Mac 16, 2024

EUR/USD: Kedegilan Inflasi yang Enggan Turun

● Peserta pasaran sangat-sangat menumpukan perhatian mereka kepada kadar data inflasi di AS pada minggu lalu. Mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan yang dijadual akan berlangsung pada hari Rabu, 20 Mac serta data-data inflasi ini sudah semestinya akan mempengaruhi keputusan jawatankuasa berkenaan tentang kadar faedah. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell baru-baru ini menyatakan bahawa lebih banyak bukti berkenaan penurunan kadar inflasi yang diperlukan sebelum kadar faedah mula diturunkan. Nampaknya, bukti yang diperlukan ini masih belum mencukupi. Data yang dikeluarkan pada hari Selasa, 12 Mac menunjukkan kadar harga masih lagi meningkat, dan bukannya turun.

Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI), kecuali harga makanan dan bahan api dijangka hanya naik sebanyak 0.3%, tetapi sebenarnya meningkat sebanyak 0.4% untuk bulan ke bulan. Untuk tahun ke tahun, kadar inflasi untuk bulan Februari naik sebanyak 3.8%, tinggi sedikit berbanding 3.7% yang diunjurkan. Keseluruhan kadar CPI menunjukkan kenaikan bulanan sebanyak 0.4% manakala kenaikan tahunan adalah sebanyak 3.2%. Justeru, pertumbuhan kadar CPI secara keseluruhan untuk tahunan adalah sebanyak 4.2% sejak tiga bulan lalu, menandakan paras tertinggi sejak bulan Jun tahun lalu. Lonjakan kadar inflasi ini sudah pastinya tidak mengakibatkan keadaan panik, namun masih terlalu awal untuk mengisytiharkan kejayaan dalam membendung kadar inflasi, sehingga pihak Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah tertinggi mereka dalam tempoh 40 tahun.

● Faktor lain yang dijadikan hujah untuk Rizab Persekutuan tidak tergesa-gesa menurunkan kadar faedah mereka muncul pada hari Khamis, 14 Mac. Diketahui bahawa kadar inflasi industri yang ditunjukkan dalam bentuk Indeks Harga Pengeluar (PPI) naik daripada 0.3% kepada 0.6% untuk tahun ke tahun, berbanding 0.3% yang dijangka pasaran. Melihat kepada perkara ini, hasil perolehan bon 10 tahun Perbendaharaan AS naik dengan mendadak, memberikan sokongan kepada dolar.

● Selain daripada kadar CPI dan PPI, terdapat faktor ketiga yang menjadi sebab kuat untuk Rizab Persekutuan mengekalkan polisi kewangan yang ketat: pasaran buruh yang terus kukuh. Walaupun kadar pengangguran mencatatkan kenaikan tertinggi dalam masa dua tahun (daripada 3.7% kepada 3.9%), jumlah pekerjaan baru yang ada bukan dalam sektor agrikultur (NonFarm Payrolls) mencecah 275K, ketara lebih tinggi berbanding nilai sebelum ini iaitu 229K dan 198K yang diunjurkan. Selain itu, kadar penggajian sebenar terus berkembang untuk tahun ke tahun pada bulan Februari.

● Berdasarkan kepada semua perkara yang disebutkan tadi, mata wang euro berdepan tekanan pada minggu lalu. Kenyataan dovish yang agak sederhana oleh para pegawai Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) tidak memberikan sebarang kelegaan. Pada hari Khamis, ketua pakar ekonomi bank tersebut iaitu Philip Lane dalam satu temubual bersama CNBC menyatakan bahawa kadar penggajian berada dalam landasan yang betul. Walau bagaimanapun, tambah beliau lagi, pihak berkuasa kewangan EU mengelak daripada memberikan unjuran jelas berkenaan langkah seterusnya dan perlu mengambil keputusan dalam setiap mesyuarat yang tertentu.

Menurut Peter Kazimir, salah seorang ahli Majlis Pentadbir yang juga ketua Bank Negara Slovakia, adalah satu langkah bijak untuk menunggu sehingga bulan Jun sebelum kadar faedah diturunkan buat pertama kali. “Tergesa-gesa untuk mengambil langkah ini adalah satu tindakan yang kurang bijak dan tidak memberikan sebarang kelebihan,” jelas beliau. “Risiko untuk kadar inflasi naik semula masih ada dan boleh berlaku. Data bagi prospek inflasi yang lebih menyakinkan perlu ada. [Dan] hanya pada bulan Jun kadar keyakinan mengenai perkara ini boleh dicapai.” “Namun perbincangan berkenaan pelonggaran ini perlu dilakukan sekarang,” tambah ketua Bank Negara Slovakia itu.

Olli Rehn, seorang lagi ahli Majlis Pentadbir ECB yang juga ketua Bank Negara Finland memberi pendapat yang sama. Beliau mengesahkan tentang tarikh permulaan untuk membincangkan hal-hal berkenaan aspek pelonggaran polisi kewangan bank itu yang ketat. Apabila ditanyakan tentang tarikh sesuai untuk mula menurunkannya, beliau membalas dengan berhati-hati, “Jika inflasi terus menyusut, pelonggaran polisi kewangan secara beransur-ansur mungkin boleh dibuat."

● Kadar awal Indeks Sentimen Pengguna Michigan yang dikeluarkan pada 15 Mac menunjukkan sedikit penyusutan kepada 76.5 mata daripada nilai sebelum ini dan yang diunjurkan iaitu 76.9. Disebabkan itu, kadar EUR/USD ditutup pada paras 1.0886 minggu lalu. Untuk minggu hadapan, sehingga malam Jumaat, 15 Mac, 75% penganalisis dengan nilai dolar yang lebih kukuh serta penurunan kadar gandingan ini, manakala 15% lagi memihak kepada euro dan 10% lagi berpendirian neutral. Bacaan pengayun pada D1 adalah sama rata: satu pertiga berwarna hijau, satu pertiga lagi berwarna merah, dan baki satu pertiga pula berwarna kelabu neutral. Nisbah bagi indikator trend pula adalah seperti berikut: 35% mengesyorkan untuk jual, manakala 65% lagi mengesyorkan untuk beli. Sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon 1.0845-1.0865, diikuti dengan 1.0800, then 1.0725, 1.0680-1.0695, 1.0620, 1.0495-1.0515, dan 1.0450. Zon rintangan pula berada pada paras 1.0920, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, 1.1100-1.1140, dan 1.1230-1.1275.

● Untuk minggu hadapan, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone akan dikeluarkan pada hari Isnin, 18 Mac. Walau bagaimanapun, disebabkan mesyuarat ECB sudah pun berlangsung, berkemungkinan indikator ini tidak akan menimbulkan reaksi ketara di pasaran. Seperti yang telah dinyatakan, perkara penting untuk minggu depan adalah mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan pada hari Rabu, 20 Mac. Mesyuarat ini dijangka akan menjadi mesyuarat kelima berturut-turut di mana kadar pembiayaan persekutuan akan dikekalkan pada paras 5.50%. Tumpuan utama pakar-pakar ekonomi dan juga pelabur mungkin adalah sidang akhbar oleh barisan kepimpinan Rizab Persekutuan selepas itu, di mana mereka berharap terdapat bayangan tarikh pelonggaran polisi kewangan akan dimulakan. Mengikut FedWatch oleh CME, buat masa ini terdapat 40% kadar kebarangkalian penurunan itu akan bermula pada bulan Jun.

Selain daripada perkara-perkara tadi, tumpuan juga mungkin akan diberikan kepada satu pakej data menyeluruh mengenai aktiviti perniagaan (PMI) bagi keseluruhan sektor ekonomi di AS, Jerman dan juga Eurozone dijangka akan diketahui pada hari Khamis, 21 Mac. Pada hari yang sama, data bagi jumlah awal tuntutan manfaat pengangguran di AS yang biasa juga akan dikeluarkan.

 

GBP/USD: Lebih Banyak Negatif Berbanding Positif Untuk Pound

● Minggu lalu, nilai dolar kembali pulih setelah nilainya susut pada sepuluh hari pertama bulan Mac. Dari satu sudut, gandingan GBP/USD berdepan tekanan akibat kadar inflasi yang naik di AS, manakala pada sudut yang lain pula, akibat statistik makroekonomi yang lemah di United Kingdom. Data yang dikeluarkan pada hari Selasa, 12 Mac mengesahkan tentang kelembapan pasaran buruh di negara itu. Untuk bulan Januari, jumlah pekerjaan yang ada susut sebanyak 21K (berbanding kenaikan 10K yang diunjurkan), dan kadar pengangguran naik daripada 3.8% kepada 3.9% (diunjur kepada 3.8%). Selain itu, jumlah tuntutan bagi manfaat pengangguran naik mendadak daripada 3.1K pada bulan Januari kepada 16.8K untuk bulan Februari. Sementara itu, kadar pertumbuhan gaji para pekerja di UK agak perlahan, merekodkan kadar paling perlahan sejak tahun 2022.

Sikap pesimis para peserta pasaran semakin bertambah pada hari Rabu, 13 Mac. Telah diketahui bahawa walaupun kadar KDNK di negara itu berkembang sebanyak 0.2% pada bulan Januari, penghasilan industri turun daripada +0.6% kepada -0.2% untuk bulan ke bulan dan daripada +0.6% kepada +0.5% untuk tahun ke tahun. Sektor pembuatan menunjukkan penyusutan yang lebih teruk, daripada +0.8% kepada 0.0% untuk bulan ke bulan dan daripada +2.3% kepada +2.0% untuk tahun ke tahun.

Kesemua data-data ini menguatkan lagi kemungkinan peralihan Bank of England (BoE) kepada polisi kewangan yang lebih dovish tidak lama lagi. Beberapa pendapat menjangkakan perkara ini boleh berlaku seawal bulan Mei. Jika data dari United Kingdom terus menjadi teruk, kemungkinan untuk kadar faedah pound diturunkan pada beberapa bulan akan datang hanya akan meningkat, menolak gandingan GBP/USD lebih rendah ke bawah.

● "Kadar GBP/USD boleh susut disebabkan oleh ekonominya yang terus tidak berkembang dan Bank of England akhirnya mula menurunkan kadar faedah mereka,” tegas penganalisis di bank Societe Generale Perancis. Pakar ekonomi di Rabobank Belanda juga melihat potensi nilai dolar yang lebih kukuh berbanding mata wang British dalam masa 1 hingga 3 bulan. Namun, Rabobank mengunjurkan bahawa perbezaan kadar faedah, tanda-tanda ekonomi UK yang menjadi semakin baik, dicampur dengan prospek pilihan raya di negara itu yang tidak akan berjalan lancar serta keadaan politik yang agak stabil seharusnya dapat memberikan sokongan sederhana kepada pound. Pakar ekonomi bank itu menulis, “Kami percaya bahawa mengikut perspektif sepanjang 12 bulan, kadar GBP/USD akan pulih ke paras 1.3000.".

● Pasangan ini ditutup pada paras 1.2734 minggu lalu. Pendapat penganalisis untuk minggu depan adalah seperti berikut: majoriti (65%) bersetuju dengan penurunan, 20% bersetuju dengan pertumbuhan, manakala baki 15% lagi kekal neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 40% menunjukkan pertumbuhan, hanya 10% yang menunjukkan penurunan, dan baki 50% lagi neutral. 65% daripada indikator trend menunjukkan pertumbuhan manakala 35% lagi menunjukkan arah bertentangan. Jika gandingan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2695-1.2710, 1.2575-1.2610, 1.2500-1.2535, 1.2450, 1.2375, dan 1.2330. Jika ia bergerak ke atas, rintangan akan berada pada paras 1.2755, 1.2820, 1.2880-1.2900, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140.

● Selain daripada mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan, minggu depan turut berlangsungnya mesyuarat Bank of England yang dijadualkan pada hari Khamis, 21 Mac. Sehari sebelum itu, kita akan ketahui mengenai situasi inflasi (CPI) di United Kingdom, dan sebelum mesyuarat BoE diadakan, data awal kadar aktiviti perniagaan (CPI) di negara ini akan dikeluarkan. Minggu depan akan berakhir dengan penyiaran data jualan runcit di United Kingdom.

 

USD/JPY: Perkara yang Boleh Dijangka Daripada Bank of Japan

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 18 - 22 Mac, 20241

● Minggu hadapan, pada hari Selasa, 19 Mac, Bank of Japan (BoJ) juga akan bermesyuarat. Disebabkan itu, spekulasi berkenaan polisi kewangan penggubal dasar tersebut yang pasti akan berubah juga semakin memuncak. Penganalisis di TD Securities telah mengubah unjuran mereka mengenai kenaikan kadar yen daripada April kepada Mac. “Berikutan hasil keputusan rundingan gaji yang positif, kami percaya Bank of Japan telah memiliki maklumat yang cukup untuk menaikkan kadar mereka pada mesyuarat minggu hadapan,” jelas mereka. TD Securities menjangkakan jika kadarnya naik, keputusan untuk tidak lagi menggunakan NIRP dengan mudah mampu menolak gandingan USD/JPY ke paras 145.00. Walau bagaimanapun, jika BoJ tidak mengambil keputusan itu dan hanya cuba berpendirian hawkish dengan memberikan bayangan tentang kemungkinan perubahan polisi akan dilaksanakan pada bulan April, kadar pasangan itu mungkin boleh naik, namun kenaikan yang sangat kecil - ke paras 150.00.

● Penganalisis di Rabobank juga membincangkan tentang tona yang mungkin akan dibuat dalam kenyataan Bank of Japan. “Jika Bank of Japan menamatkan polisi kadar faedah negatif mereka pada 19 Mac, kadarnya mungkin hanya akan dinaikkan sebanyak 10 atau 15 mata asas (bp),” tegas penganalisis Rabobank. “Tambahan pula, paling tidak pun, garis panduan Bank of Japan untuk minggu depan tidak akan begitu optimistic. Penting untuk ketahui bahawa walaupun kadar negatif sudah tidak dilaksanakan lagi, tetapan polisi kewangan Jepun mungkin akan terus bersifat akomodatif”. Rabobank tidak menolak bahawa kenyataan pihak BoJ yang sangat berhati-hati berkenaan dengan perubahan lain pada masa hadapan mungkin akan menambah risiko berlakunya reaksi “menjual fakta” selepas tarikh 19 Mac. “Namun begitu, walaupun terdapat kemungkinan gandingan ini mengalami pertumbuhan dalam jangka masa pendek, kami terus melihat kebarangkalian kadar USD/JPY turun ke paras 146.00 dalam tempoh tiga bulan seterusnya,” pakar ekonomi Rabobank membuat kesimpulan.

● Pakar strategi di Standard Chartered menyatakan sentimen yang hampir sama. Seperti rakan sejawatnya yang lain, mereka menjangkakan Bank of Japan akan menamatkan polisi kewangan tersangat longgar mereka pada bulan Mac dan bukannya April. Walau bagaimanapun, pada pendapat mereka, perubahan polisi yang dijangka akan dilaksanakan mungkin tidak memberi sebarang isyarat tentang bermulanya kitaran kenaikan kadar yang agresif. Pemansuhan polisi kadar faedah negatif (NIRP) tidak akan mengubah hasil perolehan negatif yang berbeza dengan negara-negara lain. Namun begitu, potensi untuk polisi kawalan lengkung hasil perolehan (YCC) ditamatkan seharusnya dapat memberi gambaran positif terhadap yen pada akhirnya, terutama sekali jika Rizab Persekutuan dan ECB mula menurunkan kadar mereka pada bulan Jun nanti. Dalam senario ini, pakar strategi di Standard Chartered percaya bahawa kadar USD/JPY boleh turun ke pars 145.00 menjelang akhir Q2 2024.

● Pakar ekonomi di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda telah berulang kali menekankan bahawa kenaikan lonjakan nilai yen lebih banyak bergantung kepada penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan berbanding kenaikan kadar oleh Bank of Japan. “Kami masih percaya bahawa agak sukar untuk nilai yen menjadi lebih kukuh dengan kenaikan kadarnya melainkan kadar faedah di AS diturunkan. Ini adalah senario asas kami untuk tahun ini,” jelas mereka.

● Penganalisis Societe Generale agak optimis dengan yen Jepun dalam unjuran mereka. Mereka percaya yen adalah satu-satunya mata wang G7 yang akan menjadi lebih kukuh berbanding dolar pada tahun ini. Walaupun jika keputusan Bank of Japan untuk tidak lagi melaksanakan kadar faedah negatif serta kawalan lengkung hasil pada 19 Mac nanti adalah sesuatu yang simbolik, nilai yen masih lagi dijangka akan mengukuh kerana dinilai terlalu rendah sekarang.

● Setelah disokong dengan nilai dolar yang kukuh sepanjang minggu lalu, kadar USD/JPY naik dan ditutup pada paras 149.05. Untuk minggu hadapan, di masa majoriti penganalisis memihak kepada dolar untuk gandingan EUR/USD dan GBP/USD, situasi di sini agak berbeza - dalam menantikan langkah bersejarah diambil oleh Bank of Japan, 65% penganalisis lebih cenderung untuk berada bersama golongan bearish gandingan ini, manakala baki 35% lagi masih belum pasti. Tiada siapa yang memihak kepada mata wang Amerika. Analisis teknikal dilihat tidak mengambil kira mengenai mesyuarat Bank of Japan, disebabkan itu hanya 35% daripada pengayun pada D1 memihak kepada yen, 25% lagi memihak kepada dolar, dan baki 40% pula kekal neutral. Indikator trend menunjukkan kelebihan besar yang dimiliki dolar - 90% berwarna hijau, dan hanya 10% berwarna merah. Sokongan paling hampir berada pada paras 148.40, 147.60, 146.50, 145.90, 144.90-145.30, 143.40-143.75, 142.20, 140.25-140.60. Rintangan berada pada paras dan zon 150.00, 150.85, 151.55-152.00, 153.15.

● Selain daripada mesyuarat Bank of Japan, tiada sebarang perkara penting lain berkaitan ekonomi Jepun yang dijadual akan diketahui pada minggu hadapan. Pedagang perlu maklum bahawa hari Rabu, 20 Mac, adalah hari cuti umum di Jepun: Hari Ekuinoks Musim Bunga.

 

MATA WANG KRIPTO: Menjejaki Trend FOMO Untuk Mencapai Paras Tertinggi Dalam Sejarah

● Sentimen FOMO (Fear of Missing Out) mendominasi pasaran buat masa ini, mendorong kepada lonjakan nilai mata wang kripto utama ke paras tertinggi yang baru. Satu lagi rekod telah berjaya dicatatkan pada hari Khamis, 14 Mac, apabila kadar BTC/USD mencecah $73,743.

Berikutan kelulusan ETF spot bitcoin yang diberikan di AS pada awal tahun ini, permintaan untuk aset kripto terunggul itu menjadi sangat tinggi jika dibandingkan dengan jumlah bekalan harian bitcoin yang dihasilkan oleh para penghasil. Pelaksanaan pengurangan penghasilan yang dijadual pada minggu ketiga bulan April nanti hanya akan memperhebatkan lagi ketidakseimbangan ini. Walaupun kedua-dua pendorong ini masih lagi menjadi agenda, perbincangan mengenainya yang tidak berpenghujung mula meletihkan peserta pasaran. Akibatnya, fokus mula beralih kepada isu-isu berkaitan ekonomi global, polisi kewangan Rizab Persekutuan, dan pilihan raya presiden AS.

● Dimulakan dengan potensi Presiden Amerika Syarikat, lebih tepat lagi perkara yang bakal berlaku jika salah seorang daripada dua pencabar utama berjaya menduduki White House. Bekas Presiden AS yang juga ketua Parti Republikan iaitu Donald Trump memberi penekanan terhadap pentingnya mata wang kebangsaan Amerika dalam satu temu bual bersama CNBC, membandingkannya sebagai satu kekalahan jika dolar tidak lagi menjadi standard. Dalam masa yang sama, beliau berkata bahawa beliau tidak akan masuk campu dalam penggunaan bitcoin atau lain-lain mata wang kripto jika memenangi pilihan raya pada November nanti. “Jika anda fikir mengenainya, ia adalah satu lagi bentuk mata wang tambahan,” jelas Trump. “[Bitcoin] digunakan secara meluas, dan saya sendiri tidak pasti jika saya mahu menghentikannya sekarang,” tambah ahli politik itu lagi. Namun, apabila hos bertanyakan jika beliau sendiri ada melabur dalam mata wang kripto, bekas (dan mungkin bakal) presiden itu memberikan jawapan negatif.

Berkenaan dengan presiden yang mendiami White House sekarang, satu kaji selidik oleh Pierron Rochard, Timbalan Presiden syarikat Riot menjadi tumpuan. Beliau telah menilai belanjawan AS untuk tahun 2025 yang dibentangkan oleh pasukan Joe Biden, beliau membuat kesimpulan bahawa parti Demokrat menjangkakan nilai BTC untuk mencecah paras $250,000 sedekad lagi - menjelang tahun 2034-2035. Perkara ini boleh dilihat pada cukai yang disediakan oleh White House dalam belanjawan itu. Namun, penganalisis tersebut menjelaskan bahawa sudah pasti dokumen tersebut tidak mengandungi sebarang petunjuk jelas mengenai nilainya. Kesimpulan dibuat berdasarkan kepada penilaian jumlah pulangan yang berpotensi diperoleh daripada cukai serta undang-undang yang dikenakan terhadap pasaran mata wang kripto.

● Berbincang mengenai ekonomi AS, bekas CTO Coinbase yang juga rakan kongsi syarikat a16z iaitu Balaji Srinivasan berkata, “Kita seperti sedang berada di dalam fasa mengumpul kekayaan selepas jatuhnya sesuatu empayar. Bitcoin adalah satu-satunya penyelamat yang ada daripada inflasi dan juga rampasan aset di AS, situasi yang berpotensi boleh berlaku disebabkan trajektori perbelanjaan melampau kerajaan”. Mengikut pengiraan Srinivasan, hutang negara AS telah mencecah $34.5 trilion, kenaikan sebanyak 25% sejak tahun 2020, dan terus bertambah sebanyak $1 trilion setiap 90 hari. Kerajaan AS membelanjakan $10 bilion lebih banyak setiap hari berbanding jumlah yang diterimanya. Melihat perkara ini, bekas CTO Coinbase itu tidak menolak bahawa disebabkan “perhitungan kewangan” seperti itu semakin kerap berlaku, “kerajaan yang tidak pernah puas” mungkin akan mempertimbangkan kemungkinan untuk merampas aset-aset persendirian.

"Harta persendirian tidak akan dilindungi kerajaan jika kerajaan Amerika biru [Demokrat] jatuh bankrap. Mana-mana blockchain di bawah kawalan Washington adalah terdedah. Mujurlah kita ada emas digital. Ianya bebas daripada pantauan kerajaan dan tidak boleh dirampas. Golongan maximalism bitcoin akan mencapai kejayaan. Ia dapat menyelamatkan daripada dimasukkan ke dalam belanjawan kerajaan,” bekas CTO Coinbase itu percaya. Beliau enggan menyatakan dengan khusus bilakah “perhitungan” tersebut boleh berlaku tetapi mengingatkan bahawa Ray Dalio, Elon Musk, Larry Fink, dan Stanley Druckenmiller sebelum ini pernah menyebut situasi yang sama seperti itu tidak dapat dielakkan lagi.

● Penganalisis di Matrixport berkongsi sikap optimis yang sama mengenai masa depan bitcoin di peringkat global seperti Balaji Srinivasan, dan turut menjangkakan bahawa analisis antara ganjaran dan risiko menunjukkan sebut harga coin berkenaan mungkin akan mengalami pembetulan tidak lama lagi. “Pasaran bull yang ada sekarang masih naik dan turun,” jelas Matrixport, “namun perbezaan antara kadar RSI yang susut dan nilai BTC yang tinggi boleh memberi isyarat bahawa bitcoin perlu mengalami penyatuan sebelum nilainya boleh naik semula."

Pelabur dan pengasas MN Trading iaitu Michael Van De Poppe percaya penguncupan pasaran sebanyak 20-30% tidak mustahil boleh berlaku dalam masa terdekat ini. Beliau juga sedar bahawa beliau mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap altcoin, yang kini masih belum mencapai paras tertingginya lagi.

● Raoul Pal, pengasas syarikat pelaburan Real Vision menjangkakan potensi prestasi bitcoin, ETH, dan SOL yang lebih baik. Beliau mencadangkan bahawa paras sasaran bitcoin pada masa hadapan adalah $250,000 bagi setiap coin. Nilai mata wang kripto pertama itu mungkin berada lebih tinggi daripada sasaran disebabkan permintaan tinggi untuk ETF spot bitcoin. Pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan pada bulan April nanti turut dijangka menambah lagi permintaan mata wang kripto tersebut.

Raoul Pal juga berasa bullish dengan Ethereum. Disebabkan oleh penggunaan kontrak pintar, nilai altcoin ini boleh naik kepada $17,000-$20,000. Sekarang ini, ETH didagangkan pada kadar di sekitar $4,000, namun tidak seperti bitcoin, nilainya itu masih belum melepasi paras tertinggi dalam sejarah - dicatat pada November 2021, Ethereum mencapai nilai $4,856. Pengasas Real Vision itu percaya bahawa pertumbuhan nilai altcoin boleh dipengaruhi dengan korelasinya yang kukuh bersama bitcoin, ETF ETH yang dijangka akan dilancarkan, serta kemas kini Dencun.

Penganalisis itu mengunjurkan nilai Solana boleh berada di antara $700 dan $1,000 kerana prestasi tinggi blockchain itu akan meningkatkan permintaan coin tersebut. Pada awal November 2021, SOL mencapai nilai kemuncaknya iaitu $260, dan coin tersebut masih memiliki peluang pertumbuhan yang besar.

● Minggu lalu, tumpuan bukan saja banyak diberikan kepada individu, malah juga kepada penghasil. Bill Ackman, CEO syarikat Pershing Square Capital menggelar penghasilan bitcoin sebagai antara punca kepada inflasi serta keruntuhan nilai dolar AS. “Peningkatan nilai bitcoin telah mengakibatkan pertambahan penghasilan serta penggunaan tenaga, menaikkan kos bahan api dan menyebabkan nilai dolar dan inflasi susut. Hal ini merangsang kepada permintaan bitcoin, penghasilannya, serta penggunaan tenaga. Kitaran ini berterusan, nilai bitcoin bertambah, harga bahan api melonjak, ekonomi jatuh,” hartawan itu menjelaskan senario beliau, menambah lagi bahawa hubungan antara kedua-duanya “saling membantu."

Mengambil pendapat bertentangan daripada seorang lagi pemengaruh - Pierre Rochard dari syarikat Riot yang telah disebutkan tadi. Beliau percaya bahawa industri penghasilan boleh mengalami pertumbuhan 10 kali ganda, semua disebabkan oleh pembangunan aktif pasaran AS serta lebihan bekalan elektrik di negara itu. Senario beliau tidak mengambil kira keruntuhan ekonomi dan juga peningkatan ketara harga bahan api.

Hanya masa akan menentukan jangkaan penganalisis manakah yang akan menjadi kenyataan. Namun, menurut penganalisis di Bernstein, saham syarikat-syarikat penghasil kekal menjadi pelaburan proksi terbaik dalam bitcoin ketika nilai mata wang kripto sedang bergerak menuju paras sasaran $150,000. Dalam nota kepada pelanggannya, mereka menekankan tentang sebut harga saham para penghasil yang sering menunjukkan prestasi lebih baik berbanding bitcoin dari segi kadar pertumbuhan semasa berlakunya pasaran bull. Disebabkan kita sedang berada dalam kitaran sedia ada, para penganalisis berpendapat, setiap kali emas digital mengalami “keadaan yang lemah” ia menjadi peluang untuk membeli saham-saham mereka.

Bernstein mendakwa bahawa buat masa ini para pelabur runcit mendominasi segmen tersebut, sementara sebahagian besar pelabur-pelabur berinstitusi claims mengelak daripada terlibat dalam pelaburan “proksi bitcoin” itu kerana mereka masih lagi berasa sangsi tentang mata wang kripto. Namun, setelah nilainya berkembang ke paras tertinggi yang baru, penganalisis menjangkakan minat para pelabur dalam kategori ini terhadap saham syarikat-syarikat penghasil akan mula terserlah dan lebih berkembang.

● Pada awal musim bunga, jumlah modal pasaran bitcoin adalah lebih tinggi daripada ruble Rusia dan menduduki tangga ke-14 dalam keseluruhan ranking modal pasaran mata wang. Hanya beberapa hari selepas itu, pada 11 Mac 2024, bitcoin membuat satu lagi lompatan - naik di atas paras $72,000 untuk setiap coin, melepasi jumlah keseluruhan modal pasaran perak. Mata wang kripto pertama ini bergerak menduduki tangga ke-8 dalam ranking modal pasaran terbesar dengan jumlah itu, melepasi paras $1.4 trilion.

Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 15 Mac, setelah para pedagang membuat jualan untuk mendapatkan pulangan, gandingan BTC/USD didagangkan di sekitar paras $68,200. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto berada pada nilai $2.58 trilion ($2.60 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 81 mata kepada 83 mata dan kini berada di zon Extreme Greed. (Perlu diketahui bahawa kadar paling tinggi yang pernah dicatatkan untuk indeks ini adalah 95 mata semasa berlakunya Bull Rally pada hujung tahun 2020).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami