Disember 26, 2021

Adalah sesuatu yang menarik untuk mengetahui unjuran siapakah akan menjadi kenyataan dan unjuran siapakah yang salah. Genap setahun lalu, kami siarkan ramalan yang diberi oleh para penganalisis dari bank-bank terkemuka dunia mengenai kadar EUR/USD untuk tahun 2021, dan sekarang bolehlah kita memilih siapakah antara mereka yang membuat jangkaan tepat dan sejauh mana kebenarannya. Jika tidak, pihak manakah yang salah.

Ramalan: Apa yang Boleh Diharapkan dari Euro dan Dolar untuk tahun 20221 

 

Ramalan Tahun Lalu: Ternyata Mereka Salah

Disember 2019 Tiada sebarang kenyataan yang dibuat mengenai pandemik global bulan itu, apabila tersebarnya COVID-19 yang direkodkan pertama kalinya di Wuhan, China. Walaupun begitu, Financial Times telah menerbitkan satu ramalan oleh penganalisis di Citigroup yang menyatakan polisi pelonggaran kuantitatif (QE) yang ingin diteruskan pihak Rizab Persekutuan AS serta lambakkan likuiditi dolar murah ke dalam pasaran akan menyebabkan nilai dolar menyusut. Pada waktu itu, penganalisis di Citigroup mendapat sokongan daripada rakan sejawat mereka di Lombard Odier, sebuah bank di Swiss, serta salah sebuah syarikat pelaburan terbesar dunia, BlackRock.

Ketika penularan pandemik semakin teruk, senario ini mula menampakkan kebenarannya. Sejak Mac tahun lalu, nilai dolar semakin menyusut, dan kadar pasangan EUR/USD semakin naik. Bermula di kedudukan 1.0630 pada 22 Mac, 2020, kadarnya naik ke paras tertinggi 2021 iaitu 1.2300.    

Pihak Rizab Persekutuan melaksanakan program rangsangan kewangan mereka dengan rancak pada awal tahun 2021, dan wang dicetak pada kapasiti penuh, melambakkan pasaran Amerika dengan dolar yang baru dan tidak terlindung. Tiada rancangan untuk menamatkan rangsangan kewangan mereka, dan disamping itu, kadar faedah juga enggan dinaikkan.

Berdasarkan perkara itu serta melihat semula pada dinamik pergerakan dolar sepanjang tiga suku tahun 2020, para penganalisis memberi unjuran mereka untuk bulan-bulan seterusnya. Kebanyakan daripada mereka lebih cenderung untuk percaya wang akan mengalir ke Eropah dengan aktif dalam tahun 2021, dan nilai dolar akan susut dengan teruk. Memang benar, penganalisis yang berbeza akan membuat penilaian berbeza terhadap penurunan nilai USD yang bakal dihadapinya.

Sebagai contoh, salah sebuah bank pelaburan terbesar, Goldman Sachs telah menjangkakan kadar wajar USD hanya akan susut 6%, manakala Morgan Stanley menjangkakan kadar pasangan EUR/USD akan naik ke paras 1.2500. (Untuk pengetahuan, kadar 1.2500 juga banyak kedengaran di lain-lain ramalan yang sederhana).

Namun terdapat juga mereka yang menjangkakan nilai mata wang Amerika itu akan jatuh menjunam. Ahli ekonomi terkenal yang juga Presiden Euro Pacific Capital, Peter Schiff bersama-sama Stephen Roach, ketua Morgan Stanley Asia dan ahli Lembaga Rizab Persekutuan telah menganggarkan kebarangkalian nilai dolar akan jatuh pada tahun 2021 sebanyak 50%. Dalam masa yang sama, Roach percaya bahawa dolar akan mengalami susut nilai sehingga 35%. Susut nilai yang sedikit kecil tetapi agak mengejutkan sebanyak 20% juga turut diunjur para penganalisis di Citigroup. Mereka berpendapat, kedudukan pasangan EUR/USD seharusnya berada di zon antara 1.4000-1.4400, dan anda telahpun mengetahuinya dalam ulasan ini.

Kadar pasangan ini tidak mula bertumbuh pada awal 2021. Trend ini tidak lama… hanya berlaku kurang dari seminggu. Parasnya mencapai 1.2350 pada 7 Januari, dan dolar mula menebus semula kerugian yang dialami.

Mata wang AS bergerak mengikuti corak sinusoidal sehingga penghujung bulan Mei, turun naik mengikut gelombang coronavirus dan juga kenyataan oleh pucuk pimpinan Rizab Persekutuan. Namun perubahan mood daripada dovish kepada hawkish mula kelihatan dengan jelas di Bank Persekutuan AS betul-betul sebelum tibanya musim panas, keadaan ekonomi negara itu semakin pulih, manakala keyakinan terhadap pihak Rizab Persekutuan yang akan mengetatkan polisi kewangan mereka mula tersebar dalam kalangan pelabur. Ini bermaksud pengurangan pembelian semula aset serta pertambahan kadar faedah ke atas dana persekutuan untuk tempoh jangka panjang. Pelabur mula teringat saat-saat “indah” pada musim panas 2019, ketika kadar faedahnya adalah 2.25%, dan bukannya 0.25% yang “sukar” sekarang.

Mata wang Amerika mengalami pertumbuhan stabil (tidak termasuk pembetulan kecil) selepas itu, dan kini melengkapkan tahun 2021 dengan berada di zon antara 1.1200-1.1300. Kedudukannya agak jauh dari 1.2500 seperti yang diramal oleh penganalisis terkenal. Malah agak sia-sia untuk berbincang tentang paras antara 1.4000-1.4400.

 

Jangkaan Penganalisis Menjelang Tahun Baru

Jika dolar diunjur seperti obituari untuk sepanjang tahun 2021, kini prospek bagi USD adalah lebih optimistik pada mata sebilangan penganalisis. Semuanya berpunca daripada hakikat bahawa tidak seperti bank-bank pusat negara-negara G20 yang lain, pihak Rizab Persekutuan AS telah mula menamatkan program QE dengan aktif, disamping ekonomi AS serta pasaran buruh mereka yang pulih dengan baik, serta kadar pertumbuhan KDNK yang diunjur sebanyak 5%, dan kini, menurut Rizab Persekutuan, tibalah masanya untuk membendung kadar inflasi. Tidak syak lagi sekarang kadar faedah mereka akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 1.5% menjelang akhir 2023.

Menurut penganalisis di sebuah bank di Belanda iaitu ING Group (Internationale Nederlanden Groep), pendirian dovish yang diambil oleh Bank-Bank Negara di EU, Jepun dan Switzerland dalam situasi begini yang lebih bertolak ansur dengan kenaikan harga akan menyebabkan nilai mata wang negara mereka susut mendadak di belakang dolar untuk tahun 2022. Pakar strategi ING percaya bahawa kadar pasangan EUR/USD akan berada di zon 1.1100 pada Q2 dan Q4 tahun hadapan, malah kedudukannya adalah lebih rendah pada Q4 iaitu 1.1000.

Penganalisis di salah sebuah konglomerat kewangan terbesar dunia, HSBC (Hongkong and Shanghai Banking Corporation) bersetuju dengan ING. “Hujah utama kami,” unjuran mereka menyebut, “adalah berdasarkan pada dua faktor yang menyokong nilai dolar: 1. Kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan 2. peralihan beransur-ansur Rizab Persekutuan dalam menaikkan kadar faedah. Kedua-dua faktor ini mungkin akan terus menjadi penentu dan seharusnya akan menyokong kepada penambahan nilai dolar secara beransur-ansur pada tahun 2022.” Penganalisis HSBC juga percaya bahawa trend pasangan EUR/USD akan menurun kerana pihak ECB masih belum merancang untuk menaikkan kadar faedah utama mereka sehingga akhir tahun 2022.

Penganalisis di CIBC (Canadian Imperial Bank of Commerce) juga memihak kepada dolar AS, dengan menandakan paras-paras berikut sebagai laluan pasangan EUR/USD pada tahun hadapan: Q2 - 1.1100, Q3 - 1.1000, Q4 - 1.1000. Syarikat kewangan JP Morgan lebih bersederhana dalam menilai prospek pasangan berkenaan dengan menyebut paras 1.1200 sebagai sasaran. Dalam hal ini, bolehlah kita mula bercakap tentang trend mendatar.

Sedia maklum bahawa  tidak semua pihak berwajib dalam dunia kewangan bersetuju dengan pengukuhan nilai dolar. Kebanyakan penganalisis mengambil pendirian sebaliknya, dan menjangkakan penyusutan nilai mata wang AS. “Pada tahun 2022, - ujar FXStreet, - pihak Rizab Persekutuan mungkin akan kembali mengambil pendirian dovish yang akan membebankan dolar.”

 Barclays Bank sudah menganggap bahawa dolar telah dinilai terlalu tinggi. Oleh itu, ia dijangka akan menyusut dengan sederhana akibat pertambahan permintaan risiko serta harga komoditi yang berpunca daripada pemulihan ekonomi dunia serta penurunan kadar inflasi. Unjuran bagi EUR/USD oleh Barclays Bank adalah seperti berikut: Q1 2022 - naik ke paras 1.1600, Q2 - 1.1800, Q3 dan Q4 - bergerak di zon 1.1900.   

Reuters telah menemubual wakil daripada bank-bank terbesar di Wall Street dan menerbitkan unjuran mereka terhadap dinamik pasaran tukaran asing untuk 12 bulan berikutnya. Selain daripada JP Morgan dan Barclays yang telah disebutkan tadi, antara responden mereka adalah konglomerat perbankan Morgan Stanley, Goldman Sachs, Wells Fargo, serta syarikat pengurusan aset terbesar di Eropah iaitu Amundi.

Morgan Stanley percaya bahawa kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan akan terus berjalan lancar, manakala bank-bank pusat yang lain akan beralih dari pendirian dovish kepada hawkish. Hal ini akan mendorong kepada penumpuan ke atas keputusan penggubal dasar, lalu memberi tekanan kepada dolar dan menaikkan kedudukan pasangan EUR/USD ke paras 1.1800.

Pakar strategi di Goldman Sachs juga memberi sasaran 1.1800 yang sama. Namun begitu, dalam hal ini, ia boleh dianggap sebagai kejayaan buat mata wang AS. Hakikatnya, ramalan awal oleh bank pelaburan ini menunjukkan paras yang lebih tinggi daripada 1.2500. 

Amundi percaya bahawa pihak Rizab Persekutuan “tidak akan mengejutkan pasaran lagi” dan, walaupun dengan normalisasi sederhana terhadap polisi kewangan mereka “akan terus memberi impak positif kepada dolar” sehingga penghujung tahun, pasangan ini akan mencecah paras 1.1400.

Ramalan paling tidak disangka telah diberikan oleh pakar strategi di institut pelaburan Wells Fargo. Mereka hanya menyebut julat yang besar antara 1.1000 hingga 1.1800. Tidak mustahil jangkaan ini akan menjadi yang paling tepat.

Pepatah ada mengatakan, “Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan”. Ia bermaksud walau sehebat mana sesuatu rancangan itu, kadang kala ia gagal dilaksanakan. Namun, takdir tuhan itu adalah pasti. Jadi kita hanya boleh mengetahui ramalan siapakah yang tepat pada hujung tahun hadapan. Sementara itu, menjelang tibanya tahun baru, kami mengucapkan selamat maju jaya dalam pekerjaan, kewangan, kesihatan dan emosi anda. Selamat Tahun Baru!

***

Untuk ulasan berikutnya, seminggu dari sekarang, kami akan berikan pendapat penganalisis mengenai unjuran mereka terhadap yen Jepun (USD/JPY), pound British (GBP/USD), dolar Kanada (USD/CAD) dan Australia (AUD/ USD), kronor Sweden (USD/SEK), franc Swiss (USD/CHF) dan juga yuan China (USD/CNH).

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami