November 5, 2022

EUR/USD: Lebih Perlahan, Lebih Lama, Lebih Tinggi

  • Secara keseluruhan, minggu lalu berjalan seperti yang dijangka tanpa sebarang situasi yang mengejutkan. Perkara penting yang berlangsung adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang diadakan pada hari Rabu, 2 November, di mana mereka sebulat suara memutuskan untuk menaikkan kadar faedah utamanya sebanyak 75 mata asas (bp) kepada 4.00%. Kadar ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2008. Keputusan yang diambil itu seperti sudah dijangka. Justeru, sidang akhbar yang diadakan oleh penggubal dasar tersebut selepas itu menjadi tumpuan para peserta pasaran. Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell menyatakan dalam mesyuarat itu bahawa walaupun kadar inflasi perlu dikurangkan secara “drastik”, parameter polisi kewangan boleh diubah jika terdapat keperluan. Bayangan yang diberikan adalah kenaikan kadar faedah mungkin akan menjadi lebih perlahan bermula pada Disember ini, namun paras kadar terakhirnya mungkin menjadi lebih tinggi berbanding kadar yang diunjur sebelum ini.

    Penerimaan pasaran terhadap kenyataan ketua Rizab Persekutuan ini agak berbeza-beza. Sesetengah daripada mereka merasakan pihak Bank Persekutuan AS mahu mengekalkan peluang untuk mengetatkan lagi polisi kewangan mereka. Ada yang percaya bahawa buat kali kelima berturut-turut, mereka akan menaikkan kadarnya sebanyak 75 bp pada bulan Disember. Sebahagian pula berfikiran sebaliknya, mereka berpendapat kenyataan Powell itu sebagai satu isyarat bahawa kadar faedah hanya akan dinaikkan sebanyak 50 bp, bukan lagi 75 bp. Ini bermakna, vektor untuk proses membendung kadar inflasi akan berubah daripada “cepat-cepat menaikkan kadar faedah” kepada “kenaikan lebih perlahan untuk tempoh lebih lama.” Namun begitu, dalam perkara ini, kaedah pelaksanaan kedua-duanya mungkin berbeza, tapi matlamat yang ingin dicapai adalah sama.

    Lebih-lebih lagi, pasaran mengambil kira bahawa kata kuncinya di sini bukan saja “lebih perlahan” dan “lebih lama”, malah juga “lebih tinggi”. Pada akhir Oktober lalu, pasaran niaga hadapan menjangkakan kadar tertingginya boleh mencecah sehingga 4.85% pada Mac 2023 nanti. Unjuran masa bagi paras tertingginya kini telah berubah kepada bulan Jun, mencecah kadar 5.1%. Ramalan kadar median untuk akhir tahun ini naik daripada 4.46% kepada 4.8%.

    Kebanyakan penganalisis percaya bahawa kelewatan pihak Rizab Persekutuan untuk mengetatkan polisi (QT) mereka akan membolehkan mata wang-mata wang lain bersaing dengan dolar dengan lebih efektif. Sekarang, bank-bank pusat di lain-lain negara cuba mengejar, namun kesuntukan masa untuk menaikkan kadar faedah mereka sepantas AS. Jika pun gagal untuk mendahului, setidak-tidaknya bank-bank pusat lain boleh merapatkan jurang atau mengejar rakan sejawat mereka di Amerika itu jika pihak Rizab Persekutuan memperlahankan kenaikan kadarnya.

    Hasil mesyuarat FOMC, kadar Indeks Dolar DXY bertambah, mencecah 113.00. Nilai mata wang AS bertambah kukuh berbanding kesemua mata wang G10 lain, kecuali yen Jepun. Ia kemudian diikuti dengan perubahan arah pergerakan, dan sebelum data pengangguran di AS diketahui pada hari Jumaat, 4 November, kadar itu turun kepada 112.35, manakala kedudukan EUR/USD mengalami penyatuan di sekitar 0.9800.

    Data pasaran buruh menunjukkan pekerjaan bukan dalam bidang pertanian (NFP) di AS untuk bulan Oktober adalah berjumlah 261K, lebih tinggi berbanding 200K yang diunjur tetapi lebih rendah berbanding jumlahnya pada bulan September iaitu 361K. Kadar pengangguran di negara itu naik daripada 3.5% kepada 3.7% dalam masa sebulan, manakala kadar yang diunjur adalah 3.6%. Pasaran menerima perkara ini sebagai satu isyarat negatif buat dolar, kadar DXY susut ke paras 110.80, manakala kedudukan pasangan EUR/USD naik dan mengakhiri minggu pada paras 0.9958.

    Majoriti penganalisis, 90% daripadanya bersetuju dengan hakikat bahawa pasangan ini akan terus turun dalam masa terdekat, hanya 10% yang menjangkakan pembetulan ke atas. Dalam kalangan pengayun pada D1, 40% berwarna hijau, jumlah yang sama berwarna merah, dan 20% lagi adalah neutral. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan berpihak kepada warna hijau. 65% menyarankan untuk membeli manakala 35% pula menasihatkan untuk jual.

    Sokongan terdekat untuk EUR/USD berada di antara 0.9865-0.9885, diikuti dengan 0.9825, 0.9765, 0.9700, 0.9645, 0.9580 dan akhir sekali paras terendah 28 September lalu iaitu 0.9535. Sasaran bear selepas itu adalah 0.9500. Untuk bull, perkara paling penting adalah untuk mengatasi halangan pada paras 1.0000. Kemudian ia akan berdepan rintangan pada paras 1.0100, 1.0250, 1.030 dan 1.0370.

    Untuk peristiwa penting pada minggu hadapan, pertama sekali kita perlu berikan tumpuan kepada data jualan runcit di Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 8 November. Data pasaran pengguna (CPI) serta pasaran buruh di AS pula akan diketahui pada hari Khamis, 10 November. Manakala pada hari Jumaat, 11 November, kita akan ketahui kadar CPI di Jerman serta Indeks Keyakinan Pengguna University of Michigan di AS.

GBP/USD: BoE Gagal Membantu Pound

  • Jika kelewatan proses QT di AS dapat membantu sesetengah mata wang, nampaknya pound bukanlah salah satu daripadanya. Bank of England (BoE) dan juga Rizab Persekutuan AS telah menaikkan kadar faedah utama mereka sebanyak 0.75% pada mesyuarat yang diadakan pada hari Khamis, 3 November, daripada 2.25% menjadi 3.00%. Kenaikan ini adalah kenaikan tunggal tertinggi sejak lewat 80-an. Walau bagaimanapun, ia gagal membantu mata wang British, dan nilainya terus jatuh, meletakkannya di sekitar 1.1144 sebagai paras terendah mingguannya.

    Kelihatannya Perdana Menteri baru telah dilantik, pemotongan cukai tidak diteruskan, dan kadar telah dinaikkan. Apa lagi yang pelabur mahukan? Pertama sekali, mereka perlu berasa yakin bahawa kenaikan ini seharusnya konsisten. Namun mereka tidak merasai kepastian seperti itu.

    Seperti Jerome Powell, ketua BoE iaitu Andrew Bailey memberikan bayangan bahawa proses kenaikan kadar ini mungkin diperlahankan sedikit pada masa hadapan. Maka, dolar akan kekal mendahului untuk parameter ini. Menurut En. Bailey, krisis yang berlaku pada tahun 70-an mungkin tidak akan berulang, namun ancaman untuk berhadapan dengan kegawatan yang berpanjangan telah memaksa pihak penggubal dasar lebih berhati-hati dalam mengambil keputusan. Amat penting untuk tidak menyekat ekonomi dengan terburu-buru dalam mengekang kadar inflasi dan juga meruntuhkan pasaran buruh. Mengikut ramalan ahli-ahli ekonomi Bank tersebut, kadar KDNK negara itu akan susut kira-kira 0.75% untuk enam bulan terakhir tahun ini. Dalam masa yang sama, penyusutan ini akan terus berlaku sehingga pertengahan tahun 2024.

    Para pelabur juga berasa kecewa dengan bacaan kadar Indeks Harga Runcit yang dikeluarkan oleh Konsortium Peruncitan British (British Retail Consortium atau BRC) pada minggu lalu. Purata harga di kedai-kedai untuk bulan Oktober diunjur pada kadar 5.5%, secara realiti kadar itu naik sebanyak 6.6%. Kebanyakan harga produk makanan naik sebanyak 11.6%, dan kadar “kumpulan makanan” pula naik sebanyak 9.4%. Menurut BRC, punca kepada lonjakan kadar inflasi yang seterusnya masih lagi sama seperti sebelum ini: krisis bekalan tenaga yang diakibatkan oleh sekatan terhadap anti Rusia serta kekurangan tenaga buruh berkemahiran, keadaan bergelut itu telah memaksa para majikan menaikkan kadar gaji secara berterusan.

    Dalam persekitaran yang sukar seperti itu, berkemungkinan besar Bank of England tidak akan meneruskan rancangannya dan akan berbolak-balik antara pengetatan (QT) dan pelonggaran (QE) polisi kewangan mereka, cuba untuk mengimbangkannya. Namun, tiada jaminan dapat diberikan mereka akan berbuat demikian, dan tindakan seperti itu akan menyebabkan pertambahan kadar kemeruapan sebut harga mata wang British.

    Berlatarbelakangkan data dari pasaran buruh di AS yang lemah, pasangan GBP/USD mengalami proses pembetulan ke atas pada penghujung minggu lalu dan mengakhiri minggu dagangan pada paras 1.1373. Walau bagaimanapun, pakar strategi di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda percaya bahawa ia mungkin akan menguji semula paras 1.1000 tidak lama lagi. Dalam masa yang sama, apabila beralih kepada unjuran jangka masa panjang, harapan boleh diletakkan untuk perkara-perkara positif. Sebagai contoh, pakar ekonomi bank Westpac di Australia menjangkakan pound akan didagangkan pada kadar 1.2000 menjelang akhir tahun 2023, dan kadar itu akan mencecah 1.2700 menjelang hujung tahun 2024.

    Bagi unjuran median para penganalisis untuk masa terdekat ini, kelebihan yang dimiliki bear berbanding bull adalah tidak begitu ketara: 55% berbanding 45%. Dalam kalangan pengayun pada D1, 25% memihak kepada pertumbuhan, 40% pula menyebelahi penurunan, dan 35% lagi lebih selesa berada di zon kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 65% berwarna merah, 35% berwarna hijau. Paras dan zon sokongan bagi mata wang British adalah 1.1350, 1.1230, 1.1150, 1.1100, 1.1060, 1.0985-1.1000, 1.0750, 1.0500 dan juga paras terendah pada 26 September lalu iaitu 1.0350. Jika pasangan ini bergerak ke atas, bull akan berdepan rintangan pada paras 1.1435, 1.1475-1.1500, 1.1560, 1.1600-1.1625 1.1645, 1.1720, 1.1830, 1.1900, 1.1960, 1.2135 and 1.2200.

    Untuk peristiwa penting yang akan berlaku minggu hadapan, perhatian boleh diberi terhadap data kadar KDNK di United Kingdom yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 11 November. Unjurannya dilihat agak mengecewakan dan menunjukkan penurunan sebanyak -0.1% untuk Q3 2022 (+0.2% pada Q2).

USD/JPY: Campur Tangan oleh BoJ: Ya atau Tidak

  • Campur tangan tukaran asing oleh pihak Bank of Japan (BoJ) pada akhir Oktober lalu telah membantu menstabilkan nilai yen, dan pasangan USD/JPY mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 146.64, di tengah-tengah saluran antara 145.30-148.85. Dalam masa yang sama, menteri kewangan negara itu, Shunichi Suzuki berkata pada hari Jumaat, 4 November, pihak kerajaan tidak berniat untuk masuk campur dalam menentukan kedudukan mata wang negara tersebut pada paras tertentu. Ini supaya kadar tukaran dapat bergerak dengan stabil, sama seperti yang ditunjukkan indikator fundamental, dan polisi kewangan pula terserah kepada BoJ.

    Kenyataan seperti itu mungkin memberikan tekanan penurunan kepada mata wang Jepun kerana berkemungkinan tiada campur tangan yang baru, manakala Bank of Japan pula tidak akan melupakan kadar faedahnya yang amat longgar dan akan membiarkan kadar tersebut pada paras negatif -0.1%.

    Jika diingat pasangan USD/JPY mencecah ketinggian 151.94 pada 21 Oktober, memperbaharui paras tertinggi sejak 32 tahun lalu. Namun, dalam masa beberapa minit selepas itu, kedudukannya jatuh lebih daripada 500 mata, daripada 151.63 kepada 146.24. Menurut Financial Times, pada masa itu, pihak Bank of Japan (BOJ) telah menjual sekurang-kurangnya $30 bilion dalam percubaan mereka untuk menyokong yen. Pasangan ini mengubah arah pergerakannya dan naik sekali lagi setelah campur tangan itu: rupa-rupanya, $30 bilion adalah tidak mencukupi. Satu lagi campur tangan berlaku pada hari Isnin, 24 Oktober, menyebabkan pasangan itu menyusut ke paras 145.48. Paras terakhir pada 28 Oktober adalah 147.40. Seminggu selepas itu, pada 4 November, pasangan ini mengakhiri minggu 100 mata lebih rendah dari zon tersebut, berada pada paras 146.64.

    65% penganalisis tidak menolak pasangan USD/JPY akan cuba untuk menguji paras 150.00 sekali lagi, dan jika berjaya, ia akan naik di atas paras 152.00. 25% pula percaya bahawa Bank Negara Jepun akan memutuskan untuk campur tangan sama ada sekali atau lebih lagi, maka mereka menjangkakan trend penurunan pasangan itu. 10% lagi meramalkan pergerakan berterusan di saluran mendatar. Pengayun pada D1 memberikan gambaran bercampur-campur: 20% menunjukkan pertumbuhan, 40% melihat kepada penurunan, manakala 40% lagi adalah kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, nisbah antara warna merah dan hijau adalah 50% dan 50%.

    Sokongan terdekat berada pada paras 146.40, kemudian 145.30, 143.75, 140.60, 140.00, 138.35-139.05 dan 137.40. Rintangan pula berada pada paras 146.85, 147.50, 147.90-148.00, 148.45-148.85, 149.45, 150.00, 151.55. Matlamat utama bull adalah untuk naik dan berada di atas paras 152.00. Selepas itu adalah paras tertinggi pada tahun 1990 iaitu di sekitar paras 158.00.

    Tiada statistik penting mengenai keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: BTC/ETH – Siapa Pemenang?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 07 - 11 November, 20221

  • Mari mulakan dengan sambutan hari lahir. Hari Isnin, 31 Oktober, 2022 menandakan hari ulang tahun ke-14 kelahiran mata wang kripto terunggul ini. Pada hari itu, pada tahun 2008, Satoshi Nakamoto telah menyiarkan kertas putih atau “white paper” berkenaan bitcoin. Kertas putih ini menjelaskan bagaimana sistem bayaran rakan-ke-rakan mampu merevolusikan dunia teknologi kewangan. Rangkaian bitcoin telah dilancarkan pada Januari 2009. Satoshi Nakamoto menghilangkan diri dua tahun selepas itu, dan orang ramai gagal untuk bertemu siapa di sebalik penulis dokumen yang menjadi asas kepada industri gergasi ini. Tidak diketahui juga sama ada nama itu adalah milik perseorangan ataupun sekumpulan orang.

    Bitcoin telah berhadapan dengan bermacam liku-liku kehidupan sepanjang 14 tahun ini. Nilainya naik dan kemudian jatuh, berjaya naik semula selepas itu namun jatuh sekali lagi. Ia mendaki ke puncak tertinggi dan kemudian jatuh ke dalam jurang yang dalam. Bermula dari bawah, nilainya menghampiri $70,000 pada 7 November, 2021. Kini ia didagangkan di zon $20,000, nilainya susut sebanyak 70% dalam masa setahun.

    Sudah pasti, penting untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum itu. Namun kami lebih bimbangkan tentang perkara yang bakal dihadapi pada masa hadapan. Dalam hal ini, unjuran para penganalisis serta sebut harga bitcoin itu sendiri adalah tidak menentu. Sesetengah daripada mereka menjangkakan kehancuran pasaran kripto yang tidak dapat dielakkan buat kesekalian kalinya, manakala yang lain menjangkakan nilainya akan berada di paras yang belum pernah dicapai sebelum ini. Contohnya, pengurus dana di ARK Invest iaitu Cathie Wood percaya bahawa jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin akan bertambah kepada $4.5 trilion (jumlahnya kira-kira $0.39 bilion buat masa ini), dan ia mampu menjadi aset yang lebih bernilai daripada kebanyakan mata wang fiat, termasuklah dolar AS.

    CEO Coinbase iaitu Brian Armstrong berkongsi pendapatnya, menjangkakan bitcoin akan menjadi aset yang boleh dipercayai pada 5-10 tahun akan datang dan dapat memberi keselamatan kepada para pelabur dalam masa-masa yang sukar. Hartawan itu percaya bahawa jumlah modal pasaran BTC masih belum cukup besar untuk mata wang kripto pertama itu dijadikan aset lindung nilai yang serius. Namun, menurut ahli perniagaan itu, segalanya bakal berubah apabila menghampiri tahun 2030, ketika pasaran kripto telah berkembang dan “menjadi sebahagian besar daripada ekonomi global.” Selepas itu bitcoin bolehlah dianggap sebagai emas digital, satu pelaburan yang boleh menjadi pelindung semasa berlakunya krisis.

    Bekas eksekutif Goldman Sachs yang juga seorang pelabur makro iaitu Raoul Pal turut berpandangan jauh, menjangkakan jumlah modal pasaran aset digital itu akan bertambah kepada $300 trilion dalam tempoh 10-15 tahun akan datang. Menurut beliau, jumlah permodalan hampir kesemua pasaran kewangan adalah antara $200 trilion dan $300 trilion. Pal percaya bahawa jumlah modal pasaran mata wang kripto juga akan mencecah nilai itu pada masa hadapan menjadi sebahagian daripada “pertumbuhan paling besar dan terpantas” dalam sejarah. Beliau amat yakin jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto akan bertambah serta-merta setelah berakhirnya kegawatan makroekonomi yang sedang berlaku.

    Setelah Rizab Persekutuan memutuskan untuk menaikkan kadar mereka sekali lagi, nilai aset berisiko jatuh menjunam. Walau bagaimanapun, data dari pasaran buruh di AS yang agak teruk menjadi penyelamat mereka. Hasilnya, semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 4 November, pasangan BTC/USD bergerak ke atas, bersama-sama dengan indeks saham S&P500, Dow Jones serta Nasdaq dan ia didagangkan pada kadar $21,180, cuba untuk mengekalkan kedudukannya di atas paras $21,000. Namun, kejayaan belum pasti lagi akan dikecapinya. Jika aset berisiko utama mula susut nilainya sekali lagi, mata wang kripto utama ini juga mungkin akan turut serta.

    Penganalisis Kitco News iaitu Jim Wyckoff percaya bahawa pasaran kripto terunggul akan menemui kejayaan. Beliau berpendapat, dari segi teknikal, bull kini sedang mendominasi bear. Penganalisis itu tidak menolak penggabungan mungkin akan terbentuk di pasaran dalam masa terdekat ini sebelum sebut harganya memasuki fasa pertumbuhan yang stabil. Wyckoff juga tidak menolak bahawa bitcoin boleh berhadapan dengan pertambahan kadar turun naik pada beberapa minggu akan datang.

    Penganalisis terkenal yang dikenali sebagai Plan B juga percaya bahawa bitcoin sedang berada di ambang kitaran pertumbuhan yang baru. Terdapat dua sebab kenapa penganalisis itu menjangkakan pertumbuhan. Pertama, disebabkan pertambahan nilai bitcoin baru-baru ini, kelompok pelabur yang memiliki lebih daripada 60% bitcoin sudah mendapat pulangan. Menurut Plan B, faktor ini menunjukkan lonjakan nilai BTC yang bakal berlaku. Kedua, bacaan kadar indeks RSI lebih menunjukkan kepada peningkatan harga bitcoin. Nilai indikator teknikal tersebut jatuh ke paras terendah dalam sejarahnya baru-baru ini, maka, pasaran telah jatuh ke zon lebihan jualan yang melampau, jadi perubahan arah pergerakan pasti tidak dapat dielakkan.

    Para penganalisis di Glassnode bersetuju dengan Plan B. Laporan terkini mereka mengatakan bahawa pasaran bitcoin sekarang sedang berada dalam fasa pengumpulan, dan menuju kepada lonjakan besar-besaran bull. Buat masa ini sedang berlakunya trend yang serupa dengan keadaan pada awal tahun 2019 sebelum nilai bitcoin naik mendadak lebih tiga kali ganda.

     Walau bagaimanapun, untuk pasaran kripto kekal mengalami pertumbuhan, pelabur berinstitusi harus berubah daripada menjual atau berhibernasi dan beralih kepada mengumpul. Situasi bagi pelabur biasa (dikenali sebagai bilis) juga sudah pastinya penting, tetapi mood para jerung adalah lebih penting.

    Bank tertua di Amerika, BNY Mellon berkata bahawa 70% daripada pelabur berinstitusi akan menambah pelaburan mereka di dalam kripto, walaupun perlu mematuhi syarat-syarat tertentu seperti “penyimpanan dan pelaksanaan perlu dijalankan oleh institusi yang dipercayai dan juga diiktiraf.” Laporan BNY Mellon mendakwa bahawa “hampir kesemua pelabur berinstitusi (91%) sangat berminat dengan pelaburan produk bertoken.” Namun dalam masa yang sama, mereka sedang mencari jalan selamat untuk memasuki pasaran mata wang kripto, dan tidak terburu-buru dalam membuat pelaburan agar kadar pulangan yang tinggi dapat dicapai.

    Untuk kebanyakan orang, kami boleh memetik keputusan kaji selidik yang dijalankan oleh Grayscale Investment. Hanya 52% daripada rakyat biasa di Amerika yang menyertai kaji selidik itu bersetuju bahawa mata wang kripto adalah masa depan bagi sektor kewangan. Hanya 44% daripada responden berkata bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam aset digital. Dalam masa yang sama, majoriti responden (81%) bersetuju bahawa mata wang kripto perlukan undang-undang penyeliaan yang jelas.

    Persoalan sama ada mengawal selia pasaran kripto adalah keputusan yang tepat atau tidak masih lagi menemui jalan buntu. Sebagai contoh, kebanyakan penganalisis menganggap ancaman pihak SEC (Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti A.S.) yang memberi lebih banyak tumpuan terhadap Ethereum adalah satu faktor negatif.

    Sebulan setengah telah berlalu sejak altcoin utama itu beralih kepada algoritma PoS daripada PoW, di mana tanggungjawab bagi menghasilkan blok telah bertukar tangan daripada para penghasil kepada pengesah. Para pembangun menganggap pengurangan penggunaan tenaga pada rangkaian daripada 112TWh/setahun kepada 0.01TWh/setahun sebagai kelebihan penting dalam peralihan ini. Berkenaan dengan ETH pula, perkara ini secara praktikalnya menyangkal kesemua dakwaan yang mengaitkan para penghasil dengan pencemaran alam oleh para pencinta alam sekitar. Walau bagaimanapun, disebabkan keputusan yang diambil itu, coin tersebut semakin hari semakin lari daripada konsep mata wang kripto yang diperkenalkan oleh Satoshi Nakamoto: rangkaiannya menjadi lebih bersepadu dan keinginan pihak SEC untuk melucutkan status mata wang kripto daripada ethereum semakin bertambah, mengganti dan menjadikannya berstatus sekuriti serta meletakkan coin itu di bawah undang-undang yang ketat. Pengerusi SEC iaitu Gary Gensler memberi bayangan seperti itu pada hari ia bertukar kepada PoS.

    Dalam masa yang sama, agak naif untuk memikirkan hanya ethereum saja yang akan berada dalam cengkaman penggubal dasar kewangan. Sudah tentu, bitcoin juga akan tertakluk kepada sekatan yang sama. Maka dalam hal ini kedua-dua mata wang kripto berdepan dengan nasib yang sama. Namun dari segi perkembangan rangkaian dan juga prospeknya, sangat jelas ethereum sudah mendahului saingannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada carta BTC/ETH. Sejak pertengahan Jun lalu, kadarnya turun dari paras 20.3 kepada 13.0 dan kembali berada di kedudukan pada awal tahun ini.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 4 November, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $21,180, ETH/US - $1,650. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.055 trilion ($1.005 trilion seminggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto tidak berubah dalam masa tujuh hari dan masih berada di zon Fear, pada kedudukan 30 mata. Mengikut pembangun indeks tersebut, pedagang boleh memikirkan untuk membuka posisi long buat masa ini. Namun begitu, pada pendapat kami, situasinya sekarang agak tidak menentu, dan para pedagang perlu sehabis baik mengambil langkah berjaga-jaga serta berdagang dengan berhati-hati.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami