Januari 8, 2022

EUR/USD: Menanti Mesyuarat FOMC bagi Bulan Januari

  • Pasangan EUR/USD telah mengikuti trend mendatar untuk tujuh minggu berturut-turut, bergerak di sepanjang ufuk 1.1300 dalam saluran di antara 1.1220-1.1385. Malah penerbitan protokol yang dinyatakan dalam mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee atau Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan) untuk bulan Disember lalu yang mengesahkan kesungguhan niat bank pusat tersebut dalam mengetatkan polisi kewangan mereka serta mengukuhkan nilai dolar juga tidak dapat mengeluarkan pasangan ini daripada keadaan itu. Rupa-rupanya, para penggubal dasar berasa takut dengan kadar inflasi di negara berkenaan. Disamping itu, mereka juga tidak menjangka strain coronavirus Omicron mampu memberi kesan besar terhadap aktiviti ekonomi di Amerika Syarikat.

    Bagi menjadikan situasi ini kembali normal, pihak Rizab Persekutuan akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan cetakan wang dan beralih kepada kenaikan kadar faedah. Hala tuju untuk masa terdekat ini mengandungi tiga faktor utama: 1) penamatan program rangsangan kecemasan pada bulan Mac; 2) tiga kali kenaikan kadar utama pada tahun 2022, kenaikan pertama yang juga akan bermula pada bulan Mac, dan selepas itu 3) penggubal dasar akan mula menormalkan penyata imbangan mereka.

    Keinginan yang ditunjukkan oleh pihak Rizab telah menyebabkan dana mengalir keluar dari aset berisiko dengan begitu banyak. Sebut harga indeks saham serta mata wang kripto jatuh teruk, manakala hasil daripada bon Perbendaharaan dan juga kadar indeks dolar DXY naik mendadak. Namun begitu, perlu maklum bahawa pengukuhan yang dialami dolar adalah tidak begitu ketara: dolar hanya berjaya mendapat semula 45 mata berbanding pasangan euro, menolak pasangan EUR/USD dari paras 1.1345 ke paras Pivot Point mereka iaitu 1.1300.

    Data dari pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 7 Januari boleh menjadi satu lagi peristiwa penting pada minggu itu. Bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) dijangka akan bertambah daripada 249K kepada 400K. Walau bagaimanapun, jumlahnya menurun kepada 199K. Dalam pada itu, kadar pengangguran turun daripada 4.2% kepada 3.9% dan bukannya 4.1% seperti yang diunjurkan. Justeru, para pelabur tidak menerima isyarat yang jelas, dan pasangan ini mengakhiri sesi mingguan dengan berada hampir pada sempadan atas koridor mendatar, pada paras 1.1360.

    Menurut sebilangan penganalisis, perbezaan antara pendirian hawkish yang diambil pihak Rizab Persekutuan dan pendirian dovish yang ditunjukkan pihak ECB sepatutnya berakhir dengan pengukuhan nilai dolar ke paras lebih tinggi serta pergerakan pasangan EUR/USD ke bawah.

    Jika diingat, walaupun penggubal dasar Kesatuan Eropah itu telah menaikkan unjuran kadar inflasi mereka semasa bermesyuarat untuk kali terakhir pada tahun 2021, mereka masih lagi menganggap perkara tersebut sebagai satu fenomena sementara dan tidak harus berasa bimbang tentangnya. Kadar pembiayaan semula sekali lagi diumumkan akan kekal pada kadar semasa sehinggalah inflasi mencapai paras sasaran mereka iaitu 2.0% dan akan terus kekal untuk tempoh yang lama. Akhirnya, hasil paling “utama” dalam mesyuarat ECB pada Disember lalu adalah kenyataan ketua bank berkenaan iaitu Christine Lagarde yang berkata kenaikan kadar faedah “sangat mungkin tidak” akan berlaku pada tahun 2022.

    Pakar strategi bank Belanda iaitu ING Group (Internationale Nederlanden Groep) turut bersetuju dengan nilai mata wang AS yang mengukuh. Mereka percaya bahawa pasangan EUR/USD akan turun ke zon 1.1100 dalam Q2 dan Q4 tahun ini, dan turun lebih rendah ke paras 1.1000 pada Q4.  Pendapat para penganalisis di salah sebuah konglomerat kewangan terbesar dunia, HSBC (Hongkong and Shanghai Banking Corporation) juga sama seperti ING, menjangkakan trend menurun pasangan ini.

    CIBC (Canadian Imperial Bank of Commerce) menetapkan laluan untuk EUR/USD seperti berikut: Q2 - 1.1100, Q3 - 1.1000, Q4 - 1.1000. Penilaian oleh syarikat kewangan JP Morgan terhadap pasangan ini adalah lebih sederhana, mensasarkan paras 1.1200.

    Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan penganalisis. Sebagai contoh, Barclays Bank sudah pun menganggap mata wang dolar dinilai terlalu tinggi. Oleh itu, mereka menjangkakan nilainya akan menyusut sedikit akibat pertambahan selera risiko dan juga harga komoditi yang disebabkan oleh pemulihan ekonomi global serta penurunan kadar inflasi. Senario yang diunjur oleh Barclays Bank untuk EUR/USD adalah seperti berikut: Q1 - tumbuh ke paras 1.1600, Q2 - 1.1800, Q3 dan Q4 - bergerak di zon 1.1900.

    Morgan Stanley percaya bahawa kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan akan berjalan dengan lancar, manakala bank-bank pusat yang lain akan mengubah pendirian dovish mereka kepada hawkish. Perkara ini akan menyebabkan tindakan pengubal-penggubal dasar menjadi lebih tertumpu, memberi tekanan kepada dolar dan menolak pasangan EUR/USD ke paras 1.1800. Pakar strategi di Goldman Sachs juga berpendapat yang sama.

    Untuk masa terdekat, walaupun prestasi indikator NFP agak teruk, kami menjangkakan pasangan ini akan terus bergerak di sepanjang paras 1.1300 sehingga berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan untuk bulan Januari, mengalami turun naik dalam julat antara 1.1220-1.1385 dengan sentimen bearish mendominasi. 70% penganalisis bersetuju dengan ramalan ini. 15% berpendirian neutral manakala baki 15% lagi berpihak kepada bull.

    Bacaan indikator pada D1 tidak konsisten kerana ia telah dipengaruhi oleh trend mendatar selama beberapa minggu. Dalam kalangan pengayun, 60% menunjukkan pertumbuhan, tetapi 20% daripadanya sudah pun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian, 20% lagi menunjukkan penurunan, dan baki 20% menunjukkan pergerakan mendatar. Bacaan indikator trend masing-masing adalah 55% hijau dan 45% merah.

    Rintangan paling hampir berada pada paras 1.1385, diikuti dengan 1.1435-1.1465 dan 1525. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1275, kemudian 1.1220. Ia diikuti dengan paras 1.1185 iaitu kedudukan terendah pada 24 November lalu dan juga zon di antara 1.1075-1.1100.

    Kalendar ekonomi untuk minggu hadapan tertumpu pada kumpulan statistik makro dari AS yang akan dikeluarkan pada 12, 13 dan 14 Januari. Ini termasuklah indeks harga pengguna dan indeks jualan runcit, indeks harga pengeluar, serta jumlah jualan runcit bagi bulan Disember 2021.

GBP/USD: Helang Bank of England vs Helang Rizab Persekutuan

  • Hakikatnya bahawa, tidak seperti Rizab Persekutuan dan juga ECB, serangan ke atas kenaikan harga oleh Bank of England pada Disember lalu telah memberi kesan yang hebat di pasaran. Setelah kadar inflasi di UK naik kepada 5.1%, mencecah kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun, penggubal dasar negara berkenaan menaikkan kadar faedah mereka buat pertama kalinya sejak tiga tahun lalu daripada 0.1% kepada 0.25%. Keputusan itu diambil walaupun situasi epidemiologi semakin meruncing akibat strain coronavirus yang baru. Menurut ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey, tugas utama adalah untuk menghalang tekanan harga dari merebak pada ekonomi dan masyarakat.

    Sudah pasti, kenaikan kadar sebanyak 15 mata asas tidak boleh dianggap sebagai banyak, namun yang paling penting, langkah pertama sudah diambil, dan pasaran menjangkakan kenaikan kadar kedua akan dibuat pada bulan Februari.

    Jangkaan seperti itu terus memberi sokongan kepada mata wang British, dan pasangan GBP/USD memperbaharui kedudukan tertingginya selama lapan minggu dengan mencecah paras 1.3598 pada 5 Januari. Kedudukan terakhir selepas tamatnya lima hari dagangan berada sedikit rendah, pada paras 1.3590.

    Pakar strategi di bank pelaburan British iaitu Barclays Bank percaya bahawa pound masih lagi dinilai agak rendah, dan polisi yang dibuat oleh Rizab Persekutuan AS akhirnya akan menyebabkan nilai dolar menyusut sedikit. Mereka tidak mengecualikan pasangan ini mungkin akan turun ke paras 1.3300 pada Q1 yang disebabkan oleh gelombang COVID-19 yang baru serta hubungan tegang dengan EU akibat daripada Brexit. Walau bagaimanapun, kedudukannya akan naik semula (Q2 - 1.3700, Q3 - 1.4000) dan kembali menduduki paras tertinggi 2021 menjelang akhir tahun (Q4), naik ke paras 1.4200.

    Capital Economics, salah sebuah pusat penyelidikan bebas terkemuka di UK mengambil pendirian berbeza. Sebaliknya, para penganalisis di pusat tersebut menjangkakan nilai pound akan menyusut, dan ia disebabkan oleh kombinasi 1) kelembapan pertumbuhan ekonomi, 2) kadar inflasi yang perlahan serta 3) Bank of England yang lambat bertindak. Pada pandangan mereka, ketiga-tiga faktor inilah yang mungkin menyebabkan penggubal dasar di UK memutuskan untuk menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 0.5% saja dan bukannya 1.0% tidak lama. Pasaran begitu kecewa dengan hal ini.

    Namun, selain daripada pertumbuhan dan penyusutan nilai mata wang British, terdapat satu lagi senario. Penganalisis di ING Group menjangkakan nilai pound akan berada di tengah-tengah segitiga antara nilai dolar yang kukuh, mata wang komoditi yang stabil serta mata wang hasil rendah yang lemah. Justeru, mengikut senario ini, pasangan GBP/USD akan bergerak secara mendatar di sepanjang garis 1.3400.

    Mengenai keadaan pasangan ini pada minggu hadapan, 40% penganalisis memilih pertumbuhannya di atas paras 1.3600, 50% memilih penurunan di bawah paras 1.3400 manakala 10% lagi memilih trend mendatar.

    Indikator pada D1 seperti menunjukkan ringkasan mood yang akan berlaku. Dalam kalangan pengayun, 100% adalah berwarna hijau, walaupun 25% daripadanya sudahpun berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, 90% adalah berwarna hijau dan hanya 10% yang menunjukkan warna merah.

    Sokongan berada pada paras 1.3525, 1.3480, 1.3430, 1.3375, paras sokongan kukuh berikutnya berada 100 mata lebih rendah. Rintangan berada pada paras 1.3600, 1.3735, 1.3835.

    Statistik makro penting di UK agak terhad pada minggu depan. Kami hanya maklum dengan data berkenaan jumlah penghasilan dalam industri pembuatan yang akan diketahui pada hari Selasa, 11 Januari dan juga hari Jumaat, 14 Januari.

USD/JPY: Kedudukan Tertinggi Pasangan Sepanjang 5 Tahun

  • Warna bagi sebahagian besar daripada indikator pasangan ini juga adalah berwarna hijau. Namun, tidak seperti GBP/USD, ia menunjukkan pengukuhan nilai dolar, dan bukannya penyusutan.

    Seminggu lalu kami ada menyatakan Jepun mahukan mata wang kebangsaan yang lemah. Justeru, ketua Bank of Japan, Haruhiko Kuroda baru-baru ini berkata yen yang lemah mampu menyokong ekonomi negara tersebut dan bukan memudaratkannya. Menurut pegawai kanan itu, jika nilai yen menyusut, ia akan membantu eksport dan juga perolehan korporat. Jika anda lihat pada carta USD/JPY, kata-kata beliau ada benarnya: pasangan ini memperbaharui paras tertingginya pada 4 Januari dan naik ke kedudukan yang tidak pernah dicapai sejak Januari 2017, ke paras 116.35.

    Menurut penganalisis di ING Group, kadar pertumbuhannya tidak akan terhenti di situ, dan kita akan dapat lihat pasangan ini menduduki paras 120.00 menjelang akhir tahun nanti. Morgan Stanley juga berpihak dengan dolar, menjangkakan pertumbuhan ke paras 118.00. Sebaliknya, Goldman Sachs percaya bahawa pasangan ini akan turun ke paras 111.00 menjelang tahun 2023.

    Pasangan ini mengakhiri minggu lalu pada kedudukan 115.55. Seperti yang telah dinyatakan, walaupun berlakunya sedikit pembetulan, kebanyakan indikator pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, 90% menunjukkan perkara yang sama (10% daripadanya memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian), baki 10% lagi adalah berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 85% mengesyorkan untuk beli, 15% - jual. Penganalisis juga bersetuju dengan indikator: 80% daripada mereka berpihak kepada bull, 0% pada bear, 20% memilih untuk berkecuali. Sokongan berada pada paras 115.50, 115.00, 114.25, 113.75, 113.20, 112.55 dan 112.70. Rintangan paling hampir berada pada paras 116.35.

MATA WANG KRIPTO: Musim Dingin Sebenar? Atau Hanya Sementara?

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 10 - 14 Januari, 20221

  • Sekarang adalah pertengahan musim sejuk di hemisfera utara planet Bumi. Keadaan di pasaran kripto pula sepadan dengan musim tersebut, di bawah paras sifar. Sebut harga menyusut, malah belum ada lagi tanda-tanda semua itu akan berakhir setakat ini. Satu lagi kecelakaan menimpa pada malam 6 Januari apabila berita mengenai Rizab Persekutuan AS telah bersedia untuk menaikkan kadar faedah utama mereka lebih awal dan lebih cepat daripada jangkaan. Hal ini menjadi lebih jelas menerusi catatan minit yang dikeluarkan untuk mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) bagi bulan Disember).  

    Mendapat inspirasi daripada berita tersebut, bear sekali lagi memulakan serangan. Pergolakan anti kerajaan di Kazakhstan menambah lagi kebimbangan para pelabur. Jika diingat sebahagian penghasil bitcoin berhijrah ke negara itu setelah pengeluarannya diharamkan di China, disebabkan itulah negara Kazakhstan berada di tempat kedua dunia dalam penghasilan BTC (3 TERATAS: USA - 35.4%, Kazakhstan - 18.1%, Russia - 11.23%). Sambungan Internet telah dipotong akibat pergolakan di Kazakhstan, dan ia menyebabkan kadar hash menyusut dengan mendadak pada rangkaian BTC.

    Dua perkara ini telah menyebabkan pasangan BTC/USD menembusi paras sokongan di sekitar $46,000, kedudukan di mana purata pergerakan 200 hari berada, dan turun di bawah paras $42,000. Indeks Fear & Greed Kripto BTC jatuh ke zon Extreme Fear, berada pada kedudukan 15 mata daripada keseluruhan 100 yang menunjukkan pasaran dikuasai oleh keadaan panik. Bacaan Indeks Dominasi Bitcoin jatuh kepada 39.65%, mencecah paras terendah pada Mei 2021. (Jika diingat bacaan maksimumnya adalah 95.88% pada tahun 2013). Menjadi kebiasaan, kejatuhan nilai bitcoin menarik keseluruhan pasaran kripto ke bawah. Jika jumlah keseluruhan modal pasarannya pada 27 Disember lalu adalah sebanyak $2.439 trilion, ia mengalami kerugian hampir 19% pada 7 Januari dan susut kepada $1.980 trilion, berada di bawah paras psikologi penting iaitu $2 trilion.

    Anda harus tahu bahawa serangan yang dibuat oleh bear sebelum berlangsungnya mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang seterusnya pada 26 Januari nanti telah dapat dijangka. Ulasan berita kripto mingguan kami telah memetik kenyataan pakar ekonomi Alex Kruger yang mengatakan “pelabur seharusnya diramal akan menyingkirkan aset berisiko mereka sebelum mesyuarat Rizab Persekutuan diadakan.” Itulah yang telah berlaku sebenarnya.

    Menurut sebilangan penganalisis, pertahanan bull yang seterusnya akan aktif dan menunggu bear di zon antara $39,500- $41,900. Menurut catatan TradingView, julat bagi nilai kecairan tinggi berada di situ, hampir dengan paras terendah pada 12 April tahun lalu. Malah julat tersebut tidak berubah sebelum gelombang kenaikan mendadak aset ini berlaku, apabila harga bitcoin mencecah nilai tertingginya dalam sejarah.

    Walaupun pada hakikatnya pasaran kripto mengalami penurunan selama lapan minggu berturut-turut, ramai penganalisis dan pelabur yang berharap musim bunga kripto akan tetap tiba. Contohnya, pengasas Block.One, bekas pelakon yang juga bekas calon presiden AS iaitu Brock Pierce berasa yakin bahawa nilai bitcoin akan mencecah $200,000 pada tahun ini. Pihak kerajaan mencetak wang dalam jumlah yang berlebihan, ia menyebabkan berlakunya inflasi, dan hal ini menjadi punca utama untuk kenaikan harga BTC. “Saya tidak akan terkejut jika bitcoin didagangkan pada nilai $100,000. Tidak mustahil nilainya mampu mencapai $200,000 untuk seketika,” tokoh berpengaruh itu berkata dengan optimis.

    Antoni Trenchev, pengasas bersama yang juga rakan pengurusan Nexo, sebuah syarikat pemberi pinjam mata wang kripto (lebih daripada $6 bilion), menyebut masa depan yang cerah untuk aset digital utama itu. “Saya rasa nilai bitcoin akan mencecah $100,000 pada tahun ini, mungkin pada pertengahan tahun,” ramal beliau.

    Ketua syarikat pelaburan Ava Labs, John Wu menyatakan pendapat beliau dalam temubual bersama CNBC bahawa jumlah keseluruhan modal pasaran kripto akan melebihi $5 trilion pada tahun 2022. Mengikut ramalan Wu, aset digital berpotensi untuk menggandakan nilai pasarannya pada tahun hadapan.

    Menurut ketua Ava Labs itu lagi, mata wang kripto akan menjadi satu-satunya kelas aset yang mampu bertahan daripada keputusan yang diambil oleh pihak Rizab Persekutuan serta peningkatan tertinggi kadar inflasi dalam sejarah di AS yang telah mencecah nilai maksimumnya sejak hampir 40 tahun lalu pada awal Disember 2021. Wu juga mendakwa syer bitcoin akan turun kurang daripada 30% apabila pasaran kripto mengalami pertumbuhan, walaupun harganya mungkin akan mencecah $75,000 bagi setiap coin.

    Kaedah menarik untuk menilai prospek mata wang kripto terunggul ini telah dicadangkan oleh seorang penganalisis iaitu Benjamin Cowen. Beliau berpendapat, walaupun penurunan terus berlaku, nilai bitcoin sudah pun berada di paras terendahnya di sekitar $40,000. Menurut Cowen, kadang kala membandingkan bitcoin dengan lain-lain aset mendedahkan lebih banyak maklumat berbanding menilai pasangan BTC/USD. Sebagai contoh, beliau mencadangkan untuk memadankan BTC dengan indeks S&P500. Menurut penganalisis itu, bitcoin sudahpun mencecah paras sokongan kritikal dalam situasi ini, seperti “menguji paras sama yang telah dibuat pada bulan September lepas”.

    Para penganalisis di Glassnode turut bersetuju dengan Benjamin Cowen, walaupun mereka menggunakan kaedah analisis pasaran yang benar-benar berbeza. Mengikut anggaran mereka, indikator pasaran BTC menunjukkan gambaran yang agak positif kerana kenaikan nilai aset ini akan menyebabkan keadaannya tidak lagi cair. Glassnode meneliti dinamik pergerakan serta prestasi bekalannya dalam laporan bertarikh 3 Januari, 2022. Hasilnya menunjukkan kadar pertumbuhan bekalan aset tidak cair bertambah pada tahun lalu, dan kini menyumbang 76% daripada jumlah keseluruhannya. Glassnode mentakrifkan ketakcairan sebagai mengalihkan BTC ke dalam walet yang tiada sejarah berbelanja. Stok BTC yang cair sebanyak 24% berada di dalam walet yang sering diguna untuk berbelanja mahupun berdagang coin.

    Jumlah ini menunjukkan lebih banyak lagi bitcoin yang dipindah masuk ke dalam tempat simpanan, menandakan terdapat peningkatan dalam aktiviti pengumpulan. Pengurangan bekalan berkecairan tinggi juga memberi bayangan bahawa tidak perlu untuk menantikan jualan secara besar-besaran mahupun tunduk kepada bear dalam masa terdekat ini.

    Tidak perlu menunggu lama sebelum pihak Rizab Persekutuan bermesyuarat pada 26 Januari nanti. Kita akan dapat lihat sama ada tepat atau tidak anggaran-anggaran itu. Kesimpulannya, kami hanya teringat kata-kata Benjamin Cowen yang disebutkan di atas. “Segalanya boleh berlaku dalam dunia pelaburan,” beliau menyebut. “Boleh jadi semua model menunjukkan hasil yang salah, namun sebahagian daripadanya mungkin boleh digunakan...”

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami