Oktober 7, 2023

EUR/USD: Bolehkah Pasangan Ini Mencapai Keseteraan 1:1?

  • Sepanjang tahun 2023, ekonomi A.S. telah berjaya mengharungi kenaikan kadar faedah yang agresif dengan berkesan. Kegawatan yang dijangka oleh pasaran masih belum berlaku, membolehkan pihak Rizab Persekutuan mengekalkan pendirian kewangan mereka yang bersifat hawkish. Perkara itu telah mendorong kepada kenaikan mendadak hasil perolehan bon Perbendaharaan serta nilai dolar A.S. yang menjadi lebih kukuh. Hasil perolehan bon 10 tahun Perbendaharaan susut sebanyak 46% sejak Mac 2020, peratusan penurunan lebih tinggi sejak kejatuhan yang berlaku pada tahun 1981 akibat pengetatan polisi kewangan yang agresif oleh bank persekutuan A.S. Bagi Indeks Dolar (DXY) pula, kadarnya kekal berada lebih tinggi daripada paras kritikal 100.00 sepanjang tahun ini, manakala kadar pasangan EUR/USD pula susut 6.5% sejak kedudukan tertinggi yang dicapai pada bulan Julai lalu.

    Pada hari Selasa, 3 Mac, hasil perolehan bon 10 tahun Perbendaharaan A.S. mencecah 4.88%. Kebanyakan peserta pasaran percaya bahawa jumlah hasil perolehan sebanyak 5.0% boleh menjadi titik penting bagi ekonomi A.S. lalu memaksa pihak Rizab Persekutuan untuk berpendirian dovish. Namun, perkara ini hanyalah jangkaan semata-mata saja yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Pada hari yang sama, Loretta J. Mester, Presiden Bank Rizab Persekutuan Cleveland menyatakan bahawa kadar inflasi hanya dijangka akan mencecah paras sasaran 2.0% menjelang akhir tahun 2025. Beliau memberi isyarat bahawa tiada sebarang rancangan untuk menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat ini, dan tambahan pula, beliau mungkin akan menyokong kadar faedah untuk dinaikkan pada mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) yang seterusnya jika keadaan ekonomi terus stabil.

    Data makroekonomi A.S. yang dikeluarkan pada awal minggu lalu dilihat agak kabur. Laporan ADP menunjukkan kadar pertumbuhan tenaga kerja yang lemah dalam sektor swasta sejak Januari 2021, hanya berjumlah 89K berbanding 153K yang diunjur (turun daripada 180K pada bulan lalu). Sementara aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan terus mengalami pertumbuhan untuk sembilan bulan berturut-turut, kadarnya turun untuk bulan September dengan indeks PMI susut daripada 54.5 kepada 53.6. Dalam sektor pembuatan pula, aktiviti perniagaan terus berada dalam situasi menguncup  dengan kadar PMI sebanyak 49.0. Walaupun kadarnya itu bertambah baik berbanding 47.6 sebelum ini, ia masih berada di bawah kadar ambang 50.0 yang menunjukkan ekonominya sedang menguncup. Disebabkan itu, hasil bon Perbendaharaan jatuh, manakala kadar indeks saham (S&P 500, Dow Jones dan Nasdaq) serta EUR/USD pula naik. Para pedagang memilih untuk mencairkan posisi short mereka terhadap pasangan ini sementara menunggu laporan dari pasaran buruh A.S. untuk bulan September yang biasanya dijadual akan dikeluarkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan, bulan ini jatuh pada tarikh 6 Oktober. Ulasan lebih lanjut di bawah.

    Jika statistik terkini dari A.S. dilihat tidak memberangsangkan, data dari Eurozone adalah lebih teruk. Mengikut data rasmi dari Eurostat yang dikeluarkan pada hari Rabu, 4 Oktober, kadar jualan runcit pada bulan Ogos menguncup sebanyak 1.2% untuk bulan ke bulan berbanding penurunan 0.1% yang dialami pada bulan Julai. Pasaran menjangkakan penurunannya hanyalah sebanyak 0.3%. Untuk tahun ke tahun, jumlah jualan runcit susut sebanyak 2.1%, lebih tinggi daripada 1.0% pada bulan Julai dan 1.2% yang diunjur pasaran. Kadar bulanan Inflasi Harga Pengeluar (PPI) di Eurozone naik daripada 0.5% untuk bulan Julai kepada 0.6% pada bulan Ogos.

    Dalam menilai keadaan inflasi di Eurozone, Ketua Pakar Ekonomi Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) iaitu Philip Lane menyatakan dengan berhati-hati bahawa “kita tidak akan boleh mencapai sasaran inflasi 2% dengan cepat seperti yang berlaku pada paras 4%”. Ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB iaitu Peter Kazimir bersikap lebih optimis sedikit. “Kita sedang berada dalam trajektori penurunan. [Namun], membendung kadar inflasi perlu mengambil masa yang lebih lama”. Kazimir percaya kenaikan kadar Euro sebanyak 25 mata asas September ini adalah kenaikan kali terakhir.

    Kami telah maklum sebelum ini bahawa tiada kesepakatan dicapai dalam kalangan barisan kepimpinan ECB mengenai polisi kewangan mereka. Perkara ini disahkan lagi oleh ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB iaitu Isabel Schnabel yang menyerang Peter Kazimir dengan mengatakan bahawa kenaikan kadar lebih tinggi mungkin perlu dilaksanakan. Beliau menambah lagi bahawa walaupun pihak ECB tidak menjangkakan kemerosotan ekonomi yang teruk buat masa ini, “kami tidak menolak keadaan gawat” pada masa hadapan.

    Jika prospek kos pembiayaan Euro yang tinggi masih tidak begitu jelas, penurunan kadar sudah pasti tidak akan dibincangkan buat masa ini. Perkara itu telah disahkan oleh Naib Presiden ECB iaitu Luis de Guindos pada hari Khamis, 5 Oktober yang menyatakan bahawa perbincangan berkenaan penurunan kadar adalah masih terlalu awal. Disebabkan Rizab Persekutuan juga tidak merancang untuk mengubah pendirian hawkish mereka kepada dovish, perbezaan kadar faedah semasa dolar iaitu 5.50% dan 4.50% untuk Euro sudah pastinya memberikan kelebihan kepada mata wang Amerika.Unjuran penganalisis Reuters bersepakat menjangkakan kadar EUR/USD akan terus susut kepada $1.0400 pada bulan Oktober, dengan 1 daripada 20 orang penganalisis yang dikaji selidik menjangkakan kesetaraan 1:1. Namun begitu, para penganalisis menjangkakan kadar EUR/USD akan naik kira-kira 6% sepanjang tahun hadapan.

    Tumpuan pada minggu lalu adalah laporan pengangguran di A.S. Penganalisis di Bloomberg telah menjangkakan jumlah bagi tenaga kerja bukan dalam pertanian (NFP) yang ada untuk bulan September akan menjadi lebih rendah berbanding Ogos: 70K berbanding 187K pada bulan sebelumnya. Secara realiti, jumlahnya adalah 336K, hampir dua kali ganda berbanding unjuran. Sementara itu, kadar pengangguran kekal tidak berubah pada 3.8%.

    Berikutan penyiaran data ini yang membuktikan kestabilan pasaran buruh di Amerika, kadar EUR/USD pada mulanya susut namun berjaya mengukuhkan kedudukannya tidak lama selepas itu dan terus mara ke hadapan. Hasilnya, pasangan ini mengakhiri minggu dagangan pada paras 1.0585. Pada petang 6 Oktober, semasa ulasan ini dibuat, perbezaan pendapat para penganalisis berkenaan minggu hadapan terbahagi sama rata, sama seperti minggu lalu: satu pertiga daripadanya menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh serta kadar EUR/USD yang susut, satu pertiga lagi menjangkakan pembetulan ke atas, dan baki satu pertiga lagi berpendirian neutral.

    Untuk analisis teknikal, dalam kalangan indikator trend pada carta D1, 65% daripadanya bersetuju dengan penurunan (merah), dan 35% lagi bersikap bullish (hijau). Kebanyakan (60%) pengayun terus memihak kepada mata wang A.S. dan berwarna merah. Hanya 10% yang bersetuju dengan euro, dan separuh daripada jumlah itu memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Baki 30% lagi berpendirian neutral.

    Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0550-1.0560, diikuti dengan 1.0490, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Rintangan untuk bull berada di sekitar paras 1.0600-1.0615, diikuti dengan 1.0670-1.0700, 1.0745-1.0770, 1.0800, 1.0865, dan 1.0895-1.0930.

    Untuk minggu hadapan, data inflasi di Jerman (CPI) dan di A.S. (PPI) akan dikeluarkan pada hari Rabu, 11 Oktober. Pada hari yang sama, minit mesyuarat kali terakhir FOMC akan dikeluarkan, memberikan para pelabur petunjuk berkenaan pendapat ahli-ahli jawatankuasa terhadap polisi kewangan mereka pada masa akan datang. Peningkatan kadar turun naik mungkin dialami pada hari Khamis, 12 Oktober apabila data inflasi pengguna (CPI) di Amerika Syarikat akan diumumkan. Disamping itu, laporan mingguan mengenai tuntutan awal manfaat pengangguran di A.S. yang biasa akan dikeluarkan pada hari Khamis. Minggu hadapan akan diakhiri dengan penyiaran kadar Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan pada 13 Oktober. Para pedagang perlu maklum bahawa hari Isnin, 19 Oktober adalah hari cuti umum di A.S. kerana sambutan Hari Columbus.

GBP/USD: Mata Wang Paling Teruk untuk September

  • Pound British telah muncul sebagai mata wang negara-negara G10 yang menunjukkan prestasi paling teruk untuk bulan September. Menambah spekulai mengenai masa depannya, Bank of England (BoE) telah mengeluarkan satu laporan pada hari Khamis, 5 Oktober yang menunjukkan kenaikan mendadak jumlah gaji di negara itu. Unjuran bagi pertumbuhan gaji pada tahun hadapan juga bertambah jika dibandingkan pada bulan Ogos.

    Pastinya, kesederhanaan inflasi yang berlaku baru-baru ini adalah satu perkembangan positif. Namun, pakar ekonomi di Commerzbank Jerman menyatakan bahawa dinamik pertumbuhan gaji menunjukkan bahawa keadaan inflasi mungkin lebih sukar berbanding apa yang Bank of England jangkakan.

    Keputusan kaji selidik juga dikeluarkan pada 5 Oktober, menunjukkan bahawa kebanyakan peserta pasaran percaya pihak BoE tidak mengambil langkah yang secukupnya dalam membendung kenaikan harga. Sebaliknya, pakar strategi di Bank MUFG Jepun mempertikaikan bahawa “Bank of England telah mengambil tindakan yang begitu agresif dalam mengetatkan polisi mereka”. Mereka menyebut, “Kami telah melihat potensi kadar yang lebih rendah berbanding ekonomi negara-negara membangun terkemuka yang lain”. Jelas sekali terdapat perbezaan antara kedua-dua pihak, namun satu perkara yang kedua-duanya setuju adalah mata wang British akan terus berhadapan tekanan. Setidak-tidaknya sehinggalah terdapat bukti kukuh bahawa kadar inflasi turun dengan berkala.

    Pasangan GBP/USD memulakan minggu lalu pada paras 1.2202 dan kembali berada hampir dengan kedudukan permulaan setelah laporan tenaga kerja di A.S. dikeluarkan pada hari Jumaat, 6 Oktober. Data Penggajian Bukan Pertanian (NFP) yang memberangsangkan menjadikan nilai dolar lebih kukuh buat sementara. Minggu lalu ditutup dengan mata wang Eropah ini menerima kelebihan, dagangan pasangan ini ditutup pada paras 1.2237. Walau bagaimanapun, carta untuk dua minggu lalu masih mencadangkan trend mendatar. Pendapat para penganalisis terhadap masa depan pasangan ini untuk minggu depan adalah seperti berikut: 40% adalah bullish, 40% lagi adalah bearish, dan baki 20% berpendirian neutral. Dalam kalangan indikator trend pada carta D1, 65% berwarna merah, manakala 35% lagi berwarna hijau. Bagi pengayun, 40% menunjukkan penurunan pasangan ini, 10% menunjukkan pertumbuhan (kesemua berada dalam zon lebihan belian), dan baki 50% lagi berpendirian neutral.

    Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2195-1.2205, 1.2100-1.2115, 1.2140-1.2150, 1.2085, 1.2040, 1.1960, dan 1.1800. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2270, 1.2330, 1.2440-1.2450, 1.2510, 1.2550-1.2575, 1.2600-1.2615, 1.2690-1.2710, 1.2760, dan 1.2800-1.2815.

    Data KDNK yang baru di United Kingdom dijangka akan dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Oktober. Setelah mengalami penguncupan sebanyak -0.5% pada bulan Julai, indikator ini dijangka akan menunjukkan pertumbuhan secara bulanan sebanyak 0.2% pada bulan Ogos. Tiada perkara ekonomi penting berkaitan negara itu yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.

USD/JPY: Benarkah Ada Campur Tangan?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 09 - 13 Oktober, 20231

  • Kami menyatakan dalam ulasan sebelum ini bahawa nombor “magik” 150.00 akan menjadi isyarat kepada pihak berkuasa kewangan Jepun untuk mula membuat campur tangan mata wang. Benar, setelah pasangan USD/JPY melintasi kadar ambang ini sedikit pada hari Selasa, 3 Oktober, mencecah ketinggian 150.15, perkara yang sudah lama ditunggu-tunggu akhirnya berlaku, dalam masa hanya beberapa minit, kadar pasangan ini turun hampir 300 mata, dan penurunan itu terhenti pada paras 147.28.

    Sentimen pasaran yang berlaku adalah Bank of Japan (BoJ) akhirnya beralih daripada campur tangan lisan kepada campur tangan sebenar. Menariknya, Menteri Kewangan negara itu, Shunichi Suzuki enggan memberikan sebarang komen sama ada benarkah terdapat campur tangan yang dilaksanakan. Beliau hanya menjadikan keadaan ini lebih keliru dengan menyatakan bahawa “banyak faktor yang menjadi penentu sama ada pergerakan di pasaran kewangan adalah berlebihan”, dan “tiada sebarang perubahan yang dilaksanakan kerajaan dalam menangani masalah ini”. Kesimpulannya, tafsir seperti yang anda rasakan betul.

    Sudah tentu, tiada siapa dapat menolak keadaan yang mencetuskan order stop setelah kadarnya menembusi paras utama 150.00 (seperti “black swan” yang dilihat sebelum ini). Namun, kami percaya bahawa keadaan itu tidak mungkin akan berlaku tanpa sebarang campur tangan oleh pihak berkuasa kewangan Jepun.

    Setelah susut dengan mendadak, nilainya kini telah pulih dan menghampiri garis trend menaik dari bawah. Sukar untuk menyatakan sama ada campur tangan Bank of Japan (jika ia benar-benar berlaku) telah mencapai matlamatnya. Jika diingat senario sama berlaku pada musim bunga lalu, kesan daripada tindakan seperti itu hanyalah sementara, dan keadaan di pasaran akan kembali seperti sebelumnya dalam masa beberapa bulan. Walau bagaimanapun, adalah langkah terbaru ini boleh menjadi penghalang kepada bull USD/JPY serta membolehkan mata wang Jepun pulih sepenuhnya? Peluangnya ada, lebih tepat lagi jika penggubal dasar membuat campur tangan dengan aktif bagi menghalang pasangan ini daripada naik semula ke paras 150.00 atau lebih tinggi.

    Pasangan ini mengakhiri minggu dagangan pada paras 149.27. 100% penganalisis yang ditinjau bersetuju dengan pengukuhan nilai yen serta penurunan pasangan ini ke bawah setelah mengingati kejadian pada 10 Oktober nanti. (Perlu diketahui di sini bahawa ketepatan ramalan ini adalah tidak dijamin walaupun dengan pendapat sebulat suara itu). Indikator trend pada carta D1 menunjukkan pandangan berbeza – 100% kesemuanya berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, jumlahnya kurang sedikit, hanyo 90% berada di zon hijau, dan 10% lagi berwarna merah. Sokongan paling hampir berada di sekitar 149.15, diikuti dengan 148.80, 148.30-148.45, 147.95-148.05, 146.85-147.25, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, 142.20, 140.60-140.75, 138.95-139.05, dan 137.25-137.50. Rintangan paling hampir berada di antara 149.70-150.15, diikuti dengan 150.40, 151.90 (paras tertinggi pada Oktober 2022), dan 153.15.

    Tiada data ekonomi penting berkaitan dengan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu depan. Selain itu, negara tersebut akan menyambut cuti umum pada hari Isnin, 9 Oktober, kerana sambutan Hari Sukan Kebangsaan.

MATA WANG KRIPTO: Sasaran untuk Uptober adalah $30,000

  • Setelah Q3 berakhir pada 30 September, dagangan pasangan BTC/USD dilihat turun sebanyak 12%. Walaupun mengalami penyusutan pada bulan Julai dan Ogos, bitcoin berjaya memberikan pulangan buat pertama kalinya sejak tahun 2016 pada bulan September, naik daripada $26,012 kepada $26,992 dalam tempoh sebulan. Data oleh TradingView juga tertumpu kepada peningkatan dalam jumlah modal pasaran sektor mata wang kripto sebanyak 6.1%, kenaikan daripada kira-kira $1.029 trilion pada awal September kepada $1.092 trilion pada penghujung bulan.

    Ran Neuner, pengasas Crypto Banter yang juga pedagang berpengalaman telah menggariskan betapa pentingnya prestasi positif bitcoin pada bulan September ini. Beliau sedar bahawa dalam masa setahun sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan, bulan September yang menguntungkan seperti yang berlaku pada tahun 2015 telah terbukti akan diikuti dengan 70% lonjakan nilai pada Q4. Penganalisis di Bitfinex menyuarakan sentimen yang sama, mencadangkan bahawa warna hijau yang ditunjukkan bulan September biasanya akan memberi petanda kepada trend bullish pada bulan Oktober.

    Laporan oleh Bitfinex Alpha membuktikan lagi unjuran optimis untuk bulan Oktober dengan memetik pasaran niaga hadapan sebagai rujukan. Data itu menunjukkan bahawa nilai semasa yang ada sekarang ini berjaya dikekalkan oleh keseimbangan antara pemilik jangka pendek dan pemilik jangka panjang, membayangkan bahawa pelabur jangka panjang yang berpengalaman bersikap lebih tabah dalam menyimpan coin yang dimiliki. Disamping itu, bitcoin yang disimpan antara 6 dan 12 bulan sebahagian besarnya berada dalam keadaan dorman, manakala bekalan BTC yang berusia lebih daripada tiga tahun kekal tidak aktif sejak Februari 2023.

    Santiment, sebuah firma analisis rangkaian melaporkan bahawa walet yang lebih besar, biasanya dikenali sebagai jerung yang menyimpan antara 10 dan 10,000 BTC dengan senyap-senyap terus menambah jumlah bitcoin dan Tether (USDT) sepanjang enam minggu lalu. Pemilikan terkumpul mereka kini telah mencapai jumlah tertinggi untuk tahun 2023 iaitu sebanyak 13.03 juta BTC, menunjukkan keadaan jangka panjang bitcoin yang lebih baik.

    Semua orang tahu bahawa bulan Oktober tiba setelah berakhirnya bulan September, dan kebanyakan pelabur memberikan harapan tinggi untuk bulan itu. Mengikut statistik, dalam masa lapan tahun lalu, hanya sekali bitcoin mengakhiri bulan Oktober dalam keadaan berwarna merah, iaitu pada tahun 2018. Pada tahun-tahun yang lain, perolehan bulanannya adalah antara 5.5% dan 48.5%. Jika kita mengambil kira keseluruhan sejarah mata wang kripto terkemuka itu, bulan Oktober telah menjadi bulan paling menguntungkan sebanyak lapan kali daripada sepuluh tahun dengan purata pulangan sebanyak 22%. Fenomena bermusim ini digelar sebagai "Uptober."

    Hari-hari awal bulan Oktober memberikan harapan bahawa tradisi “Uptober” akan terus berlaku dalam tahun 2023. Pada hari Isnin, 2 Oktober, nilai bitcoin mencecah paras tertinggi mingguan di sekitar $28,562. Walau bagaimanapun, kekecewaan dirasai lewat pada hari yang sama disebabkan pedagang mula menjual untuk mendapat pulangan, mengakibatkan nilai coin turun ke zon $27,500. Pakar strategi Bloomberg iaitu Mike McGlone percaya bahawa pengunduran ini memang tidak dapat dielakkan. Tekanan lebih cenderung untuk berlaku apabila nilai mata wang digital ini naik mendadak. Kadar turun naik yang bertambah seiring dengan aktiviti penjualan kerana mereka ingin mengambil peluang terhadap lonjakan nilai aset ini.

    McGlone berasa ragu-ragu mengenai bitcoin akan mencecah nilai $30,000 dalam masa terdekat ini. Faktor utama yang menghalng pertumbuhan bitcoin adalah polisi ketat pihak berkuasa A.S. Tindakan menindas oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) telah menjadi penghalang pelabur-pelabur berinstitusi daripada memasuki pasaran kripto. Risiko kegawatan di peringkat global turut melemahkan selera risiko. Dalam senario seperti ini, pasaran saham tidak akan mampu untuk bertumbuh, dan pakar strategi itu memberi penekanan bahawa mata wang digital juga akan menerima nasib yang sama.

    Penganalisis di QCP Capital juga percaya bahawa paras rintangan bagi pasangan BTC/USD akan berada di antara $29,000 dan $30,000. Walaupun melalui musim-musim yang positif, mereka memberi amaran bahawa kemungkinan untuk paras $25,000 akan diuji semula seharusnya tidak boleh dikecualikan.

    Walau bagaimanapun, tidak semua yang bersetuju dengan pendapat ini. Sebagai contoh, seorang pedagang dengan nama gelaran “Bluntz” berasa yakin bahawa bitcoin telah memasuki teritori bullish “secara rasmi” dan semua ramalan yang menjangkakan nilainya turun ke paras $24,000 adalah tidak berasas. Pada pendapat beliau, nilai bitcoin yang telah berada di atas paras $27,000 mengesahkan bitcoin kini berada dalam pasaran bull. “Saya merasakan inilah masanya untuk menyingkirkan mana-mana pendapat bearish yang berat sebelah,” jelas Bluntz.

    Seorang lagi pedagang terkenal dan juga pengasas firma modal teroka Eight iaitu Michael Van De Poppe bukan saja berasa optimis dengan bulan Oktober malah juga dengan Q4 2023 secara keseluruhannya. Penganalisis itu menjangkakan pertumbuhan yang dialami pada suku tahun terakhir ini boleh menolak nilai mata wang kripto terkemuka itu ke paras $40,000. Namun, perlu diketahui bahawa walaupun data lampau begitu menyebelahi bulan Oktober, dinamik suku tahunan bitcoin pula bukanlah sesuatu yang mudah untuk difahami. Sebagai contoh, nilai aset digital itu bertambah sebanyak 142.2% pada tahun 2017, namun hampir susut separuh daripada nilainya pada tiga bulan tahun berikutnya.

    Dalam ulasan kami sebelum ini, kami telah laporkan bahawa Kepintaran Buatan oleh CoinCodex telah mengunjurkan nilai mata wang kripto terunggul ini untuk mencapai nilai $29,703 menjelang Hari Halloween (31 Oktober). Kali ini, satu lagi AI, satu algoritma pembelajaran mesin oleh platform ramalan PricePredictions memberikan unjuran yang sama. Mengikut analisis, nilai bitcoin akan berlegar-legar di sekitar paras psikologi penting iaitu $30,403 pada 31 Oktober. Unjuran ini dibuat menggunakan beberapa indikator teknikal utama, termasuklah Moving Average Convergence Divergence (MACD), Relative Strength Index (RSI), Bollinger Bands (BB), antara lainnya.

    Berkenaan dengan Ethereum, pesaing utama bitcoin, seorang penganalisis yang dikenali sebagai Dave the Wave menjangkakan susut nilai Ethereum terhadap bitcoin akan terus berlaku setidak-tidaknya sehingga penghujung tahun 2023. Dave the Wave telah menerbitkan satu carta trend ETH/BTC yang menonjolkan bentuk segi tiga menurun, petanda penurunan nilai altcoin.

    Membuat perbandingan trend daripada tahun 2017 sehingga 2018, Dave the Wave menyatakan bahawa Ethereum bersedia untuk mengalami susut nilai berbanding bitcoin, lebih khusus lagi disebabkan oleh lonjakan nilai bitcoin yang mantap. Potensi untuk nilai Ethereum mengalami pertumbuhan dilihat agak terhad kepada “musim altcoin”, keadaan yang dijangka akan bermula setelah bitcoin mencapai nilai tertingginya.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 6 Oktober, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $27,960, manakala ETH/BTC pula adalah 0.0588. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $1.096 trilion, naik daripada $1.075 trilion pada minggu lalu. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto untuk bitcoin telah bertambah sebanyak 2 mata sepanjang minggu dan buat masa ini berada di zon Neutral, pada bacaan 50.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami