April 6, 2023

EUR/USD: Punca Nilai Dolar Lemah

  • Minggu lalu berakhir tanpa sebarang kejutan. Nilai dolar terus menjadi lemah, manakala pasangan EUR/USD kembali berada di kedudukan yang sama ia didagangkan seminggu lalu pada 30 Mac. Paras tertinggi mingguannya adalah 1.0925, dan mengakhiri lima hari dagangan pada paras 1.0842.

    Dolar terus berdepan tekanan daripada pertambahan selera risiko para pelabur: kadar indeks saham di Amerika dan juga Eropah menjadi semakin kukuh sejak pertengahan bulan Mac. Pasaran di Asia juga tidak jauh ketinggalan di belakang: pasarannya mendapat sokongan daripada statistik indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di China.

    Untuk statistik makro di AS, keadaannya tidak begitu baik. Kadar pertumbuhan KDNK di negara itu bagi Q4 2022 adalah 2.6%, lebih rendah berbanding yang diunjur dan lebih rendah daripada nilai sebelum ini (2.7%). Namun sebaliknya, jumlah permohonan awal bagi manfaat pengangguran bertambah daripada 191K kepada 198K dan bukannya 196K seperti yang diunjur. Kedua-dua indikator ini menunjukkan kelembapan ekonomi di AS.

    Selain itu, peserta pasaran sedar bahawa krisis yang telah menumbangkan Bank Silvergate, Bank Silicon Valley dan Bank Signature di Amerika serta Credit Suisse di Eropah akan meredakan pendirian hawkish Rizab Persekutuan serta bertindak dengan lebih berhati-hati. Pendapat ini disahkan sendiri oleh ketua Bank Rizab Persekutuan Richmond iaitu Thomas Barkin pada 30 Mac lalu, apabila beliau menyatakan bahawa Credit Suisse yang jatuh muflis telah menyebabkan kenaikan kadar faedah sebanyak 50 mata asas (bp) tidak akan dilaksanakan.

    Statistik makro di Eropah dilihat agak pelbagai rupa-rupanya. Pada hari Khamis, 30 Mac, kadar Indeks Harga Pengguna Terlaras (Harmonized Consumer Price Index atau HICP) di Jerman telah dikeluarkan, kadar untuk bulan Mac naik sebanyak 7.8% untuk tahun ke tahun. Nilai ini adalah lebih rendah berbanding nilai bulan lalu (9.3%), namun lebih tinggi daripada jangkaan (7.5%). Maka, setelah melihat pada nilai-nilai ini, peserta pasaran berpendapat pihak ECB mungkin akan terus mengetatkan polisi kewangan mereka dengan lebih aktif serta menaikkan kadar faedah euro bagi memerangi kadar inflasi. Hasil daripada bon kerajaan Jerman menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding hasil bon yang sama di AS, dan kadar EUR/USD mencecah paras tertinggi mingguan. Namun sebaliknya, statistik yang dikeluarkan pada hari Jumaat telah menenteramkan sedikit golongan bear terhadap dolar kerana pihak Eurostat melaporkan bahawa kadar Harmonized Consumer Price Index (HICP) untuk bulan Mac susut di rantau eropah daripada 8.5% yang dicatatkan pada bulan Februari kepada 6.9% untuk tahun ke tahun (diunjur 7.1%).

    Reaksi pasaran terhadap perkara ini dan juga lain-lain statistik pada hari Jumaat (seperti kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi di AS) agak perlahan kerana ia dikeluarkan pada hari terakhir Q1 2023, hari di mana kebanyakan peserta pasaran sudah pun merekodkan keputusan suku tahunan ke dalam laporan mereka.

    Berkenaan dengan prospek EUR/USD untuk jangka masa panjang dan sederhana, pakar-pakar ekonomi di Bank of America (BoA) percaya bahawa “peserta pasaran sekali lagi berjaya mengatasi situasi, menggabungkan kadar awal Rizab Persekutuan dalam sebut harga, dan mungkin dalam jangka masa pendek ia dapat memberi tekanan kepada pasangan tersebut setelah jangkaan-jangkaan ini dinilai semula.” Mengikut unjuran BoA, “kadar EUR/USD akan menjadi 1.05 pada enam bulan pertama tahun ini, kadar itu akan naik kepada 1.10 pada hujung tahun, dan kemudian menjadi 1.15 menjelang akhir tahun 2024, kedudukan yang masih berada di bawah nilai keseimbangan jangka masa panjang.” Kami mengandaikan bahawa krisis kewangan yang berlaku baru-baru ini telah pun berakhir, namun kami masih lagi berasa bimbang dengan dua risiko menyelubungi euro: konflik berterusan di Ukraine serta tekanan yang mungkin akan dihadapi pasaran Itali akibat pendirian hawkish ECB,” jelas BoA.

    Jika bercakap tentang jangkaan masa pendek, semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 31 Mac, 55% penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi semakin lemah, 35% - nilai yang lebih kukuh, manakala baki 10% lagi berpendirian neutral. Untuk pengayun pada D1, 90% menunjukkan warna hijau, dan baki 10% lagi adalah berwarna merah. Dalam kalangan indikator trend, 80% mengesyorkan untuk beli, 20% - jual. Paras sokongan paling hampir untuk pasangan ini adalah 1.0800, kemudian 1.0740-1.0760, 1.0680-1.0710, 1.0620 dan 1.0500-1.0530. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0865, 1.0925, 1.0985-1.1030, 1.1110, 1.1230, 1.1280 dan 1.1355-1.1390.

    Untuk peristiwa minggu hadapan, data aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di Jerman dan di AS yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 3 April menjadi tumpuan. Kemudian, ia diikuti pula dengan penyiaran data daripada pasaran buruh di AS. Antaranya adalah statistik jumlah kekosongan kerja JOLTS pada hari Selasa, 4 April, bilangan tenaga buruh dalam sektor bukan agrikultur oleh ADP pada hari Rabu, serta bilangan permohonan awal bagi manfaat pengangguran pada hari Khamis. Pada hari Jumaat, 7 April pula, kita akan mengetahui kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) di AS. Perlu diingat bahawa 7 April adalah hari cuti bersempena dengan hari Good Friday yang disambut di Eropah, AS dan juga beberapa buah negara lain, maka reaksi terhadap data-data yang dikeluarkan ini hanya akan diketahui pada minggu depan, Isnin 10 April.

GBP/USD: Adakah Pasangan Ini Akan Terus Bertumbuh?

  • Nilai dolar bukan saja lemah berbanding euro, malah juga lemah berbanding pound British. Kedudukan GBP/USD telah naik lebih daripada 600 mata sejak 8 Mac lalu, hanya dalam masa tiga minggu. Hanya rintangan utama di sekitar 1.2425-1.2450 saja boleh menghalang pertumbuhannya. Namun adakah pound memiliki kekuatan untuk terus melangkah ke atas?

    Pada 23 Mac, Bank of England (BoE) telah menaikkan kadar faedah utamanya sebanyak 25 bp kepada 4.25% (sebagai perbandingan, kadar semasa Rizab Persekutuan adalah 5.00%). Dalam masa yang sama, keadaan inflasi di negara itu masih belum pulih. United Kingdom kekal menjadi satu-satunya negara maju di mana kadar inflasinya tidak berkurang sepanjang tahun dan masih berada pada kadar dua digit yang tinggi. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) utamanya untuk bulan Mac adalah 10.4%, manakala kadar CPI asas pula adalah 6.2%. Maka, ramai penganalisis menjangkakan kenaikan kadar faedah akan menjadi agenda utama yang akan dibincangkan BoE dalam mesyuarat yang seterusnya. Lebih-lebih lagi, penggubal dasar itu terpaksa mengekalkannya pada kadar yang tinggi untuk jangka masa panjang, walaupun ia akan melumpuhkan ekonomi negara berkenaan. (Hampir tiada pertumbuhan kadar KDNK yang dicatatkan di negara itu sekarang. Maka, data yang dikeluarkan pada 31 Mac menunjukkan pertumbuhan KDNK untuk Q4 2022 hanyalah sebanyak 0.1%).

    Ekonomi yang berdepan dengan tekanan membuatkan sebilangan penganalisis berbincang tentang had potensi yang dimiliki pound. Namun, walaupun begitu, ramai penganalisis percaya bahawa kegawatan boleh dielakkan, dan kenaikan kadar harus diteruskan bagi mengukuhkan lagi nilai pound. Justeru, pakar ekonomi di Bank ANZ menjangkakan pasangan ini akan naik ke paras 1.26 pada akhir tahun ini. Unjuran yang diberi oleh rakan sejawat mereka dari Societe Generale Perancis adalah lebih berani: mereka berpendapat, pasangan GBP/USD akan mengikut jejak EUR/GBP dan perlahan-lahan naik ke paras 1.30.

    Minggu lalu pasangan ini ditutup pada paras 1.2330. Buat masa ini, 45% penganalisis memihak kepada dolar, peratusan sama (45%) memihak kepada pound, dan baki 10% mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat. Dalam kalangan pengayun pada D1, keseimbangan skala adalah seperti berikut: 85% bersetuju dengan warna hijau manakala 15% lagi berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, kelebihan adalah milik warna hijau sepenuhnya, 100%. Sokongan bagi pasangan ini berada di zon dan paras 1.2270, 1.2200, 1.2145, 1.2075-1.2085, 1.2000-1.2025, 1.1960, 1.1900-1.1920, 1.1800-1.1840. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berdepan rintangan pada paras 1.2390-1.2425, 1.2450, 1.2510, 1.2575-1.2610, 1.2700, 1.2750 dan 1.2940.

    Antara statistik ekonomi UK yang akan dikeluarkan termasuklah penyiaran kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di negara tersebut pada hari Isnin, 3 April. Kadar PMI dalam sektor perkhidmatan, serta kadar indeks komposit akan diketahui pada hari Rabu. Kami ingin mengingatkan bahawa hari Jumaat adalah hari cuti di United Kingdom.

USD/JPY: Adakah BoJ Akan Mengubah Pendirian Pada Musim Panas?

  • Tidak seperti “rakan” dalam kelompok DXY, mata wang Jepun ini telah menunjukkan trend yang bertentangan sepenuhnya terhadap dolar. Sementara mata wang euro dan pound menjadi lebih kukuh pada minggu lalu, yen pula mengalami kerugian. Pada pendapat kami, terdapat dua sebab mengapa ia berlaku. Pertama, yen bukan saja menerima tekanan yang disebabkan oleh 31 Mac adalah hari terakhir untuk suku tahunan, malah hari itu juga adalah hari terakhir dalam kalendar fiskal di Jepun. Kedua, seperti yang telah kami berulang kali nyatakan, adalah disebabkan oleh polisi Bank of Japan (BoJ) yang terlampau longgar.

    Kazuo Ueda, ketua baru penggubal dasar itu yang akan memulakan perkhidmatan beliau pada 9 April nanti telah berulang kali menyuarakan kesediaan beliau untuk meneruskan pendirian dovish ketua terdahulu iaitu Haruhiko Kuroda. Kenyataan sebegitu sudah pastinya tidak menambah sebarang daya penarik kepada mata wang negara tersebut.

    Sejak November 2022, perasaan bimbang yang berkisar tentang ketidakstabilan sektor kewangan telah mendorong kepada pertambahan jumlah pembelian yen sebagai mata wang selamat. Walau bagaimanapun, seperti yang disebutkan oleh pakar strategi di Societe Generale, walau “kubu kuat” sekalipun perlu melalui perubahan. BoJ perlu bertindak lebih lagi supaya penyusutan kadar USD/JPY yang menjadi lebih rendah dapat diwajarkan. Jika tiada sebarang tindakan diambil oleh Bank Negara itu, kadar USD/JPY mungkin akan naik lebih tinggi. Societe Generale menjangkakan sebarang tindakan yang diambil bagi mengubah polisi kewangan BoJ akan dibuat pada bulan Jun, menyebabkan kedudukannya berubah ke paras 125.00. Pelonggaran mendadak polisi Rizab Persekutuan AS juga boleh membantu mata wang Jepun itu.

    Komen yang diberikan oleh pakar ekonomi di Bank ANZ juga agak sama. “Untuk jangka masa pendek, mungkin tiada sebarang perubahan terhadap polisi [BoJ],” jelas mereka. “Namun jika ada perubahan, kami jangka ia akan dibuat selepas suku tahun kedua tahun ini, nilai yen Jepun akan naik mengikut perbezaan hasil yang lebih baik. Kami jangkakan kadar USD/JPY akan perlahan-lahan turun ke paras 124.00 menjelang akhir tahun ini.”

    Namun, anda perlu mengambil kira di sini tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Gabenor Bank of Japan iaitu Shinichi Uchida pada hari Rabu, 29 Mac. Menurut beliau, mengubah polisi kewangan penggubal dasar itu dalam usaha untuk mengawal hasil bon boleh dilakukan hanya apabila keadaan ekonomi serta kestabilan harga menjadi bertambah baik, sesuatu yang dapat memberi alasan kukuh untuk mengurangkan rangsangan kewangan secara beransur-ansur.

    Justeru, penurunan kadar USD/JPY ke zon di antara 124.00-125.00 masih menjadi tanda tanya. Ia mengakhiri minggu lalu pada paras 132.80. Untuk prospek masa terdekat, buat masa ini 40% penganalisis bersetuju dengan pertumbuhan lebih pesat pasangan ini ke atas, 30% menunjukkan arah yang bertentangan, manakala 30% lagi enggan memberi sebarang unjuran. Dalam kalangan pengayun pada D1, 15% menunjukkan penurunan, 40% menunjukkan arah bertentangan, dan 35% lagi kekal neutral. Bagi indikator trend, 40% menunjukkan pertumbuhan, dan baki 60% pula menunjukkan penurunan. Sokongan paling hampir berada di zon 131.25, kemudian zon dan paras 130.50, 129.70-130.00, 128.00-128.15 dan 127.20. Rintangan berada di zon dan paras 133.00, 133.60, 134.00-134.35, 135.00-135.35, 135.90-136.00, 137.00, 137.50 and 137.90-138.00.

    Tiada sebarang data makro ekonomi di Jepun yang penting akan dikeluarkan pada minggu ini. Hanya satu perkara yang boleh diberi perhatian pada kalendar iaitu kadar Indeks Sentimen Pengeluar Utama Tankan untuk Q1 2023 yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 3 April.

MATA WANG KRIPTO: Apakah Nasib Binance?

Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 03 - 07 April, 20231

  • Krisis yang menumbangkan Silvergate, Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature serta meruntuhkan Credit Suisse sudah pastinya membantu pasaran kripto dalam mengingatkan tentang mengapa kewangan disentralisasi dihasilkan. Walau bagaimanapun, perasaan takut yang dirasai para pelabur tentang gelombang krisis kewangan yang baru di AS dan Eropah beransur-ansur hilang, situasi ini jelas kelihatan pada carta BTC/USD. Jika nilai emas digital itu berjaya naik hampir 45% sepanjang tempoh lonjakan yang berlaku antara 10-17 Mac, coin itu gagal untuk mengatasi paras rintangan $29,000 sejak dua minggu lalu. Nilai bitcoin bukan saja perlu naik, tetapi ia perlu berada di atas kedudukan itu dan bertahan. Menurut sebilangan penganalisis, setelah rintangan itu berjaya diatasi, barulah ia boleh mencapai sasaran seterusnya iaitu $35,000. Dalam masa yang sama, BTC mendapat sokongan pada paras $26,500.

    Sokongan yang diberikan ini dapat bertahan walaupun dengan pemfailan saman oleh pihak CFTC (Commodity Futures Trading Commission atau Suruhanjaya Niaga Hadapan dan Komoditi) AS terhadap Binance pada hari Isnin, 27 Mac dengan bursa kripto itu berhadapan tuduhan menjalankan transaksi opsyen dan niaga hadapan tanpa kebenaran, memberi perkhidmatan kepada pelanggan di AS yang memintas sekatan, operasi haram (termasuklah memihak kepada Hamas, dilabel sebagai organisasi pengganas dikebanyakan negara) serta manipulasi pasaran.

    Berkaitan dengan tuduhan manipulasi pasaran, penganalisis Cory Swan memberikan teori bahawa pengasas bursa kripto Binance iaitu Changpeng Zhao (CZ) itu sendiri adalah individu yang cuba untuk menjatuhkan harga bitcoin kepada $12,000 selama ini. “CZ memiliki sejumlah besar posisi short berbanding BTC, berharap nilainya menjadi $12,000 supaya dapat membayar dagangan besar peribadinya itu dengan altcoin dan BUSD yang tidak bercagar,” jelas Swann.

    Buat masa ini, terdapat bermacam-macam pendapat yang dikaitkan dengan masa depan Binance. Sesetengah daripada mereka percaya bahawa tiada siapa yang inginkan syarikat gergasi itu daripada muflis kerana ia sekali gus memberi maksud keseluruhan industri kripto akan runtuh. Sesetengah yang lain pula berasa yakin bahawa pihak CFTC akan mengenakan hukuman berat terhadap bursa tersebut. Walaupun jika penyelesaian dibuat sebelum perbicaraan bermula, beliau akan berdepan denda dengan jumlah berbilion dolar serta diharamkan daripada bekerja di Amerika Syarikat. Jika kes itu terus dibicara di mahkamah dan Binance serta barisan pengurusannya didapati bersalah, ramai pelanggan dan rakan kewangan mereka dari seluruh dunia akan menjauhinya dengan serta-merta.

    Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh CNBC terhadap para pemengaruh industri, pasaran kekal bullish terhadap masa depan mata wang kripto pertama itu pada tahap ini. CTO syarikat Tether iaitu Paolo Ardoino percaya bahawa bitcoin boleh “menguji semula” nilai paling tinggi dalam sejarahnya iaitu $69,000. Marshall Beard, pengarah strategi di bursa kripto Gemini menjangkakan bahawa nilai coin itu mungkin boleh mencecah $100,000 pada tahun ini. Beliau berpendapat, jika mata wang kripto pertama itu berjaya mengatasi nilai maksimumnya sebelum ini, ia “tidak akan mengambil masa yang lama untuk naik lebih tinggi.” Namun, lonjakan nilai bullish yang baru memerlukan dorongan baru yang kuat, dari segi ekonomi mahupun berita-berita semasa. Namun, kedua-duanya masih lagi tidak dapat dilihat setakat ini.

    Pakar strategi Bloomberg iaitu Mike McGlone percaya bahawa emas dan bitcoin akan menjadi instrumen paling popular untuk pelabur pada tahun 2023. Logam berharga itu akan mengesahkan statusnya sebagai aset paling selamat. Kos untuk membeli satu auns troy emas dijangka akan mencecah $2,000 tidak lama lagi. Dalam pada itu, daya penarik yang dimiliki bitcoin sebagai instrumen bebas daripada sistem perbankan tradisional akan turut meningkat. Menurut satu nota yang disediakan oleh McGlone, semakin teruk keadaan ekonomi global, bilangan pelabur yang lebih gemar untuk menyimpan modal mereka dalam BTC, emas serta bon perbendaharaan juga akan bertambah.

    Keruntuhan sektor perbankan mengingatkan kita kepada krisis yang berlaku pada tahun 1929, maka pihak Rizab Persekutuan mengetatkan polisi kewangan mereka. Setelah kadarnya dinaikkan baru-baru ini, pelaburan dalam bitcoin juga meningkat, namun begitu ramai pemerhati yang menjangkakan nilainya akan jatuh, tegas pakar strategi Bloomberg. Pada pendapatnya, keadaan BTC yang pulih boleh dilihat sebagai satu isyarat positif kerana lebih ramai pedagang akan terus membeli mata wang kripto walaupun dengan keadaan global yang tidak menentu.

    Seperti Mike McGlone, rakan kongsi dalam syarikat Place Holder dan juga bekas ketua syarikat kripto Ark Invest iaitu Chris Burniske percaya sekarang adalah masanya untuk membeli bitcoin dan ethereum kerana mereka sedar ianya dihasilkan untuk berhadapan dengan krisis seperti ini.

    Kapitalis modal teroka yang juga seorang hartawan iaitu Tim Draper mencadangkan perkara yang hampir sama. Draper menulis dalam satu laporan yang ditujukan kepada para usahawan bahawa syarikat “tidak lagi boleh bergantung” kepada hanya satu bank atau institusi kewangan. “Buat pertama kali sejak sekian lamanya, kerajaan mengambil alih bank-bank yang berisiko untuk melalui insolvensi. Bitcoin menjadi pelindung kepada kesan domino kewangan serta kawalan salah urus yang melampau ini.”

    Draper mencadangkan untuk membiarkan deposit jangka pendek tidak lebih daripada enam bulan dalam dua akaun berasingan, satu dalam bank tempatan dan satu lagi dalam bank antarabangsa. Pada pendapat beliau, organisasi juga seharusnya memindahkan dana yang sama jumlahnya dengan dua bulan gaji ke dalam bitcoin atau lain-lain aset digital. Hartawan itu memberi penekanan terhadap pentingnya untuk memiliki pilihan kontingensi seperti itu kerana pihak pengurusan bertanggungjawab untuk memenuhi tarikh akhir pembayaran gaji “walaupun sedang dilanda krisis."

    Sudah tentu, seperti biasa, suara-suara “kecaman kripto” dapat didengari. Penganalisis dengan nama gelaran Grinding Poet percaya bahawa “penurunan ke paras terendah 2018 tidak dapat dielakkan lagi” dan “sasaran baru adalah $3,150.” Fanatik emas dan pengkritik bitcoin terkenal iaitu Peter Schiff terus dengan pendirian beliau. Pada tahun 2017, Schiff dengan yakin berkata bahawa tidak lama lagi coin tersebut akan langsung tidak bernilai. Walaupun sudah 6 tahun berlalu, usahawan itu tidak mengubah pendiriannya. Kini, pada Mac 2023, beliau menyatakan bahawa “ketiadaan kenaikan harga bitcoin hanya berlarutan sedikit.”

    Steve Hanke, seorang profesor dalam bidang ekonomi gunaan di Universiti John Hopkins sekali lagi mengkritik bitcoin dengan mengatakan bahawa tiada sebarang nilai fundamental dalam mata wang kripto pertama itu. Beliau menggelar BTC sebagai satu aset spekulasi tanpa sebarang nilai atau kegunaan terhadap ekonomi.

    CEO syarikat Cake Defi iaitu Julian Hosp memberitahu Hanke bahawa beliau boleh mempertikaikan bitcoin, tetapi sudah pasti ia memiliki nilai. Menurut Hosp, sudah pasti terdapat golongan yang memerlukan bitcoin, maka dakwaan bahawa mata wang kripto pertama itu tidak bernilai secara fundamental adalah salah.

    Kami lebih bersetuju dengan Hosp kerana semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 31 Mac, BTC benar-benar memiliki nilai dan ianya digambarkan dengan angka yang khusus iaitu $28,375 bagi setiap coin. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto sedikit bertambah sepanjang minggu lalu, daripada $1.169 trilion kepada $1.185 trilion. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto juga naik daripada 61 mata kepada 63 mata dalam masa tujuh hari dan masih berada di zon Greed.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Material ini bukanlah cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami