Disember 2, 2023

EUR/USD: Disember – Bulan yang Sukar Buat Dolar

  • Pihak manakah yang akan lebih awal melonggarkan polisi kewangan mereka, RIzab Persekutuan (FRS) atau Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB)? Topik perbincangan ini masih lagi hangat diperkatakan seperti yang jelas kelihatan pada carta sebut harga. Statistik minggu lalu tidak membenarkan pasangan EUR/USD untuk kekal berada di atas paras penting 1.1000. Semuanya bermula pada hari Rabu, 29 November apabila data inflasi di Jerman dikeluarkan. Kadar awal Indeks Harga Pengguna (CPI) tahunan adalah berjumlah 3.2%, lebih rendah berbanding kadar sebelum ini iaitu 3.8% serta 3.5% yang diunjurkan. Secara bulanan, kadar CPI di Jerman turun lebih rendah dan berada pada kadar negatif, mencecah -0.4% (berbanding 0.2% yang diunjur dan kadar bulan lalu iaitu 0.0%).

    Data-data ini menandakan permulaan kepada penurunan nilai euro. Pasangan EUR/USD meneruskan penurunannya setelah kadar Indeks Harga Pengguna Diselaras (Harmonized Index of Consumer Prices atau HICP) di Eurozone diketahui. Mengikut data awal, Eurostat melaporkan bahawa kadar HICP turun ke paras paling rendah sejak Jun 2021, berada pada kadar 2.4% (t/t), nilai yang lebih rendah berbanding 2.9% untuk bulan Oktober serta 2.7% yang diunjur. Indikator bulanannya adalah -0.5%, turun daripada 0.1% pada bulan sebelum ini.

    Kesemua data-data ini menunjukkan keadaan deflasi di Eurozone adalah melebihi kadar di Amerika dengan ketara. Akibatnya, ramai peserta pasaran, termasuklah pakar strategi di ING, sebuah kumpulan perbankan terbesar Belanda, mula mengatakan tentang kejayaan yang akan dicapai pihak ECB dalam membendung inflasi. Mereka menegaskan bahawa Bank Negara Kesatuan Eropah akan menjadi yang pertama untuk melonggarkan polisi kewangan, termasuklah menurunkan kadar faedah serta terlibat dalam pengembangan sektor kewangan. Mengikut jangkaan, proses ini mungkin akan dimulakan pada bulan April, malah terdapat 50% kadar kemungkinan ia akan bermula sebulan lebih awal, pada bulan Mac. Kemungkinan untuk kadar faedah utama diturunkan sebanyak 125 mata asas (bp) sepanjang tahun 2024, daripada 4.50% kepada 3.25% dianggarkan sebanyak 70%. Selain itu, perubahan pendirian kepada polisi dovish telah disahkan baru-baru ini oleh seorang ahli Lembaga Eksekutif ECB dan juga ketua Bank of Italy iaitu Fabio Panetta. Beliau menyatakan tentang “kemudaratan tidak perlu” yang boleh wujud akibat kadar faedah tinggi secara berterusan.

    Bagi Amerika Syarikat pula, pegawai tertinggi FOMC tidak mengatakan sebarang perkara yang memudaratkan, tapi sebaliknya memuji tentang kadar faedah yang tinggi. Sebagai contoh, Presiden Bank Rizab Persekutuan New York iaitu John C. Williams mengatakan bahawa terdapat keperluan untuk mengekalkan kos pinjaman yang tinggi bagi tempoh yang lebih lama. Menurut beliau, perkara ini membolehkan keseimbangan antara bekalan dan permintaan dapat dipulihkan sepenuhnya serta membawa kadar inflasi kembali ke paras 2.0%. Williams menjangkakan bahawa kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) akan turun kepada 2.25% menjelang akhir tahun 2024 dan hanya kembali stabil menghampiri kadar sasaran pada tahun 2025.

    Maka, kita mungkin tidak seharusnya menjangkakan pendirian hawkish Rizab Persekutuan akan menjadi dovish dalam masa terdekat ini. Terutama sekali jika mengambil kira keadaan ekonomi di A.S. yang mengekalkan posisi seperti itu: kadar indeks saham bertambah, manakala data KDNK yang dikeluarkan pada 29 November menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.2% pada Q3, lebih tinggi daripada 5.0% yang diunjur pasaran dan nilai sebelum ini iaitu 4.9%.

    Melihat kepada situasi ini, tidak mengejutkan jika kadar EUR/USD mengalami penurunan.

    Pada petang Jumaat, kadarnya mencecah paras terendah mingguan iaitu 1.0828 dan boleh terus turun lebih rendah jika bukan disebabkan oleh ketua Rizab Persekutuan. Jerome Powell berucap pada penghujung minggu bekerja dan menyatakan bahawa beliau menganggap perbincangan mengenai tarikh untuk bank persekutuan A.S. mula melonggarkan polisi kewangan mereka sebagai masih terlalu awal. Beliau memberi bayangan bahawa pihak Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah mereka pada paras 5.50% yang ada sekarang pada mesyuarat bulan Disember nanti. Powell juga maklum bahawa kadar inflasi teras di A.S. masih lagi tinggi berbanding kadar 2.0% yang disasarkan, dan Rizab Persekutuan sudah bersedia untuk terus mengetatkan polisi mereka jika perlu. Umumnya, beliau mengatakan perkara yang sama seperti John Williams. Namun, jika ucapan Presiden Bank Rizab Persekutuan New York itu berjaya mengukuhkan nilai dolar, entah bagaimana kata-kata Pengerusi Rizab Persekutuan melemahkannya: ketika Powell berucap, kadar Indeks DXY susut kira-kira 0.12%. Reaksi pasaran memang tidak dapat diduga! Akibatnya, kedudukan terakhir minggu lalu berada pada paras 1.0882.

    Apa yang menanti kita pada bulan Disember? Mengikut logik yang dinyatakan di atas tadi, nilai dolar seharunya menjadi lebih baik berbanding euro. Namun, faktor-faktor bermusim mungkin akan turut campur tangan, dan menunjukkan pergerakan bearish dolar berbanding beberapa lagi mata wang pada bulan Disember. Menurut pakar ekonomi di Societe Generale, purata penurunan kadar Indeks Dolar (DXY) pada bulan Disember bagi tempoh 10 tahun lalu adalah 0.8%. Menjadi kebiasaan, nilai mata wang euro (EUR), krona Sweden (SEK), pound British (GBP), dan franc Swiss (CHF) lebih cenderung untuk naik, manakala dolar Australia (AUD), dolar Kanada (CAD), yen Jepun (JPY), dan peso Mexico (MXN) pula agak bercampur-campur.

    Penganalisis di Bank MUFG Jepun juga mengesahkan indikator bullish EUR/USD pada bulan terakhir tahun ini. Mereka menulis. “Kecenderungan bermusim yang berlaku pada bulan Disember agak meyakinkan: sepanjang 20 tahun lalu, bulan Disember telah menyaksikan pertumbuhan kadar EUR/USD sebanyak 14 kali, dengan purata pertumbuhan 2.6% yang memberangsangkan sepanjang 14 tahun itu. Jika kita kecualikan bulan Disember 2008 (+10.1%), purata pertumbuhan untuk 13 kali itu masih lagi menakjubkan iaitu +2.0%. Lebih-lebih lagi, 8 daripada 11 kali kadar EUR/USD naik pada bulan November, ia akan diikuti dengan pertumbuhan pada bulan Disember” (ia benar-benar naik!). “Namun, ini tidak bermaksud kita boleh abaikan faktor-faktor fundamental,” MUFG memberi amaran. Masih relevan untuk menyatakan di sini bahawa berdasarkan kepada faktor-faktor itulah, pihak Rizab Persekutuan (FRS) dan Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) akan membuat keputusan mereka semasa bermesyuarat masing-masing pada 13 dan 14 Disember nanti.

    Buat masa ini, pendapat para penganalisis untuk EUR/USD pada minggu depan adalah seperti berikut: 50% bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, 30% memihak kepada euro, dan baki 20% lagi kekal neutral. Berkenaan dengan analisis teknikal, 50% pengayun pada carta D1 adalah berwarna hijau, 30% berwarna kelabu neutral, dan hanya 20% berwarna merah. Apa yang menarik, separuh daripada 20% warna merah ini telahpun memberi isyarat tentang keadaan terlebih jual. Dikalangan indikator trend, 65% memihak kepada bullish, dan 35% menunjukkan arah bertentangan.

    Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di sekitar paras 1.0830-1.0840, diikuti dengan 1.0740, 1.0620-1.0640, 1.0480-1.0520, 1.0450, 1.0375, 1.0200-1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar 1.0900, 1.0965-1.0985, 1.1070-1.1110, 1.1150, 1.1230-1.1275, 1.1350, dan 1.1475.

    Aliran data yang besar dari pasaran buruh Amerika dijangka akan diketahui pada minggu depan antara 5 dan 8 Disember. Hari Jumaat, 8 Disember akan menjadi tumpuan apabila indikator penting seperti kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan bukan dalam sektor perladangan (NFP) akan diketahui. Disamping itu, pada hari Selasa, 5 Disember, kita akan mengetahui kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor perkhidmatan di A.S. Data jualan runcit di Eurozone akan dikeluarkan pada hari Rabu, 6 Disember, dan keesokan harinya, kadar KDNK pula akan dikeluarkan. Akhir sekali, pada hari Jumaat, 8 Disember, data inflasi pengguna (CPI) di Jerman yang telah disemak semula akan dikeluarkan.

GBP/USD: Tiga Sebab Pound Berkelebihan Besar

  • Kita telah bincangkan sebelum ini tentang kemungkinan Rizab Persekutuan yang telah menamatkan pengetatan polisi kewangan mereka dan kadar faedah yang sudah mencapai paras tertingginya. Sentimen yang sama telah disampaikan mengenai kelebihan bermusim pound British berbanding dolar dalam bulan Disember pada sebelum-sebelum ini.

    Sokongan secara lisan terhadap mata wang British telah diberikan oleh retorik barisan kepimpinan Bank of England (BoE) yang tidak merancang untuk mengubah trajektori polisi kewangan sedia ada. Seperti yang diketahui, trajektori tersebut bertujuan untuk menjadikannya lebih ketat. Timbalan Gabenor BoE, Daves Ramsden menyatakan bahawa polisi kewangan seharusnya terus ketat supaya inflasi dapat dibendung. Pendirian hawkish sama turut dikongsikan Gabenor BoE iaitu Andrew Bailey yang menekankan bahawa kadar faedah seharusnya naik lebih lama, walaupun jika kenaikan itu memberi kesan negatif kepada ekonomi.

    Buat masa ini, kadar faedah utama bagi pound adalah yang tertinggi sepanjang 15 tahun iaitu 5.25%. Kali terakhir kadarnya dinaikkan adalah pada 3 Ogos, dan selepas itu Bank of England menghentikan sementara kenaikan kadar. Namun, ini tidak bermaksud mereka tidak akan menyambung semula kenaikan itu dan menambah lagi 25 mata semasa bermesyuarat pada Disember atau Januari nanti.

    Kenyataan bersifat hawkish yang sama oleh para pemimpin Bank of England turut menyumbang kepada sentimen bullish pound. Walaupun nilai dolar bertambah pada separuh kedua minggu lalu, pasangan GBP/USD gagal untuk melepasi paras sokongan yang berada pada kedudukan 1.2600. Menurut pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB) Singapura, selagi paras kukuh ini tidak dilepasi, terdapat kemungkinan pasangan ini akan bergerak ke atas sedikit dalam masa 1-3 minggu sebelum risiko penurunan mula bertambah. UOB percaya bahawa buat masa sekarang, kadar kebarangkalian untuk nilai pound bergerak menuju ke paras rintangan 1.2795 tidak begitu besar.

    Berikutan ucapan oleh Jerome Powell, pasangan GBP/USD mengakhiri minggu lalu dengan berada pada paras 1.2710. Berkenaan dengan minggu hadapan, 20% bersetuju dengan pertumbuhan lebih tinggi, manakala majoriti penganalisis (55%) berpendirian sebaliknya, dan baki 25% lagi kekal neutral. Pada carta D1, semua indikator trend dan pengayun sebulat suara menunjukkan pertumbuhan, dengan 15% daripada pengayun menunjukkan keadaan lebihan belian.

    Jika pasangan ini bergerak ke bawah, pasangan ini akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2600-1.2635, diikuti dengan 1.2570, 1.2500-1.2520, 1.2450, 1.2370, 1.2330, 1.2210, dan 1.2040-1.2085. Jika pasangan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2735-1.2755, kemudian 1.2800-1.2820, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140.

    Tiada sebarang peristiwa penting berkaitan ekonomi di United Kingdom yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.

USD/JPY: Berwaspada, Lebih Berwaspada, dan Sangat-Sangat Berwaspada

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 04 - 08 Disember, 20231

  • Kami telah nyatakan dalam ulasan sebelum ini bahawa dinamik pasangan USD/JPY untuk minggu-minggu akan datang akan bergantung hampir sepenuhnya kepada prestasi dolar. Disamping itu, kadar kemeruapannya akan dipengaruhi oleh keadaan lebihan jualan yen: pada pertengahan November lalu, pasangan ini telah mencapai paras tertingginya iaitu 151.90, paras yang kali terakhir didudukinya pada Oktober 2022, dan sebelum itu, 33 tahun yang lalu pada tahun 1990. Hasil daripada sinergi antara kedua-dua faktor ini dapat diperhatikan pada minggu lalu. Mengikuti kadar Indeks Dolar (DXY), pasangan ini kerugian 300 mata pada mulanya, daripada 149.67 kepada 146,67, kemudian naik sebanyak dua kali untuk berada pada paras 148.51. Pada 1 Disember, ia memberikan respon terhadap kenyataan ketua Rizab Persekutuan dengan corak candle berwarna merah, mengakhiri minggu pada paras 146.79.

    Pengaruh Amerika Syarikat terhadap dinamik pergerakan USD/JPY sudah terbukti secara konsisten. Namun, adakah Bank of Japan (BoJ) akan mengukuhkan nilai mata wang negaranya sendiri? Harapan untuk perkara itu berlaku semakin pudar. Ahli lembaga BoJ iaitu Toyoaki Nakamura memberikan komen pada hari Khamis, 30 November, menyampaikan pendapat beliau mengenai kemungkinan polisi kewangan yang sangat longgar akan berubah. Beliau menyatakan bahawa pengetatan lebih awal adalah berisiko, dan sekarang ini, adalah perlu untuk mengekalkan hala tuju sedia ada dengan sabar. Menurut pegawai tersebut, adalah sesuatu yang agak sukar untuk ditentukan apabila ditanya bilakah pengetatan ini akan dilaksanakan. ‘Kita boleh mengubah polisi apabila ekonomi Jepun sudah dapat melihat pertumbuhan gaji dan inflasi yang mampan,’ jelas Nakamura. ‘Sekarang adalah masanya untuk berwaspada dengan polisi kita.'

    Mungkin ada yang bertanya, adakah Bank of Japan tidak berwaspada sebelum ini? Berdasarkan kepada polisi kewangannya, BoJ mungkin boleh menang memenangi anugerah “Bank Negara Paling Berwaspada” dengan mudah.

    Menurut pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB), dalam masa 1-3 minggu seterusnya, pasangan USD/JPY mungkin akan didagangkan pada julat antara 146.65 dan 149.30, dan mula susut selepas itu. Berkenaan dengan unjuran median, untuk minggu depan, hanya 20% penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, manakala 60% lagi memihak kepada yen, dan 20% pula enggan memberikan sebarang jangkaan. Bagi indikator trend pada D1, 85% bersetuju dengan yen, dan 15% lagi mengesyorkan untuk membeli pasangan ini. Semua 100% pengayun berwarna merah, dan satu perempat daripadanya berada di zon lebihan jualan. Paras sokongan paling hampir berada di zon 146.65, diikuti dengan 145.90-146.10, 145.30, 144.45, 143.75-144.05, dan 142.20. Rintangan paling hampir berada pada paras 147.25, kemudian 147.65-147.85, 148.40, 149.20, 149.80-150.00, 150.80, 151.60, 151.90-152.15, 152.80-153.15, dan 156.25.

    Antara perkara yang ada dalam kalendar untuk minggu hadapan, tumpuan harus diberi pada hari Selasa, 5 Disember apabila data inflasi pengguna di Tokyo akan dikeluarkan, dan juga pada hari Jumaat, 8 Disember, apabila kadar KDNK di Jepun bagi Q3 2023 akan diumumkan.

MATA WANG KRIPTO: Tempoh Setahun Antara Bear Sebelum Ini dan Bull Masa Hadapan

  • Bulan Disember sudah tiba, ini adalah masa yang sesuai bukan saja untuk mengulas hasil minggu lalu malah juga menilai prestasi pada tahun ini. Rupa-rupanya, tahun 2023 berpotensi dijadikan sebagai tempoh peralihan antara bear 2022 dan bull 2023, menerima sokongan 11% pertumbuhan memberangsangkan mata wang kripto utama pada bulan November serta pertumbuhan sebanyak 130% yang mengejutkan sejak permulaan tahun.

    Peratusan bitcoin yang berpotensi memberi pulangan telah mencecah 83.7% daripada keseluruhan jumlah bekalan, mencatatkan jumlah tertinggi sejak November 2021. Menurut penganalisis di Bitfinex, nisbah antara pelabur emas digital adalah lebih tinggi untuk pelabur jangka panjang berbanding pelabur jangka pendek. Bekalan aktif bitcoin berada pada jumlah paling rendah sepanjang lima tahun, dengan hanya sebanyak 30% coin bertukar tangan dalam masa setahun. Akibatnya, kira-kira 70% bitcoin, atau sejumlah 16.3 juta BTC yang “tidak pernah dijangka” kekal pegun sepanjang tahun ini. Lebih-lebih lagi, 60% daripada jumlah coin ini langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan dalam tempoh dua tahun. Menurut penganalisis di Bitfinex, metrik-metrik ini menunjukkan bahawa pasaran sedang berada dalam “posisi yang agak kukuh” kerana pemilik coin sedang mengalami pulangan positif terhadap pelaburan mereka dan tidak tergesa-gesa untuk mencairkan aset dalam menjangkakan kadar pulangan yang lebih besar.

    Sentimen positif semakin bertambah, terutama sekali dalam kalangan pelabur-pelabur besar (golongan dengan nilai pelaburan $1 juta atau lebih). Sepanjang tempoh 11 bulan pertama tahun 2023, golongan ini telah menambah nilai pelaburan mereka dalam pasaran kripto sebanyak 120%, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak $43.3 bilion. Bitcoin kekal menjadi peneraju dalam perkara ini, dengan peningkatan jumlah kepada $32.3 bilion, peningkatan sebanyak 140%. Dalam kalangan altcoin, Solana juga menarik minat pelabur berinstitusi. Walau bagaimanapun, Ethereum telah menunjukkan dinamik negatif buat seketika, namun keadaannya telah mula pulih baru-baru ini.

    Peningkatan sikap optimis dalam pasaran telah disebabkan oleh: 1) penyelesaian isu-isu antara pihak berkuasa A.S. dan bursa kripto Binance, 2) pelancaran ETF spot bitcoin yang dijangka pasti akan berlaku, dan 3) pengurangan penghasilan bitcoin seterusnya pada April tahun hadapan.

    Berkenaan faktor 1, menurut Matrixport, disebabkan oleh penyelesaian yang dipersetujui antara pihak berkuasa A.S. dan Binance, nilai bitcoin kini dijangka akan menjadi lebih tinggi daripada $40,000 menjelang akhir tahun ini. Bermacam-macam tanggapan yang meramalkan Binance mungkin boleh didenda sehingga $10 bilion dan boleh berdepan tuduhan mengagihkan dana pengguna tanpa kebenaran ataupun manipulasi pasaran. Namun, pada 21 November, satu perjanjian telah dicapai iaitu Binance perlu membayar denda sebanyak $4.3 bilion, menghentikan operasi di A.S., dan Changpeng Zhao selaku CEO perlu meletakkan jawatan serta membayar ikat jamin sebanyak $175 juta untuk bebas. Keputusan ini dianggap sebagai ‘titik perubahan dalam industri kripto’ oleh penganalisis Matrixport, menunjukkan bahawa Binance akan mengekalkan kedudukan mereka sebagai antara bursa kripto terbesar sekurang-kurangnya untuk dua hingga tiga tahun akan datang.

    Selepas berita ini disiarkan, bitcoin mengalami pembetulan sementara pada mulanya, tetapi kembali pulih daripada paras $36,000. Perkara ini mengesahkan trend yang kukuh, dan menurut penganalisis Matrixport, lonjakan di atas paras $40,000 pada bulan Disember dilihat ‘pasti berlaku’. Namun, mereka menilai kebarangkalian keadaan ‘pasti berlaku’ ini pada kadar 90%, maklum bahawa sebarang kejadian tidak dijangka masih boleh memberi kesan terhadap keseluruhan situasi.

    Menurut sebilangan penganalisis, pengunduran Binance daripada pasaran A.S. secara “aman” seharusnya menyingkirkan keadaan tegang serta membantu pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) untuk meluluskan permohonan penghasilan dana dagangan bursa (ETF) spot bitcoin. Pada November lalu, pihak SEC telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama-sama pemohon bagi membolehkan mereka meminda permohonan bagi mematuhi syarat-syarat penggubal dasar itu. Kehadiran dialog seperti itu dilihat sebagai satu faktor positif. Tidak dinafikan bahawa menjelang 10 Januari, jika bukan untuk kesemua permohonan bagi melancarkan ETF bitcoin, pihak Suruhanjaya itu akan meluluskan sebahagian besar daripadanya. Tarikh ini akan menandakan sebagai tarikh akhir untuk meluluskan permohonan bersama antara ARK Invest dan 21Shares. Jika penggubal dasar itu memberikan keputusan negatif, ia berisiko untuk terlibat dalam satu lagi tuntutan undang-undang. Pihak SEC sudahpun kalah dalam tuntutan undang-undang dengan gergasi pelaburan seperti Grayscale, di mana pihak mahkamah menganggap tindakan SEC itu sebagai “sewenang-wenang dan berubah-ubah”. Maka, adakah berbaloi untuk mengambil tindakan yang sama sekali lagi dan berdepan risiko malu yang serupa?

    Pedagang, penganalisis, dan pengasas syarikat modal teroka Eight iaitu Michael Van De Poppe menjangkakan ETF bitcoin yang pertama akan diluluskan oleh pihak SEC pada lima hingga enam minggu akan datang. Seterusnya, nilai BTC boleh naik dalam bulan Disember kerana para pelabur ingin mendapatkan pulangan daripada lonjakan yang berpotensi untuk berlaku. Penganalisis itu menjangkakan pertumbuhan nilainya ke paras $48,000. Namun, mengikut Van De Poppe, kadar BTC/USD akan susut dengan mendadak setelah permohonan itu mendapat kelulusan. Kedudukan paling rendah yang disasarkan  daripada potensi penurunan ini adalah pada garis purata pergerakan eksponen (EMA) selama 200 minggu, buat masa ini berada di sekitar paras $26,500. Van De Poppe percaya trend penurunan ini mungkin boleh terus berlaku walaupun setelah pengurangan penghasilan yang akan datang dilaksanakan. Penganalisis itu menjangkakan hanya selepas itu para pedagang akan mula mengumpul coin secara aktif, mencetuskan lonjakan bullish yang seterusnya dengan julat sasaran antara $300,000 dan $400,000.

    Pakar strategi di Standard Chartered percaya bahawa nilai BTC boleh mencecah $50,000 menjelang hujung tahun ini dan $120,000 pada akhir tahun 2024. Unjuran awal bank berkenaan menjangkakan pertumbuhan ke paras $100,000, namun menaikkannya selepas itu. Nilai $120,000 adalah tiga kali ganda daripada nilai sekarang. Sikap optimis penganalisis di Standard Chartered itu ada kaitannya dengan peningkatan kadar untung penghasilan apabila menjual dalam kuantiti kecil bagi mengekalkan jumlah aliran tunai yang sama, dan mendorong kepada pertumbuhan nilainya.

    Rakan Pengurusan dan juga CEO 10T Holdings, Dan Tapiero berasa yakin dengan pertumbuhan nilai mata wang kripto pertama yang pasti akan berlaku dan percaya bahawa idea bitcoin dijadikan satu bentuk simpanan menjadi semakin menarik. Namun, pada pendapat beliau, trend bullish yang seterusnya tidak akan berlaku pada tahun 2024 tetapi pada 2025. “Kita akan dapat lihat bitcoin melepasi nilai $100,000,” unjur Tapiero, dan menambah itu hanyalah anggaran konservatif saja. Ahli perniagaan itu percaya bahawa kadar faedah negatif yang dikenakan kepada bon Perbendaharaan AS akan menjadi “isyarat mega bull” khas buat BTC.

    (Sila maklum bahawa bekas CEO bursa kripto BitMEX iaitu Arthur Hayes ingin mengeluarkan semua dana pelaburannya dalam bon Perbendaharaan AS dan melabur di dalam mata wang kripto tidak lama lagi, tanpa menunggu sehingga tahun 2025.)

    Kami telah berkali-kali maklumkan sebelum ini bahawa mata wang kripto utama ini telah “berpisah” daripada kadar tukaran dolar dan juga indeks saham, memusnahkan hubung kait secara langsung dan songsang. Walau bagaimanapun, penganalisis di syarikat analisis Santiment kini mendapati bahawa terdapat peningkatan korelasi antara pasaran kripto dan pasaran saham. Pada bulan November, purata pertumbuhan untuk bitcoin, Ethereum, dan indeks S&P 500 adalah sebanyak 9.2%. Hubungan bagi pengukuhan ini telah direkodkan setelah bitcoin didagangkan dalam julat harga yang sempit antara akhir Oktober dan awal November, tidak menunjukkan turun naik yang ketara. Jelas penganalisis di Santiment, “Jika nilai bitcoin terus naik melebihi kadar saham, perkara ini sekali lagi akan mengganggu korelasi, dan mengikut data lampau, ia menjadi salah satu faktor kepada pembentukan trend bullish di pasaran kripto.

    Pasangan BTC/USD mencatatkan paras tertinggi tahun 2023 yang baru pada hari Jumaat, mencecah nilai $38,950, dibantu dengan peningkatan kadar aset berisiko, termasuklah mata wang kripto, seperti yang telah dinyatakan dalam ulasan ini oleh Pengerusi Rizab Persekutuan dalam ucapan beliau. Pada malam 1 Disember, BTC/USD didagangkan di sekitar paras $38,765. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.45 trilion ($1.44 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 66 mata kepada 71 mata dan masih berada di zon Greed.

    Jadi, bulan Disember sudah tiba, dan ramai ahli komuniti kripto sekali lagi berbincang tentang “Lonjakan Santa Bitcoin”. Fenomena ini menyerupai “Lonjakan Santa Claus” yang telah lama berlaku dalam pasaran saham apabila nilai saham melonjak naik antara tempoh perayaan Hari Kesyukuran dan Krismas. Dalam pasaran kripto, lonjakan yang sama telah berlaku buat pertama kalinya pada hujung November 2013 semasa nilai BTC adalah kurang daripada $1,000. Sepanjang bulan Disember, nilai bitcoin naik dengan stabil, mencecah paras tertingginya iaitu $1,147 pada 23 Disember. Lonjakan ketara yang seterusnya berlaku empat tahun kemudian semasa musim perayaan 2017. Bitcoin mengalami trajektori mendadak ke atas, melepasi paras $19,000 menjelang pertengahan bulan Disember dan mencecah $20,000 buat pertama kalinya. Namun pada tahun 2021, Santa Claus tidak membawa kegembiraan kepada para pedagang; hasil yang diberikan adalah sebaliknya. Pada 10 November, nilai aset ini mencatatkan rekod nilai tertinggi dalam sejarahnya, hampir mencecah $68,000, namun dalam bulan Disember, nilainya dipengaruhi dengan kadar kemeruapan tinggi serta jumlah dagangan yang rendah sepanjang musim perayaan. Menjelang hari-hari terakhir tahun tersebut, bitcoin didagangkan dalam julat $46,000.

    Menjadi kebiasaan, pada tahun ini, ahli-ahli komuniti kripto berharap akan berlakunya lonjakan meyakinkan emas digital. Masih belum diketahui adakah Santa Claus akan memenuhi harapan ini.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami