Februari 5, 2022

EUR/USD: Satu Lagi Kejutan, Kali Ini Oleh Pihak ECB

Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 07 - 11 Februari, 20221

  • Agak sukar untuk bertahan jika diserang dari pelbagai arah. Dolar menerima dua serangan hebat pada minggu lalu: satu oleh Bank of England, dan satu lagi datang dari pihak ECB, dan dolar gagal menahan kedua-duanya. Kadar indeks DXY USD jatuh. Kadarnya berada pada kedudukan 97.36 mata pada 28 Januari, tetapi turun kepada 95.14 mata pada 4 Februari. Ia bukan setakat penurunan, tetapi jatuh rebah ke bawah, agak sukar bagi mata wang AS untuk pulih dengan cepat dari kedudukan itu.

    Jadi, Bank of England menaikkan kadar faedah mereka lagi sebanyak 25 mata asas (bp) kepada 0.50% seperti yang dijangka. Namun apa yang mengejutkan pasaran adalah perubahan pendirian polisi kewangan pihak ECB. Pasaran menantikan pihak penggubal dasar akan mula berbincang tentang perubahan seperti itu pada akhir tahun ini. Namun, ternyata ia berlaku lebih awal. Mungkin sudah selesai pada musim bunga lalu.

    Data pengangguran di Eurozone telah melampaui semua jangkaan: kadarnya turun kepada 7.0%. Namun bukan itu saja. Pertumbuhan kadar harga pengguna yang naik dari 5% kepada 5.1% untuk bulan Januari telah memperbaharui kadar tertingginya dalam sejarah. Semua itu berlaku walaupun pada hakikatnya ramai yang menjangkakan perkara sebaliknya akan berlaku. Sebagai contoh, penganalisis di Bloomberg meramalkan kelembapan kadar inflasi pada paras 4.4%.

    Seperti yang diketahui kadar pengangguran serta inflasi adalah faktor utama yang akan menentukan polisi kewangan oleh penggubal dasar pada masa sekarang ini. Jika Christine Lagarde, ketua ECB menyatakan baru-baru ini bahawa bank di bawah pengurusannya itu tidak akan mengikut jejak langkah Rizab Persekutuan AS, beliau terpaksa mengakui “situasi sekarang benar-benar sudah berubah” dalam satu sidang akhbar yang berlangsung pada hari Khamis, 3 Februari.

    “Berkemungkinan kadar inflasi akan lebih lama berada pada paras yang tinggi berbanding daripada jangkaan,” jelas Cik Lagarde. “Jika dibandingkan dengan anggaran kami pada bulan Disember, kadar inflasi semasa cenderung untuk bergerak ke atas, terutama sekali untuk jangka masa pendek”.

    Ketua ECB itu tidak mengulangi ayat keramat mengenai “kebarangkalian yang sangat rendah” untuk kenaikan kadar faedah pada tahun 2022. Walaupun keputusan untuk mengekalkan kadar utamanya pada 0% dibuat pada mesyuarat terakhir sebelum ini, ada sumber-sumber yang mengatakan bahawa pihak pengurusan bank berkenaan sudah pun membincangkan tentang kadar faedah yang mungkin akan dinaikkan pada penghujung tahun ini. Menurut sebilangan penganalisis, kenaikan itu mungkin sehingga 40 bp, malah mungkin 50 bp.

    Nampaknya, penggubal dasar Kesatuan Eropah itu telah meninggalkan polisi tunggu dan lihat, dan kini menyertai perlumbaan para “helang” untuk mengetatkan polisi kewangan bersama-sama dengan pihak Rizab Persekutuan AS dan juga Bank of England. Adalah sesuai untuk membuat analogi antara kenyataan terbaru Christine Lagarde dengan apa yang disebut rakan sejawat beliau dari AS iaitu Jerome Powell pada bulan Jun 2021. Pada waktu itu, ketua Rizab Persekutuan berkenaan menyebut sesuatu yang hampir sama, dan nilai dolar mula naik dengan mendadak selepas itu, memperoleh semula 1135 mata daripada euro, menyusutkan kadar pasangan EUR/USD daripada 1.2255 kepada 1.1120. Nampaknya sekarang ini adalah masa untuk euro menebus semula kerugian yang mereka alami.

    Selain daripada serangan secara terus daripada Bank of England dan juga ECB, mata wang AS juga menerima kesan akibat tindakan “ahli dalaman” Rizab Persekutuan. Sekurang-kurangnya enam orang wakil dari bank Negara AS membuat kenyataan pada minggu lalu, dan tiada seorang pun yang menyebut pihak FOMC (Federal Open Market Committee) boleh menaikkan kadarnya sebanyak 50 bp dengan serta-merta semasa bermesyuarat pada bulan Mac nanti (namun pasaran menunggu untuk perkara ini berlaku).

    Walaupun agak sukar untuk dolar, semua yang berlaku pada minggu lalu telah mengakibatkan pengukuhan mata wang Eropah yang begitu memberangsangkan. Pasangan EUR/USD menunjukkan pertumbuhan aktif, sesuatu yang jarang dilihat sejak pandemik bermula: kadarnya naik sebanyak 343 mata dalam masa seminggu, daripada 1.1140 kepada 1.1483.

    Memang benar, dolar mendapat sedikit sokongan daripada statistik di AS pada penghujung minggu bekerja, pada hari Jumaat, 4 Februari. Indikator penting seperti bilangan pekerjaan baru yang ada bukan dalam sektor agrikultur (bukan buruh ladang) itu berjumlah 467K, dan pasaran menjangkakan jumlahnya turun kepada 150K. Disebabkan itu, nilai dolar sedikit mengukuh, dan paras terakhir pasangan ini berada pada 1.1453.

    Kebanyakan indikator pada D1 menunjukkan pertumbuhan semasa berakhirnya tempoh lima hari dagangan. Dalam kalangan indikator trend, 85% menunjukkan warna hijau (15% lagi masih berwarna merah), dalam kalangan pengayun - 80%, baki 20% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan penganalisis, perbezaan pendapat berada pada kadar yang sama, namun bull masih memiliki sedikit kelebihan: 45% daripada mereka bersetuju trend ke atas akan terus berlaku, 35% lagi memilih penurunan dan baki 20% pula memilih trend mendatar.

    Rintangan paling hampir adalah paras tertinggi pada 13 Januari dan 4 Februari di zon 1.1480, diikuti dengan 1.1525, 1.1560 dan 1.1625. Sokongan berada di zon dan paras 1.1365-1.1385, 1.1275, 1.1220, 1.1185 dan paras terendah pada 28 Januari lalu iaitu 1.1120.

    Untuk perkara penting pada minggu hadapan, data paling utama adalah berkaitan dengan kadar inflasi dan akan membimbangkan pasaran pengguna. Jadi, kadar Indeks Harga Pengguna AS (tidak termasuk produk makanan dan bahan api) akan diketahui pada hari Khamis, 10 Februari, manakala kadar Indeks Harga Pengguna Selaras di Jerman serta indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan AS akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 11 Februari. 

GBP/USD: Bank of England: Belum Menjadi Pipit, Bukan Lagi Seekor Helang

  • Sudah tentu, penyusutan nilai dolar juga memberi kesan terhadap pasangan GBP/USD secara umumnya, merekodkan paras tertinggi mingguan pada 1.3627. Namun, seperti yang dinyatakan di atas, kenaikan kadar faedah oleh Bank of England tidak mengejutkan sesiapa dan mereka sudah mengambil kira perkara itu dalam sebut harga pasaran. Tidak seperti kenyataan ketua ECB, Christine Lagarde yang memberi kesan mengagumkan. Akibatnya, mata wang Eropah memiliki kelebihan lebih besar berbanding mata wang British, manakala kadar pasangan EUR/GBP pula naik melebihi 2.2%, daripada 0.82843 kepada 0.84650. Untuk GBP/USD pula, kedudukan terakhirnya rendah sedikit daripada paras tertinggi mingguan, berada pada paras 1.3528 atas sebab yang sama.

    Bull yang menyokong pound juga kecewa dengan perselisihan pendapat dalam kalangan ahli jawatankuasa Bank of England. Hanya 4 daripada 9 orang yang bersetuju untuk menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 50 bp. Majoritinya, termasuklah ketua bank itu, Andrew Bailey, mengambil keputusan untuk hanya menaikkan sebanyak 25 mata asas, menyatakan pertumbuhan ekonomi yang lembab sebagai alasan.

    Penggubal dasar ini dilihat akan terus bertindak mengikut cara yang sangat seimbang, dan perkara itu disahkan oleh ketua pakar ekonomi Bank of England, Hugh Pill. Beliau berkata dalam temu bual bersama Reuters bahawa pihak bank menjangkakan “pengetatan yang lebih sederhana dalam beberapa bulan lagi jika semua yang dirancang berjalan lancar” dan “anda perlu berhati-hati dalam menetapkan kadar faedah."

    Pakar strategi di Bank MUFG Jepun berkata pendirian licik seperti ini mengehadkan prospek untuk mata wang British yang lebih kukuh. MUFG tidak menjangkakan nilai pound bertumbuh dengan mantap dan percaya jika pasangan GBP/USD terus bergerak menuju 1.4000, pasangan ini akan menemui pelbagai halangan di sepanjang laluannya. Rakan mereka dari Scotiabank melihat situasi ini berbeza sepenuhnya. Mereka berpendapat, disebabkan gagal untuk berada di atas paras 1.3600, mata wang British kini di ambang risiko untuk turun ke paras 1.3400 pada awalnya dan kemudian mungkin ke paras 1.3200 untuk sementara.

    Majoriti penganalisis (55%) masih lagi melihat kepada pertumbuhan pasangan GBP/USD ke paras lebih tinggi buat masa ini, baki 45% lagi berpendirian sebaliknya. Indikator pada D1 adalah seperti berikut: 45% menunjukkan pertumbuhan, 10% menunjukkan penurunan, baki 45% lagi kekal neutral.  Dalam kalangan indikator trend, 40% menunjukkan arah atas, 60% arah bawah. Sokongan berada pada paras 1.3500, 1.3425, 1.3365, sokongan lebih kukuh seterusnya berada 100 pip lebih rendah. Zon dan paras rintangan: 1.3570-1.3600, 1.3640, 1.3700, 1.3750, 1.3835 dan 1.3900.

    Rangkuman untuk minggu hadapan termasuklah ucapan oleh Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Khamis, 10 Februari, serta data KDNK di UK dan penghasilan industri yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 11 Februari.

USD/JPY: Tenang, dan Tenang Lagi

  • Sementara bank-bank Negara G10 menaikkan kadar faedah mereka atau bertindak lebih agresif (seperti ECB), slogan Bank of Japan masih lagi “terus bertenang”. Wang selamat seboleh-bolehnya tidak harus bertindak secara melulu dengan kadar faedahnya yang sentiasa negatif (negatif 0.1%).

    Disebabkan kadar inflasi di Jepun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan mencapai sasaran 2% yang ditetapkan oleh penggubal dasar di negara itu, jelas menunjukkan bahawa langkah yang mereka ambil akan jauh ketinggalan di belakang bank-bank negara yang lain. Menurut penganalisis di CIBC Capital Markets, hal ini akan terus memberi tekanan kepada yen.

    Pada satu ketika, terdapat khabar angin mula kedengaran di pasaran yang mengatakan Bank of Japan mungkin akan mula menormalkan polisi kewangan mereka pada tahun ini. Namun, kenyataan yang dikeluarkan pihak Bank setelah bermesyuarat pada bulan Januari jelas menyatakan perkara itu tidak lebih daripada spekulasi saja. Semenjak Gabenor bank iaitu Haruhiko Kuroda asyik mengatakan kadar sekarang masih lagi jauh untuk mencapai sasaran inflasinya iaitu 2.0%, organisasi di bawah seliaannya itu agak selesa dengan nilai yang lemah.

    Apa yang berlaku kepada pasangan USD/JPY sepanjang empat bulan lalu boleh dianggap sebagai trend mendatar dengan sentimen bullish mendominasi. Jadi penyusutan nilai dolar secara umumnya tidak membantu mata wang Jepun langsung pada minggu lalu: setelah turun ke paras 114.14 pada 2 Februari, pasangan ini kembali ke kedudukan yang sama semasa ia bermula, di zon 115.20 menjelang penghujung minggu.

    Semasa ulasan ini dibuat, majoriti penganalisis (55%) menjangkakan pasangan USD/JPY akan terus bergerak ke paras tertinggi semenjak beberapa tahun iaitu 116.35 yang direkodkan pada 4 Januari lalu. Baki 45% lagi percaya bahawa nilai dolar yang lemah masih lagi akan mendorongnya untuk bergerak ke bawah. 100% indikator berwarna hijau, walaupun 15% pengayun sudahpun memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.

    Paras dan zon sokongan berada pada 115.00, 114.55-114.80, 114.15, 113.75, 113.45, 113.20, 112.55 dan 112.70. Zon rintangan paling hampir berada di antara 115.50-115.70, sasaran bull yang paling hampir adalah paras tertinggi sepanjang lima tahun yang baru iaitu 116.35.

    Tiada statistik makroekonomi yang penting dari Jepun telah atau dijangka dikeluarkan pada minggu lalu dan minggu hadapan. Kami hanya maklum bahawa pada hari Jumaat, 11 Februari adalah hari cuti di Jepun. Negara itu menyambut perayaan Kenko Kinen No Hi, Hari Pembentukan Negara. Dipercayai maharaja pertama Jepun, Jimmu, menaiki takhta pada hari tersebut 660 tahun Sebelum Masihi dan menjadi asas kepada Dinasti Imperial Jepun dan juga Negara Jepun.

MATA WANG KRIPTO: Siapa yang Mengawal BTC/USD? Jawapan: Rizab Persekutuan AS

  • Walau apa yang penggemar kripto katakan, bitcoin sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai satu aset bebas. Faktor penentu bagi pasangan BTC/USD adalah dolar. Sama ada nilai mata wang AS itu lemah ataupun kukuh, ia bergantung pula kepada polisi yang digubal Rizab Persekutuan AS (dan sebahagiannya adalah tindakan oleh bank-bank pusat yang lain).

    Penggemar kripto yang sama juga mengharapkan wang pelabur berinstitusi mengalir masuk tanpa henti seperti air zam zam. Pelabur-pelabur itu pula sedang menunggu undang-undang yang lebih jelas dalam mentadbir aset digital dari pihak penggubal dasar. Justeru, pergerakan sebut harga mata wang kripto utama tersebut bukan bergantung pada mood jutaan pelabur-pelabur kecil, tetapi pada mood sebilangan kecil bank-bank pusat dan bank kerajaan (malah sudah pun berlaku). Lihat saja korelasi antara nilai mata wang kripto dengan pasaran saham. Hubung kait ini menjadi lebih tegar dan ditentukan dengan sentimen risiko pelabur-pelabur besar.

    Memang benar, kadar BTC/USD mengalami turun naik untuk jangka pendek akibat cuaca buruk di Texas yang telah mengurangkan penghasilannya. Namun mereka bukanlah pihak yang menetapkan trend utama, tetapi oleh langkah-langkah yang diambil penggubal dasar.

    Kini bitcoin dilihat sebagai satu “wang komoditi”. Penganalisis di Fidelity Digital Assets membuat kesimpulan ini, menggelarkan mata wang kripto pertama itu bukan saja sebuah teknologi, malah satu bentuk wang yang sempurna. Kerajaan manakah yang akan membenarkan aliran keluar masuk wang “sempurna” ini? Terdapat dua jenis penyelesaian: sama ada untuk terus mengharamkannya, seperti yang berlaku di China, atau mengawalnya dengan ketat.

    Bank Negara Rusia mahu mengikut jejak langkah kerajaan China. Namun Presiden Rusia iaitu Vladimir Putin menyokong cadangan Menteri Kewangan negaranya itu untuk tidak terus mengharamkannya, tetapi menyelia pasaran mata wang kripto, termasuklah peredaran serta penghasilannya. Ini adalah satu keputusan yang sangat serius kerana menurut Bloomberg, rakyat Rusia memiliki sejumlah besar aset digital dengan nilai kira-kira $214 bilion. Disamping itu, menurut University of Cambridge, Rusia menjadi negara ketiga di dunia dalam penghasilan bitcoin (11.23%) pada musim panas 2021, di belakang AS (34.5%) dan Kazakhstan (18.1%), negara yang menjadi pilihan setelah China mengharamkan penghasilannya.

    Michael Saylor, pengasas MicroStrategy juga percaya bahawa masalah di pasaran mata wang kripto yang berlaku sekarang ini disebabkan oleh, pertama sekali adalah penyeliaan yang tidak telus serta undang-undang yang tidak menentu dalam industri kripto. Menurut Saylor, ramai pelabur berinstitusi yang sekarang ini memantau bitcoin, namun mereka tidak terburu-buru untuk melabur di dalamnya.

    Menurut penganalisis di JPMorgan, kadar kemeruapan yang sangat tinggi dan terus berlaku juga menjadi batu penghalang serta mengehadkan penerimaan bitcoin oleh pelabur berinstitusi.

    Lagi menarik, penganalisis di sebuah lagi bank pelaburan terkemuka, Goldman Sachs bersetuju bahawa tidak mungkin mata wang kripto dapat meloloskan diri daripada desakan makroekonomi seperti polisi kewangan yang digubal oleh pihak Rizab Persekutuan. Walau bagaimanapun, mereka percaya bahawa kadar penerimaan mata wang kripto secara besar-besaran mungkin tidak akan bertambah baik, tetapi sebaliknya lebih teruk dan mengurangkan peluangnya untuk mengalami pertumbuhan. Para penganalisis mengemukakan alasan bahawa populariti aset digital di peringkat global akan terus meningkatkan hubung kaitnya dengan aset tradisional. Akibatnya, perkara tersebut akan mengurangkan kadar kemeruapan mata wang kripto dan seterusnya mengurangkan daya penarik sebagai aset spekulatif serta kelebihan sebagai aset pelbagai dalam portfolio para pelabur.

    Untuk situasi semasa, walaupun arah pergerakannya berubah dengan kukuh dari paras terendah selama 90 hari iaitu $32,950, nilai mata wang kripto utama itu tidak mampu untuk mengatasi rintangan yang kuat di zon antara $38,000-39,000 buat satu tempoh masa yang panjang. Namun, pasangan BTC/USD berjaya menembusinya dan mencecah paras $40,880 ketika ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 4 Februari.

    Jumlah keseluruhan modal pasaran pada minggu lalu bertambah sedikit: $1.85 trilion berbanding $1.70 trilion pada tujuh hari lalu, manakala Indeks Fear & Greed Kripto pula jatuh lebih rendah di zon Extreme Fear, turun daripada 24 mata kepada 20 mata.

    Laporan terkini JPMorgan ada menyebut “minat terbuka terhadap niaga masa hadapan serta jumlah tukaran yang seimbang menunjukkan keadaan kurang panik atau kurang penutupan posisi berbanding bulan Mei lalu, terutama sekali yang berkaitan dengan pelabur besar kripto”. Dalam masa yang sama, penganalisis bank itu tidak mengecualikan penyusutan sebut harga bitcoin ke paras lebih rendah, walaupun dengan ketiadaan tanda-tanda pelabur menyerah kalah. Mereka bersungguh-sungguh merendahkan nilai wajar mata wang kripto pertama itu daripada $150,000 kepada $38,000.

    Menurut Business Insider, model yang dikeluarkan oleh JPMorgan itu menganggap kadar kemeruapan bitcoin akan bertindih dengan kadar kemeruapan emas dan memiliki bahagian yang sama rata dalam portfolio pelaburan. Kini, penganalisis bank berkenaan telah mengakui bahawa unjuran mereka sebelum ini yang menyatakan nisbah antara kemeruapan bitcoin dan emas akan turun kepada 2/1 menjelang akhir tahun 2022 terbukti tidak realistik, disebabkan itulah mereka merendahkan nilai wajarnya.

    Peter Brandt, seorang pedagang terkenal dengan 45 tahun pengalaman sedar bahawa kebanyakan peminat kripto kini berada dalam mood bearish yang ekstrem. Kebanyakan yang menyertai flash mob Laser Eyes berasa sangat yakin bahawa harga bitcoin akan turun di bawah paras $30,000 tidak lama lagi. Menurut penganalisis tersebut, ini mungkin adalah isyarat untuk membeli mata wang kripto pertama itu. “Apabila bull memakai mata laser, itulah masa yang sesuai untuk menjual. Apabila bull bertukar kepada bear, adakah itu masa untuk membeli?” tanya Brandt.

    Jika diingat flash mob “Laser Eyes” dimulakan di Twitter pada Februari 2021 apabila nilai bitcoin mencecah paras tertinggi bulanan iaitu $58,300. Selepas itu, dalam menjangkakan pertumbuhan nilainya kepada $100,000, ramai penyokong mata wang kripto pertama itu membuat hantaran dengan gambar “mata laser” sebagai avatar profil mereka. Pengasas bersama Morgan Creek Digital iaitu Anthony Pompliano, pengacara TV Max Kaiser, CEO bursa kripto Binance Changpeng Zhao, CEO Tesla Elon Musk dan tokoh-tokoh pengaruh lain adalah antara peserta flash mob tersebut.

    Walau bagaimanapun, nilai mata wang terunggul ini tidak naik kepada $100,000, tetapi turun kepada $29,000 pada bulan Jun. Jadi, teguran Peter Brandt mengenai “mata laser” pada bear jelas sekali harus diberi perhatian.

    Tumpuan juga perlu diberikan kepada hasil keputusan daripada perbincangan yang dianjurkan oleh laman web analisis Finder. Sesi perbincangan itu dihadiri oleh 33 orang penganalisis syarikat fintech, separuh daripada mereka tidak menjangkakan nilai mata wang kripto akan turun walaupun dengan kenaikan kadar faedah di AS tidak lama lagi. Ramalan oleh semua peserta secara purata mengatakan nilai bitcoin boleh mencecah $93,717 pada tahun ini iaitu paras tertingginya dan dijangka bernilai $76,360 menjelang akhir tahun 2022 dan hampir kepada $193,000 menjelang hujung tahun 2025.

    Vanessa Harris, pengarah syarikat pemula mata wang kripto iaitu Permission adalah antara tokoh yang paling optimis dalam perbincangan itu. Beliau meramalkan nilai BTC akan mencecah $220,000 pada tahun ini. Nilai yang lebih sederhana telah disuarakan oleh Daniel Polotsky, pengasas rangkaian ATM bitcoin CoinFlip. Beliau berpendapat, nilai mata wang kripto mungkin tidak akan melebihi $60,000 pada tahun 2022 disebabkan oleh gelembung yang dihasilkan oleh pihak Rizab Persekutuan AS semasa pandemik kini semakin mengecil.

    Penganalisis kripto Jason Pizzino juga menjangkakan pertumbuhan nilai BTC. Menurut ramalannya, bitcoin masih akan memasuki tempoh pengumpulan dalam jangka sederhana apabila para jerung dan pelabur dengan wang pintar mula melabur dalam mata wang kripto dan menunggu trend bullish seterusnya. Langkah ini mungkin akan memakan masa sepanjang tahun, dan nilai BTC akan naik pada waktu itu. Menurut ramalan Pizzino, nilai bitcoin mampu mencecah kadar tertingginya yang baru pada enam bulan terakhir tahun 2022, namun kenaikannya itu tidaklah begitu mendadak tetapi pertumbuhan beberapa kali.

    Akhir sekali, ramalan paling tak masuk akal telah diberikan oleh CEO Circle iaitu Jeremy Aller dalam temubual bual bersama Business Insider. Pada pendapat beliau, penerimaan bitcoin di seluruh dunia sudah pasti akan menyumbang kepada pertumbuhan nilai coin berkenaan ke paras $1 juta. Ahli perniagaan itu mengakui bahawa beliau adalah seorang “maksimalis bitcoin”, tetapi beliau masih percaya dengan paras tertinggi mata wang kripto yang baru. Dalam masa yang sama, beliau lebih suka untuk tidak membandingkan bitcoin dengan emas kerana percaya aset digital tersebut adalah lebih efisien berbanding logam berharga itu. Menurut ketua syarikat Circle itu lagi, emas sebagai satu mata wang sangatlah tidak sesuai dalam masyarakat moden sekarang ini.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami