Mac 11, 2023

EUR/USD: Pasaran Buruh AS Menghalang USD

  • Pendirian Jerome Powell menyebelahi mata wang dolar pada minggu lalu. Pastinya, Pengerusi Rizab Persekutuan itu sedar bahawa pasaran menjangkakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bp) akan diputuskan pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang berikutnya. Namun beliau tidak menolak bahawa organisasi di bawah pimpinan beliau itu boleh mengambil langkah yang lebih drastik dalam membendung kadar inflasi dan menaikkan terus kadar faedah sebanyak 50 bp pada 22 Mac nanti. Lebih-lebih lagi, kadar faedah paling tinggi yang dijangka sebelum ini mampu mencecah sehingga 5.00-5.25%. Kini, Powell dan rakan sejawatnya tidak menolak bahawa kadar maksimumnya akan menjadi 5.50%. (Malah, menurut pakar strategi di Commerzbank, kenaikan kepada 6.00% juga mungkin boleh berlaku).

    Maka, bagi mengelak daripada timbulnya sebarang kejutan, ketua Rizab Persekutuan itu mengambil keputusan untuk memberitahu pasaran tentang keputusan ini. Kenyataan terhadap Kongres AS yang dibuat pada hari Selasa, 7 Mac lalu begitu bersifat hawkish, dan disebabkan itu kadar Indeks DXY Dolar memperbaharui paras tertingginya bagi tahun 2023, mencecah 105.86, manakala kadar EUR/USD pula susut lebih daripada 170 mata, mencecah paras  terendah mingguan pada 1.0523. Kebarangkalian untuk kadar faedah dinaikkan sebanyak 50 bp pada bulan Mac nanti meningkat kepada 70% (kadar kemungkinan itu adalah antara 23-30% seminggu lalu, dan kadar yang sama oleh pasaran dianggarkan hanya sebanyak 9% pada bulan lalu).

    Walau bagaimanapun, dolar gagal mempergunakan kelebihan yang ada, dan pasangan EUR/USD mengalami pertumbuhan pada pertengahan minggu. Data daripada pasaran buruh AS telah mempengaruhi kepada penyusutan itu. Jumlah permohonan awal bagi manfaat pengangguran telah diketahui pada hari Khamis, 9 Mac, jumlahnya adalah 211K berbanding 195K yang dijangka dan 190K untuk bulan lalu. Indikator ini telah melebihi jumlah 200K buat pertama kali sejak pertengahan bulan Januari serta mencapai jumlah paling tinggi sejak akhir Disember 2022. Disamping itu, para spekulator jangka masa pendek telah mula membuat jualan USD sebelum laporan pasaran buruh untuk bulan Februari dikeluarkan pada hari Jumaat, 10 Mac. Mereka membuat keputusan yang betul kerana dolar terus mengalami kerugian. Laporan tersebut menunjukkan bahawa jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) adalah sebanyak 311K, jumlah yang lebih banyak berbanding 250K yang diunjurkan, namun lebih rendah daripada nilai pada bulan Januari - 503K. Bersama-sama dengan peningkatan jumlah pengangguran sebanyak 3.6% (diunjur 3.4% dan kadar 3.4% untuk bulan Januari), data-data ini menunjukkan kelembapan ekonomi di negara itu, dan seterusnya mungkin akan merencatkan semangat hawkish ahli-ahli FOMC. Perkara ini disahkan oleh dinamik pasangan EUR/USD yang melonjak ke ketinggian 1.0700 hanya beberapa jam setelah laporan berkenaan dikeluarkan.

    Untuk mata wang euro pula, data makro dilihat agak neutral pada minggu lalu. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jerman yang menjadi penggerak kepada ekonomi Eropah kekal pada paras yang sama dan memenuhi jangkaan - 8.7% untuk tahun ke tahun.

    Kedudukan terakhir minggu lalu berada pada paras 1.0638. Walaupun nilai dolar susut pada hari-hari terakhir minggu lalu, 80% penganalisis menjangkakan mata wang tersebut akan menjadi kukuh tidak lama lagi, dan baki 20% pula mengambil pendirian neutral, tiada siapa pun yang bersetuju dengan pertumbuhan nilai euro. Dalam kalangan pengayun pada D1, 25% berwarna merah, 25% lagi berwarna hijau, manakala 50% pula berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 80% mengesyorkan untuk beli, 20% - jual. Sokongan terdekat bagi pasangan ini berada di antara paras 1.0600-1.0620, kemudian di zon dan paras 1.5000-1.0530, 1.0440, 1.0375-1.0400, 1.0300 dan 1.0220-1.0255. Bull pula akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0650, 1.0700, 1.0740-1.0760, 1.0800, 1.0865, 1.0930, 1.0985-1.1030.

    Terdapat statistik ekonomi yang agak banyak untuk minggu hadapan. Lebih-lebih lagi, ia pastinya akan memainkan peranan penting dalam keputusan yang akan diambil oleh pihak Rizab Persekutuan dan juga ECB. Data kadar inflasi pengguna (CPI) di AS akan diketahui pada hari Selasa, 14 Mac. Data jualan runcit di negara itu, beserta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS akan dikeluarkan pada keesokan harinya. Keputusan Bank Negara Kesatuan Eropah mengenai kadar faedah euro akan dibuat pada hari Khamis, 16 Mac, kadarnya dijangka akan dinaikkan sebanyak 50 bp, daripada 2.50% kepada 3.00%. Sudah pasti, sidang media dan kenyataan oleh pihak pengurusan ECB yang akan diadakan selepas itu juga akan menjadi tumpuan para peserta pasaran. Akhir sekali, kadar CPI di Eurozone akan diketahui pada hari terakhir minggu bekerja, pada 17 Mac.

GBP/USD: Kemeruapan yang Tinggi, Tiada Sebarang Hasil

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 13 - 17 Mac, 20231

  • Keputusan yang ditunjukkan oleh GBP/USD sepanjang lima hari lalu hampir tiada walaupun mencapai kadar turun naik sebanyak 310 mata. Pasangan ini mengakhiri minggu bekerja pada paras 1.2025, kembali berada di zon tengah saluran mendatar antara 1.1920-1.2145. Punca kepada dinamik ini adalah sama seperti yang berlaku kepada EUR/USD kerana kedua-duanya memberikan reaksi terhadap situasi yang berlaku di AS. Tiada sebarang statistik makro penting yang dikeluarkan di United Kingdom sepanjang minggu sehinggalah hari Jumaat, 10 Mac, apabila data KDNK serta penghasilan industri untuk bulan Januari dikeluarkan.

    Indikator pertama menunjukkan peningkatan daripada -0.5% kepada +0.3% dengan unjuran +0.1%, sebaliknya indikator kedua pula susut. Pengeluaran pembuatan di UK turun daripada 0.0% kepada -0.4% untuk bulan Januari dengan unjuran sebanyak -0.1%, sementara itu jumlah pengeluaran industri adalah -0.3% untuk bulan ke bulan berbanding nilai sebenar -0.2% dan +0.3% yang diunjur untuk bulan Disember. Maka, data KDNK telah menambah sikap optimis bull terhadap pound, namun data pengeluaran industri pula melemahkannya sedikit.

    Menurut pakar strategi di Commerzbank, pihak Bank of England (BoE) mungkin tidak akan membantu mata wang British itu. Jika diingat bahawa ucapan ketua Bank of England (BoE) iaitu Andrew Bailey menambah lagi kekeliruan dengan berkata keputusan akhir mengenai prospek polisi kewangan Bank Negara British masih belum lagi dicapai, dan penggubal dasar itu harus lebih fleksibel untuk beberapa bulan akan datang agar tidak membimbangkan pasaran. Selagi penggubal dasar ini terus kekal bersikap berjaga-jaga dan tidak bertindak seperti Rizab Persekutuan serta ECB, nilai pound mungkin akan terus berhadapan tekanan ke bawah. Bank of England mungkin akan bertindak seperti mengejar dan bukannya membendung kadar inflasi yang tinggi secara aktif, dan mendorong kepada penurunan lebih rendah kadar GBP/USD.

    Unjuran median para penganalisis untuk minggu hadapan adalah hampir sama seperti ramalan untuk EUR/USD: 75% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang menjadi lebih kukuh serta penurunan kadar GBP/USD, manakala baki 25% lagi enggan memberikan sebarang unjuran. Dalam kalangan pengayun pada D1, keseimbangan skala adalah seperti berikut: 35% bersetuju dengan warna hijau, 35% lagi memihak warna merah, dan baki 30% pula memihak kepada warna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan jelas memihak kepada warna hijau: 75% berbanding 25% yang memihak warna merah. Sokongan bagi pasangan ini berada di zon dan paras 1.1985-1.2000, 1.1960, 1.1900-1.1925, 1.1840, 1.1800, 1.1720 dan 1.1600. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2055, 1.2075-1.2085, 1.2145, 1.2185-1.2210, 1.2270, 1.2335, 1.2390-1.2400, 1.2430-1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan juga 1.2940.

    Untuk statistik makro di British yang akan dikeluarkan, hari Selasa, 14 Mac minggu hadapan boleh ditandakan kerana data bagi jumlah pengangguran serta penggajian di United Kingdom akan diketahui.

USD/JPY: Keputusan Bergantung Sepenuhnya Kepada Dolar

  • Mesyuarat Bank of Japan (BoJ) telah diadakan pada penghujung minggu lalu, pada hari Jumaat, 10 Mac, dan dipengerusikan oleh bekas ketuanya iaitu Haruhiko Kuroda buat kali terakhir. Ia berlangsung seperti yang dijangka: pihak Bank Negara Jepun tidak mengubah sebarang parameter polisi kewangan mereka yang teramat longgar, dan kadar faedah mereka sekali lagi kekal pada paras negatif -0.1% seperti sebelum ini.

    Berucap pada sidang terakhir beliau, Haruhiko Kuroda memberikan komen terhadap hasil mesyuarat Bank Negara itu dengan berkata bahawa kesan positif daripada pelonggaran polisi kewangan adalah lebih besar daripada kesan buruk. Dalam masa yang sama, beliau maklum bahawa penggubal dasar itu “tidak akan teragak-agak untuk meneruskan polisi kewangan yang longgar jika perlu” dan “penting untuk terus melonggarkannya supaya dapat mendorong syarikat-syarikat menaikkan kadar gaji.” Kazuo Uedu, CEO baru BoJ mungkin akan mengikuti jejak langkah ketua sebelumnya itu. Setidak-tidaknya, tiada siapa harus menjangkakan tindakan mendadak akan diambil beliau.

    Buat masa ini, mata wang Amerika menjadi penentu dalam hal tersebut, seperti yang berlaku terhadap mana-mana pasangan dolar lain. Setelah data pasaran buruh di AS dikeluarkan, nilai dolar susut ke paras terendah yang baru di seluruh dunia, manakala kadar niaga hadapan untuk indeks saham AS berubah menjadi positif. Jika USD/JPY didagangkan pada kadar 137.90 pada hari Selasa, 8 Mac, ia turun ke paras terendah mingguannya iaitu 134.10 pada 10 Mac, dan mengakhiri minggu pada paras 135.05 setelah mengalami pembetulan.

    Untuk prospek masa terdekat, 75% penganalisis buat masa ini bersetuju dengan penurunan pasangan ini ke bawah, 25% menunjukkan arah yang bertentangan. Dalam kalangan pengayun pada D1, 25% menunjukkan pertumbuhan, 40% menunjukkan penurunan, manakala 35% lagi menjangkakan pergerakan mendatar. Bagi indikator trend, 40% menunjukkan pertumbuhan, 60% lagi menunjukkan penurunan. Sokongan terdekat berada di zon 134.75, diikuti dengan zon dan paras 134.00-134.35, 133.60, 132.80-133.20, 131.85-132.00, 131.25 130.50, 129.70-130.00.  Rintangan berada di zon dan paras 135.15, 136.00-136.30, 136.70-137.10, 137.50, 139.00-139.35, 140.60, 143.75.

    Antara perkara yang akan berlaku minggu hadapan, kami boleh tumpukan kepada minit mesyuarat Bank of Japan pada minggu lalu yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 15 Mac. Namun begitu, dokumen ini mungkin tidak akan memberi tanggapan serius kepada peserta pasaran.

MATA WANG KRIPTO: Keadaan yang Membimbangkan. Bolehkah Ia Menjadi Lebih Teruk?

  • Bitcoin terus berdepan dengan tekanan daripada bermacam-macam berita buruk. Posisi bullish untuk tahun 2023 berjumlah $94 juta telah dicairkan dalam masa satu hari sahaja iaitu pada hari Khamis, 10 Mac dan ia adalah rekod paling banyak setakat ini. Penganalisis di Santiment telah merekodkan sentimen negatif secara besar-besaran terhadap mata wang kripto. Mood suram para pelabur serta peserta pasaran telah dipengaruhi oleh:

    1. Pembubaran bank kripto Silvergate. Setelah dagangannya di Bursa Saham New York ditutup pada 8 Mac, Silvergate Capital Corp., syarikat dari Amerika yang menguruskan bank tersebut telah mengumumkan keputusan mereka untuk menghentikan aktiviti bank berkenaan dan membubarkannya secara sukarela. Melihat kepada jumlah pelanggan yang besar yang dimiliki oleh Silvergate, keputusan ini mampu mengakibatkan kesan domino seperti yang dialami tahun lalu.

    2. Kerajaan AS yang berpotensi menjual bitcoin berjumlah $1 bilion.

    3. Polisi kewangan Rizab Persekutuan yang mungkin akan diketatkan, keputusan yang mampu menurunkan kesemua sebut harga aset berisiko, termasuklah saham dan mata wang kripto.

    4. Tindakan keras berterusan terhadap bursa-bursa kripto. Pada 9 Mac, pejabat pendakwa raya New York telah memfailkan saman terhadap KuCoin berhubung kegagalannya untuk mendaftarkan bursa itu sebagai broker sekuriti di Amerika Syarikat. Hakikatnya, semua ini berlaku setelah Peguam Negara iaitu Letitia James serta Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler menganggap altcoin sebagai satu bentuk sekuriti.

    5. Akhir sekali, sebagai kemuncaknya, cadangan barisan pentadbiran Presiden AS Biden yang ingin mengharamkan syarikat-syarikat kripto daripada pengolahan cukai serta mengenakan cukai elektrik sebanyak 30% terhadap para penghasil. Pengolahan cukai adalah satu transaksi kewangan yang dibuat sesuatu syarikat dengan kerugian yang belum direkodkan, mereka terlebih dahulu menjual aset kripto yang dimiliki dan terus membelinya semula selepas itu, bertujuan untuk mengurangkan jumlah cukai. Pengenalan kepada cukai 30% terhadap penggunaan elektrik boleh memberi tamparan hebat bukan saja kepada penghasil-penghasil di Amerika, malah juga terhadap industri secara keseluruhannya.

    Pada pendapat kami, terdapat begitu banyak berita buruk dalam masa yang singkat. Mari kita bincangkan sedikit tentang perkara baik pula sekarang ini. Menurut penganalisis di Credible Crypto, buat masa ini terdapat kira-kira 73% daripada keseluruhan jumlah coin BTC dimiliki oleh pemilik berpengalaman yang sudah biasa diduga dan mampu bertahan dengan situasi kripto yang paling teruk. Santiment turut mengingatkan bahawa keadaan negatif seperti itu telah mendorong kepada pertumbuhan harga ke atas yang ketara sebelum ini.

    CEO syarikat Eight Global iaitu Michael Van De Poppe turut maklum dengan betapa pentingnya beberapa minggu akan datang buat bitcoin. “Jumlah modal pasaran boleh jatuh kepada $860 juta, mengheret sekali keseluruhan pasaran ke bawah,” beliau memberi amaran. Mengikut unjuran penganalisis itu, harga bitcoin mungkin akan turun kepada $19,700. Jika diingat beliau ada mengatakan baru-baru ini bahawa dalam situasi paling teruk sekali, nilai terendahnya mungkin akan menjadi lebih rendah, pada paras $18,000, dan nilai coin tersebut akan naik selepas itu dan boleh mencecah kepada $40,000 pada tahun ini.

    Felix Zulauf, pengasas syarikat dana lindung nilai Zulauf Consulting memberi gambaran bahawa bitcoin akan mengalami lonjakan bull yang jelas pada lewat musim bunga nanti. Penganalisis itu tidak menolak bahawa nilai aset berkenaan mampu mencecah $100,000 setelah mengikuti trend lonjakan mendadak. Walaupun dengan dinamik bearish, penganalisis di Credible Crypto turut kekal optimis dengan prospek jangka masa sederhana aset kripto terunggul ini. Mereka bersetuju dengan Felix Zulauf yang berkata bitcoin mungkin akan mencecah nilai paling tingginya pada tahun ini. Namun, sebelum berlakunya trend bull yang berterusan, pada pendapat mereka aset ini akan berdepan dengan beberapa halangan. (Kami telah senaraikan lima halangan di atas)

    Arthur Hayes, bekas CEO dan pengasas bersama bursa kripto BitMEX percaya bahawa lonjakan nilai bitcoin akan bermula semasa ekonomi global mengalami krisis minyak mentah. Beliau berpendapat, lonjakan harga bahan hidrokarbon yang naik mendadak akan menghasilkan satu keadaan untuk nilai aset digital bertumbuh, lebih-lebih lagi, nilai bitcoin.

    Logik Hayes adalah seperti ini: berlatarbelakangkan ketegangan geopolitik dunia, permintaan untuk sumber bahan api akan terus meningkat kerana pengeksport minyak mungkin akan mengurangkan penghasilan mereka. Dalam situasi ini, Amerika Syarikat sebagai peneraju utama kuasa ekonomi akan meningkatkan pengeluaran minyak mereka sendiri. Rizab Persekutuan akan terpaksa melonggarkan polisi kewangan mereka bagi merangsang aktiviti perniagaan dalam sektor bahan api. Sebaik saja penggubal dasar itu mula menurunkan kadar faedahnya, modal akan kembali mengalir ke dalam aset berisiko, termasuklah mata wang kripto. Disamping itu, bekas ketua BitMEX itu turut sedar bahawa bekalan terhad BTC juga akan menyumbang kepada pertumbuhan nilainya kerana dolar AS akan menjadi lebih lemah.

    Wajar di sini untuk memetik data daripada platform analisis WooBull yang menyatakan bahawa kadar inflasi bitcoin sekarang setidak-tidaknya adalah tiga kali lebih rendah berbanding dolar AS. Ini mungkin membolehkan BTC bertindak sebagai aset lindung nilai terhadap susut nilai modal dan juga keadaan ekonomi yang tidak menentu. Statistik menunjukkan bahawa kadar inflasi mata wang kripto pertama itu terus susut sejak ia mula-mula diperkenalkan pada tahun 2009 dan berjumlah 1.79% setakat 4 Mac lalu. Dalam pada itu, indikator yang sama untuk USD telah mencecah 6.4% pada tahun 2023, 3.57 lebih tinggi berbanding BTC.

    Penurunan kadar inflasi bitcoin adalah berpunca daripada model deflasi aset itu sendiri, disokong oleh pengurangan penghasilannya yang melambatkan proses penghasilan coin serta mengurangkan ganjaran yang diterima para penghasil. Para penganalisis juga percaya bahawa indikator ini akan terus rendah akibat proses disentralisasi BTC yang mampu mengelak daripada berdepan risiko politik dan ekonomi yang biasa dialami dolar AS, mata wang yang akan menunjukkan kadar inflasi bertentangan. Punca utamanya adalah peningkatan bekalan wang yang berlebihan, penurunan permintaan dan/atau pengurangan penghasilan.

    Dalam pada itu, semasa ulasan ini dibuat (pada 10 Mac, jam 23:00 waktu pelayan NordFX), pasangan BTC/USD didagangkan di zon $20,700. (laporan kadar penggajian di AS telah memberi sedikit kelebihan pada sebut harga). Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto pada minggu lalu berada di bawah paras psikologi penting $1 trilion dan berjumlah $0.937 trilion ($1.024 trilion pada minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 50 mata kepada 34 mata dalam masa seminggu dan beralih daripada zon Neutral kepada zon Fear.

    Ramalan yang dibuat oleh penganalisis kripto terkenal dan juga hos bagi saluran YouTube DataDash iaitu Nicholas Merten juga membangkitkan kebimbangan. Beliau tidak menolak untuk berlakunya satu lagi keruntuhan besar-besaran ethereum yang baru. Menurut penganalisis itu, jika kita mengambil kira pasaran bear sebelum ini dalam membuat jangkaan, nilai ETH boleh susut lebih 90% daripada nilai tertingginya, ini bermakna nilainya akan menjadi ratusan dolar saja. “Perjalanan ETH/USD masih lagi panjang. Hanya 67% penyusutan yang telah direkodkan,” jelas Merten. “Jika kita lihat sekali lagi apa yang berlaku pada pasaran bear sebelum ini, katakanlah 92 peratus pembetulan atau 94 peratus pembetulan, nilai ETH akan jatuh kepada beberapa ratus dolar. Perbezaannya sangat ketara, daripada $870 kepada kira-kira.”

    Menjadi kebiasaan untuk kami cuba mengakhiri ulasan dengan sesuatu yang optimis. Namun, adakah kita akan berdepan dengan satu lagi musim dingin kripto yang lebih teruk dan bukannya kebangkitan setelah berjaya menempuh kedinginan kripto yang panjang ini? Namun begitu, mari terus berharap kalendar kripto akan berkorelasi secara terus dengan kalendar ekonomi yang biasa. Sekarang adalah bulan pertama dalam musim bunga, ia sepatutnya akan diikuti dengan sinaran hangat musim panas pula.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Material ini bukanlah cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami