September 11, 2023

Pemengaruh kripto adalah individu-individu yang memberi pengaruh besar terhadap peserta pasaran, dan setiap kenyataan mereka akan memberi impak ketara kepada nilai aset digital. Sesetengah daripada mereka menumpukan kepada aspek teknikal mata wang kripto, seperti pembangunan, keselamatan, penghasilan, dan lain lagi. Ada juga yang memfokuskan kepada situasi kewangan, seperti dagangan, pelaburan, analisis pasaran, serta unjuran. Terdapat juga pemengaruh kripto yang ditugaskan untuk mempopularkan mata wang kripto dalam kalangan masyarakat umum serta mendidik pelabur-pelabur baru.

Sudah pasti, dalam kalangan mereka yang pakar ini, terdapat individu yang lebih terkenal dan berwibawa, terdapat juga mereka yang kurang dikenali. Kami akan bincangkan tentang mereka yang paling terkenal dan popular selepas ini: golongan bestari yang boleh mengubah nilai mata wang kripto dengan hanya berkata-kata.

1. Elon Musk

Elon Musk adalah seorang jurutera, pencipta, usahawan, dan pelabur warganegara Amerika Kanada. Dilahirkan di Afrika Selatan pada tahun 1971, beliau mula mengatur cara semasa berumur 10 tahun. Pada usia 17 tahun, beliau berpindah ke Kanada dan ke Amerika Syarikat pula selepas itu, negara yang menganugerahkan beliau sarjana muda dalam bidang fizik dan ekonomi. Beliau adalah pengasas dan/atau pemilik bersama pelbagai syarikat termasuklah SpaceX, Tesla, PayPal, SolarCity, Neuralink, dan Twitter. Sehingga 22 Ogos 2023, Elon Musk adalah individu paling kaya di dunia menurut Forbes, dengan nilai kekayaan bersih berjumlah $287 trilion. Musk menyatakan bahawa objektif beliau adalah untuk mewujudkan kemanusiaan antara planet serta menambah baik kualiti hidup manusia di bumi.

Pada Julai 2023, Musk membuat pengumuman bahawa beliau akan menjenamakan semula Twitter sebagai X. Mengapa X? Secara ringkasnya, beliau begitu tertarik dengan abjad itu. Pada tahun 1999, beliau telah mengasaskan X.com, sebuah syarikat berkaitan kewangan. Buat masa ini, beliau menerajui SpaceX, membesarkan anak lelaki bernama X Æ A-12 dan juga membangunkan kereta Model X di Tesla.

Berkenaan hubungan Musk dengan mata wang kripto, ia dilihat agak rumit. Pada satu ketika,beliau telah melabur ke dalam bitcoin dan Ethereum, sehingga pada satu tahap kereta elektrik Tesla boleh dibeli dengan menggunakan bitcoin. Ada pula waktunya hartawan ini mengkritik mata wang kripto terkemuka itu mengenai kadar kemeruapan dan penggunaan sumber tenaga yang tinggi. Beliau juga mempengaruhi nilai mata wang kripto menerusi ciapan twitter, walaupun kadang kala bukan positif.

Dalam konteks ini, bolehlah untuk menyatakan tentang Dogecoin: mata wang kripto yang dihasilkan pada tahun 2013 sebagai satu jenaka berdasarkan kepada meme anjing Shiba Inu yang popular. Musk telah mempromosikan coin tersebut, memberi sokongan terbuka dalam ciapan beliau. Beliau juga telah melabur dalam Dogecoin dan mengumumkan rancangan untuk menggunakannya dalam membiayai pelancaran satelit ke bulan. Walau bagaimanapun, beliau mengaku bahawa beliau tidak memiliki sebarang kawalan kepada para pembangun Dogecoin serta memberi amaran tentang risiko yang ada apabila melabur di dalamnya dan mata wang kripto yang lain.

10 Pemengaruh Terkenal: Individu yang Memacu Pasaran Mata Wang Kripto1

2. Vitalik Buterin

Vitalik Buterin adalah seorang pengatur cara warganegara Rusia Kanada dan pengasas bersama Ethereum, mata wang kripto kedua paling popular dan terkenal selepas bitcoin. Dilahirkan pada tahun 1994 di Kolomna, sebuah pekan kecil berdekatan Moscow, Buterin berpindah ke Kanada semasa berusia enam tahun. Beliau menunjukkan minat awal terhadap matematik, pengaturcaraan, dan kriptografi. Pada tahun 2011, beliau menjadi salah seorang pengasas bersama dan ketua editor Bitcoin Magazine: salah satu sumber maklumat terawal dan paling dipercayai berkenaan mata wang kripto.

Pada tahun 2013, Buterin menerbitkan satu kertas putih bertajuk “Ethereum: Satu Platfrom Aplikasi Disentralisasi Berasaskan Kontrak Pintar” yang mencadangkan satu alternatif yang lebih fleksibel dan serba boleh berbanding bitcoin dan berupaya menyokong pelbagai jenis aplikasi disentralisasi (DApps). Pada tahun 2014, beliau menghimpun sekumpulan pembangun perisian dan menjalankan jualan besar-besaran bagi membiayai projeknya. Perasmian blockchain Ethereum dibuat pada tahun 2015. Sejak daripada itu, Vitalik Buterin telah menjadi salah seorang peneraju utama serta tokoh terkenal dalam komuniti kripto.

Beliau juga menyertai bermacam-macam inisiatif amal kebajikan yang berkait dengan mata wang kripto seperti Giving Pledge dan Crypto Relief.

3. Changpeng Zhao

Changpeng Zhao adalah seorang warganegara China Kanada dan juga usahawan, pengatur cara, serta pengasas Binance, salah sebuah bursa mata wang kripto terbesar dari segi jumlah dagangan. Dilahirkan pada tahun 1977 di Jiangsu, China, Zhao berpindah ke Kanada semasa berusia 12 tahun. Beliau mengambil jurusan sains komputer di McGill University dan bekerja di pelbagai syarikat teknologi dan kewangan, termasuklah Bloomberg, Fusion Systems, dan OKCoin.

Pada tahun 2017, Zhao menubuhkan Binance, sebuah bursa mata wang kripto yang terkenal kerana kelajuan kadar dagangan, fi yang rendah, serta pilihan pasangan mata wang kripto yang pelbagai. Binance juga telah membangunkan platform kontrak pintarnya sendiri bagi aplikasi disentralisasi (DApps) yang dikenali sebagai Binance Smart Chain, dan turut menghasilkan mata wang kripto mereka iaitu Binance Coin (BNB). Binance Coin digunakan untuk bayaran fi dan juga mengakses pelbagai faedah di bursa.

Changpeng Zhao juga terkenal kerana penyertaan aktif beliau di media sosial, wadah yang sering digunakan untuk berkongsi pendapat dan berita-berita berkenaan mata wang kripto.

4. Andrew Ng

Andrew Ng adalah seorang saintis berbangsa Cina berkewarganegaraan British Amerika yang khusus dalam bidang kepintaran buatan (AI) dan pembelajaran mesin. Dilahirkan pada tahun 1976 di London, Ng berpindah ke Hong Kong semasa berusia empat tahun. Beliau mengambil jurusan sains komputer, kejuruteraan elektrik, dan matematik di Amerika Syarikat, menyambung pengajian di Massachusetts Institute of Technology dan Stanford University.

Ng telah bekerja di pelbagai organisasi akademik dan industri, termasuklah Google, Baidu, Coursera, dan Deeplearning.ai. Beliau juga telah menubuhkan serta memimpin beberapa makmal dan pusat pembangunan dan kajian AI seperti Google Brain, Stanford Artificial Intelligence Laboratory, Baidu Research AI Group, dan Stanford AI for Human Impact Lab.

Diiktiraf sebagai seorang pakar dan pendidik terkemuka dalam bidang AI, pembelajaran mesin serta deep learning, Andrew Ng juga adalah seorang penyokong aktif terhadap aplikasi AI dalam menangani cabaran global seperti penjagaan kesihatan, pembelajaran, dan isu alam sekitar.

5. Elizabeth Stark

Elizabeth Stark adalah seorang usahawan, peguam, dan pengasas bersama yang juga CEO syarikat Lighting Labs warga Amerika. Dilahirkan pada tahun 1986 di New York, AS, Stark mengambil jurusan undang-undang di Yale University dan menunjukkan minat mendalam dalam bidang teknologi, internet, dan ruang siber. Setelah menamatkan pengajiannya, beliau bekerja di pelbagai organisasi yang berkait dengan hak kemanusiaan, kebebasan bersuara, serta keselamatan digital seperti Electronic Frontier Foundation, Creative Commons, Mozilla Foundation, dan Stanford Center for Internet and Society.

Selain daripada pengalaman profesional, Stark telah memberikan syarahan dalam bidang mata wang kripto, teknologi blockchain, dan keusahawan teknologi di Stanford University, Yale University, dan Massachusetts Institute of Technology.

Pada tahun 2016, Stark menubuhkan Lightning Labs, sebuah syarikat yang membangunkan Lightning Network - satu protocol yang direka bagi menskalakan dan mempercepatkan transaksi bitcoin. Protokol Lightning Network membolehkan saluran pembayaran antara pengguna bitcoin dihasilkan dalam rangkaian disentralisasi bagi membenarkan transaksi segera dan lebih rendah kos tanpa perlu merekodkan setiap satu blockchain. Elizabeth Stark adalah salah seorang wanita paling berpengaruh dan terkemuka dalam industri kripto, mendapat gelaran sebagai "Superwoman."

6. Andreas Antonopoulos

Andreas Antonopoulos adalah seorang penulis, speaker, usahawan teknologi, dan penyokong tegar bitcoin warga British-Yunani. Dilahirkan pada tahun 1972 di London, Antonopoulos berpindah ke UK untuk menyambung pengajian dalam komputer sains, rangkaian, dan sistem teragih di University of London dan University of Southampton. Beliau memegang pelbagai jawatan dalam bidang teknologi, sekuriti, dan pengkomputeran awan di syarikat seperti Hewlett-Packard, Accenture, RSA Security, dan Nemertes Research.

Selain itu, Antonopoulos juga adalah pengasas bersama dan rakan kongsi di pelbagai syarikat startup, termasuklah Third Key Solutions, Decentralized Applications Fund, dan Blockchain Capital. Beliau mengenali bitcoin buat pertama kalinya pada tahun 2012 dan terus menjadi salah seorang penyokong paling aktif dan dihormati. Antonopoulos adalah penulis beberapa buah buku yang ditujukan khusus terhadap aset digital, termasuklah "Mastering Bitcoin," "The Internet of Money," dan "Mastering Ethereum."

Beliau bukan saja seorang pakar isikandungan, malah Antonopoulos juga komunikator yang menarik dan terkenal dengan kebolehan menyampaikan topik-topik rumit secara ringkas serta mudah difahami. Beliau juga seorang pensyarah aktif yang menyampaikan pelbagai seminar, audio siar, dam video tentang bitcoin, blockchain, dan mata wang kripto, menjadi semakin popular disebabkan kemahiran serta kebolehan beliau berkomunikasi dengan jelas.

7. Laura Shin

Laura Shin adalah seorang wartawan, penulis, dan hos audio siar warga Amerika yang khusus dalam bidang mata wang kripto, blockchain, dan teknologi kewangan. Dilahirkan pada tahun 1979 di San Francisco, AS, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera di Harvard University dan kewartawanan di Columbia University. Shin telah bekerja di pelbagai syarikat penerbitan terkenal termasuklah The New York Times, The Wall Street Journal, Forbes, dan Fortune.

Beliau adalah antara wartawan terawal yang memberi tumpuan kepada mata wang kripto dan blockchain, dengan penulisan pertamanya dikeluarkan pada tahun 2013 berkenaan subjek itu. Beliau juga adalah penulis buku berjudul "The Cryptopians: Idealism, Greed and the Future of Money" yang meneroka golongan awal peminat tegar bitcoin dan lain-lain mata wang kripto.

Selain itu, Shin turut menjadi hos kepada dua audio siar popular mengenai topik itu,menjadikannya sebagai wadah untuk menemu bual ramai golongan pakar, usahawan, pelabur, dan ahli fikir dalam kalangan komuniti kripto.

8. Michael Saylor

Michael Saylor adalah seorang usahawan, pelabur, dan dernawan warga Amerika yang dikenali sebagai pengasas dan bekas CEO MicroStrategy, sebuah syarikat yang tertumpu dalam bidang analisis perniagaan serta aplikasi mudah alih. Walaupun beliau telah meletakkan jawatan sebagai CEO pada tahun 2023, beliau terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Dilahirkan pada tahun 1965 di Lincoln, AS, Saylor menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan angkasa di Massachusetts Institute of Technology dan turut mendalami bidang astronomi di Harvard University.

Pada tahun 1989, Saylor menubuhkan MicroStrategy dan mengubahnya menjadi sebuah syarikat terkemuka dalam bidang analisis perniagaan serta aplikasi mudah alih. Beliau juga menjadi pengasas dan presiden Saylor Foundation, sebuah organisasi kebajikan yang menyokong inisiatif Pendidikan seperti Saylor Academy, satu platform online percuma bagi bermacam disiplin akademik.

Pada tahun 2020, Michael Saylor menjadi antara penggemar bitcoin paling berprofil tinggi. Pada ketika itu, MicroStrategy melaburkan lebih daripada satu billion dolar di dalam bitcoin, menjadikan mata wang kripto sebagai aset rizab utama syarikat itu. Saylor sering memberikan temu bual bagi menjelaskan tentang falsafah, strategi, dan visi beliau berkenaan bitcoin sebagai satu aset menyimpan nilai dan emas digital. Pada hujung bulan Ogos 2023, MicroStrategy memiliki coin BTC sebanyak 152,800, menjadikannya syarikat korporat dengan rizab mata wang kripto paling besar di dunia. 

9. Charles Hoskinson

Charles Hoskinson adalah seorang usahawan, ahli matematik, dan pengaturcara warga Amerika yang menjadi pengasas bersama Ethereum serta menubuhkan Cardano, antara 10 mata wang kripto paling utama dari segi nilai pasarannya. Dilahirkan pada tahun 1987 di Colorado, AS, Hoskinson mempelajari matematik, analisis, dan kriptografi di Metropolitan State University of Denver, University of Colorado Boulder, dan University of Wyoming. Beliau bekerja dalam pelbagai projek berkaitan mata wang kripto seperti Bitcoin Education Project, BitShares, Ethereum Classic, dan IOHK.

Pada tahun 2015, Hoskinson menubuhkan Cardano, sebuah platform mata wang kripto yang bertujuan untuk menghasilkan persekitaran yang lebih selamat, boleh skala, dan stabil bagi aplikasi disentralisasi (DApps) yang berasaskan kontrak pintar. Cardano juga menggunakan algoritma konsensus unik yang diberi nama Ouroboros, satu algoritma yang berasaskan kepada prinsip saintifik dan pengesahan formal. Charles Hoskinson adalah salah seorang tokoh paling dihormati dan berwibawa dalam komuniti mata wang kripto dan blockchain.

10. Cathy Wood

Cathy Wood adalah seorang penganalisis dan pengasas ARK Invest, sebuah firma pelaburan yang khusus dalam teknologi berinovasi dengan potensi untuk mengubah dunia secara radikal. Dilahirkan pada tahun 1955 di Amerika Syarikat, Wood mempelajari bidang ekonomi dan kewangan di University of Southern California sebelum bekerja di pelbagai institusi kewangan seperti Capital Group, Jennison Associates, Tupelo Capital Management, dan AllianceBernstein.

Pada tahun 2014, beliau mengasaskan ARK Invest, sebuah syarikat yang beliau sendiri menjadi Ketua Pegawai Pelaburan dan Pengurus Portfolio. Pada akhir bulan Julai 2021, ARK Invest menguruskan aset berjumlah $52.6 bilion. Cathy Wood juga menguruskan bermacam-macam dana pelaburan termasuklah saham-saham syarikat yang terlibat dalam mata wang kripto, blockchain, kepintaran buatan, dan bioteknologi. Selain itu, beliau juga adalah salah seorang pelabur bitcoin dan lain-lain mata wang kripto paling berjaya dan paling menonjol.

Wood sering membuat kemunculan di pelbagai persidangan, audio siar, dan video untuk berkongsikan visi dan strategi pelaburan beliau dalam mata wang kripto.

***

Artikel ini hanya meneliti biografi beberapa orang pemengaruh, penganalisis dan pakar dalam bidang mata wang kripto yang terkenal. Secara realiti, terdapat lebih ramai lagi penganalisis dan pakar yang dapat memberikan kesan besar terhadap pendapat umum dan tindakan orang ramai mengenai sektor mata wang kripto. Sudah tentu, sebarang perbincangan mengenai individu-individu ini tidak lengkap jika tidak menyebut nama Satoshi Nakamoto: seorang (atau sekumpulan) pencipta misteri yang menghasilkan bitcoin, mata wang kripto pertama dan paling popular di dunia. Identiti Nakamoto masih tidak lagi diketahui sehingga ke hari ini, dan terdapat satu artikel khusus mengenai pemilik nama gelaran itu, dan anda boleh menemuinya di bahagian “Artikel Berguna” di laman web NordFX.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami