Februari 10, 2024

EUR/USD: Nilai Dolar Susut Namun Menjanjikan Kebangkitan Semula

● Minggu lalu menunjukkan kurangnya data makroekonomi. Dalam menantikan pendorong yang baru, peserta pasaran menganalisis keadaan di pasaran buruh AS dan juga kenyataan yang dibuat oleh para pegawai Rizab Persekutuan.

Data yang dikeluarkan pada 2 Februari mendedahkan bahawa jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan (Non-Farm Payrolls) di AS meningkat sebanyak 353,000 pada bulan Januari, berbanding 180,000 yang diunjurkan. Jumlah ini mengikuti pertumbuhan sebanyak 333,000 pada bulan Disember. Kadar pengangguran kekal stabil pada paras 3.7%, walaupun penganalisis menjangkakan pertambahan kepada 3.8%. Sementara itu, kadar inflasi gaji naik kepada 4.5% untuk tahun ke tahun, melebihi jangkaan pasaran dengan ketara iaitu 4.1%. Laporan yang dikeluarkan pada hari Khamis, 8 Februari juga sangat menyeluruh, menunjukkan jumlah permohonan manfaat pengangguran oleh penduduk AS adalah sebanyak 218K, turun daripada 227K yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Justeru, kebimbangan Pengerusi Rizab Persekutuan terbukti tidak berasas. Jika diingat beliau baru-baru ini membayangkan bahawa pasaran buruh akan menjadi lembab dengan mendadak, pelonggaran polisi kewangan boleh berlaku dengan pantas. Namun, pasaran buruh masih belum terbantut, maka ahli-ahli FOMC mungkin tidak akan tergesa-gesa untuk berpendirian dovish sehinggalah mereka menerima bukti meyakinkan kadar inflasi sudah turun di bawah paras 2.0% yang disasarkan.

Komen-komen oleh perwakilan Rizab Persekutuan selepas itu mengesahkan kebarangkalian yang rendah untuk polisi kewangan di negara tersebut dikurangkan dalam masa terdekat ini. Sebagai contoh, Susan Collins, Presiden Bank Rizab Persekutuan Boston menyatakan bahawa disebabkan pertumbuhan kukuh ekonomi serta pasaran buruh, penurunan kadar faedah adalah tidak digalakkan buat masa ini. Rakan sejawat beliau dari Bank Rizab Persekutuan Richmond iaitu Thomas Barkin benar-benar menyatakan keraguan beliau mengenai daya tahan penurunan kadar inflasi kerana inflasi harga dalam sektor perkhidmatan dan juga penyewaan terus mengalami pertumbuhan. Seperti yang ditunjukkan di atas, kadar inflasi gaji turut meningkat.

Berdasarkan kepada pendirian hawkish para perwakilan penggubal dasar itu, kebarangkalian untuk kadar faedah diturunkan pada bulan Mac ini telah turun, dan mengikut FedWatch Tool, buat masa ini kadarnya hanya berada pada paras 15.5%, untuk bulan Mei pula kadarnya adalah 54.1%. Dalam keadaan ini, bull Indeks Dolar (DXY) boleh berasa lebih yakin berbanding bear.

● Berkenaan dengan euro, mata wang Eropah itu berdepan kesan ketara dengan kenyataan dovish yang dibuat para pegawai Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) baru-baru ini. Statistik lemah dari Eurozone turut menyokong perihal permulaan lebih awal pelonggaran polisi kewangan mereka. Perbandingan indikator makroekonomi antara dua benua ini sudah cukup untuk menggambarkan perkara tersebut. Pengangguran di Eurozone berada pada kadar 6.4% berbanding 3.7% di AS. Kadar KDNK di Eropah bagi Q4 agak sukar untuk bergerak daripada paras gawat -0.1% kepada 0% (berbanding di AS, kadar itu naik sebanyak +3.3%). Indeks aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan susut daripada 48.8 mata kepada 48.4 mata, sementara itu indikator komposit, termasuklah dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan berada pada kadar 47.9 mata. Justeru, kedua-dua indikator berkenaan kekal berada di zon stagnasi (kurang 50.0). Di Jerman, kadar eksport barangan susut 4.6% untuk bulan Disember, manakala kadar import pula turun sebanyak 6.7%.

Sebaliknya, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) sebagai indikator inflasi penting menunjukkan sedikit peningkatan dalam harga pengguna di Jerman daripada 0.1% kepada 0.2% untuk bulan ke bulan, menyediakan sedikit sokongan setelah memberikan harapan kepada para pelabur bahawa pihak ECB mungkin bukan penggubal dasar pertama yang menurunkan kadar faedah. Disebabkan itu, gandingan EUR/USD ditutup pada paras 1.0785 minggu lalu.    

● Sebilangan penganalisis percaya bahawa nilai dolar yang lemah minggu lalu adalah satu penurunan pembetulan, dan penyusutan fundamental ini terus memberi kelebihan kepada mata wang Amerika. Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 9 Februari, 70% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh dalam masa terdekat serta penurunan gandingan ini. 15% memihak kepada euro, dan jumlah peratusan yang sama mengambil pendirian neutral. Pengayun pada D1 menunjukkan jangkaan yang serupa: 65% berwarna merah, menunjukkan keadaan bearish, 10% berwarna hijau, menjangkakan keadaan bullish, dan 25% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, agihan keseimbangan antara warna merah (bearish) dan hijau (bullish) adalah 65% dan 35%. Sokongan paling hampir bagi pasangan ini berada di zon 1.0725-1.0740, diikuti dengan 1.0680, 1.0620, 1.0495-1.0515, dan 1.0450. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0800-1.0820, 1.0865, 1.0925, 1.0985-1.1015, 1.1110-1.1140, dan 1.1230-1.1275.

● Peristiwa yang perlu diberi tumpuan pada minggu depan termasuklah penyiaran kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS pada hari Selasa, 13 Februari. Peserta pasaran akan membuat analisis data terkini mengenai KDNK di Eurozone pada 14 Februari, hari yang sama seperti sambutan Valentine. Statistik aktiviti pembuatan, pengangguran, serta jumlah jualan runcit di Amerika akan dikeluarkan pada hari Khamis, 15 Februari. Minggu depan akan berakhir dengan penyiaran kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS untuk bulan Januari pada hari Jumaaat.

 

GBP/USD: Faktor Menyokong dan Memberi Tekanan Kepada Pound

● Hari Jumaat, 2 Februari, data kukuh daripada pasaran buruh AS menambah lagi nilai dolar dan menolak gandingan GBP/USD dari sempadan atas saluran mendatar di antara 1.2600-1.2800 ke sempadan bawah. Penurunan ini terus berlaku sepanjang minggu lalu, dengan gandingan ini menemui paras terendah setempat iaitu 1.2518 pada 5 Februari. Kredit harus diberikan kepada mata wang British yang berjaya menebus kerugiannya dan kembali berada di zon 1.2600, menggantikan paras sokongan kepada rintangan.

Penganalisis percaya bahawa mata wang British terus menerima sokongan daripada jangkaan Bank of England (BoE) mungkin antara penggubal dasar yang terakhir untuk menurunkan kadar mereka pada tahun ini. Perlu diketahui bahawa pada 1 Februari, pihak BoE telah mengadakan mesyuarat dan mengekalkan kadar faedah utama mereka pada paras sebelum ini iaitu 5.25%. Namun, pound menerima sokongan daripada dua ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan BoE yang terus memilih kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bp). Keesokan harinya, Catherine Mann menjelaskan bahawa beliau memilih supaya kadar dinaikkan kerana beliau masih belum yakin penurunan kadar inflasi teras akan terus berlaku dalam masa terdekat ini. Seorang lagi ahli Jawatankuasa iaitu Jonathan Haskel mengakui bahawa tekanan inflasi yang dihadapi mungkin akan bertambah baik tetapi beliau sedar beliau ingin menerima lebih banyak bukti mengenai penurunan tersebut sebelum mengubah pendiriannya berkenaan prospek pertumbuhan kadar faedah.

Lebih-lebih lagi, gandingan GBP/USD sangat-sangat dipengaruhi oleh selera risiko peserta                 pasaran yang semakin meningkat, seperti yang dibuktikan oleh kadar sebut harga indeks saham seperti S&P 500, Dow Jones dan Nasdaq. Sehubungan dengan itu, komen bersifat hawkish yang diberikan wakil-wakil Bank of England serta situasi sentimen berkenaan risiko yang bertambah baik ini telah membantu gandingan tersebut menebus semula kerugian.

● Keadaan mata wang British yang semakin baik membuktikan tekanan inflasi benar-benar sudah mula reda. Menurut KPMG dan juga Laporan Pekerjaan di UK oleh Konfederasi Pekerjaan & Buruh, indeks inflasi gaji susut kadarnya daripada 56.5 mata kepada 55.8 mata untuk bulan Januari, menunjukkan pertumbuhan gaji di negara itu berada pada kadar paling rendah sejak Mac 2021. Maka, tanda-tanda pulih daripada inflasi ini dijadikan sebagai hujah Bank of England untuk mula menurunkan kadar faedah mereka. Pada mesyuarat kali terakhir penggubal dasar ini, seperti yang telah dinyatakana, dua orang ahli Jawatankuasa mengundi agar kos pinjaman dinaikkan, lapan orang bersetuju kadar perlu dikekalkan, dan hanya seorang ahli yang memilih agar kadarnya diturunkan. Namun, jika pipit bukan saja mendapat satu atau dua undian pada mesyuarat 21 Mac nanti tetapi menerima tiga undi, ia mampu mencetuskan penjualan gandingan GBP/USD dengan aktif.

● Gandingan ini mengakhiri tempoh dagangan lima hari dengan berada pada paras 1.2630. Berkenaan dengan unjuran median para penganalisis untuk minggu depan, 50% bersetuju dengan penurunan gandingan ini, 15% lagi memilih pertumbuhan, dan baki 35% pula enggan memberikan sebarang komen. Dalam kalangan pengayun pada D1, 50% menunjukkan trend penurunan, baki 50% lagi menunjukkan pergerakan mendatar, dan tiada yang menunjukkan pertumbuhan. Situasi dalam indikator trend adalah berbeza, majoritinya berpihak kepada mata wang British - 60% menunjukkan pertumbuhan dan baki 40% lagi penurunan. Jika gandingan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2595, 1.2570, 1.2495-1.2515, 1.2450, 1.2330, 1.2210, 1.2070-1.2085. Jika ia bergerak ke atas, rintangan akan dihadapi pada paras 1.2695-1.2725, 1.2785-1.2820, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140-1.3150.

● Berkenaan dengan ekonomi UK, kalendar minggu hadapan akan dipenuhi termasuklah dengan ucapan oleh Gabenor Bank of England iaitu Andrew Bailey pada hari Isnin, 12 Februari. Terdapat statistik yang agak banyak dari pasaran buruh British akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Februari. Hari Rabu, 15 Februari, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan diumumkan, diikuti dengan indikator KDNK di negara tersebut pada 16 Februari. Penyiaran statistik untuk minggu hadapan akan berakhir pada hari Jumaat, 16 Februari dengan penyiaran data jualan runcit di UK.

 

USD/JPY: Pelancaran Gandingan ini Ke Bulan Terus Berlaku

● Disebabkan retorik hawkish yang dibuat oleh wakil-wakil Rizab Persekutuan, kadar USD/JPY terus meningkat pada minggu lalu, hampir mencecah paras rintangan psikologinya iaitu 150.00. Gandingan itu boleh menembusi paras tersebut, namun peserta pasaran mengambil langkah berhati-hati sebelum tibanya hari untuk kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS dikeluarkan, dijadual berlaku pada 13 Februari.

● Nilai yen terus berdepan tekanan akibat pendirian dovish berterusan Bank of Japan (BoJ). Para pelabur melihat penggubal dasar itu masih tiada niat untuk menaikkan kadar faedah mereka. Pada hari Khamis, 8 Februari, Timbalan Gabenor BoJ iaitu Shinichi Uchida menyatakan bahawa “masa depan kadar bergantung kepada perkembangan ekonomi dan harga” dan keadaan polisi kewangan dalam ekonomi Jepun benar-benar mengikuti trajektori negatif, tanpa menjangkakan berdepan inflasi yang agresif. Keesokan harinya, Gabenor BoJ iaitu Kazuo Ueda memberikan ucapan seperti biasa, dan menyatakan bahawa “peluang masih tinggi untuk mengekalkan keadaan yang akomodatif walaupun jika tidak lagi melaksanakan kadar negatif."

Daripada kenyataan ini, pasaran membuat kesimpulan bahawa jika terdapat sebarang perubahan yang dibuat ke atas polisi kewangan bank tersebut, ia akan dilaksanakan dengan sangat perlahan dan tidak pasti bilakah masanya. Reaksi pasaran benar-benar dapat dilihat pada carta USD/JPY: paras maksimum setempat direkodkan pada kadar 149.57, dan minggu lalu ditutup pada paras 149.25.

● Mengenai nasib USD/JPY untuk minggu hadapan, pendapat para penganalisis terbahagi sama rata: satu pertiga menjangkakan pertumbuhan lebih tinggi, satu pertiga lagi menjangkakan penurunan, dan baki satu pertiga memilih untuk kekal neutral. Indikator trend dan pengayun pada D1 bersepakat menunjukkan pertumbuhan, memberikan isyarat sentimen bullish, namun 25% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Paras sokongan paling hampir berada di zon antara 148.25-148.40, diikuti dengan 147.65, 146.85-147.15, 145.90-146.10, 144.90-145.30, 143.50, 142.20, dan 140.25-140.60. Rintangan berada pada paras 149.65-150.00, 150.75, dan 151.70-151.90.

● Antara perkara yang berkait dengan ekonomi Jepun, penyiaran data KDNK di negara itu pada hari Khamis, 15 Februari menjadi tumpuan. Pedagang harus mengingati bahawa hari Isnin, 12 Februari, adalah cuti umum di Jepun: negara itu menyambut Hari Pembentukan Kebangsaan.

 

MATA WANG KRIPTO: Mengapa Nilai Bitcoin Bertambah

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 12 - 16 Februari, 20241

● "Pengurangan Penghasilan: Bersedih atau Gembira?" adalah persoalan yang kami bangkitkan dalam ulasan minggu lalu. Perdebatan mengenai perkara ini masih belum reda, namun sebaliknya, menjadi lebih hangat apabila bulan April semakin menghampiri.

Proses mengambil keuntungan setelah ETF spot bitcoin mendapat kelulusan pada 10 Januari lalu telah pun berakhir. Walau bagaimanapun, satu ancaman baru muncul di pasaran sekarang. Ancaman ini datang daripada penghasil. Scott Melker, seorang pedagang, pelabur dan hos terkenal bagi audio siar “The Wolf of All Street” memberi kenyataan berikut: “Pengurangan penghasilan bitcoin akan berlaku apabila jumlah blok yang dihasilkan mencecah nilai 840,000 pada April 2024, di mana blok ganjaran akan berkurang daripada 6.25 BTC kepada 3.125 BTC. Pada asasnya, ini bermakna pengeluaran coin baru akan dikurangkan. Penghasil akan berasa dua kali lebih sukar untuk mendapat pulangan daripada menghasilkan bitcoin."

Pengurangan penghasilan ini dijadual akan dilaksanakan pada 19 April, ini bermakna ada lebih kurang dua bulan lagi yang tinggal. Jika harga emas digital ini tidak menunjukkan pertumbuhan lebih tinggi sepanjang tempoh tersebut, majoriti penghasil akan berdepan dengan kekurangan likuiditi yang besar. Maka, untuk menambah semula jumlah likuiditi, mereka mungkin akan mula menjual BTC yang dimiliki dengan aktif, sesuatu yang dapat memberi tekanan besar kepada pasaran.

Mengikut anggaran, para penghasil bitcoin masih memiliki kira-kira 1.8 juta BTC bernilai lebih kurang $85 bilion (mengikut harga semasa). Kini, CryptoQuant telah mengumumkan bahawa jumlah rizab syarikat-syarikat ini telah berkurang ke paras paling rendah sejak Julai 2021. Buat masa ini, walet kelompok penghasil memiliki jumlah mata wang kripto paling rendah sejak “Penghijrahan Terhebat” para penghasil dari negara China ke lain-lain negara di Eurasia dan Amerika Utara. Coin-coin telah beralih daripada walet berautonomi penghasil ke dalam bursa.

Bitfinex juga mendapati kemasukan bitcoin ke dalam alamat bursa yang berkait dengan syarikat penghasil. Para penganalisis percaya bahawa pada satu tahap, penjualan coin berskala besar akan berlaku, dan itu adalah satu perkara yang membimbangkan. Namun, buat masa ini para penghasil masih terus menyimpan rizab mereka, walaupun pulangan daripada fi transaksi telah dikurangkan. Menurut CryptoQuant, jualan harian mereka telah berkurang dan kini jumlahnya kurang daripada 300 BTC.

Situasi yang dihadapi syarikat penghasilan ini turut dirumitkan lagi dengan penurunan jumlah pengeluaran coin baru. Menurut TheMinerMag, BTC yang dihasilkan penghasil dari A.S. untuk bulan Januari susut ke paras terendah dalam sejarah akibat kenaikan tarif elektrik antara 29-50%. Kos elektrik yang tinggi dijangka akan terus berlaku sehingga berakhirnya Q1 2024. Maka, jika trend ini berterusan, defisit bekalan bitcoin sudah pasti dapat dilihat sebelum pengurangan penghasilan dilaksanakan akibat peningkatan jumlah permintaan. Hakikat mengenai pertambahan permintaan ini turut disahkan oleh penganalisis Santiment yang maklum dengan peningkatan jumlah “jerung” yang memiliki lebih daripada 1,000 BTC. Kebiasaannya, perkara ini menolak kadar BTC/USD ke atas.

● Sejak 7 hingga 9 Februari, nilai bitcoin menunjukkan pertumbuhan mendadak, mencapai paras tertingginya iaitu $48,145. Semasa lonjakan ini berlaku, selain daripada sebab-sebab yang telah disebutkan tadi, peningkatan selera risiko dalam kalangan pelabur-pelabur utama di peringkat global mungkin memainkan peranan paling besar. Aliran masuk modal ke dalam pasaran saham juga memberi kelebihan kepada pasaran kripto. Menurut IntoTheBlock, hubung kait antara bitcoin dan indeks S&P 500 adalah negatif pada penghujung bulan Januari lalu dan masih belum pulih. Satu lagi sebab yang sering diperkatakan sebilangan penganalisis untuk pertumbuhan nilai emas digital itu adalah ketibaan hari Tahun Baru mengikut kalendar Cina. Perlu diketahui bahawa nilai mata wang kripto sering bertambah dalam menantikan hari tersebut.

● Secara keseluruhan, kebanyakan unjuran bagi keseluruhan tahun 2024 dilihat agak optimis, dengan sesetengahnya tersangat-sangaat optimis. Sebagai contoh, Scott Melker percaya bahawa proses pengurangan penghasilan boleh mengakibatkan nilai bitcoin bertambah kepada $240,000. “Setelah pengurangan penghasilan sebelum ini dilaksanakan, nilai BTC telah memperbaharui kadar maksimum daripada $20,000 kepada $69,000, pertumbuhan sebanyak 250%,” beliau berkata. “Justeru, jika situasi yang sama ini berulang, kadar maksimum seterusnya selepas $69,000 adalah $240,000.” “Saya sedar nilai ini mungkin seperti ditokok tambah,” jelas Melker lagi. “Kitaran ini berjaya dialami sebelum ini. Namun sehingga saya melihat sendiri ianya gagal [kali ini], saya berani bertaruh nilai bitcoin akan lebih tinggi daripada $200,000."

● Menurut CEO ARK Invest iaitu Cathy Wood, para pelabur mula beralih arah daripada emas kepada bitcoin disebabkan oleh pelancaran ETF spot Bitcoin. “Bitcoin mengalami pertumbuhan yang sama seperti emas. Penggantian emas kepada bitcoin sedang rancak berlaku. Kami dapat rasakan perkara ini akan berlanjutan…,” jelas beliau.

Memiliki sentimen yang sama seperti Cathy Wood adalah blogger dan penganalisis terkenal iaitu PlanB. “Setelah proses pengurangan penghasilan dibuat, bitcoin akan lebih sukar untuk didapati berbanding emas dan hartanah,” jelas beliau. “Perkara ini membayangkan bahawa mata wang kripto boleh mencecah nilai di sekitar $500,000.” Berdasarkan kepada model Stock-to-Flow yang beliau bangunkan, penganalisis itu menjangkakan jumlah modal pasaran aset digital mungkin tidak akan mengatasi emas - melebihi $10 trilion. Namun, nilai yang disebutkan tadi boleh dicapai jika jumlahnya berjaya menghampiri had tersebut serta bekalan yang terhad sebanyak 20 juta coin saja. PlanB tidak memberi sebarang tempoh masa tertentu untuk ia mencapai nilai tersebut, namun beliau ada menyatakan paras harga minimum yang mengikut pandangan beliau, mata wang kripto utama itu tidak akan berada lebih rendah daripadanya. Menurut PlanB, harga BTC tidak pernah turun di bawah nilai purata pergerakan selama 200 minggu jika mengikut sejarah. (Semasa ulasan ini dibuat, nilai 200WMA adalah di sekitar $32,000). Seorang lagi penganalisis yang dikenali dengan nama gelaran ali_charts percaya bahawa paras sokongan kritikal sekarang adalah $42,560.

● Seperti PlanB, pedagang, pelabur, dan pengasas MN Trading iaitu Michael Van De Poppe percaya bahawa nilai bitcoin boleh mencecah $500,000. Penganalisis itu menekankan bahawa terdapat pelbagai faktor yang akan mencetuskan pertumbuhan mendadak kadar coin terunggul itu. Antaranya adalah keadaan semasa di pasaran, pelancaran ETF BTC, aliran masuk modal daripada pelabur berinstitusi, dan lain-lain lagi. Pengurangan penghasilan dianggap sebagai faktor utama, dan kemudian pertumbuhan bullish pasaran mata wang kripto dijangka selepas itu. Van De Poppe menjangkakan kitaran semasa mungkin akan berlaku lebih lama berbanding kitaran sebelum ini disebabkan kemasukan pelabur-pelabur berinstitusi ke dalam pasaran dan mengubah sepenuhnya lanskap pembangunan industri ini.

Van De Poppe percaya bahawa senario di mana nilai bitcoin boleh mencecah paras rintangan utama $48,000 dalam masa terdekat ini adalah tidak mustahil. Pertumbuhan ini akan diikuti dengan satu lagi pembetulan, mengakibatkan nilainya susut sebanyak 20% kepada $38,400. Setelah penghasilannya dikurangkan, nilai BTC akan mula naik semula dan mencecah nilai tertinggi setempat menjelang musim bunga nanti.

● Grok, satu Kepintaran Buatan yang dibangunkan oleh syarikat xAI milik Elon Musk telah membuat dua ramalan mengenai Ethereum, pesaing utama bagi mata wang kripto ternama itu: 1) menjelang akhir tahun 2024, nilai ETH akan berada di antara $4,000 dan $5,000; 2) dalam masa setahun, nilai ETH boleh mencecah $6,500. Grok menilai tinggi prospek Ethereum disebabkan oleh pembangunan ekosistem altcoin tersebut dan juga kemas kini Dencun. Pengemaskinian ini akan meningkatkan tahap kebolehskalaan blockchain ETH serta mengurangkan kos pemprosesan transaksi dengan ketara. Pasang atur Dencun ini telah dilaksanakan dalam rangkaian ujian Goerli pada 17 Januari, dan dalam rangkaian ujian Sepolia pada 30 Januari. Pelancaran Dencun dalam rangkaian utama dijadual akan dilaksanakan pada 13 Mac. (Perlu diketahui bahawa kemas kini ini sudahpun menjadi antara sebab mengapa pemilik coin ETH mula mengalihkan aset mereka daripada walet yang sudah lama tidak aktif. Baru-baru ini, seorang “jerung” telah mengalihkan 492 ETH dengan nilai lebih daripada $1.1 juta daripada walet yang sudah dorman lebih daripada lapan tahun).

Grok juga menganggap spot ETF Ethereum yang berpotensi untuk diluluskan menjelang hujung bulan Mei sebagai satu pencetus kepada pertumbuhan nilai altcoin. Enam syarikat utama Amerika telah menghantar permohonan kepada Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) bagi derivatif itu.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah situasi yang mudah. Sebelum ini kami telah memetik kenyataan Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler yang menyebut bahawa keputusan positif bagi ETF spot hanya melibatkan produk bursa berasaskan bitcoin secara secara eksklusif saja. Menurut Gensler, keputusan ini “langsung tidak memberi sebarang isyarat mengenai kesediaan bagi meluluskan penyenaraian standard bagi aset kripto berbentuk sekuriti”. Jika diingat penggubal dasar itu masih lagi merujuk bitcoin sebagai komoditi, namun “mengikut pandangan beliau, kebanyakan aset kripto lain adalah kontrak pelaburan (cth. sekuriti)."

Minggu lalu, telah diketahui bahawa pihak SEC telah menunda keputusan mereka terhadap permohonan daripada Invesco dan Galaxy. Sebelum ini agensi berkenaan telah menunda tarikh penilaian bagi permohonan yang lain. “Satu-satunya tarikh yang penting bagi ETF spot ETH buat masa ini adalah 23 Mei. Inilah tarikh akhir bagi permohonan VanEck,” maklum Bloomberg.

Penganalisis di bank pelaburan TD Cowen percaya pihak SEC mungkin tidak akan memberikan sebarang keputusan sebelum enam bulan terakhir tahun 2024. “Sebelum meluluskan ETH-ETF, pihak SEC akan cuba mendapatkan pengalaman praktikal dengan instrumen pelaburan yang sama dengan bitcoin,” komen Jaret Seiberg, ketua TD Cowen Washington Research Group. TD Cowen percaya pihak SEC akan kembali membincangkan tentang ETH Ethereum hanya setelah berakhirnya pilihan raya presiden A.S. pada bulan November 2024 nanti.

Penganalisis kanan JP Morgan iaitu Nikolaos Panagirtzoglou juga tidak menjangkakan spot ETF-ETH akan mendapat kelulusan dalam masa terdekat ini. Bagi pihak SEC untuk membuat keputusan, mereka perlu mengkategorikan Ethereum sebagai komoditi, dan bukannya sekuriti. Namun, JP Morgan menganggap perkara tersebut mungkin tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

● Pasaran mata wang kripto telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada minggu lalu. Sehingga malam 9 Februari, gandingan BTC/USD telah didagangkan di zon $47,500, manakala ETH/USD pula pada kadar $2,500. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $1.78 trilion (naik daripada $1.65 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik kepada 72 mata (daripada 63 mata minggu lalu) dan kekal berada di zon Greed.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami