Mei 30, 2023

Pasaran tukaran asing, atau Forex adalah satu persekitaran yang rumit dan sangat dinamik bagi pelaksanaan jutaan dagangan setiap hari. Untuk berjaya dalam selok-belok pasaran ini, para pedagang bergantung kepada pelbagai jenis alat analisis teknikal, termasuklah indikator yang membantu mereka mengenal pasti trend, meramal pergerakan harga, serta membuat keputusan dagangan yang tepat. Artikel ini akan memeriksa dengan teliti antara indikator paling popular dan sering digunakan dalam dagangan Forex dan pasaran kewangan yang lain.

Indikator Paling Popular untuk Analisis Teknikal

Moving Averages (Purata Pergerakan): Antara indikator paling asas dan sering digunakan dalam dagangan Forex, purata pergerakan menjejak harga purata sesuatu aset pada tempoh-tempoh tertentu. Pedagang menggunakan nilai purata ini untuk mengenal pasti trend serta potensi peluang dagangan, manakala purata pergerakan jangka pendek pula menyediakan isyarat yang lebih sensitif terhadap perubahan harga.

Indeks Kekuatan Relatif (RSI): RSI adalah sebuah pengayun momentum yang mengukur kekuatan pergerakan harga bagi satu-satu sekuriti. Ia membandingkan magnitud pertumbuhan yang baru berlaku dengan nilai kerugian yang dialami dan kemudian memberikan nilai berbentuk nombor antara 0 dan 100. Para pedagang menggunakan RSI untuk mengenal pasti keadaan lebihan jualan dan lebihan belian yang boleh membantu mereka menentukan masa untuk membuat jualan atau belian.

Bollinger Bands: Bollinger Bands adalah indikator kemeruapan yang menggunakan nilai purata pergerakan serta sisihan piawai bagi memplot jalur di sekitar pergerakan harga. Para pedagang menggunakan jalur ini untuk mengenal pasti kedudukan yang berpotensi menjadi paras sokongan dan rintangan, serta mengukur kadar kemeruapan sesuatu aset.

Fibonacci Retracement: Berdasarkan urutan Fibonacci yang terkenal, indikator ini menggunakan garis-garis untuk mengenal pasti kedudukan yang berpotensi menjadi paras sokongan dan rintangan. Para pedagang menggunakan paras-paras ini untuk mengenal pasti kedudukan yang berpotensi menjadi titik keluar dan masuk, serta untuk menetapkan order stop-loss.

MACD: Indikator Purata Pergerakan Convergence Divergence adalah satu indikator momentum yang mengesan hubung kait antara dua nilai purata pergerakan. Pedagang menggunakan MACD untuk mengenal pasti perubahan trend, serta bagi menghasilkan isyarat jual dan beli.

Pengayun Stochastic adalah sebuah indikator momentum yang membandingkan harga tutup sekuriti dengan julat harganya mengikut tempoh-tempoh tertentu. Hasilnya akan memberikan nilai antara 0 dan 100 dengan bacaan melebihi 80 dianggap sebagai keadaan lebihan belian manakala bacaan yang lebih rendah daripada 20 dianggap sebagai keadaan lebihan jualan. Pedagang menggunakan Pengayun Stochastic untuk mengenal pasti potensi perubahan trend serta menghasilkan isyarat jual dan beli.

Ichimoku Kinko Hyo: Ichimoku Kinko Hyo adalah sebuah indikator rumit yang mengandungi lima garis plot pada carta harga. Garis-garis ini mengukur paras sokongan dan rintangan, serta kekuatan momentum dan trend. Para pedagang menggunakan Ichimoku Kinko Hyo untuk mengenal pasti kedudukan yang berpotensi menjadi titik masuk dan keluar, serta mengukur tahap kekuatan trend secara keseluruhannya.

Average Directional Index (ADX): Average Directional Index adalah sebuah indikator trend yang mengukur kekuatan trend bagi satu-satu sekuriti atau lain-lain aset kewangan. Nilai yang dihasilkan adalah antara 0 dan 100, dengan bacaan melebihi 25 menunjukkan trend yang kukuh. Para pedagang menggunakan ADX bagi mengenal pasti potensi perubahan trend serta menentukan sama ada sekuriti tersebut mengikuti arah trend ataupun didagangkan secara mendatar.

Parabolic SAR: Indikator Parabolic SAR (Stop and Reverse) adalah indikator mengikuti trend yang menunjukkan isyarat jual dan beli berdasarkan kepada arah pergerakan harga. Ia memplotkan titik sama ada di atas atau di bawah pergerakan harga untuk menunjukkan potensi perubahan trend. Pedagang menggunakan Parabolic SAR untuk mengenal pasti titik masuk dan keluar yang berpotensi, serta untuk menetapkan order stop-loss.

Indikator Popular dan Paling Dikenali untuk Analisis Teknikal1

Apakah Maksud Indikator Utama?

Indikator utama adalah alat analisis yang bertujuan untuk meramal pergerakan harga pada masa hadapan berdasarkan kepada data-data lampau. Indikator utama juga dikenali sebagai indikator momentum kerana percubaannya untuk mengukur momentum trend harga. Tidak seperti indikator ketinggalan yang memberi reaksi terhadap pergerakan harga setelah perubahan itu berlaku, indikator utama memberikan isyarat kepada para pedagang mengenai pergerakan harga pada masa hadapan. Dengan kata lain, ia digunakan untuk mengenal pasti potensi perubahan harga sebelum ianya berlaku.

Antara indikator utama yang ada termasuklah indikator seperti Purata Pergerakan Convergence Divergence (MACD), Indeks Kekuatan Relatif (RSI), Pengayun Stochastic. Indikator-indikator ini telah dibincangkan pada permulaan artikel ini. Sudah pasti, senarai indikator utama adalah lebih panjang. Kebanyakan daripadanya sudah pun digabungkan ke dalam terminal dagangan MetaTrader 4, sementara yang lain pula boleh dimuat turun secara percuma atau membelinya di platform-platform online yang khusus.

Kelebihan Indikator Utama. Salah satu kelebihan penting menggunakan indikator utama dalam dagangan Forex adalah ia menyediakan isyarat kepada para pedagang mengenai potensi perubahan arah trend sebelum perkara tersebut berlaku. Hal ini agak berguna buat pedagang yang ingin masuk ke dalam pasaran pada permulaan trend baru atau menghentikan dagangan sebelum trend berubah arah.

Kelebihan lain yang ada pada indikator utama adalah ia berasaskan data objektif dan boleh digabungkan ke dalam mana-mana strategi dagangan dengan mudah. Pedagang boleh menggunakan indikator utama untuk menghasilkan isyarat jual dan beli, tetapkan order stop-loss, serta mengenal pasti titik.masuk dan keluar.

Kekurangan Indikator Utama. Salah satu kekurangan indikator utama adalah ia mampu menghasilkan isyarat palsu. Pedagang seharusnya sedar bahawa indikator utama bukanlah sesuatu yang bersih daripada kesilapan dan ia mampu memberikan isyarat yang tidak selari dengan keadaan di pasaran.

Satu lagi kekurangan indikator utama adalah agak sukar untuk ia mentafsir pasaran yang meruap. Pedagang harus berhati-hati apabila menggunakan indikator utama dalam pasaran yang terdedah kepada pergerakan harga mendadak, kerana isyarat palsu akan lebih kerap terhasil dalam keadaan seperti itu.

Strategi Berasaskan Indikator yang Popular

Berikut adalah beberapa strategi dagangan terkenal yang digunakan dalam pasaran kewangan (Forex, dll.) dan melibatkan penggunaan indikator:

Strategi Mengikuti Trend:

Indikator: Purata Pergerakan, Parabolic SAR, Average Directional Index (ADX).

Huraian: Strategi ini adalah berdasarkan kepada pengecaman kelestarian trend di pasaran. Apabila harga sesuatu aset itu berada lebih tinggi daripada paras purata pergerakan, dan indikator mengesahkan kekukuhan trend itu (cth., Parabolic SAR terbentuk di bawah nilai harga), pedagang mungkin akan memasuki posisi mengikuti arah trend.

Strategi Lebihan Belian/Lebihan Jualan:

Indikator: Indeks Kekuatan Relatif (RSI), Pengayun Stochastic.

Huraian: Strategi ini mengandaikan keadaan lebihan belian atau lebihan jualan mungkin menunjukkan potensi perubahan pergerakan harga. Jika indikator seperti Pengayun Stochastic menunjukkan nilai tinggi (lebihan belian) atau nilai rendah (lebihan jualan), seseorang pedagang mungkin akan menjangkakan pembetulan harga serta mengambil langkah yang bersesuaian.

– Strategi Penembusan Paras Sokongan dan Rintangan:

Indikator: Bollinger Bands, Fibonacci Retracement.

Huraian: Strategi ini adalah berasaskan kepada idea bahawa paras sokongan dan rintangan boleh bertindak sebagai titik perubahan harga yang penting. Pedagang boleh menggunakan indikator seperti Bollinger Bands dan juga Fibonacci Retracement untuk mengenal pasti paras-paras ini dan kemudian memasuki posisi apabila harganya menembusi kedudukan tersebut.

Strategi Persilangan Purata Pergerakan:

Indikator: Purata Pergerakan.

Huraian: Strategi ini melibatkan persilangan antara garis purata pergerakan yang berbeza tempoh masanya. Jika purata pergerakan untuk tempoh masa pendek bersilang di bawah purata pergerakan untuk tempoh masa yang lebih panjang, ia mungkin memberi petunjuk arah trend berpotensi untuk berubah ke bawah, dan begitu juga sebaliknya.

Strategi Breakout:

Indikator: Ichimoku Cloud, Bollinger Bands.

Huraian: Strategi memfokuskan kepada pengenalpastian tempoh masa apabila nilai harga menembusi paras sokongan atau rintangan. Pedagang boleh menggunakan indikator seperti Ichimoku Cloud serta Bollinger Bands untuk mengesahkan penembusan itu dan memasuki posisi dengan sewajarnya.

Jumlah optimum indikator yang digunakan dalam satu-satu strategi dagangan bergantung kepada pilihan pedagang serta situasi pasaran tertentu. Namun, penting untuk mengingati bahawa lebih banyak tidak semestinya lebih baik. Menggunakan terlalu banyak indikator boleh mendorong kepada maklumat berlebihan serta analisis mengelirukan. Sebaliknya, adalah disyorkan untuk fokus kepada beberapa indikator utama yang melengkapi antara satu sama lain dan berinteraksi dengan berkesan.

Selain itu, penting untuk memilih indikator yang benar-benar selari dengan strategi dagangan serta jenis pasaran. Sebagai contoh, strategi mengikuti trend mungkin melibatkan penggunaan purata pergerakan serta indikator yang menentukan kekukuhan sesuatu trend. Untuk strategi lantunan sokongan dan rintangan, indikator yang memaparkan paras-paras tersebut seperti Bollinger Bands atau Fibonacci Retracement mungkin berguna.

***

Ini adalah antara indikator terkenal dan sering kali digunakan dalam dagangan Forex. Sudah tentu, terdapat banyak lagi yang ada di luar sana, dan setiap pedagang memiliki indikator dan strategi kegemaran mereka sendiri. Tidak kiralah indikator manakah yang menjadi pilihan, seseorang itu perlu sedar bahawa tiada satu alat pun yang boleh menyelesaikan segalanya. Untuk mana-mana strategi dagangan, amat penting untuk benar-benar menguji serta menilai keberkesanan indikator-indikator tersebut sebelum menggabungkannya bersama pelan dagangan anda.

Akhir sekali, kombinasi analisis teknikal, analisis fundamental, serta pemahaman mendalam tentang psikologi pasaran diperlukan untuk berjaya dalam dagangan pasaran Forex.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami