April 16, 2023

EUR/USD: Nilai Dolar Terus Menjadi Lemah

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 14 – 21 April, 20231

  • Kadar indeks dolar DXY memperbaharui paras paling rendah sepanjang tempoh 12 bulan pada minggu lalu, manakala kadar EUR/USD pula melonjak ke paras tertinggi (1.1075) sejak 4 April, 2022. Nilai mata wang AS terus lemah untuk lima minggu berturut-turut: siri penurunan paling panjang sejak musim panas tahun 2020.

    Mata wang dolar menerima tamparan hebat pada hari Rabu, 12 April lalu apabila data indeks inflasi pengguna (CPI) serta minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS dikeluarkan. Statistik menunjukkan bahawa kadar harga masih berada dalam kawalan manakala kadar inflasi pula turun secara konsisten untuk sembilan bulan berturut-turut, daripada 9.1% tahun ke tahun kepada kadar semasa 5.0% tahun ke tahun. Kadar Indeks Pengeluar AS (PPI) yang dikeluarkan keesokan harinya turut menunjukkan penurunan kadar inflasi, walaupun hanya untuk kadar asas, tekanan terhadap kadar harga di AS dilihat masih lagi stabil.

    Berkenaan Protokol Rizab Persekutuan, para ahli FOMC telah berbincang mengenai kebarangkalian untuk menghentikan sementara kenaikan kadar faedah akibat masalah yang dialami sektor perbankan semasa bermesyuarat pada 22 Mac lalu. Maklumat mengenai ekonomi AS yang mungkin akan berdepan dengan kegawatan bersifat sederhana turut dibincangkan. Namun, kadar faedahnya mungkin akan dinaikkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa itu yang seterusnya pada 3 Mei nanti. Mengikut unjuran FedWatch daripada syarikat CME, kadar itu mungkin akan naik sebanyak 25 mata asas (bp) lagi menjadikannya 5.25% bagi setiap tahun.

    Kenaikan ini sudah pun diambil kira oleh pasaran dalam sebut harganya dan mungkin tidak akan memberi sebarang sokongan terhadap mata wang dolar. Lebih-lebih lagi, kadar 5.25% mungkin adalah kadar tertingginya sehingga penghujung tahun, dan mula turun selepas itu. Pasaran niaga hadapan menjangkakan perbelanjaan dana negara akan berada pada kadar antara 4.30-4.40% pada Disember 2023, dan ia akan turun menjadi lebih rendah antara 4.12-4.20% pada Januari 2024.

    Pertumbuhan kadar inflasi yang perlahan serta berakhirnya kitaran pengetatan polisi kewangan Rizab Persekutuan telah memberi tekanan kepada dolar, menolak kadar DXY ke bawah. Dalam masa yang sama, unjuran menjangkakan bahawa Bank Negara Kesatuan Eropah akan terus mengetatkan polisi mereka buat masa ini, tidak seperti Rizab Persekutuan. Perkara ini disahkan sendiri oleh salah seorang Ahli Lembaga Gabenor ECB, Presiden Bundesbank iaitu Joachim Nagel. Beliau menyatakan pada hari Selasa, 13 April bahawa kenaikan kadar perlu diteruskan kerana kadar inflasi teras di Eurozone masih lagi sangat tinggi.

    Data jualan runcit di AS yang dikeluarkan di hari-hari terakhir minggu bekerja, pada hari Jumaat, 14 April dapat memberi sedikit sokongan kepada mata wang AS itu. Walaupun susut, kadar jualan turun lebih perlahan berbanding jangkaan. Berbanding kadar -0.4% yang dijangka dan -0.2% untuk nilai kadar sebelum ini, realitinya, penurunan hanyalah sebanyak -0.1%. Peserta pasaran menganggap dinamik seperti itu memberi kelebihan kepada dolar, dan hasilnya, pasangan EUR/USD mengakhiri minggu lalu pada paras 1.0993. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 14 April, kadar perbezaan pendapat para penganalisis adalah hampir sama: 45% daripada mereka menjangkakan nilai dolar menjadi lebih lemah, 45% lagi menjangkakan pengukuhan, dan baki 10% berpendirian neutral. Bagi analisis teknikal, kesemua pengayun dan juga indikator trend pada D1 adalah 100% berwarna hijau. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada pada paras 1.0975, kemudian 1.0925, 1.0865-1.0885, 1.0740-1.0760, 1.0675-1.0710, 1.0620 dan 1.0490-1.0530. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.1050-1.1070, kemudian 1.1110, 1.1230, 1.1280 dan 1.1355-1.1390.

    Kami menjangkakan statistik ekonomi di EU yang banyak akan diketahui pada minggu hadapan. Kadar Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Jerman, negara penggerak utama ekonomi di Eropah akan dikeluarkan pada hari Selasa, 18 April. Hari Rabu, kita akan mengetahui secara menyeluruh kadar inflasi (CPI) di Eurozone. Hari Khamis pula, minit mesyuarat kali terakhir pihak ECB mengenai polisi kewangan mereka akan dikeluarkan, manakala pada hari Jumaat, 21 April, kadar indikator aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di Jerman serta kadar keseluruhannya di negara itu akan diketahui. Tiada statistik makro yang penting di AS dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan. 

GBP/USD: Keadaan Menjadi Lebih Baik Berbanding Jangkaan

  • Berlatarbelakangkan nilai dolar yang lemah, keadaan GBP/USD masih lagi baik, dan ia berjaya memperbaiki paras tertinggi pada pagi Jumaat, 14 April, mencecah ketinggian 1.2545. Mata wang pound telah lama tidak didagangkan pada kadar setinggi itu sejak awal bulan Jun 2022. Namun, setelah data jualan runcit di AS dikeluarkan selepas itu, dolar memperbaiki kedudukannya, dan pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.2414.

    Bagi ekonomi di UK sendiri, kadar KDNK yang dikeluarkan pada hari Khamis, 13 April menunjukkan ekonominya terbantut pada kadar 0.0% untuk bulan Februari, berbanding 0.1% yang diunjur serta kadar 0.3% untuk bulan sebelum ini. Pertumbuhan jumlah pengeluaran dalam industri pembuatan juga berada pada kadar 0.0% untuk bulan Februari berbanding 0.2% yang dijangka dan -0.1% pada Januari lalu, sementara itu jumlah pengeluaran industrinya masih lagi berada di zon negatif -0.2% berbanding 0.2% yang diunjur dan -0.5% pada bulan sebelum ini. Dari segi tahunan, kadar pengeluaran pembuatan adalah -2.4%, mengatasi jangkaan sebanyak -4.7%. Jumlah hasil pengeluaran industri susut sebanyak -3.1% berbanding -3.7% yang diunjur serta kadar -3.2% sebelum ini. Data bagi imbangan dagangan barangan di UK juga telah dikeluarkan pada minggu lalu, jumlahnya adalah £17.534 bilion untuk bulan Februari, lebih tinggi berbanding £17.000 bilion yang diunjur dan juga nilai sebelum ini iaitu £16.093 bilion.

    Apakah maksud nilai-nilai ini? Bersama-sama dengan data kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) yang dikeluarkan pada 3 April dan kekal di atas paras 50 mata, statistik-statistik ini memberi harapan kepada para pelabur bahawa ekonomi British mampu mengelak daripada mengalami kemelesetan. Perkara ini seterusnya memberi sokongan kepada mata wang negara itu. Perkara ini disahkan sendiri pada 13 April oleh Setiausaha Perbendaharaan British iaitu Jeremy Hunt yang mengatakan bahawa prospek ekonomi negaranya dilihat lebih cerah berbanding jangkaan. “Disebabkan langkah-langkah yang telah diambil, kita berjaya mengelak daripada mengalami kegawatan,” beliau memberi jaminan kepada para penonton.

    Komen Ketua Pakar Ekonomi Bank of England (BoE) iaitu Hugh Pill juga dilihat agak optimis. Menurut beliau, walaupun “pendorong kepada inflasi mungkin menjadi lebih sukar untuk dijangka,” pihak Bank Negara itu masih mengunjurkan penyusutan kadar CPI untuk Q2 pada tahun ini. “Kadar terbaru agak mengecewakan,” jelas Hugh Pill, “namun ia adalah lebih baik berbanding kadar yang diunjur BoE pada hujung tahun lalu.” Pakar ekonomi itu turut maklum bahawa sistem perbankan di UK masih lagi selamat dan mampu bertahan, manakala dinamik inflasi menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju polisi kewangan BoE.

    Buat masa ini, 75% penganalisis memihak kepada pound dan menjangkakan pertumbuhan lebih tinggi pasangan itu, baki 25% lagi memihak kepada dolar. Dalam kalangan pengayun pada D1, keseimbangan skala adalah seperti berikut: 65% bersetuju dengan warna hijau (10% sudah memberi isyarat terlebih beli), 10% adalah berwarna merah dan baki 25% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan juga memihak kepada warna hijau, jumlahnya adalah 65%, warna merah pula adalah 35%. Sokongan untuk pasangan ini berada di zon dan paras 1.2390-1.2400, 1.2330, 1.2275, 1.2200, 1.2145, 1.2075-1.2085, 1.2000-1.2025, 1.1960, 1.1900-1.1920, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke at as, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2440-1.2455, 1.2480, 1.2510-1.2540, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2820 dan 1.2940.

    Antara perkara yang boleh ditanda dan diingat pada kalendar untuk minggu hadapan adalah data pengangguran terkini di United Kingdom yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 18 April. Hari Rabu, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan diketahui, dan pada hari Jumaat pula, statistik jualan runcit serta kadar aktiviti perniagaan (PMI) di UK akan diketahui.

USD/JPY: Bank of Japan Boleh Stabil Dengan Sendiri

  • Sejak Disember lalu, pasangan USD/JPY telah bergerak dalam julat yang agak besar di antara 129.00-138.00. (Kecuali semasa nilai yen menjadi kukuh dengan singkat kepada 127.15 pada pertengahan Januari). Pasangan ini mengakhiri minggu lalu hampir berada di tengah-tengah, pada paras 133.75, menunjukkan bahawa tiada dorongan penting yang mampu menolak pasangan ini dengan kuat sama ada ke atas mahupun ke bawah.

    Kami telah berulang kali nyatakan bahawa walaupun selepas Gabenor Bank of Japan (BoJ) sebelum ini iaitu Haruhiko Kuroda melepaskan jawatannya, Bank Negara itu “akan terus menyokong polisi beliau yang sedia ada wajar dan mencukupi.” Perkara ini disahkan sekali lagi oleh Kazuo Ueda, ketua penggubal dasar baru yang memulakan perkhidmatan beliau pada 9 April lalu. Beliau menyatakan pada sidang kemuncak G20 bahawa beliau akan memberi sokongan kepada polisi kewangan yang sangat longgar. Disamping itu, Ueda berkata bahawa kadar inflasi utama pengguna di Jepun yang kini hanyalah berjumlah kira-kira 3% mungkin akan turun di bawah kadar 2% untuk enam bulan terakhir tahun fiskal kali ini. Kesimpulan yang dibuat para peserta pasaran daripada kenyataan itu adalah tiada gunanya untuk Bank of Japan menaikkan kadar faedah mereka bagi membendung inflasi, justeru tidak berbaloi menjangkakan perubahan arah kadar faedah BoJ dalam masa terdekat. (Jika diingat pakar ekonomi di Societe Generale serta ANZ Bank menjangkakan perkara ini masih lagi boleh berlaku pada sekitar bulan Jun).

    Berkenaan prospek jangka masa pendek untuk USD/JPY, pendapat penganalisis adalah terbahagi seperti berikut. Buat masa ini, 40% penganalisis bersetuju dengan pergerakan lebih tinggi pasangan ini ke atas, 50% lagi memberikan arah bertentangan dan 10% pula bersikap neutral. Dalam kalangan pengayun, 75% menunjukkan pertumbuhan pada D1 (satu pertiga daripadanya berada di zon lebihan belian), 10% melihat pada arah bertentangan dan 15% lagi berpendirian neutral. Bagi indikator trend, 85% menunjukkan pertumbuhan, baki 15% lagi menunjukkan penurunan. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di zon antara 132.80-133.00, kemudian zon dan paras 132.00-132.40, 131.25, 130.50-130.60, 129.65, 128.00-128.15 dan 127.20. Rintangan berada pada paras dan zon 134.00, 134.90-135.10, 135.90-136.00, 137.00, 137.50 dan 137.90-138.00.

    Tiada sebarang statistik penting berkaitan keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Nilai Dolar yang Lemah Mengukuhkan Nilai Bitcoin

  • Nilai bitcoin naik melebihi $30,000 pada hari Selasa, 11 April buat pertama kalinya sejak Jun 2022. Kenaikan ini berlaku disebabkan oleh sektor perbankan yang tidak stabil serta jangkaan bahawa penggubal dasar penting, terutama sekali pihak Rizab Persekutuan yang akan menggantung kenaikan kadar faedahnya. Kadar Indeks Dunia MSCI melonjak naik pada hari Jumaat, 14 April ke paras tertingginya sejak awal Februari. Hal ini mengesahkan hakikat bahawa para pelabur antarabangsa menunggu keputusan Bank Persekutuan Amerika untuk menghentikan polisi pengetatan kuantitatif (QT) mereka, dan tidak lama lagi, giliran Bank-Bank Negara utama yang lain. Berlatarbelakangkan perkara ini, nilai mata wang kripto utama itu berjaya mengatasi prestasi kelas aset-aset utama lain seperti emas dan juga minyak mentah. Disamping itu, BTC juga telah mengatasi prestasi kebanyakan mata wang kripto utama lain dari segi dinamik pergerakannya.

    Pada pertengahan minggu, bear berpeluang untuk menolak pasangan BTC/USD kembali berada pada paras sokongan $29,000. Walau bagaimanapun, pihak Rizab Persekutuan sekali lagi menjadi penyelamat: penyiaran minit mesyuarat FOMC untuk bulan Mac, ditambah dengan statistik makro di AS telah melemahkan nilai dolar, mengembalikan kelebihan kepada bitcoin.

    Peningkatan sebut harga BTC telah membawa keseluruhan pasaran kripto ke atas. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto telah bertambah lebih daripada 55% sejak awal tahun 2023, naik di atas jumlah $1.2 trilion. Namun, walaupun dengan jumlah itu, ia masih lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah tertinggi sepanjang zaman iaitu $2.9 trilion yang direkodkan pada November 2021.

    Terdapat beberapa orang penganalisis yang sebelum ini pernah menyampaikan pendapat mereka tentang perkara yang telah berlaku pada 11 April lalu. Michael Van De Poppe, pakar strategi terkenal yang juga pengasas syarikat pelaburan Eight sedia maklum bahawa bitcoin telah berjaya mengatasi ujian pada paras $28,600, mendorongnya untuk menembusi paras rintangan dan mencapai kedudukan $30,000. Seorang penganalisis dengan gelaran PlanB telah menghantar ciapan Twitter dan menyatakan bahawa kesemua sasaran yang beliau tetapkan pada Oktober 2022 lalu telah berjaya dicapai sekarang. Pada waktu itu, penganalisis tersebut menjangkakan bahawa sebut harga BTC akan melepasi paras $21,000, $24,000, dan kemudian $30,000. Seorang lagi blogger dan penganalisis popular, Lark Davis telah menekankan bahawa akan tiba masanya apabila membeli bitcoin dengan harga kurang daripada $30,000 dilihat sebagai pembelian hebat seperti membeli BTC dengan harga $3,000 sekarang ini.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat 14 April, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $30,440. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.276 trilion ($1.177 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 64 mata kepada 68 mata dalam masa tujuh hari dan masih berada di zon Greed. Apakah yang akan berlaku selepas ini?

    Penganalisis terkenal dengan nama gelaran PlanB sedar bahawa bitcoin telah keluar daripada zon bear yang dalam dan kini berada pada permulaan pasaran bull yang baru. Menurut PlanB, model Stock to Flow (S2F) yang beliau bangunkan masih lagi relevan. Penganalisis itu mendakwa bahawa pada akhirnya fundamental yang ada pada bitcoin akan membolehkan ia berada pada nilai tertinggi sepanjang zaman (ATH) iaitu $69,000 yang direkodkan pada November 2021. Sebelum ini PlanB telah mengunjurkan nilai bitcoin akan naik daripada $100,000 kepada $1 juta setelah penghasilannya dikurangkan pada tahun 2024 nanti. (Jika diingat model S2F (nisbah stock-to-flow) yang diguna untuk meramal nilai BTC mengukur hubung kait antara bekalan aset yang ada dengan jumlah pengeluarannya telah berulang kali dikritik oleh ahli-ahli komuniti kripto).

    Larry Lepard, rakan pengurusan di syarikat ekuiti yang berpengkalan di Boston iaitu Equity Management Associates juga dilihat sangat optimis dengan unjuran jangka masa panjang. Menurut beliau, nilai dolar akan terus susut dalam masa 10 tahun akan datang, dan masyarakat akan mula melabur dalam mata wang kripto, emas dan hartanah secara aktif. Bekalan bitcoin adalah terhad, maka aset digital tersebut akan menjadi instrumen pelaburan yang dicari-cari dan mampu mendapat manfaat daripada keruntuhan mata wang fiat. ”Saya percaya bahawa harga bitcoin akan naik dengan banyak. Saya rasa nilainya akan mencecah $100,000 pada mulanya, selepas itu $1 juta dan akhir sekali naik menjadi $10 juta bagi setiap coin. Saya pasti anak cucu saya akan berasa terkejut setelah mengetahui betapa kayanya seseorang itu hanya dengan memiliki satu bitcoin,” jelas Lepard dalam satu temu bual.

    Berhubung dengan ramalan tersebut, ahli perniagaan itu berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa yang akan menyukarkan keadaan dalam industri kripto, cuba untuk memperlahankan pertumbuhan populariti aset digital. Sebagai contoh, pihak berkuasa boleh menaikkan kadar cukai keuntungan yang diperoleh daripada dagangan bitcoin dan juga mengetatkan undang-undang supaya lebih sukar untuk syarikat-syarikat startup memasuki pasaran. Walau bagaimanapun, Lepard yakin bahawa bitcoin mampu untuk mengharungi kesukaran-kesukaran itu dan mengecap kejayaan dalam jangka masa panjang.

    Kebanyakan penganalisis bersetuju bahawa keadaan makro ekonomi untuk jangka masa panjang menunjukkan kadar BTC mungkin akan bertambah. Namun anggaran yang mereka berikan menerima kekangan jika melihat kepada kenaikan nilai semasa. Ini disebabkan oleh hakikat bahawa kadar kecairan bitcoin adalah lebih rendah berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu. Hal ini dizahirkan dalam bentuk penyebaran harga yang lebih besar dalam kalangan bursa-bursa terkemuka. (Dalam ulasan sebelum ini, kami nyatakan bahawa dari satu sudut, terdapat pertambahan jumlah dagangan, dari sudut yang lain pula, kadar kecairan BTC turun ke paras paling rendah dalam tempoh 10 bulan).

    Namun begitu, sudah tentu prospek pada tahun ini sebahagian besarnya akan bergantung kepada keputusan bank-bank negara yang diketuai oleh Rizab Persekutuan AS. Jika diingat bahawa rekod tertinggi untuk jumlah keseluruhan modal pasaran kripto yang dicatatkan pada November 2021 juga adalah hasil daripada tindakan yang diambil oleh penggubal dasar itu, membanjiri ekonomi dengan wang murah yang besar jumlahnya (unit kewangan M2 naik sebanyak 39%, menjadikannya satu anomali mengikut piawaian sebelum-sebelum ini). Lebih-lebih lagi, kadar faedahnya pada waktu itu hampir kepada sifar yang mengakibatkan kepada kewujudan gelembung dalam pasaran aset berisiko, termasuklah saham dan juga mata wang digital. Kemudian pihak Rizab Persekutuan beralih daripada pelonggaran kuantitatif (QE) kepada pengetatan kuantitatif (QT) menerusi kitaran kenaikan kadar faedah paling cepat dalam masa 40 tahun, dan … gelembung itu pun pecah.

    Agak mustahil untuk bercakap mengenai prospek mata wang kripto terunggul ini tanpa menyebut nama individu yang masih menganggapnya sebagai satu gelembung dan menjangkakan keruntuhan terakhirnya. Dieter Wermuth, seorang pakar ekonomi dan juga rakan kongsi di Wermuth Asset Management berkata pada minggu lalu bahawa keadaan ekonomi akan menjadi lebih baik dan lebih ringkas tanpa kewujudan bitcoin. Pada pendapat beliau, pelaburan berisiko ini sering dikaitkan dengan kos-kos sosial, dan mata wang kripto itu sendiri tidak menyumbang apa-apa terhadap kemakmuran global. Jika bitcoin dianggap sebagai satu mata wang, maka BTC akan ditakdirkan untuk gagal jika mengambil kira kadar kecairan yang sangat tinggi serta kadar penggunaannya yang kecil. Berdasarkan perkara-perkara ini, tidak pelik untuk menyingkirkan bitcoin sama sekali: kemakmuran bersama menjadi bertambah baik kerana melabur dalam mata wang kripto adalah sesuatu yang merugikan dan mengurangkan jumlah wang daripada keseluruhan pertumbuhan ekonomi. Disamping itu, bitcoin turut mewujudkan perpecahan sosial, mendorong kepada penggubahan wang haram, lari daripada cukai, dan penggunaan sumber yang tinggi untuk penghasilannya. Malah Dieter Wermuth menggelar bitcoin sebagai “pemusnah iklim terbesar.”

    Mereka yang menentang mata wang kripto tanpa disangka-sangka menerima sokongan daripada … sistem kepintaran buatan. Bot ChatGPT menyebut tentang pembentukan portfolio pelaburan yang dapat bertahan daripada keadaan gawat. Mengikut dokumen yang telah dikeluarkan oleh Gold IRA Guide, adalah disyorkan untuk memperuntukkan 20% ke dalam emas dan lain-lain logam berharga. Jenis aset lain yang boleh dimasukkan ke dalam portfolio hipotesis itu termasuklah bon (40%), saham “stabil” (30%) dan juga wang tunai (10%). Chatbot itu tidak menyebut apa-apa tentang mata wang kripto, sesuatu yang dapat menggembirakan pengkritik bitcoin serta penyokong emas terkenal iaitu Peter Schiff. “Sememangnya, kepintaran buatan adalah sesuatu yang agak bijak. Ia langsung tidak mengesyorkan tentang mana-mana deposit bitcoin,” jelas pelabur itu.

    Sebelum itu, menjawab persoalan mengenai mata wang kripto manakah yang memiliki masa depan paling cerah, jawapan ChatGPT bukanlah bitcoin, tetapi ethereum. Sudah pasti, kepintaran buatan tidak mengetahui segala berita terkini, namun jawapan itu ternyata agak tepat. Dalam ulasan sebelum ini, kami jelaskan mengenai hard fork Shapella yang membolehkan para pengesah mengeluarkan coin ETH beku yang telah dilaburkan dan terkunci dalam rangkaian sejak tiga tahun lalu dalam bentuk faedah. Para pelabur dan pedagang berasa amat bimbang pencairan seperti itu boleh mendorong kepada gelombang jualan secara besar-besaran, dan hasilnya, nilai coin tersebut turun mendadak. Namun, kita masih dapat lihat proses sebaliknya berlaku selepas itu: pada 13 Mac, kadar ETH/USD adalah melebihi $2,000, manakala pada petang Jumaat, 14 April, ia didagangkan di zon $2,100.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami