Januari 16, 2022

EUR/USD: Khabar Angin Menggerakkan Pasaran

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 17 - 21 Januari, 20221

  • Suasana di pasaran sering dikaitkan dengan khabar angin yang kebiasaannya amat berbeza sekali dengan keadaan sebenar. Atau langsung tidak sama. Namun mereka yang menyebarkannya dengan membuat spekulasi mampu memperoleh pulangan yang besar. Sesuatu yang agak sama telah berlaku pada minggu lalu.

    Jika diingat pasangan EUR/USD telah mengikuti trend mendatar sejak November lalu, mengalami turun naik pada julat antara 1.1220-1.1385. Kebanyakan penganalisis bersetuju dengan penerusan trend itu pada seminggu yang lalu, dengan sentimen bearish mendominasi. Keputusan bersifat hawkish yang diambil oleh pihak Rizab Persekutuan untuk menamatkan program rangsangan kecemasan, menaikkan kadar faedah, dan mula memperbaiki penyata imbangan mereka menjadi antara faktor yang menyebelahi pengukuhan nilai dolar.

    Anda harus tahu bahawa tiada sesiapa pun, baik ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell, mahupun para pegawai bank pusat Amerika itu pernah menyebut atau memberi bayangan bahawa kadar faedah mereka akan dinaikkan sebanyak empat kali sepanjang tahun 2022. Tidak jelas daripada mana angka ini disebut, tapi khabar angin untuk peluang yang cerah seperti itu mula diperbesarkan dan akibatnya, ramai pelabur yang mempercayainya.

    Bercakap di hadapan Kongres AS pada hari Selasa, 11 Januari, Jerome Powell hanya mengulangi apa yang pernah dinyatakan sebelum ini. Beliau berkata sekali lagi bahawa pihak Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar pembiayaan semula mereka sekurang-kurangnya dua kali pada tahun ini untuk memerangi kadar inflasi paling tinggi sepanjang empat puluh tahun, dan jika perlu, ia akan dinaikkan sebanyak tiga kali. Itu saja, tiada perkara baru yang dinyatakan. Namun pasaran menunggu angka “empat” akan disebut tetapi berasa kecewa apabila ia tidak kedengaran.

    Akibatnya, indeks dolar DXY jatuh menjunam, ditutup di bawah paras purata pergerakan 50 hari, dan pasangan EUR/USD pula mengalami pertumbuhan, dan bukannya menyusut.

    Disebabkan oleh data kadar inflasi di AS, mata wang euro mengukuhkan kedudukannya pada keesokan harinya, hari Rabu, 12 Januari, manakala pasangan EUR/USD pula bergerak ke atas setelah menembusi sempadan saluran mendatar jangka sederhana. Penurunan ke paras rintangan di zon 1.1385 dianggap sebagai pencetus kepada proses pembetulan setelah nilai dolar mengukuh bermula pada bulan Mei 2021 serta trend mendatar yang berlaku sebulan setengah selepas itu Paras tertinggi mingguan berjaya dicapai pada pagi Jumaat, 14 Januari, pada ketinggian 1.1482.

    Data jualan runcit serta data keyakinan pengguna di AS yang dikeluarkan pada hujung minggu lalu menunjukkan prestasi lebih teruk berbanding bulan sebelum ini, dan hal itu mengesahkan bahawa kemunculan strain coronavirus Omicron memberi kesan negatif terhadap ekonomi Amerika. Masih agak mustahil untuk meramal dengan tepat bagaimana perkara itu akan memberi kesan terhadap langkah Rizab Persekutuan yang seterusnya. Namun, melihat pada reaksi pasaran, para pelabur bersetuju bahawa statistik seperti itu akan memberi desakan kepada penggubal dasar untuk mengambil langkah yang lebih tegas. Disebabkan itu,  pasangan EUR/USD menduduki paras 1.1415 pada akhirnya.

    Sudah pastinya, nilai dolar mungkin akan susut lebih banyak untuk jangka masa pendek. Namun, perbezaan antara polisi hawkish Rizab Persekutuan dan polisi dovish ECB seharusnya masih dapat membantu USD. Lebih-lebih lagi, ketua Rizab Persekutuan sekali lagi menegaskan dalam komen beliau baru-baru ini bahawa usaha memerangi kadar inflasi menjadi keutamaan para penggubal dasar di AS, dan turut menyatakan keyakinan beliau bahawa ekonomi AS akan mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kadar faedah.

    Juga, menurut sebilangan penganalisis, kenaikan kadar ini mungkin akan berlaku lebih kerap berbanding sekali bagi setiap suku tahun, seperti yang berlaku pada pengetatan polisi kewangan sebelum ini. Walau bagaimanapun, setakat ini ia hanyalah sekadar pendapat yang mampu untuk menimbulkan satu lagi gelombang khabar angin dan juga harapan. Para pelabur dijangka akan mengetahui apa yang bakal berlaku sebenarnya apabila pihak FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS bermesyuarat pada 26-27 Januari nanti.

    Semasa ulasan ini dibuat, 75% pengayun pada D1 adalah berwarna hijau dan 25% lagi memberi isyarat pasangan EUR/USD memiliki lebihan belian. Indikator trend menunjukkan 65% warna hijau dan 35% warna merah. Dalam kalangan penganalisis, majoritinya (75%) tidak mengecualikan pertumbuhan pasangan ini pada minggu hadapan. Walau bagaimanapun, keadaannya berubah 180 darjah untuk unjuran bulan Februari, 75% penganalisis sudah pun memihak kepada pengukuhan nilai dolar. Rintangan berada pada paras 1.1450, 1.1480, 1.1525, 1.1570 dan 1.1615. Paras dan zon sokongan pula adalah 1.1385-1.1400, 1.1300, 1.1275, 1.1220. Ia diikuti dengan 1.1185 iaitu kedudukan terendah pada 24 November tahun lalu serta zon di antara 1.1075-1.1100.

    Untuk kalendar ekonomi minggu hadapan, kami maklum dengan penerbitan data pasaran pengguna di Eurozone pada hari Isnin, 17 Januari dan juga Khamis, 20 Januari. Kenyataan pihak ECB mengenai polisi kewangan mereka serta statistik pasaran buruh di AS juga dijangka akan dikeluarkan pada hari Khamis. Ketua ECB, Christine Lagarde akan berucap pada hari Jumaat, 21 Januari.

GBP/USD: Antara Bank of England dan Rizab Persekutuan: Bersaing untuk Mendahului

  • Menjadi kebiasaan, selain daripada mesyuarat oleh pihak FRS dan juga ECB, Bank of England juga bermesyuarat pada bulan Januari. Harus diingat bahawa tidak seperti rakan sejawatnya, penggubal dasar ini mula memerangi kenaikan harga pada bulan Disember lalu, dan perkara ini memberi tanggapan hebat di pasaran. Selepas kadar inflasi di UK mencecah 5.1% iaitu kadar tertingginya dalam tempoh 10 tahun, bank pusat negara berkenaan menaikkan kadar faedah mereka daripada 0.1% kepada 0.25% buat pertama kalinya sejak tiga tahun lalu. Keputusan itu diambil walaupun situasi epidemiologi yang melanda semakin teruk akibat strain coronavirus yang baru. Pendapat ketua Bank of England, Andrew Bailey adalah sama seperti Jerome Powell: bagi kedua-dua mereka, tugas No.1 adalah untuk mengurangkan tekanan harga ke atas ekonomi dan juga masyarakat. Namun, pendirian yang diambil Bank of England nampak lebih hawkish, walaupun kenaikan kadar sebanyak 15 mata asas tidaklah begitu banyak. Namun langkah pertama sudah diambil, dan pasaran menjangkakan kadar akan dinaikkan untuk kali keduanya pada bulan Februari.

    Jangkaan seperti itu terus memberi sokongan kepada mata wang British, dan disebabkannya pasangan GBP/USD mampu memperbaharui kedudukan tertingginya sejak sebelas minggu lalu, dan mengakhiri dagangan lima hari pada paras 1.3678, setelah nilai dolar mengukuh pada petang Jumaat, 14 Januari.

    Menurut 60% penganalisis, pasangan GBP/USD mungkin akan cuba sekali lagi untuk berada di atas paras 1.3800 dalam masa terdekat ini. Senario berkenaan disokong oleh 90% indikator trend pada D1 serta 80% pengayun. Baki 20% lagi memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. Walau bagaimanapun, seperti yang berlaku pada EUR/USD, keadaannya berubah sedikit dan memihak kepada bear, dan jika beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan, 55% sudahpun menunggu pasangan ini untuk turun ke bawah.

    Sokongan berada pada paras 1.3659, 1.3600, 1.3525, 1.3480, 1.3430, 1.3375, sokongan kukuh yang berikutnya adalah 100 mata lebih rendah. Rintangan pula berada pada paras 1.3700, 1.3750, 1.3835 dan 1.3900.

    Data makro penting dari UK pada minggu depan sudah memadai. Terdapat data untuk pengangguran dan purata gaji di negara berkenaan yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 18 Januari. Kemudian, indeks harga pengguna akan diketahui keesokan harinya. Selain itu, Gabenor Bank of England, Andrew Bailey akan berucap pada hari Rabu, 19 Januari, manakala data jualan runcit untuk Disember 2021 akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 21 Disember. Data tersebut adalah satu indikator perbelanjaan pengguna yang penting dan juga berkait dengan tahap keyakinan pengguna, dan dianggap sebagai salah satu indikator kadar pembangunan ekonomi di UK. Mengikut unjuran, kadarnya dijangka akan susut daripada 1.4% kepada negatif 0.6%.

USD/JPY: Kekuatan Yen Adalah Dolar yang Lemah

  • Kadar USD/JPY susut daripada 116.35 (paras tertinggi sejak Januari 2017) kepada 113.47 pada minggu lalu disebabkan oleh kenyataan Jerome Powell dan juga hasil bon Perbendaharaan AS yang rendah. Walau bagaimanapun, pendirian penggubal dasar Jepun yang bersifat terlalu dovish berkemungkinan tidak akan mengukuhkan lagi nilai yen. Mata wang dolar dilihat mendapat kekuatannya semula, dan pasangan ini bergerak ke atas sekali lagi pada penghujung sesi dagangan mingguan, naik ke paras 114.18.

    Disebabkan oleh pasangan USD/JPY yang bergerak ke bawah sejak seminggu setengah yang lalu, kebanyakan indikator pada D1 bertukar menjadi warna merah. Dalam kalangan pengayun, warna merah berjumlah 80%, 10% pula menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan, manakala 10% lagi sudahpun bertukar warnanya kepada hijau. Dalam kalangan indikator trend, 60% mengesyorkan untuk jual, 40% mengesyorkan untuk beli. Dalam kalangan penganalisis, 50% bersetuju dengan pertumbuhan pasangan ini, 40% pula penurunannya, dan baki 10% lagi mengambil pendirian neutral.

    Sokongan berada pada paras 113.50, 113.20, 112.55 dan 112.70. Zon rintangan paling hampir berada di antara 114.40-114.65, kemudian parasnya pula adalah 115.00, 115.45, 116.00 dan 116.35.

    Keputusan Bank of Japan mengenai kadar faedah utama mereka akan diumumkan pada hari Selasa, 18 Januari. Berkemungkinan besar kadarnya akan kekal pada paras negatif yang sama seperti sebelum ini iaitu negatif 0.1%. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, mengikut penggubal dasar negara itu, mereka tidak perlukan mata wang dengan nilai yang kukuh, yen yang lemah mungkin lebih banyak membantu ekonomi negara berkenaan, kerana ia menyokong perolehan eksport dan juga keuntungan korporat.

MATA WANG KRIPTO: And Here Too, Thank You Jerome Powell

  • Satoshi Nakamoto melancarkan rangkaian utama bitcoin dengan melombong blok genesis sebanyak 50 BTC pada Januari 2009. Hanya selepas 13 tahun sejak peristiwa itu, Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Kebangsaan China telah mengisytiharkan pada Januari 2022 bahawa melombong kripto adalah sesuatu yang “lapuk”. Perkara itu telah disebut dalam kenyataan rasmi badan perancang ekonomi induk negara berkenaan yang lebih mengutamakan industri bersih serta kurang penggunaan tenaga. Melombong kripto telah disenaraikan sebagai satu teknologi “lapuk” yang akan diharamkan daripada membuat pelaburan dan harus dihapuskan.

    Benarlah kata-kata William Shakespeare; tiada apa yang berkekalan. Setelah mata wang digital dijadikan “persona non grata” di China, pusat pengaruh pasaran kripto beralih sepenuhnya ke Amerika Syarikat. Satu lagi bukti untuk hal ini berlaku pada minggu lalu apabila kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berjaya menghentikan penyusutan nilai bitcoin serta mengubah trend pasaran kripto ke atas.

    Bercakap di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat AS, Powell berkata stablecoin boleh digunakan bersama-sama mata wang digital rasmi Bank Pusat berkenaan iaitu CBDC (Central Bank Digital Currency adalah wang fiat berbentuk digital yang dikeluarkan dan diselia oleh Bank Pusat). Namun itu bukanlah penyebab yang membolehkan sebut harga kripto mengalami pertumbuhan, tetapi kerana nilai dolar yang menyusut serta selera risiko para pelabur yang kian bertambah.

    Seperti yang dinyatakan di atas, Jerome Powell dengan jelas menyebut pihak Rizab Persekutuan masih belum membuat keputusan untuk mengurangkan penyata imbangan mereka yang berjumlah hampir $9 trilion, dan kadar faedahnya tidak akan dinaikkan sebanyak empat kali pada tahun 2022, tetapi tidak melebihi tiga kali. Akibatnya, indeks dolar DXY jatuh, manakala sebut harga mata wang kripto serta indeks saham pula yang naik.

    Nilai kadar BTC/USD turun kepada $39,660 pada 10 Januari. Ia tidak pernah turun ke paras terendah ini sejak September 2021. Walau bagaimanapun, nilainya naik kepada $44,300 pada 12 Januari akibat pertumbuhan kadar indeks S&P500, Dow Jones dan Nasdaq, dan jumlah keseluruhan modal pasaran kripto mencecah $2.091 trilion, sekali lagi naik melebihi paras penting psikologinya iaitu $2 trilion. Namun kedudukan di Indeks Fear & Greed Kripto masih belum keluar dari zon Extreme Fear, walaupun bacaannya naik daripada 15 mata kepada 21 mata.

    Jelas menunjukkan bahawa masih terlalu awal untuk bercakap tentang permulaan lonjakan nilai pasaran kripto yang baru. Pasangan BTC/USD kini berada 35% di bawah paras tertinggi dalam sejarahnya, manakala jumlah keseluruhan modal pasarannya pula masih lagi sedikit berbanding jumlah yang hampir mencecah $3 trilion pada 10 November, 2021 lalu. Jika nilai dolar mula kukuh sekali lagi, kami jangkakan aset digital berkenaan akan kembali mengikuti trend menurun semula.

    Sudah pasti, penggemar kripto seperti biasa menjangkakan nilai coin utama ini akan naik ke paras tertinggi yang baru tidak lama lagi. Dalam satu artikel majalah Fortune, Changpeng Zhao, CEO bursa kripto Binance mendakwa penerimaan mata wang kripto di peringkat global akan bertambah daripada 5% yang ada sekarang kepada 20% pada tahun 2022. Manakala pengasas Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz melihat penurunan sebanyak 35% itu sebagai satu “pengunduran sihat”. Pada pandangan beliau, mata wang kripto utama tersebut akan bertemu paras sokongan di sekitar $38,000-40,000, dan kembali mengalami pertumbuhan selepas itu. Nigel Green, CEO DeVere Group, sebuah syarikat perunding juga menyebut sekarang adalah masa yang terbaik untuk membeli bitcoin pada kitaran semasa.

    Walau bagaimanapun, sebilangan penganalisis menganggap sentimen seperti itu adalah terlalu optimis. Justeru, Yayasan ENCRY menjangkakan bitcoin mungkin hanya akan kembali bertumbuh setelah nilainya jatuh ke paras di antara $28,000-30,000. “Aliran masuk likuiditi ke dalam pasaran akan berkurang pada enam bulan terakhir tahun 2022, setelah tamatnya program pembelian semula aset di Amerika Syarikat. Kemudian nilai bitcoin mungkin akan turun kepada $30,000,” jelas para penganalisis di syarikat itu.

    Paras yang diduduki sekarang masih belum boleh dianggap sebagai paras terendah pasaran. Perkara ini dinyatakan oleh seorang lagi penganalisis, Viktor Pershikov, seorang penganalisis terkenal di 8848 Invest. Menurut beliau, terdapat keadaan-keadaan dalam pembentukan paras terendah tersebut yang perlu dipenuhi namun belum lagi dapat dilihat. Antaranya adalah garis mendatar yang panjang (sekurang-kurangnya dua bulan jika melihat keadaan sekarang) dengan posisi long terkumpul dan pertambahan dalam kepentingan terbuka, penurunan jumlah jualan BTC oleh peserta pasaran serta penjelasan oleh bank pusat dunia berkenaan tahap kepantasan dan darjah pengetatan polisi kewangan mereka.

    “Keadaan pasaran kripto sekarang boleh dikategorikan sebahagian besarnya sebagai jualan beremosi, termasuklah jualan tanpa sebarang untung, situasi biasa yang berlaku apabila pelabur-pelabur runcit keluar dari pasaran. Penurunan yang berlaku sekarang tidak memberi sebarang ancaman kepada pemilik BTC yang banyak dan ia adalah pembetulan pasaran yang biasa berlaku sebelum bertumbuh lebih tinggi,” jelas Pershikov. Beliau berpendapat, bitcoin akan berada dalam julat nilai antara $30,000-70,000 untuk kebanyakan masa pada tahun ini.

    Jelas bahawa pertambahan nilai BTC ke paras lebih tinggi hanya akan berlaku jika minat terhadapnya oleh pelabur-pelabur berinstitusi juga meningkat. Namun ia dilihat sebagai satu masalah sekarang. Menurut Bloomberg, hasil tinjauan yang dijalankan oleh JPMorgan ke atas pelanggan mereka, hanya 5% percaya nilai bitcoin akan mencecah $100,000 menjelang akhir 2022. Lebih daripada 40% percaya bahawa nilainya hanya akan kembali ke paras $60,000. Menurut pakar strategi bank tersebut iaitu Nikolaos Panigirtzoglou, nilai berpatutan untuk mata wang kripto ini berada di antara $35,000 hingga $73,000.

    Bagi pesaing utama bitcoin, ethereum, penganalisis kripto iaitu Justin Bennet percaya “selagi nilai ETH berada di bawah $4,000, anda semua perlu berhati-hati” berdasarkan trend ke bawah bagi keseluruhan pasaran. Jika hanya ETH kembali ke sekitar kedudukan itu pada minggu dan bulan yang akan datang dan mampu untuk kekal berada di sana, barulah kita boleh bincangkan tentang penerusan trend bullish yang kuat seperti pada tahun 2021."

    Penganalisis itu juga melihat pada nilai ETH berbanding BTC dan percaya bahawa pasangan ETH/BTC mampu memulakan lonjakan jangka panjang kepada 0.18 BTC ($7.388) bagi setiap 1 ETH, tetapi memerlukan paras 0.075 BTC ($3.077) sebagai sokongan.

    Semua yang di atas menunjukkan situasi sekarang masih lagi samar-samar. Jadi bagaimana anda boleh mendapat pulangan daripada mata wang maya? Jawapan kepada persoalan ini boleh didapati di ruangan jenaka petua hidup kripto yang diberi oleh Siraj Raval, seorang penduduk di San Francisco (AS) yang menggunakan kereta Tesla Model 3 miliknya untuk melombong ethereum. Untuk melakukannya, beliau memasang perisian percuma yang sepadan ke dalam komputer Apple Mac mini M1 dan menyambungkannya ke konsol tengah kereta beliau. Lima buah kad grafik dikuasakan oleh bateri Tesla. Menurut Raval, beliau melombong kira-kira 20 jam sehari dengan cara ini dan memperoleh antara $400 hingga $800 sebulan pada tahun 2021.

    Jumlah yang agak menarik. Hanya yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk mencari $50,000 bagi membeli kereta seperti itu dan mengetahui jikalau pihak berkuasa China tidak menganggap cara melombong seperti itu sebagai berbahaya dan lapuk.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami