Oktober 17, 2021

EUR/USD: Pembetulan atau Perubahan Trend?

  • Setelah mencecah paras terendah mingguan 1.1523 pada hari Selasa, 12 Oktober, pergerakan menurun pasangan EUR/USD selama lima minggu berakhir, mengubah arah pergerakannya, dan naik ke atas. Sejak bermulanya musim bunga, dolar telah memperolehi semula 385 mata daripada euro. Adakah mata wang pan-Eropah ini dapat menebus semula kerugiannya sekarang?

     Sebenarnya keadaan yang dialami mata wang itu agak samar-samar. Sesetengah penganalisis menjangkakan pembetulan ke atas yang lebih kukuh. Namun ianya tidak berlaku: pasangan ini hanya berjaya naik ke paras 1.1624 dan mengakhiri dagangan lima hari di kedudukan 1.1600.

    Data mingguan menunjukkan ekonomi di AS terus pulih dengan agak cepat, meningkatkan peluang hampir kepada 100% untuk pihak Rizab mula menamatkan program rangsangan kewangannya (QE) pada bulan hadapan.

    Tuntutan awal untuk faedah pengangguran di AS turun kepada 293,000 buat pertama kalinya sejak pandemik COVID-19 bermula (turun 36K berbanding 14,000 yang dijangka). Manakala bilangan mereka yang sudah pun menerima bantuan turun sebanyak 134 ribu, dan bukannya 78 ribu seperti yang dijangka: daripada 2.72 juta kepada 2.59 juta. Harga pengeluar juga menunjukkan peningkatan, daripada 8.3% kepada 8.6% (unjurannya adalah sebanyak 8.5%). Justeru, kadar inflasi harga ini dari tahun ke tahun menunjukkan pertumbuhan paling kukuh dalam sejarahnya.

    Sedia maklum bahawa Indeks Harga Pengeluar berrfungsi sebagai indikator utama bagi harga pengguna. Oleh yang demikian, kadar inflasi dijangka akan terus bertambah, mempercepatkan lagi bermulanya proses penamatan QE. Terutama sekali apabila data jualan runcit yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 15 Oktober juga berada di zon hijau: 0.7% berbanding negatif 0.2% yang diunjur.

    Timbul pula persoalan ini: jika semuanya berada dalam keadaan baik untuk ekonomi AS, mengapa penurunan pantasnya tidak terus berlaku? Berpaut di hujung tanduk, bull yang memihak pada euro masih lagi berharap penamatan program rangsangan fiskal akan ditunda sekurang-kurangnya sehingga bulan Disember. Perkara ini disokong oleh lonjakan pada indeks saham: indeks S&P500 naik 3 peratus pada hari-hari terakhir minggu (kadar pertumbuhan tertingginya dalam tempoh tujuh bulan) manakala indeks Dow Jones naik 3.4 peratus. Indeks ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak tiga bulan yang lalu.

    Apa yang boleh dijangka untuk pasangan EUR/USD pada masa hadapan? Trend penurunan yang berterusan setelah berlakunya pembetulan? Nilai euro yang semakin kukuh dan perubahan arah trend ke atas? Atau tenang bergerak di saluran mendatar?

    Bacaan indikator pada D1 dilihat agak bercelaru. Dalam kalangan pengayun, 55% adalah berwarna merah, 15% berwarna hijau, manakala baki 30% lagi menunjukkan kelabu neutral. Indikator trend juga menunjukkan kurangnya persefahaman: 65% daripada mereka menunjukkan penurunan dan baki 35% lagi menunjukkan pertumbuhan. Analisis grafik menggambarkan pasangan ini naik ke paras 1.1725, kemudian turun semula dan bergerak dalam julat antara 1.1585-1.1725.

    Bagi penganalisis pula, 20% berpihak kepada penyusutan pasangan ini ke paras yang lebih rendah, 50% bersetuju dengan pertumbuhan, dan baki 30% pula berpendirian neutral. Sokongan berada pada paras 1.1585, 1.1560, 1.1520, 1.1485 dan 1.1450. Rintangan pula berada pada paras 1.1625, 1.1685 1.1715, 1.1800, 1.1910.

    Peristiwa yang akan berlaku pada minggu depan, mesyuarat Majlis Kesatuan Eropah yang berlangsung pada hari Khamis, 21 Oktober dan data PMI Pembuatan Markit di Jerman serta keseluruhan Eurozone pada 22 Oktober perlu diberi perhatian. Keputusan People’s Bank of China mengenai kadar faedah yang akan diumumkan pada hari Rabu, 20 Oktober juga mampu memberi kesan terhadap pasangan ini.

GBP/USD: Kejayaan Milik Pound Setakat Ini

  • Tidak seperti jiran di Kesatuan Eropah, nilai pound British terus mengukuh dengan aktif berbanding dolar: pasangan GBP/USD menunjukkan pertambahan sebanyak 360 mata (dari 1.3412 kepada 1.3772) sejak 29 September dan berakhir di kedudukan 1.3744. Punca dinamik ini mudah difahami dan terletak pada keinginan Bank of England untuk mula mengetatkan polisi kewangan mereka serta menaikkan kadar faedah dengan banyak tidak lama lagi.

    Seperti yang sudah kami sebutkan, menurut penganalisis di Citibank, sekarang nilai pound disokong oleh faktor-faktor berikut. Pertama, kejayaan UK dalam memerangi COVID-19. Kedua, pengurangan risiko politik yang dikaitkan dengan rundingan antara EU dan UK mengenai Protokol Ireland Utara serta penolakan referendum kemerdekaan Scotland. Dan pastinya, keputusan Bank of England mengenai kemungkinan kadar faedah utama mereka yang akan dinaikkan kepada 0.25% pada Mei 2022 dan naik lagi menjadi 0.5% pada bulan Disember. Menurut penganalisis Citibank, prospek polisi kewangan di UK seperti itu “dibuat untuk berdepan dengan polisi Rizab Persekutuan”, seperti yang kita dapat lihat di sepanjang bulan Oktober.

    Walau bagaimanapun, jika pihak Rizab mula menamatkan program QE mereka, segalanya boleh berubah dengan drastik dan memihak kepada dolar. 60% penganalisis menjangkakan pasangan ini akan bergerak ke bawah sekali lagi untuk menguji paras sokongan pada 1.3675, 1.3600, 1.3575, 1.3525 dan 1.3400. 20% lagi penganalisis memilih trend berterusan ke atas (sokongan dan sasaran bull berada pada paras 1.3770, 1.3810, 1.3900 dan 1.4000). Manakala baki 20% penganalisis pula menjangkakan trend mendatar, dan mereka mendapat sokongan analisis grafik pada D1.

    Dalam kalangan indikator, kelebihan besar masih lagi memihak kepada warna hijau. 60% pengayun dan 100% indikator trend menunjukkan trend berterusan ke atas untuk tempoh masa harian. 25% lagi pengayun memberikan isyarat lebihan belian, manakala baki 15% pula mengambil posisi neutral.

    Untuk kalendar ekonomi minggu hadapan, perhatian harus tertumpu pada ukuran penting kadar inflasi seperti kadar CPI di UK (dikeluarkan pada hari Rabu, 20 Oktober), serta data PMI Markit untuk sektor perkhidmatan di UK yang akan diketahui pada hari Jumaat, 22 Oktober.

USD/JPY: Per Aspera Ad Astra

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 18 - 22 Oktober, 20211

  • Terdapat satu ungkapan dalam bahasa Latin, Per aspera ad astra, hasil tulisan yang dikaitkan dengan ahli falsafah Roman iaitu Lucius Anna Seneca. Secara harfiahnya ia menyatakan “Kesukaran untuk ke bintang” dan memberi maksud “Kepayahan untuk berjaya.” Itulah sebenarnya kejayaan yang diperoleh bull USD/JPY.

    Kebanyakan penganalisis menjangkakan pergerakan pasangan ini tidak akan terhenti selagi tidak mencapai ketinggian 112.00 secara mengejut. Kini, akhirnya, usaha mereka berbulan-bulan lamanya telah membuahkan hasil. Dicapai dengan begitu hebat sekali. Setelah melonjak sebanyak 222 mata sepanjang minggu, pasangan ini mencecah ketinggian 114.45 pada hari Jumaat, 15 Oktober, dan paras terakhirnya sedikit rendah pada paras 114.21, hampir dengan sempadan atas julat dagangan sejak awal tahun 2017.

    Kegagalan mata wang Jepun itu adalah konsisten sepenuhnya dengan peranan yang dimilikinya sebagai mata wang selamat dan mencerminkan kestabilan hubungan songsang antara kadar dan juga permintaan risiko. Minat para pelabur yang semakin bertambah terhadap pasaran saham di Amerika dan juga Jepun (indeks saham Nikkei 225 Jepun mengalami pertumbuhan seiring dengan indeks S&P500) memberi tekanan hebat kepada nilai yen. Penurunan harga tenaga di kebanyakan negara yang mengimportnya turut menyokong selera pasaran terhadap saham di Jepun.

    Menurut Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki, nilai yen yang rendah memberi sokongan kepara para pengeksport, tetapi menambah kos import bagi beberapa buah syarikat serta para pengguna. Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa kestabilan pasaran Forex amat penting bagi pihak kerajaan, dan pihaknya memantau dengan teliti impak kadar tukaran terhadap keadaan ekonomi Jepun. Namun menteri itu enggan memberi komen secara langsung mengenai situasi semasa yang sedang berlaku.

    Walau bagaimanapun, nilai yen yang susut pada dua minggu pertama bulan Oktober dilihat agak cepat jika dibandingkan dengan dinamik untuk lima bulan lalu. Mungkin disebabkan itulah pasangan USD/JPY mengalami pembetulan yang kuat ke bawah. Justeru, 70% penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan kembali menduduki paras di zon antara 111.00-112.00 dalam tempoh antara tiga ke lima minggu lagi. Namun, bull memiliki lebih banyak kelebihan untuk jangka masa pendek. Menurut 55% penganalisis, minat berterusan para pelabur dalam pasaran saham mungkin akan menurunkan lagi nilai mata wang Jepun itu.

    Semasa ulasan ini dibuat, 75% pengayun dan 100% indikator trend pada D1 menunjukkan pertumbuhan berterusan pasangan ini. Baki 25% pengayun menunjukkan ia memiliki lebihan belian dan berkemungkinan akan mengalami pembetulan. Rintangan berada pada paras 114.55 dan 115.50, sasaran jangka panjang bull adalah paras tertinggi Disember 2016 iaitu 118.65. Sokongan berada pada paras 113.80, 113.25, 112.00 dan 111.65.

MATA WANG KRIPTO: Sasaran Baru BTC adalah $68,000

  • Berita yang dikaitkan dengan China hampir mengakibatkan trend menurun bitcoin berlaku sekali lagi pada hari Rabu, 13 Oktober. Seperti lain-lain bursa, Binance, bursa terbesar mata wang kripto telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan perkhidmatannya kepada pelanggan di China dan mengeluarkan yuan daripada senarai mata wang yang boleh diguna pakai bermula 31 Disember.

    Sebelum bermulanya penindasan oleh Beijing, rakyat negara berkenaan membentuk salah satu bahagian utama dalam komuniti kripto, dengan menjadi negara peneraju dalam pelombongan bitcoin. Pada tahun 2020, negara itu menghasilkan antara 50-60% daripada kadar hash global. Situasi ini berubah dengan mendadak sejak itu, dan menurut Universiti Cambridge, tiga negara teratas untuk lombong kripto kini berada di Amerika Syarikat (35.4%), Kazakhstan (18.1%) dan Rusia (11.2%).

    Jika anda lihat pada peta, anda akan sedar bahawa dua negara di tempat kedua dan ketiga itu bersempadanan dengan China, dan terdapat kebarangkalian untuk memindahkan pelbagai alat melombong ke sana. Akibatnya, jumlah pelombong haram di beberapa buah sempadan wilayah di Rusia telah menambah jumlah penggunaan elektrik tahunan mereka sebanyak 160%. 

    Hanya masa boleh menentukan sama ada China akan berjaya atau gagal daripada larangan yang dikenakan itu. Perkara ini juga terpakai di beberapa buah negara yang lain, sesetengahnya sedang mencari cara untuk memperketatkan undang-undang berkenaan hal ini, dan sesetengah yang lain pula setia dengan aset digital. Sebagai contoh, Pengarah di Jabatan Risikan Kebangsaan AS iaitu John Ratcliffe telah menghantar satu surat kepada pengerusi SEC pada tahun lalu meminta beliau untuk tidak menyekat aktiviti pelombong AS. Tidak perlulah untuk kita bercerita tentang El Salvador yang mengiktiraf bitcoin sebagai salah satu mata wang rasminya.

    Yang menariknya, keputusan ini telah mendapat kritikan hebat oleh pencipta ethereum itu sendiri iaitu Vitarin Buterin. “Anda semua yang memuji beliau [Presiden El Salvador Nayib Bukele] tanpa memberi sebarang kritikan harus berasa malu (baiklah, saya tujukan pada yang bersalah: maksimalis bitcoin patut berasa malu),” tulis Buterin di laman Reddit. Beliau menekankan proses untuk mengintegrasikan aset digital ke dalam sistem kewangan secara paksa adalah “bertentangan dengan ideal kebebasan yang dihargai oleh ahli-ahli komuniti mata wang kripto. Selain itu, taktik untuk mengagihkan BTC secara serentak kepada jutaan rakyat El Salvador dengan sedikit atau tanpa sebarang latihan adalah bersifat cuai dan menjadi satu bentuk penipuan yang merisikokan sejumlah penduduk tidak bersalah untuk digodam atau ditipuI."

    Institut Penyelidikan Capgemini juga berasa bimbang mengenai persoalan berapa banyak mata wang kripto yang telah masuk ke dalam kehidupan orang kebanyakan. Selain daripada kaji selidik yang dibuat di kebanyakan negara, institut berkenaan meneliti statistik dari Bank of International Settlements, Bank Pusat Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan bank-bank pusat yang lain.

    Capgemini maklum bahawa kurang daripada 10% pengguna buat masa ini menggunakan mata wang kripto sebagai kaedah pembayaran. Walau bagaimanapun, institut berkenaan telah membuat unjuran hampir 45% pelanggan akan menggunakan kaedah bayaran baru ini dalam masa satu ke dua tahun lagi. Trend ini akan mendapat sokongan daripada peningkatan permintaan terhadap bayaran antarabangsa dan juga keenganan mereka untuk membayar fi transaksi yang tinggi.

    Jika negara-negara kuasa dunia selepas China tidak mula menumpukan perhatian mereka terhadap bitcoin, mata wang kripto yang menjadi kemegahan ini berpeluang besar untuk mengatasi syarikat-syarikat utama dari segi jumlah modal pasaran, malah mungkin keseluruhan sektor ekonomi dunia.

    Menurut Coinmarketcap, buat masa ini jumlah keseluruhan modal pasaran terbesar adalah milik Apple ($2.34 trilion), diikuti dengan Microsoft, Google, Amazon, manakala BTC berada di tempat kelima. Jika dilihat pada statistik, jumlah keseluruhan modal pasaran saham sekarang adalah kira-kira $100 trilion, jumlah keseluruhan modal pasaran emas adalah sekitar $12 trilion, jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto semasa artikel ini ditulis adalah sebanyak $2.42 trilion, dan jumlah keseluruhan modal pasaran BTC pula sudah pun mencecah $1.12 trilion (bacaan indeks dominasinya adalah sebanyak 46.24%).

    Bitcoin terus menggembirakan para pelabur pada minggu lalu. Sepanjang tujuh hari, kadar pasangan BTC/USD naik 16% mencecah paras tertinggi mingguannya iaitu $62,880. Ramai penganalisis yang menjangkakan pasangan ini tidak lama lagi akan menguji paras tertinggi yang pernah dicapainya pada 14 April lalu iaitu $64,810. Jika berjaya, dan mengambil kira kecairan statistik, pasangan ini akan mencecah paras $68,000, dan kemudian diikuti pula dengan pembetulan mendadak yang dikaitkan dengan pemerolehan untung.

    Walau bagaimanapun, jika berlakunya pengunduran sekalipun, unjuran bagi tempoh sederhana pasangan ini masih lagi positif. Paras rintangan utama seterusnya berada di sekitar $80,000-81,000. Penganalisis di Bursa Kripto Amerika iaitu Kraken percaya bahawa harga aset kebanggaan ini mampu mencapai $100,000 menjelang akhir tahun 2021. Berdasarkan pada analisis dinamik tahun-tahun sebelum ini, satu pengiraan telah dibuat, dan menurutnya, harga bitcoin lebih cenderung untuk bertumbuh pada suku keempat pada mana-mana tahun. Sepanjang tempoh tersebut, “nilai purata dan median aset berkenaan masing-masing kembali mencecah +119% dan +58%.” Jika bacaan puratanya kembali mengulangi nilai sebelum tahun 2020, BTC mampu mengakhiri tahun ini dengan nilai hampir $100,000. Lebih tepat lagi, di sekitar $96,000. Walau bagaimanapun, jika melihat pada median keuntungan dan bukannya purata, penganalisis Kraken menjangkakan harga bitcoin akan naik di sekitar $70,000.

    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto keluar dari Zon Fear dan berada di Zon Greed pada dua minggu pertama bulan Oktober, mencecah 71 mata. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud pasaran memiliki lebihan belian yang melampau, dan mengikut pendapat pembangun indeks ini, ia masih lagi berbahaya untuk membuka posisi short jika meloihat pada keadaan sekarang.


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami