Julai 10, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Seperti yang diramal oleh majoriti penganalisis (65%), nilai dolar terus menyusut pada awal minggu, dan kedudukan pasangan EUR/USD bertambah. Data pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada 2 Julai agak mengecewakan dan memberi kesan kepada dolar. Menurut unjuran, kadar pengangguran seharusnya turun daripada 5.8% kepada 5.7%, namun sebaliknya pula yang berlaku, meningkat kepada 5.9%.
    Indikator aktiviti perniagaan di AS yang dikeluarkan pada hari Selasa, 6 Julai telah menyelamatkan matawang Amerika itu dari terus turun. Walaupun kadar indeks ISM bagi sektor perkhidmatan turun kepada 60.1 untuk bulan Jun (daripada rekod tertinggi 64 untuk bulan Mei), ia tidak menakutkan para pelabur kerana kadar di atas paras 50 dilihat sebagai positif dan memberi kelebihan kepada dolar. Itulah yang sebenarnya berlaku: setelah mencecah ketinggian 1.1895, pasangan EUR/USD berundur dan turun ke bawah, mencecah paras terendah mingguannya iaitu 1.1780 pada hari Rabu, 7 Julai.
    Minit mesyuarat Rizab Persekutuan bagi bulan Jun yang dikeluarkan pada penghujung hari yang sama menunjukkan walaupun mereka telah mula membincangkan tentang pengurangan jumlah program rangsangan kewangan dan kredit (QE), tiada keputusan khusus yang akan diambil. Para penggubal dasar tidak akan tergesa-gesa untuk mengetatkan polisi kewangan mereka, hanya bergantung pada indikator inflasi dan akan menunggu pasaran buruh untuk pulih sepenuhnya. Seperti yang dinyatakan di atas, disebabkan hal itu, semua indikator tidak begitu optimis sekarang, ianya menunjukkan Amerika sedang mengalami kelembapan ekonomi.
    Pada hari berikutnya, Khamis, 8 Julai, adalah hari untuk matawang euro mengaut semula kerugian yang dialaminya, bukan saja disebabkan oleh pendirian dovish yang diambil pihak Rizab, malah turut disebabkan oleh sasaran kadar inflasi baru yang dikeluarkan oleh European Central Bank. Sebelum ini, sasaran mereka adalah untuk mengekalkan kadar inflasi “di bawah dan hampir pada 2%”. Kini, kadar yang disasarkan oleh para pegawai bank berkenaan mampu ditambah atau dikurangkan pada masa-masa tertentu. Dalam masa yang sama, ketua ECB iaitu Christine Lagarde menegaskan bahawa pihak bank tidak akan mengikuti strategi baru yang diambil oleh pihak Rizab Persekutuan dan tidak hanya akan merangsang pertumbuhan harga pengguna secara khusus untuk mendapatkan puratanya.
    Pertumbuhan matawang Eropah serta selera risiko yang semakin berkurang di peringkat global akibat jangkitan strain delta coronavirus turut membantu. Pedagang mula menutup posisi buka pada matawang dengan kadar faedah tinggi di negara-negara membangun dan memasukkan dana tersebut ke dalam matawang seperti EUR dan JPY.
    Hasil daripada semua turun naik serta perubahan trend, jumlah mata bagi lima hari dagangan boleh dianggap sebagai sifar, dan pasangan EUR/USD mengakhiri minggu hampir pada paras sama ia bermula iaitu 1.1877;
  • GBP/USD. Dinamik pound British berbanding dolar pada minggu lalu mengikuti pergerakan rakan Eropah mereka. Unjuran yang dibuat oleh analisis grafik terbukti yang paling tepat, ia menunjukkan pertama sekali pertumbuhan GBP/USD ke paras antara 1.3870-1.3900 dan kemudian pergerakan lateral di saluran antara 1.3730-1.3870. Realitinya, menyesuaikan beberapa mata, itulah yang berlaku sebenarnya. Bagi paras terakhir untuk minggu itu, kedudukannya berada dekat dengan sempadan atas saluran berkenaan pada paras 1.3890;
  • USD/JPY. Persaingan bagi matawang manakah yang paling selamat sebagai tempat berlindung daripada ribut kewangan terus berlaku. Yen memenanginya pada minggu lalu dengan kelebihan besar setelah mengungguli dolar sebanyak 100 mata. Seperti yang diramal majoriti penganalisis (75%), pasangan ini turun dengan sengaja hampir untuk keseluruhan permulaan minggu, merekodkan paras terendah mingguan dekat dengan 109.50 pada 7 Julai. Pada satu masa, disebabkan oleh peralihan pelabur dari pasaran saham serta penyusutan hasil bon kerajaan AS, kelebihan yang ada mencecah sehingga 150 mata.
    Kemudian, setelah hasil bon Perbendaharaan AS pulih kepada 1.3433%, dolar dapat mengambil semula kerugian, dan pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 110.10;
  • Matawang Kripto. Satu undian yang dijalankan oleh Morning Brew telah menunjukkan perkara yang paling ditakuti oleh pelabur kripto runcit adalah… ciapan Elon Musk. Perkara ini turut disahkan oleh satu lagi tinjauan yang dilakukan oleh Investing.com. Menurut hasil keputusan mereka, satu daripada lima responden yang menjual bitcoin pada bulan Mei 2021 mengaitkan keputusan mereka dengan kritikan Musk terhadap matawang kripto.
    Untuk kepastian, seperti pengharaman transaksi matawang kripto di China, ciapan beliau telah menyebabkan pasaran jatuh, mengakibatkan nilai bitcoin turun daripada $64,600 kepada $30,000. Walau bagaimanapun, kebanyakan penganalisis percaya bahawa sebab utama kepada penurunan itu adalah penggunaan leveraj dalam pasaran kripto, jika tidak pun, dagangan margin yang membolehkan para pelabur membuka posisi berjumlah besar dengan dana yang kecil. Tindakan menutup posisi-posisi seperti itu dalam skala yang besar telah menyebabkan sebut harganya jatuh serta penyusutan lebih 45% daripada jumlah keseluruhan modal pasaran kripto.
    Bagi pihak berkuasa di China pula, mereka terus memaksa matawang maya keluar dari negara berkenaan. People’s Bank of China berkata bitcoin dan juga stablecoin menimbulkan ancaman terhadap keselamatan kewangan serta kestabilan sosial dan telah mengharamkan daripada menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pasaran itu, termasuklah pembangunan perisian, sewa premis serta khidmat pemasaran.
    Buat masa ini, modal yang besar sedang memerhatikan proses migrasi para penghasil keluar dari PRC. Di negara mana modal-modal ini akan meneruskan kerja mereka akan menjadi tumpuan. Jika ia tiba di AS, berkemungkinan imej industri berkenaan dapat diperkuatkan di mata pelabur berinstitusi. Terutama sekali apabila pihak Crypto Head menganggarkan daripada 76 buah negara, Amerika Syarikat menjadi negara terbaik dalam kesediaan untuk menerima aset digital secara besar-besaran. Namun, terdapat pihak yang percaya sepertimana pihak berkuasa China, para pelombong bimbang dengan pihak berkuasa di AS. Oleh yang demikian, mereka akan memilih negara-negara di Asia Tengah - Kazakhstan, Mongolia, dll., negara yang memiliki wilayah beriklim sejuk serta akses kepada sumber tenaga yang murah. Walaupun semuanya tidak semudah seperti yang dijangka. Sebagai contoh, semasa ulasan ini dibuat, negara Kazakhstan telah meluluskan undang-undang bagi caj tenaga tambahan ke atas matawang kripto dalam menjangkakan ketibaan para pelombong.
    Ketahuilah disebabkan oleh pengharamannya di China, kadar hash pada blockchain susut hampir 50%. Perkara ini mengakibatkan algoritmanya yang rumit diubah secara besar-besaran, dan pulangan yang sama besarnya dapat diperoleh baki pelombong. Kini untung yang mereka peroleh adalah hampir menyamai kos semasa nilai BTC $60,000.
    Bagi pelabur, mereka telah memerhatikan matawang kripto utama ini cuba untuk melepasi paras rintangan $36,000 buat kali ketiga. Satu lagi percubaan yang dibuat bull pada minggu lalu berakhir dengan kegagalan, dan pasangan BTC/USD didagangkan di zon antara $32,500-33,500 pada malan Jumaat, 9 Julai.
    Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto telah berubah dengan mendadak sepanjang minggu: daripada $1.358 trilion kepada $1.370 trilion. Oleh yang demikian, terdapat aliran kecil dana dari altcoin (termasuklah ethereum) ke dalam bitcoin sepanjang beberapa hari lalu. Dalam temubual bersama CNBC, Nikolaos Panigirtsoglou, penganalisis di JP Morgan juga maklum dengan perkara tersebut. Tindakan ini telah mengubah trend yang bermula pada bulan April apabila dana besar mengalir masuk ke dalam altcoin dan memberi bayangan pasaran bear untuk BTC akan berakhir. Namun jelas bahawa belum tiba masanya untuk berbincang tentang apa-apa perkembangan yang serius. Perkara ini disahkan sendiri oleh kadar sebut harga, jumlah modal pasaran, serta bacaan Indeks Fear & Greed Kripto yang masih berada di zon Extreme Fear, turun 1 mata berbanding pada minggu lalu, dari 21 kepada 20.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Nampaknya situasi epidemiologi yang berkait dengan penyebaran strain baru COVID-19 sekali lagi menjadi berita utama. Selera terhadap risiko semakin berkurang dan para pelabur pula mula tertarik ke arah aset terlindung sekali lagi dek takut situasi yang berlaku pada tahun lalu berulang. Indeks saham - Nasdaq, Dow Jones, S&P500 - terbantut pertumbuhannya, bergerak mengikuti trend mendatar. Manakala corak lilin berwarna hitam yang menarik wujud pada carta hariannya. Selari dengan itu, permintaan untuk bon Perbendaharaan A.S. meningkat: hasil bon Perbendaharaan susut ke paras terendah dalam tempoh beberapa bulan, ke paras 1.25%.
    Walaupun situasi epidemiologi semakin membimbangkan, Suruhanjaya Kesatuan Eropah telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK di Eurozone daripada 4.3% kepada 4.8% untuk tahun 2021. Pertumbuhan aktiviti ekonomi seharusnya dipengaruhi oleh pelonggaran langkah kuarantin (jika pergerakan terus dikawal) serta vaksinasi ke atas populasi secara besar-besaran. Kadar KDNK dijangka akan kembali seperti keadaan sebelum krisis seawal Q4 tahun ini, tiga bulan lebih awal daripada yang dijangka, dan hal ini mungkin akan menggesa pihak ECB untuk menamatkan program QE mereka lebih awal.
    Namun jika kadar inflasi serta KDNK di Eropah masing-masing adalah 2% dan 4.8%, pertumbuhan yang hampir sama oleh indikator di Amerika pula masing-masing adalah sebanyak 5% dan juga 7%. Kami tertanya-tanya, pihak manakah yang akan mula mengetatkan polisi mereka dahulu? Ya, pihak Rizab Persekutuan mengambil langkah tunggu dan lihat, hampir kepada pendirian dovish. Namun tidak ramai hawkish dalam barisan kepimpinan ECB, dan pendirian mereka sekarang adalah lebih kepada bertolak ansur antara penyokong dan juga penentang pertumbuhan kewangan.
    Pendapat penganalisis berkenaan pasangan EUR/USD untuk minggu depan juga boleh dianggap sebagai kompromi, dengan 40% daripada mereka memilih pertumbuhan, 45% lagi memilih penurunan, dan baki 15% pula mahukan trend mendatar. Dalam masa yang sama, bilangan mereka yang menyokong penyusutan nilai dolar serta pengukuhan nilai euro naik 60% jika kita beralih kepada unjuran pada akhir musim panas nanti.
    Dalam kalangan indikator trend dan juga pengayun pada H4, 70% menunjukkan warna hijau, 30% - warna merah. Pada D1, situasinya berbeza. 70% indikator trend menunjukkan penurunan, manakala bacaan pengayun pula bercampur-campur antara warna merah, hijau dan kelabu neutral. Analisis grafik pada H4 menunjukkan trend mendatar di saluran antara 1.1780-1.1900.
    Sasaran bull yang paling hampir adalah pada paras 1.1900, kemudian 1.1975, 1.2000, 1.2050 dan 1.2150. Cabaran untuk bulan Julai adalah memperbaharui paras tertinggi pada 25 Mei lalu iaitu 1.2265. Tugas bear pula adalah untuk menguji paras terendah bulan Mac iaitu 1.1700. Sokongan di sepanjang laluan tersebut berada pada paras 1.1845, 1.1800 dan 1.1780.
    Peristiwa kalendar ekonomi untuk minggu hadapan seperti berikut haruslah diberi tumpuan. Data pasaran pengguna di Jerman dan AS akan dikeluarkan pada hari Selasa, 13 Julai. Jerome Powell, Ketua Rizab Persekutuan AS dijadual akan berucap di Kongres pada hari Rabu dan Khamis, manakala satu lagi set data pengguna di AS, termasuklah jualan runcit serta Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan akan diketahui pada hari Jumaat, 16 Julai;
  • GBP/USD. Kadar KDNK dan juga jumlah pengeluaran dagangan serta industri di UK tidak mencapai nilai yang telah diunjur. Hal ini akan memberi lebih banyak tekanan kepada pound. Walaupun begitu, 60% penganalisis memilih pertumbuhan pasangan GBP/USD.
    Dari kedudukan terakhir minggu lalu, ia akan naik ke zon 1.3900. Carta untuk tempoh sederhana dengan jelas menunjukkan paras ini berada di tengah-tengah saluran antara 1.3700-1.4000. Justeru, pasangan ini memiliki lebih banyak peluang untuk terus naik ke sempadan atas saluran berkenaan.
    Baki 40% lagi penganalisis, disokong oleh analisis grafik pada H4 percaya bahawa matawang British itu tidak akan berjaya menembusi rintangan pada paras 1.3900, antara penyebabnya termasuklah gelombang baru jangkitan COVID-19 di negara tersebut.
    Bacaan indikator adalah hampir konsisten sepenuhnya dengan bacaan indikator bagi EUR/USD. Dari segi statistik makroekonomi, Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Jun akan diketahui pada hari Rabu, 14 Julai, ianya diunjur naik daripada 2.1% kepada 2.2%. Pada hari berikutnya, sebahagian daripada data untuk keadaan pasaran buruh di UK, ini termasuklah tuntutan faedah pengangguran serta kadar pengangguran di negara tersebut akan dikeluarkan. Jika diingat pertambahan bacaan indikator yang sama di AS telah memberi kesan kepada dolar pada hari Jumaat pertama dalam bulan Julai. Bagi United Kingdom, bacaannya dijangka kekal sama pada 4.7%;

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 12 - 16 Julai, 20211

  • USD/JPY. Adalah hampir mustahil untuk menjelaskan bacaan indikator bagi pasangan ini terhadap mana-mana penyebut, tidak kira pada H4 mahupun D1. Adakah trend pertumbuhan yang bermula pada awal Januari lalu akan terus berlaku? Adakah pasangan ini berjaya menjejakkan kaki di atas paras 111.00? Satu dorongan baru terhadap pergerakannya dikesan setelah pembetulan yang berlaku pada 26 April, dan hanya sekarang wujud bayangan akan berlakunya pengunduran trend serta penembusan ke sempadan bawah saluran itu.
    Kami telah bincangkan antara penyebab yang mengukuhkan nilai yen pada minggu lalu di atas. Namun, agak mustahil untuk menarik sentimen para pelabur dan juga indikator pada minggu depan. Pendapat para penganalisis terbahagi agak sama: 30% memihak kepada bull, 40% lagi memihak kepada bear, manakala baki 40% pula hanya berdakap dada.
    Analisis grafik pada D1 menunjukkan pergerakan mendatar pasangan USD/JPY pada julat dagangan antara 109.50-111.00 pada awalnya, dan hanya selepas itu ia menolak unjuran trend berterusan ke atas serta penembusan paras 112.00.
    Keputusan Bank of Japan terhadap kadar faedah serta sidang akhbar yang biasa dibuat selepas itu oleh pihak pengurusannya mungkin sedikit menarik pada minggu depan. Kedua-dua perkara itu dijadual akan berlangsung pada hari Jumaat, 16 Julai. Berkemungkinan besar, tiada sebarang kejutan yang akan diberikan, dan Jepun sekali lagi akan mengesahkan semula gelaran mereka sebagai tempat paling selamat buat pelabur;
  • Matawang Kripto. Menurut firma analisis Arcane Research, jumlah dagangan harian bitcoin turun ke paras paling rendah sejak permulaan tahun 2021. Pasangan BTC/USD gagal buat kali ketiga berturut-turut dalam percubaannya untuk berada di atas paras $36,000. Hakikat bahawa ia telah didagangkan hampir pada paras terendah setempat sejak akhir bulan Mei pastinya membimbangkan para pelabur. Penurunan di bawah paras terendah semasa iaitu $28,800 mampu mengakibatkan jualan secara besar-besaran sekali lagi serta musim dingin kripto yang baru.
    Dalam masa yang sama, beberapa orang penganalisis menafsirkan situasi semasa yang berlaku sekarang sebagai satu fasa pengumpulan mengikut kaedah Wyckoff. Ini bermakna paras $28,800 adalah paras minimum bagi pembetulan (“Spring”), dan pertumbuhan secara berperingkat dijangka akan berlaku tidak lama lagi. Kaedah Wyckoff akan dapat dipastikan jika nilai bitcoin berjaya menembusi paras rintangan $36,000.
    - Penganalisis kripto popular iaitu PlanB (609,000 orang pengikut) menggariskan senario paling teruk bagi pergerakan matawang kripto utama itu. Penganalisis ini terkenal kerana menggunakan model stock-to-flow (S2F) yang dahulunya sering digunakan ke atas komoditi seperti emas dan perak terhadap bitcoin. Menurut pengiraan planB, senario paling buruk yang akan berlaku kepada bitcoin dalam bulan Julai adalah berada di kedudukan  $28,000 pada akhir bulan. Untuk bulan Ogos, menduduki paras $47,000 pada hari terakhirnya boleh menjadi senario paling teruk. Beliau berpendapat, enam bulan berikutnya akan menentukan adakah BTC sebenarnya mampu untuk mencapai julat nilai enam digit apabila persaingan bull berakhir, dan disebabkan perkara itu, ia berjaya untuk berada di kedudukan $288,000.
    Sila maklum bahawa ramalan pelabur berinstitusi adalah lebih bersifat sederhana. Sebagai contoh, CNBC telah menjalankan kaji selidik Wall Street terhadap hampir 100 orang pengarah pelaburan, ahli strategi kewangan serta pengurus portfolio. 44% daripada mereka percaya bahawa nilai matawang kripto akan ditutup di bawah paras $30,000 untuk tahun 2021. 25% daripada responden percaya kadar matawang kripto pertama tersebut akan mencecah $40,000 pada waktu itu. Peratusan responden yang agak sama memilih paras $50,000, manakala hanya 6% meramalkan kenaikan nilainya ke paras $60,000.
    Dalam membincangkan keputusannya, hos bagi saluran itu bersetuju secara umumnya dengan unjuran jangka pendek, maklum dengan pengurangan rasa bimbang peserta pasaran yang akan menetapkan paras terendah jangka panjang walaupun nilainya berada pada paras $30,000 menjelang hujung tahun ini.
    Semasa menilai prospek altcoin, kebanyakan penganalisis, termasuklah pengasas bank matawang kripto Galaxy Digital iaitu Michael Novogratz berkata bahawa Ethereum mungkin akan melemahkan kedudukan bitcoin pada masa hadapan dan menjadi asas kepada penetapan harganya di pasaran. BTC menjadi terkenal sebagai suatu kaedah penyimpanan. Namun jika anda menambah jumlah semua projek dan juga perancangan yang dibuat ke atas blockchain ETH, jelaslah bahawa Ethereum memiliki lebih banyak kelebihan. Stablecoin, De-Fi, serta token NFT berfungsi pada blockchain berkenaan. Platform ETH berpotensi untuk menjadi asas kepada Web 3.0 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, timbul satu masalah: Ethereum menghadapi saingan hebat daripada Solana, Terra dan lain-lain ekosistem jika mengikut hala tuju ini.
    Penganalisis dari Goldman Sachs, salah satu bank pelaburan terbesar juga turut percaya bahawa ethereum pada masa ini adalah matawang kripto yang berpotensi tinggi dari aspek penggunaannya dan mampu untuk mengatasi bitcoin. Namun dalam masa yang sama, penganalisis bank berkenaan turut yakin tiada coin yang mampu mengatasi populariti emas dalam masa terdekat ini, bukan bitcoin, bukan ethereum, atau lain-lain matawang kripto. Disebabkan oleh kadar turun naik yang tinggi, aset digital tidak akan perbag dianggap sebagai tempat selamat oleh para pelabur, justeru ia gagal dalam persaingan secara terus untuk mengatasi logam berharga tersebut.


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami