Mac 7, 2022

Artikel ini adalah khusus untuk pedagang baru, tetapi ia mungkin juga berguna serta menarik perhatian mereka yang sudah berpengalaman dalam pasaran kewangan. Kami akan mempertimbangkan antara faktor paling utama yang akan menentukan pilihan strategi serta keuntungan transaksi dagangan. Kami akan membincangkan tentang pasangan mata wang.

Maksud Pasangan Mata Wang dan Cara Menggunakannya

Pasangan mata wang adalah alat terpenting untuk berdagang dalam pasaran Forex. Ia mengandungi dua mata wang dari dua buah negara yang berbeza, dan sewaktu transaksi dibuat, pedagang biasanya akan menjual salah satu mata wang, dan membeli satu lagi mata wang. Dalam satu-satu pasangan, mata wang yang pertama disebut digelar sebagai mata wang asas, dan yang kedua ialah mata wang sebutan. Mata wang asas adalah mata wang yang nilai unitnya diukur dalam unit mata wang sebutan. Sebaliknya, mata wang sebutan ialah mata wang yang nilainya diperoleh daripada penyebutan satu unit mata wang asas.

Berdagang Forex adalah suatu kitaran tertutup. Ini bermaksud, dengan membuat pesanan bagi pasangan AAA/BBB, anda membeli mata wang AAA dengan membuat bayaran dalam bentuk mata wang satu lagi, BBB. Kemudian, anda perlu menutup pesanan ini bagi mendapatkan pulangan ataupun mengalami kerugian daripada dagangan tersebut dengan menjalankan operasi bertentangan: jual AAA dan terima BBB.

Mari gunakan pasangan EUR/USD sebagai contoh. Bila anda membuka terminal dagangan, anda akan dapat lihat sebut harga semasanya adalah 1.1500. Ini bermaksud jika anda buka dagangan beli, anda sebenarnya membeli EUR dengan nilai USD 1.1500 bagi setiap EUR 1. Jika selepas beberapa ketika anda menutupnya, semasa nilainya naik, katakanlah menjadi 1.1600, anda akan menjalankan operasi bertentangan iaitu menjual euro dengan menukarnya kepada dolar. Anda akan terima untung yang bersesuaian kerana anda bukan menjualnya dengan nilai 1.1500, tetapi USD 1.1600 bagi setiap EUR 1.

Apabila anda membuka dagangan jual, semua adalah bertentangan: anda akan menjual euro dan membeli dolar dengan nilai EUR 0.87 bagi setiap USD 1 (1/1.1500 = 0.87). Anda akan mengalami kerugian pada ketika anda menutup urus niaga pada paras 1.1600 kerana anda tidak akan memperoleh EUR 0.87, tetapi EUR 0.86 (1/1.1600=0.86) bagi setiap dolar.

Cara Memilih Pasangan Mata Wang Forex yang Betul Untuk Hasil Dagangan Menguntungkan1 

Pasangan Mata Wang Paling Popular dan Paling Tidak Dikenali

Terdapat bermacam-macam pasangan mata wang di dalam Forex. Terdapat sekurang-kurangnya 180 mata wang berbeza yang ada di dunia pada hari ini. Oleh itu, bilangan kombinasi pasangan mata wang yang mungkin wujud adalah sebanyak 16,110. Paparan susunan pasangan-pasangan ini adalah sama untuk mana-mana broker kerana ianya diluluskan dan dikawal selia oleh ISO (International Organization of Standardization). Jelaslah bahawa tiada satu broker pun secara realitinya akan memaparkan kesemua 16,100 pasangan untuk anda pilih disebabkan oleh kos yang tinggi serta kesukaran teknikal bagi mengekalkan kadar kecairannya secara berterusan dan memaparkan sebut harga terkininya (bayangkan terdapat ribuan skrin dengan carta dalam terminal anda). Malahan tiada siapa yang perlukannya dalam jangka masa panjang, terutama sekali para pedagang. Hanya beberapa dozen saja daripada mereka yang popular dalam kalangan pedagang, dan tahap populariti ini bergantung kepada beberapa faktor yang akan kami jelaskan di bawah.

Pasangan seperti SZL/AWG (lilangeni Swaziland kepada florin Aruba) sebagai contoh boleh dikecualikan serta-merta kerana secara praktikalnya tiada transaksi yang akan dibuat ke atasnya. Jika merujuk kepada 20 TANGGA TERATAS pasangan mata wang yang ada dalam terminal dagangan MetaTrader-4 (MT4), kadar populariti untuk tahun 2021 adalah seperti berikut (kedudukan ini juga adalah sama untuk tahun sebelumnya):    

EUR/USD - 27.95% daripada keseluruhan jumlah dagangan, USD/JPY - 13.34%, GBP/USD - 11.27%, AUD/USD - 6.37%, USD/CAD - 5.22%, USD/CHF - 4.63%, NZD/USD - 4.08%, EUR/JPY - 3.93%, GBP/JPY - 3.57%, EUR/GBP - 2.78%, AUD/JPY - 2.73%, EUR/AUD - 1.8%, EUR/CHF - 0.96%, NZD/JPY - 0.93 %, GBP/AUD - 0.89%, GBP/CAD - 0.81%, EUR/NZD - 0.78%, AUD/CAD - 0.76%, GBP/CHF - 0.73%, AUD/CHF - 0.70%.

Angka-angka di atas adalah purata dalam industri kewangan. Ini tidak bermaksud anda perlu berdagang pasangan super popular seperti EUR/USD (walaupun nilai spread pasangan ini biasanya yang paling rendah). Statistik NordFX menunjukkan pedagang yang menggunakan pasangan dengan salah satunya adalah pound British ataupun mata wang dari kawasan Pasifik sering memperoleh keputusan terbaik (GBP/USD, GBP/AUD, GBP/JPY, AUD/JPY, AUD/NZD). Kemungkinan ia disebabkan oleh dua faktor: 1) kadar kecairan yang tinggi oleh pasangan dengan pound, membolehkan anda memperoleh pulangan lebih besar dalam tempoh singkat, dan 2) faktor teritori sementara kerana pasangan seperti AUD/JPY atau AUD/NZD sering diguna oleh pedagang dari bahagian dunia ini.

Punca Kepada Populariti Pasangan Mata Wang

Kami telah berikan dua sebabnya iaitu kadar kecairan dan juga aktiviti dagangan sesuatu pasangan itu, bergantung pada kawasannya. Sebagai contoh, pasangan seperti AUD/JPY dan AUD/NZD paling aktif didagangkan semasa sesi dagangan di Asia sedang berjalan, ketika Eropah dan AS masih lena diulit mimpi. Dagangan EUR/USD, EUR/GBP, EUR/CHF, GBP/USD, GBP/CHF serta pasangan mata wang lain di rantau ini menjadi lebih aktif semasa sesi dagangan di Eropah sedang berjalan. Dagangan paling tinggi akan berlaku apabila sesi dagangan di Eropah dan di Amerika mengalami pertembungan, semasa salah satunya belum ditutup, dan satu lagi sudah dibuka (15:00 UTC), ketika itulah jumlah dagangan mencapai kadar tertingginya. Pada waktu ini juga berlakunya transaksi ke atas pasangan seperti USD/CAD, sebagai contoh.

Sebelum kewujudan EUR, mata wang tunggal untuk negara di dalam Kesatuan Eropah, pasangan USD/DEM adalah yang paling banyak didagangkan. Pada hakikatnya ia disebabkan oleh mata wang mark Jerman adalah mata wang rizab kedua terbesar di dunia di belakang dolar AS. Kedudukan itu menjadi milik euro setelah ia tidak lagi dikeluarkan.

Adalah masuk akal kadar kecairan paling tinggi wujud dalam mata wang negara-negara dengan ekonomi paling maju. Sekarang negara-negara itu adalah AS dan EU: transaksi dagangan terbesar dibuat menggunakan mata wang dolar dan euro, kedua-duanya membentuk jumlah yang besar dalam rizab tukaran asing hampir kesemua bank-bank pusat di dunia ini.

Kadar kecairan tinggi seperti itu menjadikan kedua-dua mata wang ini mudah untuk dijual dan dibeli kerana ramai pihak seperti bank-bank pusat dan komersial, syarikat-syarikat dana, industri dan komersial, serta pelabur-pelabur persendirian mahukannya. Ini bermaksud, mudah untuk mencari mereka yang menjual dan membeli dolar AS dan euro, membolehkan mereka menjalankan transaksi dengan kos lebih rendah. (Kini cuba bayangkan betapa sukar dan betapa tinggi kosnya untuk mencari serta memujuk seseorang dari Eswatini dan Aruba untuk menukar mata wang anda ke dalam lilangeni dan florin).

Justeru, pasangan dengan kadar kecairan paling tinggi adalah keadaan paling menguntungkan buat para pelabur: spread minimum, swap minimum (komisen untuk memindahkan transaksi ke hari berikutnya), kepantasan pelaksanaan transaksi serta ketepatan sebut harganya. Ketepatan sebut harga adalah faktor untuk mengelak daripada wujudnya jurang harga dan ia memberi kesan positif terhadap ketepatan bacaan indikator dan juga hasil analisa para penganalisis.

Disamping itu, pedagang yang menggunakan analisis fundamental tidak akan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan ulasan serta analisa penganalisis berkala dengan mata wang utama. Namun agak sukar, tetapi tidak mustahil untuk berdagang mata wang eksotik seperti lilangeni. Perkara sama juga berlaku kepada strategi dagangan yang dijelaskan dalam bermacam-macam buku teks dan panduan dagangan Forex.

Pasangan Manakah Menjadi Pilihan Pedagang Baru

Kami telah senaraikan pelbagai faktor penting yang boleh menyumbang kepada kejayaan dagangan dalam bahagian sebelum ini. Kebanyakannya, tetapi bukan kesemuanya. Antara perkara lain yang perlu diambil kira adalah kadar pengetahuan serta pengalaman seseorang pedagang, kualiti psikologi mereka (tenang atau teruja), keinginan dan kemampuan untuk belajar, masa lapang yang boleh mereka luangkan untuk berdagang. Kesemua itu memberi kesan terhadap pilihan strategi dan juga cara dagangan dibuat: dagangan pipsing, dagangan singkat, dagangan harian, dagangan jangka sederhana dan juga jangka panjang. Kecenderungan pedagang untuk membuat analisis teknikal dan fundamental juga perlu diambil kira.

Justeru, pasangan manakah jadi pilihan? Pedagang berpengalaman tidak perlukan cadangan kerana mereka sudah mengetahui segalanya. Bagi pedagang baru, jika kita menganalisis pelbagai bentuk manual dan juga material pembelajaran, menjadi kebiasaan kita dinasihatkan untuk memberi perhatian kepada pasangan paling popular, paling cair dan paling terkenal. Pasangan-pasangan inilah yang paling kurang cenderung memberikan kejutan, membolehkan anda menguji strategi pilihan pada selang masa lampau yang lebih lama, dan seperti yang telah disebutkan tadi, strategi yang memiliki syarat dagangan paling menguntungkan.

***

Dalam kata lain, tidak kira pasangan mata wang manakah yang menjadi pilihan, anda sangat dinasihatkan untuk mengasah kemahiran dagangan pada akaun demo, dan hanya beralih membuat transaksi dengan wang sebenar selepas itu. Tidak kiralah jika anda hanya memiliki wang lilangeni atau florin, ia masih lagi wang sebenar, sangat rugi jika anda kehilangannya akibat salah percaturan.

NordFX


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami