Disember 12, 2023

Konsep trend sebenarnya adalah fundamental dalam berdagang di pasaran kewangan, sama ada dalam pasaran Forex, saham, komoditi, atau kripto. Terdapat pelbagai jenis strategi dagangan yang meliputi tentang pengetahuan serta pemahaman mengenai trend. Namun, trend bukanlah hanya satu garisan yang mudah untuk diikuti. Ia adalah lengkung bergerigi, dengan begitu banyak pusingan dan lilitan yang tak dijangka, bersudut cakah dan tajam, bergerak ke atas dan ke bawah. Untuk setiap situasi itu, seseorang pedagang akan bertanyakan soalan: adalah ini hanya pengunduran (atau pembetulan) sementara, selepas ini nilainya akan kembali mengikuti laluan utama dan meneruskan perjalanan untuk mencapai sasaran? Atau adakah ini jalan mati, jika benar-benar berlaku, nilainya akan berundur dan melencong jauh daripada pergerakan asalnya? Jawapan yang salah kepada soalan ini boleh mengakibatkan kerugian modal seseorang, manakala jawapan betul pula boleh memberikan keuntungan yang besar.

Apakah Maksud Trend dan Penembusan Trend?

Trend dalam Forex dan lain-lain pasaran kewangan bermaksud pergerakan nilai sesuatu aset yang stabil dan berpanjangan pada satu-satu arah dalam tempoh dan julat dagangan tertentu, dan dikekang oleh garis sokongan dan rintangan. Analisis trend adalah alat penting buat pedagang dan pelabur kerana dengan memahami trend semasa, mereka boleh membuat keputusan dagangan yang tepat. Terdapat tiga pilihan trend: 1) Bullish (menaik): ciri-cirinya adalah peningkatan nilai yang konsisten, menunjukkan keadaan optimis serta keyakinan pasangan yang menjadi lebih kukuh. 2) Bearish (menurun): berlaku apabila nilai turun dengan konsisten, menunjukkan keadaan pesimis serta pasaran yang menjadi lebih lemah. 3) Mendatar: ciri-cirinya adalah tidak menunjukkan arah pergerakan harga yang jelas, dan kadar turun naik pasaran berlaku dalam julat yang agak sempit.

Seni Membuat Analisis Pasaran Kewangan: Membezakan Pembetulan Daripada Perubahan Trend1

Penembusan bermaksud satu situasi di mana nilai sesuatu instrumen kewangan itu melepasi paras sokongan atau rintangan tertentu, dan menunjukkan potensi trend semasa yang boleh berubah. Ringkasnya, perkara ini berlaku apabila harganya “menembusi” julat atau trend dagangan, memberi isyarat sentimen di pasaran mungkin akan berubah.

Terdapat dua senario yang mungkin boleh berlaku selepas itu. Situasi pertama adalah penembusan sebenar. Dalam keadaan ini, setelah melepasi garis sempadan trend, pergerakan harganya tidak lagi kembali mengikut trend sebelum ini tetapi bergerak pada arah bertentangan. Situasi kedua adalah penembusan palsu. Sama seperti penembusan sebenar, garis carta melepasi paras sokongan atau rintangan. Namun, momentum pergerakan itu tidak begitu kuat, dan harganya kembali berada pada kadar asal sebelum meneruskan pergerakan mengikut arah trend sebelum ini. Penembusan palsu lebih kerap berlaku dan sering berpunca daripada kelakuan orang ramai. Pedagang baru sering berdepan situasi ini kerana mereka percaya telah membuka posisi yang selamat pada waktu itu, tetapi kebiasaannya itu bukanlah hakikat yang sebenar. Akibatnya, mereka masuk ke dalam perangkap bullish atau bearish yang mungkin sengaja dibuat oleh pelabur-pelabur lebih besar dan lebih berpengalaman.

Apakah Maksud Pembetulan atau Pengunduran?

Satu lagi perangkap buat seorang pedagang, sama seperti penembusan palsu adalah pembetulan (atau pengunduran) harga. Mengikut istilah pasaran Forex, fenomena ini juga menunjukkan kepada perubahan sementara harga aset mengikut arah bertentangan daripada trend harga semasa. Kata kunci di sini adalah “sementara”. Justeru, dari satu sudut, seseorang pedagang boleh menambah kadar pulangan mereka dengan membuka dagangan mengikut arah trend pembetulan. Dari satu sudut yang lain pula, jika mereka melakukan kesilapan dengan membuka dagangan berlawanan arah trend, mereka akan mengalami kerugian.

Mengapa pembetulan atau pengunduran berlaku? Terdapat beberapa sebab mengapa pasaran mungkin mengalami pembetulan. Pertama, ia mungkin disebabkan oleh pedagang yang mengambi pulangan setelah membuat dagangan besar pada satu arah. Kedua, faktor-faktor seperti berita atau peristiwa berkaitan ekonomi yang mampu mengubah sentimen pasaran, mengakibatkan nilainya berubah secara sementara.

Seperti yang telah disebutkan tadi, memahami pembetulan dan pengunduran dalam pasaran Forex adalah kunci utama untuk berdagang dengan cemerlang. Pedagang harus dapat membezakan antara perubahan sementara arah trend dan perubahan jangka panjang supaya boleh membuat keputusan tepat dan memanfaatkan dinamik dunia mata wang serta lain-lain pasaran.

Cara untuk Membezakan Pembetulan daripada Perubahan Trend

Ini adalah beberapa langkah untuk menentukan sama ada pergerakan pasaran itu adalah satu pembetulan atau permulaan kepada perubahan trend jangka masa panjang:

Paras Sokongan dan Rintangan memainkan peranan penting dalam menentukan keadaan semasa di pasaran. Jika nilai sesuatu aset menemui paras sokongan/rintangan dalam laluannya setelah bergerak menjauhi garis trend dan kembali semula ke garis trend selepas melaluinya, itu mungkin adalah petanda bagi pembetulan. Namun sebaliknya, jika ia menembusi paras sokongan/rintangan tadi, ia mungkin menunjukkan perubahan trend. Namun, semuanya bergantung kepada tahap kekuatan sokongan/rintangan tersebut.

– Membuat analisis jumlah dagangan juga adalah berguna. Pergerakan di sepanjang garis trend atau perubahan sebenar trend biasanya turut diiringi dengan pertambahan jumlah dagangan, mengesahkan tahap kekuatan pergerakan ini. Sebaliknya, pembetulan mungkin diiringi dengan jumlah yang kecil, menunjukkan tahap sokongan yang tidak mencukupi di pasaran.

– Bagi mengesahkan perubahan trend, anda boleh menggunakan indikator teknikal seperti MACD (Moving Average Convergence Divergence), Relative Strength Index (RSI), Stochastic Oscillator, atau ADX (Average Directional Index). Alat-alat ini dapat membantu menentukan tahap kekuatan trend semasa serta kebarangkaliannya untuk berubah. Ia dapat mengenal pasti bilakah pasaran berada dalam keadaan lebihan belian atau jualan, situasi yang akan menjadi pendorong kepada proses pembetulan atau perubahan trend yang mungkin boleh berlaku.

– Adalah penting untuk mengambil kira berita-berita dan faktor fundamental yang mungkin dapat memberi kesan kepada pasaran. Kejadian penting yang melibatkan pergerakan harga boleh menjadi faktor utama dalam membezakan perubahan trend sebenar daripada pembetulan sementara.

– Meneliti pergerakan harga pada tempoh masa yang pelbagai boleh memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang tahap kekuatan pergerakan-pergerakan itu. Perubahan trend sebenar boleh dilihat dengan jelas pada tempoh masa yang berbeza, termasuklah julat masa yang besar.

Cara Menentukan Jumlah Dagangan

Bagaimana seseorang pedagang itu boleh mendapatkan jumlah dagangan dalam masa sebenar? Kami akan senaraikan beberapa cara untuk mendapatkannya di bawah ini. Penting untuk mengingati bahawa jumlah-jumlah dagangan ini mungkin adalah berbeza dan bergantung kepada masa dagangan (aktiviti yang berlaku dalam sesuatu pasaran), hari calendar (cuti umum, akhir bulan kewangan, suku tahun, setahun), dan seterusnya, likuiditi di pasaran. Maka, bagaimana cara untuk menentukan jumlah dagangan:

Data Bursa: Sesetengah bursa ada menyediakan data dagangan dalam masa sebenar, termasuklah jumlah dagangan. Maklumat ini mungkin boleh diperoleh menerusi laman web bursa atau perkhidmatan khusus.

Indikator Teknikal, seperti On-Balance Volume (OBV) atau Volume Weighted Average Price (VWAP), boleh diguna untuk memantau jumlah dagangan dalam masa sebenar.

– Terdapat juga platform-platform berita dan analisis yang menyediakan data jumlah dagangan semasa. Pedagang boleh melanggan perkhidmatan seperti ini bagi mendapatkan maklumat terkini.

– Sesetengah sumber maklumat dan berita kewangan juga turut menyediakan data jumlah dagangan semasa yang ada di pasaran. Sesetengahnya adalah khusus untuk para profesional, ia juga boleh didapati untuk pedagang runcit. Contoh biasa termasuklah Bloomberg Terminal, Reuters Eikon, CME Group, NASDAQ (perkakas Market Velocity dan Market Forces), TradingView, Investing.com, MetaStock, Quandl.

– Platform dagangan MetaTrader 4 (MT4) yang disediakan oleh firma broker NordFX juga menyediakan maklumat mengenai jumlah dagangan. Anda boleh meneliti maklumat ini menerusi cartanya dengan mudah pada platform tersebut. Caranya adalah seperti berikut: 1) Buka carta bagi aset yang didagangkan; 2) Pilih tab “Insert” pada menu MetaTrader 4 di bahagian atas dan kemudian pilih “Indicators”. 3) Pada bahagian “Volumes”, pilih “Volumes”. Setelah indikator volum ditambah, ia akan dipaparkan pada carta sebagai histogram di bawah carta harga. Selain itu, anda boleh menyesuaikan parameter indikator jumlah, seperti warna dan gaya paparan mengikut kesesuaian anda.

***

Kesimpulannya, perlu diingati bahawa akan sentiasa terdapat risiko kerugian modal apabila berdagang di pasaran kewangan. Bagi mengurangkan kebarangkalian perkara ini daripada berlaku, anda perlu mengunakan beberapa kombinasi kaedah, bersama-sama dengan pemantauan serta analisis situasi yang berterusan. Dengan cara ini, peluang untuk anda mengelak daripada terperangkap adalah lebih besar dan dapat membuat keputusan yang lebih tepat serta menguntungkan.


« ARTIKEL BERGUNA
Ikuti Kami