Disember 28, 2023

Ramalan 2024: Bitcoin Hari Ini, Semalam, dan Akan Datang1 

Persoalan utama yang timbul hanya beberapa tahun sejak kebelakangan ini adalah bilakah gelembung kripto akan pecah. Lama-kelamaan, bitcoin secara perlahan-lahan mula menjadi pilihan dan mendapat tempat dalam kalangan portfolio para pelabur dan pedagang. Bersaing dengan emas fizikal serta aset-aset pelaburan lain secara aktif, emas digital ini muncul sebagai pencabar yang kuat.

Sebelum ini, topik perbincangan yang sering diperbincangkan adalah kelebihan dan kekurangan yang ada, merangkumi analisis kadar pertumbuhan dan penurunannya serta menilai pendapat yang dikongsikan oleh penganalisis berpengalaman di Wall Street dan juga penganalisis dengan nama gelaran di rangkaian sosial. Penting untuk ketahui bahawa kebanyakan unjuran daripada kedua-dua golongan ini terbukti agak tepat walaupun dengan kadar turun naik aset terunggul itu yang sangat tinggi. Fokus kali ini adalah untuk mengingati semula unjuran yang dibuat untuk bitcoin pada tahun 2023, ramalan untuk tahun 2024 dan tahun selepas itu, dengan memberi penekanan terhadap penganalisis yang mengunjurkan nilai tertentu, dan bukannya unjuran  bersifat umum serta tidak jelas.

 

2023: Unjuran Paling Tepat atau Sedikit Tersasar

Jika diingat tahun lalu sudah pastinya menjadi tahun yang berjaya buat bitcoin. Walaupun dengan kadar kemeruapan yang tinggi, setelah memulakan tahun dengan berada pada kadar $16,515, pasangan BTC/USD mencapai paras tertingginya iaitu $44,694 pada 8 Disember, menunjukkan kadar pertumbuhan sebanyak 2.7 kali ganda. Para penganalisis memetik antara punca kepada pertumbuhan bull coin ini adalah pertambahan kadar hash di rangkaian, jangkaan untuk polisi Rizab Persekutuan dilonggarkan, dan sudah pastinya, kelulusan pelancaran ETF spot bitcoin oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) dan pengurangan penghasilan bitcoin pada April 2024. Perlu diketahui bahawa semua perkara yang disebutkan tadi hanya mula mempengaruhi sentimen di pasaran pada enam bulan terakhir tahun 2023. Justeru, unjuran yang diberi untuk enam bulan pertama tahun lalu sangat menarik perhatian.

Alistair Milne, Pengarah IT di Atlanta Digital Currency Fund hampir-hampir membuat unjuran paling tepat dengan berkata, “Menjelang akhir tahun 2023, kita seharusnya dapat melihat nilai bitcoin berada pada kadar $45,000 paling minimum,” unjuran nilai yang dibuat pada bulan Januari.

Pada bulan Februari, Mark W. Yusko, selaku ketua Morgan Creek telah berjaya mengenal pasti dengan tepat pasaran bull yang berikutnya boleh berlaku seawal suku tahun kedua 2023 akibat daripada keadaan makroekonomi yang memberi kelebihan. Beliau maklum bahawa pihak Rizab Persekutuan A.S. mungkin tidak akan menurunkan kadar faedah utama mereka dalam suku tahun itu. Walau bagaimanapun, penghentian sementara atau pertumbuhan kadar yang perlahan dilihat mampu menjadi isyarat positif buat aset berisiko, termasuklah mata wang kripto. Dengan memberi penekanan terhadap pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan nanti, Yusko menunjukkan bahawa pemulihan pasaran aset digital biasanya akan bermula sembilan bulan sebelum itu, mencadangkan bahawa lonjakan nilai seharusnya bermula pada hujung musim panas 2023.

Penganalisis di Matrixport telah mengunjurkan dengan tepat kadar mata wang kripto terunggul ini mungkin mencecah nilai $29,000 pada musim panas dan $45,000 menjelang hari Krismas setelah membuat perbandingan sebut harga BTC pada bulan Januari dengan data lampau, serta menjangkakan pembantutan pertumbuhan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di A.S.

Pedagang, penganalisis, dan juga pengasas syarikat modal teroka Eight iaitu Michael Van De Poppe telah menyiarkan satu video ulasan yang mengunjurkan pertumbuhan nilai coin ini ke paras $40,000 menjelang akhir tahun, unjuran yang dibuat pada awal Mac. Sama juga seperti Mike Novogratz, CEO Galaxy Digital yang menjangkakan pertumbuhan ke paras $40,000, dengan syarat paras ini hanya boleh dicapai apabila Rizab Persekutuan A.S. mula menurunkan kadar faedah utama mereka. Dave the Wave, seorang pedagang yang terkenal kerana telah beberapa kali memberi unjuran tepat juga berkongsi kadar $40,000 yang sama pada bulan Mei, memberi penekanan bahawa itu adalah nilai unjuran yang sederhana.

Kadar BTC/USD turun di bawah paras $25,000 pada dua minggu pertama bulan Jun, dan pasaran belum mengetahui bahawa beberapa hari selepas itu, kebanyakan institusi kewangan utama akan mula menghantar permohonan mereka kepada SEC untuk memasuki pasaran mata wang kripto menerusi ETF spot bitcoin. Antara pihak yang akan melancarkan dana ini termasuklah pengurus aset global seperti BlackRock, Invesco, Fidelity, dan bermacam lagi. Pada waktu itu, Business Insider menunjukkan minat dengan unjuran para penganalisis. Mari lihat beberapa pendapat yang diperoleh menerusi kaji selidik yang telah dilakukan.

Jagdeep Sidhu, Presiden Syscoin Foundation percaya bahawa walaupun dengan berlakunya beberapa kejadian yang melibatkan kripto, ekosistemnya telah terbukti berdaya tahan. Pasaran ini telah berjaya pulih daripada kejadian yang melibatkan FTX, dan jika kadar inflasi susut di A.S., Sidhu menyatakan nilai bitcoin boleh mencecah $38,000 pada akhir tahun nanti. David Uhryniak, Pengarah Pembangunan Ekosistem di TRON, bersama-sama dengan Benjamin Cowen berasa yakin bahawa nilai bitcoin boleh berada lebih tinggi daripada $35,000 menjelang akhir tahun.

Unjuran daripada satu lagi kaji selidik yang dijalankan terhadap 29 orang penganalisis oleh Finder.com sepakat menunjukkan nilai $38,488 menjelang akhir tahun, dengan kadar bitcoin paling tinggi untuk tahun 2023 dijangka berada di sekitar $42,000. Menjadi kebiasaan unjuran oleh setiap individu adalah berbeza. Secara keseluruhan, kebanyakan (59%) peserta kaji selidik berasa optimis mengenai BTC, mempertimbangkan musim panas adalah tempoh terbaik untuk masuk ke dalam pasaran, 34% menasihatkan untuk terus menyimpan mata wang kripto yang dimiliki, dan 7% lagi mengesyorkan untuk jual.

 

2023: Terlalu Tinggi atau Lebih Rendah Dari Sasaran

Sudah pasti, bukan semua unjuran yang diberi adalah tepat dengan keadaan semasa pada tahun ini. Satu lagi kadar sasaran yang sering disebut-sebut dalam unjuran adalah paras $50,000, kedudukan yang diunjur boleh dicapai pasangan BTC/USD oleh penganalisis terkenal di TradingShot iaitu CyrptoYoddha dan juga bekas pengurus terkenal di Goldman Sachs dan CEO Real Vision iaitu Raoul Pal. Penganalisis dan pedagang lagenda iaitu Peter Brandt yang telah berjaya meramalkan pembetulan BTC pada tahun 2018 mensasarkan kedudukan lebih tinggi pada kali ini. Beliau percaya nilai coin itu akan mencapai paras tertinggi sebelum ini di sekitar $68,000 pada enam bulan terakhir tahun 2023, diikuti dengan satu lagi pembetulan serta mencapai paras tertinggi yang baru.

Pada hujung bulan Januari 2023, penganalisis dengan nama gelaran Plan B menjangkakan nilai mata wang terunggul ini boleh naik kepada $100,000 menjelang akhir tahun. Lebih-lebih lagi, beliau membuat anggaran bahawa bitcoin boleh menguji paras $42,000 seawal bulan Mac setelah memetik bacaan model stock-to-flora (S2F) yang beliau bangunkan, satu model yang mengukur hubung kait antara bekalan sedia ada aset berkenaan dan kadar pengeluarannya. Namun, seperti yang kita ketahui, paras $42,000 hanya berjaya dicapai sembilan bulan kemudian, pada bulan Disember, dan nilai $100,000 pula masih belum berjaya dicapai.

Felix Zulauf, pengasas Zulauf Asset Management membuat spekulasi bahawa bitcoin boleh mengalami lonjakan bull pada penghujung musim bunga 2023 dan tidak menolak tentang kebarangkalian untuk aset itu mencecah nilai $100,000 setelah mengikuti trend pertumbuhan mendadak. Penganalisis di Credible Crypto juga memberikan unjuran yang optimis, mencadangkan bahawa aset kripto terunggul ini berpeluang cerah untuk memperbaharui paras tertingginya di zon $69,000. Satu kaji selidik oleh CNBC yang dijalankan dalam kalangan tokoh-tokoh berpengaruh dalam industri telah menunjukkan bahawa CTO Tether iaitu Paolo Ardoino mengunjurkan nilai $69,000, manakala Marshall Brand, Pengarah Strategi di bursa mata wang kripto Gemini pula menunjukkan paras $100,000. Pelabur serta penulis buku terkenal “Rich Dad Poor Dad” iaitu Robert Kiyosaki menunjukkan paras yang lebih tinggi, mendakwa bahawa pada awal tahun 2024, nilai bitcoin boleh mencecah $120,000.

Pasaran bukan hanya didorong oleh bull saja. Jika meneroka lebih dalam, anda boleh bertemu dengan bear dan malah “penggali kubur kripto”. Sebagai contoh, penganalisis Bloomberg iaitu Mike McGlone yang menjangkakan kejatuhan nilai bitcoin ke paras sasaran $7,366 pada bulan Mei. Ini adalah pendapat yang sangat berbeza daripada pendapat yang dibuat setahun sebelum itu, pada 2022 apabila McGlone menjangkakan nilai bitcoin boleh melonjak kepada $100,000.

Pakar strategi dari konglomerat kewangan antarabangsa British iaitu Standard Chartered menjangkakan krisis likuiditi yang berlaku boleh mengakibatkan bursa-bursa dan syarikat-syarikat kripto jatuh muflis, seterusnya menyebabkan nilai BTC berpotensi untuk turun mendadak kepada $5,000 pada tahun 2023. Malah seorang penganalisis yang dikenali sebagai Grinding Poet telah menyatakan “penurunan ke paras terendah 2018 pasti akan berlaku” dan mengunjurkan satu paras sasaran baru iaitu $3,150.

 

2024: Jangkaan Optimis dan Tersangat Optimis

Penganalisis di Bloomberg Intelligence iaitu Jamie Coutts telah memberikan unjuran kenaikan harga bitcoin ke paras $50,000 sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan pada April 2024. Penganalisis kanan di Bloomberg iaitu Eric Balchunas menjelaskan bahawa kelulusan SEC terhadap permohonan BTC-ETF akan dapat membawa masuk modal pasaran sebanyak $30 trilion. Bloomberg menjangkakan kelulusan itu akan diterima tidak lama lagi, antara 8-10 Januari. Mengikut jangkaan firma analisis Fundstrat, aliran masuk ini boleh menambah permintaan harian bitcoin sebanyak $100 juta. Mengikut senario ini, nilai BTC boleh mencecah sehinga $180,000 walaupun pengurangan penghasilan belum dilaksanakan lagi.

Adam Back, CEO syarikat Blockstream dan salah seorang pembangun terawal BTC menyamakan perkara yang berlaku beberapa tahun lalu sebagai wabak teruk. “COVID-19 melanda, pelonggaran kuantitatif bank persekutuan, perang yang memberi kesan kepada kos bahan api, inflasi tinggi yang mengakibatkan ramai orang dan syarikat-syarikat jatuh muflis,” jelas beliau. Menurut Back, semakin tahun 2023 tiba di penghujungnya, kesan daripada peristiwa-peristiwa tadi mula hilang. “Kebankrapan yang dikaitkan dengan Three Arrol Capital, Celcius, BlockFi, dan FTX… kesemuanya hampir reda. Saya tidak merasakan kita akan berdepan kejutan besar”. Back percaya tahun 2024 akan menjadi tahun untuk bitcoin pulih, memberikan respon terhadap pengurangan penghasilan yang akan dibuat pada April nanti serta berpotensi untuk mencecah nilai $100,000 sebelum itu.

Samson Mow, bekas rakan sekerja Back di Blockstream dan kini menjawat jawatan CEO syarikat Jan3 bersetuju dengan unjuran tersebut. Penganalisis di Seeking Alpha juga memberikan nilai yang sama, menjangkakan mata wang kripto itu seharusnya dinilai di sekitar $98,000 supaya para penghasil dapat terus bertahan selepas pengurangan penghasilan dilaksanakan.

Penganalisis di Standard Chartered, terutama sekali Geoff Kendrick, memberikan unjuran yang sama. Menurut pakar ekonomi bank tersebut, situasi semasa menunjukkan pengakhiran bagi “musim dingin kripto”. Walau bagaimanapun, ramalan mereka lebih bersifat konservatif dengan nilai mata wang kripto itu hanya akan mencapai paras $100,000 pada penghujung tahun 2024. Pengasas bersama syarikat Apple iaitu Steve Wozniak juga menjangkakan nilai yang serupa. Pascal Gauthier, CEO syarikat Ledger, David Marcus selaku ketua Lightspark, serta Vijay Ayyar, pengurus terkenal di CoinDCX juga menjangkakan nilai bitcoin akan naik kepada $100,000.

Pelabur dan juga penulis buku paling laris “Rich Dad Poor Dad” iaitu Robert Kiyosaki percaya bahawa ekonomi di A.S. sedang berada di ambang krisis yang serius, dan mata wang kripto pula, terutama sekali bitcoin menawarkan tempat selamat buat para pelabur sepanjang tempoh bergelora ini. Kiyosaki menjangkakan proses pengurangan penghasilan akan menjadi peristiwa penting, ia berpotensi untuk mendorong nilai BTC kepada $120,000. Markus Thielen, ketua penganalisis di syarikat perkhidmatan kewangan kripto Matrixport memberikan nilai yang sama iaitu $125,000. Penulis blog terkenal dan juga penganalisis iaitu Lark Davis percaya bahawa pelaksanaan ini boleh mengakibatkan harga bitcoin naik kepada kira-kira $150,000, atau lebih tinggi kepada $180,000. Tom Lee, pengasas bersama syarikat Fundstrat menganggarkan pertumbuhan ke paras $185,000.

Mengikut pengiraan Dave the Wave, selepas pelaksanaan pengurangan penghasilan pada April 2024 nanti, BTC hanya akan naik sedikit daripada paras tertinggi sebelum ini di sekitar $69,000 menjeang pertengahan tahun 2024, namun boleh naik kepada $160,000 menjelang akhir tahun. Alistair Milne menjangkakan kadar BTC seharusnya boleh mencecah nilai antara $150,000-$300,000 menjelang akhir tahun 2024. Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran, “ini mungkin akan menjadi peluang paling terbaik buat bull”. Penganalisis di LookIntoBitcoin menasihatkan agat mendapatkan pulangan apabila nilai coin naik sekurang-kurangnya kepada $110,000.

Akhir sekali, mari kita mempertimbangkan perspektif baru yang dibuat oleh Kepintaran Buatan (AI): suara integral yang semakin mendapat tempat dalam perbincangan seperti ini. Penganalisis di Finbold merujuk kepada Google Bard, satu sistem pembelajaran mesin mengenai nilai yang mungkin boleh dicapai mata wang kripto terunggul itu setelah proses pengurangan penghasilan 2024 yang ditunggu-tunggu dilaksanakan. Sistem AI berkenaan menjangkakan berkemungkinan besar bitcoin akan mencapai nilai tertingginya yang baru, bukan hanya disebabkan oleh penghasilannya dikurangkan tetapi juga penerimaan lebih meluas BTC serta minat oleh pelabur-pelabur berinstitusi. Google Bard menyatakan dengan khusus bahawa setelah penghasilannya dikurangkan, nilai bitcoin boleh melonjak ke paras $100,000. Walau bagaimanapun, sistem AI itu turut menekankan tentang faktor-faktor yang boleh mengehadkan pertumbuhan nilai mata wang kripto itu, tidak menolak tentang musim dingin kripto yang mungkin berterusan pada tahun 2024.

Sebaliknya, senario yang diberikan oleh pesaing Google Bard iaitu ChatGPT yang dibangunkan oleh OpenAI dilihat lebih bersifat optimis. (Menariknya, ilustrasi yang disertakan sekali bersama artikel ini juga dihasilkan oleh sistem AI, dalam hal ini, Microsoft Bing)

 

2024: Unjuran Optimis dan Pesimis yang Sederhana

Dengan menggabungkan kesemua senario yang disebutkan tadi dan menjadikannya sebagai satu unjuran sepakat, memberikan kadar timbal tertentu, nilai yang dijangka adalah antara $100,000 dan $180,000. Walaupun julat ini sudah semestinya menggembirakan para pelabur, terdapat juga ramalan yang lebih bersifat konservatif dan pesimis diberikan.

Setelah ramalannya untuk tahun 2023 tersasar, penganalisis PlanB meletakkan unjuran yang lebih rendah. “Jangkakan nilai bitcoin sebanyak $32,000 sebelum penghasilannya dikurangkan”, jelas beliau, “naik kepada $55,000 semasa pengurangan penghasilan dilaksanakan, dan selepas itu, nilai mata wang kripto utama tersebut mungkin akan naik kepada $66,000 sebelum tahun depan berakhir”. Arthur Hayes, bekas CEO bursa mata wang kripto BitMEX juga menyatakan bahawa nilai mata wang kripto pertama itu hanya boleh mencecah sasaran yang “sederhana” iaitu $70,000.

Satu perspektif yang membuka mata telah diberikan oleh CryptoVantage, sebuah syarikat yang telah membuat kaji selidik terhadap 1,000 pelabur kripto di AS. Hanya 23% daripada mereka percaya bahawa nilai bitcoin akan mencecah paras tertinggi dalam sejarahnya iaitu $68,917 pada tahun depan. 47% merasakan bahawa nilai coin itu akan berada pada kedudukan sama dalam tempoh lima tahun lagi. 78% pula berasa yakin nilai BTC akhirnya akan kembali berada pada paras tertinggi dalam sejarahnya, namun tiada sebarang tarikh yang diberikan. Walau bagaimanapun, 9% pula percaya pencapaian yang sama ini tidak akan berulang lagi.

Penganalisis di BBC World iaitu Glen Goodman turut serta dalam golongan yang bersikap skeptik. Komen beliau adalah nilai $120,000 “dilihat seperti hanya keluar daripada mulut semata-mata dan bukannya unjuran yang dibuat secara realistik”. Goodman mempertikaikan golongan yang memberi unjuran seperti itu lebih ingin melihat pasaran bull dan terlepas pandang beberapa faktor utama. Menurut beliau, faktor paling penting adalah penggubal dasar kewangan A.S. tidak berhenti-henti mensasarkan industri kripto dengan tuntutan mahkamah dan juga siasatan. Berdasarkan kepada perkara ini, penganalisis di JP Morgan percaya bahawa mata wang kripto utama itu akan didagangkan di sekitar paras $45,000 pada tahun 2024, serta mengambil kira nilai tersebut sebagai had tertingginya dan menunjukkan potensi terhad aset berkenaan.

 

2025 dan Seterusnya: $1,000,000 Hingga $10,000,000. Siapa Ramalkan Lebih Tinggi?

"Melihat terlalu ke hadapan bukanlah berpandangan jauh,” satu kata hikmah yang dikaitkan dengan Sir Winston Churchill, Perdana Menteri United Kingdom pada tahun antara 1940-1945 dan 1951-1955. Walaupun kita mungkin boleh mengambil iktibar daripada pemimpin British yang disegani itu, sesetengah orang berpengaruh masih lagi berani membuat unjuran jangka masa panjang tanpa mempedulikan jika dilihat sebagai tidak berfikir panjang.

Hasil purata keputusan daripada kaji selidik terhadap 29 orang penganalisis yang dibuat oleh Finder.com menunjukkan bahawa nilai BTC mungkin akan mencecah $100,000 hanya apabila menjelang akhir tahun 2025, bukan pada tahun 2024, dan nilai itu boleh naik kepada $280,000 menjelang hujung tahun 2030. Seorang penganalisis yang dikenali sebagai Trader Tardigrade percaya bahawa bitcoin sedang mengikuti struktur harga yang sama seperti yang dialami antara tahun 2013 dan 2018. Jika model beliau itu tepat, permulaan kepada “letupan” harga boleh mendorong nilai bitcoin naik ke paras $400,000 menjelang tahun 2026.

Kapitalis modal teroka Tim Draper, generasi ketiga kapitalis dan juga pengasas bersama syarikat Draper Fisher Jurvetson berasa optimis mengenai tahun 2025. Beliau percaya bahawa proses pengurangan penghasilan akan memberi kesan besar terhadap nilai mata wang kripto utama itu, yang pada akhirnya akan mencecah $250,000. Sebelum ini, beliau menjangkakan BTC boleh mencapai kedudukan tersebut pada hujung tahun 2022. Setelah unjuran beliau tidak menjadi kenyataan, beliau memanjangkan tempoh masanya kepada pertengahan tahun 2023. Kini, Draper telah menilai semula unjuran beliau sekali lagi, menyatakan dengan yakin bahawa mata wang kripto itu akan mencapai nilai sasaran menjelang akhir bulan Jun 2025. Menurut beliau, salah satu pendorong kepada pertumbuhan nilainya adalah penerimaan BTC oleh kaum wanita, mencadangkan bahawa golongan suri rumah yang menggunakan bitcoin untuk membeli-belah boleh menjadi faktor besar terhadap penerimaan coin itu secara meluas.

Mike Novogratz, CEO Galaxy Digital percaya bahawa permintaan untuk instrumen kewangan alternatif akan terus bertambah, dan bitcoin menjadi salah satu daripada instrumen tersebut. Beliau menjangkakan bahawa untuk tempoh masa panjang, nilai bitcoin boleh mencecah $500,000. Arthur Hayes, bekas CEO bursa mata wang kripto BitMEX, dan Max Keiser, bekas pedagang dan hos TV yang menjadi penasihat kepada presiden El Salvador menggandakan nilai tersebut, kedua-duanya memberikan nilai $1 juta bagi setiap coin. Michael Saylor, pengasas MicroStrategy pula memiliki pandangan yang lebih terpolarisasi, menyatakan bahawa “sama ada nilai bitcoin akan jatuh kepada sifar atau melonjak kepada $1 juta."

Cathy Wood, CEO ARK Invest menjangkakan pertambahan ketara jumlah modal pasaran mata wang kripto, mencecah $25 trilion menjelang tahun 2030, pertumbuhan nilai lebih daripada 2100%. Senario dasar ARK Invest itu membayangkan nilai bitcoin akan naik kepada $650,000 sepanjang tempoh ini, manakala senario lebih optimis pula menjangkakan nilainya naik kepada $1,500,000. Yassine Elmandjra, seorang penganalisis di ARK Invest yang juga rakan kepada Wood sedar bahawa unjuran pertumbuhan seperti itu mungkin adalah mustahil, namun menambah lagi ia “agak berpatutan” jika mengambil kira sejarah perkembangan mata wang kripto.

Larry Lepard, Rakan Pengurusan di syarikat berpangkalan di Boston iaitu Equity Management Associates turut memberikan unjuran jangka masa panjang. Beliau percaya bahawa dalam dekad seterusnya, dolar akan mengalami susut nilai, dan lebih ramai orang akan melabur dalam mata wang kripto, emas, serta hartanah. Melihat kepada bekalan bitcoin yang terhad, aset digital itu akan menjadi alat pelaburan paling dicari-cari dan akan mendapat faedah daripada penyusutan nilai mata wang fiat. “Saya percaya nilai bitcoin akan naik mendadak. Saya merasakan nilainya akan mencecah $100,000 dahulu, kemudian $1 juta, dan akhirnya naik kepada $10 juta bagi setiap coin. Saya yakin cucu-cicit saya akan berasa terkejut dengan kekayaan yang dimiliki golongan pelabur bitcoin walaupun dengan hanya memiliki satu bitcoin saja,” jelas Lepard.

Sistem Kepintaran Buatan ChatGPT memberikan senario yang lebih sederhana. Ia menjangkakan nilai mata wang kripto utama ini mungkin akan naik kepada $500,000 menjelang tahun 2028, mencapai nilai $1 juta pada tahun 2032, dan melonjak kepada $5 juta menjelang tahun 2050. Namun, unjuran yang diberikan sistem AI ini turut mengambil kira beberapa syarat. Pertumbuhan nilai seperti itu hanya boleh berlaku jika: mata wang kripto diterima secara meluas; bitcoin menjadi alat popular bagi simpanan harta; dan jika coin itu diintegrasi bersama sistem kewangan yang lain. Jika syarat-syarat ini tidak dipenuhi, maka, mengikut pengiraan sistem AI tersebut, nilai coin akan berada di antara $20,000 dan $500,000 menjelang tahun 2050.

 

Skuad Kematian Bitcoin: $0.0000. Siapa Mengunjurkan Lebih Rendah?

Mengikut Hukum Ketiga Newton, setiap tindakan memberi reaksi yang sama dan juga reaksi bertentangan. Walaupun formulasi ini dibuat pada tahun 1689, ia dilihat boleh diguna pakai untuk mata wang kripto pada abad ke-21. Jika terdapat golongan yang benar-benar mahukan nilai bitcoin untuk naik, sudah pasti terdapat juga mereka yang bersedia untuk menjatuhkannya.

Warren Buffett, seorang hartawan dan juga lagenda pasaran saham dengan terbuka menyamakan bitcoin sebagai “racun tikus”. Rakan beliau yang dipercayai iaitu Charles Munger, Naib Pengerusi syarikat Berkshire Hathaway turut sama mengkritik. Walaupun akan berumur 100 tahun pada 1 Januari, 2024 nanti (tahniah kepada beliau), beliau terus menentang “kuasa jahat” ini dengan aktif.

Munger telah mendesak pihak berkuasa A.S. untuk menyingkirkan bitcoin, menyamakan pelaburan itu sebagai satu pertaruhan. Dalam temu bual bersama The Wall Street Journal, beliau menyatakan bahawa industri mata wang kripto telah melemahkan kestabilan sektor kewangan global dan mempertikaikan bahawa BTC tidak boleh dianggap sebagai satu kelas aset kerana ia tidak memiliki nilai intrinsik. Beliau percaya bahawa ia seharusnya mematuhi undang-undang ketat yang akhirnya akan menyesakkan industri berkenaan. “Ia adalah pelaburan paling bodoh pernah saya lihat,” dakwa pelabur terkenal itu. “Saya tidak berbangga dengan tindakan negara sendiri yang membenarkannya. Lebih melucukan ada yang membelinya. Satu tindakan yang tidak bagus. Kerja gila. Ia hanya memudaratkan”. Hartawan itu melabelkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan beliau sebagai bodoh dan menggelar bitcoin sebagai “produk rosak” dan “penyakit kelamin."

Steve Hanke, seorang profesor ekonomi di Universiti John Hopkins juga mengkritik bitcoin, menegaskan bahawa nilai tiada sebarang nilai fundamental yang dimiliki mata wang kripto pertama itu. Beliau melabelkan BTC sebagai aset yang sangat dipenuhi spekulasi dengan tiada sebarang nilai atau kegunaan terhadap ekonomi yang dimiliki.

Peter Schiff, Presiden syarikat Euro Pacific Capital yang juga seorang penggemar emas percaya bahawa “tiada apa yang lebih teruk berbanding mata wang kripto” dan “bitcoin tidak berguna”. Beliau membandingkan pemilik aset itu sebagai sebuah kultus. “Tiada siapa mahukan bitcoin. Orang ramai hanya membelinya setelah dipujuk oleh orang lain. Setelah mereka membelinya [BTC], mereka dengan serta-merta cuba mengajak orang lain untuk turut serta. Ia seperti sebuah kultus,” jelas Schiff. Pada tahun 2017, beliau meramalkan coin tersebut tidak akan bernilai. Walaupun bertahun-tahun telah berlalu, ahli perniagaan itu tidak mengubah pendiriannya. Baru-baru ini beliau mengulangi semula bahawa “perjalanan nilai bitcoin kepada sifar telah dilengahkan. Pada akhirnya, bitcoin akan meletup.".

Jamie Dimon, ketua gergasi perbankan Amerika iaitu JPMoran turut mengkritik hebat emas digital itu. Dalam satu rancangan CNBC, beliau menyatakan perasaan sangsi berkenaan pengeluaran bitcoin yang dikatakan terhad sebanyak 21 juta coin. “Bagaimana anda tahun mengenainya? Jumlahnya mungkin mencecah 21 juta, dan gambar Satoshi [Nakamoto] mungkin akan muncul dan mentertawakan anda semua,” beliau membuat spekulasi tentang masa hadapan.

Jim Cramer, hos rancangan “Mad Money” di CNBC juga memfokuskan kepada risiko. Beliau percaya bahawa tiada siapa yang benar-benar tahu perkara yang disembunyikan oleh pelabur-pelabur besar industri dan tiada jaminan tentang kejujuran mereka terdapat pelanggannya. Menurut beliau, sebarang skandal baru boleh menyebabkan nilai bitcoin susut dengan mendadak, merisikokan aset para pelabur. Merujuk kepada pendapat Carley Garnet, pakar strategi kanan komoditi dan juga broker di DeCarley Trading, beliau mengesyorkan untuk menjauhi mana-mana mata wang maya.

Membincangkan tentang prospek mata wang kripto terunggul itu, Dieter Wermuth, seorang pakar ekonomi dan rakan kongsi di Wermuth Asset Management menyatakan bahawa ekonomi akan menjadi lebih mudah dan aman tanpa bitcoin. Pada pendapat beliau, menyingkirkan sama sekali bitcoin adalah sesuatu yang masuk akal: ia dapat memberi manfaat kepada kemakmuran secara menyeluruh kerana pelaburan di dalam mata wang kripto adalah sia-sia dan membahagikan modal daripada pertumbuhan keseluruhan ekonomi. Lebih-lebih lagi, bitcoin menghasilkan ketidaksamaan sosial, membantu penggubahan wang haram, mengelak cukai, dan penggunaan sumber tenaga yang tinggi bagi tujuan penghasilan. Malah Dieter Wermuth menggelar bitcoin sebagai “pemusnah utama iklim."

Jenny Johnson, CEO firma pelaburan Franklin Templeton yang menguruskan aset berjumlah $1.5 trilion juga menyampaikan rasa sangsi terhadap mata wang kripto utama itu. Beliau mendakwa bahawa bitcoin adalah gangguan terbesar dalam inovasi sebenar. Ketua Franklin Templeton itu yakin bahawa bitcoin tidak mampu untuk menjadi mata wang global kerana kerajaan A.S. tidak akan membenarkannya. “Saya boleh beritahu anda jika bitcoin menjadi sesuatu yang penting hingga mengancam dolar sebagai mata wang rizab, A.S. akan mengehadkan penggunaannya,” jelas beliau.

Benar, kenyataan yang dibuat oleh Johnson itu bukanlah omongan kosong. Sepanjang tahun lalu, banyak perbincangan telah dibuat mengenai tekanan undang-undang terhadap industri kripto, tuntutan mahkamah, serta denda dengan jumlah yang besar. Gary Gensler, Pengerusi Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) menyamakan keadaan dalam industri kripto sekarang seperti zaman huru-hara pada awal kurun ke-20. Pada waktu itu, agensi beliau telah mengambil langkah ketat yang beliau percaya perlu dilaksanakan sekarang ini bagi menakutkan ahli-ahli perniagaan serta mengekalkan kestabilan industri. John Reed Stark, bekas pegawai SEC berkongsi sentimen yang sama seperti Gensler. “Terdapat dua sebab kenapa nilai mata wang kripto melonjak,” jelas beliau, “pertama disebabkan oleh jurang yang ada dalam undang-undang dan potensi untuk dimanipulasi di pasaran; kedua, disebabkan oleh mata wang kripto dengan harga melambung dan dinilai terlalu tinggi yang mungkin dijual kepada golongan lebih cetek pemikirannya."

Kenyataan seperti itu bukan saja telah dibuat oleh pihak berkuasa di A.S. malah juga wakil-wakil kerajaan lain di seluruh dunia. Sebagai contoh, Bank Negara Kesatuan Eropah telah mengisytiharkan bitcoin sudah tidak lagi relevan pada Disember 2022. Namun, pihak ECB telah menyemak semula penilaian mereka tidak lama selepas itu, menyatakan bahawa mata wang kripto masih lagi boleh dijadikan sebagai alternatif terhadap mata wang fiat.

***

Perlu diketahui bahawa sejak bitcoin diperkenalkan, kehancurannya telah diisytihar sebanyak 474 kali. Pembilang kematian bagi mata wang kripto ini telah diteruskan oleh platform 99bitcoins. Sumber maklumat ini mengira apa yang dikenali sebagai “obituari bitcoin” - kenyataan tegas oleh tokoh-tokoh ternama, portal-portal berita, dan lain-lain saluran media dengan jumlah pelawat yang ramai, mengatakan bahawa aset tersebut telah susut nilainya atau akan susut tidak lama lagi. Pada tahun 2021, terdapat 47 “obituari” seperti itu, pada tahun 2022 - 27, dan pada tahun 2023, hanya tujuh kali BTC diisytihar sudah “mati”. Jumlah ini adalah yang terendah dalam dekad lalu, menunjukkan bitcoin bukan saja kekal ada malah terus berada dalam keadaan baik, walaupun terdapat golongan yang sangsi dengannya.

Bagi mengakhiri ulasan menyeluruh ini, mari lihat kepada beberapa statistik yang menarik. Menurut kaji selidik oleh DocumentingBTC, seseorang pelabur yang meletakkan $100 ke dalam emas pada 10 tahun yang lalu hanya akan memperoleh $134 dalam akaun mereka. Melabur dalam saham Google akan memberi hasil sebanyak $504, Facebook - $818, Amazon - $830, Netflix - $1,040, dan Microsoft - $1,111. Para pelabur syarikat Apple boleh melihat pelaburan mereka bertumbuh kepada $1,208. Tesla menduduki tempat ketiga dalam podium jumlah keuntungan dengan pertambahan nilai daripada $100 kepada $4,475. NVIDIA pula berada di tempat kedua dengan pulangan sebanyak $8,599. Namun, jika anda melabur $100 ke dalam emas digital iaitu bitcoin, anda akan mendapat pulangan sebanyak $25,600! Inilah sebabnya kenapa bitcoin sering dianggap sebagai pelaburan terbaik dekad ini. Anda buatlah kesimpulan sendiri.

Selamat Tahun Baru!

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami