Ogos 15, 2021

EUR / USD: Fokus pada kadar Inflasi

  • Ramalan yang dibuat pada minggu lalu adalah 100% tepat. Jika diingat 70% daripada penganalisis berpendapat pasangan EUR/USD akan menguji paras terendah bulan Mac iaitu 1.1700 sekali lagi. Kedudukannya turun ke paras 1.1705 seawal hari Rabu. Walau bagaimanapun, pendorong kepada pengukuhan lebih tinggi nilai matawang AS tidak begitu kelihatan, dan pasangan ini bergerak ke arah bertentangan, ke atas, pada separuh kedua minggu.

     Kedudukannya mencecah paras tertinggi mingguan pada hari Jumaat, 13 Mac, naik menghampiri paras 1.1800, dan mengakhiri dagangan lima hari di kedudukan 1.1795, pertumbuhan terbaik dalam beberapa bulan ini. Semua ini berlaku akibat daripada penyusutan mendadak bacaan Indeks Pengguna University of Michigan, nilainya jatuh ke paras terendah yang dicapai pada Disember 2011: dari 80.2 kepada 70.2 mata. Indikator ini adalah berdasarkan pada tinjauan pengguna serta tahap keyakinan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi AS. Senang cerita, ia menilai keinginan mereka untuk membelanjakan wang. Indikator lain yang dikeluarkan universiti itu juga agak mengecewakan.

     Pihak Rizab Persekutuan telah berulang kali menekankan bahawa penamatan program rangsangan kewangan (QE) serta kenaikan kadar faedah akan bergantung secara terus pada lonjakan kadar inflasi dan juga pasaran buruh AS yang pulih sepenuhnya. Namun ternyata keinginan warga Amerika untuk membeli-belah semakin berkurang, ini bermaksud tiada apa yang menggalakkan inflasi serta memenuhi sasaran pihak Rizab Persekutuan.

    Disamping data yang mengecewakan dari University of Michigan, paras indeks dolar DXY jatuh kepada 92.50, manakala indeks Dow Jones dan S&P500 sekali lagi memperbaharui paras tertinggi mereka, masing-masing mencecah 35612.25 dan 4467.13.

    Menariknya, pertumbuhan indeks saham AS baru-baru ini berlaku bukan saja apabila keadaan ekonomi menggembirakan para pelabur, malah semasa ia mengecewakan mereka. Ini berlaku disebabkan oleh lambakan dolar ke dalam pasaran di bawah program QE. Ringkasnya tiada tempat untuk para pelabur meletakkannya, terutama sekali apabila kadar faedah yang diwarta pihak Rizab adalah terlalu rendah. Jadi anda perlu melabur di dalam saham.

     Namun suara-suara “helang” yang ingin menamatkan QE dari Bank Pusat AS sendiri semakin hari kedengaran semakin jelas. Menurut 28 daripada 43 orang penganalisis Reuters, pihak Rizab akan mengumumkan permulaan bagi penamatan program itu pada bulan September. Lebih daripada satu pertiga responden percaya bahawa perkara ini akan berlaku pada bulan November-Disember. Menurut 60% penganalisis yang membuat tinjauan, pembelian aset akan dikurangkan bermula pada Q1 2022, hampir kesemua dari bakinya percaya ia akan berlaku lebih awal, pada Q4 tahun ini.

     Mula untuk mengurangkan rangsangan fiskal berkemungkinan besar akan menyebabkan modal pasaran saham mengalir keluar serta mengukuhkan nilai dolar. Namun setakat ini, masih belum jelas bila ia akan berlaku, dan tiada sebarang kepastian dalam pendapat para penganalisis. Menilai prospek pasangan EUR/USD untuk minggu hadapan, 30% bersetuju dengan pertumbuhan manakala 35% lagi masing-masing memilih penyusutan dan juga mengikuti trend mendatar di sepanjang ufuk 1.1800.

    Kesepakatan juga tiada dalam kalangan indikator. Jelaslah bahawa setelah berlakunya lonjakan pada hari Jumaat, 13 Ogos, kebanyakan daripada mereka menunjukkan warna hijau, ini termasuklah analisis grafik. Walaupun 25% pengayun pada warna ini juga sudah menunjukkan isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. Bagi D1 pula, agak mustahil untuk memberi kelebihan pada mana-mana warna: satu pertiga daripada pengayun berwarna hijau, satu pertiga lagi - merah, dan baki satu pertiga - kelabu neutral. Bagi indikator trend pada D1, majoriti (65%) menunjukkan penerusan trend jangka sederhana ke bawah, serta keinginan pasangan ini untuk menguji paras sokongan di 1.1705 sekali lagi. Jika berjaya, ia akan menghadapi rintangan kuat di zon antara 1.1600-1.1610. Jika bull berjaya, maka rintangan akan berada pada paras 1.1840, 1.1910 dan 1.1975.

     Antara perkara yang akan berlaku dan mungkin memberi kesan kepada trend pada minggu hadapan, tumpuan harus diberi terhadap data KDNK di Eurozone untuk Q2, serta data jualan runcit serta kadar inflasi di AS. Semua ini akan dikeluarkan pada hari Selasa, 17 Ogos. Keesokan harinya, 18 Ogos, minit mesyuarat FOMC pihak Rizab Persekutuan akan diketahui, dan dari situ para penganalisis akan cuba untuk memahami pihak manakah sekarang ini yang akan memberi kelebihan jika berkaitan dengan penamatan QE, pipit atau helang.

GBP/USD: Kabus memenuhi London

  • Seperti dijangka, data yang dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Ogos menunjukkan kadar pertumbuhan KDNK di UK untuk Q2 2021 yang kukuh, naik daripada negatif 1.6% kepada 4.8%. Walau bagaimanapun, keputusan tersebut sama sepenuhnya dengan ramalan dan ianya langsung tidak memberi sebarang tanggapan hebat kepada pasaran. Namun data yang diperoleh dari University of Michigan telah menyebabkan kadar GBP/USD bertambah 85 mata, naik dari 1.3790 kepada 1.3875, dan mengakhiri sesi dagangan pada kedudukan hampir dengan paras permulaannya iaitu 1.3868.

     Sebelum data ini diketahui, ramai penganalisis menjangkakan trend penurunan pasangan ini yang bermula pada hujung Julai lalu akan terus berlaku. Penganalisis di Commerzbank menyatakan paras terendah pada 21 Jun iaitu 1.3786 sebagai paras sokongan permulaan, dan setelah menembusinya pasangan itu akan terus mengalami penurunan ke paras terendah 2 Julai(1.3735) dan 12 April (1.3669). Sasarannya adalah paras terendah pada 20 Julai lalu iaitu 1.3571.

    Senario sama telah dibangkitkan oleh seorang penganalisis di OCBC Bank yang berpangkalan di Singapura, beliau melihat paras 1.3779 dan 1.3732 sebagai sasaran. Ahli ekonomi di French Societe Generale bersetuju dengannya, mereka percaya bahawa kombinasi antara nilai dolar yang kukuh serta pound yang menyusut mungkin akan menyebabkan pasangan GBP/USD turun di bawah paras 1.3750.

    Walau bagaimanapun, satu pun belum pernah berlaku. Elok untuk kami nyatakan di sini tentang pandangan para penganalisis di Credit Suisse, mereka merasakan pasangan ini akan menghasilkan corak penuh pengunduran bullish. Namun untuk meneruskan pertumbuhannya, ia perlu berada di atas paras 1.3895. Kemudian sasaran berikutnya adalah di atas paras 55-DMA iaitu 1.3920, dan di zon antara 1.3978-1.4010 selepas itu.

     Bagi indikator pula, bacaannya sama dengan bacaan “rakan” mereka untuk pasangan sebelum ini, EUR/USD. Walaupun warna hijau menunjukkan beberapa kelebihan pada H4, buat masa ini adalah mustahil untuk menjadikan isyaratnya sebagai panduan.

     Antara statistik makro penting bagi pound untuk minggu hadapan adalah data pasaran buruh UK yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 17 Ogos, manakala data pasaran pengguna pula pada hari Rabu, 18 Ogos. Namun, walaupun kedua-duanya memberikan keputusan positif, menunggu isyarat jelas dari Bank of England berkenaan pelaksanaan pengurangan QE adalah sia-sia saja.

USD/JPY: Susut Seperti Hasil Bon Perbendaharaan

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 16 - 20 Ogos, 20211

  • Pada minggu lalu kami memberi judul “Lonjakan Akibat Hasil Bon Perbendaharaan” kepada ramalan pasangan ini. Kali ini, kami menggantikan perkataan “Lonjakan” kepada “Susut".

    Judul sebelum ini memang menggambarkan perkara sebenar. Seperti dijangka, USD/JPY mengalami pertumbuhan pada awal permulaan minggu, mencecah ketinggian 110.80 pada 11 Ogos. Walau bagaimanapun, “sesuatu yang buruk berlaku” kemudiannya, dan arah pergerakan pasangan ini berubah ke bawah, mengakhiri minggu pada paras 109.55. Punca utamanya telah banyak kali disebutkan di atas. Kelebihan lain yang ada pada matawang selamat Jepun ini telah diperoleh daripada hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS. Indikator tersebut susut mendadak sebanyak 4.5%, dan paras terendah mingguannya mencecah 1.3%%.

     Pasangan USD/JPY mengakhiri lima hari dagangan di bawah paras penting 110.00, dan para penganalisis berkata ini bukanlah petanda baik buat dolar. (Pastinya untuk masa terdekat). Justeru, 45% daripada penganalisis memilih trend ke bawah akan terus berlaku, manakala 45% lagi memilih trend mendatar, dan hanya 10% percaya bahawa bull mampu kembali mengikuti trend ke atas.

     Bagi indikator trend pula, kelebihan jelas juga kelihatan di kedua-dua bahagian berwarna merah: 100% pada H4 dan 75% pada D1 bersetuju dengannya. Tiada satu pun dalam kalangan pengayun pada H4 yang menunjukkan pertumbuhan. Benar, 25% daripadanya mengambil posisi neutral, dan daripada baki 75% yang menunjukkan pertumbuhan, hampir separuh daripadanya berada di zon lebihan jualan. Pada D1, 65% menunjukkan penyusutan, 20% mendatar, dan 15% memilih pertumbuhan.

    Sokongan berada pada paras 109.35, 109.05 dan 108.70, sasaran bear adalah untuk menguji paras terendah bulan April iaitu 107.45. Rintangan paling hampir berada di zon 110.00, 110.55, 110.80, 111.00 dan 111.65. Sasaran utama bull masih lagi sama: untuk melepasi ketinggian 112.00.

     Antara data yang akan diketahui pada minggu depan adalah bacaan awal kadar KDNK Jepun bagi Q2 2021 (diunjur: naik dari negatif 1.0% kepada 0.2%). Namun, seperti yang biasa berlaku, keputusan yang diberikan hanya memberi kesan kecil kepada pergerakan pasangan. Fokus utama semestinya terhadap statistik makro AS. Malah ia mampu untuk menggagalkan trend sekarang dan membawa semula pasangan ini ke atas.

MATAWANG KRIPTO: Kripto Melalui Musim Bunga Penuh

  • “Para pelabur berharap kebekuan kripto telah berakhir, namun bukan musim dingin kripto yang tiba, tetapi musim bunga,” - inilah gambaran kami berkenaan situasi semasa di pasaran pada ulasan yang lalu. Apa yang berlaku pada minggu lalu tidak menganggu mood musim bunga. Nilai bitcoin naik kira-kira 12% dalam masa tujuh hari dan menghampiri paras $47,800 semasa ulasan ini dibuat. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto bertambah daripada $1.67 trilion kepada $1.957 trilion untuk tempoh yang sama, dan hari untuk jumlahnya sekali lagi melepasi paras $2 trilion mungkin akan menjelma tidak lama lagi. Bagi Indeks Fear & Greed Kripto, akhirnya paras bacaannya keluar dari zon tengah ke bahagian berwarna hijau skala tersebut, naik daripada 52 mata kepada 70. Pada masa yang sama, kedudukan itu masih lagi jauh berbanding dengan zon lebihan belian yang teruk, zon yang memberi bayangan awal pembetulan mendadak akan berlaku. Ia juga memberi harapan kepada pelabur tentang ketibaan hari untuk pasangan BTC/USD memperbaharui nilai tertingginya.

     Selain sikap optimis, pasti terdapat juga mereka yang besikap pesimis di dalam pasaran. Antaranya termasuklah golongan profesional ternama. Sebagai contoh, hartawan dan juga pengasas Bridgewater Associates iaitu Ray Dalio yang masih memilih emas walaupun beliau tidak menolak nilai bitcoin akan bertumbuh. Dalio menyatakan beliau sendiri memiliki “sejumlah kecil” bitcoin. “Jika anda mengacukan pistol di kepala saya dan memaksa saya untuk membuat pilihan, saya pasti memilih emas,” jelas beliau.

    Ahli perbankan terkenal seperti CEO Goldman Sachs iaitu David Solomon serta rakan sejawatnya di JPMorgan Chase iaitu Jamie Dimon terus mengkritik matawang kripto. Namun dalam masa yang sama, mereka dan kebanyakan bank lain terus melaksanakan perkhidmatan yang melibatkan aset digital dengan aktif. Manakala penganalisis di JPMorgan telah mengunjurkan pertumbuhan nilai BTC kepada $146,000 pada awal tahun ini.

     Pertikaian mengenai pilihan manakah yang lebih baik untuk melaburkan wang, dalam logam berharga ataupun matawang kripto masih lagi belum reda. Dalam masa yang sama, pengiraan ringkas menunjukkan bitcoin memiliki lebih banyak kelebihan. Harga emas susut kira-kira 5.5% sepanjang 10 tahun yang lalu. Bagi matawang kripto utama pula, untuk tempoh yang sama nilainya bertambah 571,000%. Ini bermakna, dengan hanya melaburkan dua dolar sepuluh tahun lalu, anda kini mungkin sudah bergelar jutawan. Sejak lima tahun lalu saja, nilai emas telah menyusut sebanyak 25 kali ganda berbanding bitcoin.

    Nilainya menjadi bukti. Namun tahap kebolehpercayaan sesuatu pelaburan juga tidak harus dilupakan. Antara tahun 2010 dan juga 2015, harga emas mengalami kejatuhan maksimum, susut hampir 40% dalam masa lima tahun. Namun jika anda lihat pada carta antara bulan April-Mei tahun ini, anda akan mendapati nilai bitcoin juga susut 40% dalam masa hanya empat minggu!

     Melabur dalam matawang kripto memerlukan jiwa yang kental serta margin yang bersesuaian. Semasa pasaran kripto mengalami penurunan mendadak, sesetengah pihak menjualnya, panik dengan apa yang berlaku. Sesetengah pihak yang lain pula, mereka melihatnya sebagai satu peluang baik untuk membuat belian setelah mengetahui ia sedang mengalami pembetulan.

    Menurut Tom Lee, ketua firma penyelidikan Fundstrat, “panduan emas” untuk setiap pelabur kirpto adalah membeli bitcoin setiap kali harganya melepasi paras purata pergerakan 200 hari (MA 200) dari bawah ke atas. Bermula pada tahun 2017, tiga daripada lima kes, candle harian yang ditutup di atas paras ini menjadi titik permulaan bagi peningkatan jumlah dagangan secara beransur-ansur serta pengembangan trend jangka panjang ke atas yang bertahan antara 4 bulan hingga setahun. Menurut Tom Lee, dua kes yang gagal menunjukkan hasil serupa tidak sama sekali menidakkan “panduan emas” ini kerana kedudukan BTC pada kedua-dua waktu itu cukup tinggi untuk pelabur melindungi posisi mereka daripada sebarang kerugian.

    Tom Lee turut menekankan tentang ramalannya yang melihat nilai bitcoin akan berada di sekitar $100,000-120,000 pada tahun 2022. Pegawai strategi kanan di Bloomberg Intelligence iaitu Mike McGlone turut menunjukkan nilai $100,000 yang sama dalam laporan terbarunya. “Bitcoin dilihat sudah menjadikan $30,000 sebagai paras sokongannya, sama seperti paras $4,000 pada awal 2019. Kami melihat persamaan pada kedua-dua perkara itu, dan nampaknya, nilai bitcoin mungkin akan mencecah $100,000,” beliau menjelaskan.

     Unjuran yang lebih sederhana telah diberi oleh tiga orang lagi penganalisis kripto. Penganalisis kripto terkenal, Willie Wu percaya bahawa melihat pada asasnya, nilai bitcoin yang sepatutnya adalah pada paras $53,200. Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa faktor fundamental tidak akan memberikan ramalan jangka pendek, namun dengan masa yang cukup, ia akan menjelaskan segala-galanya.

    Seorang lagi penganalisis, Will Clemente bersetuju dengan pendapat Wu dan beliau maklum bahawa, berdasarkan data likuiditi bitcoin yang dikeluarkan oleh platform analisis Glassnode, beliau menjangkakan nilainya akan naik kepada $53,000 seperti pada 31 Julai lalu. Ahli strategi kripto terkenal dengan nama gelaran Crypto Dog mengesahkan ramalan tersebut. Beliau merasakan, “nilai bitcoin akan mencecah $50,000 tidak lama lagi."

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami