Februari 4, 2023

EUR/USD: Tiga Minggu Keadaan Tidak Menentu

  • Mesyuarat Bank-Bank Persekutuan yang telah diadakan pada minggu lalu adalah benar-benar seperti yang dirancang. Seperti yang dijangka, kenaikan kadar utama yang diputuskan dalam mesyuarat Rizab Persekutuan AS adalah sebanyak 25 bp (basis point atau mata asas) dan kini mencecah 4.75%, manakala mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah pula menaikkan kadarnya sebanyak 50 bp, naik kepada 3.00%. Disebabkan keputusan yang diambil itu sendiri tidak memberi sebarang kejutan, peserta pasaran memfokuskan kepada perancangan penggubal-penggubal dasar tersebut untuk masa hadapan.

    Mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang seterusnya tidak akan diadakan dalam masa terdekat: pada 22 Mac, iaitu hampir dua bulan nanti. Pasaran menjangkakan mereka mungkin akan mengumumkan satu lagi kenaikan sebanyak 25 bp untuk menjadikan kadarnya 5.00%, dan kekal pada kedudukan tersebut selepas itu.

    Kadar Indeks Dolar DXY susut ke paras 100.80 iaitu kedudukan paling rendah yang baru sepanjang 9 bulan lalu pada hari Khamis, 2 Februari. Hal ini terjadi setelah pihak Rizab Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa gelombang kenaikan kadar yang berlaku sekarang ini sudah hampir dipenghujungnya. Statistik menunjukkan usaha penggubal dasar itu dalam menangani masalah ekonomi yang dihadapinya telah membuahkan hasil: kadar inflasinya adalah 9.1% (kadar tertinggi dalam tempoh 40 tahun) pada bulan Jun, dan telah turun kepada 6.5% pada bulan Disember. Hal ini memungkinkan untuk pengetatan kuantitatif (QT) mereka dihentikan. Para pelabur faham tentang petunjuk bersifat dovish yang diberi oleh ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell, yang mengaku buat pertama kalinya “proses deflasi telah pun bermula” semasa sidang media diadakan selepas berakhirnya mesyuarat. Beliau juga mengandaikan bahawa kadar tertingginya tidak akan lebih daripada 5.00% dan menegaskan bahawa Bank Persekutuan AS mampu mencapai kejayaan dalam menurunkan kadar inflasi tanpa menyebabkan kerosakan teruk pada ekonominya.

    Bagi Eurozone, seperti data yang ditunjukkan untuk bulan Januari, kadar inflasinya menurun untuk tiga bulan berturut-turut. Namun kenaikan harga asas barangan kekal pada kadar yang sama, walaupun harga sumber tenaga telah menurun. Mengikut unjuran, kadar inflasi di Eurozone dijangka akan mencecah 5.9% pada tahun 2023, turun kepada 2.7% pada tahun 2024, dan menjadi lebih rendah untuk tahun 2025 iaitu 2.1%. Pertumbuhan kadar pengangguran juga diunjur menjadi lebih rendah, manakala pertumbuhan kadar KDNK kekal pada nilai yang sama. Mengikut data awal yang dikeluarkan pada hari Rabu, 1 Februari, pertumbuhan ekonomi negara-negara Kesatuan Eropah akan berada pada kadar 1.9% untuk tahun 2022, lebih rendah berbanding kadar sebelum ini (2.3%) tetapi lebih tinggi daripada yang diunjur (1.8%).

    Berikutan daripada mesyuarat minggu lalu, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde berkata bahawa pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi di Eurozone menjadi lebih seimbang. Pihak ECB akan menilai perkembangan ekonominya selepas satu lagi kenaikan pada bulan Mac nanti. (Kenaikannya juga dijangka sebanyak 50 bp). Bila ditanya tentang kemungkinan kenaikan kadar yang lebih tinggi selepas 16 Mac nanti, Lagarde enggan memberikan sebarang komitmen. Hal ini memberi tekanan penurunan kepada euro, dan pasangan EUR/USD mengubah arah pergerakannya dan turun tanpa naik semula di atas paras 1.1031.

    Dolar mendapat dorongan kekuatan tambahan setelah data dari pasaran buruh AS yang menggalakkan dikeluarkan pada hari Jumaat, 3 Februari. Data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh (Bureau of Labor Statistics atau BLS) menunjukkan bahawa kadar pengangguran di negara itu turun daripada 3.6% kepada 3.4% dan bukan naik kepada 3.6% seperti yang diunjur, manakala jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) untuk bulan Januari pula naik sebanyak 517K, 2.8 kali lebih tinggi berbanding 185K yang diunjur, dan hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah yang dicatatkan pada bulan Disember iaitu 260K.

    Akibatnya, pasangan EUR/USD berakhir pada paras 1.0794. Jika diingat kedudukan terakhir pada hari Jumaat, 13 Januari adalah 1.0833, 1.0855 pada 20 Januari, dan 1.0875 pada 27 Januari. Kedudukan kesemua nilai ini yang begitu hampir (lingkungan 100 mata) mencadangkan bahawa pasaran masih belum menerima isyarat jelas di kedudukan manakah mereka harus sasarkan untuk masa terdekat nanti. Namun begitu, semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaaat, 3 Februari), mata wang AS memiliki kelebihan tertentu.

    Pakar kewangan Kumpulan UOB di Singapura mengatakan bahawa euro masih belum bersedia untuk bergerak menuju paras rintangan pada 1.1120, dan pasangan ini mungkin akan didagangkan pada julat antara 1.0820-1.1020 untuk 1-3 minggu seterusnya. Bagi unjuran median, 45% penganalisis menjangkakan nilai mata wang euro yang lebih kukuh, peratusan sama (45%) menjangkakan pengukuhan nilai dolar, dan baki 10% lagi mengambil pendirian neutral. Gambarannya adalah berbeza dalam kalangan indikator pada D1. 35% pengayun berwarna merah (satu pertiga sudah berada di zon lebihan jualan), 25% menunjukkan pertumbuhan dan 40% lagi berwarna kelabu neutral. Bagi indikator trend, 50% menyarankan untuk beli, 50% lagi pula jual. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di zon antara 1.0740-1.0775, kemudian paras dan zon antara 1.0700-1.0710, 1.0620-1.0680, 1.0560 dan 1.0480-1.0500. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0800, 1.0835-1.0850, 1.0895-1.0925, 1.0985-1.1030, 1.1120, dan selepas itu akan cuba untuk berada pada eselon antara 1.1260-1.1360.

    Hari Isnin, 6 Februari boleh ditandakan pada kalendar minggu hadapan apabila data harga pengguna di Jerman serta data jualan runcit di Eurozone akan dikeluarkan. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell pula dijangka akan berucap pada hari Selasa. Data kadar inflasi (CPI) yang terakhir di Jerman serta kadar pengangguran di AS akan diketahui pada hari Khamis, 9 Februari. Kadar Indeks Keyakinan Pengguna dari University of Michigan AS pula akan diketahui pada hari Jumaat, 10 Februari. 

GBP/USD: Teka-Teki BoE 

  • Kabus yang terkenal di London terus menyelubungi polisi kewangan Bank of England (BoE). Seperti ECB, penggubal dasar ini menaikkan kadar utama mereka sebanyak 50 bp pada hari Khamis, 2 Februari dan naik kepada 4.00%, namun dalam masa yang sama berpendirian lebih samar-samar dengan agak ketara. Hal ini telah menolak mata wang British ke bawah dari kedudukan tertingginya (1.2450) sejak pertengahan bulan Jun 2022, ke paras 1.2100. Bagi kedudukan terendah mingguannya, pasangan GBP/USD ini didagangkan lebih rendah pada paras 1.2046 setelah data NFP di AS dikeluarkan, dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.2050.

    Seperti yang sudah disebutkan tadi, masa depan sektor kewangan di UK agak samar-samar dan tidak menentu. Kami cuba untuk memahami apakah maksud disebalik kenyataan ketua pakar ekonomi BoE iaitu Hugh Pill semasa ditemu bual Times Radio pada hari Jumaat, 3 Februari. Kami berikan beberapa petikan. “Kita harus akui bahawa sudah banyak yang sudah kita capai” - "Banyak lagi langkah yang telah dirancang.” “Banyak perkara yang dilaporkan berita menjadi bertambah baik baru-baru ini” - "Kita perlu bersedia dengan sebarang kejutan.” “Kami berasa amat yakin bahawa inflasi akan turun tahun ini” - "Fokus sekarang adalah melihat jika inflasi akan turun lebih rendah atau tidak.” Untuk menjadikan perkara lebih baik, Hugh Pill berkata bahawa agak penting untuk Bank of England tidak mengubah polisi kewangan mereka secara “berlebihan”...

    Secara jujurnya, kami tidak dapat menentukan apakah yang dimaksudkan dengan “sedikit”, “banyak” dan “berlebihan” daripada kenyataan itu. Justeru, ini adalah pendapat yang diberi oleh pakar strategi di Commerzbank. “Sudah jelas bahawa kitaran kenaikan kadar faedah oleh Bank of England sudah hampir di penghujungnya,” mereka membuat kesimpulan. Mereka terus berkata: Biarpun Bank of England tidak berkata apa-apa tentang menamatkan kenaikan kadar, mengambil pendekatan yang lebih tegas dari sudut pasaran mata wang adalah lebih baik kerana keadaan sekarang yang sangat tidak menentu. Berlatarbelakangkan kenyataan itu, adalah tidak mengejutkan untuk nilai pound menjadi lemah, dan kami lebih rasa kedudukannya akan turun lebih rendah.”

    Pendapat pakar ekonomi di Commerzbank ini mendapat sokongan 55% penganalisis yang turut berasa “terdapat kemungkinan” penurunan lebih rendah GBP/USD boleh berlaku. Pandangan bertentangan diberi oleh 45% baki penganalisis. Dalam kalangan pengayun, warna merah juga adalah majoriti: kelebihan sebanyak 85% berbanding 15%. Namun begitu, dalam kalangan warna merah, 20% daripadanya menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan bagi pasangan ini berada pada zon dan paras 1.2025, 1.1960, 1.1900, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2085, 1.2145, 1.2185-1.2210, 1.2270, 1.2335, 1.2390-1.2400, 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

    Untuk perkembangan berkaitan ekonomi UK pada minggu hadapan, tumpuan boleh diberi pada hari Jumaat, 10 Februari apabila data KDNK di UK untuk sepanjang tahun 2022 dikeluarkan. Walaupun terdapat pertumbuhan berlaku pada Q4 (daripada -0.3% kepada 0.0%), kadar tahunannya dijangka akan turun daripada 1.9% kepada 0.4%.

USD/JPY: Pasaran Buruh Melemahkan Yen

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 6 - 10 Februari, 20231

  • Secara umum, pergerakan yen Jepun berbanding dolar adalah menyamai mata wang euro dan pound British pada minggu lalu. Namun, kadar kemeruapannya langsung tidak terkesan dengan keputusan yang diambil oleh ECB dan juga Bank of England. Dalam hal ini, faktor penentunya adalah perbezaan antara kadar faedah dolar (+4.75%) dan juga yen (-0.1%). Akibatnya, setelah mencapai kedudukan terendah mingguan pada paras 128.08, pasangan USD/JPY bergerak secara mendatar selepas mesyuarat Rizab Persekutuan, dan data pasaran buruh (NFP) di AS telah menolaknya ke atas pada hari Jumaat, lonjakan hampir 300 mata, ke paras 131.18. Aliran masuk dolar kepada mata wang selamat Jepun telah dihentikan para pelabur, dan mereka sekali lagi memutuskan untuk menjadikan mata wang Amerika sebagai mata wang selamat. Kedudukan terakhir mingguan USD/JPY berada pada paras 131.12.

    Pasaran kini akan menunggu tarikh 10 Mac untuk Gabenor Bank of Japan (BoJ) yang ada sekarang iaitu Haruhiko Kuroda mempengerusikan mesyuarat terakhir beliau. Beliau akan menamatkan perkhidmatannya pada 8 April, dan mesyuarat BoJ pada 28 April akan dipengerusikan oleh ketua Bank Negara yang baru. Pasaran menjangkakan mungkin pada mesyuarat itulah polisi kewangan penggubal dasar ini akan berubah. Namun begitu, sehingga tiba hari tersebut, campur tangan oleh pihak BoJ seperti yang dilakukan penggubal dasar itu antara Oktober-November 2022 lalu untuk menghentikan penyusutan lebih rendah mata wang kebangsaan mereka tidak boleh dikecualikan.

    Setakat ini, unjuran para penganalisis tidak memberi sebarang jangkaan yang jelas: 40% memihak kepada bull, 40% memihak kepada bear, dan 20% lagi memilih untuk tidak langsung memberikan sebarang ramalan.

    Dalam kalangan pengayun pada D1, 75% menunjukkan pertumbuhan (15% berada di zon lebihan jualan), 15% pula menjangkakan penurunan dan 10% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Sokongan paling hampir berada di zon 130.85, diikuti dengan zon dan paras 130.50, 129.70-130.00, 128.90-129.00, 128.50, 127.75-128.10, 127.00-127.25 dan 125.00. Rintangan berada di zon dan paras 131.25, 131.65, 132.00, 132.80, 133.60, 134.40 dan 137.50 selepas itu.

    Tiada sebarang perkara penting berkenaan ekonomi Jepun yang dijangka akan berlaku pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: BTC Telah Menjadi Aset Berlindung Risiko

  • Minggu lalu terbukti sekali lagi bahawa mata wang kripto ternama, terutamanya bitcoin sudah tidak lagi menjadi aset yang bebas. Sebut harganya, serta sebut harga lain-lain aset berisiko secara umumnya bergantung penuh kepada keputusan Rizab Persekutuan AS: nilai dolar AS berada di bahagian bertentangan dengan BTC/USD pada skala. Jika nilai dolar menjadi lemah, nilai bitcoin akan menjadi lebih tinggi, sama juga dengan perkara sebaliknya. Sudah pasti, keputusan penggubal dasar lain seperti pihak ECB atau People’s Bank of China turut memainkan peranan dalam menentukan harga aset maya itu, dan krisis dalaman seperti keruntuhan FTX juga boleh mengganggu pertumbuhan nilainya. Namun Rizab Persekutuan masih lagi menjadi penentu trend utama bagi BTC/USD.

    Bitcoin masih lagi satu aset yang menakjubkan. Seperti yang ramai orang katakan, ia berjaya menduduki dua buah kerusi pada tahun lalu. Yang pertama, hubung kaitnya dengan pasaran saham dan indeks saham S&P500, Dow Jones serta Nasdaq membolehkan ia dikategorikan sebagai aset berisiko. Namun sebaliknya, penganalisis di laman media kripto iaitu CryptoSlate telah menumpukan perhatian mereka terhadap korelasi mata wang kripto dengan… emas, aset yang dianggap sebagai insuran bagi menghadapi inflasi dan lain-lain risiko kewangan sejak zaman purba lagi. Menurut CryptoSlate, pertembungan antara pergerakan kedua-dua aset itu secara kebetulan telah mencecah kadar maksimum iaitu 83% sejak Februari 2022. Rupa-rupanya dalam masa yang sama bitcoin adalah aset berisiko dan juga aset pelindung. Seperti yang mereka katakan, kawan dalam kalangan orang asing dan orang asing dalam kalangan kawan.

    Menurut pakar ekonomi di Goldman Sachs, walaupun selepas kadar risikonya diubah, bitcoin sudah pun mengatasi prestasi yang ditunjukkan emas, pasaran saham dan sektor hartanah dari segi keuntungan dan terus berbuat demikian. Mata wang kripto utama itu kini menunjukkan permulaan tahun paling baik sejak Januari 2013. Sebelum ini kadarnya naik sebanyak 51%, kadar pertumbuhannya pula adalah 40% pada bulan lalu. Ia berlaku dengan berlatarbelakangkan nilai dolar AS yang lemah. “Dalam masa yang sama, 85% penyumbang kepada lonjakan nilai ini adalah berkait dengan pelabur dari Amerika Syarikat,” jelas Markus Thielen, ketua penyelidik di Matrixport, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan kripto. Pendirian bullish syarikat dari AS itu turut disahkan oleh pembaharuan premiun niaga hadapan bitcoin yang disenaraikan di Bursa Dagangan Chicago (Chicago Mercantile Exchange atau CME). Minat terbuka terhadap niaga hadapan BTC di Chicago Mercantile Exchange (CME) adalah lebih ketara mengatasi harganya, dengan kenaikan untuk bulan ke bulan sebanyak 77% kepada $2.3 bilion. “Kami mentafsir perkara ini sebagai satu petanda pedagang berinstitusi dan juga dana lindung nilai berpusu-pusu membeli semula dengan aktif selepas keruntuhan pasaran mata wang kripto yang berlaku baru-baru ini,” jelas Thielan.

    Sebelum ini, pada 20 Januari lalu, syarikat Deutsche Digital Assets turut memberikan pemerhatian yang sama dengan menekankan kepada kenaikkan premium Coinbase sebagai bukti pertambahan minat pembeli daripada pelabur-pelabur berinstitusi AS yang sofistikated.

    Satu kaji selidik oleh firma penasihat kewangan iaitu deVere Group menunjukkan 82% daripada kalangan hartawan turut mempertimbangkan untuk melabur dalam aset digital walaupun dengan cabaran yang mereka hadapi pada tahun 2022. 8 daripada 10 orang pelanggan yang mengambil bahagian, dengan nilai aset pelaburan antara $1.2 dan $6.1 juta datang mencari penganalisis kewangan mereka untuk mendapatkan nasihat berkenaan mata wang kripto.

    Nigel Green, CEO dan juga pengasas deVere Group percaya bahawa walaupun kumpulan yang menjalani kaji selidik ini “umumnya lebih bersifat konservatif,” minat yang ada timbul daripada nilai teras yang dimiliki bitcoin: “digital, global, tanpa sempadan, disentralisasi, dan selamat daripada akses yang tidak dibenarkan”. Green juga maklum dengan minat terhadap kripto daripada pelabur-pelabur kewangan berinstitusi lama seperti Fidelity, BlackRock dan JPMorgan yang semakin bertambah, menganggapnya sebagai satu petanda baik untuk industri. Beliau menjangkakan momentum kepada pertambahan minat ini akan terbentuk kerana “musim dingin kripto” tahun 2022 sudah mula berakhir disebabkan oleh perubahan keadaan pada  sistem kewangan tradisional. (Sebagai rujukan, laporan oleh Pricewaterhouse-Coopers untuk bulan Jun 2022 menunjukkan secara kasarnya satu pertiga daripada dana lindung nilai tradisional yang dikaji selidik sudah pun melabur dalam aset digital.)

    Keputusan yang hampir sama telah diperoleh para penganalisis dari Pureprofile. Kaji selidik mereka melibatkan 200 pelabur berinstitusi serta pengurus-pengurus aset dari AS, EU, Singapura, UAE dan juga Brazil. Jumlah keseluruhan dana yang diurus para responden adalah sebanyak $2.85 trilion. Sembilan daripada sepuluh orang pelabur yang dikaji selidik lebih memihak kepada pertumbuhan nilai mata wang kripto terunggul itu pada tahun 2023, manakala 23% lagi percaya bahawa nilai BTC akan melebihi $30,000 menjelang akhir tahun ini. Untuk jangka masa panjang, 65% responden bersetuju bahawa nilai coin tersebut akan menembusi paras $100,000.

    Bukan saja jerung, malah pelabur-pelabur kecil juga terus bersifat optimis, walupun dengan kejutan yang dramatik pada tahun lalu. Mengikut statistik, jumlah keseluruhan walet digital dengan baki $1,000 atau lebih dalam bentuk bitcoin mahupun ethereum naik sebanyak 27% pada tahun 2022. Mengikut kaji selidik berkenaan, lebih daripada 88% pelanggan bursa kripto Binance merancang untuk terus melabur dalam mata wang kripto, dan hanya 3.3% yang tidak mempertimbangkan kemungkinan itu. Bitcoin masih lagi menjadi aset dominan, dimiliki oleh 21.7% daripada mereka yang menyertai kaji selidik.

    Lebih daripada 40% responden telah membeli aset digital pada tahun lalu dengan tujuan untuk pelaburan. Antara sebab lain adalah penurunan nilai bitcoin dan juga trend bearish yang berlaku. Hampir 8% memetik situasi geopolitik yang melanda dunia sebagai sebab untuk membuat pembelian, manakala 11.5% menunjukkan rasa tidak percaya terhadap sistem kewangan tradisional. 40.8% tidak menggunakan kaedah pelaburan tradisional (membeli saham, pelaburan hartanah, dana bersama), sementara itu 32.4% tidak menggunakannya. Dalam masa yang sama, 79.7% berasa yakin bahawa mata wang kripto adalah sesuatu yang diperlukan untuk perkembangan ekonomi dunia, dan 59.4% responden pula percaya deposit dalam bentuk mata wang kripto akan menggantikan deposit bank pada satu hari nanti.

    Hartawan dan juga pengasas syarikat Galaxy Digital Holdings Ltd iaitu Mike Novogratz yang berjaya menempuh tahun 2022 yang mencabar, kini komited dalam penghasilan bitcoin untuk jangka masa panjang setelah membeli fasiliti penghasilan Helios di Texas, AS dengan nilai $65 juta. Mengikut anggaran penganalisis popular Plan B yang terkenal dengan model “Stock-to-Flow”, harga bitcoin akan mencecah $1 juta menjelang tahun 2025 dan Mike Novogratz boleh mendapat pulangan yang lebih banyak berbanding kos yang beliau keluarkan dengan harga tersebut. Untuk tahun ini, Plan B menjangkakan nilainya akan naik melebihi $100,000. Penganalisis itu juga berkata lonjakan nilai yang berlaku pada bulan Januari lalu mengesahkan kitaran harga terendah bitcoin sepanjang 4 tahun sudah pun berakhir.

    Menurut pemerhatian data-data lampau oleh penganalisis di Matrixport, sementara sebut harga bitcoin pada carta berada di zon “hijau” untuk bulan Januari (kedudukannya memang di situ), menjadi kebiasaan untuk lonjakan harga terus berlaku pada bulan berikutnya dalam tahun yang sama. Berdasarkan perkara ini, mereka menjangkakan nilai mata wang kripto terunggul itu boleh mencecah $45,000 menjelang Hari Krismas 2023.

    Pedagang mata wang kripto terkenal iaitu Peter Brand menganggap kegembiraan yang dirasai bull adalah terlalu awal dan masih tetap dengan ramalan bearish untuk masa terdekat ini. Seperti yang penganalisis tersebut maklum, ramai pedagang serta pelabur yang kini menunggu nilainya susut sedikit agar dapat menyertai pasaran dengan harga yang lebih rendah. Penganalisis itu percaya bahawa pasaran mata wang kripto terunggul ini mungkin akan mencecah $25,000 tidak lama lagi, dan akan berlakunya pembetulan selepas itu hampir pada paras $19,000. Namun, untuk jangka masa sederhana, Brand masih berasa optimis dan beliau menjangkakan nilai bitcoin akan naik kepada $65,000 pada pertengahan tahun ini.

    Penganalisis kripto iaitu Benjamin Cowen yang mengatakan bitcoin mendahului masa “bertahun-tahun” lamanya juga memberi amaran terhadap keriangan pramatang ini. Menurut penganalisis itu, BTC mungkin dilihat telah menerima pemangkin yang agak kuat, namun hakikatnya aset ini mungkin dalam proses membentuk julat mendatar yang agak besar sebagai dasarnya. Cowen menjelaskan bahawa pergerakan mendatar tidak semestinya akan dijadikan indikator kepada pertumbuhan harga mata wang kripto pertama itu dan boleh jadi ia menjadi petunjuk kepada penurunan sebut harganya.

    Penganalisis itu mengingatkan para pedagang bahawa kitaran bearish biasanya diikuti dengan pergerakan mendatar selama setahun. Maka, terdapat tiga pergerakan impuls ke atas yang berlaku pada tahun 2015, namun hanya satu saja lonjakan yang menjadi kenyataan. Terdapat juga tempoh pertumbuhan sebut harga yang berlaku pada tahun 2019, kemudian ia diikuti dengan penurunan, dan kitaran yang membawa pasaran kripto ke paras tertinggi yang baru hanya bermula selepas itu. Cowen maklum bahawa tahun 2023 boleh dilihat sebagai tahun pengumpulan dan para pelabur mengambil kesempatan untuk menambah pemilikan BTC mereka sepanjang tempoh ini. Disamping itu, beliau percaya bahawa Rizab Persekutuan AS harus melonggarkan polisi kewangan mereka agar harga mata wang kripto dapat bertumbuh. (Mesyuarat kali terakhir penggubal dasar ini memberikan harapan perkara tersebut boleh berlaku).

    Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 3 Februari), BTC/USD didagangkan di zon $23,400. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.082 trilion ($1.060 trilion minggu lalu). Indeks Fear & Greed Kripto, satu metrik bagi menunjukkan sikap dalam kalangan komuniti terhadap bitcoin secara umumnya telah memasuki zon Greed buat pertama kali sejak 30 Mac, 2022, menunjukkan bacaan 60 mata (55 mata minggu lalu). Jelaslah bahawa semua ini berlaku akibat pertumbuhan kadar coin tersebut pada bulan pertama tahun ini serta kebangkitan semula pasaran ini secara umumnya. Namun, penting untuk mengetahui bahawa pertambahan keyakinan dalam kalangan pelabur kripto tidaklah seharusnya dilihat secara terus sebagai pemangkin kepada penyambungan pertumbuhan bullish harga bitcoin. Hakikatnya, metrik Fear atau Extreme Fear boleh menandakan peluang baik untuk membuat belian, manakala bacaan Greed yang tinggi boleh membawa maksud pasaran sedang menuju kepada pembetulan ke bawah.

    Pada penghujung ulasan ini, kami berikan satu lagi petua hidup kripto untuk ruangan separa jenaka kami. Kali ini kami ingin menarik perhatian para pemilik BTC ke Nigeria. Rupa-rupanya di negara inilah kita benar-benar boleh mendapat untung. Berita yang baru dikeluarkan menyebut harga bitcoin pada bursa terkenal di negara itu iaitu NairaEX naik hampir kepada $40,000 mengikut nilai mata wang tempatan, harga yang 70% lebih tinggi berbanding sebut harga pasaran global. Rupa-rupanya, perbezaan harga yang berlaku itu adalah disebabkan oleh had pengeluaran wang daripada mesin ATM yang dikenakan oleh Bank Negara Nigeria. Justeru, tuan-tuan dan puan-puan, jangan lupa tentang urusan arbitraj, ia juga boleh memberikan banyak pulangan. Yang penting harus tahu apa, di mana, bila dan berapa harga untuk beli dan jual.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami