April 29, 2023

EUR/USD: Menunggu Mesyuarat Rizab Persekutuan dan ECB

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 01 – 05 Mei, 20231

  • Faktor utama yang menjadi penentu kepada dinamik Indeks Dolar AS (DXY) dan, seterusnya kepada pasangan EUR/USD untuk minggu lalu adalah … keadaan senyap sepi. Jika baru-baru ini ucapan daripada wakil Rizab Persekutuan hampir menjadi panduan pasaran yang paling penting, maka keadaan senyap sunyi pula mengambil alih daripadanya sejak 21 April. Sementara menunggu sidang akhbar oleh Jerome Powell selaku Pengerusi Rizab Persekutuan selepas berakhirnya mesyuarat FOMC untuk bulan Mei, kesemua barisan kepimpinan penggubal dasar itu diarahkan untuk berdiam diri. Hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum berlangsungnya mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang akan menjadi penentu kepada masa depan polisi kewangan penggubal dasar tersebut, dijadualkan pada 2/3 Mei. Tambahan pula, pada hari Khamis, 4 Mei, pihak Bank Negara Kesatuan Eropah juga akan bermesyuarat, pertemuan yang akan menentukan kadar faedah mereka. Secara umumnya, tempoh lima hari akan datang sudah pasti menjanjikan keadaan yang tidak suram setidak-tidaknya.

    Data dan berita makroekonomi dari kedua-dua belah Lautan Atlantik itu sudah pastinya telah mengakibatkan keadaan turun naik untuk EUR/USD pada minggu lalu. Namun, keputusan akhirnya adalah hampir tiada: jika kedudukan terakhirnya pada hari Jumaat, 21 April berada pada paras 1.0988, maka pada hari Jumaat, 28 April pula, kedudukan terakhirnya tidaklah begitu jauh: pada paras 1.1015.

    Antara data yang patut diberi perhatian adalah penyiaran laporan oleh First Republic Bank (FRC), sebuah bank yang berada dalam kelompok 30 bank paling tinggi jumlah keseluruhan modal pasarannya di AS. Laporan inilah yang menyebabkan nilai dolar menjadi semakin lemah serta pertumbuhan kadar pasangan ini yang melebihi 100 mata pada hari Rabu, 26 April.

    Krisis perbankan yang melanda disebabkan oleh pengetatan polisi kewangan (QT) Rizab Persekutuan dilihat mula reda… Malah Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen telah memberi jaminan mengenai daya ketahanan yang dimiliki sektor perbankan kepada orang ramai. Namun kemudian… malapetaka yang baru menimpa First Republic Bank (FRC). Untuk mengelak daripada bankrap serta menyokong nilai likuiditi pada Q1 2023, satu konsortium bank telah memindahkan deposit tanpa cagaran berjumlah $30 bilion kepada FRC. Sebanyak $70 bilion lagi dalam bentuk kredit telah diberikan oleh pihak JPMorgan. Namun, semua itu tidak mencukupi: para pelanggan bank tersebut mula lari, dan saham FRC jatuh sebanyak 45% dalam masa dua hari, susut 95% daripada nilainya sejak awal tahun ini. Dalam bulan Mac saja, para pelanggannya telah mengeluarkan wang sebanyak $100 bilion daripada bank itu. Jadi, kebarangkalian untuk First Republic Bank berada di kedudukan nombor 4 dalam senarai bank utama AS yang bankrap adalah tinggi. Jika pihak Rizab Persekutuan tidak menghentikan kitaran QT mereka, terdapat kemungkinan yang tinggi nombor 5, 6, 7, dan seterusnya akan muncul dalam senarai tersebut.

    Walau bagaimanapun, seperti yang sudah kami jelaskan dalam ulasan sebelum ini, kadar faedah utama hanya akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (FedWatch oleh CME menganggarkan kebarangkalian sebanyak 72% untuk kenaikan ini) pada mesyuarat 2/3 Mei nanti. Kemudian, Bank Persekutuan AS mungkin akan menghentikan kenaikan itu buat sementara. Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Bank Rizab Persekutuan Atlanta iaitu Raphael Bostic, “satu lagi kenaikan seharusnya sudah cukup untuk kita berhenti sejenak dan melihat apakah kesan polisi sedia ada terhadap ekonomi.” Harus sedia maklum bahawa kenaikan kadar sebanyak 25 bp sudah lama diambil kira dalam sebut harga pasaran. Maka, tidak lama selepas berita mengenai FRC tersebar serta lonjakan kadarnya kepada 1.1095, pasangan EUR/USD kembali berada dalam keadaan yang selesa.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaaat, 28 April, pendapat penganalisis adalah seperti berikut: 35% menjangkakan nilai dolar menjadi semakin lemah dan pertumbuhan kadar pasangan ini, 50% menjangkakan pengukuhan nilai dolar, dan baki 15% lagi mengambil pendirian neutral. Untuk analisis teknikal, dalam kalangan pengayun pada D1, 85% berwarna hijau, 15% berwarna kelabu neutral, dalam kalangan indikator trend pula, 90% berwarna hijau, 10% lagi berwarna merah. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada di sekitar 1.0985-1.1000, diikuti dengan 1.0925-1.0955, 1.0865-1.0885, 1.0740-1.0760, 1.0675-1.0710, 1.0620, dan 1.0490-1.0530. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.1050-1.1070, kemudian 1.1110, 1.1230, 1.1280, dan 1.1355-1.1390.

    Selain daripada mesyuarat FOMC dan ECB yang telah dinyatakan, kita boleh jangkakan beberapa lagi data ekonomi untuk minggu hadapan. Pada hari Isnin, 1 Mei, kadar indeks PMI Pembuatan ISM di AS akan dikeluarkan. Keesokan harinya, kadar untuk indeks yang sama, tetapi kali ini di Jerman akan diketahui. Pada hari Selasa juga, 2 Mei, kita akan ketahui mengenai situasi inflasi di Eurozone kerana kadar Indeks Harga Penguna (CPI) akan dikeluarkan. Disamping itu, pada 2, 3, 4, dan 5 Mei, limpahan data daripada pasaran buruh di AS akan dikeluarkan. Indikator penting seperti kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor pertanian (NFP) di AS adalah antara data-data itu, kebiasaannya ia dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan, pada 5 Mei.

GBP/USD: BoE lawan Rizab Persekutuan: Kadar Faedah Siapakah yang akan Menang?

  • Mesyuarat Bank of England (BoE) akan berlangsung seminggu selepas pihak Rizab Persekutuan bermesyuarat iaitu pada hari Khamis, 11 Mei. Kebanyakan penganalisis percaya bahawa kitaran kenaikan kadar faedah pound masih belum berakhir lagi, ia dapat memberi sokongan kepada mata wang British.

    Data mengenai kadar inflasi yang dikeluarkan baru-baru ini telah menyumbang kepada unjuran itu. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) tahunannya sekali lagi mencecah dua angka, iaitu 10.1%, kadar yang lebih tinggi berbanding jangkaan iaitu 9.8%. Untuk meletakkan indikator ini di bawah paras psikologi penting 10.0%, pihak BoE berkemungkinan akan terus mengikut jejak langkah pihak Rizab Persekutuan. Peserta pasaran menjangkakan penggubal dasar itu akan menaikkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas pada 11 Mei nanti: daripada 4.25% kepada 4.75%.Tiada cara lain yang lebih efektif untuk membendung kadar inflasi yang telah dirangka setakat ini. Jika inflasi terus berada pada kadar yang sangat tinggi, ia akan memudaratkan pasaran pengguna serta keseluruhan ekonomi UK.

    Sejak awal bulan April, kita dapati ia bergerak mengikuti trend mendatar. Namun, pasangan GBP/USD mengakhiri tempoh lima hari lalu pada paras 1.2566, menembusi sempadan atas saluran tersebut tanpa disangka-sangka. Mungkin, punca kepada lonjakan pertumbuhannya itu adalah penutupan posisi dagangan pada hujung bulan. Buat masa ini, 75% penganalisis lebih memihak kepada dolar, hanya 25% yang menyokong pound British. Dalam kalangan pengayun pada D1, keseimbangan skala adalah seperti berikut: 85% bersetuju dengan warna hijau (satu pertiga daripadanya berada di zon lebihan belian), manakala baki 15% lagi berwarna kelabu neutral. 100% indikator trend adalah berwarna hijau. Sokongan bagi pasangan ini berada pada paras dan zon 1.2450-1.2480, 1.2390-1.2400, 1.2330, 1.2275, 1.2200, 1.2145, 1.2075-1.2085, 1.2000-1.2025, 1.1960, 1.1900-1.1920, dan 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2510-1.2540, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2820, dan 1.2940.

    Berkenaan statistik penting mengenai keadaan ekonomi di UK untuk minggu hadapan, kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan akan dikeluarkan pada hari Selasa, 2 Mei. Kemudian, pada 4 Mei, kita akan ketahui kadar PMI dalam sektor perkhidmatan serta kadar bagi indikator aktiviti komposit di UK secara keseluruhannya. Pedagang juga perlu sedar bahawa negara ini akan menyambut hari cuti bank pada Isnin, 1 Mei.

USD/JPY: Bank of Japan - Ke Arah Polisi yang Tersangat-Sangat Longgar

  • Membuat unjuran kadar faedah Bank of Japan (BoJ) adalah ringkas dan sangat, sangat membosankan. Untuk pengetahuan, kadarnya sekarang berada pada paras negatif -0.1% dan kali terakhir ia diubah adalah pada 29 Januari, 2016 setelah kadar itu diturunkan sebanyak 20 mata asas. Kali ini, pada mesyuarat yang berlangsung pada hari Jumaat, 28 April, penggubal dasar itu mengekalkannya pada kadar yang sama, -0.1%.

    Namun bukan itu saja. Kebanyakan peserta pasaran menjangkakan penggubal dasar itu mungkin akhirnya akan berubah pendirian dan mula memperketatkan polisinya dengan ketibaan gabenor Bank pusat yang baru iaitu Kazuo Ueda. Namun, bertentangan dengan jangkaan itu, Ueda menyatakan, “Kami akan terus melonggarkan polisi kewangan jika perlu tanpa ragu-ragu” semasa memberikan kenyataan pada sidang akhbar pertama beliau selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya itu. Ada antara mereka yang tertanya-tanya berapa banyak lagi polisi mereka boleh dilonggarkan, namun rupa-rupanya -0.1% bukanlah kadar terakhirnya.

    Hasil daripada kenyataan gabenor BoJ itu boleh dilihat pada carta: dalam masa beberapa jam saja, kadar USD/JPY melonjak naik daripada 133.30 kepada 136.55, menjadikan nilai yen lebih lemah sebanyak 325 mata. Sudah tentu, kadar itu masih lagi jauh daripada kedudukan paling tinggi pada Oktober 2022, tapi lonjakan ke paras 137.50 dilihat bukan lagi sesuatu yang tidak realistik sepenuhnya.

    Pasangan ini mengakhiri minggu lalu pada paras 136.30. Berkenaan prospek jangka pendeknya, pendapat penganalisis terbahagi seperti berikut: buat masa ini, hanya 25% daripada mereka menjangkakan pertumbuhan lebih tinggi kadar pasangan ini, 65% menunjukkan arah bertentangan, mengunjurkan nilai yen menjadi lebih kukuh, dan 10% lagi berdiam diri. Dalam kalangan pengayun pada D1, 85% menunjukkan pertumbuhan (satu pertiga daripada mereka berada di zon lebihan belian), manakala baki 15% lagi kekal neutral. Indikator trend menunjukkan 90% menjangkakan pertumbuhan, dan 10% lagi mengunjurkan penurunan. Paras sokongan paling hampir berada di sekitar 136.00. Paras dan zon berikutnya adalah 135.60, 134.75-135.15, 132.80-133.00, 132.00-132.40, 131.25, 130.50-130.60, 129.65, 128.00-128.15, dan 127.20. Rintangan berada pada paras dan zon 137.50 dan 137.90-138.00, 139.05, dan 140.60.

    Mengenai peristiwa yang menjelaskan keadaan ekonomi di Jepun, tiada satu pun dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini. Lebih-lebih lagi, negara tersebut menantikan beberapa hari cuti: 3 Mei adalah Hari Perlembagaan, 4 Mei - Hari Hijau, dan 5 Mei adalah Hari Kanak-Kanak. Disebabkan itu, dinamik USD/JPY akan bergantung sepenuhnya terhadap perkara yang berlaku di seberang lain Lautan Pasifik iaitu di Amerika Syarikat.

MATA WANG KRIPTO: Menantikan Halving Tahun 2024

  • Kedudukan BTC/USD terus susut pada hari Isnin, 24 April, dan setelah melepasi paras sokongan $27,000, ia turun ke paras $26,933. Peserta pasaran sudah pun bersedia untuk melihat nilai bitcoin turun lebih rendah pada paras sokongan yang kukuh iaitu $26,500. Namun, tanpa disangka-sangka nilainya melonjak kepada $30,200 pada 26 April. Mata wang kripto itu terselamat, seperti yang sudah banyak kali berlaku sebelum ini dan akan terselamat lebih banyak lagi selepas ini akibat nilai dolar yang lemah. Punca kepada kejutan ini adalah masalah yang dihadapi oleh First Republic Bank, seperti yang telah dibincangkan di atas, bank itu berada di ambang kebankrapan sama seperti yang berlaku kepada bank-bank mesra kripto yang lain.

    Korelasi antara industri kripto dan perbankan semakin jelas kelihatan akibat rantaian perkara-perkara yang berlaku seperti berikut: 1) Pengetatan polisi kewangan Rizab Persekutuan memberi tekanan kepada bank, mereka menurunkan harga aset, permintaan terhadap servis mereka semakin berkurangan, hingga menyebabkan para pelanggannya lari. 2) Situasi ini mewujudkan kesukaran yang teruk buat sesetengah bank sehingga boleh mengakibatkan jatuh muflis. 3) Perkara ini memaksa Rizab Persekutuan untuk menghentikan sementara kenaikan mahupun penurunan kadar faedah mereka. Disamping itu, penggubal dasar berkenaan mungkin akan mula mencetak semula lebih banyak wang bagi menyokong likuiditi bank. 4) Kadar faedah yang rendah serta aliran baru wang murah mendorong kepada penyusutan nilai dolar dan membolehkan para pelabur menghalakan wang mereka ke dalam aset berisiko seperti saham dan mata wang kripto, dan seterusnya menambah nilai sebut harganya. Kita telah lihat situasi ini semasa pandemik COVID-19 melanda dan mungkin akan melihatnya lagi dalam masa terdekat nanti.

    Menurut bekas pengurus terkemuka di Goldman Sachs dan seorang pelabur makro iaitu Raoul Pal, pihak Rizab Persekutuan mungkin sudah menamatkan kitaran kenaikan kadar faedah mereka. Beliau juga menjangkakan untuk berlakunya kegawatan ekonomi yang akan memaksa penggubal dasar itu “mengubah arah tujuan” bagi menyokong pasaran dengan mencetak lebih banyak wang. Jika hal itu berlaku, beliau percaya bahawa aset berisiko kini berada di ambang “gelombang likuiditi yang tidak dapat dielakkan.” Aliran masuk modal ini akan “mencerahkan” industri kripto dengan inovasi-inovasi baru, dan jumlah mereka yang menggunakan aset digital akan bertambah daripada 300 juta orang yang ada sekarang kepada 1 bilion.

    Menurut penganalisis di Standard Chartered, sebuah perbankan British, bitcoin menerima manfaat daripada statusnya sebagai “aset terlindung” untuk simpanan pada awal tahun 2023, dan situasi sekarang pula menunjukkan “musim dingin kripto” berada di penghujungnya. Standard Chartered percaya bahawa sektor perbankan yang bergolak baru-baru ini, nilai aset berisiko yang menjadi stabil akibat berakhirnya kitaran kenaikan kadar faedah, serta peningkatan kadar pulangan dalam industri penghasilan kripto akan menyumbang kepada pertumbuhan nilai BTC yang lebih tinggi. Disamping itu, penerimaan rangka kerja undang-undang pasaran kripto yang pertama di EU oleh pihak Parlimen Kesatuan Eropah juga boleh memberi sokongan kepada mata wang kripto terkemuka itu. Pelaksanaan pengurangan penghasilan yang akan datang juga akan memberi kesan kepada kadar pertumbuhan BTC, nilai bitcoin berpotensi untuk mencecah $100,000 menjelang akhir tahun 2024.

    Sedia maklum bahawa topik pengurangan penghasilan ini semakin giat diperbincangkan. Servis akhbar Bitcoin Archive mengingatkan kita bahawa pada 24 April, 2023, tidak sampai setahun daripada tarikh itu penghasilannya akan dikurangkan, yang dijadual akan dilaksanakan pada 6 April, 2024. Walau bagaimanapun, tarikh itu bukanlah muktamad dan ia mungkin akan berubah, seperti yang berlaku sebelum-sebelum ini.

    Sesetengah peserta pasaran percaya bahawa prosedur ini amat penting untuk masa depan mata wang kripto terunggul itu. Mereka percaya bahawa kitaran mata wang kripto adalah konsisten, manakala sebut harga BTC akan mencecah rekod kadar tertinggi yang baru setahun atau setahun setengah setelah penghasilannya dikurangkan, sama seperti pada kitaran sebelum ini. Mereka yang lain pula mempertikaikan bahawa situasi pasaran kini sudah berubah. Bitcoin sudah menjadi fenomena berskala besar, dan sekarang “mata wang kripto tertakluk kepada undang-undang serta peraturan lain”, justeru faktor-faktor lain akan menjadi penentu, bukan sekadar pengurangan ganjaran penghasilannya.

    Sedia maklum bahawa penganalisis di Bloomberg Intelligence iaitu Jamie Coutts yang meramalkan harga bitcoin akan naik kepada $50,000 sebelum April 2024 turut berada dalam kelompok kumpulan penganalisis yang lain ini. “Harga bitcoin akan mencecah nilai paling rendahnya pada 12-18 bulan sebelum proses pengurangan penghasilannya. Struktur yang wujud dalam kitaran sekarang ini hampir sama dengan struktur yang berlaku sebelum ini. Walau bagaimanapun, banyak faktor telah berubah: rangkaiannya telah menjadi lebih berdaya tahan, dan bitcoin tidak pernah berhadapan dengan kegawatan ekonomi yang berpanjangan,” jelas Coutts. Jika unjurannya benar-benar berlaku, nilai aset ini akan bertambah kira-kira 220% daripada nilai terendahnya pada November lalu sebelum penghasilannya dikurangkan.

    Penganalisis serta pedagang yang dikenali sebagai Doctor Profit mengingatkan kita bahawa kenyataan beliau sebelum ini menyebut paras paling rendah bitcoin telah dicapai pada kedudukan $15,400, dan berkemungkinan kita tidak akan melihat penurunan ke paras ini lagi. Jualan secara besar-besaran pada November 2022 adalah benar-benar tindakan putus asa, termasuklah para penghasil bitcoin kerana ada antara mereka yang terpaksa menjual coin serta peralatan mereka pada harga murah. Menurut Doctor Profit, buat masa ini BTC berada dalam fasa pengumpulan, bukan pasaran bull atau bear. Dalam masa yang sama, penganalisis itu menasihati para pedagang supaya memantau dengan teliti korelasi antara pasaran saham di China dengan bitcoin kerana beliau percaya China akan menamatkan pengharaman terhadap mata wang kripto serta membenarkan penggunaannya, faktor yang akan memberi kesan positif terhadap harganya untuk jangka masa panjang.

    Seorang lagi penganalisis dengan nama gelaran DonAlt turut menolak penurunan kadar BTC/USD ke paras terendah pada November 2022. Dalam masa yang sama, beliau membenarkan pembetulan ke bawah pada paras $20,000, pada pendapat beliau, penurunan itu akan menjadi paras terbaik untuk menambah jumlah simpanan mata wang kripto utama itu.

    Sudah agak lama sejak kami memetik kata-kata penganalisis popular dengan nama gelaran PlanB yang terkenal dengan model Stock-to-Flow (S2F) beliau. Beliau terus menegaskan bahawa ramalan yang dibuat beliau berdasarkan kepada model itu semakin hampir untuk menjadi kenyataan. “Kami jangkakan nilai bitcoin sebelum penghasilannya dikurangkan adalah sebanyak $32,000, kemudian $60,000. Selepas itu [setelah penghasilan dikurangkan] $100,000 akan menjadi nilai minimum, dan nilai maksimumnya boleh mencecah $1 juta. Namun nilai BTC secara purata seharusnya mencecah $542,000 setelah penghasilannya dikurangkan selepas ini,” tulis PlanB. Dalam masa yang sama, penganalisis itu menekankan bahawa pergerakan pasaran kripto benar-benar menyamai model S2F, maka hujah para pengkritiknya adalah tidak berasas sama sekali.

    Sila maklum bahawa PlanB tidak keseorangan dalam memberikan jangkaan super optimis mengenai harga bitcoin yang mendapat gelaran “langsung tidak berguna” oleh lagenda Warren Buffett. Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad Poor Dad yang popular percaya bahawa nilai mata wang kripto terunggul itu akan bertambah kepada $500,000 menjelang tahun 2025. Di syarikat Ark Invest pula, melihat sedekad ke hadapan, mereka menjangkakan setiap coin akan bernilai $1 juta.

    Pada malam Jumaat, 28 April, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $29,345. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.205 trilion ($1.153 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto meningkat daripada 50 mata kepada 64 mata sepanjang tempoh tujuh hari, beralih daripada zon Neutral kepada zon Greed.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami