November 19, 2022

EUR/USD: Pasangan Ini Berada Di Dalam Dilema

  • Kami tertanya-tanya di permulaan ulasan kami sebelum ini jika lonjakan nilai dolar telah berada di penghujungnya. Jika diimbau semula data kadar inflasi di AS yang dikeluarkan pada 10 November lalu ternyata adalah lebih baik berbanding kadar sebelumnya dan juga yang diunjur. Kadar teras inflasi pengguna (CPI) naik sebanyak 0.3% untuk bulan Oktober, kadar yang lebih rendah berbanding 0.6% pada bulan September dan juga 0.5 yang diunjur. Kadar pertumbuhan tahunan untuk inflasi teras juga menjadi sedikit perlahan kepada 6.3% (berbanding 6.5% yang diunjur dan 6.6% pada bulan sebelumnya).

    Perubahan kadar CPI ini adalah yang paling perlahan sejak 9 bulan lalu dan mencadangkan beberapa siri kenaikan mendadak kadar faedah akhirnya telah membuahkan hasil seperti yang diinginkan. Peserta pasaran dengan serta-merta memutuskan bahawa pihak Rizab Persekutan mungkin akan memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka sekarang. Hasilnya, kadar Indeks Dolar DXY jatuh merudum, susut sebanyak 2.1%, penyusutan tertinggi sejak Disember 2015. Nilai mata wang Amerika juga susut berbanding euro: kedudukan EUR/USD naik daripada 0.9935 kepada 1.0363 dalam masa dua hari, dari 10 November hingga 11 Disember, menembusi paras paritinya.

    Pasangan ini meneruskan pertumbuhannya pada minggu lalu: kedudukan maksimum mingguannya berada pada paras 1.0480 pada hari Selasa, 15 November, tetapi turun mendadak ke paras 1.0279, dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan di zon 1.3210.

    Punca utama perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh statistik makro di AS yang samar-samar, unjuran bersifat hawkish oleh para pemimpin Rizab Persekutuan serta kenyataan kurang jelas oleh ketua ECB. Mari mulakan dengan statistik. Data untuk kadar Indeks Harga Pengeluar (Producer Price Index atau PPI) di AS telah menunjukkan tekanan inflasi yang dihadapinya semakin berkurangan: kadar pertumbuhannya terbantut daripada 8.4% kepada 8.0%. Jumlah pembinaan rumah baru di AS meningkat kepada 1.425 juta untuk bulan Oktober, jumlah yang tinggi daripada jangkaan. Namun dalam masa yang sama, jumlah untuk bulan September telah disemak semula menjadi 1.488 juta buah rumah. Disebabkan itu, dinamik pergerakannya berubah negatif. Statistik terhadap permit pembinaan yang dikeluarkan untuk bulan Oktober juga adalah lebih tinggi iaitu 1.526 juta buah rumah berbanding 1.512 juta buah rumah yang diunjur, tetapi sedikit rendah daripada bulan sebelumnya, 1.564 juta rumah. Kadar indeks aktiviti pembuatan bagi Bank Rizab Persekutuan Philadelphia secara umumnya jatuh mendadak kepada -19.4 mata berbanding -8.7 mata untuk bulan September, walaupun unjuran bagi bulan Oktober adalah -6.2.

    Perkara yang di luar jangkaan juga berlaku di Eropah. Justeru, kadar Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Jerman rupa-rupanya adalah lebih baik berbanding yang diunjur dan nilai sebelum ini (-36.7/-50.0/-59.2). Namun kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone menunjukkan peningkatan kadar inflasi daripada 9.9% kepada 10.6%.

    Faktor kedua yang menentukan dinamik dolar adalah kenyataan oleh ketua-ketua Bank Rizab Persekutuan AS. Jika ketua Rizab Persekutuan menunjukkan sikap hawkish, ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis iaitu James Bullard yang sebelum ini menjangkakan kadar faedah utama boleh mencecah paras tertinggi antara 4.75-5.00%, kini beliau menaikkan lagi julat itu sebanyak 25 mata asas menjadikannya 5.00-5.25%. Presiden Bank Rizab Persekutuan San Francisco iaitu Mary Daley berkongsi pendapat yang sama, menunjukkan julat sasaran antara 4.75-5.25%. Ketua bank di Atlanta iaitu Rafael Bostic juga mengatakan bahawa pengetatan polisi kewangan serta kenaikan kadar faedah akan terus berlaku.

    Menurut FedWatch Tool oleh CME Group, sila maklum bahawa kadar kebarangkalian untuk Rizab Persekutuan menaikkan kadar asasnya sebanyak 50 bp pada bulan Disember nanti adalah 85%, manakala kenaikan sebanyak 75 bp pula hanyalah sebanyak 15%. Penilaian oleh pasaran seperti itu boleh dianggap agak neutral kerana Bank Persekutuan Amerika masih lagi mendahului rakan sejawat mereka di negara-negara G10 dari segi pengetatan polisi kewangannya. Jadi, semasa berucap di Persidangan Kewangan di Frankfurt (Jerman) minggu ini, ketua penggubal dasar Eropah iaitu Christine Lagarde berkata bahawa sudah pasti pihak ECB “menjangkakan kenaikan kadar faedah lebih tinggi ke paras yang diperlukan bagi memastikan inflasi turun semula kepada nilai yang disasarkan dalam jangka masa sederhana iaitu 2%.” Namun dalam masa yang sama, beliau tidak menggariskan sebarang langkah tertentu. Lebih-lebih lagi, Puan Lagarde menekankan bahawa “perlunya menormalkan semula keseimbangan menerusi kaedah yang boleh diukur dan dijangka.” Setelah kenyataan itu dibuat, para pelabur berasa sedikit kecewa, dan telah menghalang EUR/USD daripada terus bertumbuh.

    Menurut pakar strategi di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda, pasangan ini akan turun ke garis setara 1.0000 sekali lagi untuk jangka masa sederhana. “Jika pihak Rizab Persekutuan kekal menjadi pendorong utama buat dolar, pihak ECB akan terus memainkan peranan mereka yang agak kecil terhadap euro, iaitu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh sentimen risiko global serta dinamik berkenaan geopolitik/sumber tenaga.” Dalam masa yang sama, ING tidak menolak kemungkinan berlakunya lonjakan kecil yang baru dalam masa terdekat nanti.

    Hanya 15% penganalisis yang menjangkakan pasangan ini akan naik ke paras lebih tinggi dalam masa terdekat nanti, 55% menjangkakan penurunan. Baki 30% menunjukkan pergerakan mendatar. Gambaran yang ditunjukkan dalam kalangan pengayun pada D1 adalah agak berbeza. 100% pengayun berwarna hijau, dan 15% daripada jumlah itu berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan juga memihak kepada warna hijau: 75% daripadanya memberitahu agar membeli pasangan itu, 25% lagi menjualnya. Sokongan paling hampir buat EUR/USD berada pada paras 1.0270, diikuti dengan paras dan zon 1.0254, 1.0130, 1.0070, 0.9950-1.0010, 0.9885, 0.9825, 0.9750, 0.9700, 0.9645, 0.9580, dan akhir sekali paras terendah pada 28 September lalu iaitu 0.9535. Sasaran bear yang berikutnya adalah 0.9500. Bull akan berhadapan dengan rintangan pada paras 1.0390-1.0400, 1.0422-1.0438, 1.0480, 1.0620, 1.0750, 1.0865, 1.0935.

    Hari Rabu, 23 November adalah antara hari penting dalam kalendar untuk minggu hadapan. Pelbagai statistik makroekonomi bagi ekonomi AS akan dikeluarkan pada hari tersebut. Ini termasuklah data kadar pengangguran, data keadaan pasaran hartanah, serta jumlah pesanan barangan modal dan tahan lama. Disamping itu, minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS juga akan dikeluarkan. Maklumat mengenai aktiviti perniagaan di Jerman serta Eurozone secara keseluruhannya juga akan diketahui pada hari yang sama. Amerika Syarikat akan menyambut cuti umum pada hari Khamis, 24 November, dan dagangan akan ditutup awal pada hari Jumaat, 25 November: negara itu menyambut Hari Kesyukuran. Namun kadar Indeks Suasana Perniagaan IFO serta kadar KDNK di Jerman akan diketahui pada hari itu.

GBP/USD: Unjuran Suram buat Pound

  • Seperti yang terjadi kepada euro, pertumbuhan kadar GBP/USD bukanlah disebabkan oleh pertambahan nilai pound, tetapi berpunca daripada nilai dolar yang lemah akibat data terkini mengenai inflasi di AS. Untuk mata wang British pula, keadaan fundamental yang berlaku di United Kingdom berkali-kali memberi isyarat mengenai kemerosotan situasi ekonomi di negara itu. Justeru, mengikut data yang dikeluarkan minggu lalu, kadar penganggurannya meningkat daripada 3.5% kepada 3.6%. Purata paras gaji meningkat daripada 5.5% kepada 5.7%. Kadar inflasi, seperti kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) naik ke paras tertinggi sejak tahun 1982 di UK untuk bulan Oktober dan mencecah 11.1% (diunjur 10.7% dan kadar bulan September ialah 10.1%). Jualan runcit (tahun/tahun) susut sebanyak -6.1% pada bulan Oktober dengan nilai unjuran -6.5% dan kadar sebelum ini iaitu -.6.8%. Kadar penyusutannya dilihat mula perlahan, tetapi masih lagi kuat.

    Canselor Perbendaharaan UK iaitu Jeremy Hunt membentangkan satu pelan baru oleh kerajaan Perdana Menteri Rishi Sunak pada hari Khamis, 17 November, yang menyebut perbelanjaan belanjawan seharusnya dikurangkan sehingga 60 bilion pound. Melihat kepada pelan yang turut mengandungi kenaikan kadar cukai, GBP/USD boleh jatuh dengan mendadak sekali lagi. Namun, penganalisis di ING memberikan komen dengan nada menyindir, “pound berjaya selamat daripada pengumuman musim bunga oleh Setiausaha Perbendaharaan yang begitu dinanti-nantikan.” Kesan kenaikan kadar cukai terhadap ekonomi mungkin tidak begitu besar dan sepatutnya hanya tertakluk kepada syarikat berpendapatan tinggi serta industri sumber tenaga. Namun, ING percaya bahawa masih terlalu awal untuk berbincang tentang kestabilan dan sedar pasangan ini masih lagi berisiko untuk jatuh kerana mata wang dolar mula pulih menjelang akhir tahun ini. Disebabkan itu, kedudukan yang disasarkan GBP/USD berada di bawah paras 1.1500.

    Sementara ING merasakan bahawa pound berjaya selamat daripada pengumuman Jeremy Hunt untuk jangka masa pendek, situasi ekonomi di UK masih dilihat agak suram untuk jangka masa panjang jika menurut penganalisis dari Commerzbank. Ketua Kementerian Kewangan itu rupa-rupanya lebih bersifat pesimis berbanding jangkaan rata-rata penganalisis. Beliau percaya bahawa negara itu sudah pun berada dalam kegawatan ekonomi dan menjangkakan penyusutan kadar KDNK sebanyak 1.4% (unjuran median penganalisis adalah -0.5%).

    Sudah pasti, tekanan inflasi yang semakin meningkat di UK boleh mendorong kepada kenaikan kadar faeadh yang lebih agresif oleh Bank of England (BoE). Walau bagaimanapun, menurut kebanyakan penganalisis, penggubal dasar itu masih lagi mengelak daripada mengambil langkah drastik kerana pengetatan polisi kewangan yang berlebihan secara umumnya boleh merosakkan ekonomi selama dua tahun. Mengikut unjuran, defisit akaun yang dialami UK sekarang akan kekal berada pada kadar melebihi 5% daripada KDNK pada tahun 2023-24. Ini mungkin disebabkan oleh penyambungan semula trend ke bawah mata wang British.

    Kedudukan terakhir GBP/USD minggu lalu berada di sekitar 1.1880. Unjuran median untuk masa terdekat ini dilihat bercampur-campur: 40% penganalisis memihak kepada bull, 25% memihak kepada bear, dan baki 35% lagi kekal neutral.

    Dalam kalangan pengayun pada D1, 100% berada pada bahagian hijau, dan sama seperti dalam kes pasangan sebelum ini, 15% daripadanya memberikan isyarat lebihan belian. Bagi indikator trend, nisbah yang bersetuju dengan warna hijau adalah 85% berbanding 15%. Paras dan zon sokongan bagi pasangan ini adalah 1.1800-1.1840, 1.1700-1.1715, 1.1600, 1.1475-1.1500, 1.1350, 1.1230, 1.1150, 1.1100, 1.1060, 1.0985-1.1000, 1.0750, 1.0500 dan paras terendah 26 September lalu iaitu 1.0350. Jika pasangan ini bergerak ke atas, rintangan yang akan dihadapinya berada pada paras 1.1960, 1.2045-1.2085, 1.2135, 1.2210, 1.2290-1.2330, 1.2425 dan 1.2575-1.2610.

    Statistik ekonomi di United Kingdom termasuklah penyiaran Indeks Aktiviti Perniagaan Global S&P dalam sektor pembuatan di negara itu pada hari Rabu, 23 November. Kadar indeks bagi keseluruhan aktiviti perniagaan akan diketahui keesokan harinya, pada hari Khamis, 24 November: bagi sektor perkhidmatan, sektor pembuatan serta indeks komposit PMI UK.

USD/JPY: Apa yang Menunggu Yen Selepas 8 April?

  • Jadi, apa yang boleh kami perkatakan tentang pasangan ini? Sebenarnya, tiada apa yang baru. “Ketaktentuan yang menyelubungi ekonomi Jepun amatlah tinggi,” jelas Haruhiko Kuroda, Gabenor Bank of Japan (BoJ) semasa berucap di Parlimen negara itu. Beliau menambah lagi bahawa organisasi di bawah beliau itu “akan terus melonggarkan polisi kewangan mereka bagi menyokong ekonomi serta mencapai kadar inflasi sasaran yang mampan dan stabil iaitu 2% dan disokong oleh pertumbuhan kadar penggajian."

    Komen gabenor bank Negara Jepun itu hadir di tengah-tengah laporan yang menyatakan bahawa kadar inflasi pengguna di negara tersebut mencecah paras tertinggi selama 40 tahun. Menurut kebanyakan penganalisis, pendirian BoJ yang teramat longgar itu tidak akan berubah sehinggalah 8 April, 2023 nanti. Tarikh itu menjadi tarikh akhir Haruhiko Kuroda memegang jawatan sebagai gabenor, dan beliau mungkin akan digantikan dengan calon baru yang kurang berpendirian dovish. Sebelum itu, pada Q1 tahun hadapan, faktor utama yang menjadi penentu masa depan polisi kewangan Bank Negara tersebut adalah kadar pertumbuhan penggajiannya, sesuatu yang mampu mendorong kepada revolusioner perubahan pergerakan USD/JPY menuju ke bawah. Menurut sebilangan penganalisis, kedudukan terakhir pada penghujung tahun 2023 selepas itu mungkin berada pada paras 130.00.

    Untuk masa terdekat ini, unjuran para penganalisis dari konglomerat kewangan Perancis iaitu Societe Generale menjadi tumpuan. “USD/JPY  telah melalui penyusutan yang agak dalam setelah berada di bawah paras carta 145.00. Penembusan pada paras 137.80 boleh memanjangkan lagi trend ke bawah ini,” jelas mereka. “Lantunan awal tidak dikecualikan, tetapi paras 143.50 serta bahagian terendah pada julat sebelum ini iaitu 145 mungkin menjadi paras rintangan untuk jangka masa pendek. Kekal berada di bawah paras 143.50 merisikokan satu lagi kitaran penurunan. Menembusi paras 137.80 akan menyebabkan penurunan lebih rendah ke paras 200 DMA di sekitar 134 dan 132.50.”

    Pasangan ini mengakhiri sesi dagangan minggu lalu di zon 140.35. Hakikat bahawa dolar akan cuba untuk sekurang-kurangnya pulih daripada kerugian dalam masa terdekat ini serta pertumbuhan kadar USD/JPY telah dijangka oleh 40% penganalisis. 15% lagi bersetuju dengan penembusan ke bawah serta penurunan yang baru. Baki 45% pula mendapati agak sukar untuk membuat ramalan. Bagi pengayun pada D1, gambarannya adalah seperti berikut: 100% menunjukkan penurunan, 10% daripadanya berada di zon lebihan jualan. Dalam kalangan indikator trend, nisbahnya adalah 85% dan 15% yang memihak kepada warna merah. Paras sokongan kukuh paling dekat berada di zon 138.85-139.05, diikuti dengan paras 138.45, 137.50, 135.55, 134.55 dan juga zon antara 131.35-131.75. Rintangan berada pada paras dan zon 142.20, 143.75, 145.30, 146.85-147.00, 148.45, 149.45, 150.00 dan 151.55. Tugas utama bull adalah untuk naik dan berada di atas paras 152.00. Kedudukan selepas itu adalah paras tertinggi pada tahun 1990 di sekitar 158.00.

    Tiada sebarang perkara penting berkenaan keadaan ekonomi Jepun dijangka akan dijalankan pada minggu ini. Perlu diingat bahawa cuti umum di negara itu jatuh pada hari Rabu, 23 November, mereka menyambut Hari Buruh.

MATA WANG KRIPTO: Dapatkah Hidup Diteruskan Setelah Muflis?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 21 - 25 November, 20221

  • Bursa FTX yang muflis kekal menjadi perkara yang paling hangat diperbincangkan. Namun jika hal yang berlaku pada minggu lalu menjadi topik utama, fokus perbincangan kini beralih kepada persoalan apa yang akan berlaku kepada industri kripto secara keseluruhannya. Adakah ia mampu mengelak daripada runtuh dan pulih selepas itu? Apa yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya keadaan kucar-kacir yang sama pada masa hadapan?

    Insiden FTX telah menunjukkan bahawa industri mata wang kripto perlu “diselia dengan teliti.” Pendapat ini telah disuarakan oleh Setiausaha Perbendaharaan AS iaitu Janet Yellen, dan beliau menambah lagi kesan daripada keruntuhan empayar Sam Bankman-Freed mungkin lebih teruk jika pasaran mata wang kripto berhubung lebih rapat dengan sistem kewangan tradisional.

    Ketua Kementerian Kewangan yang menerima sokongan para penganalisis dari bank JPMorgan telah menganggap kejadian itu sebagai pemangkin bersifat positif. Mereka berkata bahawa krisis FTX boleh memberi faedah kepada industri serta membantunya mengorak beberapa langkah ke hadapan. Keruntuhan salah satu syarikat kripto terbesar akan memaksa para penggubal dasar untuk mempercepatkan proses pembentukan undang-undang yang mampu mengawal sektor ini dengan lebih berkesan. Pengenalan kepada rangka kerja undang-undang yang menyeluruh akan membantu pelabur-pelabur berinstitusi untuk lebih menerima mata wang kripto.

    Jordan Belfort, bekas broker saham yang telah menjalani hukuman penjara akibat penipuan sekuriti dan juga dikenali sebagai “Wolf of Wall Street” juga berpihak kepada penguatkuasaan undang-undang. Beliau percaya bahawa potensi yang ada pada bitcoin hanya akan menyerlah apabila sektor kripto dipantau sepenuhya. “Serigala” ini menggelar penyusutan pasaran yang berlaku sekarang sebagai “pembersihan”.

    Menurut Bank for International Settlements, disebabkan oleh “pembersihan” ini serta penyusutan berpanjangan pasaran kripto, kira-kira tiga perempat daripada pelabur bitcoin telah mengalami kerugian. Mengikut kaji selidik oleh agensi analisis Crypto Fund Research, kerugian yang dialami dana mata wang kripto boleh mencecah sehingga $5 bilion. Menurut para penganalisis, krisis itu memberi kesan kepada 25-40% daripada struktur pelaburan industri yang melabur dalam FTX atau token utiliti FTT. Joshua Gnaizda, CEO syarikat Crypto Fund Research, menjelaskan bahawa kita sedang bercakap tentang kira-kira 7-12% daripada aset yang dimiliki pihak pengurusan dana.

    Syarikat Paradigm dan Sequoia Capital melaporkan nilai kerugian yang mungkin mereka alami akibat krisis FTX ini masing-masing adalah sebanyak $278 juta dan $213 juta. Kira-kira $175 juta telah disekat di syarikat broker Genesis Trading. Sehingga 8 November, firma pelaburan Galaxy Digital milik Mike Novogratz mempunyai posisi berkaitan FTX berjumlah $76.8 juta. Syarikat Multicoin Capital telah melabur sebanyak $25 juta dalam divisyen FTX di AS, dan juga memiliki USDC berjumlah $2 juta dalam bursa mereka sendiri. Pelaburan dalam FTX di AS menerusi Venture Fund II yang diwujudkan pada bulan Julai adalah berjumlah $430 juta. Penganalisis di Crypto Fund Research menganggarkan nilai aset berkaitan FTX yang dimiliki Pantera Capital adalah kira-kira $100 juta.

    Peserta industri yang bersetuju untuk kekal tanpa nama mengaku bahawa kerugian yang mungkin dialami pengurus aset adalah sangat besar. “Jumlah modal yang benar-benar hilang disebabkan oleh kebankrapan ini baru mula terbongkar,” salah satu sumber berkata. Penganalisis menjangkakan permohonan bayaran balik oleh pelabur dari dana kripto akan mencecah rekod baru pada bulan November, sehingga $2 bilion. Jumlah paling tinggi sebelum ini adalah $1.3 bilion yang direkodkan pada bulan Jun setelah runtuhnya Terra.

    Penganalisis JPMorgan juga percaya bahawa kejatuhan besar-besaran mata wang kripto masih lagi belum berakhir, manakala krisis FTX yang muflis mampu mendorong kepada “pembubaran bertindih”. Penyusutan pasaran akan terus berlaku buat sementara waktu, mengimbau semula kenangan krisis kewangan yang berlaku pada tahun 2008. Oleh itu, penganalisis JPMorgan percaya bahawa pengurangan jumlah modal pasarannya pada kali ini mungkin tidak terlalu besar kerana kejadian yang berlaku kepada TerraUSD telah mengakibatkan kurangnya pengambilan risiko serta lebih berhati-hati dengan pelaburan di dalam projek-projek yang meragukan.

    Edward Snowden, seorang bekas pegawai CIA dan Agensi Keselamatan Kebangsaan yang lari ke Rusia berkata setelah bursa FTX runtuh, industri ini seharusnya beralih kepada DEX yang lebih selamat. Bursa disentralisasi adalah satu alternatif kepada bursa-bursa berpusat dan diuruskan hanya menggunakan kontrak pintar tanpa sebarang penyertaan pihak ketiga. Disebabkan oleh disentralisasi penuh, sepatutnya tidak akan timbul sebarang masalah apabila DEX berada dalam keadaan asal seperti yang dihadapi oleh FTX kerana jumlah rizabnya tidak akan menjadi lebih rendah berbanding jumlah deposit pengguna.

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 18 November, penurunan bitcoin akibat FTX yang runtuh telah terhenti dan mengalami penyatuan di sekitar $16,550-16,650. Suasana tenang selepas ribut seperti itu memberikan para penyokong BTC satu dendam dalam menunjukkan keyakinan mereka terhadap masa depan bullish. Maka, Pengerusi Eksekutif MicroStrategy iaitu Michael Saylor telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan menyingkirkan strategi membeli dan mengumpul emas digital itu. CEO Tesla dan pemilik baru Twitter iaitu Elon Musk berasa amat yakin BTC akan berjaya berhadapan dengan pasaran bear, walaupun akan mengambil masa yang agak lama untuk merealisasikan sepenuhnya potensi yang dimiliki. Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad Poor Dad juga menunjukkan sikap optimis, dan berkata beliau tidak berasa bimbang tentang pergerakan semasa nilai mata wang kripto utama tersebut.

    Penganalisis popular dengan nama Dave the Wave menyertai kelompok para optimis. Beliau mengakui bahawa pasaran mata wang kripto sedang berdepan dengan kemerosotan keyakinan orang awam. Namun dalam masa yang sama, beliau teringat bahawa sebelum ini bitcoin kekal mengikuti trend ke atas walaupun terdapat ramai yang mengatakan ia sudah terkubur. “Jangan memandang remeh makhluk spekulasi yang mendasari pasaran BTC kerana seperti yang digambarkan oleh LGC (logarithmic growth curve atau lengkung pertumbuhan logaritma), ia berkemampuan untuk menyerap berita dan kejadian yang paling teruk sekali,” jelas Dave the Wave.

    BTC/USD sudahpun kehilangan paras sokongan dalam bentuk purata pergerakan mingguan MA200 yang telah lama terbentuk. Walau bagaimanapun, penganalisis dari firma analisis TradingShot menjalankan analisis fraktal dan tidak menolak lonjakan yang kuat mata wang kripto utama ini pada tahun 2023. Disamping itu, keputusan yang diperoleh mencadangkan potensi berlakunya bullish terhadap coin ini bertambah menjelang tahun 2024, dan berkemungkinan mengalami pertumbuhan nilai kepada $95,000.

    Penganalisis Jason Pizzino berpendapat bahawa bull bitcoin tidak akan membenarkan BTC turun ke paras $10,000. “Kami mendapati nilai $14,900 dalam pasaran semerta sebagai kitaran terendah dan nilai $15,500 bergantung kepada bursa yang anda gunakan.” Mengikut Pizzino, “Jika kedudukannya berada di atas $18,500 atau $18,600, itu adalah satu petanda kukuh segala yang berlaku hanyalah satu gangguan.” Pelabur itu menambah, “walau bagaimanapun, itu bukanlah bermakna setelah nilainya lebih tinggi daripada $18,500, ia tidak akan jatuh semula. Kita kemudiannya akan mendapati nilainya berada di sekitar $13,500, nilai yang agak baik jika dibandingkan dengan paras tertinggi pada kitaran tahun 2019 sebelum ini.”

    Penganalisis di bank Morgan Stanley tidak menolak penurunan yang baru. Mereka berpendapat, jika BTC gagal untuk berada di atas paras $17,000, pelabur akan bertukar kepada menjual tidak lama lagi. Akibatnya, kadar BTC berkemungkinan akan turun di bawah paras $15,000. Jika berlakunya penurunan seperti itu, sokongan terdekat bagi mata wang kripto hanya boleh didapati di sekitar $14,000. Lebih-lebih lagi, Morgan Stanley tidak menolak kedudukan bitcoin akan berada pada paras $13,500 atau $12,500. Namun itu adalah paras bagi senario paling teruk.

    Delphi Digital mencapai kesimpulan yang hampir sama. Laporannya menyatakan bahawa penyatuan pasaran telah tertunda dan indikator-indikator teknikal membayangkan penetapan semula yang baru pada akhir November ini. Senario terbaik, bitcoin mampu untuk kekal berada pada julat di antara $14,000 dan $16,000.

    Semasa ulasan ini dibuat, pasangan BTC/USD didagangkan di sekitar $16,600, ETH/USD - $1,200. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $0.832 trilion ($0.860 trilion pada minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto sepanjang tujuh hari lalu masih gagal untuk keluar dari zon Extreme Fear dan berada di sekitar 23 mata.

    Akhir sekali, sedikit tip daripada Jordan Belfort. Tip No. 1: melabur dalam bitcoin untuk 3-4 tahun. “Jika anda mensasarkan pelaburan selama tiga, empat, lima tahun, saya akan berasa sangat terkejut jika anda rugi,” jelas pelabur di Wall Street itu. Tip No. 2: Jangan melabur selain daripada bitcoin dan ethereum. Akhir sekali, Tip No. 3: Jangan Panik. “Keseluruhan dunia kripto akan lumpuh bila berhadapan dengan ketakutan. Saya akan katakan jika anda kembali melabur semula, sekarang adalah masanya keuntungan paling besar boleh diperolehi dalam pasaran.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami