EUR/USD: Dolar Menjadi Lemah Akibat Kadar Inflasi yang Rendah
- Perkara penting yang memberi satu lagi tamparan hebat kepada dolar pada minggu lalu adalah penyiaran data kadar inflasi pengguna di AS yang dikeluarkan pada hari Khamis, 12 Januari. Kadar sebenarnya adalah selari dengan kadar yang dijangka pasaran. Kadar tahunan indeks harga pengguna (CPI) untuk bulan Disember susut ke paras terendahnya sejak Oktober 2021: dari 7.1% kepada 5.7%. Maka, kadar inflasi di AS telah mengalami kelembapan untuk 6 bulan berturut-turut, manakala kadar inflasi teras pula telah terbantut untuk 3 bulan berturut-turut, petanda kepada pemangkin yang kuat untuk Rizab Persekutuan melonggarkan polisi kewangan mereka.
Peserta pasaran berasa amat yakin dengan kenaikan kadar faedah yang tidak melebihi 25 mata asas (bp) akan diumumkan pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) untuk bulan Februari nanti. Secara khususnya, Michelle Bowman, seorang ahli Lembaga Gabenor, dan juga Mary Deli, Pengerusi Bank Rizab Persekutuan San Francisco membicarakan tentangnya. Ketua Bank Rizab Persekutuan Philadelphia iaitu Patrick Harker juga mengubah pendirian hawkish beliau dengan menyatakan kadar faedah itu seharusnya dinaikkan sebanyak 25 bp saja.
Ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell sedia maklum bulan lalu bahawa penggubal dasar itu akan memastikan kadar faedah mereka kekal pada nilai tertinggi sehinggalah mereka benar-benar pasti kadar inflasi mengikuti trend penurunan yang stabil. Menurut beliau, kadar asasnya mungkin akan naik sehingga 5.1% pada tahun 2023 dan kekal pada kadar itu sehingga tahun 2024. Namun, statistik makro terkini yang turut mengandungi data inflasi, aktiviti perniagaan dan juga pasaran buruh menunjukkan bahawa nilai tertingginya akan berada pada kadar 4.75%. Lebih-lebih lagi, nilainya itu malah boleh turun kepada 4.50% menjelang akhir tahun 2023.
Disebabkan oleh unjuran-unjuran sebegini, nilai mata wang AS telah menjadi susut berbanding kesemua mata wang negara-negara G10. Kadar indeks dolar DXY memperbaharui paras terendah yang dicapai pada Jun 2022, turun ke paras 102.08 (kadar ini berada lebih tinggi daripada 114.00 pada akhir September lalu). Hasil bon 10 tahun Perbendaharaan juga turun ke paras terendah bulanannya iaitu 3.42%, manakala kedudukan EUR/USD naik ke paras 1.0867, kedudukan tertinggi sejak bulan April lalu.
Hasil spread antara bon 10 tahun di AS dan Jerman berada pada nilai terendahnya sejak bulan April 2020, manakala negara-negara kecil Eropah turut mengurangkan jurang antara spread mereka. Dinamik ini menunjukkan kebarangkalian untuk ekonomi EU meleset dengan teruk menjadi berkurangan. Lebih-lebih lagi, musim sejuk di Eropah rupa-rupanya tidak sesejuk yang disangka dan harga bahan api pula turun walaupun berhadapan dengan masalah bekalan dari Rusia. Hal-hal ini turut memberi tekanan kepada mata wang AS.
China boleh membantu dolar. Mengikut beberapa anggaran, kadar pertumbuhan KDNK di China boleh mencecah antara 4.8-5.0%, malah mungkin lebih tinggi pada tahun 2023. Aktiviti ekonomi seperti itu boleh menaikkan kadar inflasi global sebanyak 1.0-1.2%, dan ini akan memberi beberapa kelebihan kepada mereka yang berpendirian hawkish di Rizab Persekutuan untuk mengekalkan polisi kewangan yang ketat. Namun semua ini adalah untuk masa hadapan. Buat masa ini pasaran menantikan keputusan mesyuarat FOMC yang seterusnya pada 1 Februari nanti serta kenyataan yang akan dikeluarkan oleh pihak Rizab Persekutuan AS selepas itu.
Minggu lalu pasangan EUR/USD ditutup pada paras 1.0833. 20% penganalisis menjangkakan nilai euro akan mengukuh lebih tinggi dan juga pertumbuhan pasangan ini tidak lama lagi, 50% pula menjangkakan mata wang AS akan mendapatkan semula kerugian yang dialami. Baki 30% penganalisis tidak bersetuju dengan kedua-duanya. Gambarannya adalah berbeza dalam kalangan indikator pada D1: kesemua 100% adalah berwarna hijau, tapi 25% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir untuk pasangan ini berada pada paras 1.0800, kemudian zon dan paras antara 1.0740-1.0775, 1.0700, 1.0620-1.0680, 1.0560 dan 1.0480-1.0500. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0865, 1.0935, 1.0985-1.1010, 1.1130, dan kemudian akan cuba untuk berada di eselon antara 1.1260-1.1360 selepas itu.
Pedagang perlu mengambil kira hari Isnin minggu hadapan adalah hari cuti di AS, mereka menyambut Hari Martin Luther King. Antara hari yang penting pada kalendar adalah Selasa, 17 Januari apabila kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) serta Indeks Sentimen Ekonomi (ZEW) di Jerman dikeluarkan. Data berkenaan harga pengguna di Eurozone serta jualan runcit di AS akan diketahui pada hari Rabu, 18 Januari. Kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di Amerika juga akan dikeluarkan pada hari yang sama.
GBP/USD: Kejutan Oleh KDNK UK
- Pada hari Khamis, 12 Januari, pasangan GBP/USD mengambil kesempatan untuk naik ke kedudukan tertingginya sejak 15 Disember lalu dan mencecah paras 1.2246 akibat tekanan besar yang dihadapi dolar. Kadar KDNK di UK memberi kejutan yang menyenangkan buat bull pound pada keesokan harinya, Jumaat, 13 Disember: dengan tiba-tiba ekonomi di negara itu rupa-rupanya berkembang sebanyak 0.1% sepanjang tempoh sebulan berbanding susut 0.3% seperti yang diunjur. Walau bagaimanapun, dari segi kadar tahunan, KDNK negara itu masih lagi sangat rendah berbanding nilai sebelumnya: 0.2% berbanding 1.5% yang diunjur sebulan sebelum itu. Akibatnya, pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan sedikit rendah berbanding kedudukan tertinggi mingguannya, pada paras 1.2234.
Hari paling penting buat pound mungkin adalah 2 Februari nanti, apabila mesyuarat Bank of England (BoE) yang seterusnya akan diadakan. Ketika para pelabur menjangkakan pihak Rizab Persekutuan akan memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka, Bank of England pula adalah sebaliknya, mereka dijangka akan mengetatkan lagi polisi kewangannya. Kadarnya dijangka mungkin akan naik daripada 3.50% yang ada sekarang kepada 4.50% menjelang musim panas nanti, kenaikan yang sudah pastinya dapat memberi sokongan kepada mata wang British.
Untuk jangka masa pendek, unjuran median bagi GBP/USD dilihat agak tidak menentu: 10% penganalisis berpihak kepada bull, 25% berpihak kepada bear, dan kebanyakan majoriti (65%) berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, 90% adalah berwarna hijau, namun satu pertiga daripadanya memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian, baki 10% lagi menunjukkan warna kelabu neutral. 100% daripada indikator trend adalah berwarna hijau. Sokongan berada pada paras dan zon 1.2200-1.2210, 1.2145, 1.2085-1.2115, 1.2025, 1.1960, 1.1900, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan dengan rintangan pada paras 1.2250-1.2270, 1.2330-1.2345, 1.2425-1.2450 and 1.2575-1.2610, 1.2700 dan 1.2750.
Bagi perkembangan yang berkaitan dengan ekonomi di UK pada minggu hadapan, kami boleh tumpukan perhatian pada hari Selasa, 17 Januari apabila data dari pasaran buruh di negara itu diketahui. Nilai indikator inflasi penting seperti kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan dikeluarkan pada hari yang sama, dan ia pasti akan memberi kesan terhadap keputusan BoE mengenai kadar faedah mereka. Data jualan runcit untuk bulan Disember di UK juga akan dikeluarkan pada penghujung minggu bekerja, pada hari Jumaat, 20 Januari. Kadarnya dijangka akan naik sebanyak 0.4% pada bulan November disebabkan oleh persediaan menjelang Hari Krismas.
USD/JPY: Haruskah Kita Jangkakan Kejutan dari Bank of Japan
- Nampaknya yen menunjukkan prestasi paling baik untuk minggu lalu, malah ia terus memberikan tekanan kepada dolar pada hari Jumaat, 13 Januari, menetapkan paras terendah mingguan pada kadar 127.45. Paras terakhir mingguannya sedikit tinggi daripada itu, pada kadar 127.85.
Mengapa ini berlaku? Pertama sekali, nilai yen menjadi lebih kukuh disebabkan oleh nilai dolar yang semakin susut serta penurunan hasil daripada bon AS (kadar spread antara AS/Jepun turun ke paras paling rendah sejak Ogos 2022). Disebabkan keadaannya yang sensitif dengan dinamik bon perbendaharaan, mata wang ini berjaya mendapatkan semula 2.5% kerugian daripada dolar. Yang kedua, pihak akhbar benar-benar banyak membantu. Memetik sumber yang dirahsiakan, syarikat akhbar Jepun iaitu Yomiuri Shimbun melaporkan bahawa para pegawai Bank of Japan (BoJ) merancang untuk berbincang tentang implikasi pendekatan polisi kewangan yang teramat longgar dan sedang mempertimbangkan untuk mengubah program pembelian bon mereka bagi “mengurangkan kesan negatif” pada 17-18 Januari nanti. Lain-lain perubahan dalam tindak-tanduk penggubal dasar itu adalah tidak terkecuali.
Bank of Japan adalah bank negara utama terkini yang mengekalkan kadar faedahnya pada paras negatif -0.1%. Kami telah sebutkan sebelum ini bahawa perubahan polisi kewangan yang radikal dijangka hanya boleh berlaku selepas 8 April. Ketua Bank of Japan iaitu Haruhiko Kuroda akan menamatkan perkhidmatannya pada tarikh itu, dan beliau mungkin akan digantikan dengan calon baru yang berpendirian lebih tegas. Kini, hampir semua penganalisis yang ditemu bual oleh Bloomberg percaya bahawa Bank Negara Jepun tidak akan mengubah parameter penting dalam polisi mereka pada minggu hadapan dan hanya terhad untuk membincangkannya. Dalam masa yang sama, 38% responden menjangkakan perubahan sebenar boleh berlaku sama ada pada bulan April ataupun Jun.
Pastinya, unjuran yang lebih tepat boleh diberikan selepas mesyuarat Bank of Japan untuk bulan Januari diadakan nanti. Setakat ini, pendapat para penganalisis mengenai minggu hadapan adalah seperti berikut: 50% penganalisis bersetuju dengan pembetulan pasangan ini ke atas, manakala 50% lagi enggan memberikan sebarang komen. Tiada siapa yang bersetuju dengan trend berterusan ke bawah pada kali ini. Untuk indikator pada D1, gambarannya adalah sama seperti bacaan untuk GBP/USD. Dalam kalangan pengayun, 90% adalah berwarna merah, dan satu pertiga daripadanya sudah memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan jualan, baki 10% lagi adalah berwarna kelabu neutral. 100% indikator trend adalah berwarna merah. Sokongan paling hampir berada pada paras 127.00-127.45, diikuti dengan paras dan zon 126.35-126.55, 125.00, 121.65-121.85. Paras dan zon rintangan adalah 128.00-128.25, 129.60-130.00, 131.25-131.70, 132.85, 133.60, 134.40 dan kemudian 137.50.
Untuk perkara yang akan berlaku pada minggu hadapan, selain daripada mesyuarat Bank of Japan yang telah dinyatakan serta keputusan mereka terhadap kadar faedahnya, tumpuan peserta pasaran akan terletak pada sidang akhbar yang akan diadakan selepas itu dan juga kenyataan-kenyataan oleh para pegawai penggubal dasar tersebut berkenaan polisi kewangan mereka.
MATA WANG KRIPTO: Lonjakan Kecil atau Kebangkitan Kripto?
- Pasangan BTC/USD sekali lagi telah kembali berada di zon antara $18,500-20,000. Zon ini dianggap sebagai zon sokongan sejak bulan Jun lalu, dan ia berubah menjadi zon rintangan pada bulan November. Pasangan ini turut didagangkan di zon yang sama pada Disember 2017, kemudian diikuti dengan musin dingin kripto yang berlarutan selepas itu. Bitcoin berjaya kembali berada pada nilai ini hanya selepas tiga tahun, pada akhir November-Disember 2020. Kenaikan ini menjadi tanda permulaan kepada lonjakan bullish yang hebat kemudiannya: nilai coin ini naik 3.5 kali ganda dalam masa kurang daripada enam bulan, mencecah $64,750 pada April 2021. Kemudian satu lagi keruntuhan berlaku selepas itu.
Bagaimanakah pula keadaan bitcoin kali ini: adakah nilainya akan jatuh seperti tahun 2017, atau akan melonjak seperti tahun 2020? Adakah pengalaman yang dilalui sekarang ini adalah permulaan kepada kebangkitan kripto atau hanyalah lonjakan kecil? Dalam hal ini tiada sebarang persetujuan yang boleh didapati. Terdapat kemungkinan bahawa pertumbuhan kadar pasangan ini bukanlah disebabkan oleh nilai emas digital yang semakin kukuh, tapi berpunca daripada nilai dolar yang lemah untuk 16 minggu berturut-turut. Bitcoin menerima dorongan yang kuat setelah data CPI di AS dikeluarkan. Melihat kepada pertumbuhan ini, suara-suara para optimis bitcoin kedengaran lebih lantang dan yakin. Lebih-lebih lagi, pelikuidasi bursa FTX telah menemui aset cair bernilai $5 bilion yang boleh digunakan untuk membayar sebahagian daripada hutang pemiutang. Menurut sebilangan penganalisis, jika ditambah dengan penurunan kadar CPI, pasaran kripto mungkin boleh untuk tidak berasa bimbang dengan gambaran mengenai makroekonomi yang masih menunjukkan keadaan bearish.
Dante Disparte, Ketua Pembangunan Strategik di syarikat Circle percaya bahawa walaupun Zaman Ais berlaku pada tahun 2022, aset digital dan juga blockchain akan terus menjadi alat pelengkap kepada ekonomi. Bank-bank serta institusi kewangan utama dunia akan terus memperkenalkan mata wang kripto ke dalam barisan produk mereka. Berkenaan kebankrapan beberapa pemberi pinjaman kripto serta keruntuhan bursa FTX, menurut Disparte, hal-hal ini boleh memberi faedah kepada industri kerana ia meletakkan batu asas bagi pelaburan yang lebih mampu milik dan juga bertanggungjawab.
Tekanan untuk pengetatan undang-undang yang lebih besar boleh membantu memulihkan minat serta keyakinan para pelabur di dalam industri ini. Undang-undang MiCA (Markets in Crypto Assets Regulation atau Peraturan Aset Kripto dalam Pasaran) yang ditunggu-tunggu dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini. Pihak SEC juga berkemungkinan akan mengambil beberapa langkah penting dalam mengenakan undang-undang seperti ini.
Seorang lagi penganalisis yang memberi unjuran positif adalah Carol Alexander, profesor kewangan di University of Sussex. Unjuran beliau pada tahun 2022 sebelum ini adalah lebih cenderung kepada penurunan BTC kepada $10,000. Penurunan ini tidak berlaku, walaupun ramalan beliau itu hampir menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun, jangkaan pakar kewangan itu sekarang adalah nilai mata wang kripto pertama tersebut boleh mencecah kepada $50,000 pada tahun 2023. Profesor tersebut percaya bahawa perkara yang menjadi pemangkin adalah kemasukan lebih banyak “domino” hasil daripada keruntuhan bursa FTX. “Tahun 2023 akan menjadi pasaran bull yang terurus, bukan hanya satu gelembung,” jelas beliau. - Kita tidak akan melihat nilainya melonjak seperti sebelum ini. Namun kita akan dapat lihat trend harga yang stabil berselang-seli dengan julat yang terhad untuk satu atau dua bulan, dan mungkin beberapa penurunan jangka pendek.”
Bill Miller, seorang pelabur Amerika yang juga pengurus dana juga mempertahankan bitcoin. Beliau percaya adalah menjadi kesalahan untuk mengaitkan BTC dengan kebankrapan syarikat-syarikat kripto seperti FTX dan Celcius kerana orang ramai tidak seharusnya keliru dengan entiti berpusat sepertinya dengan rangkaian bitcoin yang bersifat disentralisasi. Miller sekali lagi mengesahkan keyakinan beliau dalam mata wang kripto utama itu dan berkata nilainya pasti akan naik menjelang akhir tahun ini.
Menurut Alistair Mine, Ketua Pegawai Maklumat di Altana Digital Currency Fund, “kita seharusnya dapat melihat nilai bitcoin mencecah sekurang-kurangnya $45,000 menjelang akhir tahun 2023.” Namun, penganalisis tersebut mengingatkan bahawa “jika bank-bank persekutuan memutuskan untuk mensasarkan kadar inflasi yang lebih tinggi […] bagi mengelak daripada mengalami kegawatan, aset berisiko mampu untuk mendapat perhatian sekali lagi.” Bagi unjuran jangka panjang, Milne percaya bahawa nilai BTC seharusnya mencecah $150,000-300,000 menjelang akhir tahun 2024, “dan mungkin ini adalah nilai paling tinggi yang boleh bull perolehi.”
Tim Draper, seorang kapitalis peneroka generasi ketiga dan pengasas bersama syarikat Draper Fisher Jurvetson juga berharap untuk tahun 2024. Beliau percaya bahawa penghasilan yang dirancang akan dikurangkan pada tahun ini boleh memberi kesan besar terhadap harga mata wang kripto utama itu, mungkin akan mencecah $250,000 pada akhirnya.
Seorang lagi penganalisis yang turut serta dalam kelompok bull adalah Dave the Wave, terkenal kerana meramal keruntuhan bitcoin pada tahun 2021. Beliau percaya bahawa nilai coin ini sekarang sedang cuba untuk menembusi “pepenjuru rintangan jangka panjang.” Pada pendapat beliau, “pergerakan teknikal dalam tempoh satu atau dua bulan seterusnya mungkin boleh menembusi rintangan itu.” Sebelum ini Dave the Wave ada menyatakan bahawa model Logarithmic Growth Curve (LGC) milik beliau menunjukkan bahawa nilai bitcoin boleh naik sehingga $160,000 menjelang Januari 2025.
Eric Wall, Ketua Pegawai Pelaburan di syarikat dana lindung nilai mata wang kripto Arcane Asset memberikan unjuran yang lebih bersifat sederhana: penganalisis itu percaya bahawa harga bitcoin mungkin mencecah $30,000 pada tahun hadapan. Biasanya unjuran yang diberi oleh Eric Wall adalah berdasarkan kepada BTC Rainbow Price Chart, satu alat analisis yang dihasilkan oleh BlockchainCenter. Pada kali ini beliau menyatakan bahawa $15,400 akan menjadi kadar paling rendah untuk bitcoin.
Jiang Zhuoer, CEO dan pengasas kepada beberapa projek kripto turut bersetuju dengan Eric Wall. Mengikut pengiraannya, ketiga-tiga pasaran bear yang berlaku sebelum ini mengambil jumlah masa yang sama untuk ia turun dari paras paling tinggi ke paras terendahnya. Berdasarkan pemerhatian ini, Jiang Zhuoer membuat kesimpulan bahawa kita sedang berada dalam tempoh pergerakan mendatar yang terakhir pada kedudukan paling rendah pasaran bear. Anggaran optimis yang beliau berikan mencadangkan bahawa jika situasi yang sama seperti tahun 2018 berulang, harga BTC akan bergerak secara mendatar untuk dua bulan lagi sebelum lonjakan bull yang seterusnya bermula. Dalam masa yang sama, peristiwa seperti kebankrapan syarikat-syarikat kripto tidak lagi akan memberi kesan ketara kepada harga aset-aset digital utama.
Pakar strategi konglomerat antarabangsa British iaitu Standard Chartered tidak bersetuju langsung dengan kenyataan tersebut. Mereka berpendapat, “lebih banyak lagi syarikat dan bursa-bursa kripto yang berhadapan dengan kesukaran tiada likuiditi yang mencukupi, dan mendorong kepada kebankrapan serta pelabur hilang keyakinan,” seterusnya mengakibatkan penyusutan nilai BTC kepada $5,000 pada tahun ini.
Pepatah mengatakan kebenaran boleh berada di mana-mana. Itulah pendirian “optimis-pesimis” yang benar-benar diambil oleh CEO Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz. Dalam temubual bersama CNBC baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa prospek mata wang kripto dilihat tidak begitu baik, namun juga tidak semuanya dalam keadaan yang sama. Pedagang leveraj menutup posisi mereka pada Disember 2022, menghasilkan apa yang para usahawan gelarkan sebagai “pasaran bersih.” Disamping itu, peserta pasaran telah mengurangkan perbelanjaan mereka dengan banyak dan akan terus berbuat demikian bagi mengharungi tempoh peralihan. Novogratz turut menekankan bahawa tahun 2023 akan menjadi tahun penentu bagi masa depan industri ini. Dalam masa yang sama, beliau menunjukkan kepada masalah yang timbul antara Gemini dan Genesis, keadaan yang boleh mewujudkan situasi tidak menyenangkan kepada keseluruhan pasaran aset digital.
Satu lagi sumber yang membimbangkan adalah situasi yang dihadapi oleh Binance. Mengikut laporan Forbes baru-baru ini, bursa itu mengalami kerugian sebanyak $12 bilion dalam bentuk aset disebabkan oleh pengguna terus mengeluarkan wang dari bursa berkenaan. Walaupun CEO Binance iaitu Changpeng Zhao sendiri menyatakan bahawa situasinya telah pulih, aliran keluar modal semakin meningkat buat masa ini.
Tahun 2023 baru saja tiba. Masih ada sebelas bulan setengah lagi yang akan dilalui, tempoh yang akan menunjukkan unjuran manakah paling hampir menjadi kenyataan. Dalam pada itu, semasa ulasan ini dibuat (Sabtu, 13 Januari), pasangan BTC/USD telah menembusi paras $20,000 dan didagangkan di zon $20,500. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $0.968 trilion ($0.790 trilion ketika nilai terendahnya pada 30 Disember). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 25 mata kepada 46 mata dalam masa seminggu, namun masih berada di zon Fear, walaupun kedudukannya sudah menghampiri zon Neutral.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali