November 26, 2022

EUR/USD: Dolar Susut Akibat Protokol FOMC

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 28 November -  2 Disember, 20221

  • Minggu lalu berakhir dengan tenang: Hari Kesyukuran disambut di AS. Namun punca sebenar kepada keadaan itu adalah disebabkan oleh penyusutan nilai dolar, dan hasilnya kadar EUR/USD naik melebihi 200 mata, daripada 1.0222 kepada 1.0448. Kenaikan itu menyebabkan kadarnya berada di atas paras pergerakan purata (SMA) 200 hari buat kali pertama dalam tempoh 17 bulan, sejak 16 Jun, 2021.

    Punca kepada penyusutan mata wang AS adalah disebabkan oleh unjuran berkenaan polisi kewangan Rizab Persekutuan AS. Peserta pasaran menjangkakan penggubal dasar itu akan memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka secara mendadak. Minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) untuk bulan November yang dikeluarkan pada 23 November lalu mengesahkan jangkaan mereka itu.

    Kenyataan yang dibuat adalah “Sebilangan daripada barisan pemimpin Rizab Persekutuan mendapati polisi kewangan sedia ada sudah pun berada pada tahap yang cukup ketat dalam memenuhi sasaran FOMC dan mereka bersedia untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah. Majoriti mereka yang bermesyuarat telah mempertimbangkan bahawa memperlahankan kadar pemulihan adalah langkah yang bersesuaian untuk masa terdekat ini.”

    Dalam masa yang sama, sebilangan ahli-ahli FOMC percaya bahawa kadar faedah mereka “sepatutnya berada pada paras yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan kadar yang diunjur sebelumnya” kerana kedua-dua kadar inflasi serta ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan ke atas ekonomi AS kekal berada pada paras yang agak tinggi. Setelah menggabungkan kedua-dua pendapat ini, bolehlah kami simpulkan bahawa kemuncak kepada pengetatan polisi kewangan (QT) mereka seharusnya adalah lebih tinggi daripada yang dirancang sebelum ini, namun kenaikan itu akan menjadi lebih panjang dan lebih berhemah.

    Jika diingat bahawa pihak Rizab Persekutuan telah menaikkan kadar mereka sebanyak 75 mata asas (bp) empat kali berturut-turut, dan kini pasaran menjangkakan kenaikan sebanyak 50 mata asas untuk bulan Disember dengan prospek setiap kenaikan sebanyak 25 mata asas pada tahun 2023. Buat masa ini kadar faedah utama dolar adalah 4.00%.

    Untuk kenaikan yang diambil oleh negara di seberang Atlantik, pihak ECB telah menaikkan kadar faedah euro sebanyak 50 mata asas pada Julai lalu dan 75 mata asas sebanyak dua kali selepas itu, kadarnya sekarang adalah 2.00%. Kadar kebarangkalian yang menganggarkan kenaikan sebanyak 50 mata asas untuk bulan Disember oleh pasaran swap adalah 62%, manakala 38% lagi menjangkakan kenaikan sebanyak 75 mata asas. Penggubal dasar Eropah itu juga mungkin akan melaksanakan setiap kenaikan sebanyak 25 mata asas pada tahun hadapan. Dalam hal ini, jurang antara kadar mata wang dolar dan euro akan terus sama, dan memberikan insentif kepada EUR/USD untuk turun sekali lagi di bawah paras pariti 1.000.

    Sedia maklum bahawa proses pengetatan polisi kewangan oleh pihak ECB setakat ini tidak memberi kesan buruk kepada ekonomi di Eropah. Lebih-lebih lagi, terdapat kaedah untuk mereka keluar daripada krisis bahan api yang disebabkan oleh sekatan yang dikenakan ke atas Rusia kerana melakukan serangan ketenteraan terhadap Ukraine. Negara-negara EU telah memutuskan untuk mengecualikan gas Rusia daripada pembelian bersama. Pesuruhjaya Sumber Tenaga Kesatuan Eropah iaitu Kadri Simson berkata bahawa EU telah berjaya menggantikan sepenuhnya minyak dari Rusia dengan bantuan sumber bahan api lain daripada sumber yang berbeza. Stor penyimpanan gas, terutama sekali di Jerman sudah pun diisi dengan penuh. Risiko untuk negara-negara Eropah berhadapan dengan ketiadaan elektrik mahupun bersejuk-sejuk pada musim sejuk ini telah dikurangkan secara drastik.

    Berlatarbelakangkan situasi ini, kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di Jerman naik daripada 45.1 kepada 46.7 dan bukan susut seperti yang dijangka, manakala kadar itu naik daripada 47.3 kepada 47.8 di Eurozone secara keseluruhannya. Kadar indeks suasana perniagaan IFO di Jerman juga mula pulih: realitinya kadar itu naik daripada 84.5 kepada 86.3 berbanding 85.0 yang diunjur. Statistik-statistik makro ini berserta dengan pertumbuhan kadar KDNK di Jerman sebanyak 0.4% untuk Q3 (0.1% pada  Q2, diunjur sebanyak 0.3%) memberikan lampu hijau kepada pihak ECB untuk menaikkan lagi kadar faedah mereka. Seperti yang diramal sebilangan penganalisis, hal ini mungkin seterusnya akan menolak kedudukan EUR/USD ke paras lebih tinggi, ke zon antara 1.0500-1.0600.

    Minggu lalu ditutup pada paras 1.0400, kedudukan di atas paras purata SMA 200 hari. Penganalisis di Scotiabank percaya bahawa hal ini mampu memperkukuhkan momentum bullish. Rakan sejawat mereka di Commerzbank berkata paras selesa bagi pasangan ini mungkin berada di antara 1.0400-1.0500. Umumnya, dalam kalangan penganalisis yang turut serta dalam kaji selidik, 30% daripadanya menjangkakan pertumbuhan berterusan pasangan ini, manakala 40% lagi menjangkakan penurunan. Baki 30% penganalisis pula mengunjurkan pergerakan mendatar pasangan ini. Gambarannya adalah berbeza dalam kalangan pengayun pada D1. 100% pengayun berwarna hijau, manakala 15% daripada kesemua itu berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, kesemua 100% memihak kepada warna hijau.

    Sokongan terdekat untuk EUR/USD berada pada paras yang hampir dengan 1.0380, kemudian paras dan zon 1.0280-1.0315, 1.0220-1.0255, 1.0130, 1.0070, 0.9950-1.0010, 0.9885, 0.9825, 0.9750, 0.9700, 0.9645, 0.9580 dan akhir sekali, paras terendah 28 September lalu iaitu 0.9535. Sasaran bear yang seterusnya adalah 0.9500. Bull akan berdepan dengan rintangan pada paras 1.0430-1.0450, 1.0480, 1.0620, 1.0750, 1.0865, 1.0935.

    Minggu hadapan akan dipenuhi dengan statistik makroekonomi. Data awal bagi indikator penting seperti kadar harga pengguna (CPI) di Jerman dan Eurozone yang masing-masing akan dikeluarkan pada hari Selasa, 29 November dan Rabu, 30 November. Data berkenaan pengangguran di Jerman serta kadar KDNK dan pasaran buruh AS juga akan diketahui pada hari Rabu. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell dijangka akan berucap pada hari yang sama. Hari Khamis akan membawakan data jualan runcit di Jerman serta kadar aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di AS. Menjadi kebiasaan untuk menantikan sebahagian daripada statistik di pasaran buruh AS pada hari Jumaat pertama setiap bulan yang jatuh pada 2 Disember, termasuklah kadar pengangguran dan jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di negara tersebut. 

GBP/USD: Berapa Lama Lagi Pertumbuhan Nilai Pound Akan Bertahan?

  • Walaupun unjuran bagi pound di peringkat global agak suram, senario bullish mengambil alih pasaran dilihat boleh berlaku untuk jangka masa pendek, ia disokong oleh kebanyakan penganalisis, 85% daripada indikator trend serta 100% pengayun pada D1. Pasangan GBP/USD mencecah paras tertingginya dalam masa tiga bulan pada hari Khamis, 24 November iaitu 1.2153. Seperti yang berlaku kepada euro dan mata wang negara G10 yang lain, punca kepada pertumbuhan ini bukanlah disebabkan oleh kejayaan yang dicapai pound, tetapi akibat penyusutan nilai dolar.

    Kedudukan terakhir bagi pasangan ini berada sedikit rendah berbanding paras maksimumnya, di sekitar 1.2095. Menurut pakar strategi di Scotiabank, mata wang British itu bangkit dengan kuat daripada paras terendah sepanjang zaman yang dicapai pada 26 September (1.0350) untuk berada pada kedudukan sekarang ini. Polisi fiskal di UK telah kembali stabil, keyakinan pasaran menjadi kukuh, dan trend ke atas pasangan ini dilihat agak stabil. Menurut Scotiabank, faktor-faktor ini seharusnya dapat membantu menstabilkan sebut harga GBP/USD di sekitar 1.2000 untuk masa terdekat nanti, malah mungkin naik lebih tinggi sedikit daripada itu.

    Penganalisis di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda menunjukkan sasaran yang lebih tinggi. “Kami percaya berada pada kedudukan yang betul telah memainkan peranan penting dalam pemulihan nilai pound, dan pertumbuhan pasangan GBP/USD yang bersifat sementara ke paras lebih tinggi di sekitar 1.22/23 akan dapat dilihat, sekali lagi mencecah kedudukan yang dianggap paras terbaiknya sepanjang tahun ini,” tulis mereka.

    Dalam masa yang sama, penganalisis tidak menolak akan wujudnya impuls bearish yang baru dan menumpukan perhatian kepada risiko-risiko yang bakal dihadapi pada hujung tahun ini serta awal tahun hadapan apabila Bank Persekutuan kebanyakan negara maju menaikkan kadar faedah mereka semasa ekonomi gawat. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, tekanan inflasi yang meningkat di UK boleh mendorong kepada kenaikan kadar faedah oleh Bank of England (BoE). Walau bagaimanapun, menurut kebanyakan pakar ekonomi, penggubal dasar negara itu mungkin akan mengelak daripada mengambil langkah drastik kerana pengetatan polisi kewangan yang melampau boleh meruntuhkan ekonomi UK untuk dua tahun. Mengikut unjuran, defisit akaun semasa di UK akan kekal melebihi 5% daripada jumlah KDNK antara tahun 2023-24. Hasil daripada langkah berhati-hati yang diambil seperti itu mungkin akan memulakan semula trend ke bawa mata wang British tersebut.

    Unjuran median untuk minggu hadapan tidak memberi sebarang petunjuk yang jelas: 45% penganalisis memihak kepada bull, peratusan yang sama memihak kepada bear, dan baki 10% lebih suka untuk bersikap neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 100% berwarna hijau, namun 25% daripadanya sudah memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, nisbah mereka yang memihak kepada warna hijau adalah 85% dan 15%, sama seperti minggu lalu. Paras dan zon sokongan bagi pasangan ini adalah 1.2030, 1.1960, 1.1800-1.1840, 1.1700-1.1720, 1.1600, 1.1475-1.1500, 1.1350, 1.1230, 1.1150, 1.1100, 1.1060, 1.0985-1.1000, 1.0750, 1.0500 serta paras terendah 26 September lalu iaitu 1.0350. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan menghadapi rintangan pada paras 1.2150, 1.2210, 1.2290-1.2330, 1.2425 dan 1.2575-1.2610.

    Antara peristiwa yang melibatkan ekonomi di United Kingdom, hari Khamis, 1 Disember menjadi tumpuan untuk minggu depan apabila kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di negara itu bagi bulan Disember akan dikeluarkan.

USD/JPY: Yen Berterima Kasih Kepada Rizab Persekutuan

  • Seperti yang ditulis oleh seorang penganalisis, “Seluruh dunia (kecuali AS) berterima kasih kepada minit mesyuarat Rizab Persekutuan yang mengukuhkan pengunduran bersifat dovish, mengganggu nilai dolar serta hasil bon AS, serta menunda penyusutan nilai mata wang di seluruh dunia.” Memang benar, kadar Indeks Dolar DXY dan juga hasil bon 10 tahun Perbendaharaan mencecah nilai paling rendah dalam tempoh 7 minggu.

    Disebabkan hasil bon-bon Perbendaharaan AS ini berkurangan, mata wang Jepun menjadi antara peneraju yang mengalami pertumbuhan, dan kadar USD/JPY meluru ke paras terendah bulan November sekali lagi, kali ini menemui kedudukannya pada paras 138.04.

    (Jika diingat terdapat korelasi yang agak stabil di antara kadar bon kerajaan AS dengan USD/JPY. Jika hasil sekuriti itu bertambah, maka nilai dolar berbanding nilai yen juga akan bertambah. Jika hasil bon 10 tahun Perbendaharaan berkurang, nilai yen akan bertambah, manakala pasangan kedua-dua mata wang itu akan membentuk trend ke bawah).

    Pakar strategi di United Overseas Bank (UOB) Singapura berkata jika nilai dolar terus lemah, pasangan ini mungkin akan menguji semula paras 137.70. Pakar strategi di ING melihat ke paras lebih rendah. Mengikut unjuran mereka, jika hasil bon 10 tahun perbendaharaan mengakhiri tahun 2023 dengan kadar 2.75%, pasangan USD/JPY mungkin akan berada di zon antara 125.00-130.00 pada waktu itu, zon tersebut adalah kawasan ia didagangkan antara bulan Mei-Ogos 2022. Bagi kemungkinan berlakunya lonjakan nilai dolar pada Disember ini, menurut ING, ia tidak mampu untuk meletakkan kedudukannya di atas zon 142.00-145.00. Tidak timbulnya persoalan sama ada ia akan memperbaharui paras maksimum yang dicapai 21 Oktober lalu mahupun lonjakan baru ke paras 152.00.

    Disamping itu, kita juga tidak harus lupa tentang Hari X yang dijadual akan berlaku pada 8 April tahun hadapan. Pada hari inilah Haruhiko Kuroda, ketua Bank of Japan akan meletakkan jawatan beliau, dan tempatnya mungkin akan digantikan dengan calon baru yang tidak terlalu berpendirian dovish. Perubahan seperti itu mampu mendorong kepada revolusi yang akan menolak USD/JPY ke bawah. Kemudian, mungkin ia boleh mengakhiri tahun 2023 benar-benar seperti yang dijangka oleh pakar strategi ING.

    Untuk situasi semasa, pasangan ini ditutup pada paras 139.05 minggu lalu. Hanya 10% penganalisis yang berharap pada hakikat bahawa dolar akan cuba mendapatkan semula sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerugian yang dialami, dan USD/JPY akan bergerak naik ke atas. 45% bersetuju dengan kejayaan untuk bergerak ke bawah serta penurunan yang baru. Baki 45% lagi bergelut untuk membuat sebarang ramalan. Untuk pengayun pada D1, gambarannya adalah seperti berikut: 100% menunjukkan penurunan, 10% daripada jumlah itu berada di zon lebihan jualan. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang memberi warna merah kelebihan adalah 85% berbanding dengan 15%.

    Paras sokongan kukuh paling hampir berada di zon antara 138.00-138.30, diikuti dengan paras dan zon 137.50-137.70, 136.00, 135.55, 134.55 dan zon di antara 131.35-131.75. Paras dan zon rintangan pula adalah 139.85, 140.60, 142.20, 143.75, 145.30, 146.85-147.00, 148.45, 149.45, 150.00 dan 151.55. Tugas utama bull adalah untuk naik dan menduduki paras di atas ketinggian 152.00. Selepas itu adalah paras tertinggi pada tahun 1990, di sekitar 158.00.

    Tiada sebarang peristiwa penting berkaitan keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: Pasaran yang Dipenuhi Khabar Angin dan Kegelisahan

  • Pasangan BTC/USD jatuh ke paras paling rendahnya dalam tempoh dua tahun pada hari Isnin, 21 November. Ia juga didagangkan di sekitar nilai $15,500 pada 21 November, 2020. Kali ini paras terendah mingguannya adalah $15,482. Pertambahan sentimen risiko yang menolak kadar indeks S&P500, Dow Jones serta Nasdaq ke atas telah menghalang mata wang kripto utama ini daripada turun lebih rendah. Sokongan lain telah diberi oleh minit mesyuarat Rizab Persekutuan sebelum ini yang disiarkan pada 23 November, dan pasaran melihat minit mesyuarat itu dipenuhi dengan sentimen dovish. Walaupun dengan hal-hal seperti itu, mata wang kripto masih berhadapan dengan tekanan bearish, dan kebanyakan penganalisis percaya bahawa keruntuhan pasaran yang baru tidak dapat dielakkan lagi daripada berlaku.

    Penganalisis di JPMorgan telah memberi amaran bahawa keruntuhan pasaran aset digital utama masih lagi belum berakhir, dan krisis FTX yang muflis mampu mendorong kepada “pembubaran bertindih”. Kini pasaran dicengkam dengan keresahan tentang Genesis, sebuah subsidiari dana Digital Currency Group (DCG) yang mungkin jatuh muflis. Perkara ini berlaku setelah syarikat itu gagal meraih dana sebanyak $1 bilion. Melihat kepada situasi Genesis yang sedang bergelut, cabang pembiayaan bursa kripto Gemini sudah pun membekukan aktiviti pengeluaran aset para pelanggan mereka. Bloomberg menganggarkan jumlahnya adalah sebanyak $700 juta.

    Para pelabur sudah pun berasa takut dengan bayang mereka sendiri. Kemudian pengasas bersama Ethereum iaitu Vitalik Buterin menambah lagi perasaan takut itu dengan menghantar satu ciapan Twitter misteri. Tanpa memberi sebarang butiran, beliau menulis “khabar angin yang tersebar adalah sesuatu yang penting akan berlaku.” Hampir pada masa yang sama, ada maklumat yang muncul entah di mana mengatakan beliau sedang menyingkirkan rizab Ethereum miliknya, dan perkara ini menambah lagi perasaan bimbang dalam kalangan komuniti kripto. Satu walet yang kononnya dimiliki oleh Vitalik Buterin telah menjual sebanyak 3,000 ETH yang dianggarkan berjumlah $3.75 juta pada tengah-tengah malam, beberapa jam selepas FTX runtuh.

    Jordan Belfort, seorang bekas broker saham yang disabitkan dengan jenayah penipuan dan sering dikenali sebagai The Wold of Wall Street percaya bahawa kebankrapan platform dagangan FTX adalah disengajakan, dan melabel Sam Bankman-Fried seorang sosiopat yang menjalankan skim beli dan jual.

    Penulis buku Rich Dad Poor Dad yang terkenal di dunia, Robert Kiyosaki cuba untuk meredakan keadaan yang tegang itu dengan berkata bahawa beliau masih lagi percaya tentang masa depan gemilang kedua-dua aset digital terunggul tersebut iaitu bitcoin dan ethereum. Menurut beliau, bitcoin tidak boleh disamakan dengan Sam Bankman-Fried. Situasi yang menyelubungi FTX harus dianggap sebagai kes khas, dan kesimpulan mengenai keseluruhan industri tidak boleh dibuat hanya berdasarkannya.

    Namun para pelabur dilihat tidak tergesa-gesa untuk mendengar nasihat Kiyosaki. Firma analisis Glassnode menyatakan dalam laporan mereka pada 21 November lalu bahawa kerapuhan pasaran yang berlaku baru-baru ini telah “menghancurkan keyakinan para pemilik bitcoin” dan musim dingin kripto bakal menjelma mengikuti jejak langkah yang pernah berlaku sebelum ini antara tahun 2018-2019. Menurut Glassnode, kebanyakan jerung (walet yang memiliki lebih daripada 1,000 BTC) kini sedang berada dalam keadaan hibernasi, menunggu tibanya masa yang sesuai.

    Ketika pasaran bear yang berlaku sebelum ini berada di kemuncaknya, nilai bitcoin susut sebanyak 84% daripada nilai maksimumnya. Ia hanya mengambil masa setahun untuk nilai aset itu susut menjadi $3,200 daripada $20,000 pada November 2018. Tempoh masa yang hampir sama diambil untuk turun sebanyak 77.3% dan jatuh daripada $69,000 pada 21 November kepada kitaran rendah yang baru iaitu $15,482 pada kali ini. Dalam masa yang sama, sesetengah penganalisis percaya bahawa BTC tidak boleh dijangka akan pulih dalam masa terdekat ini, kerana dorongan untuk ke atas pertama yang ketara hanya dapat dilihat setelah beberapa bulan berlalu selepas runtuhnya pasaran pada tahun 2018.

    Disamping itu, minggu lalu menyaksikan lonjakan keempat terbesar untuk kadar rugi terealisasi dengan jumlah harian sebanyak $1.45 bilion. Penyingkiran aset kripto oleh pemilik jangka panjang ini “biasanya satu petanda perasan takut serta menyerah kalah dalam kalangan kohort berpengalaman,” maklum laporan Glassnode itu.

    Mengikut platform IntoTheBlock, daripada 47.85 juta pemilik BTC, 24.56 juta (51%) sudah pun mengalami kerugian. Kira-kira 45% daripada jumlah keseluruhan walet masih lagi rugi, dan bakinya berada di zon balik modal. Menurut penganalisis IntoTheBlock, kali terakhir situasi yang sama dapat dilihat adalah setelah pasaran ini runtuh pada bulan Mac. Dalam masa yang sama, salah seorang daripadanya menambah bahawa jumlah walet yang tidak memberi keuntungan biasanya melebihi 50% ketika pasaran berada pada kedudukan terendahnya. Justeru, beliau memberi bayangan bahawa penurunan mata wang kripto ke paras yang lebih rendah tidak seharusnya dijangka. Namun, statistik menunjukkan perkara sebaliknya: jumlah walet yang mengalami kerugian mencecah 55% pada bulan Disember 2018, dan jumlah ini melebihi adalah 62% semasa trend bearish mendominasi pasaran pada tahun 2015.

    Arthur Hayes, bekas CEO BitMEX telah menambah lagi pendapat negatif untuk bitcoin dengan berkata ia akan turun ke paras $10,000. Pakar ekonomi AS iaitu Benjamin Cowen juga tidak menolak satu lagi penurunan akan berlaku. Beliau baru-baru ini telah menunjukkan perbandingan carta pasaran bear semasa dengan tiga carta yang sama sebelumnya, dan perbandingan itu menunjukkan bitcoin berada pada kedudukan yang sangat menarik buat masa sekarang ini. Dari suatu sudut, 379 hari telah berlalu sejak ATH (paras tertinggi dalam sejarah atau all time high) berjaya dicapai. Dalam dua pasaran bearish sebelum ini, tempohnya adalah masing-masing 363 hari pada tahun 2018 dan 410 hari pada tahun 2015. Pada satu sudut yang lain pula, kadar ROI (pulangan pelaburan atau return of investment) adalah sebanyak 0.247. Sebelum ini, kadarnya sering berada lebih rendah daripada 0.2 yang menunjukkan pasaran mungkin akan jatuh lebih rendah.

    Satu lagi carta telah disediakan oleh penganalisis kripto terkenal dengan nama gelaran Dave the Wave. Mengikut carta itu, bitcoin kini berada betul-betul di bahagian bawah lengkung LGC jangka masa panjang yang dari segi sejarahnya bertindak sebagai sokongan. Data lampau BTC sudah pun menunjukkan pergerakan harga di bawah lengkung ini: contohnya, pasaran bear pada tahun 2015 atau semasa runtuhnya pasaran ketika pandemik COVID-19 mula merebak pada bulan Mac 2020. Walau bagaimanapun, pada waktu itu penurunannya tidak bertahan lama, dan sokongan jangka panjang mata wang kripto berjaya dipulihkan dengan cepat. Kebiasaannya perkara ini memberi petunjuk bahawa pasaran bear akan berakhir dan permulaan kepada pasaran bull yang baru.

    Dave the Wave memaklumkan dalam komen mengenai carta beliau bahawa perhatian khusus harus diberikan pada akhir bulan ini. Menurut beliau, secara teknikalnya belum lagi ada sebarang bencana yang menimpa harganya, tetapi sempadan bawah pada model ini dilihat sukar untuk bertahan. Jika bitcoin ditutup pada nilai lebih rendah daripada $16,000 untuk bulan ini, berkemungkinan besar sokongan LGC akan ditembusi, dan penyusutan akan terus berlaku. Sebaliknya perkara sama akan berlaku: jika ia berjaya menahan dan bergerak naik ke atas, ia mungkin adalah satu isyarat untuk permulaan kepada pasaran bull yang baru.

    Dalam masa yang sama, semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 25 November), BTC/USD didagangkan di zon $16,520. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $0.833 trilion ($0.832 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 23 mata kepada 20 mata dalam masa tujuh hari dan gagal untuk keluar dari zon Extreme Fear.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami