April 23, 2022

EUR/USD: Trend yang Didorong Kata-Kata

  • Kenyataan daripada para pegawai penting ECB dan juga Rizab Persekutuan pada minggu lalu menjadi pendorong utama. Walau bagaimanapun, keadaan agak tenang semasa tempoh lima hari bermula: kesan daripada hujung minggu perayaan Easter. Tidak seperti di Amerika Syarikat, hari cuti bukan saja jatuh pada hari Jumaat, 15 April, tetapi juga pada hari Isnin, 18 April. Nilai dolar mendapat sedikit sokongan daripada komen wakil penggubal dasar Amerika pada hari Isnin. Menurut Rafael Bostic, Presiden Bank Rizab Persekutuan Atlanta, kadar faedah asas mungkin akan mencecah 1.75% menjelang akhir tahun 2022, manakala Presiden Bank Rizab Persekutuan Chicago iaitu Charles Evans pula percaya kadarnya itu akan mencecah antara 2.25-2.50%. Ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis, James Bullard mengumumkan bahawa kenaikan kadar utama sebanyak 0.75% mungkin akan dibuat serta-merta pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) untuk bulan Mei nanti.

    Keadaan tenang itu berubah secara dramatik pada hari Selasa: setelah mengubah arah pergerakannya, pasangan EUR/USD naik sebanyak 175 mata dan mencecah ketinggian 1.0935 pada hari Khamis, 21 April. Kali ini bukan dolar, tetapi euro yang mendapat sokongan oleh kenyataan bersifat hawkish ahli-ahli Jawatankuasa Pentadbir Bank Negara Kesatuan Eropah. Ketua Bank Negara Latvia, Martins Kazaks berkata pada hari Rabu, kenaikan kadar ECB mungkin akan dibuat seawal bulan Julai. Rakan sejawatnya, ketua Bank Negara Belgium, Pierre Wunsch dalam temubual bersama Bloomberg pada keesokan harinya pula berkata bahawa beliau maklum kadar faedah mungkin akan menjadi positif pada tahun ini. Naib Presiden ECB iaitu Luis de Guindos mengesahkan kebarangkalian itu, apabila menyatakan program pelonggaran kuantitatif (QE) mungkin akan ditamatkan pada bulan Julai, dan kenaikan kadar mungkin akan menyusul selepas itu.

    Impetus lain bagi pasangan ini telah diberi oleh sentimen risiko yang semakin bertambah baik serta penyusutan hasil bon Perbendaharaan Amerika. Ini menyebabkan kadar indeks DXY dolar menyusut 1% setelah mencecah kadar tertinggi sepanjang dua tahun pada hari Selasa.

    Situasi itu berubah untuk kali ketiga pada petang Khamis. Dibantu oleh pertambahan hasil bon 10 tahun Perbendaharaan AS yang mencecah 2.974%, kadar tertinggi sejak Disember 2018, dolar membuat serangan baru. Semua ini berpunca daripada Jerome Powell. Bercakap dalam mesyuarat rangka kerja Tabung Kewangan Dunia bagi sesi musim bunga, ketua Rizab Persekutuan itu mengesahkan kebarangkalian untuk kadar faedah dinaikkan sebanyak 0.5% pada mesyuarat FOMC seterusnya pada 3-4 Mei adalah tinggi. Langkah seperti itu sedang dipertimbangkan, jelas Powell, kerana kadar inflasi dalam pasaran buruh di AS kini sudahpun sangat “ketara”. Beliau tidak menolak sama ada kadar tersebut mungkin akan dinaikkan sebanyak 0.5% lagi pada bulan Jun.

    Bagi ketua ECB pula, bercakap dalam mesyuarat IMF yang sama, Christine Lagarde enggan memberikan komen mengenai kebarangkalian kadar euro akan dinaikkan pada bulan Julai. “Semua akan bergantung kepada prestasi ekonomi,” Lagarde berkata dengan tidak jelas, dan kedudukan pasangan EUR/USD jatuh selepas itu.

    Ketua ECB itu bertindak untuk bertegas sedikit pada 22 April, hari terakhir sesi dagangan. Beliau tidak menafikan bahawa pada saat ini program pembelian semula Bank Negara Kesatuan Eropah mungkin akan ditamatkan pada awal Q3 dan turut menyatakan kadar faedah mungkin akan dinaikkan seawal tahun 2023. Kenyataan beliau pada hari itu lebih bersifat hawkish berbanding hari sebelumnya, namun gagal untuk membantu euro. Pasangan ini menemui paras terendah mingguannya pada 1.0770, kemudian sedikit pembetulan ke atas berlaku selepas itu dan ia berakhir pada paras 1.0800.

    Nilai euro dibantu sedikit oleh keputusan debat antara Presiden Perancis Emmanuel Macron dan ketua pembangkang Marine Le Pen yang disiarkan di televisyen. Data undian menunjukkan 56% daripada responden merasakan hujah penyandang jawatan presiden itu adalah lebih meyakinkan berbanding hujah lawannya.

    Pusingan kedua pilihanraya presiden di Perancis akan berlangsung pada hari Ahad, 24 April. Emmanuel Macron memenangi 27.84% undi pada pusingan pertama. Marine Le Pen, ketua sayap kanan Parti Kebangkitan Nasional pula meraih 23.15% undi. Jika diingat beliau adalah seorang yang Euroscpetics, dan pernah cuba untuk mengeluarkan negaranya daripada Kesatuan Eropah pada tahun 2017. Menurut sebilangan penganalisis, jika wanita ini memegang tampuk pimpinan, kadar pasangan EUR/USD mungkin akan turun ke paras 1.0500, malah mungkin lebih rendah.

    Ketika ulasan ini dibuat, keputusan pilihanraya masih lagi tidak diketahui, justeru majoriti (50%) penganalisis tidak membuat sebarang ramalan. 35% percaya nilai dolar akan terus mengukuh. Hanya 15% yang memberi pendapat bertentangan. Semua indikator trend serta pengayun pada D1 adalah berwarna merah, walaupun 15% daripada pengayun sudah memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.0770. Sasaran bear EUR/USD yang seterusnya adalah 1.0757, paras terendah pada 14 April lalu. Jika ia berjaya menembusi paras sokongan ini, mereka kemudian akan mensasarkan paras terendah tahun 2020 iaitu 1.0635 dan paras terendah tahun 2016 iaitu 1.0325. Zon rintangan terdekat adalah di antara 1.0830-1.0860, diikuti dengan 1.0900, paras tertinggi 21 April lalu iaitu 1.0935 dan juga 1.1000.

    Bagi data makro, jumlah pesanan untuk barangan modal serta barangan tahan lama di AS akan diketahui pada hari Selasa, 26 April. Data KDNK serta keadaan pasaran pengguna di Jerman dan Eurozone akan diterima masing-masing pada hari Selasa, 28 April dan Jumaat, 29 April. Disamping itu, data awal KDNK tahunan di AS akan dikeluarkan pada hari Selasa.

GBP/USD: Kalah untuk Berada di 1.3000. Adakah Terdapat Serangan Balas?

  • Kami jangkakan dalam ulasan sebelum ini bahawa pertarungan antara bull dan bear akan terus berlaku, dan barisan hadapan yang perlu ditempuhi adalah di zon 1.3000. Jika diingat 1.3000 adalah paras sokongan/rintangan utama bukan saja ia adalah paras terendah pada 15 Mei, malah juga paras terendah pada tahun 2021-2022.

    Kami boleh katakan sekarang bull telah kalah pertarungan itu. Setelah pasangan GBP/USD naik ke paras 1.3090, akhirnya nilainya menyusut, dan turun ke bawah. Paras terendah mingguan berada pada kedudukan 1.2822 pada hari Jumaat, dan kedudukan terakhirnya sedikit tinggi, di zon 1.2830.

    Punca kepada penurunan kadar pound terletak di kedua-dua belah Lautan Atlantik. Di satu seberang, puncanya adalah pendirian hawkish Rizab Persekutuan AS serta pertumbuhan hasil bon Perbendaharaan AS. Di seberang yang lain pula, terdapat komen berhati-hati dari Bank of England (BoE) serta data statistik makro yang lemah di UK.

    Dalam memberikan komen mengenai keadaan ekonomi pada hari Khamis, ketua penggubal dasar British, Andrew Bailey berkata kenaikan kadar inflasi di United Kingdom memiliki lebih banyak persamaan dengan Eurozone daripada AS. “Kita tidak seharusnya berpuas hati dengan unjuran kadar inflasi,” tambah Bailey lagi, menekankan bahawa mereka sedang menguruskan “perkara penting antara memerangi kadar inflasi dan juga kesan kenaikan itu pada pendapatan sebenar."

    Sehari selepas ketua Bank of England itu berucap, Jabatan Statistik Kebangsaan UK memberi satu lagi tamparan hebat kepada pound. Mereka melaporkan jualan runcit susut sebanyak 1.4 % untuk bulan Mac. Indikator ini mengikuti penurunan sebanyak 0.5% yang berlaku pada bulan Februari dan nampaknya kadar penurunan itu adalah lebih teruk berbanding jangkaan, unjuran menyebut penurunan itu seharusnya hanya sebanyak 0.3%. 

    Kegagalan sehebat itu berkemungkinan akan memberi kejutan kepada para pelabur dan ia akan mengambil masa dalam mengembalikan selera mereka untuk membeli mata wang British. Bear akan cuba untuk meneruskan kejayaan mereka itu dan menolak pasangan GBP/USD ke paras yang lebih rendah. 65% penganalisis bersetuju dengan perkembangan ini, baki 35% lagi menjangkakan pasangan ini akan mengalami pembetulan ke atas.

    Terdapat keseluruhan warna merah dalam kalangan indikator pada D1: 100% indikator trend dan juga pengayun. Memang benar, satu pertiga daripada pengayun menunjukkan pasangan ini berada di zon lebihan jualan. Sasaran terdekat bear adalah untuk mengatasi paras sokongan 1.2800, memperbaharui paras terendah Oktober 2020 di sekitar 1.2760 dan meneruskan pergerakan mereka ke paras terendah September 2020 di zon 1.2685-1.2700. Sasaran jangka panjang bagi pasangan ini adalah penurunan ke paras 1.2400, 1.2250, 1.2085 dan juga 1.2000. Bagi bear pula, mereka akan cuba mendapatkan semula inisiatif dan sekali lagi menyerang paras 1.3000. Namun, mereka perlu mengatasi rintangan pada paras 1.2860 dan 1.2915 dalam perjalanan itu. Jika serangan ke atas paras 1.3000 membuahkan hasil, rintangan akan berada pada paras 1.3100, 1.3150 dan juga zon di antara 1.3190-1.3215.

    Tiada sebarang data penting mengenai ekonomi UK yang akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Satu perkara yang boleh diberi perhatian adalah data pasaran hartanah di negara itu yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 29 April.

USD/JPY: Adakah Bank of Japan Akan Mempertahankan Pendirian Mereka?

  • Nilai mata wang Jepun telah berkali-kali memecahkan anti rekod, dan jangkaan untuk ia berlaku sekali lagi pada minggu lepas ternyata benar. Pasangan USD/JPY merekodkan satu lagi kadar  tertingginya iaitu 129.39 pada hari Rabu, 20 April. Kali terakhir ia berada setinggi ini adalah pada 20 tahun yang lalu, pada bulan Mei 2022.

    Punca kepada penyusutan nilai yen masih lagi sama: polisi kewangan mereka yang berbeza daripada Rizab Persekutuan AS. Walaupun pada hakikatnya majoriti rakyat Jepun menentang nilai yen yang lemah, Bank of Japan masih lagi enggan untuk menaikkan kadar faedah utama walaupun pada kadar sifar serta mengurangkan program rangsangan ekonominya. Penggubal dasar negara itu percaya mengekalkan aktiviti ekonomi adalah lebih penting berbanding mengekang kadar inflasi.

    Mesyuarat Bank Negara Jepun yang biasa akan berlangsung pada minggu depan, pada hari Khamis, 28 April. Menurut pakar strategi UOB Group (United Overseas Bank) di Singapura, penggubal dasar di negara itu akan sekali lagi membiarkan parameter polisi kewangan mereka tidak berubah. “Kami begitu yakin,” jelas ahli ekonomi UOB, “Bank of Japan akan mengekalkan dan tidak mengubah polisi kewangan mereka yang longgar sepanjang tahun 2022, dan akan meneruskan jumlah rangsangan yang besar, mungkin sekurang-kurangnya sehingga tahun fiskal 2023.”

    Yen mendapat sedikit sokongan daripada laporan yang mengatakan Setiausaha Perbendaharaan iaitu Shunichi Suzuki berbincang tentang idea untuk menyelaras campur tangan tukaran asing bersama rakan sejawat beliau, Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen. Nampaknya “pihak Amerika dilihat seolah-olah akan mempertimbangkan idea ini secara positif.” Namun, satu sumber daripada Kementerian Kewangan Jepun telah membantutkan kerjasama antara dua negara itu, dan enggan memberi komen mengenai butir-butir perbualan antara Suzuki dan Yellen.

    Setelah memperbaharui rekod tertinggi untuk beberapa tahun, pasangan USD/JPY kembali pulih sedikit pada hari-hari terakhir untuk lima hari dagangan dan mengakhirinya pada paras 128.53. 40% daripada penganalisis bersetuju bull akan naik ke paras tertinggi yang baru, 30% lagi berpendirian sebaliknya dan baki 30% pula mengambil pendirian neutral. Dalam kalangan indikator pada D1, 100% indikator trend menunjukkan pertumbuhan, dalam kalangan pengayun, 90% daripada mereka sama-sama bersetuju dengannya, (satu pertiga sudah berada di zon lebihan belian), manakala baki 10% menunjukkan penyusutan. Sokongan paling hampir berada pada paras antara 127.80-128.00, diikuti dengan paras 127.45, zon 126.30-126.75 serta paras 126.00-125.00. Rintangan berada pada paras 128.70, 129.10 dan 129.39. Untuk mencari paras sasaran bull yang berikutnya adalah seperti menilik nasib. Satu-satunya perkara yang boleh kita jangka adalah pasangan ini akan menetapkan paras tertinggi pada 1 Januari, 2002 sebagai sasaran paling jauh mereka. Mengambil kira hakikat bahawa pasangan ini mengalami pertumbuhan sebanyak 1400 mata sepanjang 7 minggu lalu, kedudukan tersebut mampu dicapai dalam tempoh sebulan setengah jika kelajuan itu berterusan.

    Disamping mesyuarat BOJ serta laporan polisi kewangan mereka, tiada maklumat penting berkenaan keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan diketahui pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: Nilai BTC daripada $30,000 kepada $200,000

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 25 - 29 April, 20221

  • Sepanjang tahun 2022, nilai bitcoin telah bergerak di sepanjang Pivot Point di sekitar $40,000, cuba untuk mencecah nilai $50,000 atau turun kepada $30,000. Punca kepada turun naik seperti itu adalah Rizab Persekutuan AS. Para pelabur tidak boleh membuat keputusan akhir tentang reaksi yang harus diberi apabila polisi kewangan diketatkan dan kadar faedah dolar dinaikkan. Akibatnya, selera risiko mereka sering kali bertambah dan berkurang. Pertama sekali, perkara ini berlaku kepada pasaran saham, dan kemudian emas digital juga terkesan dengan turun naik seperti itu.

    Kami telah berulang kali mempertimbangkan tentang hubung kait pasangan BTC/USD dengan saham syarikat-syarikat teknologi. Maka, menurut Arcane Research, korelasi antara bitcoin dengan indeks Komposit Nasdaq mencecah kadar tertingginya sejak Julai 2020. Indikator sama antara mata wang kripto pertama itu dengan emas susut ke paras paling rendah dalam sejarah. Emas tulen baru-baru ini dijadikan aset lindung nilai terhadap inflasi, dan harganya naik ke paras maksimum dalam sejarah, mencecah $2,070 bagi setiap auns pada 8 Mac (harga maksimum sebanyak $2,075 direkodkan pada 2 Ogos, 2020).

    Bursa Bitcoin-ETP (Exchange Traded Product) menunjukkan modal mengalir keluar. Jika kadar aliran keluar ini terus berlaku, nilai anti rekod dalam sejarahnya yang dicapai pada Julai 2021 akan diperbaharui menjelang hujung bulan ini apabila pelabur membuat pengeluaran sebanyak 13,849 BTC. Jumlah alamat aktif dalam rangkaian bitcoin turun kepada 15.6 juta, kira-kira 30% lebih rendah berbanding jumlah tertinggi pada Januari 2021. Ramai pemilik dan spekulator jangka pendek (kurang daripada 155 hari) telah melepaskan pemilikan BTC mereka jika melihat pada data Glassnode.

    Pasaran sekarang mendapat sokongan daripada pelabur jangka panjang (LTH). Seperti yang sudah kami nyatakan, trend pengumpulan emas digital mula kelihatan dalam kalangan mereka. Jumlah pengumpulan yang mula melebihi kadar pengeluaran telah banyak kali berlaku. Menurut Glassnode, kadar aliran keluar coin dari platform bersepadu telah bertambah kepada 96,200 BTC setiap bulan, sesuatu yang sangat jarang berlaku sebelum ini dalam sejarahnya. Selain daripada “jerung”, pelabur yang digelar sebagai “bilis” (merujuk kepada pemilikan kurang daripada 1 BTC) juga menyumbang kepada pengumpulan tersebut, menjadikan jumlah bahagian mereka dalam bekalan pasaran sebanyak 14.26%.

    Buat masa ini, kira-kira 15% daripada pelabur jangka panjang mengalami kerugian, tetapi mereka bukan saja terus menyimpannya, malah turut membeli coin baru, berharap pertumbuhan nilai akan berlaku pada masa hadapan. Sebagai contoh, penyedia perisian analisis MicroStrategy berniat untuk “bersungguh-sungguh meneruskan” strategi mereka dan menambah lagi jumlah rizab bitcoin mereka. Perkara ini dinyatakan oleh CEO syarikat itu sendiri iaitu Michael Saylor dalam surat beliau kepada pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS. Menurut Perbendaharaan Bitcoin, MicroStrategy memiliki rizab sebanyak 129,218 BTC yang bernilai $5.17 bilion. Pembelian terakhir oleh divisyen  syarikat berkenaan adalah pada awal April dengan nilai sebanyak $190.5 juta. Untuk perbandingan, syarikat Tesla yang menduduki tempat kedua selepas MicroStrategy, memiliki BTC sebanyak 43,000 dengan nilai kira-kira $1.7 bilion.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 22 April, jumlah keseluruhan modal kripto masih lagi berada di bawah paras psikologi penting $2 trilion iaitu $1.850 trilion ($1.880 trilion seminggu sebelum itu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto bertambah baik sedikit: naik daripada 22 mata kepada 26 mata dan kembali berada di zon Fear selepas menduduki zon Extreme Fear.

    Pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $39,700. Melihat pada kadar maksimum turun dan naiknya, carta sepanjang empat bulan lepas memberikan harapan kepada para pelabur untuk harganya naik ke paras lebih tinggi. Walau bagaimanapun, semua akan bergantung kepada mesyuarat Rizab Persekutuan bagi bulan Mei serta sentimen risiko para pelabur. Jika diingat pengasas bersama BitMEX iaitu Arthur Hayes telah menjangkakan harga bitcoin akan turun kepada $30,000 menjelang akhir suku kedua disebabkan penyusutan kadar indeks Nasdaq. Nilai $30,000 yang sama turut disebut oleh pelabur dan penganalisis mata wang kripto iaitu Michael van de Poppe, walaupun beliau memberikan sebab yang berbeza: ketegangan geopolitik di Eropah Timur akibat serangan ketenteraan Rusia di Ukraine.

    Ramai penganalisis lain juga yang tidak menjangkakan sebarang berita baik daripada pasangan BTC/USD dalam masa terdekat ini, namun begitu, mereka memberi unjuran lebih optimis untuk jangka sederhana dan juga jangka panjang. Menurut Anthony Trenchev, CEO platform pembiayaan kripto Nexo, harga mata wang kripto pertama itu mungkin akan naik lebih tinggi daripada $100,000 untuk 12 bulan seterusnya. Namun, beliau “bimbang” dengan gambaran situasi bitcoin untuk jangka pendek. Beliau berpendapat, kadarnya mungkin akan turun bersama-sama dengan kadar pasaran saham disebabkan oleh keputusan Bank Pusat AS untuk menamatkan program rangsangan kewangan mereka.

    Paolo Ardoino, CTO syarikat Bitfinex, menjangkakan dinamik mata wang kripto terunggul yang sama. Penganalisis itu percaya bahawa nilai bitcoin akan menjadi “lebih tinggi” daripada $50,000 menjelang akhir tahun 2022. Walau bagaimanapun, beliau akui penurunan harga yang mendadak akan berlaku tidak lama lagi. “Buat masa ini, boleh saya katakan kita hidup dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu, bukan saja mata wang kripto, malah juga pasaran saham,” jelas Ardoino.

    Penganalisis pasaran mata wang kripto, Ali Martinez membuat analisa carta harga bitcoin dan berkata nilainya mungkin akan turun kepada $27,000. Penting bagi bull untuk terus berada di atas paras sokongan kritikal bagi menghalang daripada perkara itu berlaku. Mengikut tahap Fibonacci, paras sokongan ini berada di sekitar $38,530. Seperti kebanyakan penganalisis, Martinez juga percaya seseorang itu tidak boleh hanya fokus kepada analisis teknikal dan mengabaikan analisis fundamental kerana banyak perkara sekarang ini yang bergantung kepada situasi geopolitik dunia.

    Penganalisis mata wang kripto, Benjamin Cowen berasa yakin bahawa bitcoin sedang menghampiri “kedudukan untuk memilih arah trend.” Cowen menghuraikan perkara tersebut pernah terjadi sebelum ini: “Pada tahun 2013, pertama kali nilai bitcoin menjadi rendah, kemudian kali kedua, kali ketiga, akhirnya nilai mata wang itu mula naik. Kemudian pada tahun 2018, apabila nilainya mencecah paras paling rendah, kita rasa perkara sama yang berlaku pada tahun 2013 akan berulang, namun akhirnya, nilai bitcoin jatuh ke paras paling rendah yang baru.”

    Menurut penganalisis itu, bagi mengembalikan trend bullish serta mengurangkan kebarangkalian trend bearish daripada berlaku, pasangan BTC/USD perlu naik di atas paras SMA selama 200 hari, semasa ulasan ini ditulis nilainya berada di sekitar $47,440. “Jika bitcoin boleh mengumpul kekuatan untuk berada di atas paras SMA 200 hari dan naik ke paras $50,000, maka ia akan nampak lebih optimis. Namun apa yang akan berlaku jika pasaran jatuh ke paras $30,000 dan kemudian nilai bitcoin naik semula? Peluang yang agak cerah untuk nilainya kembali kepada $40,000 atau mungkin $43,000,” kata Benjamin Cowen.

    Berkemungkinan besar, prospek untuk nilai mata wang kripto terunggul ini kembali daripada $30,000 kepada $40,000 mengikut keadaan sekarang tidaklah begitu menggembirakan para pelabur kerana buat masa ini ia didagangkan di sekitar $40,000. Justeru, bagi menggembirakan hati mereka, kami akan memetik kenyataan seorang lagi penganalisis, Nicholas Merten dari DataDash yang percaya nilai BTC mampu merekodkan nilai tertinggi yang baru dalam sejarah seawal tahun hadapan. Menurut penganalisis itu, bull masih belum lagi hilang kawalan walaupun dengan kadar turun naik yang berlaku sekarang ini: “Sekarang ini pasaran tidak begitu menarik buat pelabur, tetapi situasi ini biasanya dilihat semasa bermulanya tempoh pengumpulan. Pada waktu inilah struktur trend akan mula terbentuk.”

    Menurut Merten, hakikat bahawa nilai bitcoin mula mencapai paras terendah dan tertinggi maksimum mengesahkan bahawa bull masih lagi menguasai, tidak kira apa jua yang berlaku sekarang. Penganalisis tersebut percaya disebabkan situasi ini terus berlaku, maka kadar BTC masih berpeluang untuk mencecah $150,000 malah $200,000 pada tahun hadapan.

 

Kumpulan Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami