November 12, 2023

EUR/USD: Bagaimana Powell Membantu Dolar

  • Minggu lalu menyaksikan beberapa peristiwa penting yang mencerminkan turun naik pasangan EUR/USD di sekitar paras 1.0700. Paling ketara, terdapat sedikit peningkatan pada kadar Indeks Dolar (DXY), bermula pada kedudukan 105.05 dan mencecah paras tertinggi mingguannya iaitu 105.97 pada hari Jumaat, 10 November. Punca utama kepada pertumbuhan ini adalah komen bersifat “hawkish” yang dibuat oleh Pengerusi Rizab Persekutuan.

    Pada hari Khamis, 9 November, Jerome Powell yang turut serta dalam perbincangan polisi kewangan anjuran Tabung Kewangan Dunia mengesahkan bahawa keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan sebelum ini dibuat “berdasarkan sepenuhnya kepada data yang diperoleh dan kesannya terhadap unjuran aktiviti ekonomi dan kadar inflasi”. Powell menyampaikan rasa tidak pasti tentang kejayaan Rizab Persekutuan dalam melaksanakan polisi yang cukup ketat bagi mengurangkan kadar inflasi kepada 2%. Selain itu, beliau maklum dengan pertumbuhan mendadak kadar KDNK di A.S., memberi bayangan bahawa pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi boleh melemahkan kemajuan yang dicapai dalam menstabilkan pasaran buruh.

    Komen Powell itu disahkan oleh data tuntutan awal bagi manfaat pengangguran untuk minggu berakhir 4 November, berjumlah 217K, rendah sedikit berbanding jumlah sebelum ini iaitu 220K. Walaupun penurunannya kecil, ia masih lagi menunjukkan pengangguran berkurang dan bukannya bertambah.

    Tafsiran pasaran terhadap komen Powell memberi bayangan tentang keinginan penggubal dasar itu untuk menaikkan kadar faedah utama mereka sekali lagi. Disebabkan itu, hasil perolahan bon 10 tahun Perbendaharaan A.S. bertambah hampir 3%, melebihi paras 4.6%, memberikan sokongan kepada dolar.

    Tekanan penurunan yang harus ditempuhi pasangan EUR/USD juga telah diberi oleh statistik makroekonomi dari EU. Di Jerman, kadar inflasi (CPI) bulan ke bulan menunjukkan penurunan daripada 0.3% kepada 0%. Jumlah jualan runcit di Eurozone secara keseluruhannya susut sebanyak 0.3% pada bulan September setelah turun 0.7% pada bulan Ogos. Walau bagaimanapun, dari segi tahunan, indikator ini turun daripada -1.8% kepada 2.9%. Kebanyakan penganalisis menganggap penurunan aktiviti pengguna seperti itu sebelum musim perayaan Krismas dan Tahun Baru tiba boleh menunjukkan permulaan kepada kegawatan teknikal di Eurozone sebelum berakhirnya tahun ini.

    Mengikut data FedWatch oleh CME Group, pasaran masih lagi mengambil kira 90% kebarangkalian pihak Rizab Persekutuan akan membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah pada Disember 2023. Pakar ekonomi dari Bank Nordea Finland percaya bahawa Bank Negara A.S. akan mengekalkan kadar pembiayaan pusat mereka mengikut kadar semasa iaitu 5.50% walaupun pada tahun 2024.

    Walau bagaimanapun, kitaran kenaikan kadar faedah untuk Euro dilihat sudah pun berakhir. Menurut pakar strategi di salah sebuah bank terbesar A.S. iaitu Wells Fargo, prospek pertumbuhan yang suram di Eurozone mencadangkan bahawa pengetatan polisi kewangan ECB berkemungkinan sudah berakhir. Kejayaan dalam menurunkan kadar inflasi yang dicapai baru-baru ini menguatkan lagi jangkaan mereka bahawa kenaikan kadar paling tinggi [4.5%] sudahpun dicapai.

    Nordea dan Wells Fargo percaya bahawa pihak ECB mungkin akan terpaksa mengurangkan kos pinjaman mereka pada awal musim panas tahun hadapan. “Kami tidak jangkakan penurunan pertama kadar ECB akan dibuat sehingga mereka bermesyuarat pada Jun 2024, walaupun selepas itu mereka akan menurunkan kadar depositnya dengan konsisten sebanyak 150 mata kepada 2.50% antara pertengahan 2024 sehingga awal tahun 2025. Secara keseluruhan, kami percaya risiko untuk ECB menurunkan kadar mereka adalah lebih tinggi atau lebih agresif daripada yang dijangka sebelum ini."

    Faktor-faktor seperti selera risiko global yang bertambah baik serta kelembapan ekonomi A.S. dapat memberi sokongan kepada Euro. Namun, jurang perbezaan antara polisi kewangan Rizab Persekutuan dan ECB akan terus mengenakan tekanan penurunan kepada EUR/USD. Perkara ini turut memberi kesan kepada mata wang negara-negara utama yang lain - jika bank negara mereka membiarkan kadar faedah tidak berubah, atau lebih teruk lagi, mula menurunkannya, nilai dolar mungkin akan menjadi lebih kukuh.

    Pasangana EUR/USD mengakhiri minggu lalu dengan berada pada kedudukan 1.0684. Buat masa ini, perbezaan pendapat penganalisis mengenai minggu hadapan adalah seperti berikut: 25% bersetuju dolar akan menjadi lebih kukuh, 60% memihak kepada euro, dan 15% lagi kekal neutral.

    Bagi analisis teknikal, 85% pengayun pada carta D1 adalah berwarna hijau, manakala 15% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang memihak warna hijau adalah 70% berbanding 30%.

    Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar 1.0620-1.0640, diikuti dengan 1.0480-1.0520, 1.0450, 1.0375, 1.0200-1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0740, kemudian 1.0800, 1.0865, 1.0945-1.0975, dan 1.1065-1.1090, 1.1150, dan 1.1260-1.1275.

    Tidak seperti minggu lalu yang agak tenang, minggu depan dijangka meriah. Pada hari Selasa, 4 November, data Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS akan dikeluarkan, bersama-sama dengan data awal KDNK di Eurozone untuk Q3. Keesokan harinya akan memberikan kita statistik mengenai jumlah jualan runcit dan Indeks serta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di Amerika Syarikat. Pada hari Khamis, 16 November, seperti biasa, data tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di A.S. akan diketahui. Akhir sekali, hari Jumaat, indikator inflasi yang penting iaitu Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone akan dikeluarkan.

GBP/USD: Bahaya Berada Hampir Dengan Paras 1.2200

  • Jika diingat pada 3 November lalu, mata wang British menerima kesan bullish yang kuat setelah data pasaran buruh di A.S. dikeluarkan. Ketika itu, pasangan GBP/USD secara harfiahnya melompat ke atas. Pada hari Isnin, 6 November, nilai pound naik sekali lagi, mencecah ketinggian 1.2427. Walau bagaimanapun, pasaran memutuskan sudah tiba masanya untuk bull berhenti bergembira dan inilah masanya untuk pasangan GBP/USD kembali berada di zon 1.2200.

    Perubahan trend ke bawah ini telah didorong dengan statistik dari United Kingdom. Pada bulan Oktober, aktiviti dalam sektor pembinaan di negara itu hanya naik sedikit, daripada 45.0 kepada 45.6. Sementara itu, order dalam sektor yang sama juga telah menurun untuk empat bulan berturut-turut, dan jumlahnya sudah pun 20% lebih rendah berbanding setahun lalu. Kadar purata gadai janji kini sudah melebihi 8%, dan jumlah pinjaman gadai janji yang telah diluluskan pula telah merosot untuk empat bulan berturut-turut. Justeru, menjangkakan terdapat pertambahan ketara dalam aktiviti perniagaan di sini mungkin tidak akan berlaku.

    Walaupun kadar KDNK di United Kingdom naik sedikit pada bulan September, daripada 0.1% kepada 0.2%, kadar itu dijangka akan turun untuk suku ketiga, daripada 0.2% kepada 0.0%, dan terus berada pada kadar 0.6% dari segi tahunan. Dalam keadaan seperti itu, Bank of England (BoE) mungkin tidak akan menaikkan kadar faedah mereka dalam masa terdekat ini. Namun mereka juga tidak akan menurunkannya. Ketua Pakar Ekonomi BoE iaitu Hugh Pill baru-baru ini menyatakan bahawa kadar faedah tidak perlu dinaikkan untuk membendung inflasi namun ianya perlu dilaksanakan bagi memastikan polisi kewangan mereka berada dalam keadaan yang dihadkan. Dengan kata lain, kadarnya akan kekal sama pada paras 5.25%. Seperti yang telah dinyatakan terlebih dahulu. Dalama situasi seperti itu, kelebihan mungkin akan terus memihak kepada dolar. Perkara ini jelas ditunjukkan oleh reaksi pasaran setelah Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berucap pada 9 November. Sejurus selepas beliau memberikan bayangan samar-samar tentang kadar faedah, kedudukan GBP/USD jatuh menjunam.

    Pasangan ini mengakhiri minggu lalu dengan berada pada paras 1.2225. Menurut pakar ekonomi di Scotiabank, zon 1.2200 mungkin boleh dijadikan sebagai paras sokongan jangka pendek; namun, penurunan di bawah paras ini berisiko untuk meneruskan penurunan yang berlaku dan menguji semula pada paras antara 1.2000-1.2100. Berkenaan dengan unjuran median untuk minggu depan, 60% penganalisis bersetuju dengan pergerakan baru pasangan ini ke atas, 20% lagi memihak kepada penurunan, dan 20% pula berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 50% menunjukkan penurunan, 15% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 35% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Dalam kalangan indikator trend, hanya 15% menunjukkan pertumbuhan, sementara kebanyakan majoriti (85%) bersetuju dengan trend penurunan. Jika pasangan ini turun ke bawah, pasangan ini akan menerima sokongan pada paras dan zon antara 1.2040-1.2085, 1.1960, dan 1.1800-1.1840, 1.1720, 1.1595-1.1625, 1.1450-1.1475. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2290-1.2335, 1.2430-1.2450, 1.2545-1.2575, 1.2690-1.2710, 1.2785-1.2820, 1.2940, dan 1.3140.

    Hari Selasa, 14 November adalah hari yang menjadi tumpuan untuk kalendar ekonomi di United Kingdom minggu hadapan. Pada hari itu, satu set data menyeluruh tentang pasaran buruh di negara ini akan dikeluarkan. Pada hari Rabu, 15 November pula, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Britain untuk bulan Oktober akan diketahui. Akhir sekali, mengakhiri minggu pada hari Jumaat, 17 November, kami menunggu data jualan runcit di United Kingdom untuk dikeluarkan.

USD/JPY: Masa Sukar untuk Yen Sekarang, Namun Cerah Pada Masa Depan

  • Bank of Japan (BoJ) memutuskan untuk tidak mengubah parameter polisi kewangan mereka semasa bermesyuarat pada 31 Oktober lalu, keputusan yang sering diambil untuk tempoh yang lama. Penggubal dasar itu bukan saja mengekalkan kadar faedah negatif pada paras -0.1% tetapi juga meneruskan kadar hasil perolehan bon kerajaan (JGB) 10 tahunnya. Sesetengah peserta pasaran meletakkan harapan supaya BoJ akan menaikkan kadar siling hasil perolehannya daripada 1% kepada sekurang-kurangnya 1.25% berikutan data inflasi yang mengalami pertumbuhan. (Perlu diketahui bahawa hasil sekuriti yang sama di A.S. sudah melebihi 4.6% pada 9 November). Namun, Bank of Japan mengekalkan pendirian mereka dan bukannya membuat perubahan berdasarkan isyarat jelas mengenai tekanan inflasi yang memuncak. Perkara ini telah menolak pasangan USD/JPY ke paras 151.71 yang tinggi. Kedudukannya boleh kekal di situ jika bukan disebabkan data dari pasaran buruh di A.S. yang dikeluarkan pada 3 November, menolaknya ke paras 149.34.

    Kebanyakan penganalisis percaya bahawa para pegawai di Jabatan Kewangan dan Bank of Japan (BoJ) boleh mengekalkan kedudukan USD/JPY pada paras itu dengan campur tangan lisan dan mantera mereka. Jika pembelian yen dibuat oleh pihak berkuasa, pasangan ini dijangka akan terus mengalami penurunan. Namun, perkara ini tidak berlaku, dan pada 10 November, pasangan ini sekali lagi naik ke paras 151.59, mengakhiri lima hari dagangan tidak jauh daripada paras 151.51.

    "Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila USD/JPY mengikuti trend ke atas,” komen pakar strategi Commerzbank. “Mengikut kadar tukaran semasa, melabur dalam Yen Jepun adalah sesuatu yang tidak begitu menarik buat para pelabur asing (dan domestik). […] Selagi polisi kewangan Jepun tidak melalui perubahan radikal, USD/JPY mungkin akan menguji satu lagi paras tertinggi tidak lama lagi. Kementerian Kewangan mungkin sekali lagi akan memberikan reaksi dengan ancaman campur tangan. Namun, jika Bank of Japan tidak dapat menahan diri daripada membuat kenyataan yang bersifat ‘dovish’, dan jika Kementerian Kewangan benar-benar campur tangan, ianya mungkin hanya dapat menghalang pertumbuhan kadar mata wang buat sementara saja."

    Menurut Rabobank Belanda, proses normalisasi polisi kewangan Jepun yang perlahan mencadangkan bahawa pasangan USD/JPY mungkin akan terus didagangkan di atas paras 150.00 untuk beberapa minggu akan datang. Namun, kebimbangan tentang campur tangan sebenar daripada Kementerian Kewangan Jepun mungkin menghalang pergerakannya ke atas, dan pasaran mungkin sangat keberatan untuk menolak pasangan ini naik ke paras 152.00 atau lebih tinggi.

    Sementara itu, penganalisis di United Overseas Bank (UOB) Singapura percaya bahawa risiko untuk pasangan ini berada lebih tinggi daripada paras tertinggi minggu lalu iaitu 151.80 telah bertambah. Paras ini tidak jauh daripada paras tertinggi tahun lalu di sekitar 151.95, dan jika dolar boleh menembusi zon rintangan ini, berkemungkinan pertumbuhan ini akan terus naik ke paras 152.50 dalam masa 1-3 minggu.

    Walaupun diunjur akan bertumbuh, penganalisis terus menyatakan bahawa nilai yen yang lemah adalah sesuatu yang tidak adil, menyebut perkara sama seperti kenyataan Kementerian Kewangan dan Bank of Japan. “Sebarang spekulasi kenaikan kadar akan membolehkan USD/JPY turun lebih rendah pada tahun hadapan,” Rabobank membuat unjuran. Mereka menyebut, “Kami percaya bahawa untuk setengah tahun kedua 2024, pasangan ini boleh kembali berada lebih rendah daripada 145.00”. “Berdasarkan kepada nilai spread, perolehan ekuiti, dan keadaan dagangan, nilai saksama […] mencadangkan bahawa dolar dinilai terlalu tinggi dan seharusnya didagangkan hampir pada 144.50,” menurut pakar ekonomi Scotiabank.

    Walau bagaimanapun, masih tiada jawapan terhadap persoalan mengenai bilakah “keadilan” ini dapat dipulihkan. Menurut Societe Generale, tidak lama lagi. Pada pendapat mereka, memang benar yen akan terus mengecewakan buat seketika, namun perubahan trend penurunan USD/JPY semakin hari semakin hampir berlaku.

    Dalam membincangkan prospek pasangan ini untuk minggu hadapan, 55% penganalisis menjangkakan nilai yen yang lebih kukuh, manakala 10% lagi berpendirian neutral. Kira-kira 35% bersetuju pasangan ini akan berada lebih tinggi daripada paras 152.00 semasa ulasan ini dibuat. Analisis teknikal menyokong jangkaan kelompok ini, dengan 100% indikator trend dan pengayun pada D1 berwarna hijau.

    Sokongan paling hampir berada di zon antara 150.00-150.15, diikuti dengan 148.45-148.80, 146.85-147.30, 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, dan 142.20. Rintangan terdekat berada pada paras 151.70-151.90 (paras tertinggi Oktober 2022), kemudian 152.80-153.15 dan 156.25.

    Selain daripada penyiaran data awal KDNK di Jepun untuk Q3 pada hari Rabu, 15 November, tiada lagi statistik penting berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

MATA WANG KRIPTO: Rekod dan Skandal Pasaran

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 13 - 17 November, 20231

  • Minggu lalu telah berlakunya dua perkara: skandal Ethereum dan lonjakan lebih tinggi nilai bitcoin serta pertambahan jumlah keseluruhan modal pasaran kripto. Mari mulakan dengan skandal.

    Bekas perunding platform Ethereum iaitu Steven Nerayoff selaku seorang peguam telah menuduh Vitalik Buterin dan Joseph Lubin melakukan aktiviti penipuan. Beliau percaya bahawa pengasas bersama ETH itu terlibat dalam jenayah tipu muslihat yang berskala lebih besar daripada CEO FTX iaitu Sam Bankman-Fried (tokoh yang berdepan hukuman penjara 110 tahun setelah didapati bersalah oleh pihak juri).

    “Dakwaan Buterin dalam percubaan untuk menghasilkan mata wang disentralisasi adalah tidak benar. Sejak awal lagi ianya berpusat, dan sekarang, pusat ini menjadi lebih tertumpu,” jelas Nerayoff. "Sebahagian kecil pelabur ETH mengawal kira-kira 75% daripada keseluruhan aset protocol ini. Kini lebih mudah untuk memanipulasi harganya atau menetapkan had tertinggi dan terendahnya. Kebanyakan pedagang yang ada di bursa adalah palsu atau hanya rekaan bagi mencipta kewujudan likuiditi,” beliau meneruskan pendedahan itu.

    Nerayoff juga mengesyaki wujudnya persetujuan rahsia antara pentadbir rangkaian Ethereum dengan pegawai tinggi kerajaan AS, seperti Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler dan bekar Pengerusi SEC iaitu Jay Clayton yang meletak jawatan di peringkat awal pelancaran altcoin berkenaan. Sebelum itu, peguam tersebut membuat spekulasi bahawa serangan besar-besaran terhadap Ripple oleh badan perundangan AS mungkin telah mendapat sokongan daripada pelabur ETH yang berpengaruh. Pada pendapat beliau, musuh Ripple mungkin termasuk individu yang berkait dengan SEC, Jabatan Kehakiman, FBI, malah mungkin sebahagian daripada pekerja Ripple sendiri.

    Menariknya, penyiasat kripto iaitu Truth Labs telah membuat pendedahan yang sama. Namun, tidak seperti Nerayoff, mereka percaya bahawa pihak yang terlibat bukanlah AS tetapi konglomerat China iaitu Wangxian Group yang berpengaruh dalam menentukan hala tuju rangkaian Ethereum, serta organisasi yang rapat dengan Parti Komunis China (CPC), mengawal hampir 80% ETH yang dihasilkan. Truth Labs juga mendakwa bahawa Wangxian adalah salah satu penaja awal bagi rangkaian Ethereum pada tahun 2015. Kumpulan ini juga mendapat kredit dalam menghasilkan walet asal Buterin.

    Timbul persoalan sama ada tuduhan Nerayoff dan Truth Labs itu dapat dibuktikan atau tidak. Buat masa ini, nilai ETH sedang meningkat dan mencecah paras tertinggi iaitu $2,130. Bagi mata wang kripto utama, kadar BTC/USD telah menembusi paras rintangan $37,000 pada hari Khamis, 9 November dan mencapai paras tertinggi mingguan iaitu $37,948: kali terakhir didagangkan pada paras itu adalah pada Mei 2022.

    Perkembangan trend bullish BTC ini telah menyebabkan indikator tahunan dan sepanjang zaman dapat diperbaharui. Aliran bersih kemasukan modal ke dalam pasaran kripto sepanjang 30 hari lalu telah mencecah $11 bilion, satu rekod untuk tahun 2023. Pelabur institusi menambah $767 juta lagi ke dalam pasaran kripto sepanjang enam minggu lalu, melebihi rekod tahun sebelum ini iaitu $736 juta dan mencapai jumlah pada penghujung tahun 2021. Minat terbuka untuk niaga hadapan bitcoin di Chicago CME Exchange juga berada pada kadar yang sama seperti pada Disember 2021 ($3.7 bilion). Pelabur jangka panjang terus mengumpul bitcoin, menjadikan jumlah pemilikan mereka kepada 14.9 juta BTC (lebih daripada 70% BTC yang dihasilkan). Jumlah pembelian mereka adalah melebihi 25,000 coin setiap bulan. Pelabur jangka pendek dan spekulator juga menjadi lebih aktif, dipengaruhi dengan efek FOMO (Fear of Missing Out).

    Senarai rekod masih boleh diteruskan, tetapi perkara yang bakal berlaku selepas ini membimbangkan semua orang. Jika dinamik seperti it uterus berlaku, permintaan terhadap emas digital akan terus bertambah, dan bekalan akan menjadi semakin berkurangan. Jika hal itu berlaku, rekod mingguan malah rekod dan paras tertinggi yang baru mungkin dapat dicapai tidak lama lagi.

    Sudah berulang kali kami senaraikan faktor-faktor yang menyumbang kepada lonjakan bull ini. Faktor utama termasuklah penantian kelulusan SEC terhadap spot ETF Bitcoin, pengurangan penghasilan 2024, serta potensi pihak Rizab Persekutuan mengubah pendirian polisi kewangan mereka. Markus Thielen, Ketua Penyelidik di Matrixport mengingatkan bahawa di akhir kitaran pengetatan polisi Rizab Persekutuan pada Januari 2019, nilai emas digital ini naik lima kali ganda. Namun, Thielen berhati-hati dalam menjangkakan dinamik seperti itu akan berulang tetapi bersetuju mata wang kripto terkenal itu boleh “naik dengan ketara” pada tahun 2023 dan 2024. Mengikut pengiraan beliau, nilai bitcoin cenderung untuk naik sebanyak 23% secara purata sebelum tibanya Hari Krismas antara November-Disember tahun ini.

    Selain daripada pendorong pertumbuhan yang dinyatakan tadi, pengasas MicroStrategy iaitu Michael Saylor telah mengenal pasti beberapa faktor yang boleh menggandakan nilai Bitcoin sepuluh kali ganda untuk jangka sederhana. Menurut Saylor, perkara yang akan menjadi perkembangan positif adalah undang-undang baru bagi perakaunan rizab Bitcoin oleh syarikat di Amerika Syarikat tidak lama lagi. “Mengikut perspektif, hal ini akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat untuk mengguna pakai Bitcoin sebagai aset perbendaharaan dan mewujudkan nilai pemegang saham,” Saylor berkata dengan yakin.

    Usahawan itu juga menunjukkan kesan positif terhadap penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia oleh pihak berkuasa, termasuklah perbicaraan bekas CEO bursa yang runtuh. Menurut Saylor, “kesemua koboi kripto terdahulu, token sekuriti yang tidak berdaftar, penjaga yang tidak boleh dipercaya” telah mengaut keuntungan secara pasif daripada bitcoin. Untuk membawa industri kripto ke tahap yang baru, ia memerlukan “pengawasan”. Pengasas MicroStrategy itu juga merasakan terdapat keperluan untuk “beralih daripada token bernilai 100,000” yang dijadikan sebagai bahan spekulasi dan kembali kepada bitcoin. “Apabila industri mengalihkan fokusnya daripada coin kecil yang bersinar dan mengganggu tumpuan serta memusnahkan nilai pemegang saham, saya percaya ia akan beralih ke tahap baru, dan kita akan melihat peningkatan 10x ganda daripada kedudukan sekarang,” Saylor membuat kesimpulan.

    Sila maklum bahawa ini bukanlah unjuran yang paling mengagumkan. CEO ARK Investment iaitu Catherine Wood percaya bahawa dalam dekad seterusnya, nilai emas digital ini akan melebihi $1 juta. (Nota: rakan kongsi yang sudah lama bersama Warren Buffet baru-baru ini telah mengkritik bitcoin sekali lagi, menggelarnya sebagai “produk tercemar” sebagai tambahan kepada gelaran sebelum ini seperti “pelaburan paling bodoh”, “racun tikus”, dan “penyakit kelamin”.)

    Jika bercakap tentang unjuran masa terdekat, menurut Rachel Lin, CEO bursa SynFutures, nilai mata wang kripto pertama ini boleh mencecah $47,000 menjelang akhir bulan November nanti. “Apa yang berlaku beberapa minggu lalu telah mengukuhkan reputasi bulan Oktober sebagai Uptober, dengan bitcoin mengukuhkan nilainya hampir 29%. Apa yang lebih menarik lagi adalah prestasi bulan November akan melebihi bulan Oktober dengan purata pulangan bitcoin melebihi 35%. Jika November ini memberikan jumlah pulangan yang hampir sama, nilai aset ini akan berada di sekitar $47,000,” mengikut kira-kira beliau.

    Sebagai satu lagi faktor positif tambahan, Lin maklum dengan peningkatan jumlah pengguna dan transaksi. Pada pendapat beliau, pertambahan jumlah dagangan spot dengan peningkatan ketara jumlah bayaran melebihi $100,000 adalah sesuatu yang patut diberi perhatian. “Ini adalah satu indikator jelas minat pelabur berinstitusi telah bertambah. Pelabur-pelabur besar sedang menggabungkan posisi aset digital mereka, terutama sekali BTC,” jelas pakar itu.

    Walaupun dengan sikap optimis yang sedang berlaku, penganalisis dengan nama gelaran Doctor Profit percaya bahawa pelabur seharusnya bersedia dengan pembetulan serta kemunculan “black swan”, sama seperti yang berlaku sebelum pengurangan penghasilan tahun 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19. Penganalisis itu tidak menolak kemungkinan nilai bitcoin mungkin akan turun ke paras $26,000 sebelum pelaksanaan pengurangan penghasilan pada April 2024.

    Semasa ulasan ini dibuat pada hari Jumaat, 10 November, pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $37,320. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.42 trilion, berbanding $1.29 trilion pada minggu lalu. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto telah naik daripada 65 mata kepada 70 mata dan terus berada di zon Greed.

    Membuat kesimpulan bagi ulasan kali ini, mari kita fahami segmen petua hidup kripto kami yang tidak tetap. Jadi, apa yang anda lakukan jika kehilangan kata laluan kepada walet kripto anda? Jawapannya boleh didapati daripada Rain Lõhmus, pengasas bersama Bank LHV di Estonia. Semasa ICO diadakan pada Julai 2015, beliau membeli 250,000 ETH dengan nilai $75,000. Pada 10 November, 2021, semasa Ethereum mencecah nilai tertingginya sekitar $4,800, jumlah pemilikan Lõhmus bertambah kepada $1.22 bilion. Mengikut nilai sekarang, beliau memiliki lebih daripada $500 juta. Sepanjang tempoh ini, coin beliau kekal dorman. Pada satu ketika, ahli perniagaan ini tersedar bahawa beliau telah kehilangan kata laluan kepada waletnya dan kini bercadang untuk mendapatkan semula dengan menggunakan kepintaran buatan. Beliau berkata, “Rancangan saya adalah untuk menghasilkan Rain Lõhmus versi AI dan lihat jika ia berjaya mendapatkan semula ingatannya.” Ahli perbankan itu berkongsi rancangan beliau. (Untuk pengetahuan, kepintaran buatan ChatGPT meramalkan nilai Ethereum pada awal tahun 2024 adalah antara $3,000 dan $10,000. Jika benar ramalan itu, Lõhmus boleh menjadi hartawan sekali lagi - jika beliau berjaya mendapatkan kata laluan waletnya.)

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami