Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 26 Februari - 01 Mac, 2024

EUR/USD: Retorik ECB Berkenaan Dolar

● Data inflasi pengguna (CPI) di AS yang dikeluarkan pada 13 Februari ternyata melebihi jangkaan. Kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) juga menunjukkan pertumbuhan inflasi dalam sektor industri di negara berkenaan. Namun, walaupun dengan pertumbuhan itu, mata wang Amerika telah gagal untuk mendapatkan sokongan tambahan. Indeks Dolar (DXY) mula menjadi susut pada 14 Februari, manakala kadar EUR/USD naik lebih tinggi dengan stabil.

● Minit mesyuarat terbaru FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang dikeluarkan pada hari Rabu, 21 Februari menjadi peringatan bahawa penggubal dasar Amerika itu mungkin tidak akan tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah mereka. Walau bagaimanapun, jangkaan pasaran masih mendominasi bahawa pihak Rizab Persekutuan akan mula melonggarkan polisi kewangan mereka lebih awal berbanding ECB. Faktor ini benar-benar berjaya menyekat dolar daripada menerima tekanan, terutama sekali kerana jangkaan seperti itu sering dicanang oleh pegawai tertinggi Eropah menerusi kenyataan mereka. Ahli Lembaga Eksekutif ECB iaitu Isabel Schnabel menyatakan bahawa polisi kewangan perlu terus diperketatkan sehinggalah penggubal dasar tersebut benar-benar yakin bahawa kadar inflasi sudah kembali ke paras sasaran jangka sederhana iaitu 2.0%.

Pendirian sama telah diberikan oleh Presiden Bundesbank iaitu Joachim Nagel, rakan sejawat Schnabel di ECB. Pada hari Jumaat, 23 Februari, beliau menyatakan bahawa “masih terlalu awal untuk menurunkan kadar faedah, walaupun pengambilan langkah ini dilihat nampak menarik oleh sesetengah pihak”. Menurut Nagel, unjuran harga masih nampak samar-samar lagi, manakala data penting berkenaan tekanan harga pula hanya akan diterima pada Q2, tempoh yang mungkin sesuai untuk mempertimbangkan penurunan kadar faedah.

Ketua Bundesbank itu percaya bahawa tempoh penurunan kadar inflasi yang mendadak telah pun berakhir, penurunan kecil boleh berlaku tidak lama lagi, dan pada beberapa bulan akan datang, kadar inflasi akan terus kekal berada lebih tinggi daripada paras sasaran 2.0%. (Mengikut unjuran terkini MUFG Bank, kadar CPI di Eurozone dijangka berada pada paras 2.7% untuk tahun 2024).

● Kadar EUR/USD naik kepada 1.0887 pada hari Khamis, 22 Februari dan kemudian turun ke paras 1.0802 disebabkan oleh data aktiviti perniagaan (PMI) yang tidak sekata di banyak negara di Eurozone. Anggaran awal menunjukkan bahawa kadar PMI pembuatan di Perancis melonjak daripada 43.1 kepada 46.8 mata, lebih tinggi berbanding 43.5 yang diunjurkan. Disebabkan kedudukannya yang lebih tinggi daripada jangkaan, indikator ini telah mencetuskan selera risiko para pelabur, bukan saja terhadap indeks saham tetapi juga pembelian mata wang Eropah biasa dan bukannya dolar.

Walau bagaimanapun, kegembiraan yang dirasai bull euro tidak lama, terhenti disebabkan penyiaran kadar PMI di Jerman. Indeks pembuatan kuasa besar ekonomi Eropah ini susut daripada 45.5 kepada 42.3, berbanding 46.1 yang dijangka. Kadar PMI di Eurozone turun daripada 46.6 kepada 46.1, dan bukan naik kepada 47.0 seperti yang diunjur. Penting untuk ketahui bahawa kesemua indikator ini berada lebih rendah daripada kadar pentingnya iaitu 50.0, kedudukan yang menunjukkan kelembapan ekonomi. Hanya sektor perkhidmatan yang berjaya mencapai kadar ambang 50.0 yang penting ini. Secara keseluruhan, kadar PMI komposit naik kepada 48.9 mata, kedudukan tertinggi sejak Jun 2023, namun masih kekal berada di zon negatif tujuh bulan berturut-turut.

Berkenaan dengan keadaan di seberang Lautan Atlantik, indikator-indikator yang sama ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi di AS. Data awal menunjukkan indikator aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan adalah 51.3 mata, manakala dalam sektor pembuatan pula adalah 51.5. Pada hari Khamis, maklumat bagi tuntutan awal manfaat pengangguran di Amerika Syarikat yang biasa turut diketahui, jumlahnya turun daripada 213K kepada 201K sepanjang minggu lalu (diunjur 217K), keadaan yang menunjukkan pasaran buruh menjadi lebih kukuh.

● Gandingan EUR/USD ditutup pada paras 1.0820 minggu lalu. Menurut sebilangan penganalisis, data makroekonomi terkini mencadangkan bahawa nilai dolar yang menjadi lebih lemah sekarang ini adalah satu fenomena sementara, dan kadar DXY dijangka akan kembali mengikuti trajektori ke atas. Hanya kejadian luar biasa yang melibatkan ekonomi atau politik saja boleh menghalang perkara ini. Semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 23 Februari, 50% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh serta penurunan gandingan ini. 30% memihak kepada euro, manakala 20% lagi berpendirian neutral. Dalam kalangan pengayun pada D1, hanya 10% menunjukkan warna merah, 15% berwarna melabur neutral, dan 75% lagi berwarna hijau, dengan 20% daripadanya berada di zon lebihan belian. Nisbah yang ditunjukkan pada indikator trend pula adalah berbeza: 35% berwarna merah, dan 65% pula berwarna hijau. Sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon 1.0800, diikuti dengan 1.0725-1.0740, 1.0695, 1.0620, 1.0495-1.0515, 1.0450. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0840-1.0865, 1.0925, 1.0985-1.1015, 1.1050, 1.1110-1.1140, 1.1230-1.1275.

● Perkara penting yang menjadi tumpuan untuk minggu hadapan termasuklah data terkini berkenaan pesanan barangan tahan lama di AS yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 27 Februari. Data awal untuk kadar KDNK di Amerika bagi Q4 2023 akan diketahui pada keesokan harinya. Data jualan runcit serta indeks harga pengguna (CPI) di Jerman akan dikeluarkan pada hari Khamis, bersama-sama dengan kadar Indeks Penggunaan Perbelanjaan Peribadi serta statistik pasaran buruh di AS. Kadar turun naik yang ketara dijangka akan berlaku menjelang akhir minggu bekerja. Pada hari pertama musim bunga, kadar inflasi (CPI) tahunan di Eurozone serta kadar akhir Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) di Amerika Syarikat akan diketahui.

 

GBP/USD: Ekonomi UK Mendapat Momentum

● Bersama-sama dengan data aktiviti perniagaan di AS dan juga Eurozone, indikator awal di United Kingdom turut dikeluarkan pada hari Khamis, 22 Februari. Walaupun lebih rendah sedikit berbanding 47.5 yang diunjurkan, kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di UK menunjukkan pertumbuhan sederhana daripada 47.0 kepada 47.1 mata. Indikator dalam sektor perkhidmatan kekal stabil pada kadar 54.3. Walau bagaimanapun, kadar PMI komposit mencecah 53.3, lebih tinggi berbanding kadar sebelum ini dan yang diunjurkan iaitu 52.9. Nilai dalam zon hijau yang melebihi 50.0 mata menunjukkan dengan jelas ekonomi British menjadi lebih baik. Kemelesetan teknikal yang dialami pada setengah tahun 2023 dilihat seperti sudah berakhir atau setidak-tidaknya hampir berakhir.

Dalam ulasan sebelum ini, kami memetik unjuran pakar ekonomi dari Scotiabank yang menyatakan bahawa setelah bermula dari zon sokongan jangka panjang yang kukuh iaitu 1.2500, gandingan GBP/USD akan mula naik menuju paras 1.2700. Jangkaan ini benar-benar berlaku pada 22 Februari lalu, gandingan ini mencapai paras tertinggi mingguan iaitu 1.2709 setelah data PMI British dikeluarkan, kembali berada di tengah-tengah saluran mendatar untuk jangka sederhana di antara 1.2600-1.2800.

● Data ekonomi UK yang memberi kelebihan serta selera risiko global yang sudah pulih seharusnya dapat memberi kesan positif kepada pound. Dalam situasi seperti itu, pakar strategi Bank MUFG Jepun menyatakan, “jika pihak Rizab Persekutuan dan ECB melengahkan masa untuk menurunkan kadar faedah mereka buat kali pertama, maka Bank of England (BoE) juga akan berbuat yang sama”. Jika diingat semasa berakhirnya mesyuarat pada 1 Februari lalu, BoE mengumumkan mereka akan mengekalkan kadar bank pada nilai semasa iaitu 5.25%. Kenyataan yang dikeluarkan menyebut bahawa “sebelum kadar diturunkan, lebih banyak bukti diperlukan tentang kadar Indeks Harga Pengguna akan turun kepada 2.0% dan kekal pada paras tersebut”. Peserta pasaran menjangkakan pemotongan kadar akan dilakukan pada bulan Ogos. Jangkaan ini sudah pun diambil kira pasaran dan menghalang gandingan GBP/USD daripada jatuh.

MUFG percaya, “walaupun korelasi pound dengan saham global telah mula menjadi lemah, ia lebih kukuh berbanding korelasi dolar dengan kadar risiko. Jika selera risiko ini terus wujud, nilai pound boleh menjadi lebih kukuh sedikit”. Namun, penganalisis bank tersebut memberi amaran bahawa masih terdapat sedikit kebimbangan yang menyelubungi ekonomi British, dan ia boleh menghalang pertumbuhan nilai GBP.

GBP/USD ditutup pada paras 1.2670 minggu lalu. Bagi unjuran median para penganalisis untuk minggu hadapan, 65% bersetuju dengan penurunan gandingan ini, manakala 35% lagi menyokong pertumbuhannya. Dalam kalangan pengayun pada D1, hanya 10% yang menunjukkan penurunan, 15% menunjukkan pergerakan mendatar, dan baki 75% lagi menunjukkan pertumbuhan, namun 10% daripadanya memiliki lebihan belian. Indikator trend menunjukkan keadaan berat sebelah yang ketara buat mata wang British: 90% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 10% lagi penurunan. Jika gandingan ini bergerak ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2635-1.2650, 1.2570, 1.2500-1.2535, 1.2450, 1.2370, 1.2330. Jika mengalami pertumbuhan, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2695-1.2710, 1.2755-1.2775, 1.2825, 1.2880, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140-1.3150.

● Tiada sebarang data makroekonomi penting berkaitan ekonomi di UK yang dijangkan akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

 

USD/JPY: Naik Ke Bulan dan Jauh Lagi, Seterusnya Ke Marikh

● Hasil perolehan bon 10 tahun Perbendaharaan AS buat masa ini berada di sekitar 4.30%, terus memberikan sokongan kepada dolar terhadap yen, dengan kadar faedah negatif dan juga kadar hasil perolehan yang rendah. Kadar USD/JPY sekali lagi naik di atas paras 150.00 pada minggu lalu dan membuat percubaan untuk naik ke paras 151.00. Sekali lagi, ia gagal: paras maksimum serantau yang direkodkan adalah 150.76, dan jualan mingguan ditutup pada paras 150.52.

● Bull USD/JPY bertindak lebih berhati-hati kerana di zon antara 150.00-152.00 inilah Kementerian Kewangan Jepun memulakan campur tangan mata wang pada bulan Oktober 2022 dan November 2023. Walau bagaimanapun, setiap pedagang sedar bahawa keputusan lalu tidak menjamin prestasi pada masa hadapan. Maka, masih belum diketahui sama ada pihak Kementerian Kewangan serta Bank of Japan (BoJ) akan mengambil langkah yang sama atau tidak pada kali ini.

Perlu diketahui bahawa kadar KDNK di Jepun susut untuk dua suku tahun sebelum ini. Mata wang negara yang lemah memberi sokongan kepada para pengeksport dengan menghasilkan produk Jepun lebih menarik dan berdaya saing di pasaran antarabangsa, justeru merangsang ekonomi negara. Perkara ini menjelaskan tentang keenganan penggubal dasar kewangan Jepun untuk mengetatkan polisi kewangan mereka. Menurut Kazuo Ueda, ketua BoJ, persoalan sama ada polisi kewangan harus dikekalkan atau diperketatkan termasuklah kadar faedah negatif hanya akan dipertimbangkan “apabila ada peluang untuk mencapai harga sasaran yang stabil dan mampan."

● Seperti yang telah dinyatakan, kebarangkalian untuk gandingan USD/JPY mengubah pergerakan dan turun ke bawah di zon antara 151.00-152.00 adalah tinggi, namun kadarnya kurang daripada 100%. Buat masa ini, kadar bagi gandingan ini adalah kira-kira 14% lebih tinggi berbanding setahun lalu. Seperti yang penganalisis maklum, pihak berkuasa kewangan Jepun mula berasa resah apabila kadar ini menghampiri 20% untuk tahun ke tahun. Buat masa sekarang, mereka boleh berasa santai dan selesa, terutama sekali sejak ekonomi negara itu sudah mula sesuai dengan kadar tukaran seperti itu sejak dua tahun lalu. Justeru, kita tidak menolak sepenuhnya tentang kemungkinan untuk melihat gandingan ini mencapai ketinggian 160.00 seperti yang berlaku pada 34 tahun lalu pada April 1990, dan bukannya turun ke paras 140.00 seperti yang diunjurkan Danske Bank.

● Berkenaan minggu hadapan, penganalisis di United Overseas Bank Singapura percaya bahawa dalam masa satu hingga tiga minggu, gandingan USD/JPY mungkin akan didagangkan dalam julat antara 148.70-150.90. Namun, UOB tidak menolak tentang penembusan di atas paras 150.90 boleh mencetuskan lonjakan ke paras 152.00. Semasa ulasan ini dibuat, 40% penganalisis memihak kepada dolar, manakala majoriti (60%) bersetuju dengan nilai yen menjadi lebih kukuh. Indikator trend dan pengayun pada D1 kesemuanya menunjukkan pertumbuhan, namun 10% daripada pengayun sudah berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di zon antara 149.70-150.00, diikuti dengan 148.25-148.40, 147.65, 146.65-146.85, 144.90-145.30, 143.40-143.75, 142.20, 140.25-140.60. Zon dan paras rintangan adalah 150.90, 151.70-152.05, dan 153.15.

● Tiada sebarang perkara penting berkaitan ekonomi Jepun yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

 

MATA WANG KRIPTO: Lima Sebab Berakhirnya Musim Dingin Kripto

● Sepanjang minggu lalu, keadaan agak tenang dalam persaingan antara bear dan bull bitcoin. Memilih kedudukan $51,500 sebagai Pivot Point, gandingan BTC/USD bergerak secara mendatar dalam koridor sempit antara $50,500-$52,500. Percubaan bull untuk menembusi paras rintangan pada 20 Februari berakhir dengan kegagalan, dan gandingan ini kembali berada dalam sempadan yang didudukinya sebelum ini. Walau bagaimanapun, seperti yang berlaku sebelum ini, keadaan tenang biasanya tidak berpanjangan. Ketenangan yang dialami bertukar kepada ribut taufan, angin kencang dan kucar-kacir yang tidak dapat dielakkan, benar sekali terutamanya dalam pasaran kripto yang sangat meruap. Maka, apa yang boleh kita jangkakan jika keadaan berubah?

● Menurut Lucas Outumuro, ketua penganalisis di IntoTheBlock, terdapat 85% kebarangkalian nilai bitcoin akan mencecah paras tertinggi yang baru dalam tempoh enam bulan akan datang, pertumbuhan yang berpotensi untuk melepasi paras $70,000. Penganalisis itu telah mengenal pasti lima faktor yang mampu mendorong pertumbuhan ini.

1. Pengurangan penghasilan pada bulan April: Ini akan menjadi pelaksanaan kali keempat, mengurangkan blok ganjaran daripada 6.25 BTC kepada 3.125 BTC, mengakibatkan penurunan tekanan jualan. Outumuro tidak menolak tentang kemungkinan nilai bitcoin mencecah paras tertinggi sepanjang zaman (ATH) sebulan selepas ia dilaksanakan.

2. Aliran masuk modal berterusan ke dalam ETF spot Bitcoin: Sementara belum pasti lagi bilakah aliran masuk modal yang besar akan berakhir, aliran masuk yang stabil sepanjang tempoh ini dijangka dapat merangsang nilai bitcoin dengan menambah permintaannya.

3. Polisi kadar faedah Rizab Persekutuan: Pendirian tegas Rizab Persekutuan terhadap kadar faedah mereka pada tahun 2022 meletakkan asas bagi trend bearish dalam aset berisiko, termasuklah pasaran kripto. Dengan kadar inflasi menurun daripada 10% kepada 3% menjelang tahun 2024, ramai menjangkakan untuk berlakunya peralihan polisi oleh Rizab Persekutuan serta permulaan kepada kitaran penurunan kadar faedah. “Jangkaan ini mungkin adalah pendorong utama kepada lonjakan nilai bitcoin dan saham yang berlaku baru-baru ini… Kali ini, pergerakan nilai bitcoin dilihat lebih berkait rapat dengan aset tradisional, menyebabkan ia berkorelasi dengan Nasdaq dan S&P 500 yang mencapai kadar tertinggi dalam tempoh dua bulan,” jelas Outumuro.

4. Pilihan Raya Presiden AS: Walaupun Presiden Joe Biden sekarang ini secara umumnya menentang aset digital, kempen pilihan raya memberi kesan positif kepada pasaran kripto. “Buat masa ini peramal pasaran iaitu Polymarket hanya memberikan Biden peluang sebanyak 33% untuk dilantik semula dalam pilihan raya, menjadikan Donald Trump, calon yang lebih mesra dengan kripto sebagai pilihan utama untuk menang,” lapor IntoTheBlock. Rizab Persekutuan mungkin akan mula melonggarkan polisi kewangannya dengan lebih agresif bagi menaikkan peluang Presiden AS sedia ada untuk dilantik semula, dan memberikan kelebihan kepada pasaran saham dan mata wang kripto.

5. Dana Lindung Nilai: Outumuro menekankan bahawa setelah nilai bitcoin pulih apabila berlakunya pandemik COVID-19 pada tahun 2020, gergasi kewangan tradisional adalah golongan pertama yang mengiktiraf potensi mata wang kripto. Dengan pelancaran ETF spot Bitcoin, dana lindung nilai berpeluang untuk mengumpul kelas aset yang baru, menyebabkan penggunaan dan penerimaan aset digital semakin meningkat.

Walau bagaimanapun, IntoTheBlock menyedari bahawa senario-senario ini boleh berubah disebabkan oleh beberapa faktor. Sebagai contoh, jika Rizab Persekutuan tidak melonggarkan polisi mereka, nilai bitcoin boleh mengalami pembetulan sebanyak 10%. Konflik geopolitik juga memberi kesan negatif kepada nilai emas digital itu. Tekanan jualan secara tiba-tiba jika pelabur besar jatuh muflis juga tidak ditolak.

Seperti yang telah dinyatakan (dalam poin 3), korelasi antara bitcoin dan indeks S&P 500 semakin bertambah, menunjukkan kadar BTC mampu bertumbuh bersama-sama dengan pasaran saham AS. Berikutan kejayaan indeks S&P 500 melepasi 5,000 mata, bank pelaburan Goldman Sachs menilai semula unjuran tahun ke tahun bagi indeks berkenaan kepada 5,200, sesuatu yang berpotensi untuk memberi sokongan tambahan kepada bitcoin.

● Setiap pedagang sedar bahawa menentukan masa jualan paling optimum bagi sesuatu aset sama pentingnya dengan keputusan untuk membuat belian. Dennis Liu, juga dikenali sebagai Virtual Bacon berkongsikan metodologi pelaburan bitcoin beliau beberapa hari lalu, mengenal pasti tiga elemen yang direka bagi menunjukkan pasaran mungkin sudah mencapai tahap kemuncaknya.

1. Titik Pencapaian Nilai Tertentu: Tanda pertama yang perlu dilihat adalah jika ia mencapai titik nilai tertentu: $200,000 bagi bitcoin dan $15,000 bagi Ethereum. Andaian Liu itu adalah berdasarkan kepada kitaran lampau serta jumlah pulangan yang semakin berkurang. Ini adalah sesuatu yang jelas, indikator yang boleh diukur supaya dapat menyingkirkan tugas-tugas membuat tekaan dalam memutuskan di manakah titik keluar.

2. Strategi Keluar Berasaskan Masa: Penanda aras kedua yang disebutkan oleh Liu adalah terikat dengan masa. Tanpa mengira dinamik harga aset tersebut, pedagang itu merancang untuk menutup posisi beliau menjelang hujung tahun 2025. Keputusan ini adalah berasaskan kepada kepentingan corak lampau serta berdasarkan pada analisis kitaran pengurangan penghasilan dan juga tempoh berlakunya pasaran bull.

3. Pemantauan Corak Harga: Elemen terakhir dalam metodologi Liu melibatkan pemantauan teliti corak harga, khususnya pergerakan BTC yang berkaitan dengan purata pergerakan eksponen (EMA) bagi tempoh 200 hari dan 21 minggu. Penurunan di bawah paras sokongan ini memberikan isyarat bahawa terdapat keperluan untuk menjual bitcoin.

● Jelas bahawa nilai $200,000 untuk bitcoin adalah satu unjuran, dan tambahan pula, unjuran untuk jangka masa panjang. Untuk masa terdekat ini, seperti yang kami maklum, kebanyakan indikator dalam rantaian oleh Glassnode sudah pun memasuki fasa yang kami gelarkan sebagai “zon berisiko”. Indikator-indikator ini telah merekodkan jumlah pulangan terealisasi yang agak rendah walaupun nilainya bertumbuh dengan aktif dalam tempoh empat minggu lalu. Menurut pemerhatian penganalisis Glassnode, indikator berisiko tinggi biasanya dapat dilihat pada permulaan pasaran bull. Ini kerana setelah mencapai jumlah pulangan dengan “kadar tertentu”, golongan hodler mungkin akan mula mengambil pulangan, dan ia berpotensi mengakibatkan pembetulan mendadak ke bawah.

Penganalisis Gareth Soloway menjangkakan bahawa nilai bitcoin boleh berpotensi untuk turun ke paras $30,000, terutama sekali jika pasaran saham mengalami pembetulan. Penganalisis itu merujuk kepada paras sokongan baru yang berpotensi buat bitcoin sebagai “garis di dalam pasir”. Garis dalam pasir utama saya adalah di antara $30,000 dan $32,000. […]. Jika berada di kedudukan tersebut, saya akan mula membeli BTC dalam jumlah yang agak besar,” jelas beliau.

Pelabur dan pengasas MN Trading iaitu Michael Van De Poppe turut menasihatkan para pelabur supaya menunggu untuk berlakunya pembetulan antara 20-40% sebelum memasuki pasaran. Penganalisis itu percaya bahawa penurunan nilai bitcoin boleh berlaku jika berjaya menduduki zon antara $53,000-$58,000. Van De Poppe menambah, “Walau bagaimanapun, jika anda membeli bitcoin dengan niat untuk menyimpannya dua atau tiga tahun lagi, dan jika anda percaya nilainya akan naik kepada $150,000 sepanjang tempoh itu, maka tiada apa yang boleh menghalang anda daripada membuat pembelian pada nilai [semasa] ini."

● Sementara mata wang kripto utama mengikuti trend mendatar sepanjang minggu lalu (turun naik sebanyak 4% sudah pastinya dianggap sebagai mendatar), pesaing utamanya iaitu Ethereum telah menunjukkan keadaan yang lebih aktif. Setelah nilainya pulih berbanding tahun lalu, altcoin itu telah menunjukkan dinamik memberangsangkan sejak hujung bulan Januari, mengalami pertumbuhan melebihi 35% serta berjaya menduduki paras penting $3,000. Keadaan ini berkait dengan kebangkitan semula sektor DeFi dan juga jangkaan mengenai ETF berasaskan ETH akan dilancarkan pada bulan Mei tahun ini. Walaupun ulasan sebelum ini telah memetik beberapa kenyataan oleh penganalisis terkemuka yang ragu-ragu dengan perkara tersebut, masih ada ramai lagi yang berasa optimis. Sebagai contoh, penganalisis di Bernstein percaya bahawa terdapat 50% kebarangkalian untuk pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) AS meluluskan ETF-ETH pada bulan Mei, dan hampir 100% pasti ia akan diluluskan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Ethereum, memiliki kadar hasil yang dinamik, direka untuk mesra alam sekitar, dan berkemampuan menghasilkan pasaran kewangan yang baru, mempunyai prospek terbaik untuk diterima oleh pelabur-pelabur berinstitusi secara besar-besaran. Ia mungkin satu-satunya aset alternatif kepada bitcoin yang boleh menerima kelulusan ETF tidak berbelah bagi oleh pihak SEC,” pertikai penganalisis Bernstein. Mereka percaya bahawa para pegawainya mungkin akan terpengaruh dengan hakikat bahawa peserta dalam pasaran saham tradisional bukan saja mahukan ETF spot ETH diluluskan seperti ETF bitcoin malah juga menyatakan keinginan untuk “menghasilkan pasaran kewangan berasaskan token yang lebih telus dan terbuka, di mana utiliti bukan saja hanya dijadikan sebagai pengumpulan aset semata-mata”. Mengikut anggaran bank Standard Chartered, dalam menjangkakan ETF-ETH mendapat kelulusan, nilai coin ini boleh naik kepada $4,000 tidak lama lagi.

● Pada malam 23 Februari semasa ulasan ini dibuat, gandingan BTC/USD didagangkan di zon $51,000, manakala ETH/USD pula pada paras $2,935. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto kekal tidak berubah sepanjang minggu lalu, berada pada jumlah $1.95 trilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto telah naik ke sempadan bawah zon Extreme Greed dengan menduduki 76 mata (naik daripada 72 mata minggu lalu).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.