Jun 15, 2024

EUR/USD: Sentimen Hawkish Rizab Persekutuan

● Seperti dijangka, hari Rabu, 12 Jun telah menjadi hari paling penting untuk minggu lalu. Setelah data inflasi di AS dikeluarkan, dolar berdepan dengan tekanan besar. Data terbaru menunjukkan bahawa untuk bulan Mei, kadar inflasi keseluruhan (CPI) secara tahunan susut kepada 3.3% berbanding 3.4% yang diunjurkan. Secara bulanan, indikator ini turun daripada 0.3% kepada 0% dan bukannya 0.1% seperti yang dijangka. Kadar Indeks Harga Pengguna Teras (Core CPI) yang mengecualikan harga makanan serta bahan api adalah sebanyak 0.2% (b/b) berbanding bulan April, lebih rendah daripada 0.3% yang diunjurkan. Secara tahunan, kadar itu naik sebanyak 3.4%, menunjukkan pertumbuhan paling lembab dalam tempoh tiga tahun (kadar sebelumnya adalah 3.6%, diunjur 3.5%).

Penurunan kadar inflasi menambah lagi jangkaan peserta pasaran mengenai kemungkinan pihak Rizab Persekutuan akan menurunkan kadar faedah mereka sebanyak dua kali pada tahun ini, dengan pelonggaran pertama polisi kewangan dilaksanakan seawal September ini. Disebabkan itu, kadar Indeks Dolar (DXY) turun daripada 105.3 kepada 104.3, manakala kedudukan EUR/USD melonjak naik lebih daripada 100 mata, mencecah kedudukan tertinggi mingguan pada paras 1.0851.

● Walau bagaimanapun, kegembiraan bear itu mengenai nasib dolar tidak berpanjangan. Keputusan mesyuarat pihak FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS menolak semula kadar DXY ke kedudukan asal. Kadar faedah utama kekal pada paras 5.50% seperti yang dijangka. Dalam masa yang sama, unjuran median yang baru oleh ahli-ahli FOMC menunjukkan bahawa penggubal dasar itu dengan yakin menjangkakan hanya sekali penurunan akan dilaksanakan pada tahun 2024. Jika diingat pada bulan Mac, pihak Rizab Persekutuan menjangkakan penurunan kadar sebanyak tidak kali untuk tahun 2024 dan tiga kali untuk tahun 2025. Kini, 15 daripada 19 orang ketua Rizab Persekutuan menjangkakan penurunan sekurang-kurangnya sebanyak satu atau dua kali untuk tahun ini (7 orang turun sebanyak 25 mata asas, 8 orang turun 50 mata asas), manakala 4 orang lagi menjangkakan pelonggaran (QE) tidak akan dilaksanakan sebelum tibanya tahun 2025. Buat masa ini, data daripada FedWatch oleh CME Group menunjukkan kebarangkalian hampir 70% QE akan mula dilaksanakan pada mesyuarat FOMC bulan September.

● Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell menyatakan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu bahawa pasaran buruh di AS masih kekal kukuh secara umumnya, walaupun tidak berkembang. Ekonomi AS terus berkembang pada kadar yang meyakinkan. Menurut beliau, tindakan lanjut akan bergantung kepada keseimbangan risiko pada setiap kali bermesyuarat. Rizab Persekutuan tidak berniat untuk meruntuhkan pasaran buruh sebagai satu cara bagi menurunkan kadar inflasi. Jika keadaan ekonomi terus berdaya tahan dan inflasi menjadi stabil, Rizab Persekutuan sudah bersedia untuk mengekalkan kadar faedah sedia ada selama mana yang perlu. Jika pasaran buruh menjadi lemah atau kadar inflasi turun lebih pantas daripada jangkaan, bank persekutuan AS sudah bersedia untuk memotong kadar faedah sebagai respon. Dalam masa yang sama, Powell juga menyatakan bahawa penggubal dasar itu ingin melihat lebih banyak “data baik” agar berasa yakin dengan penurunan inflasi secara mampan ke paras 2.0% yang disasarkan. Selain itu, beliau menasihatkan pasaran agar berhati-hati dengan jangkaan pelonggaran polisi kewangan yang berlebihan, menambah lagi bahawa penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas tidak akan memberi impak besar kepada ekonomi.

● Retorik Powell yang bersifat agak hawkish itu telah mengukuhkan lagi penyiaran unjuran ekonomi baru untuk jangka sederhana yang disediakan pihak Rizab Persekutuan selepas berakhirnya mesyuarat. Maka, penggubal dasar itu telah menaikkan unjuran inflasi untuk tahun 2024 kepada 2.6% daripada 2.4%, manakala daripada 2.2% kepada 2.3% untuk tahun 2025. Rizab Persekutuan berharap inflasi akan mencapai sasaran 2.0% hanya pada tahun 2026. Unjuran bagi pertumbuhan KDNK di AS kekal tidak berubah sepanjang tempoh ini - 2.1% untuk tahun 2024-2026. Rizab Persekutuan juga mengekalkan unjuran bagi pengangguran di AS pada kadar 4.0% untuk tahun 2024, menaikkannya kepada 4.2% daripada 4.1% untuk 2025, dan naik kepada 4.1% daripada 4.0% pada tahun 2026. 

● Selain daripada semakan semula unjuran ekonomi bank persekutuan AS yang bersifat hawkish ini, nilai dolar yang menjadi lebih kukuh telah dibantu dengan peranannya sebagai mata wang selamat. Masa depan mata wang euro terus menjadi persoalan disebabkan keadaan politik yang tidak menentu di Eurozone. Pada hari Ahad, 9 Jun, keputusan pilihan raya Parlimen Kesatuan Eropah yang mengejutkan ramai orang telah diumumkan: di Jerman, Perancis, dan Belgium, parti pembangkang telah mengalahkan parti pemerintah. Di Perancis, parti Presiden Emmanuel Macron hanya meraih 14.5% undian, menyebabkan pembubaran Dewan Negara serta pelaksanaan pilihan raya awal. Sesetengah peserta pasaran percaya bahawa risiko daripada arena politik mungkin akan menolak EUR/USD ke sekitar paras 1.0600 atau lebih rendah dalam masa terdekat ini.

Nilai euro yang lemah juga telah disebabkan dengan hakikat bahawa Bank Negara Kesatuan Eropah sudah pun memulakan kitaran pemotongan kadar faedah. Pada hari Khamis, 6 Jun, pihak Jawatankuasa Badan Pentadbir ECB telah menurunkan kadar faedah utama mereka sebanyak 25 mata asas menjadi 4.25%. Sejak September 2023, kadar inflasi di Eurozone telah pun turun lebih daripada 2.5%, membolehkan penggubal dasar tersebut mengambil langkah itu buat pertama kalinya dalam satu tempoh masa yang panjang. Disamping itu, data makroekonomi yang baru menunjukkan bahawa kadar 2.0% yang disasarkan mungkin boleh dicapai tidak lama lagi. Sebagai contoh, kadar CPI di Jerman, penggerak utama ekonomi Eropah yang dikeluarkan pada hari Rabu, 12 Jun menunjukkan penurunan daripada 0.5% kepada 0.1% (b/b). Wakil ECB iaitu Bostjan Vasle berkata pada hari Khamis bahawa “penurunan kadar lebih rendah mungkin boleh dilaksanakan jika proses disinflasi terus berlaku."

● Gandingan EUR/USD ditutup pada paras 1.0702 untuk minggu lalu. Bagi unjuran para penganalisis untuk minggu hadapan, sehingga 14 Jun, 60% bersetuju dengan penurunan gandingan ini, 20% lagi memilih pertumbuhan, dan baki 20% lagi kekal neutral. Bagi analisis teknikal, 100% indikator trend serta pengayun pada D1 memihak kepada dolar, semua berwarna merah, walaupun 20% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan jualan. Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon 1.0670, diikuti dengan 1.0600-1.0620, 1.0560, 1.0495-1.0515, 1.0450, 1.0370. Zon rintangan pula berada di sekitar paras 1.0740, kemudian 1.0780-1.0810, 1.0865-1.0895, 1.0925-1.0940, 1.0980-1.1010, 1.1050, 1.1100-1.1140.

● Untuk minggu hadapan, pada hari Selasa, 18 Jun, kadar inflasi (CPI) di Eurozone serta statistik jualan runcit di AS akan dikeluarkan. Hari Rabu, 19 Jun adalah hari cuti di Amerika Syarikat: negara itu menyambut hari Juneteenth. Hari Khamis, 20 Jun, jumlah tuntutan awal bagi manfaat pengangguran di AS akan diketahui, dan Indeks Pembuatan Rizab Persekutuan Philadelphia juga akan dikeluarkan. Sebelum berakhirnya minggu bekerja, pada hari Jumaat, 21 Jun, keseluruhan data awal aktiviti perniagaan (PMI) dalam pelbagai sektor ekonomi di Jerman, Eurozone dan AS akan diketahui. Penyiaran Laporan Polisi Kewangan Rizab Persekutuan pada hari yang sama juga menarik sedikit perhatian.

 

GBP/USD: Apakah Keputusan Bank of England pada 20 Jun?

● Pada musim bunga 2023, pihak BoE memutuskan bahawa polisi kewangan mereka yang ketat harus diteruskan untuk satu tempoh lebih panjang sehinggalah inflasi benar-benar stabil pada kadar 2.0% yang disasarkan. Berdasarkan keputusan itu, walaupun tekanan harga semakin berkurang, Jawatankuasa Polisi Kewangan (MPC) Bank of England pada mesyuarat 8 Mei lalu dengan majoriti undian (tujuh berbanding dua) telah mengambil keputusan untuk mengekalkan kadar faedah utama mereka iaitu 5.25%. (Dua orang ahli MPC mengundi untuk menurunkan kepada 5.0%).

Mengikut Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) negara itu, sejak November 2022, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) telah turun daripada 11.1% kepada 2.3% - kadar paling rendah sejak Julai 2021. Bank negara British menjangkakan kadar ini akan kembali ke paras sasaran dalam masa terdekat namun akan naik sedikit di sekitar 2.5% pada enam bulan terakhir tahun ini disebabkan kenaikan harga bahan api. Selain itu, mengikut unjuran bulan Mei, kadar CPI akan menjadi 1.9% dalam tempoh dua tahun (Q2 2026) dan 1.6% dalam masa tiga tahun (Q2 2027).

● Jangkaan inflasi di British untuk masa terdekat ini juga telah berkurang ke paras paling rendah dalam tempoh tiga tahun, menunjukkan kadar yang kembali berada pada paras purata dalam sejarah. Pada bulan Mei, purata kenaikan harga yang dijangka akan dihadapi oleh rakyat negara itu adalah sebanyak 2.8% untuk 12 bulan seterusnya, berbanding unjuran yang dibuat pada bulan Februari iaitu 3%. Hal ini ada dinyatakan dalam hasil kaji selidik suku tahunan bank negara British.

● Data aktiviti perniagaan (PMI) yang dikeluarkan pada minggu pertama bulan Jun menunjukkan ekonomi di United Kingdom adalah agak baik. Aktiviti dalam sektor pembuatan naik daripada 49.1 kepada 51.2. Sedikit kelembapan telah ditunjukkan oleh kadar PMI dalam sektor perkhidmatan - daripada 55.0 kepada 52.9, manakala kadar PMI komposit pula - daripada 54.1 kepada 53.0. Namun, walaupun dengan keputusan itu, kesemua indikator kekal berada lebih tinggi dari paras 50.0, kedudukan yang membezakan antara pertumbuhan dan kelembapan aktiviti.

Terdapat beberapa kebimbangan yang dapat dirasai daripada pasaran buruh UK. Statistik yang dikeluarkan pada awal Jun lalu menunjukkan pertambahan ketara dalam manfaat pengangguran - melebihi 50.4K untuk bulan Mei selepas bertambah 8.4K pada bulan sebelum itu. Jumlah ini adalah kenaikan bulanan yang paling besar sejak sekatan COVID pertama. Sebelum pandemik, pendapatan setinggi itu telah direkodkan semasa keadaan gawat tahun 2009. Lebih-lebih lagi, kadar pengangguran antara Februari-April 2024 naik kepada 4.4%. Sudah tentu, jika mengikut rekod sejarah, itu adalah kadar yang rendah, namun paling tinggi dalam tempoh tiga tahun. 

● Mesyuarat Bank of England yang seterusnya akan diadakan pada hari Khamis, 20 Jun. Para penganalisis secara umumnya menjangkakan kadar faedah akan kekal tidak berubah pada paras 5.25%. Unjuran ini disokong oleh penguncupan penurunan kadar inflasi. Disamping itu, terdapat kenaikan ketara dalam tangga gaji di UK (+6.0%) dan hal ini mampu menolak harga ke atas. Hal ini sebaliknya akan mengurangkan kebarangkalian untuk bank negara British beralih kepada polisi kewangan yang lebih longgar di masa hadapan. Kitaran QE mungkin akan ditunda sehingga bulan September atau selepas itu.

Polisi kewangan BoE yang ketat telah menghasilkan prasyarat bagi permintaan untuk pound pada masa hadapan. Sementara itu, gandingan GBP/USD telah didorong dengan data dari luar negara pada minggu lalu. Disebabkan data inflasi AS, kadarnya melepas sempadan atas saluran antara 1.2700-1.2800 dan naik ke paras 1.2860, kemudian, berikutan hasil mesyuarat FOMC, kadarnya turun dan menembusi sempadan bawah, jatuh ke paras 1.2656. Minggu lalu kadarnya ditutup pada paras 1.2686.

● Unjuran median penganalisis untuk minggu hadapan agak sama seperti unjuran untuk gandingan sebelum ini. Dalam perkara ini, 50% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, 25% menunjukkan trajektori ke atas, dan 25% lagi kekal neutral. Untuk analisis teknikal pada D1, gambarannya adalah bercampur-campur. Perbezaan pendapat bagi indikator trend adalah 50:50 antara warna merah dan hijau. Dalam kalangan pengayun, 60% menunjukkan penurunan (satu pertiga memiliki lebihan jualan), 20% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 20% lagi kekal neutral. Jika gandingan ini turun ke paras lebih rendah, sokongan berada di zon dan paras 1.2575-1.2600, 1.2540, 1.2445-1.2465, 1.2405, 1.2300-1.2330. Jika gandingan ini mengalami pertumbuhan, rintangan akan berada pada paras 1.2760, 1.2800-1.2820, 1.2865-1.2900.

● Selain daripada mesyuarat Bank of England, termasuklah keputusan mengenai kadar faedah serta sidang akhbar pada 20 Jun yang telah disebutkan tadi, perlu diketahui pada hari Rabu, 19 Jun data inflasi pengguna (CPI) yang baru di UK akan dikeluarkan. Hari Jumaat, 21 Jun, juga dilihat agak menarik. Pada hari itu juga, nilai jualan runcit dan indikator awal bagi aktiviti perniagaan (PMI) dalam pelbagai sektor ekonomi UK akan dikeluarkan.

 

USD/JPY: BoJ Tidak Melakukan Perubahan Namun Menjanjikan Perubahan Di Masa Hadapan

● Tidak seperti Bank of England, mesyuarat Bank of Japan (BoJ) sudah pun berlangsung, dan hasilnya telah diumumkan pada hari Jumaat lalu, 14 Jun. Nilai yen yang lemah sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah memberi kesan negatif kepada mata wang di Asia. Pada bulan Mac, bank negara itu telah mengambil langkah pertama mereka - menaikkan kadar faedah buat pertama kali sejak tahun 2007 (sejak tahun 2016, kadarnya kekal pada paras negatif -0.1%). Penggubal dasar itu juga telah menamatkan hasil perolehan bon 10 tahun kerajaan bersasar. Para pelabur memantau bank negara Jepun dengan teliti untuk sebarang bayangan jika mereka akan mengubah lebih banyak rangsangan kewangan.

Namun buat masa ini, pihak BoJ memutuskan untuk tidak mengubah polisi kewangan mereka yang sangat longgar, mengekalkan pembelian bon semasa dengan nilai sekitar 6 trilion yen ($38 bilion) setiap bulan. Walau bagaimanapun, mereka berjanji untuk membentangkan satu rancangan bagi pengurangan secara beransur-ansur dalam mesyuarat berikutnya pada bulan Julai. “Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah pembelian kami yang seterusnya  [satu hingga dua tahun] bagi memastikan pembentukan kadar faedah jangka panjang yang lebih mudah di pasaran kewangan,” kenyataan dari bank negara itu menyebut. Dalam masa yang sama, penggubal dasar itu mengumumkan bahawa mereka akan mengumpul pendapat peserta pasaran sebelum mengambil sesuatu keputusan tertentu.

Kadar deposit bank-bank komersial juga dibiar tidak berubah - para pegawai sebulat suara bersetuju untuk membiarkannya berada pada julat antara 0.0%-0.1% seperti yang dijangka. Daripada keputusan itu para penganalisis sekali lagi membuat kesimpulan bahawa BoJ tidak terburu-buru untuk mengetatkan polisi kewangan mereka yang sangat longgar (QT).

Bank Societe Generale Perancis percaya bahawa disebabkan tekanan yang diberi oleh kerajaan akibat nilai yang yang lemah, senario pengurangan pembelian bon ini berkemungkinan akan bermula pada bulan Ogos, dan pembelian mereka akan berkurang setiap tiga bulan dan mencecah nilai sifar menjelang November 2025. Disamping itu, menurut pakar ekonomi di Societe Generale, pihak BoJ mungkin akan menaikkan kadar diskaun pada bulan September tahun ini.

● Sudah tentu, gandingan USD/JPY tidak boleh membiarkan apa yang berlaku pada minggu lalu kerana kadar CPI  CPI di AS serta mesyuarat Rizab Persekutuan: julat turun naiknya adalah melebihi 240 mata (paras terendah adalah 155.71, paras paling tinggi 158.25). Walau bagaimanapun, keputusan minggu tidak begitu mengagumkan: bermula pada paras 156.7, ditutup pada paras 157.37.

Unjuran penganalisis untuk minggu depan adalah seperti berikut: tiada siapa yang bersetuju dengan penurunan gandingan ini ke bawah serta nilai yen yang lebih kukuh, dan baki undian berbeza sama rata: 50% menunjukkan pertumbuhan, dan 50% lagi kekal neutral. Untuk analisis teknikal, kesemua indikator trend pada D1 berwa rna hijau, Sokongan paling hampir berada di zon 156.80-157.05, diikuti dengan 156.00-156.10, 155.45, 154.50-154.70, 153.10-153.60, 151.85-152.15, 150.80-151.00, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, 146.50. Rintangan paling hampir berada di sekitar paras 157.70, diikuti dengan 158.25-158.60, 160.00-160.20.

● Tiada sebarang statistik ekonomi penting di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

 

MATA WANG KRIPTO: Penggunaan Bitcoin Sekarang dan Pada Masa Hadapan Bergantung Kepada AS

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 17 - 21 Jun, 20241

● Disebabkan ketiadaan dorongan sendiri, pasaran kripto mengikuti gerakan dolar baru-baru ini, yang bermaksud mengikuti keputusan Rizab Persekutuan, dan dengan kata lain mengikuti statistik makro dari AS. Keadaan BTC/USD adalah seperti berada di sebuah dacing, mata wang kripto utama ini berada di satu sisi, manakala dolar AS di satu sisi yang lain. Apabila dolar menjadi lebih berat - bitcoin menjadi lebih ringan, dan juga sebaliknya. Pada hari Jumaat, 7 Jun, statistik yang kukuh dalam pasaran buruh AS telah dikeluarkan - dolar menjadi lebih berat, bitcoin menjadi lebih ringan. Pada hari Rabu, 12 Jun, inflasi di AS rupa-rupanya telah berkurang - nilai dolar susut, nilai bitcoin bertambah. Pada waktu petangnya pula, pihak Rizab Persekutuan menenangkan pasaran dengan kadar faedah - dan keseimbangan ini berubah semula. Lihatlah pada carta BTC/USD dan Indeks Dolar (DXY) - keseimbangan songsang yang berlaku tidak boleh disangkal lagi.

● Sejak kebelakangan ini, pasaran kripto terunggul telah mengalami kerugian kira-kira 7% daripada nilainya. Punca kepada perkara ini adalah berkenaan polisi kewangan Rizab Persekutuan AS yang telah disebutkan pada awal tadi. Lebih menyedihkan, aliran masuk modal ke dalam ETF-bitcoin selama 19 hari berturut-turut pada hakikatnya telah pun berakhir. Pada 11 Jun sahaja, modal industri itu kehilangan hampir $65 juta. Ia berpunca daripada perkara yang sama. Perkara ini diburukkan lagi dengan cuti musim panas yang bakal tiba - tempoh berlakunya pembetulan serta keadaan tenang di pasaran kewangan.

● Pedagang menyatakan bahawa “emas digital” didagangkan dalam julat sempit di antara $66,000 dan $72,000 baru-baru ini. Salah seorang peserta pasaran yang popular mempertimbangkan paras terendah itu sebagai titik masuk yang ideal, dan pada pendapat beliau, titik masuk di sempadan tinggi memberi risiko lebih tinggi. Pengasas MN Capital dan juga seorang penganalisis iaitu Michael van de Poppe tidak menolak bahawa tekanan daripada golongan penjual pasti akan wujud dalam masa terdekat ini. Dalam keadaan itu, nilai bitcoin mungkin akan stabil pada paras $65,000 atau mungkin lebih rendah. Walau bagaimanapun, van de Poppe tidak menjangkakan pembetulan lebih rendah. Menurut beliau, sejumlah besar likuiditi tertumpu di sekitar paras $60,000. Ini mencadangkan bahawa paras itu kini telah menjadi kawasan sokongan yang kukuh, dan dinamik positif boleh disokong dengan keadaan geopolitik yang tidak stabil.

● Mengikut kaji selidik, lebih 70% daripada komuniti kripto percaya bahawa BTC berada di ambang pertumbuhan lebih tinggi. Sebagai contoh, pedagang Captain Faibik berasa yakin bitcoin sedang bersedia untuk menembusi corak “baji mengembang” dalam analisis teknikal. Menurut beliau, menembusi sempadan atas akan membuka laluan kepada mata wang kripto untuk berada lebih tinggi daripada $94,000. Maka, pedagang Titan of Crypto menjangkakan nilai bitcoin akan mencecah $100,000 pada musim panas nanti. Prospek pertumbuhan BTC juga dapat dilihat dengan aktiviti pelabur-pelabur besar. Menurut seorang wakil industri, golongan jerung memasuki posisi long bitcoin dengan aktif. CEO CryptoQuant iaitu Ki Young Ji menjelaskan bahawa nilai $69,000 itu sendiri menarik perhatian pelabur-pelabur besar.

● CEO Binance yang baru, Richard Teng yang menggantikan Changpeng Zhao percaya bahawa nilai bitcoin akan melebihi $80,000 tidak lama lagi. Teng mengaitkan aktiviti ETF spot BTC yang memperkukuhkan kepercayaan umum terhadap aset ini kepada potensi nilai lebih tinggi yang baru. CEO Binance itu juga menyebut tentang penggubalan undang-undang mata wang kripto jika Donald Trump dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. Menggelar dirinya sendiri sebagai “presiden kripto”, Trump berkata pada bulan Mei bahawa AS seharusnya menjadi peneraju dalam industri kripto global.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, tindakan undang-undang mata wang kripto masih lagi berada dalam tahap pembangunan dan pelaksanaan yang mengekang pelaburan. Menurut penganalisis, pelaburan sedia ada seharusnya dianggap sebagai kes ujian. Perlu diketahui juga bahawa ETF spot hanya menarik likuiditi besar di AS - tiada minat yang sama ditunjukkan di kebanyakan negara lain.

Menurut hartawan Mark Cuban, sikap yang ditunjukkan terhadap mata wang kripto akan menjadi faktor penting utama antara calon presiden AS Donald Trump dan Joe Biden, walaupun tiada siapa antara keduanya yang memahami isu ini. “Anda benar-benar rasa [Trump] faham tentang kriptografi selain daripada mendapat untung hasil jualan NFT?” tanya Cuban. Beliau memberikan jawapan: “Tiada siapa [antara dua calon] yang faham. Namun telah banyak kali saya katakan bahawa Biden akan terpaksa memilih antara [Pengerusi SEC] Gary Gensler atau pengundi kripto, jika tidak beliau akan kehilangan jawatan di White House." 

● Menurut penganalisis di bursa kripto Bitfinex, nilai bitcoin boleh naik kepada $120,000-125,000 dalam tempoh beberapa bulan sehingga setengah tahun. Nilai yang hampir sama turut dijangka oleh CEO syarikat amanah kripto BitGo iaitu Mike Belshe. Pada pendapat beliau, menjelang akhir tahun 2024, nilai mata wang kripto pertama itu akan menjadi $125,000-135,000, dan pendorong utama kepada pertumbuhan ini adalah hutang kerajaan AS yang tinggi. “Keadaan makroekonomi kita terus mengesahkan bahawa terdapat keperluan untuk menggunakan bitcoin. Tidak diragui, hutang kerajaan AS berada di luar kawalan. […] Situasi ini menyokong idea bahawa bitcoin adalah emas bagi generasi baru,” jelas Belshe.

Beliau juga sedar bahawa kedudukan dolar AS sebagai mata wang rizab dunia telah semakin tergugat kerana dasar luar AS. CEO BitGo itu percaya bahawa negaranya menggunakan dolar sebagai senjata dan kaedah manipulasi. “Jadi, pertama adalah krisis hutang negara AS, kedua pula dasar luar dan kawalan sekatan. BRICS menawarkan sistem bayaran alternatif. […] Inilah kisah kenapa bitcoin dihasilkan,” beliau membuat kesimpulan.

● Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 14 Jun, BTC/USD didagangkan pada paras $65,800. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $2.38 trilion ($2.54 trilion minggu lalu). Jumlah modal pasaran bitcoin telah mencecah nilai $1.30 trilion yang kukuh, dan seperti amaran yang diberikan oleh penganalisis, jumlah ini mengurangkan risiko terhadap aliran masuk modal pada masa hadapan. Golongan pesimis berkata bahawa aset ini sudah pun “terlalu matang” dan untuk mencecah nilai $125,000, jumlah modal pasarannya perlu naik hampir sekali ganda. Pada pendapat mereka, kemasukan modal sebesar itu dalam tempoh lebihan belian mungkin tidak boleh berlaku, jadi seseorang perlulah menjangkakan pembetulan serta penyatuan selepas itu. Kemungkinan untuk senario seperti itu berlaku juga ditunjukkan oleh Indeks Fear & Greed Kripto: sepanjang 7 hari, bacaannya turun daripada 77 mata kepada 70 mata dan beralih daripada zon Extreme-Greed ke zon Greed.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami