Mei 11, 2024

EUR/USD: Unjuran Jangka Sederhana Memihak Dolar

● Sepanjang minggu lalu, gandingan EUR/USD telah menunjukkan dinamik yang bercampur-campur, terutama sekali setelah didorong dengan jangkaan mengenai pemotongan kadar faedah yang berpotensi dilakukan oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB). Kenyataan barisan kepimpinan daripada kedua-dua belah pihak, serta statistik makro ekonomi hanya menguatkan dan melemahkan jangkaan tersebut. 

● Lonjakan bullish EUR/USD yang bermula pada 16 April daripada kedudukan 1.0600 telah mencapai ketinggian 1.0811 pada 3 Mei, dan kemudian pertumbuhannya terbantut, memulakan minggu lalu pada paras 1.0762. Pada hari Isnin, 6 Mei, statistik dari Eurozone telah memberikan sedikit sokongan kepada mata wang Eropah itu. Untuk bulan April, kadar Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor Perkhidmatan naik daripada 52.9 kepada 53.3, lebih tinggi berbanding 52.9 yang diunjur. Kadar PMI Komposit yang turut mengambil kira sektor pembuatan dan perkhidmatan meningkat daripada 51.4 kepada 51.7. Kadar PMI Komposit di Jerman juga menunjukkan dinamik yang positif, naik daripada 50.5 kepada 50.6. Disebabkan itu, kadar aktiviti perniagaan di Eurozone mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun. Disamping itu, kadar jualan runcit di rantau berkenaan menunjukkan pertumbuhan yang ketara, naik daripada -0.5% kepada +0.7% untuk tahun ke tahun.

● Berita seperti ini memberi gambaran tentang potensi pertumbuhan kadar inflasi, secara teorinya ia boleh menghalang pihak ECB daripada mula melonggarkan polisi kewangan mereka. Namun, Ketua Pakar Ekonomi ECB iaitu Philip Lane menyatakan bahawa Lembaga Eksekutif bank berkenaan memiliki hujah yang meyakinkan tentang penurunan kadar pada mesyuarat 6 Jun nanti. Seorang lagi wakil ECB, ketua Bank Negara Lithuania iaitu Gediminas Simkus menyatakan bahawa penurunan kadar tidak seharusnya akan dibuat pada bulan Jun saja, memberi bayangan penurunan sebanyak tiga kali boleh berlaku menjelang hujung tahun ini. Namun, walaupun kebarangkalian untuk proses pelonggaran (QE) pada bulan Jun adalah 100%, masih terdapat ketaktentuan menyelubungi langkah yang akan diambil seterusnya. Naib Presiden ECB iaitu Luis de Guindos mengakui bahawa penggubal dasar itu berhati-hati dalam membuat apa-apa unjuran trend selepan bulan Jun.

Selain daripada kenyataan para pegawai ECB yang menyokong kepada penurunan kadar, statistik yang dikeluarkan pada hari Selasa, 7 Mei juga turut memberi sumbangan. Statistik itu menunjukkan bahawa pesanan dalam sektor pembuatan di Jerman selaku lokomotif ekonomi di Eropah turun sebanyak 0.7% pada bulan Mac setelah susut sebanyak 0.8% pada bulan Februari. Disebabkan itu, pertumbuhan kadar gandingan EUR/USD terhalang, turun ke paras 1.0723.

● Gandingan ini membuat satu lagi percumbaan untuk menembusi zon rintangan kukuh antara 1.0790-1.0800 pada hari Khamis, 9 Mei setelah data awal bagi tuntutan manfaat pengangguran di AS menunjukkan jumlah sebanyak 231K, lebih teruk berbanding 210K yang diunjur. Perkara ini bertepatan dengan situasi negatif yang tersebar dalam hasil bon AS di sepanjang lengkung. Situasi ini diburukkan lagi dengan data pengangguran yang dikeluarkan pada 3 Mei mengesahkan kebimbangan mereka. Menurut Biro Statistik Buruh (BLS) AS, jumlah tenaga kerja bukan dalam sektor perladangan (NFP) hanya naik sebanyak 175K pada bulan April, jauh lebih rendah berbanding bulan Mac iaitu 315K dan 238K yang diunjur pasaran. Laporan tenaga kerja itu juga menunjukkan peningkatan kadar pengangguran daripada 3.8% kepada 3.9%.

Selain membendung inflasi, matlamat utama lain Rizab Persekutuan adalah untuk memaksimumkan jumlah tenaga kerja. “Jika inflasi terus berada dalam keadaan stabil dan pasaran buruh pula kekal kukuh, adalah sesuai untuk menangguhkan penurunan kadar faedah,” jelas Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell. Kini, tahap kekuatan pasaran buruh menjadi persoalan. Namun, pihak Rizab Persekutuan mungkin akan memfokuskan untuk memerangi inflasi, kadarnya masih jauh daripada 2.0% yang disasarkan.

Indikator inflasi utama yang dipantau oleh Rizab Persekutuan iaitu Indeks Harga Penggunaan Perbelanjaan Peribadi (PCE) naik daripada 2.5% kepada 2.7% pada bulan Mac. Namun, kadar PMI ISM dalam sektor Pembuatan berada lebih rendah berbanding paras penting 50.0, turun daripada 50.3 mata kepada 49.2 mata. Perlu diingat, paras 50.0 mata membezakan sama ada sesuatu ekonomi itu berkembang ataupun menguncup. Dalam situasi seperti itu, adalah tidak dinasihatkan untuk menaikkan kadar faedah, tetapi penurunan juga bukanlah satu pilihan. Inilah langkah yang benar-benar diambil oleh pihak FOMC (Federal Open Market Committee). Semasa bermesyuarat pada hari Rabu, 1 Mei, semua ahlinya sebulat suara membiarkan kadar faedah 5.50% tidak berubah. Ini adalah kadar paling tinggi dalam tempoh 23 tahun, dan bank persekutuan AS itu terus mengekalkannya dalam enam mesyuarat berturut-turut.

● Senario utama menjangkakan pihak Rizab Persekutuan tidak akan mula menyemak penurunan kadar mereka sebelum tibanya musim bunga, mungkin pada bulan September, dengan satu lagi penurunan sebelum hujung tahun. Namun, jika inflasi di AS tidak menurun, atau lebih teruk lagi, terus meningkat, penggubal dasar itu mungkin tidak akan melaksanakan pelonggaran polisi kewangan sehingga awal tahun 2025. Justeru, mengambil kira perkara di atas, kebanyakan penganalisis percaya kelebihan masih berpihak kepada dolar untuk jangka sederhana, dan gandingan EUR/USD masih lagi menjadi tumpuan untuk dijual untuk beberapa bulan akan datang.

● Kadar EUR/USD ditutup pada paras 1.0770 minggu lalu, menunjukkan hasil mingguan hampir kepada sifar. Berkenaan dengan minggu hadapan, sehingga malam 10 Mei, unjurannya adalah benar-benar neutral: 50% menjangkakan nilai dolar menjadi kukuh, 50% lagi menjangkakan nilainya lemah. Indikator trend pada D1 menunjukkan keseimbangan yang sama: separuh berada dalam warna merah, dan separuh lagi berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, hanya 10% bersetuju dengan warna merah, 10% lagi kekal neutral, dan 80% memihak kepada warna hijau (walaupun satu perempat daripadanya sudah menunjukkan lebihan belian). Sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon antara 1.0710-1.0725, diikuti dengan 1.0650, 1.0600-1.0620, 1.0560, 1.0495-1.0515, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Zon rintangan berada pada paras 1.0795-1.0810, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.

● Untuk minggu depan, data inflasi pengguna (CPI) di Jerman serta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS akan dikeluarkan pada hari Selasa, 14 Mei. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell juga turut dijadual akan memberi ucapan pada hari yang sama. Keesokan harinya, Rabu, 15 Mei, indikator penting seperti kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) serta jumlah jualan runcit di Amerika Syarikat akan dikeluarkan. Pada hari Khamis, 16 Mei, jumlah awal bagi tuntutan manfaat penggangguran di AS yang biasa akan diketahui. Sebelum tibanya hujung minggu, pada hari Jumaat, 17 Mei, kita akan ketahui kadar CPI di Eurozone secara keseluruhan yang mungkin turut dipengaruhi dengan keputusan ECB berkenaan kadar faedah euro.

 

GBP/USD: Pound Terus Mendapat Tekanan Tetapi Dapat Bertahan

● Pada mesyuarat hari Khamis, 9 Mei lalu, Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of England (BoE) mengekalkan kadar faedah mereka pada paras 5.25%, kadar paling tinggi dalam tempoh 16 tahun. Kebanyakan pakar ekonomi yang menjalani kaji selidik Reuters menjangkakan kos pinjaman kekal tidak berubah, manakala nisbah undian jawatankuasa pula adalah 8 kepada 1. Namun, nisbah undian sebenar adalah 7 kepada 2. Semasa bermesyuarat, dua ahli jawatankuasa itu menyokong penurunan kadar kepada 5.0%, dan peserta pasaran mentafsir perkara ini sebagai langkah permulaan kepada kitaran pelonggaran polisi kewangan.

Pada sidang akhbar selepas berakhirnya mesyuarat itu, Gabenor BoE iaitu Andrew Bailey menyampaikan rasa optimis beliau, menyatakan bahawa ekonomi UK berada pada haluan yang betul. Bailey juga berkata bahawa “tidak mustahil kadar faedah diturunkan pada bulan depan”, namun ingin menunggu data inflasi, aktiviti perniagaan, serta pasaran buruh sebelum membuat sebarang keputusan. Walaupun berada dalam kelompok yang bersetuju dengan pengekalan kadar faedah, ketua Pakar Ekonomi iaitu Huw Pill turut menyatakan bahawa keyakinan untuk penurunan kadar yang semakin hampir kian bertambah. Beliau menambah lagi bahawa “agak tidak munasabah jika hanya tertumpu kepada mesyuarat Bank of England yang seterusnya [20 Jun]” dan “unjuran jangka sederhana tidak semestinya memberikan isyarat pergerakan pada mesyuarat selepas ini atau pun yang berikutnya.”

● Secara keseluruhan, pergerakan gandingan GBP/USD pada minggu lalu menyamai gandingan EUR/USD. Carta menunjukkan lonjakan ketara berlaku pada hari Khamis, 9 Mei yang dicetuskan oleh data kelembapan pasaran buruh di AS. Pound juga menerima sokongan daripada data KDNK yang optimis dari UK untuk Q1 2024 serta data dalam sektor pembuatan untuk bulan Mac.

KDNK (untuk suku tahunan) naik sebanyak +0.6% setelah kadarnya susut -0.3% pada suku tahun sebelum ini (diunjur +0.4%). Selain itu, kadar KDNK untuk tahun ke tahun naik sebanyak +0.2%, pulih daripada penguncupan sebanyak -0.2%.

● Seperti yang dihadapi euro, pound menerima tekanan daripada prospek polisi kewangan akan dilonggarkan lebih awal oleh pihak BoE berbanding Rizab Persekutuan. Walau bagaimanapun, mata wang British itu ditutup di atas paras penting 1.2500 minggu lalu, pada kedudukan 1.2523. Selain itu, 65% penganalisis menjangkakan gandingan ini bukan saja perlu mempertahankan kedudukannya di atas paras itu malah juga meneruskan pertumbuhannya. Baki 35% lagi bersetuju dengan penurunan gandingan ini. Untuk analisis teknikal, indikator trend pada D1 menunjukkan nisbah 50-50. Dalam kalangan pengayun, hanya 10% yang mengesyorkan untuk jual, 40% berpendirian neutral, dan 50% mengesyorkan untuk beli (10% memberi isyarat lebihan belian). Jika gandingan ini naik ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2575-1.2610, 1.2695-1.2710, 1.2755-1.2775, 1.2800-1.2820, dan 1.2885-1.2900. Jika turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2490-1.2500, 1.2450, 1.2400-1.2410, 1.2300-1.2330, 1.2185-1.2210, dan 1.2070-1.2110, 1.2035.

● Hari Selasa, 14 Mei menjadi tumpuan untuk kalendar minggu hadapan apabila data pasaran buruh di UK akan dikeluarkan. Turut menjadi tumpuan adalah sidang Laporan Inflasi yang dijadualkan pada hari Rabu, 15 Mei.

 

USD/JPY: Campur Tangan $50 Bilion Hanya Sia-Sia?

● Nampaknya sehingga Bank of Japan (BoJ) mengambil langkah jelas dan berkeyakinan untuk mengetatkan polisi kewangan mereka, tiada apa yang dapat membantu yen. Pada mesyuarat yang diadakan 26 April lalu, ahli lembaga penggubal dasar berkenaan sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah serta parameter program QE mereka tidak berubah. Komen pedas terhadap perkara ini seperti yang dijangkakan juga tiada. Tiada sebarang tindakan diambil seperti ini menambah lagi tekanan kepada mata wang negara tersebut, menolak gandingan USD/JPY ke paras tertinggi yang baru. Ia meneruskan lonjakannya, mencecah kedudukan paling tinggi dalam tempoh 34 tahun iaitu 160.22. Berikutan itu, pihak berkuasa kewangan Jepun akhirnya mengambil keputusan untuk melaksanakan campur tangan berganda. Walaupun tiada sebarang pengesahan, para penganalisis menganggarkan jumlah campur tangan itu adalah sebanyak $50 bilion.

Adakah ia membantu? Melihat kepada carta USD/JPY, tidak begitu berhasil. Gandingan ini bergerak ke atas sekali lagi pada minggu lalu. Tidak seperti euro dan pound British, yen hampir tidak memberikan reaksinya kepada data pasaran buruh yang lemah di AS pada hari Khamis, 9 Mei, hanya memperlahankan penurunannya.                 

● Semua ini berlaku di tengah-tengah kenyataan tiada penghujung daripada Bank Negara dan Menteri Kewangan Jepun tentang kesediaan mereka untuk mengambil langkah perlu bagi mengurangkan tekanan ke atas mata wang negara itu yang bersifat spekulasi. Minit mesyuarat BoJ yang dikeluarkan menunjukkan bahawa kebanyakan ahli lembaga mengambil pendirian “hawkish”,  mendesak untuk kenaikan kadar. Namun, kebanyakan penganalisis percaya bahawa Bank of Japan hanya akan melaksanakan langkah seperti itu pada enam bulan terakhir tahun hadapan.

● Kedudukan terakhir untuk lima hari dagangan pada minggu lalu adalah 155.75. Pakar ekonomi di United Overseas Bank Limited (UOB) Singapura menjangkakan gandingan USD/JPY akan didagangkan pada julat antara 154.00-157.20 untuk 1-3 minggu seterusnya. UOB juga percaya bahawa peluang untuk kedudukannya turun ke paras 151.55 sudah tiada lagi sepenuhnya. Secara keseluruhan, kebanyakan penganalisis (70%) enggan memberikan unjuran disebabkan oleh keadaan tidak menentu. Baki 30% lagi berterusan menjangkakan nilai yen menjadi lebih kukuh. Untuk analisis teknikal, 100% indikator trend pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, 50% menunjukkan pertumbuhan, 15% penurunan, dan 35% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Mengenai paras sokongan/rintangan, pedagang perlu maklum dengan kadar kemeruapan seperti itu, sebarang perubahan boleh mencecah puluhan mata. Sokongan paling hampir berada pada paras 155.25, diikuti dengan 154.70, 153.90, 153.10, 151.85-152.25, 151.00, 150.00, dan selepas itu 146.50-146.90, 143.30-143.75, dan 140.25-141.00. Rintangan berada pada paras 156.25, 157.00, 157.80-158.00, 158.60, 159.40, dan 160.00-160.25.

● Perkara yang bakal berlaku minggu depan termasuklah penyiaran data awal KDNK di Jepun untuk Q1 2024 pada hari Khamis, 16 Mei. Tiada penyiaran data penting lain berkenaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

 

MATA WANG KRIPTO: Minggu Untuk Mencermin Diri dan Tidak Menentu

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 13 - 17 Mei, 20241

● Apa yang akan berlaku kepada bitcoin dalam masa terdekat nanti? Kelihatannya tiada jawapan jelas terhadap persoalan ini. Penganalisis serta golongan pemengaruh sering menunjukkan arah yang bertentangan: sesetengah menjangkakan lonjakan tinggi, sebahagian lagi berpijak pada bumi yang nyata.

● Sebagai contoh, menurut pengasas Pomp Investments iaitu Anthony Pompliano, nilai bitcoin adalah “paling kukuh sekarang”. Beliau membuat kesimpulan ini berdasarkan kepada purata pergerakan 200 hari (200 DMA) yang mencecah kedudukan ATH (All-Time High) $57,000. Michael Saylor, CEO syarikat MicroStrategy juga bersikap optimis. Dalam kenyataan terbarunya, beliau mengajak para pelabur untuk “menyertai bull”. (Perlu diketahui bahawa MicroStrategy memiliki 205,000 BTC dalam penyata imbang mereka, maka desakan bullish Saylor itu dapat difahami. Beliau perlu bertindak sedemikian supaya syarikat beliau boleh mendapat pulangan dan bukannya rugi).

● Walau bagaimanapun, para penganalisis sedar bahawa nasib bitcoin bukan hanya bergantung kepada desakan optimis CEO MicroStrategy itu. Jika sokongan para pembeli menjadi lemah, nilai BTC boleh menembusi paras sokongan utamanya iaitu $61,000, turun ke zon $56,000, kedudukan yang sangat padat dengan likuiditi. Pengasas MN Trading iaitu Michael Van De Poppe t idak menolak untuk berlakunya satu lagi pembetulan di sekitar paras $55,000. Walau bagaimanapun, penganalisis itu dengan cepat meyakinkan para pelabur dengan menyatakan bahawa pembetulan ini boleh diterima asalkan nilai bitcoin berada di atas paras $60,000. Anthony Pompliano percaya bahawa nilainya tidak akan turun lebih rendah daripada $50,000, dan seorang lagi penganalisis, Alan Santana, tidak menolak kemungkinan penurunan ke paras $30,000.

Pedagang dan penganalisis yang digelar Rekt Capital percaya bahawa mata wang kripto pertama ini sudah keluar daripada “zon bahaya” selepas pelaksanaan pengurangan penghasilan dan kini memasuki fasa awal pengumpulan semula. Menurut penganalisis tersebut, pada tahun 2016, BTC menunjukkan corak lilin berwarna merah yang panjang setelah penghasilannya dikurangkan, susut sebanyak 17%. Kali ini, corak yang sama juga ditunjukkan, dengan perbezaan kadar minimum dan maksimum sebanyak 16% setelah penghasilannya dikurangkan. Nilainya mencecah kedudukan paling rendah mingguan di sekitar paras $56,566 tetapi kemudian naik kepada $65,508, kedudukan yang dianggap Rekt Capital sebagai memasuki semula “julat pengumpulan”. Walau bagaimanapun, terdapat satu “tetapi” - selepas itu, kita melihat satu lagi penurunan ke paras $60,175. Secara keseluruhan, gandingan BTC/USD dilihat mengikuti saluran menurun, dan perkara ini membimbangkan para pelabur.

● Secara umumnya, unjuran yang dibuat agak pelbagai. Maklumat untuk kategori pelbagai aktiviti yang dilakukan pedagang serta pelabur juga pelbagai. Penganalisis yang juga pengasas bersama CMCC Crest iaitu Willy Woo maklum dengan aktiviti yang digelar sebagai jerung dan ikan lumba-lumba kripto. “Tidak pernah berlaku sebelum ini pembelian coin yang laju oleh golongan pemilik kaya seperti pada dua bulan lalu semasa nilainya turun dan naik di antara $60,000-70,000. Kita bercakap tentang mereka yang memiliki 100 BTC hingga 1000 BTC atau kira-kira $6.5-65 juta,” jelas beliau. Namun sebaliknya, menurut penganalisis CryptoQuant, tidak seperti jerung dan ikan lumba-lumba, golongan paus yang memiliki 1000 hingga 10000 BTC memberikan reaksi yang agak pasif. Michael Van De Poppe, dalam kenyataan beliau, sedar tentang kehilangan pelabur runcit.

● Semua ini membayangkan bahawa kita mungkin tidak akan dapat lihat BTC mencapai paras tertinggi dalam sejarah yang baru untuk beberapa bulan ini. Kami telah sebutkan perkara yang sama dalam ulasan kami sebelum ini, antara lainnya memetik pendapat lagenda Wall Street yang juga ketua syarikat Factor LLC iaitu Peter Brandt. Dengan kebarangkalian sebanyak 25%, beliau membuat andaian bahawa bitcoin sudah pun membentuk satu lagi ATH dalam kitaran sedia ada.

Untuk ramalan jangka panjang, tiada yang berubah - kebanyakan daripada mereka meramalkan lonjakan bull bitcoin yang kuat. Anthony Pompliano menulis tentang perkara ini. Willy Woo menjangkakan bitcoin akan meneruskan penerimaannya di dalam setiap kegunaan harian, dan bermaksud jumlah pengguna akan bertambah. “Menjelang tahun 2035, kami jangkakan nilai biasa bitcoin akan mencecah $1 juta. Unjuran ini adalah berasaskan kepada lengkung pertumbuhan pengguna. Ini adalah nilai biasa yang saya katakan, bukan nilai kemuncak apabila berlakunya pasaran bull,” maklum penganalisis itu.

● Penulis buku paling laris “Rich Dad Poor Dad” yang juga seorang usahawan iaitu Robert Kiyosaki sekali lagi menyertakan bitcoin dalam tempat 3 TERATAS cara-cara untuk menjimatkan dan menambah modal. “Berita buruk: keruntuhan [pasaran mata wang] sudah pun bermula. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk. Berita baik: keruntuhan adalah cara untuk menjadi kaya,” tulis beliau, memberi beberapa nasihat tentang cara mengharungi krisis. Mari lihat dua daripadanya. Yang pertama: “Cari sumber pendapatan tambahan. Kepintaran buatan akan menyingkirkan peluang pekerjaan. Mulakan perniagaan kecil dan jadilah usahawan, bukan seorang pekerja yang takut kehilangan kerja.” “Jangan kumpul wang palsu (dolar AS, euro, yen, peso) yang boleh susut nilai. Kumpulkan emas, perak, dan bitcoin - wang sebenar yang bertambah nilainya, terutama sekali semasa pasaran runtuh,” adalah nasihat kedua Kiyosaki.

● Berkenaan dengan pertumbuhan nilai bitcoin, kenyataan Kiyosaki adalah tepat sekali; tidak berguna untuk dipertikaikan. Mengikut kaji selidik oleh Colin Wu yang lebih dikenali sebagai WuBlockchain, sepanjang dekad lalu, nilai mata wang kripto utama itu telah bertambah sebanyak 12,464%, lebih besar jika dibandingkan dengan gergasi seperti Amazon, Apple, Google, Meta, Tesla, dan Netflix. BTC berada di tempat kedua selepas Nvidia (+17,797%). Namun dengan hakikat menduduki tempat kedua walaupun berada dalam pasaran yang agak baru dan meruap adalah satu kejayaan sebenar. Trajektori pertumbuhan BTC sepanjang dekad lalu yang mengagumkan ini adalah bukti kepada daya tahan dan potensi yang dimiliki sebagai komponen asas dalam portfolio pelabur.

● Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 10 Mei, gandingan BTC/USD didagangkan pada kadar $60,470. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.24 trilion ($2.33 trilion minggu lalu). Indeks Fear & Greed Kripto telah naik daripada zon Neutral (48 mata minggu lalu) kepada zon Greed sekarang, pada bacaan 66 mata.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami