Ogos 13, 2022

EUR/USD: Inflasi Rendah Melemahkan Nilai Dolar

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 15 - 19 Ogos, 20221

  • Pasangan EUR/USD telah bergerak secara mendatar dalam saluran 1.0100-1.0270 lebih daripada tiga minggu. Setiap percubaan untuk menembusi sempadan atas mahupun bawah berakhir dengan kegagalan. Walaupun dengan data pasaran buruh yang kukuh yang dikeluarkan pada minggu pertama bulan Ogos juga tidak dapat membantu dolar. Jika diingat kadar pengangguran di AS kekal pada 3.6% sejak bulan Mac dan ia adalah satu indikator yang sangat baik. Malah kadarnya turun lebih rendah pada bulan Julai, iaitu 3.5%. Indikator penting seperti NFP iaitu bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur dengan unjuran sebanyak 250K sebenarnya mencecah 528K. Hal ini berlaku walaupun pada hakikatnya jumlah pad bulan sebelumnya adalah sebanyak 372K.

    Pergerakan mendatar terus berlaku sehingga hari Rabu, 10 Ogos, apabila pasangan bergerak ke atas dengan mendadak, mengubah paras 1.0270 daripada rintangan kepada sokongan. Apa yang ingin kami tekankan di sini bukanlah nilai euro yang semakin kukuh, tetapi nilai dolar yang menyusut. Kedudukan mata wang Amerika semakin merosot setelah laporan mengenai kadar inflasi di AS dikeluarkan. Kadar indeks pengguna (CPI) yang diunjur sebanyak 0.2% untuk bulan Julai rupa-rupanya berada pada kadar 0.0% (1.3% sebulan sebelumnya). Kadar itu turun daripada 9.1% kepada 8.5% (diunjur pada 8.7%) mengikut tahun ke tahun. Kadar asas CPI hanya naik sebanyak 0.3% untuk bulan Julai (0.7% sebulan sebelumnya), dan bukan naik sebanyak 0.5% seperti yang diunjur.

    Bacaan-bacaan ini dengan jelas menunjukkan kadar inflasi semakin menurun setelah pihak Rizab Persekutuan mula memeranginya. Sudah tentu ini bukanlah pengakhirannya, namun kejayaan yang Bank Persekutuan Amerika tunjukkan adalah sangat jelas. Justeru, mungkin agaknya mereka akan melonggarkan polisinya dan tidak akan menaikkan kadar faedah secara agresif seperti yang dilakukan sepanjang dua bulan lepas.

    Bercakap di penghujung mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) pada bulan Julai lalu, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell cuba untuk meyakinkan semua orang bahawa pendirian penggubal dasar itu masih bersifat hawkish. Ini bermakna, pihak Rizab Persekutuan bersedia untuk mempercepatkan kenaikan kadar faedah mereka jika perlu. Namun begitu, pasaran tidak percaya dengan kata-kata Powell dan beralih kepada pasaran saham sebagai memberikan reaksi mereka. Kini kadar inflasinya menjadi satu lagi hujah yang memberi kelebihan untuk pihak FOMC tidak menaikkan kadarnya sebanyak 0.75%, tetapi hanya 0.50% pada bulan September, terus menghentikan kenaikan kadar faedah pada bulan November sama sekali, dan memulakan kembali program pelonggaran kuantitatif pada tahun 2023.

    Sudah tentu, ini semua hanyalah sebagai unjuran. Lebih tepat lagi, bukannya unjuran, tetapi hanyalah jangkaan. Namun merekalah yang terus menolak kadar indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq ke atas, dan tidak membenarkan kedudukan pasangan EUR/USD turun ke paras kesetaraan 1.0000 lagi. Belum lagi.

    Kedudukan EUR/USD berakhir pada paras 1.0260 minggu lalu, kembali berada di saluran mendatar jangka sederhana antara 1.0100-1.0270. 45% penganalisis bersetuju dengan hakikat bahawa kedudukannya akan turun lagi, dan mungkin akan menembusi sempadan bawah saluran itu. 35% menjangkakan pertumbuhannya ke atas manakala 20% lagi - bergerak secara mendatar. Untuk pengayun pada D1, 40% adalah berwarna merah, 40% berwarna hijau dan 20% lagi berwarna kelabu neutral. Terdapat keseimbangan penuh dalam kalangan indikator trend: 50% menunjukkan pertumbuhan dan 50% lagi menunjukkan penurunan.

    Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada pada paras 1.0220, kemudian zon antara 1.01500-1.0200 dan 1.0095-1.0120. Sudah pastinya, sasaran utama bear adalah paras 1.0000. Jika paras utama ini berjaya ditembusi, bear akan mensasarkan paras terendah 14 Julai iaitu 0.9950, paras lebih rendah adalah zon sokongan/rintangan kukuh pada tahun 2002 iaitu 0.9900-0.9930. Tugas penting bull seterusnya adalah untuk melepasi sempadan atas saluran 1.0270, kemudian paras tertinggi minggu lalu di sekitar 1.0364-1.0368, sasaran berikutnya adalah kembali ke zon di antara 1.0400-1.0450, dan terdapat juga zon antara 1.0520-1.0600 serta 1.0650-1.0750.

    Minggu hadapan akan dipenuhi dengan pelbagai jenis statistik ekonomi. Kadar Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Jerman akan dikeluarkan pada hari Selasa, 16 Ogos. Terdapat juga data awal kadar KDNK (Q2) di Eurozone yang akan diketahui pada hari Rabu, 17 Ogos, serta data jualan runcit di AS pada hari yang sama. Minit mesyuarat FOMC sebelum ini juga akan dikeluarkan pada hari yang sama. Kami menantikan data kadar inflasi (CPI) di Eropah, serta data pasaran buruh, jualan rumah dan aktiviti pembuatan di Amerika Syarikat pada hari Khamis, 18 Ogos.

GBP/USD: Kadar KDNK Susut, Unjuran Kekal Kelam

  • Reaksi yang ditunjukkan pasangan GBP/USD terhadap data inflasi di AS yang dikeluarkan pada hari Rabu, 10 Ogos adalah lonjakan tinggi hampir sebanyak 200 mata ke paras 1.2276. Memang benar, ia gagal untuk kekal berada di atas, dan paras terakhir mingguannya berada di sekitar 1.2135. Walaupun dengan pertambahan sentimen risiko di peringkat global juga tidak dapat membantu pound. Sebab utamanya adalah prospek ekonomi yang agak kelam bagi ekonomi di UK serta unjuran oleh Bank of England yang juga tidak kurang kelamnya.

    Data kadar KDNK di UK untuk bulan Jun dan juga Q2 telah dikeluarkan pada hari Jumaat, 12 Ogos. Penyusutan kadar untuk bulan Jun ternyata adalah lebih rendah berbanding jangkaan: -0.6% berbanding -1.2% yang diunjur. Penyusutan kadar KDNK antara bulan April-Jun adalah berjumlah -0.1% berbanding unjuran sebanyak -0.2% dan +0.8% untuk Q1. Sewajarnya, kadar tahunannya adalah 2.9% berbanding 2.8% yang diunjur dan juga 8.7% untuk Q1. Kesemua data ini ternyata adalah lebih baik berbanding jangkaan. Namun, walaupun begitu, kejatuhan ekonomi ke dalam keadaan gawat adalah hakikat yang nyata, dan satu-satunya persoalan yang timbul adalah berapa teruk dan berapa lama kegawatan itu akan berlaku.

    Menurut 55% penganalisis, kedudukan pasangan ini akan terus jatuh kerana tiada sebarang kelebihan yang memihak kepada pound pada minggu lalu. Pendapat berbeza juga hanya diberikan oleh 15% daripada penganalisis, baki 30% lagi kekal neutral. Bacaan indikator pada D1 adalah sama seperti itu. Untuk indikator trend, nisbahnya ialah 85% untuk warna merah berbanding 15% untuk warna hijau. Hanya 25% daripada pengayun yang memihak kepada bear, 35% menjangkakan pertumbuhan, 40% lagi berpendirian neutral.

    Sokongan terdekat terletak pada paras 1.2100, diikuti dengan zon dan paras 1.2045-1.2065, 1.2000, 1.1875-1.1925 dan 1.1800. Lebih rendah daripada itu adalah paras terendah 14 Julai lalu iaitu 1.1759, kemudian 1.1650, 1.1535 serta paras terendah Mac 2020 di zon antara 1.1400-1.1450. Untuk bull pula, mereka akan bertemu dengan rintangan di zon dan paras antara 1.2160-1.2200, 1.2275-1.2325 dan 1.2400-1.2430.

    Berita utama untuk minggu depan mungkin adalah penerbitan data kadar inflasi (CPI) di UK pada hari Rabu, 17 Ogos. Juga yang patut diberi perhatian pada kalendar adalah data pasaran buruh di UK yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 16 Ogos, dan data jualan runcit di negara itu untuk bulan Julai yang akan diketahui pada hari Jumaat, 19 Ogos.

USD/JPY: Yen: Harapan untuk Lebih Baik Namun Masa Depan Agak Kelam

  • Dinamik pasangan USD/JPY untuk minggu lalu adalah hampir sama dengan dinamik EUR/USD yang diterbalikkan. (Perkara ini masuk akal kerana dolar bergerak dari kedudukan mata wang asas kepada mata wang sebut harga). Setelah bermula pada paras 135.00 pada hari Isnin, 8 Ogos, pasangan ini turun ke bawah dengan mendadak pada hari Rabu, 10 Ogos disebabkan oleh data inflasi di AS, mencecah paras terendah mingguannya iaitu 131.72 pada 11 Ogos, dan kemudian mengubah arah pergerakannya, berakhir di kedudukan 133.45.

    Bagi mereka yang sudah bersedia untuk membuka posisi jangka panjang mungkin akan lebih berminat dengan unjuran para penganalisis dari Westpac, salah sebuah bank terbesar di Australia, salah satu daripada Big Four, dan bank kedua terbesar di New Zealand. Mereka percaya bahawa kadar semasa USD/JPY adalah wajar. Jepun menjadi destinasi kegemaran kerana pertumbuhan ekonomi di Asia serta trend penurunan harga bahan api yang berterusan. Mellihat kepada kemungkinan polisi kewangan Rizab Persekutuan yang akan dilonggarkan, menurut pakar strategi Westpac, kedudukan pasangan ini mungkin akan turun ke paras 123.00 menjelang akhir 2023.

    Akhir tahun 2023 masih terlalu jauh, lebih daripada 16 bulan. Untuk unjuran minggu hadapan, pendapat para penganalisis adalah seperti berikut. 45% penganalisis menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, 25% lagi berharap nilai yen akan mengukuh dan trend penurunan terus berlaku, manakala baki 30% lagi menjangkakan pergerakan mendatar. Bacaan indikator pada D1 memberikan gambaran yang sedikit berbeza. Nisbah indikator trend adalah 65% kepada 35% yang lebih memihak kepada warna merah. 15% pengayun menunjukkan pertumbuhan, 40% menunjukkan penurunan, dan baki 45% pula menjangkakan pergerakan mendatar.

    Sokongan untuk pasangan ini berada pada paras dan di zon 133.00, 132.50-132.85, 131.75-132.00, 131.00, 130.40, 128.60 dan 126.35-127.00. Rintangan berada pada paras 134.00, 134.40-134.60, 135.30-135.60, 136.35-137.00, 137.45, 137.90-138.40, 138.50-139.00, dan akhir sekali paras tertinggi 14 Julai lalu iaitu 139.38.

    Untuk berita minggu hadapan, tumpuan harus diberikan kepada hari Isnin, 15 Ogos, apabila jumlah awal kadar KDNK di Jepun untuk Q2 2022 akan diketahui. Mengikut unjuran, kadarnya mungkin akan bertumbuh daripada negatif -0.1% kepada +0.6%. Ini adalah indikator makroekonomi utama bagi aktiviti pasaran yang akan menilai kadar pertumbuhan atau penyusutan ekonomi sesuatu negara. Kadar yang bertumbuh kebiasaannya menjadi faktor positif dan bullish bagi mata wang kebangsaan negara tersebut.

MATA WANG KRIPTO: 26 Ogos: Hari Paling Teruk Dalam Kalendar

  • Komuniti kripto terus tertanya-tanya sama ada pasaran kripto telah mencecah kedudukan terendahnya atau penurunan harga yang baru akan berlaku. Sebelum beralih kepada unjuran seterusnya, mari mulakan dengan beberapa statistik.

    Jadi, harga bitcoin turun kepada $17,597 pada 18 Jun, selari dengan kedudukan pada Disember 2020 dan hampir mencecah 75% daripada paras tertinggi dalam sejarahnya iaitu $68,918. Jika diukur dari awal tahun 2022, nilai mata wang kripto utama itu bermula daripada $47,572 pada 1 Januari, dan turun sebanyak 63% pada 18 Jun. Selepas itu, pasangan BTC/USD perlahan-lahan naik ke atas, menunjukkan siri turun naik ke paras tertinggi dan terendahnya sepanjang 8 minggu. Walau bagaimanapun, seperti yang ditunjukkan oleh carta, rintangan bearish naik dengan mendadak di atas paras $24,000 dan momentum ke atas mula hilang dengan cepat. Maka, paras tertinggi mingguan pada 20 Julai adalah $24,264, $24,435 pada 29 Julai, dan akhir sekali $24,891 pada 11 Ogos. Ini bermaksud, kadar pertumbuhannya hanyalah kira-kira 2.5% sepanjang 3 minggu lalu.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 12 Ogos, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.155 trilion ($1.089 trilion pada minggu lalu), manakala kadar Indeks Fear & Greed Kripto masih berada di zon fear, pada paras 42 mata (31 mata pada minggu lalu). Pasangan BTC/USD didagangkan pada $24,100, kira-kira 50% lebih rendah berbanding pada awal tahun ini.

    Walau pun dengan penurunan harga, jumlah alamat dengan baki 1 BTC telah bertambah sebanyak 9.4% sejak awal tahun 2022. Indikator ini mencecah jumlah tertingginya iaitu 891.009 pada akhir bulan Julai. Situasi ini lebih ketara untuk alamat dengan baki melebihi 1 ETH, jumlahnya telah bertambah sebanyak 15.7% sepanjang tujuh bulan lalu. Trend ini menunjukkan keinginan para pelabur untuk mengumpul. Sebagai contoh, mengikut sumber analisis The Balance, 39% daripada pelabur di AS mula melabur lebih ke dalam mata wang kripto, mahu mengekalkan simpanan mereka.

    Adakah berbaloi untuk membeli mata wang kripto terunggul itu sekarang? Pakar Strategi Kanan Bloomberg Intelligence iaitu Mike McGlone percaya bahawa buat masa ini bitcoin didagangkan dalam pasaran bull yang mampan dengan diskaun yang agak ketara. “Nilai mata wang kripto pertama itu mencecah paras terendahnya berbanding purata pergerakan 100 minggu pada bulan Julai,” jelas penganalisis itu.

    Mark Yusko, rakan pengurusan di Morgan Creek Digital juga mengatakan harga semasa mata wang kripto pertama itu sebagai tidak berpatutan, dan seharusnya berada di sekitar $30,000. Mengikut Anthony Scaramucci, CEO Skybridge Capital, “nilai patut” BTC sekarang sepatutnya berada di sekitar $40,000. PlanB, pencipta model Stock-to-Flow yang pernah popular dahulu menjangkakan nilai yang lebih tinggi, pada paras $55,000.

    Kesemua orang berpengaruh ini mempunyai model rujukan serta justifikasi mereka sendiri. Namun, seseorang perlu sedar bahawa “harga patut” adalah satu konsep relatif. Mungkin yang paling patut adalah nilai pasaran semasa. Ini bermakna, berapakah harga jualan yang penjual sanggup berikan sekarang, dan pembeli pula bersedia dengan harga belian untuk sesuatu aset itu.

    Sesetengah indikator berantai menunjukkan tempoh penurunan telah pun berlalu dan sentimen pelabur semakin bertambah baik pada bulan Julai. Perkara ini telah dinyatakan dalam laporan analisis oleh ForkLog. Berdasarkan pada tempoh konsolidasi serta harga bitcoin yang pulih dengan lancar selepas itu, indikator Puell Multiple mula keluar daripada zon lebih jualan yang sangat tinggi. Metrik bagi Untung/Rugi Bersih Belum Terealisasi (Net Unrealized Profit/Loss atau NUPL) telah bergerak ke zon hope/fear dan menuju kepada optimis. Indeks MVRV Z-Score telah melepasi sempadan atas zon lebihan jualan yang tinggi pada bacaan 0.1 pada 28 Julai. Ini satu lagi isyarat mengenai laluan “ke bawah” dalam kitaran pasaran.

    Menurut Sam Bankman-Fried, CEO bursa kripto FTX, musim dingin kripto mungkin sudah tiba di penghujungnya, dan musim kebangkitannya akan bermula tidak lama lagi. “Saya rasa kita sudah pun melihat keadaan yang paling teruk,” jelas hartawan itu yang lebih dikenali sebagai SBF. “Sesetengah penghasil bitcoin mungkin berhadapan dengan lebih banyak masalah, tapi saya rasa kita bercakap tentang masalah ratusan juta dolar, bukan ratusan bilion.”

    Walau bagaimanapun, jangkaan kebangkitan kripto oleh SBF itu tidak terkecuali daripada perkataan “tapi”: “Jika kadar Nasdaq dibiarkan turun 25% lagi, dan jika kadar faedah Rizab Persekutuan dinaikkan kepada 7%, dan jika kita mengalami kegawatan untuk tempoh dua tahun setengah […], nilai bitcoin boleh turun kepada $15,000 atau $10,000,” jelas CEO FTX itu.

    Mike McGlone dari Bloomberg Intelligence juga memerhatikan tindakan Bank Persekutuan AS dengan berhati-hati. Penganalisis itu menekankan peranan utama Rizab Persekutuan AS adalah mengejar kenaikan kadar faedah secara agresif untuk tahun 2022. Hal ini berpotensi untuk menghasilkan penghalang kepada aset berisiko, termasuklah mata wang kripto dan juga indeks saham. Dalam masa yang sama, Mike McGlone mendesak agar tidak cuba untuk mencari fasal dengan pihak Rizab Persekutuan.

    Aset berisiko perlu melepasi beberapa siri ujian pada penghujung bulan Ogos ini. Seorang penganalisis dengan nama panggilan Guy sedia maklum bahawa data ekonomi untuk bulan ini yang akan dikeluarkan mampu memberi kesan mendalam terhadap pasaran kripto. Menurut beliau, 3 faktor penting boleh mengganggu trend pertumbuhan yang dialami sekarang. Faktor pertama ialah kadar Indeks Penggunaan dan Perbelanjaan Peribadi (PCE) di AS. “Data PCE untuk bulan Julai akan dikeluarkan pada 26 Ogos. Dengan melihat PCE sebagai indikator inflasi kegemaran Rizab Persekutuan, kadar yang tinggi boleh mendorong kepada keruntuhan pasaran disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar faedah yang agresif."

    Faktor kedua ialah keluaran dalam negara kasar di AS untuk suku kedua tahun ini: “data kadar KDNK yang disemak semula untuk suku kedua juga akan dikeluarkan pada 26 Ogos. Tumpuan harus diberikan kepadanya. Jika nilai yang disemak semula makin bertambah, maka, pada hakikatnya, AS secara teknikalnya tidak lagi berada dalam keadaan gawat, ini mungkin akan memaksa pihak Rizab Persekutuan untuk menaikkan lebih tinggi kadar faedah mereka.”

    Akhir sekali, faktor ketiga ialah simposium ekonomi tahunan di Jackson Hole di mana pihak berkuasa kewangan AS akan membincangkan tentang masalah ekonomi global. Simposium ini akan diadakan pada 25 hingga 27 Ogos, dan kedua-dua statistik yang dinyatakan di atas secara kebetulan akan dikeluarkan pada tarikh yang sama.

    Faktor-faktor inilah yang boleh mempengaruhi keputusan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dan seterusnya akan memberikan kesan bertindih terhadap pasaran kripto. “Jika bacaan statistik ternyata tidak begitu penting, dan mood Powell pula tidak dalam keadaan baik, maka pasaran kripto akan berhadapan dengan kesukaran. Namun begitu ada kemungkinan beliau tidak akan menyuarakan pendapatnya itu cukup lama untuk pasaran mata wang kripto meneruskan pemulihan nilainya.”

    Kaji Selidik Pelabur Berinstitusi Cumberland yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan majoriti responden menjangkakan nilai bitcoin akan naik kepada $32,000 menjelang hujung tahun ini. Mike Novogratz, CEO syarikat pelaburan Galaxy Digital memberikan nilai yang lebih kecil sedikit. Beliau berpendapat, nilai coin ini berkemungkinan tidak akan melebihi $30,000 dalam masa terdekat nanti. Hartawan ini sendiri akan berasa “sangat gembira” jika nilai BTC berada seketika dalam julat antara $20,000 dan $30,000.

    Unjuran paling optimis kali ini telah diberikan oleh penganalisis popular dengan nama gelaran InvestAnswers. Bursa mata wang kripto Amerika iaitu Coinbase serta syarikat pelaburan terbesar iaitu BlackRock telah menandatangani perjanjian kerjasama pada minggu lalu. Buat masa ini BlackRock menguruskan aset pelaburan dengan nilai melebihi $10 trilion. Berdasarkan perkara ini, InvestAnswers percaya bahawa influks modal dana ke dalam mata wang kripto daripada para pelanggan BlackRock boleh menaikkan harga BTC kepada $773,000.

    “Jika BlackRock melaburkan 0.5% daripada keseluruhan asetnya ke dalam BTC, maka, dengan mengambil kira kadar leveraj, jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin akan bertambah sebanyak $1.05 trilion, ini bermakna harganya akan naik kepada $75,000. Saya rasa, berkemungkinan besar perkara ini akan berlaku. Jika pelanggan BlackRock melaburkan 1% daripada nilai pemilikan mereka, maka jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin akan naik sebanyak $2.1 trilion, manakala nilai bitcoin akan mencecah $173,000. Dan jika BlackRock melaburkan 5% daripada aset mereka, nilai bitcoin akan mencecah $773,000. Walaupun begitu saya rasa perkara ini agak agresif, ia mungkin akan berlaku dalam tempoh 3-5 tahun,” tulis penganalisis itu. (Harus maklum bahawa pengiraan InvestAnswers adalah tepat hanya jika melabur dengan kadar leveraj 1:21 atau lebih tinggi).

    Bagi mengakhiri ulasan ini, sedikit mengenai altcoin utama, ethereum, yang nilainya pulih lebih cepat berbanding bitcoin. Nilai pasangan BTC/USD telah naik kira-kira 40% sejak lapan minggu lalu, namun kadar pasangan ETH/USD telah bertambah hampir sebanyak 120%. Kebanyakan penganalisis menyatakan konsensus algoritma Proof-of-Work (PoW) yang dijangka akan diubah pada akhir September nanti kepada Proof-of-Stake (PoS) sebagai penyumbang kepada lonjakan bull ini. Malah, ketua Galaxy Digital, Mike Novogratz percaya bahawa nilai altcoin boleh mencecah ke paras $2,200 sebelum perubahan tersebut dilaksanakan. Namun menurut pengasas bersama ethereum iaitu Vitalik Buterin, lebih banyak perkara hebat yang akan ditunjukkan setelah rangkaiannya beralih kepada Proof-of-Stake. “Setelah penggabungan ini benar-benar selesai, saya jangkakan sentimen para pelabur akan menjadi bertambah baik,” jelas beliau. “Pada pendapat saya, […] impak penting terhadap kadar ETH akan dapat dilihat setelah proses penggabungan selesai.”

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami