Januari 20, 2024

EUR/USD: Punca Kepada Pengukuhan Nilai Dolar

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 22 - 26 Januari, 20241

● Minggu lalu jelas menunjukkan jadual yang tidak begitu padat terutama sekali dari segi statistik makroekonomi. Disebabkan itu, sentimen peserta pasaran bergantung sepenuhnya kepada kenyataan yang dibuat pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos. Perlu diketahui bahawa forum tahunan yang diadakan di resort ski di Switzerland ini mengumpulkan wakil-wakil elit global dari lebih 120 buah negara. Di tengah-tengah salji memutih yang berkilauan akibat dipancari sinar suria adalah kuasa-kuasa besar dunia membincangkan isu-isu berkenaan ekonomi serta politik antarabangsa. Edisi ke-54 untuk tahun ini berlangsung pada 15 hingga 19 Januari.

● Berucap di Forum Ekonomi Dunia pada 16 Januari lalu, Presiden Bank Negara Kesatuan Eropah iaitu Christine Lagarde menyampaikan keyakinan beliau berkenaan kadar inflasi 2.0% yang disasarkan mampu untuk dicapai. Kenyataan itu tidak menimbulkan sebarang kebimbangan kerana kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone menunjukkan penurunan yang stabil. Daripada kedudukan 10.6% pada hujung tahun 2022, kadar CPI kini turun kepada 2.9%. Isabel Schnabel, salah seorang ahli Lembaga Eksekutif ECB tidak menolak tentang kemungkinan pertumbuhan ekonomi di Eropah akan menjadi lembab dan kadar inflasi kembali ke paras sasaran menjelang akhir tahun 2024.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh pihak Reuters terhadap pakar-pakar ekonomi terkemuka mengenai polisi kewangan ECB pada masa hadapan, majoriti penganalisis menjangkakan penggubal dasarnya dijangka akan menurunkan kadar faedah seawal suku tahun kedua, dengan 45% lagi responden percaya bahawa keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat bulan Jun nanti. 

● Dari sudut yang lain, kadar inflasi di Amerika Syarikat telah gagal untuk melepasi paras 3.0% sejak Julai 2023. Nilai yang dikeluarkan pada 11 Januari lalu menunjukkan bahawa kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) susut sebanyak 3.4%, kedudukan yang lebih tinggi berbanding 3.2% yang diunjur sebulat suara serta kadar sebelum ini iaitu 3.1%. Dari segi bulanan, kadar inflasi pengguna juga meningkat, mencatatkan kadar 0.3% berbanding 0.2% yang diunjur dan kadar 0.1% sebelum ini.

Melihatkan kepada perkara ini, dan mengambil kira bahawa ekonomi di A.S. dilihat agak stabil, kemungkinan untuk Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah mereka pada bulan Mac menjadi semakin pudar. Perubahan sentimen ini mendorong kepada nilai dolar menjadi lebih kukuh sedikit, menggerakkan gandingan EUR/USD daripada julat antara 1.0900-1.1000 kepada zon antara 1.0845-1.0900. Disamping itu, prestasi pasaran saham yang lemah di Asia memberikan lebih banyak tekanan kepada mata wang Eropah.

● Menurut pakar ekonomi di Rabobank Belanda, posisi long bagi mata wang euro mungkin akan berdepan lebih banyak cabaran. Perkara ini boleh berlaku jika Donald Trump meneruskan gerakan beliau untuk menerajui White House bagi penggal kedua. “Walaupun Akta Pengurangan Inflasi yang digubal Presiden Biden memberi maksud bahawa keadaan tidak selalunya mudah bagi Eropah sejak empat tahun lalu, pendirian Trump mengenai NATO, Ukraine, serta perubahan suasana yang mungkin berubah mampu memberi kesan teruk kepada Eropah dan memperbaiki kedudukan dolar A.S. sebagai aset selamat,” jelas penganalisis di Rabobank. “Berdasarkan perkara ini, kita dapat lihat kemungkinan kadar EUR/USD turun ke paras 1.0500 dalam tempoh tiga bulan lagi."

● Gandingan EUR/USD ditutup pada paras 1.0897 minggu lalu. Buat masa ini, majoriti penganalisis menjangkakan pertumbuhan nilai dolar A.S. dalam masa terdekat. 60% bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, 20% pula memihak kepada euro, dan baki 20% lagi berpendirian neutral. Bacaan pengayun pada carta D1 mengesahkan unjuran para penganalisis: 80% berwarna merah, menunjukkan trend bearish, dan 20% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator, pecahannya adalah 50/50 antara isyarat warna merah (bearish) dan warna hijau (bullish).

Sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon antara 1.0845-1.0865, diikuti dengan 1.0725-1.0740, 1.0620-1.0640, 1.0500-1.0515, dan 1.0450. Di atas, bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0905-1.0925, 1.0985-1.1015, 1.1110-1.1140, 1.1230-1.1275, 1.1350, dan 1.1475.

● Tidak seperti minggu lalu, minggu depan menjanjikan lebih banyak maklumat. Hari Selasa, 23 Januari, hasil Kaji Selidik Bank Pembiayaan Eurozone (Eurozone Bank Lending Survey) akan diketahui. Pada hari Rabu, 24 Januari pula akan memberikan statistik awal berkenaan aktiviti perniagaan (PPI) dalam pelbagai sektor ekonomi di Jerman, Eurozone, dan A.S. Perkara utama adalah pada hari Khamis, 25 Januari apabila pihak Bank Negara Kesatuan Eropah bermesyuarat dan kadar faedah mereka akan diputuskan. Kadarnya dijangka kekal pada paras 4.50%. Maka para pelabur akan memberikan tumpuan mereka terhadap kenyataan yang akan dibuat oleh barisan kepimpinan ECB pada sidang akhbar elegan itu. Untuk makluman, mesyuarat FOMC Rizab Perekutuan dijadual akan diadakan pada 31 Januari. Disamping itu, pada 25 Januari, kita akan ketahui mengenai kadar KDNK serta data pengangguran di Amerika Syarikat, dan pada keesokan harinya, data perbelanjaan penggunaan peribadi penduduk di negara itu akan dikeluarkan.

 

GBP/USD: Inflasi Tinggi Mendorong Kepada Kadar Faedah Tinggi dan Pound yang Kukuh

● Tidak seperti di Amerika Syarikat dan  Eurozone, terdapat agak banyak statistik penting berkenaan keadaan ekonomi di British yang dikeluarkan pada minggu lalu. Pada hari Rabu, 17 Januari, pedagang memfokuskan kepada data inflasi untuk bulan Disember. Data itu menunjukkan bahawa kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di United Kingdom naik daripada -0.2% kepada 0.4% untuk bulan ke bulan (berbanding 0.2% yang diunjur sebulat suara) dan mencecah 4.0% untuk tahun ke tahun (bukan 3.8% yang diunjur dan kadar 3.9% sebelum ini). Kadar CPI teras kekal berada pada kedudukan sebelum ini iaitu 5.5% untuk tahun ke tahun.

Berikutan penyiaran laporan mengenai pertumbuhan kadar inflasi, Perdana Menteri UK iaitu Rishi Sunak bertindak segera bagi meyakinkan pasaran. Beliau menyatakan bahawa pelan ekonomi kerajaan adalah tepat dan berfungsi dengan baik, setelah berjaya menurunkan kadar inflasi daripada 11% kepada 4%. Sunak juga sedar bahawa kadar gaji di negara itu telah naik dengan cepat berbanding kadar harga sepanjang lima bulan, mencadangkan bahawa trend kelembapan inflasi akan terus berlaku.

● Walaupun dengan kenyataan optimis ini, kebanyakan peserta pasaran percaya bahawa Bank of England (BoE) akan menunda permulaan kepada pelonggaran polisi kewangan mereka sehingga hujung tahun ini. “Kebimbangan mengenai proses disinflasi yang kini mungkin dipandang enteng telah hangat diperkatakan semula akibat data inflasi terbaru itu,” jelas pakar ekonomi Commerzbank. “Pasaran mungkin berharap Bank of England akan memberikan respon yang sepatutnya, justeru, mereka akan lebih berhati-hati untuk menurunkan kadar faedahnya buat kali pertama."

Jelaslah, jika pihak BoE tidak tergesa-gesa untuk melonggarkan polisi kewangan mereka, ini akan menhasilkan keadaan untuk pound British menjadi lebih kukuh untuk jangka masa panjang. Prospek ini sudah pun membolehkan gandingan GBP/USD bergerak daripada sempadan bawah saluran lima minggunya iaitu 1.2596 pada 17 Januari, naik ke tengah-tengah saluran pada paras 1.2714.

● Agak tidak mustahil untuk GBP/USD meneruskan trajektori ke atas, namun pertumbuhan itu terhalang dengan data jualan runcit yang lemah di United Kingdom, data yang dikeluarkan pada hari terakhir minggu bekerja iaitu Jumaat, 19 Januari. Data itu menunjukkan penurunan indikator ini sebanyak 4.6%, daripada +1.4% pada bulan November kepada -3.2% untuk bulan Disember (berbanding -0.5% yang diunjur). Jika indikator Indeks Pengurusan Pembelian dan juga aktiviti perniagaan yang dijangka akan diketahui pada 24 Januari nanti menunjukkan gambaran yang sama, ia mampu memberi lebih banyak tekanan kepada pound. Bank of England mungkin berasa bimbang jika polisi kewangan yang ketat boleh melemahkan ekonominya dengan melampau dan mungkin akan mempertimbangkan untuk melonggarkannya. Menurut penganalisis di ING (Internationale Nederlanden Groep), penurunan kadar faedah utama sebanyak 100 mata asas boleh menyebabkan kadar GBP/USD turun ke zon 1.2300 dalam tempoh antara satu hingga tiga bulan akan datang.

Penganalisis ING juga percaya bahawa pengumuman belanjawan UK pada 6 Mac nanti akan memberi kesan besar kepada pound kerana pengurangan cukai terdapat dalam agenda. “Penganalisis itu menyebut, “Tidak seperti pada September 2022, kami percaya ini adalah pengurangan cukai yang sebenar, dibantu oleh pengurangan kos pembiayaan hutang. Pengurangan ini dapat menambah jumlah KDNK di UK antara 0.2-0.3% pada tahun ini dan membolehkan Bank of England mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama."

● Gandinga GBP/USD ditutup pada paras 1.2703 minggu lalu. Untuk minggu hadapan, 65% penganalisis bersetuju dengan penurunan gandingan ini, 25% pula memilih pertumbuhan, manakala 10% lagi lebih gemar bersikap neutral. Bertentangan dengan pendapat penganalisis, trend indikator pada D1 lebih berpihak kepada mata wang British: 75% menunjukkan pertumbuhan pasangan ini, manakala 25% lagi menunjukkan penurunan. Dalam kalangan pengayun, 25% memihak kepada pound, peratusan sama (25%) memihak kepada dolar, dan 50% lagi berpendirian neutral. Jika gandingan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2650, 1.2595-1.2610, 1.2500-1.2515, 1.2450, 1.2330, 1.2210, 1.2070-1.2085. Jika ia bergerak ke atas, gandingan ini akan bertemu rintangan pada paras 1.2720, 1.2785-1.2820, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140-1.3150.

● Tiada sebarang perkara penting yang berkaitan dengan ekonomi di United Kingdom dijangka akan diketahui pada minggu depan, selain daripada yang telah dinyatakan sebelum ini. Mesyuarat Bank of England yang seterusnya dijadual akan berlangsung pada hari Khamis, 1 Februari.

 

USD/JPY: ‘Misi Ke Bulan’ Diteruskan

● Mengikut data yang telah dikeluarkan oleh Biro Statistik Jepun pada hari Jumaat, 19 Januari, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jepun untuk bulan Disember adalah 2.6% tahun ke tahun, berbanding 2.8% pada bulan November. Kadar CPI Kebangsaan, kecuali makanan segar adalah 2.3% untuk tahun ke tahun pada bulan Disember, lebih rendah dari kadar sebelumnya iaitu 2.5%.

Melihat kepada kadar inflasi yang sudah pun menurun, timbul persoalan: mengapa kadar faedah perlu dinaikkan? Jawapan yang betul: tidak perlu dinaikkan. Inilah sebabnya kenapa unjuran sebulat suara pasaran mencadangkan bahawa Bank of Japan (BoJ) akan membiarkan kadar mereka tidak berubah pada mesyuarat yang akan diadakan pada hari Selasa, 23 Januari nanti, mengekalkannya pada paras negatif -0.1%. (Perlu diketahui bahawa kali terakhir penggubal dasar itu mengubah kadar mereka adalah pada lapan tahun lalu, pada Januari 2016, diturunkan sebanyak 200 mata asas).

● Seperti biasa, Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki membuat satu lagi campur tangan lisan pada hari Jumaat, dan seperti biasa juga, tiada perkara baru yang beliau sebutkan. “Kami memantau rapat pergerakan mata wang”, “Pergerakan di pasaran Forex ditentukan oleh pelbagai faktor”, “Penting untuk mata wang bergerak dengan stabil, mencerminkan keadaan indikator fundamental”: ini adalah kenyataan-kenyataan yang telah didengari oleh peserta pasaran berulang kali. Mereka tidak lagi percaya pihak berkuasa kewangan di negara itu akan mengubah pendirian mereka dan mengambil tindakan. Akibatnya, nilai yen terus menjadi lemah, dan gandingan USD/JPY meneruskan pergerakannya ke atas. (Apa yang menarik, kenaikan ini benar-benar selari dengan analisis gelombang yang kami bincangkan pada dua minggu lalu).

● Paras tertinggi USD/JPY yang telah direkodkan pada minggu lalu adalah 148.80, dan ia mengakhiri minggu pada paras yang hampir dengan 148.14. Untuk minggu depan, 50% penganalisis menjangkakan nilai dolar yang lebih kukuh, 30% memihak kepada yen, dan 20% lagi berpendirian neutral. Bagi indikator trend dan pengayun pada D1, 100% menunjukkan pertumbuhan, namun satu perempat daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di sekitar 147.65, diikuti dengan 146.90-147.15, 146.00, 145.30, 143.40-143.65, 142.20, 141.50, dan 140.25-140.60. Paras rintangan berada di zon dan sekitar: 148.50-148.80, 149.85-150.00, 150.80, dan 151.70-151.90.

● Selain daripada mesyuarat Bank of Japan, satu lagi perkara penting yang berkait dengan ekonomi Jepun pada minggu hadapan adalah penyiaran kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi kawasan Tokyo, dijadual akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 26 Januari.

 

MATA WANG KRIPTO: Bermacam Unjuran, Hasil Tidak Menyakinkan

● Minggu lalu, kisah berpanjangan mengenai undang-undang yang telah lama dinantikan akhirnya berakhir juga: seperti dijangka, pada 10 Januari lalu, pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) A.S. telah meluluskan kumpulan 11 permohonan syarikat-syarikat pelaburan untuk melancarkan dana dagangan bursa (ETF) yang berasaskan bitcoin. Berita ini pada mulanya telah menyebabkan harga bitcoin melonjak dengan mendadak mencecah sekitar $49,000. Namun, nilai mata wang kripto itu kemudiannya susut kira-kira 15% dan turun ke paras $41,400. Para penganalisis menyatakan keadaan lebihan belian yang berlaku atau apa yang digelar “pasaran meruap” sebagai punca utama kepada penurunan tersebut. Seperti yang dilaporkan oleh Cointelegraph, keputusan positif oleh SEC itu sudah pun diambil kira ke dalam harga pasaran. Pada tahun 2023, nilai bitcoin naik sebanyak 2.5 kali ganda, sebahagian besar daripada pertumbuhan ini berlaku pada musim luruh apabila keputusan untuk meluluskan ETF hampir tidak dapat dielakkan lagi. Kebanyakan pelabur dan pedagang, terutama sekali golongan spekulator jangka pendek memilih untuk mendapatkan pulangan dan bukannya membeli lebih banyak aset yang kini nilainya adalah lebih tinggi. Ini adalah contoh klasik pepatah dalam pasaran, ”Beli mengikut khabar angin (jangkaan), jual mengikut fakta."

● Penurunan nilai ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. Sebelum pihak SEC membuat keputusan, sesetengah penganalisis sudah pun menjangkakan susut nilai. Sebagai contoh, penganalisis di CryptoQuant membincangkan tentang nilai bitcoin yang berpotensi untuk jatuh lebih rendah daripada $32,000. Unjuran lain ada menyebut tentang sokongan akan berada pada paras $42,000 dan $40,000. “Bitcon telah gagal untuk menembusi paras $50,000,” jelas penganalisis di Swissblock. “Persoalannya sekarang, mampukah mata wang kripto utama ini mendapatkan semula momentum yang telah hilang."

● Ulasan kami sebelum ini diberi judul “Hari X Telah Tiba. Apa Langkah Seterusnya?”. Lebih daripada seminggu telah pun berlalu sejak ETF Bitcoin mendapat kelulusan, namun apabila melihat pada carta BTC/USD, pasaran masih lagi memberi jawapan kepada persoalan tadi. Menurut Michael Van De Poppe, ketua syarikat MN Trading Consultancy, harganya tersekat pada beberapa lapisan. Beliau percaya bahawa paras rintangan berada pada nilai $46,000, namun bitcoin boleh menguji paras sokongan yang berada di antara nilai $37,000 dan $40,000. Secara realitinya, mata wang kripto utama ini telah bergerak di saluran mendatar yang sempit hampir keseluruhan minggu lalu: antara $42,000 dan $43,500. Walau bagaimanapun, antara 18-19 Januari, bitcoin telah berdepan dengan satu lagi serangan bear, merekodkan paras terendah mingguan pada nilai $40,280.

● Membuat penilaian terhadap kesan pelancaran ETF spot bitcoin memerlukan lebih banyak masa. Data yang sesuai untuk dianalisis dijangka boleh diperoleh pada sekitar pertengahan bulan Februari. Walau bagaimanapun, seperti yang pihak Cointelegraph sedia maklum, dana-dana ini sudah pun menarik modal lebih daripada $1.25 bilion. Pada hari pertama ia dilancarkan, jumlah dagangan instrumen pasaran kewangan yang baru ini sudah pun mencecah $4.6 bilion.

Andrew Peel, Ketua Aset Digital bagi bank pelaburan Morgan Stanley menekankan bahawa aliran modal yang masuk ke dalam produk-produk baru ini sudah pun mencecah billion dolar setiap minggu. Beliau percaya bahawa pelancaran ETF spot bitcoin mampu mempercepatkan proses penyingkiran kebergantungan ekonomi global terhadap dolar dengan ketara. Beliau dipetik berkata, “Walaupun inovasi ini masih lagi baru, ia  telah membuka peluang untuk mencabar hegemoni dolar. Pelabur-pelabur makro seharusnya mempertimbangkan bagaimana aset-aset digital ini, dengan ciri-ciri unik serta penerimaannya yang meluas, dapat mengubah dinamik dolar pada masa hadapan”. Andrew Peel mengingatkan kita bahawa populariti BTC telah berkembang dengan stabil sepanjang 15 tahun ini, dengan lebih daripada 106 juta orang kini memiliki mata wang kripto pertama itu di seluruh dunia. Sementara itu, Michael Van De Poppe sedia maklum bahawa keputusan pada 10 Januari lalu akan mengubah hidup kebanyakan orang di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa “ini adalah kitaran ‘termampu’ bagi bitcoin dan mata wang kripto untuk kali terakhir” dan tempohnya “akan lebih lama berbanding sebelum ini."

● Kesan terhadap order di peringkat global setelah ETF bitcoin yang baru ini dilancarkan juga menjadi topik perbincangan dalam kalangan ramai orang berpengaruh yang berada dalam barisan kepimpina. Sebagai contoh, Elizabeth Warren, salah seorang ahli Jawatankuasa Perbankan Senat A.S. telah mengkritik keputusan SEC itu, menyatakan kebimbangan bahawa ia boleh membinasakan sistem kewangan sedia ada serta pelabur-pelaburnya. Sebaliknya, Kristalina Georgieva, Pengarah Urusan di Tabung Kewangan Dunia (IMF) tidak bersetuju dengannya. Beliau percaya bahawa mata wang kripto berada di bawah kelas aset, bukan mata wang, dan penting untuk membezakan perkara ini dengan jelas. Justeru, beliau mempertikaikan bitcoin tidak akan boleh menggantikan dolar A.S. Selain itu, ketua IMF berkenaan tidak bersetuju dengan mereka yang menjangkakan ETF bitcoin akan menyumbang kepada penerimaan meluas mata wang kripto pertama tersebut.

● Nilai bitcoin dijangka akan mencecah nilai $100,000 - $150,000 menjelang hujung tahun 2024 dan nilai $500,000 dalam tempoh lima tahun seterusnya, itu adalah pendapat yang diberikan oleh Tom Lee, pengasas bersama syarikat analisis Fundstrat dalam satu temubual bersama CNBC. “Dalam tempoh lima tahun akan datang, bekalan akan menjadi terhad, namun dengan ETF spot bitcoin yang telah mendapat kelulusan, permintaan yang lebih besar berpotensi untuk berlaku, maka saya rasa nilai $500,000 agak mampu dicapai dalam masa lima tahun,” jelas penganalisis itu. Beliau juga menyebut pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan pada musim bunga 2024 nanti sebagai faktor tambahan kepada pertumbuhannya.

CEO syarikat ARK Invest iaitu Cathy Wood yang turut ditemu bual CNBC menjangkakan senario bullish di mana nilai mata wang kripto pertama itu boleh mencecah $1.5 juta menjelang tahun 2023. Penganalisis di syarikat beliau telah membuat pengiraan bahawa walaupun dengan berlakunya senario bearish sekalipun, nilai emas digital itu boleh naik sekurang-kurangnya ke paras $258,500.

Anthony Scaramucci, pengasas syarikat SkyBridge Capital yang juga seorang bekas Pengarah Komunikasi di White House memberikan satu lagi unjuran. “Jika nilai bitcoin adalah $45,000 semasa pengurangan penghasilannya dilaksanakan, maka nilainya akan mencecah $170,000 menjelang tempoh antara pertengahan sehingga akhir tahun 2025. Apapun nilai bitcoin pada hari penghasilannya dikurangkan pada April nanti, gandakan empat, dan nilai itu boleh dicapai dalam tempoh 18 bulan seterusnya,” jelas pengasas SkyBridge itu sebelum berlangsungnya Forum Ekonomi Dunia di Davos.

● Sangat menarik apabila melihat betapa besarnya perbezaan chatbot AI dalam memberikan pelbagai unjuran nilai bitcoin menjelang 31 Disember, 2024 nanti. Claude Instant oleh Anthropic menjangkakan $85,000, sementara Pi oleh Inflection mengunjurkan pertumbuhan ke paras $75,000. Bard oleh Gemini menjangkakan nilai BTC akan lebih tinggi daripada $90,000 apabila tibanya tarikh itu, namun memberikan amaran halangan ekonomi yang tidak dijangka boleh mengehadkan paras tertingginya pada nilai $70,000. ChatGPT-3.5 oleh OpenAI melihat julat harga antara $75,000 dan $85,000 mampu dicapai tetapi bukan satu jaminan. ChatGPT-4 memberikan nilai yang lebih sederhana dengan menjangkakan julat antara $40,000 dan $60,000, ia mengambil kira turun naik yang berpotensi berlaku di pasaran serta pelabur yang bersikap lebih berhati-hati, namun tidak menolak pertumbuhan nilai ke paras $80,000. Akhir sekali, Bing AI oleh Co-Pilot creative menjangkakan nilai di sekitar $75,000 mengikut maklumat yang diperolehinya.

Unjuran oleh sistem-sistem AI yang pelbagai ini mencerminkan keadaan rumit dan tidak menentu yang wujud dalam menjangkakan nilai mata wang kripto, memberi penekanan terhadap pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi dinamik pergerakan di pasaran untuk beberapa tahun akan datang.

● Pada malam 19 Januari, gandingan BTC/USD didagangkan di sekitar nilai $41,625. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $1.64 trilion, turun daripada $1.70 trilion minggu lalu. Indeks Fear & Greed Kripto, bacaan yang mengukur sentimen pasaran telah turun daripada 71 mata kepada 51 mata dalam masa seminggu, beralih daripada zon ‘Greed’ kepada zon ‘Neutral’. Peralihan ini adalah petunjuk kepada perubahan sentimen para pelabur, mencerminkan pendekatan yang lebih berhati-hati dalam pasaran mata wang kripto.

● Dalam membuat kesimpulan mengenai kesan pertambahan spekulasi di pasaran berkenaan pelancaran ETF spot yang tak dapat dielakkan lagi terhadap Ethereum, dalam ulasan kami sebelum ini, kami memetik kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler yang menjelaskan bahawa keputusan positif penggubal dasar itu hanya diguna pakai secara eksklusif oleh produk dagangan bursa berasaskan bitcoin. Menurut Gensler, keputusan itu “tidak memberi sebarang isyarat mengenai kesediaan untuk meluluskan standard penyenaraian aset kripto yang berasaskan sekuriti”. Penting untuk maklum di sini bahawa penggubal dasar itu hanya melihat bitcoin sebagai satu komoditi, manakala “majoriti aset kripto pula dilihat sebagai kontrak pelaburan (cth. sekuriti)."

Kini, penganalisis di bank pelaburan TD Cowen telah mengesahkan sikap pesimis mengenai ETF-ETH. Berdasarkan kepada maklumat yang mereka ada; pihak SEC dilihat mungkin tidak akan mula menyemak permohonan instrumen pelaburan ini pada enam bulan pertama tahun 2024. “Sebelum meluluskan ETF-ETH, pihak SEC ingin mendapatkan pengalaman secara praktikal dengan instrumen pelaburan yang serupa seperti bitcoin.” Komen Jaret Seiberg, ketua syarikat TD Cowen Washington Research Group. TD Cowen percaya bahawa pihak SEC hanya akan membincangkan semula tentang ETF Ethereum ini selepas pilihan raya presiden A.S. pada November 2024 nanti.

Nikolaos Panagirtzoglou, penganalisis kanan di JP Morgan juga tidak menjangkakan ETF spot ETH akan diluluskan serta-merta. Beliau berpendapat bahawa untuk pihak SEC mengambil keputusan, mereka perlu mengkategorikan Ethereum sebagai komoditi dan bukannya sekuriti. Namun, JP Morgan menganggap perkembangan seperti itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami