April 7, 2024

EUR/USD: Teka-Teki Mengenai Nilai Dolar yang Lemah

● Apa yang berlaku kepada gandingan EUR/USD pada minggu lalu? Ia bergerak mengikut jangkaan pada hari Isnin, 1 April. Walau bagaimanapun, bermula hari Selasa, situasinya agak menyimpang. Marilah kita teliti lebih lanjut. Untuk hari pertama bulan April, data aktiviti perniagaan dalam sektor perindustrian di AS oleh ISM menunjukkan ekonominya sedang berkembang: kadar PMI naik daripada 47.8 mata kepada 50.3 mata, melepasi nilai ambang 50 mata yang membezakan pertumbuhan daripada penguncupan. Perkara ini menandakan pengakhiran bagi trend penguncupan  yang berlaku sejak 15 bulan lalu. Dengan jumlah sumbangan melebihi 10% kepada KNDK di AS, pertumbuhan kadar PMI dalam sektor ini menjadi indikator penting terhadap ekonomi yang mampu bertahan daripada kadar faedah tinggi dengan mudah. Maka, secara logiknya, data ini memberi kelebihan kepada dolar, menolak gandingan ini ke paras 1.0730 - kedudukan paling rendah sejak 15 Februari lalu. Ketegangan di rantau Timur Tengah yang semakin memuncak turut menyokong kepada pertumbuhan nilai mata wang Amerika sebagai mata wang selamat.

● Pada keesokan harinya, hari Selasa, data inflasi awal di Jerman dikeluarkan. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi penggerak ekonomi Eropah menunjukkan pertumbuhan bulanan sebanyak 0.4%, lebih rendah berbanding 0.6% yang diunjurkan. Inflasi untuk tahun ke tahun turun daripada 2.5% pada bulan Februari kepada 2.2% untuk bulan Mac - kadar terendah sejak Mei 2021. Kadar Indeks Harga Pengguna Diselaras (HICP) turun daripada 2.7% kepada 2.3%. Penurunan kadar inflasi seperti itu seharusnya dapat menyemarakkan lagi harapan untuk pihak ECB mula menurunkan kadar faedah mereka tidak lama lagi, dan seterusnya mengakibatkan nilai euro yang lebih lemah. Namun, gandingan EUR/USD mengubah arah pergerakannya dan naik ke atas, bukan meneruskan penurunannya.  

● Hari Rabu pula mendedahkan kadar inflasi bukan saja turun di Jerman, malah di serata Eurozone. Untuk tahun ke tahun, kadar awal bagi Indeks Harga Pengguna Teras turun daripada 3.1% kepada 2.9%, lebih rendah berbanding jangkaan iaitu 3.0%, manakala kadar CPI pula susut daripada 2.6% kepada 2.4% (tahun ke tahun). Walau pun begitu, kadar EUR/USD meneruskan pertumbuhannya.

Dolar juga tidak mendapat sokongan daripada satu lagi data yang kukuh dari AS. Data makroekonomi yang dikeluarkan menunjukkan bilangan peluang pekerjaan JOLTS naik kepada 8.756 juta pada bulan Februari berbanding 8.748 juta pada bulan sebelumnya, jumlah yang lebih baik berunding unjuran pasaran. Lebih-lebih lagi, jumlah bagi pesanan pembuatan pada bulan Februari naik sebanyak 1.4% setelah kadar yang sama turun kepada 3.8% pada permulaan tahun.

● Perubahan arah trend mula kelihatan setelah para pegawai Rizab Persekutuan AS memberikan kenyataan. Sebagai contoh, Loretta Mester, Presiden Bank Rizab Persekutuan Cleveland menyatakan bahawa pihak bank persekutuan mendapati akan timbulnya risiko besar jika polisi kewangan negara itu dilonggarkan lebih awal, terutama sekali dalam konteks pasaran buruh yang kukuh serta pertumbuhan ekonomi yang stabil. Jerome Powell, Pengerusi Rizab Persekutuan menyatakan sentimen yang sama ini semasa memberikan ucapan di Stanford Graduate School of Business, menekankan bahawa tidak perlu terburu-buru untuk menurunkan kadar faedah kerana risiko inflasi masih lagi wujud.

● Situasi yang berlaku kembali menjadi normal dengan penyiaran satu lagi data dari pasaran buruh AS yang dikeluarkan pada 4 dan 5 April. Mengikut laporan ADP berkenaan tahap tenaga kerja dalam sektor swasta, majikan telah mengambil seramai 184K pekerja baru pada bulan Mac, lebih tinggi berbanding 148K yang diunjur serta jumlah sebelum ini iaitu 155K. Biro Statistik Buruh (BLS) menambah kegembiraan dengan maklumat tenaga kerja bukan dalam sektor perladangan (NFP) di AS yang naik sebanyak 303K. Jumlah ini sangat-sangat melebihi jangkaan pasaran iaitu 200K. Laporan BLS juga menunjukkan bahawa kadar pengangguran di negara itu turun daripada 3.8% kepada 3.9%.

Melihat kesemua perkara di atas, pihak Rizab Persekutuan dijangka tidak akan tergesa-gesa untuk melonggarkan polisi kewangan mereka. Kemungkinan kadarnya itu diturunkan pada bulan Jun susut kepada 61% daripada 70% pada minggu lalu, dan menurut pakar ekonomi di Commerzbank, kadar kebarangkaliannya adalah sifar. Menjadi kebiasaan, perubahan jangkaan seperti itu seharusnya dapat menyokong kepada nilai mata wang kebangsaan yang lebih kukuh. Namun, perkara tersebut tidak berlaku. EUR/USD gagal untuk mengalami penyatuan di bawah paras 1.0800, dan kadarnya ditutup pada paras 1.0836.

● Untuk ramalan jangka pendek, semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 5 April, 50% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh serta penurunan lebih rendah gandingan ini. 10% memihak kepada euro, manakala 40% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, hanya 15% berwarna hijau, 35% berwarna merah, dan majoriti daripadanya berada dalam keadaan tidak pasti, berwarna kelabu neutral. Nisbah bagi indikator trend adalah 60:40 yang memberi kelebihan kepada warna hijau. Sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon antara 1.0795-1.0800, diikuti dengan 1.0725, 1.0680-1.0695, 1.0620, 1.0495-1.0515, dan 1.0450. Zon rintangan berada pada paras 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.

● Minggu depan, satu set lengkap data inflasi pengguna (CPI) di Amerika Syarikat akan dikeluarkan pada hari Rabu, 10 April. Pada hari yang sama, minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS akan dikeluarkan. Hari paling penting untuk minggu hadapan sudah semestinya hari Khamis, 11 April, apabila Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) dijadual akan diadakan. Perhatian peserta pasaran bukan saja akan tertumpu kepada keputusan penggubal dasar berkenaan malah juga komen-komen yang akan diberikan oleh barisan kepimpinannya selepas itu. Pada hari yang sama, kadar Indeks Harga Pengguna (PPI) serta jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran bagi rakyat AS juga akan diketahui. Minggu depan akan diakhiri dengan penyiaran kadar CPI di Jerman serta Indeks Sentimen Pengguna AS oleh University of Michigan pada 12 April.

 

GBP/USD: Hasil Hampir Kepada Sifar

● Minggu lalu, data terakhir bagi Indeks Aktiviti Perniagaan di UK untuk bulan Mac telah dinilai semula menjadi lembab. Kadar PMI dalam sektor Perkhidmatan telah diturunkan daripada 53.8 kepada 53.1, kadar paling rendah sejak November tahun lalu. Satu kaji selidik oleh ahli kewangan yang membuat keputusan di Bank of England (BoE) menunjukkan unjuran kadar inflasi diturunkan sedikit kepada 3.2% (tahun ke tahun) dan saiz gaji dijangka akan menjadi lembab sepanjang tahun hadapan. Perlu diketahui bahawa indikator-indikator unjuran ini telah diturunkan buat pertama kali sejak tujuh bulan lalu. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak memberi kesan besar terhadap dinamik GBP/USD; pergerakan sebut harganya ditentukan oleh Indeks Dolar (DXY).

● Memulakan minggu lalu pada paras 1.2635, gandingan ini ditutup pada paras 1.2637. Maka, hasil minggu lalu boleh dianggap sebagai sifar. Pendapat penganalisis mengenai pergerakan GBP/USD untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: majoriti (60%) bersetuju dengan penurunan gandingan ini, 40% terus neutral, dan tiada siapa yang memihak dengan bull. Indikator pada D1 adalah seperti berikut: dalam kalangan pengayun, 50% mengesyorkan untuk jual, 10% lagi beli, dan baki 40% pula berada di zon neutral. Sebanyak 60% indikator trend menunjukkan penurunan, 40% pula menunjukkan pertumbuhan. Jika gandingan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan di zon dan paras 1.2575, 1.2500-1.2535, 1.2450, 1.2375, 1.2330, 1.2085-1.2210, 1.2110, dan 1.2035-1.2070. Jika mengalami pertumbuhan, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2695, 1.2755-1.2775, 1.2800-1.2820, 1.2880-1.2900, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140.

● Kalendar minggu hadapan tertumpu pada hari Jumaat, 12 April, apabila statistik KDNK di United Kingdom akan diketahui. Tiada sebarang perkara penting lain yang memberi kesan kepada ekonomi negara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

 

USD/JPY: Menembusi Paras – Tunggu Masa Saja?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 08 - 12 April, 20241

● Sepanjang dua setengah minggu, gandingan USD/JPY telah bergerak mengikuti saluran mendatar, gagal untuk menembusi paras 152.00. Kebimbangan tentang campur tangan mata wang oleh Kementerian Kewangan Jepun menghalang bull daripada menembusi paras rintangan ini. Walaupun campur tangan yang sebenar masih belum dilaksanakan lagi, sudah ada beberapa campur tangan secara lisan telah dibuat oleh pegawai tertinggi kerajaan Jepun. Sebagai contoh, Menteri Kewangan iaitu Shunichi Suzuki sekali lagi menyatakan bahawa pihak berkuasa memantau situasi sekarang dengan teliti dan tidak menolak sebarang pilihan bagi membendung pergerakan mata wang yang melampau.

● Walaupun dengan kenyataan seperti itu, yen terus berdepan tekanan, menambah kebarangkalian trend bullish gandingan tersebut terus berlaku. Menurut pakar strategi di bank Brown Brothers Harriman (BBH) Amerika, hanya menunggu masa saja sebelum lonjakan ke atas diteruskan. Mereka menyatakan bahawa beberapa pengetatan polisi Bank of Japan, ditambah lagi dengan kitaran pelonggaran oleh Rizab Persekutuan yang lebih besar berbanding jangkaan mampu menjadi pemangkin fundamental dalam perkara ini.

Menurut sebilangan penganalisis, sentimen pasaran tidak bertentangan dengan unjuran BBH itu. Mengikut statistik, buat masa ini, kebanyakan pedagang (80%) memiliki posisi jual untuk USD/JPY, menambah lagi kemungkinan untuk pasaran menunjukkan pergerakan yang berbeza.

● Gandingan ini ditutup pada paras 151.61 minggu lalu. Untuk minggu hadapan, 80% penganalisis (peratusan sama dengan pedagang) memihak kepada bear gandingan ini, bersetuju dengan nilai mata wang Amerika yang lebih kukuh, manakala baki 20% lagi berpendapat sebaliknya. Analisis teknikal jelas menunjukkan ia tidak menyedari tentang kebimbangan campur tangan mata wang yang boleh berlaku. Maka, 100% indikator trend dan juga 85% pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, hanya 15% daripada pengayun menunjukkan penurunan. Paras sokongan paling hampir berada di zon 150.85, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, 146.50, 145.90, 144.90-145.30, 143.40-143.75, 142.20, dan 140.25-140.60. Rintangan berada pada paras dan zon berikut - 151.85-152.00, 153.15, and 156.25.

● Tiada sebarang perkara penting berkaitan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

 

MATA WANG KRIPTO: Minggu yang Penuh Dengan Kejutan Tak Dijangka

● Setelah nilai bitcoin mencecah kadar paling tinggi yang baru dalam sejarah iaitu $73,743 pada 14 Mac lalu, kadar BTC/USD jatuh mendadak, susut kira-kira 17.5%. Paras terendah mingguan direkodkan pada nilai $60,778. Keadaan ini mewujudkan aliran keluar modal paling tinggi dari dana dagangan bursa, dengan kira-kira 96% adalah daripada bitcoin. Modal pelabur berinstitusi yang mengalir keluar daripada kelompok kripto menyamai keinginan para pelabur dan penghasil yang mahu mendapatkan pulangan setelah nilai paling tinggi berjaya dicapai. Semasa nilainya berada di kemuncak, jumlah keuntungan yang direalisasikan adalah melebihi $2 bilion setiap hari, dengan satu pertiga daripada jumlah itu adalah pulangan buat pelabur-pelabur di Grayscale. Dalam satu nota kepada para pelabur bertarikh 21 Mac, penganalisis di JPMorgan ada menyatakan tentang lebihan belian mata wang kripto serta risiko berlakunya pembetulan yang berpanjangan.

Walau bagaimanapun, penurunan ke paras lebih rendah tidak berlaku; sentimen pasaran berubah. Sementara dana-dana kripto terus kehilangan aset, bursa kripto mencatatkan peningkatan jumlah pengeluaran coin ke dalam walet luar. Golongan jerung kembali mengumpul mata wang kripto utama itu, dengan menjangkakan BTC akan merekodkan nilai paling tinggi yang baru dalam menantikan proses pengurangan penghasilan. Jika aliran keluar modal bersih pada minggu 18-24 Mac adalah $888 juta, keadaan itu berubah dan modal mengalir masuk sebanyak $860 juta pada minggu 25-31 Mac. Pengumpulan coin oleh golongan hodler merekodkan jumlah sebanyak 25,300 BTC setiap hari. Nilai bitcoin mencecah ketinggian $71,675 pada 27 Mac.

● Awal minggu lalu menunjukkan satu lagi gelombang jualan yang baru; namun, penganalisis di CoinShares percaya bahawa kebanyakan majoriti syarikat pelaburan serta dana lindung nilai tidak berminat untuk menurunkan sebut harga BTC, dan golongan jerung akan cuba untuk menghalang penurunan di bawah paras $60,000. Ketiadaan nilai tertinggi baru yang dicatatkan pada waktu itu telah digantikan dengan beberapa siri pengumuman yang setidak-tidaknya di luar jangkaan dan tidak berapa sensasi oleh ahli pemengaruh kripto.

Sebagai contoh, CoinChapter melaporkan bahawa ketua Tesla dan SpaceX iaitu Elon Musk mengisytiharkan coin meme Dogecoin (DOGE) sebagai mata wang rasmi koloni yang akan dibina di planet Marikh. “Para penjelajah berani yang bergerak menuju Planet Merah itu adalah dari golongan yang kasar dan kejam. Mereka tidak akan membawa jongkong emas bersama-sama. Mereka memerlukan mata wang pantas dan ceria yang merangkumi semangat penjelajahan angkasa. Dogecoin memenuhi kriteria-kriteria ini,” Musk berkata. Mungkin ada yang menjangka kata-kata berinspirasi seperti itu mampu mendorong harga token berkenaan mencapai nilai tertingginya, namun perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, nilainya turun sedikit. Hal ini mungkin ada kaitan dengan hakikat bahawa maklumat yang dinyatakan sebelum ini dikeluarkan pada 1 April - Hari April Fool. Maka, ada kemungkinan Musk hanya berjenaka dengan para peminat beliau dengan menamakan DOGE dengan status mata wang Marikh.

● Perhatian turut tertumpu kepada kenyataan oleh pengasas bursa mata wang kripto FTX iaitu Sam Bankman-Fried yang dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun. Penahanan tidak menghalang beliau daripada memberikan temu bual bersama ABC News. Pada waktu itu, SBF menyatakan bahawa jika beliau atau orang lain terus kekal menjadi CEO, para pelanggan bursa yang muflis “boleh menebus semula kerugian yang dialami” jika melihat pada kadar semasa. Maka, timbul persoalan: mengapa tidak berikan peluang kepada Sam? Biar beliau membayar pampasan terlebih dahulu kepada pelanggannya dan kemudian masukkan beliau ke dalam penjara.

● Sam Bankman-Fried bukanlah satu-satunya tokoh kripto disegani yang menjadi perhatian agensi penguatkuasaan undang-undang AS. Changpeng Zhao, pengasas bersama serta bekas CEO bursa Binance juga berdepan tuntutan mahkamah. Namun, pada minggu lalu, beliau menjadi tajuk utama berita bukan dalam bahagian jenayah tetapi dalam ranking hartawan Forbes yang baru, di mana beliau menduduki tempat ke-50 dengan kekayaan bersih sebanyak $33 bilion. (Ranking Bloomberg menunjukkan Zhao memiliki aset yang lebih besar jumlahnya - $45.1 bilion). Maklum bahawa Forbes turut menyenaraikan wakil-wakil lain dalam industri kripto. Sebagai contoh, Brian Armstrong, pengasas bersama yang juga CEO Coinbase menduduki ranking ke-180 dengan kekayaan sebanyak $11.2 bilion. Secara keseluruhan, majalah itu menyertakan seramai 17 orang usahawan yang dikaitkan dengan mata wang kripto dengan nilai kekayaan bersih melebihi satu billion dolar.

● Satu lagi kenyataan luar biasa telah dibuat oleh penulis buku “Rich Dad Poor Dad” dan usahawan iaitu Robert Kiyosaki. Beliau dikenali umum kerana sering menggesa supaya tidak menyimpan “dolar palsu” yang akan menjadi kertas tanpa nilai tidak lama lagi dan menyuruh untuk membeli emas, perak, dan bitcoin. Kiyosaki menyebut mantra ini sekali lagi kali ini, tidak menolak kemungkinan nilai bitcoin boleh … jatuh kepada sifar! Menurut beliau, terdapat kemungkinan mata wang kripto pertama ini juga satu penipuan atau skim Ponzi yang sama seperti dolar AS, euro, atau mata wang fiat “palsu” yang lain.

● Semasas ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 5 April, nilai bitcoin sangat jauh daripada sifar; gandingan BTC/USD didagangkan di sekitar paras $67,680. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto susut sedikit dan berjumlah $2.53 trilion ($2.68 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 80 mata kepadad 79 mata, kekal berada di zon Extreme Greed.

● Kami sudahpun membicarakan dengan teliti tentang sejarah dan fungsi proses pengurangan penghasilan pada ulasan sebelum ini. Kini, kami ingat mengingatkan anda tentang pengurangan penghasilan keempat yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi, berkemungkinan besar pada 20 April. Menurut Mark Yusko, CEO Morgan Creek Capital, setelah ia dilaksanakan, “minat terhadap aset ini akan bertambah - ramai orang akan memasuki mod FOMO. Kita seharusnya dapat melihat nilainya naik dua kali ganda. Dalam kitaran semasa, nilainya adalah ~$75,000 dengan susut nilai yang dilaraskan. […] Maka, [menjelang hujung tahun ini] nilainya akan menjadi $150,000,” beliau berkongsikan pengiraan beliau bersama CNBC. Yusko juga percaya bahawa “mengikut sejarah, nilai tertinggi akan dicapai sembilan bulan selepas proses pengurangan penghasilan dilaksanakan sebelum berlakunya pasaran bear yang seterusnya."

Pengurus kanan itu menggelar mata wang kripto pertama sebagai “token dominan” dan “bentuk terbaik emas”. Berkenaan prospek jangka panjang, penganalisis itu menyatakan bahawa nilai bitcoin boleh naik berlipat ganda “dengan mudah” pada dekad seterusnya. Selain itu, ketua Morgan Creek Capital tersebut ada menyatakan bahawa dana lindung nilai menggemari Ethereum, Solana, dan Avalanche, walaupun kesemua token itu tidak sehebat “raja bitcoin”. Mark Yusko langsung tidak ada menyebut tentang Dogecoin “Marikh” Elon Musk...

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami