Mei 18, 2024

EUR/USD: Inflasi Rendah = Nilai USD Lemah

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 20 - 24 Mei, 20241

● Mata wang Amerika menerima dua tamparan hebat minggu lalu. Walaupun keduanya itu bukanlah perkara yang mengakibatkan kejatuhan, dan sudah pastinya bukan keruntuhan, perkara yang mengejutkan ini telah menolak kadar Indeks Dolar DXY turun daripada 105.26 mata kepada 104.20 mata, dan kadar EUR/USD pula naik daripada 1.0766 kepada 1.0895.

Kejutan pertama berlaku pada hari Selasa, 14 Mei oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell. Dolar seharusnya menjadi lebih kukuh setelah beliau memberikan komen, namun apa yang mengejutkan adalah, nilainya berkurang. Powell menyatakan bahawa polisi kewangan penggubal dasar itu yang ada sekarang ini sebenarnya sudah cukup untuk membendung inflasi. Namun, beliau juga menyatakan bahawa pihak Rizab Persekutuan tidak begitu yakin kadar inflasi boleh dikurangkan dengan cepat dan mungkin memerlukan masa yang lebih lama sebelum kadar inflasi sasaran 2.0% dapat dicapai. Apa yang dapat dirumuskan di sini adalah penggubal dasar itu tidak merancang sama ada untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah mereka.

● Nilai dolar yang lemah pada waktu itu menjadi lebih pelik lagi kerana kenyataan Powell dibuat apabila data Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS berada pada kedudukan kukuh, keadaan yang menunjukkan pertumbuhan inflasi industri. Untuk bulan April, indikator ini menunjukkan kenaikan sebanyak +0.5% untuk bulan ke bulan setelah kadar tersebut turun sebanyak -0.1% pada bulan Mac (diunjur +0.3%). Kadar teras yang mengecualikan harga makanan serta bahan api naik daripada 2.1% kepada 2.4% (tahun/tahun).

Hanya ada satu sebab yang boleh menjelaskan situasi penurunan nilai dolar ini. Peserta pasaran mungkin menjangkakan Pengerusi Rizab Persekutuan setidak-tidaknya akan memberi bayangan bahawa mereka perlu mempertimbangkan satu lagi kenaikan kadar faedah jika inflasi bertambah. Namun setelah beliau tidak memberikan sebarang petunjuk, kekecewaan menyelubungi.

● Apa yang berlaku pada keesokan harinya adalah masuk akal 100%. Laporan oleh pihak Biro Statistik Buruh (BLS) AS pada hari Rabu, 15 Mei menunjukkan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS turun daripada 0.4% kepada 0.3% (bulan/bulan) berbanding 0.4% yang diunjurkan. Secara tahunan, kadar inflasi juga turun daripada 3.5% kepada 3.4%. Jualan runcit menunjukkan penurunan yang lebih ketara, daripada 0.6% kepada 0.0% secara bulanan (diunjur 0.4%). Data-data ini menunjukkan bahawa walaupun inflasi di negara itu mampu bertahan dalam beberapa sektor, secara umumnya kadar inflasi sedang menurun.

Disebabkan itu, pemotongan kadar faedah yang mungkin dilaksanakan Rizab Persekutuan pada tahun ini hangat dibincangkan semula. “Ini adalah data CPI lemah pertama yang perlu diambil kira oleh bank persekutuan [AS] untuk menurunkan kadar pada tahun ini,” kata Jason Pride, Pengarah Strategi dan Analisis Pelaburan di syarikat Glenmede. Mengikut FedWatch Tool oleh CME, kebarangkalian untuk kadar faedah sedia ada kekal dan tidak berubah sehingga hujung tahun 2024 menurun daripada 35% kepada 25%. Akibatnya, kadar DXY terus jatuh, manakala paras EUR/USD pula naik. Pasaran saham melonjak, dengan kadar indeks S&P 500 dan Nasdaq mencapai rekod tertinggi. Terdapat 43 paras tertinggi baru dan tiada paras terendah yang berjaya dicapai indeks S&P 500, manakala Nasdaq pula mencapai 153 paras tertinggi dan 25 paras terendah mingguan.

● Penyusutan nilai dolar terhenti apabila wakil-wakil Rizab Persekutuan memberikan komen mereka sebelum berakhirnya minggu. Presiden Bank Rizab Persekutuan (FRB) Minneapolis iaitu Neel Kashkari menyatakan bahawa beliau tidak begitu yakin dengan “pengetatan polisi kewangan sedia ada memberi kesan dominan kepada inflasi, maka kadar faedah perlu dikekalkan”. Presiden FRB New York iaitu John Williams berkata bahawa satu laporan inflasi yang positif tidak cukup untuk meneutralkan kesan negatif daripada dua laporan sebelum itu, justeru masih belum tiba masanya untuk menjangkakan penurunan kadar faedah dalam masa terdekat ini.

● Untuk mata wang Kesatuan Eropah, Reuters melaporkan bahawa nilainya berjaya bertahan daripada mencapai kesetaraan dengan dolar (1:1) akibat keadaan ekonomi yang memberi kelebihan serta langkah kewangan yang diambil Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB). Kadar EUR/USD paling rendah dalam tempoh enam bulan direkodkan pada 16 April pada paras 1.0600, disebabkan oleh keadaan ekonomi yang goyah di Eurozone serta perbezaan ketara dengan ekonomi AS yang stabil. Namun lama kelamaan, aktivit perniagaan di Eropah mula pulih, dan mengikut laporan bulan April, ekonominya mengalami pertumbuhan lebih pantas berbanding negara di seberang Lautan Atlantik. Hal ini menjadi penyembah dinamik positif kepada euro. Penganalisis Reuters sedar dengan perbezaan jurang yang semakin kecil antara indikator ekonomi di Eropah dan AS, memberikan sedikit sokongan kepada mata wang euro.

EUR/USD ditutup pada paras 1.0868 minggu lalu. Bagi unjuran penganalisis untuk minggu hadapan, sehingga malam 17 Mei, majoriti (65%) menjangkakan nilai dolar menjadi kukuh, 20% menjangkakan nilainya menjadi lebih lemah, dan baki 15% pula berpendirian neutral. Semua indikator serta pengayun pada D1 100% menunjukkan warna hijau, dengan satu perempat daripadanya menunjukkan gandingan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir untuk gandingan ini berada di zon antara 1.0815-1.0835, kemudian 1.0710-1.0725, 1.0665-1.0680, 1.0600-1.0620, 1.0560, 1.0495-1.0515, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, 1.0000. Zon rintangan berada pada paras 1.0880-1.0915, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.

● Jadual untuk perkara penting minggu hadapan adalah seperti berikut. Hari Selasa, 21 Mei, Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen dijadual akan memberikan ucapan. Pada hari Rabu, 22 Mei, penyiaran minit mesyuarat kali terakhir FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS menjadi tumpuan. Keesokan harinya, seperti biasa, kita akan ketahui jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di AS, dan kita juga akan menerima data awal berkenaan kadar aktiviti perniagaan (PPI) di Jerman, Eurozone, serta Amerika Syarikat. Sebelum berakhirnya minggu, pada hari Jumaat, 24 Mei, kita akan ketahui kadar KDNK di Jerman untuk Q1 2024.

 

MATA WANG KRITO: Nilai USD Lemah = BTC Menjadi Kukuh

● "Minggu merefleksi diri dan tak menentu”: inilah yang dijelaskan dalam ulasan kami sebelum ini. Pada hari Rabu, 15 Mei, keadaan tak menentu ini berakhir dengan kelebihan memihak kepada pasaran kripto. Seperti yang biasanya berlaku, punca keadaan menjadi reda adalah disebabkan oleh polisi kewangan Rizab Persekutuan. Data inflasi yang dikeluarkan di AS mempengaruhi jangkaan pasaran berkenaan dengan penurunan kadar faedah. Akhirnya, mata wang Amerika menjadi lemah, indeks DXY menjadi susut, dan selera risiko para pelabur meningkat. Indeks saham mencatatkan kadar tertinggi dalam sejarah, dengan pertumbuhan harian BTC/USD naik melebihi 8%. Kadar ETH/USD juga naik sebanyak 4.5%. Walau bagaimanapun, itu bukanlah Lonjakan Bull yang sudah lama ditunggu-tunggu, dan ada kemungkinan setelah keadaan tak menentu yang menyelubungi dolar sudah berakhir, pertumbuhan nilai bitcoin serta altcoin-altcoin utama ini juga akan berakhir. Setidak-tidaknya inilah senario yang diunjur oleh kebanyakan penganalisis pasaran kripto.

● Menurut pengasas syarikat Capriole Investment iaitu Charles Edwards, bitcoin sedang berada dalam peringkat yang “sangat membosankan”. Beliau percaya bahawa keadaan penyatuan yang berlaku sekarang ini mungkin akan berterusan dalam tempoh antara satu dan enam bulan, dan sebut harganya akan kekal dalam julat kemeruapan yang rendah. Perkara ini akan berterusan sehinggalah pedagang hilang sabar.

Sentimen akan menjadi lebih negatif sejurus sebelum berakhirnya tempoh rata ini, Edwards percaya. “Apabila anda sudah bosan dengan pergerakan mendatar, simptom biasa yang akan berlaku termasuklah mempercayai pengurangan penghasilan sudah diambil kira dan juga pasaran bull sudah pun berakhir. [...] Simptom yang dialami dan juga dagangan short yang anda lakukan akan mencapai kemuncaknya sebelum lonjakan mega berlaku,” ramal ketua Capriole Investment itu.

● Ketua syarikat Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz juga menyebut tentang penyatuan yang berlaku dalam pasaran kripto, di mana tiada pertumbuhan yang dialami dalam masa tiga bulan setelah ETF spot BTC dilancarkan. Pada pandangan beliau, sehingga berlakunya keadaan atau perkara baru yang mendorong kepada pertumbuhannya, mata wang kripto pertama ini akan didagangkan dalam julat antara $55,000 dan $75,000.

Penganalisis Rekt Capital menyatakan pendapat yang hampir sama. Beliau percaya bahawa ancaman penurunan nilai bitcoin setelah pelaksanaan pengurangan penghasilan sudah pun tamat. Memberikan analogi dengan situasi yang berlaku enam tahun lalu, beliau menjangkakan nilai BTC akan berada pada paras terendahnya di sekitar $56,000 pada 1 Mei, dan keadaan tenang yang dialami sekarang ini mungkin akan berterusan sehingga musim bunga nanti, dengan baki aset berada di zon pengumpulan. Mengikut unjuran Rekt Capital, fasa pertumbuhan eksponen akan bermula pada musim bunga, dan nilai coin ini akan mencecah paras tertinggi yang baru dalam tempoh tersebut.

● Penganalisis bursa kripto Bitfinex dilihat agak optimis. Mereka percaya bahawa keadaan tenang yang berlaku sekarang mungkin hanya bertahan sehingga awal musim panas, dan pada Q3 dan Q4, pertumbuhan akan bermula semula. Namun semua bergantung kepada tindakan yang diambil oleh Rizab Persekutuan AS. Bitfinex maklum dengan nilai mata wang AS yang susut daripada nilai paling tinggi dalam tempoh enam bulan setelah berakhirnya mesyuarat penggubal dasar itu untuk bulan Mei serta laporan tenaga kerja yang lemah menjadikan trendnya berubah. Kini, tekanan penurunan kadar inflasi di AS semakin meningkat. Akibatnya, nilai mata wang AS yang lemah boleh merangsang kepada lonjakan aset digital.

● Setinggi manakah lonjakan ini akan berada dalam jangka sederhana dan panjang? Terdapat banyak jawapan kepada persoalan ini. Sesetengah menjangkakan keruntuhan dan kelenyapan sepenuhnya bitcoin, ada juga yang bertegas nilai bagi setiap coin akan mencecah $1 juta. Baru-baru ini, Jack Dorsey, pengasas bersama Twitter (kini dikenali sebagai X) yang juga ketua syarikat Block telah menyertai “kelab jutawan” mengikut jejak Willy Woo, pengasas bersama syarikat CMCC Crest. Beliau juga menjangkakan nilai bitcoin akan melepasi paras $1 juta menjelang tahun 2030, dan terus mengalami pertumbuhan selepas itu, memberi cabaran kepada mata wang fiat tradisional. Ahli perniagaan itu sedar dengan aspek emas digital yang sangat menarik iaitu sifatnya dalam ekosistem dan cara ia memacu usaha secara kolektif bagi menambah baik rangkaian. “Selain daripada kisah penghasilannya, perkara paling mengagumkan tentang bitcoin adalah setiap orang […] berusaha sebaiknya untuk menjadikan keseluruhan ekosistem lebih baik, dan perkara ini memacu nilainya. Ini adalah usaha yang menakjubkan. […] Banyak yang saya belajar daripadanya,” jelas beliau.

● Ahli perniagaan, penulis, dan pengasas bersama syarikat Edelman Financial Services iaitu Ric Edelman percaya bahawa pelabur tradisional antarabangsa akan sedaya upaya mempelbagaikan portfolio mereka. Jika mereka melabur sekurang-kurangnya 1% daripada modal yang dimiliki ke dalam mata wang kripto pertama, modal pasaran bitcoin akan mencecah jumlah $7.4 trilion yang tidak pernah dicapai sebelum ini, manakala nilai aset akan naik kepada $420,000. Peningkatan jumlah modal pasaran turut akan dibantu oleh ETF spot BTC. Menurut Edelman, ETF tersebut meliputi kumpulan pelabur yang lebih meluas berbanding aset tradisional. “Disamping itu, ETF kripto adalah sangat murah. Nilainya adalah 20-25% lebih murah jika dibandingkan dengan aset di Coinbase mahupun di bursa-bursa kripto yang lain. Selain itu, ianya disimpan dalam akaun broker. ETF bitcoin boleh menggunakan strategi pelaburan tradisional seperti rebalancing atau pun dolar-cost averaging. Ia juga memiliki kelebihan dalam pencukaian,” Edelman menyenaraikan kelebihan dana-dana seperti itu. “Saya berasa yakin bahawa ETF bitcoin dan ethereum akan memberi kesan besar kepada pasaran dalam jangka masa panjang,” jelas beliau.

● Walau bagaimanapun, jangkaan terakhir itu boleh disangkal. Walaupun perkara yang disebutkan itu adalah realiti sebenar dalam ETF-BTC, situasi yang dialami ETF-ETH bukanlah sesuatu yang ringkas. Ramai yang menjangkakan pihak SEC (Securities and Exchange Commission) akan meluluskan permohonan bagi melancarkan dana Ethereum pada bulan Mei. Namun perkara ini masih belum berlaku. Lebih-lebih lagi, penganalisis Bloomberg iaitu Eric Balchunas serta peguam sekuriti iaitu Scott Johnson percaya bahawa peluang untuk ETF spot ETH diluluskan adalah hampir tiada. Pada pendapat mereka, kini pihak SEC sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk tidak meluluskan pelancaran dana-dana ini berdasarkan hakikat bahawa permohonan yang dihantar melanggar undang-undang kerana dana saham adalah satu bentuk sekuriti, bukannya komoditi dagangan bursa.

● Persoalan untuk memilih antara bitcoin dan Ethereum timbul dalam kebanyakan pelabur. Peranan kedua-dua mata wang kripto ini adalah berbeza, dan perkara ini mampu memberi kesan besar kepada kadar keuntungannya. Bitcoin semakin dilihat sebagai emas digital, memberi kestabilan semasa keadaan ekonomi tidak menentu. Konsep ini disokong oleh kadar kemeruapan yang semakin berkurang setelah proses penghasilan pengurangan dilaksanakan, kadar yang lebih rendah berbanding kebanyakan syarikat dalam indeks S&P 500 (data Fidelity).

Ethereum terus mencabar sempadan kemungkinan menerusi inovasi teknologi, termasuklah kemas kini Dencun baru-baru ini yang bertujuan untuk mengurangkan kadar fi serta menambah kadar kebolehskalaan. Namun, perubahan ini sekali lagi telah menambah kadar inflasi dalam rangkaian, membatalkan trend deflasi yang wujud setelah berlakunya The Merge pada tahun 2022. Disebabkan itu, kadar kemeruapan ETH terus tinggi berbanding BTC.

Menurut ChatGPT, kepintaran buatan oleh Open AI, pilihan antara kedua-dua aset ini banyak bergantung kepada strategi pelaburan individu serta toleransi terhadap risiko. Bitcoin secara umumnya lebih sesuai untuk pelabur yang mencari alat penyimpan nilai yang agak selamat serta golongan baru dalam mata wang kripto. Sebaliknya, Ethereum pula lebih sesuai untuk mereka yang percaya dengan masa depan teknologi blockchain. Altcoin utama itu berpotensi memberikan pulangan yang lebih besar tetapi juga tahap risiko yang tinggi.

● Pelabur yang juga pengasas syarikat Eight iaitu Michaël van de Poppe sudah pun mengambil keputusan. Beliau mengaku akan menjual kesemua bitcoin yang dimiliki untuk membeli altcoin. Van de Poppe percaya bahawa kebanyakan daripadanya dinilai dengan lebih rendah. Sebaik saja nilai ETH mula naik, nilai token alternatif lain juga akan naik. Penganalisis itu percaya bahawa altcoin yang menjadi pilihan beliau mungkin akan mula berkembang lebih awal dan lebih laju berbanding peneraju pasaran, membolehkan pulangan yang lebih besar berbanding melabur dalam emas digital.

● Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 17 Mei, BTC/USD didagangkan pada kadar $66,835, manakala ETH/USD pula adalah $3,095. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.42 trilion ($2.24 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto telah naik daripada 66 mata kepada 74 mata namun kekal berada di zon Greed.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami