September 18, 2021

EUR/USD: Menunggu Keputusan Rizab Persekutuan AS

  • Nilai dolar terus mengukuh, dan pasangan EUR/USD mengalami penurunan. Bermula pada paras 1.1810 pada hari Isnin, 13 September, pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada kedudukan 1.1730. Sudah pastinya penurunan ini tidak begitu teruk, hanya mengambil 80 mata saja. Namun perlu diingat bahawa kedudukannya dua minggu lalu, pada 3 September adalah 1.1908.

    Statistik jualan runcit di AS menunjukkan kadar yang lebih baik daripada jangkaan. Kadar jualan naik sebanyak 0.7% untuk bulan Ogos, walaupun pasaran menjangkakan kadar tersebut seharusnya susut sebanyak 0.8%. Bilangan permohonan berulang bagi faedah pengangguran yang sepatutnya turun 72K, turun sebanyak 187K.

    Bacaan statistik yang kukuh seperti itu menguatkan lagi kebarangkalian untuk pihak Rizab Persekutuan mengumumkan pengurangan program pelonggaran kuantitatif (QE) berjumlah $120 bilion kepada 55% pada mesyuarat berikutnya yang akan diadakan pada 21-22 September.

    Akibat daripada lambakan dolar sejak setahun setengah yang lalu oleh pihak FRS, jumlah hutang negara AS telah bertambah sebanyak 130% daripada jumlah KDNK negara itu, manakala defisit belanjawannya adalah lebih daripada satu trilion dolar. Disebabkan itu, mesyuarat berkenaan bukan hanya akan berkisar tentang penamatan rangsangan fiskal dan kredit, tetapi juga peralihan pada polisi fiskal yang lebih ketat. Parti Demokrat serta barisan Pentadbiran Biden telah mengemukakan satu draf pembaharuan cukai kepada Kongres AS yang turut mengandungi kenaikan mendadak dalam cukai pendapatan negara. Jika diluluskan, kadar cukai di negeri-negeri seperti New York atau California boleh mencecah sehingga 60%. Selain itu, cadangan untuk memperkenalkan cukai harta sebanyak tiga peratus telah dikemukakan buat kali pertama dalam sejarah negara AS.

    Respon pasaran saham terhadap semua berita ini adalah dengan jualan yang aktif. Indeks S&P500 susut daripada 4,550 kepada 4,435, manakala Dow Jones susut daripada 35517 kepada 34510 dalam masa dua minggu. Harga emas juga jatuh sebanyak 4.5%.

    Di Eropah pula, keadaan yang benar-benar panik berhubung kenaikan tertinggi harga gas dalam sejarah menyelubungi negara-negara ahlinya, pada satu ketika kenaikannya mencecah $970 bagi setiap 1,000 meter padu. (Harganya adalah 2.8 lebih rendah setahun lalu). Menjangkakan ketibaan musim bunga-sejuk yang hangat, rizab tenaga yang ada hanyalah sebanyak 75% (mengikut anggaran berlainan, jumlahnya hanyalah 50%). Kekurangan rizab tenaga seperti itu bukan saja akan menaikkan harganya malah juga juga mengurangkan kadar pengeluarannya. Keadaan menjadi lebih tegang dengan kemelesetan ekonomi yang baru dan pastinya ia tidak akan menguntungkan mata wang Eropah.

    Perkara penting untuk minggu hadapan setakat ini adalah mesyuarat pihak Rizab Persekutuan yang akan berlangsung pada 21-22 September. Kadar faedah mungkin akan kekal pada 0.25%. Justeru, pertama sekali, para pelabur menunggu isyarat ataupun kata-kata yang lebih meyakinkan tentang permulaan penamatan QE. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, lebih ramai ahli kepimpinan Rizab Persekutuan mengambil pendirian hawkish serta menyokong program pembelian aset dikurangkan seawal tahun ini. Jika hawkish memperoleh majoriti dalam mesyuarat kali ini, kita boleh jangkakan pengukuhan nilai dolar, dan penurunan kadar indeks saham serta harga emas ke paras yang lebih rendah.

    Buat masa ini, 60% penganalisis bersetuju dengan kenaikan kadar mata wang AS serta penyusutan kadar pasangan EUR/USD, manakala 30% adalah sebaliknya, mereka percaya tiada apa yang akan berlaku semasa mesyuarat Rizab Persekutuan berlangsung dan pasangan ini akan terus bertumbuh. Baki 10% lagi penganalisis menjadi pihak berkecuali.

    Bacaan indikator pada D1 adalah seperti berikut. Dalam kalangan pengayun, 75% adalah berwarna merah manakala 25% lagi memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Dalam kalangan indikator trend, 100% menunjukkan penurunan.

    Sokongan berada pada paras 1.1705, 1.1665, 1.1600 dan 1.1525. Rintangan berada pada paras 1.1770, 1.1800, 1.1845, 1.1908, 1.1975, 1.2025 dan 1.2100.

    Selain daripada mesyuarat Rizab Persekutuan, perkara yang bakal berlaku pada minggu depan termasuklah pengeluaran statistik PMI di Jerman dan di Eurozone pada hari Khamis, 23 September.

GBP/USD: Helang BoE vs Helang Rizab Persekutuan

  • Walaupun nilainya susut berbanding dolar, pound British secara umumnya bertahan dengan lebih baik berbanding mata wang Eropah. Seperti yang dijangka oleh kebanyakan penganalisis (60%), pasangan GBP/USD bergerak ke atas pada hari Isnin dan menguji paras 1.3900 keesokan harinya setelah dibantu oleh statistik pasaran buruh UK yang baik. Ia diikuti pula dengan pengunduran, susut sedikit demi sedikit dan kedudukan terakhir pasangan ini berada pada paras 1.3730. Hasilnya, ia gagal untuk memperbaharui paras terendah sepanjang dua minggu iaitu 1.3725 walaupun ia sangat-sangat memerlukannya.

    Pasangan GBP/USD langsung tidak memberikan reaksinya terhadap data inflasi di Britain yang diunjur di atas (kadar CPI naik 3.2% untuk bulan Ogos vs. 2.0% pada Julai vs. 2.9% yang diunjur). Walau bagaimanapun, indikator seperti itu mengukuhkan lagi kedudukan para helang di Bank of England. Setakat ini, kuasa yang ditonjolkan oleh “helang” dan “pipit” di sana masih lagi seimbang. Menurut Gabenor Bank iaitu Andrew Bailey, empat orang ahlinya menyokong kadar faedah utama dinaikkan dan empat orang lagi menentang cadangan itu semasa kali terakhir mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan (MPC) diadakan.

    Para penganalisis percaya bahawa kadar faedah yang mungkin akan dinaikkan pada bulan Februari 2022 nanti akan memberi sokongan kepada pound dan penyusutan pasangan GBP/USD ke paras yang lebih rendah akan berkurangan. Jika jangkaan itu menjadi kenyataan, nilai mata wang UK tersebut mampu bertumbuh dengan pesat.

    Kita bukan saja ada mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang penting pada minggu ini, malah kita juga menantikan mesyuarat Bank of England yang dijadualkan pada hari Khamis, 23 September untuk para pelabur mendapatkan isyarat berkenaan waktu pengetatan polisi kewangan. Berbanding dengan ramalan untuk EUR/USD, kebanyakan penganalisis memihak kepada pound dalam situasi ini. 65% penganalisis memilih pertumbuhan pasangan GBP/USD, manakala 35% lagi menjangkakan penyusutan lebih rendah, Namun bacaan indikator teknikal adalah sama 100% dengan pasangan sebelum ini.

    Rintangan berada pada paras 1.3765, 1.3810, 1.3910, kemudian 1.3960, 1.4000 dan 1.4100. Sasaran bull adalah untuk memperbaharui paras tertinggi yang dicapai pada 1 Jun lalu iaitu 1.4250. Paras sokongan berada di zon antara 1.3700-1.3725, 1.3665 dan 1.3600.

USD/JPY: Sifar Lagi

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 20 - 24 September, 20211

  • Selamat untuk menggelar minggu hadapan sebagai minggu bank-bank pusat. Selain daripada mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan juga Bank of England, para pelabur akan dapat memahami pendapat People’s Bank of China serta Bank of Japan berkenaan situasi ekonomi di negara mereka pada hari Rabu, 22 September, serta keputusan terhadap kadar faedah mata wang kebangsaan mereka sendiri. Dengan kebarangkalian hampir 100%, kadar yen akan kekal sama, pada kadar negatif 0.1%. Namun banyak lagi yang perlu difikirkan oleh kepimpinan BOJ: mereka perlu memenuhkan defisit ekonominya sendiri yang berjumlah 22 trilion yen (lebih kurang $22 bilion).

    Walau bagaimanapun, reaksi pasangan USD/JPY agak tenang terhadap angka dan berita seperti itu. Pelabuhan Jepun yang tenang tidak memerlukan keterujaan yang sia-sia.

    Pasangan USD/JPY telah bergerak di sepanjang garis 110.00 sejak bulan Mac lalu, membuat percubaan luar biasa untuk keluar dari saluran dagangan antara 108.30-111.00. Jadi kali ini, setelah memulakan minggu niaga pada kedudukan 109.85, ia mengakhiri minggu pada paras yang hampir sama, pada paras 109.95. Dalam masa yang sama, ramalan para penganalisis boleh dianggap tepat: kebanyakan mereka (50%) memihak kepada bear pada minggu lalu manakala 35% lagi mengambil pendirian neutral. Semuanya benar-benar mengikuti senario tersebut: pasangan ini mengalami penurunan pada mulanya, setelah menduduki paras sokongan jangka sederhana pada 109.10, ia gagal menembusi paras tersebut, selepas itu mengubah arahnya dan kemudian naik semula.

    Pasangan ini mendapat sokongan daripada statistik jualan runcit di AS yang positif. Disamping itu, menurut beberapa orang penganalisis, aliran keluar modal pelabur Jepun ke dalam bon asing tidak mengalir terlalu jauh. Para pelabur di Jepun jarang sekali membuat pembelian bon dari lain-lain negara dalam tahun 2021. Namun peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS yang mendadak telah memaksa mereka untuk membuat pembelian berjumlah lebih daripada 1.76 bilion yen pada hari Khamis. Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak November tahun lalu.

    Ramalan penganalisis untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 50% daripada mereka sekali lagi memihak kepada bear, 35% memihak pada bull, manakala 15% lagi mengambil pendirian neutral. Bagi indikator pada D1, pelbagai bacaan boleh didapati dalam kalangan pengayun setelah melalui minggu dengan hasil seperti itu, manakala warna hijau memiliki lebih banyak kelebihan untuk indikator trend.

    Paras sokongan tidak berubah: 109.60, 109.10, 108.70 dan 108.30. Impian bear (dilihat sukar untuk direalisasikan) adalah untuk menguji semula kedudukan terendah bulan April iaitu 107.45. Rintangan paling hampir berada pada paras 110.15, 110.25, 110.55, 110.80, 111.00 dan 111.65. Sasaran utama bull masih lagi sama: untuk mencapai ketinggian 112.00 yang diidam-idamkan.

MATA WANG KRIPTO: Kelam Bertukar Sedikit Cerah

  • El Salvador telah menguatkuasakan undang-undang bagi mengiktiraf bitcoin sebagai satu bentuk kaedah pembayaran pada hari Selasa, 7 September. Dan nilai sebut harga mata wang kripto terunggul ini turun sebanyak 18% dalam masa beberapa jam saja: daripada $52,870 kepada $43,205. Perlahan-lahan pasaran cuba untuk pulih daripada hari “menyedihkan” ini. Semasa ulasan ini dibuat, kadar pasangan BTC/USD berada di zon antara $47,300-48,000. Sudah pasti kenaikan ini tidak begitu tinggi, sebab itulah minggu lalu hanya boleh diringkaskan sebagai “sedikit cerah.”

    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto hanya naik 2 mata, daripada 46 kepada 48, dan kini berada di zon tengah neutral. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto semacam tidak berubah, iaitu sebanyak $2.120 trilion berbanding $2.100 trilion seminggu yang lalu.

    Desas-desus yang menyelubungi juga dilihat “sedikit cerah”. Berita paling menarik adalah Panama telah memutuskan untuk menjadikan El Salvador sebagai contoh. Satu draf undang-undang mengenai mata wang kripto telah dibentangkan di Kongres negara berkenaan. Buat masa ini Panama menggunakan dolar AS sebagai kaedah bayaran. Jika draf tersebut diluluskan, mereka juga mungkin boleh menggunakan BTC dan ETH. Tidak seperti El Salvador, pilihan untuk menggunakan mata wang kripto oleh penduduk Panama bukanlah mandatori, ini bermakna, rakyat serta syarikat-syarikat boleh membuat keputusan sendiri sama ada mahu menerima mata wang kripto atau dihadkan hanya menerima dolar saja.

    Undang-undang tersebut masih belum lagi diluluskan, tetapi para penganalisis sudahpun tertanya-tanya apakah reaksi pasaran jika ia dikuatkuasakan. Adakah kita perlu bersedia untuk satu lagi hari “gelap” dalam kalendar seperti yang berlaku pada El Salvador?

    Satu lagi kisah menarik. Penyedia perisian analisis MicroStrategy membuat pembelian tambahan 5,050 BTC lagi pada kadar $48,099. Perkara ini telah diumumkan sendiri oleh ketua syarikat berkenaan iaitu Michael Saylor. Sehingga 12 September, MicroStrategy memiliki 114,042 BTC. Sebanyak $3.16 bilion telah dibelanjakan untuk pembeliannya, dan kos purata bagi setiap coin adalah $27,713.

    Syarikat lain di AS yang membuat pelaburan besar ke dalam mata wang kripto seperti ini termasuklah Square milik Jack Dorsey dan juga Tesla milik Elon Musk. Kini mereka dijangka akan turut disertai oleh dana lindung nilai Brevan Asset Management milik hartawan Alan Howard yang membuka divisyen BH Digital, khusus bagi memenuhi tujuan tersebut.

    Orang berpengaruh terus membuat unjuran mengagumkan bagi mata wang kripto utama ini. Ronald-Peter Stöferle, ahli ekonomi Austria yang juga seorang rakan kongsi pengurusan di syarikat pelaburan Incrementum AG berkata, “dalam tempoh lima ke sepuluh tahun lagi, nilai bitcoin akan naik ke paras yang tidak mungkin boleh kita bayangkan.” Dalam masa yang sama, pengurus terkenal itu maklum bahawa fasa pertumbuhan nilai bitcoin yang seterusnya belum lagi bermula. Beliau berpendapat, kenaikan harga bitcoin akan berlaku apabila aset tersebut menjadi “satu cara bagi melindungi inflasi daripada eksperimen kewangan besar yang sedang berlaku."

    CEO Ark Invest iaitu Cathie Wood menjangkakan nilai bitcoin akan melonjak ke paras $500,000 dalam tempoh lima tahun. Dalam temu bual bersama CNBC, Wood menjelaskan bahawa kesahan unjuran beliau itu akan bergantung sama ada syarikat-syarikat akan terus mempelbagaikan rizab bitcoin mereka serta sama ada jika pelabur berinstitusi memilih untuk meletakkan 5% aset yang mereka miliki ke dalamnya.

    Ketua Ark Invest itu juga menekankan tentang potensi yang ada pada Ethereum, menyatakan bahawa syarikat beliau mungkin akan terus mengikuti strategi pemilikan 60% Bitcoin dan juga 40% Ethereum.

    Dari segi unjuran jangka pendek, veteran dagangan kripto iaitu Ton Vays percaya bahawa proses pembetulan pasangan BTC/USD akan berakhir tidak lama lagi, dan nilainya akan naik mendadak kepada enam digit selepas itu. Vays menjelaskan bahawa pergerakan harga BTC baru-baru ini mengingatkan beliau pada bulan Julai, apabila nilai mata wang unggul ini turun ke paras terendah tahunannya di bawah $29,000 dan kemudian naik ke paras $52,000 secara agresif dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

    Menurut Ton Vays, nilai bitcoin mungkin akan turun sedikit dan memberi peluang kepada para pelabur untuk membuat pembelian hampir pada paras $40,000. Selepas itu, nilainya akan melompat dengan mendadak dari paras sokongan ini dan terus memecut laju. “Paras terendah $40,000 akan dicapai sama ada pada minggu ini atau mungkin akan tertangguh sehingga awal Oktober, dan kemudian melintasi kawasan tersebut dengan kenaikan ke paras $50,000 pada pertengahan bulan Oktober. Nilainya akan melebihi $65,000 pada awal November, dan berkemungkinan $100,000 pada hujung bulan Disember,” jelas beliau.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami