Katie Wood sekali lagi mengesahkan ramalannya. Beliau dengan yakin mengatakan nilai bitcoin masih akan mencecah $500,000 walau apa jua yang terjadi.
    Wood menjelaskan bahawa pembetulan yang berlaku baru-baru ini telah menambah kebarangkalian pihak SEC (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS) untuk meluluskan dana bitcoin. Hujah yang diberi adalah, sesuatu produk dengan harga yang murah lebih cenderung untuk diluluskan.
    Selain itu, Katie Wood ada menyebut tentang kenyataan yang dibuat oleh Elon Musk hingga menyebabkan kejatuhan pasaran kripto. Beliau merasakan pemegang saham seperti BlackRock mungkin memberi tekanan kepada Musk untuk menurunkan harga BTC. Namun, ketua Ark Invest itu menjangkakan Musk akan kembali ke dalam komuniti pelabur kripto.
    Menurut sebilangan penganalisis, masa depan ethereum adalah lebih cerah. Aswath Damodaran, seorang profesor di NYU Stern Business School percaya bahawa ethereum lebih sesuai untuk didagangkan di bursa berbanding bitcoin. Menurut penganalisis, ekosistem ETH adalah lebih fleksibel, menjadikan dagangan lebih mudah untuk dijalankan, terutama sekali dalam persekitaran dengan kadar turun naik yang tinggi.
    Damodaran sedia maklum bahawa kebanyakan aset lebih kecil di bursa didagangkan dengan lebih baik di bursa berbanding bitcoin kerana transaksinya lebih pantas. Rangkaian BTC terlibat dalam banyak perkara, menyebabkan masa pemindahan yang lebih lama, walaupun jika mengikut standard transaksi fiat. Justeru, penganalisis percaya bahawa bitcoin lebih sesuai dijadikan sebagai aset pelaburan global.
    Sedikit statistik sebelum menamatkan ulasan ini. Matawang kripto meme Dogecoin ternyata lebih dikenali dalam kalangan rakyat AS berbanding ethereum, semuanya disebabkan oleh Elon Musk. Ia dibuktikan oleh hasil kaji selidik bersama oleh Harris Poll dan juga CouponCabin.
    Kaji selidik yang melibatkan lebih daripada 2000 orang dewasa di Amerika menunjukkan kebanyakan mereka (89%) sekurang-kurangnya pernah mendengar tentang matawang kripto. 71% daripada responden tahu mengenai bitcoin, 29% tahu tentang Dogecoin manakala 21% lagi tahu tentang Ethereum. Peratusan sama diperoleh stablecoin USD Coin, 21%. Kira-kira 18% daripada peserta tinjauan mengatakan mereka biasa mendengar tentang Litecoin, 10% daripadanya tahu tentang kewujudan Stellar.
    23% menganggap aset digital sebagai skim cepat kaya, dan hampir satu pertiga responden (31%) yakin bahawa matawang kripto boleh menjadi wang di masa hadapan.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami